Sunday, January 21, 2018

Research Workshop..

Perjalanan ini panjang dan sulit.

Laqad khalaqnal insana fil kabad (Surah Balad: ayat 4)

Sesungguhnya kami jadikan manusia sentiasa dalam perjuangan yang sukar. Ianya adalah satu ungkapan sumpah. Bak kata Assyahid Syed Qutb dalam mengungkapkan ayat ini, manusia melalui kesulitan demi kesulitan, kepenatan demi kepenatan, perjuangan demi perjuangan.

Ada rasa penat yang singgah. Ada pilihan kursus-kursus lain yang lebih menarik. Ada cardiology update, stroke course juga. Namun hati memilih untuk datang ke program ini. Untuk mencari setitis kekuatan untuk meneruskan hari-hari yang mendatang.

Terasa kerdil dan kecil. Terlalu banyak kekurangan diri. Namun penting saya rasakan untuk bertemu mereka, untuk memperbaiki diri, memuhasabah dan merefleksi. Mungkin saya tak layak untuk duduk di celahan itu dengan kekurangan diri yang menggunung, namun saya paksakan diri untuk bertemu orang baik demi membaiki diri.

Jujurnya ada beberapa correction yang perlu dibuat pada research proposal. Ada beberapa case report juga yang perlu ditulis. Namun seakan tiada kekuatan untuk membukanya semula. Seakan tak tahu apa yang sedang dilakukan.

Bila hadir di sini, baru terasa betapa besarnya pahala atau amal membuat research dan menulis case report dan lainnya. Rupanya menulis berlama lama semuanya pahala andai niatnya benar.

Prof Fauzi memberi contoh. Isu buang anak luar nikah. Hati kita numb dengan isu ini sedang ia terus berlaku. Kita asyik berceramah, “Islam cakap macam ini.. Islam cakap macam itu...”. Islam bukan kitab. Islam mewarnai masyarakat. Bagaimana? Dengan research. Mengkaji permasalahan. Mencipta solusi. Research yang kita lakukan adalah demi ummah, mancari formula membaiki ummah, membawa rahmat.

Prof Fauzi juga memberi contoh tentang etika di dalam research. Authorship misalnya. Tanpa sebarang sumbangan, kita minta diletakkan nama. Ianya adalah salah. Seorang yang ihsan dengan Allah, tak melakukan hal sebegitu.

“Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (yaitu): sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau do’a anak yang sholeh” (HR. Muslim no. 1631)

Di sini saya belajar memaknai hadis ini. Butir-butir bicara Prof Har sangat menjentik hati. Menurut ayahnya, menjadi guru adalah sebuah kekayaan. Ketiga-tiga perkara yang disebut di dalam hadis itu dapat diraih oleh seorang guru.

Diceritakan kisah saat pegawai perubatan di bawah seliannya mengirim mesej ketika dia makan.  Doktor tersebut melihat kes shoulder dystocia dan mempraktiskan segala tunjuk ajar Prof Har. Saat doktor tersebut berdepan dengan kes shoulder dystocia, terbayang sosok Prof Har mengajarnya dan dia mempraktiskannya.

Menurut Prof Har, insya Allah ketika makan juga pahala masih mengalir. Dan dia berharap, begitulah hari-hari di alam barzakh kelak. Amal-amal di dunia akan datang sebegitu. Itulah kekayaan sebenar yang kita bawa bertemu Allah. Mungkin duit tak banyak, tapi kaya hati, kaya doa dan amal.
Dan saya masih bermujahadah belajar.

Friday, January 05, 2018

Gerimis...

Hujan dan gerimis silih berganti. Seperti muramnya cuaca, saya rasakan begitu juga keadaan pesakit-pesakit yang saya temui.

Beberapa hari lepas datang seorang pesakit kanser peparu dengan superior vena cava obstruction. Keadaan sangat kritikal. Kansernya meliputi seluruh peparu kanan, dan merebak ke saluran darah utama. Muka bengkak. Suaranya berubah (laryngeal edema). Tak mampu baring. Lemas dalam peparu sendiri.

Dia perlu menjalani stenting. Namun kos SVC stenting mencecah RM5000 bagi satu stent. Dia memerlukan dua stent. Keluarga tak memiliki duit sebanyak itu. Panggilan demi panggilan dibuat. Akhirnya ada satu agen yang menelefon kembali, sudi menawarkan stent percuma. Di hujung tahun, ramai consultant yang tiada untuk melakukan prosedur tersebut. Panggilan demi panggilan ke beberapa hospital dibuat, akhirnya ada yang menerima kes tersebut. Namun pesakit sangat kritikal dan memerlukan katil ICU. Masih ramai di dalam list menunggu. Pesakit merosot dan akhirnya meninggal dunia semalam. Ada komplikasi pulmonary artery thrombosis (darah beku) juga. Pesakit tersebut masih merokok sebelum dimasukkan ke hospital. Meskipun pernah mendapat serangan jantung sebelum ini, dia masih merokok. Cuma akhir hayatnya, sangat menghibakan saya.

Saya oncall hujung minggu pula. Membaca maklumat perubatan seorang pesakit muda, berumur 27 tahun di komputer. Datang dengan sakit bahu dan tulang belakang. Bila saya lihat xray peparu pesakit tersebut, seperti miliari TB. Dalam hati kecil saya, TB ini, merebak ke tulang. Saya baca lagi. Bacaan darah untuk melioidosis serology positif. Disseminated meliodosis kot. Tapi tiada kencing manis, HIV dan lainnya yang memudahkan dia mendapat penyakit tersebut. Satu demi satu laporan perubatan darah dan lainnya saya buka. Saya tiba pada laporan endobronchial biopsy. Biopsi tersebut diambil semasa prosedur bronkoskopi (prosedur scope melihat saluran peparu). Terkejut. Keputusan biopsi adalah adenocarcinoma. Kanser peparu. Saya menelefon pakar peparu. Ya, saya belajar. Populasi normal juga boleh mendapat serologi positif bagi melioidosis. Dan saya baru tahu ‘miliary metastasis’. Kanser yang merebak boleh memberikan gambaran xray seperti miliary TB. Kesimpulannya pesakit tersebut menghidap kanser peparu yang telah merebak ke tulang.

Beratnya rasa hati untuk memberi perkhabaran tersebut. Tapi saya tetap perlu memberi tahu. Prosedur biopsi pada bahu yang dijadual oleh doktor ortopedik tak perlu dilakukan kerana diagnosis telah diperolehi. Isteri dan pesakit tenang saat diberitahu.

Tak lama kemudian, si isteri datang bertemu. Mereka baru setahun lebih berkahwin. Punya anak yang masih bayi. Si isteri bertanya, “Berapa lama masa yang suami ada?” Aduh, sukarnya soalan tersebut. Namun saya masih cuba memberi harapan. Moga-moga ujian mutation study ada yang positif, dan ada opsyen rawatan. Namun kos rawatan untuk ubat tersebut mencecah RM2000-RM11000. Si isteri kemudiannya memberitahu suaminya merokok, dan seluruh ahli keluarganya merokok. Umurnya muda tapi dia terdedah dengan rokok berkali ganda kerana dia juga second hand smoker dari kecil. Bacaan calcium tinggi kerana kanser yang telah merebak ke tulang dan dia diberi pamidronate.

Terkadang sedih. Ada juga bisikan kecil. Mengapa menjadi doktor, merawat manusia yang mencari penyakit sendiri? Namun saya beri nasihat pada diri sendiri. Penyakit tetap adalah bukti kasih sayang Tuhan, memanggil manusia pulang ke pangkuanNya. Penyakit membersihkan manusia. Seandainya ia adalah penamat, mereka pergi dalam keadaan bersih. Dan kita diberi kesempatan menjadi ‘instrument of God’s mercy’ untuk mereka.

Namun setiap dari kita diberi peluang dalam kehidupan sama ada untuk merokok atau tidak. Menjauhinya adalah wajib. Merokok tetap haram. Membahayakan diri sendiri dan ahli keluarga. Derita tak dapat bernafas dan baring sukar digambarkan. Lemas dalam peparu sendiri adalah mengerikan. “Menghadiahkan” penyakit tersebut pada ahli keluarga dan teman rapat kerana sikap sendiri yang merokok adalah kejam.

Setiap saat yang hadir dalam hidup kita adalah peluang untuk kita berubah. Hari-hari yang hadir adalah peluang untuk menjadi lebih baik. Sebelum hari bertemuNya, moga hari-hari mendatang digunakan untuk menjadi lebih baik.