Wednesday, August 26, 2015

Akhirat..

Sesuatu berlaku. Dan saya baru memulakan kehidupan di tempat baru. Dari klinik kesihatan, saya kembali ke hospital semula. Disebabkan beberapa masalah kerana lambatnya surat tawaran trainee, saya bekerja sudah hampir 3 bulan tanpa gaji.

Ya, saya oncall. Tinggalkan Fatih selama hampir 36 jam ketika oncall. Baru ini Fatih kena pnemonia dengan bacaan sel darah putih 32. Syukur zauj menemani liku-liku yang getir ini.

Saat diberitahu bahawa tempat saya bekerja kini tak mahu membayar gaji 3 bulan lalu, air mata menitis laju. Saya tak kisah ketika Ramadhan, mungkin itu amal jariah saya ketika Ramadhan. Dan adik lelaki saya pernah berpesan, dalam harta kita, bahagian terbesarnya memiliki hak-hak orang lain. Saya cuba berlapang dada, mungkin Allah mahu membersihkan harta saya.

Namun ketika diberitahu bahawa gaji bulan ini juga tidak dikira, saya menangis. Hiba. Kesedihan terbesar kerana saya bekerja dan oncall meninggalkan anak.

Saat itu zauj mengingatkan. "Takpelah, duit sahaja yang hilang. Duit je itu. Cuba bayangkan yang hilang kat akhirat nanti adalah amal-amal kita. Ini dunia sahaja. Nanti adalah itu kat akhirat. Mungkin yang kita bekerja tanpa gaji itulah asbab Allah nak beri kemudahan masa peperiksaan nanti. Ada kebaikannya dalam hal lain."

Sakit hilang hampir RM5000 tiap bulan. Tapi bicara zauj menyedarkan diri yang kerdil ini, sangat sukar menjadi anak akhirat yang melihat dunia dari jendela akhirat.

Seorang murabbi pernah membuat analogi. Satu garisan sepanjang infiniti. 1cm sahaja dari garisan itu adalah dunia. Sedang sepanjang-panjang garisan infiniti itu adalah akhirat. Semuanya ada ganjaran di akhirat sana. Dan bersedihlah orang yang bersusah-susah untuk garisan 1cm itu tapi tiada dalam nilaian Allah ketika di akhirat nanti. Nauzubillah.

No comments:

There was an error in this gadget