Monday, March 22, 2021

ODOT (One Day One Tadabbur) 6

Terasa dekat surah ini bila merenungi ayat 34 Surah Kahfi, sambungan kisah pemilik kebun. Apabila Allah menceritakan mengenai ‘thamar’.

Bagi mereka yang mempunyai asas bahasa Arab, pasti biasa mengenai makna ‘thamar’ yang selalu dimaksudkan sebagai buah. Namun adakah Allah mengulang lagi mengenai buah dalam ayat ini? Adakah ianya sebuah kekurangan? Pengulangan yang tiada makna? TIDAK! 

‘Thamar’ dalam ayat ini adalah mengenai harta yang ‘membuah’. Dari hasil kebun, si pekebun membeli pula emas dan perak. 

Bagi kita yang mempunyai pendapatan tetap, yang kadangkala mengumpul pula simpanan lain, banyak yang perlu kita ambil iktibar dari surah ini. Surah ini adalah satu renungan, satu pukulan bagi diri-diri yang sedang diuji dengan harta yang melimpah ruah. 

Di satu sisi, adakah salah menjadi kaya? Tidak juga. Malah Islam menganjurkan mengenai zakat. Malah kita diajar pula untuk menunaikan haji. Di sana seorang Muslim semestinya seseorang yang perlu menjadi mampu dan boleh berdikari. 

Insya Allah kita akan mentadabbur lagi mengenai salah laku si pemilik kebun kelak...

Friday, March 19, 2021

ODOT (One Day One Tadabbur) 5

Ayuh kita sambung kembali kisah dua pemilik kebun di dalam Surah Kahfi ayat 32 dan 33. Apa yang Allah beri pada pemilik kebun?

Allah bukan memberi satu kebun yang besar, malah dua kebun. Terlalu besar, terlalu hebat. Hebatnya lagi si pemilik kebun, dia sangat menguasai sains pertanian. Sangat menguasai sunnatullah. 

Dia menanam anggur. Anggur ini adalah satu buah yang dikira mahal bagi orang Arab. Harganya mahal. Dan dia memiliki dua kebun yang dipenuhi anggur.

Apa yang dia gunakan sebagai pagar? Bukan tiang, bukan tembok, bukan batu tetapi pohon tamar. Sangat luar biasa kebijaksanaan yang Allah beri padanya. Pohon anggur menghasilkan hasil, pohon tamar juga menghasilkan hasil. Bijak! Tidak timbul masalah musim. Sentiasa ada hasil. Tidak timbul masalah kerana angin yang kuat kerana dipagar oleh pohon tamar yang kuat mencengkam akarnya. Apa lagi yang si pemilik kebun tanam? ‘Bainahuma zar’a.  Di antara pohon anggur dan tamar itu juga, dia menanam tanam-tanaman lain, dia memaksimakan hasil yang perlu diperolehi. Sangat bijak. Tiada inci tanah pun yang tidak dimaksimumkan. 

Kita yang pernah tanam pokok atau melihat orang tanam pokok, pasti tahu sukarnya pengalaman mereka yang berada di sektor pertanian. Akan ada racun, ada serangga, ada buah yang rosak, ada binatang liar seperti monyet. Tapi Allah ceritakan betapa sempurna kebun ini dalam ayat 33. Tiada kerugian langsung. Si pemilik kebun menggunakan teknologi yang baik. Lagi cantik, ada pula sungai yang mengalir. Sistem pengairan yang baik. Boleh dimanfaatkan sebagai sektor perlancongan kerana kecantikan alam semulajadi. 

Tetapi dalam dua ayat ini berulang kali Allah menyebut Kami. Segala yang ada pada pemilik kebun adalah semata-mata dari Allah. Si pemilik kebun memahami sains (sunnatullah) dengan baik dan memaksimakan teknologi tetapi dia terlupa Allah yang memberi segalanya. 

Adakah ayat ini hanya untuk pemilik kebun? Tidak! Evergreen sehingga kiamat. Ayat ini untuk kita. Segala nikmat, kepandaian, teknologi, keuntungan hanyalah semata-mata dari Allah!

Thursday, March 18, 2021

ODOT (One Day One Tadabbur) 4

 Saat Allah memulai kisah pemilik kebun, Allah mengungkapkan di permulaan ayat ‘wadhrib lahum’. ‘Wadhrib’ berasal dari kalimah ‘dharaba’. Apa makna ‘dharaba’? Maknanya adalah pukul sehingga yang dipukul merasai kesakitan. 


Kisah ini datang untuk memberi pukulan. Bukan pukulan fizikal. Namun pukulan pada hati-hati manusia. Sehingga di akhir kisah, terasa kesan pukulan tersebut. 


Terdapat hadis yang menceritakan bahawa membaca Surah Kahfi dapat menyelamatkan dari fitnah Dajjal. Pasti ada sebabnya. 


Kerana sebuah ketamakan, merasai DIRI adalah segalanya pasti akan menjerluskan kaki kita ke dalam fitnah dajjal. Lantas tadabburlah kisah ini untuk sebuah pukulan pada hati yang semakin jauh.

ODOT (One Day One Tadabbur) 3

Membaca kisah pemilik kebun di dalam Surah Kahfi ternyata mengesankan. Ia hadir di antara dua kisah iaitu kisah pemuda kahfi dan kisah Dzulqarnain. 


Mengapa datang kisah ini di tengah-tengah?


Ayuh kita lihat sebab penurunan kisah ini. Orang Quraisy bertemu Yahudi di Madinah. Dan Yahudi ini memberitahu sekiranya Muhammad SAW adalah seorang rasul maka dia akan dapat menjawab 3 soalan. 


2 soalan itu dijawab di dalam Surah Kahfi iaitu kisah pemuda kahfi dan kisah Dzulqarnain.


Lantas mengapa kisah pemilik kebun hadir di antara dua kisah ini?


Saat sang rasul telah dapat menjawab satu soalan iaitu mengenai pemuda kahfi, apakah yang sepatutnya berlaku? Orang Quraisy wajar tunduk dan mengakui kebenaran sang nabi. Namun itu tidak berlaku. 


Lantas Allah menempelak mereka kerana mereka memiliki sifat pemilik kebun yang bongkak dalam menerima nasihat. Mereka memandang remeh dan merasakan yang memberi nasihat adalah kecil dan hina dibandingkan mereka.


Begitulah juga buat diri kita. Adakah ada sifat BESAR KEPALA dalam diri kita? Merasa sempurna, bongkak dan takabur? Mudah-mudahan tadabbur kita terhadap kisah ini melunakkan hati-hati kita.

ODOT (One Day One Tadabbur) 2

Kita saban kali membaca Surah Kahfi. Apakah sebabnya kisah pemilik kebun ini didahului dengan kisah pemuda kahfi?


Ada jentikan Allah untuk kita merenung dan bermuhasabah.


Ramai di kalangan kita adalah saintis, memiliki pelbagai keilmuan dan kekayaan. Kadangkala tanpa sedar kita mempertuhankan semua ini. Asbab yang menghilangkan musabab. Kita hilang Allah yang mencatur segalanya. Kita terlupa Allah (musabab) di sebalik keilmuan (asbab) kita. 


Itulah pesanan yang dititipkan dari kisah ini. 


Pemuda kahfi ditidurkan selama 300 tahun, tanpa makan dan minum. Jasad fizikal tidak mereput. Dan bangunnya mereka yang ada hanyalah menyedari kekuasaan Allah yang maha hebat. Tanpa asbab, mereka percaya kepada kekuasaan dan kebijaksanaan Allah.


Sedang pemilik kebun, di sebalik segala teknologi, sains, ilmu, kekayaan, mereka terlupa Allah yang mengatur dan menguasai segalanya.


Persoalannya untuk kita. Adakah jauh di hati kecil kita, kita terlupa Allah di atas segalanya?

ODOT (One Day One Tadabbur) 1

Dalam kehidupan yang penuh kesibukan. Dalam rencam ujian duniawi, kalam Allah sering memanggil kita untuk diambil iktibar darinya. 


Terkenang tadabbur Buya Hamka mengenai dua pemilik kebun.

“Inilah kisah antara dua manusia. Yang pertama, kaya hartanya, namun kosong imannya. Yang kedua kaya jiwanya dengan iman, walau miskin hartanya.”


Taajub mendengar kisah evergreen ini. Yang tidak disebut secara spesifik siapa, di mana, dan segala perincian. Yang ada hanyalah iktibar dan iktibar. 


Andai kisah pemuda kahfi adalah mengenai mereka yang kehilangan segala-galanya dan yang tinggal hanyalah Allah, maka kisah pemilik kebun ini menggambarkan peribadi yang memiliki segala-galanya namun tiada Allah dalam kehidupan.


Surah ini pastinya untuk KITA semua. Memanggil jiwa-jiwa yang jauh untuk kembali pada Allah. 

Adakah kita memiliki ilmu, kekayaan dan segala-galanya, namun yang terlebih utama untuk diajukan pada hati kita, adakah iman dan Allah dalam hati kita?