Saturday, March 10, 2007

Ibu..


Saya masih di sini. Bertatih, jatuh dan bangun semula. Masa yang berlalu terlalu pantas, tidak terkejar rasanya. Segalanya sudah direncanakan oleh Pencipta saya. Semalam saya hadir ke program qiamullail di kolej. Terlalu banyak yang terjadi. Pengisian diberi oleh seorang chatter yang yang hanya dikenali menerusi alam maya sebelum ini . Saya juga mendengar pengisian dari salah seorang pensyarah saya.

Paling membuat hati tersentuh adalah ketika saya terbangun dari lena di awal pagi sebelum waktu qiamullail. Saya terlihat pensyarah perempuan saya sedang menyusukan anaknya. Semua yang ada sedang tidur dan dia sedang menyusukan anaknya. Manik jernih bertakung di kelopak mata saya. Besar pengorbanan seorang ibu.

Peristiwa tersebut masih bermain di penjuru fuad saya. Terbayang-bayang wajah ibu saya. Saya sudah menyusahkannya begitu lama. Seawal saya berada di dalam kandungannya, saya sudah meragam. Dan sehingga saat ini, dia masih menjadi teman setia mendengar segalanya. Jatuh bangun dan masalah pelajaran saya semuannya dalam pengetahuannya. Dia bukan sahaja berjaga sewaktu saya masih kecil malah sehingga saat ini dia masih berjaga di malam hari untuk mendoakan kejayaan saya. Dia tidak jemu-jemu memugar semangat saya untuk terus belajar. Ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan saya ibu yang begitu memahami.

Saat saya rindu pada dirinya, saya tahu bahawa dia tidak pernah jauh dari saya. Malah, likat merah yang mengalir di setiap jihat tubuh saya adalah sebahagian darinya. Saya tidak pernah lupa kalamnya. Kalam yang senantiasa hidup dalam nubari, fuad dan jiwa saya. Penuh hikmah dan makna. Penawar kala saya kebingungan dan keresahan. Namun, tika ini saya dilanda rindu nian. Rindu padanya. Terlalu. Hingga saat bicara ini ditintakan saya masih tersedu-sedan merinduinya.

2 comments:

Anonymous said...

Firman Allah swt yang bermaksud:"Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam usia 2 tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada 2 orang tuamu. Hanya kepadaKu kembalimu."
(Surah Luqman:ayat 14).

Entri adik ini membuatkan hati akak semakin dipagut rindu pada ibuayah.. Sayang ibuayah keranaNya..Smg Allah sentiasa membahagiakan mereka dunia dan akhirat.Ameen

Ummu Afeera said...

Ameen Ya Rabbal Alamin...

Moga kita sentiasa berusaha menjadi anak yang soleh dan solehah...