Sharing dari seorang murabbi tadi tentang perjalanan takdir. Dia cerita satu cerita. Mungkin ada yang pernah mendengarnya. Cuma yang mengesankan saya adalah tadabbur satu ayat Quran yang seakan sama dengan cerita ini. Cerita murabbi tadi tentang raja yang terpotong jari.
Ada seorang raja yang hobinya memburu binatang. Setiap kali ingin pergi memburu, raja ini membawa penasihatnya sekali. Mereka berdua masuk ke dalam hutan. Kemudian, raja tersebut ternampak seekor rusa. Raja itu mengeluarkan pisau lalu meyembelih leher rusa itu. Tanpa disedari, satu jarinya telah terpotong. Lalu, dia mengadukan kesakitannya kepada penasihatnya itu.
Kata raja,"Wahai penasihatku, sungguh sakit yang ku rasakan akibat terpotongnya jariku ini".
Penasihat itu menjawab dengan tenang, "Ada hikmahnya, tuanku".
Raja mula berang. Dikatanya,"Wahai penasihat, hikmah apakah yang ada jika jariku terpotong? Tiada hikmah. Malah aku kehilangan satu jari".
Kemudian, raja itu menghumban penasihat itu ke dalam penjara istananya. "Apa hikmahnya kau masuk penjara?" Penasihat tersebut tenang, "Pasti ada hikmahnya".
Selepas itu, si raja meneruskan hobinya. Kali ini, raja itu berseorangan.
Raja berjalan sehingga tiba di sebuah perkampungan orang asli. Orang asli di situ makan orang. Lalu, mereka menangkap raja tersebut untuk dijadikan korban. Lalu, mereka memeriksa tubuh raja itu dan mendapati jarinya kurang satu. Hal itu pun diadukan kepada Tok Batin. Kemudian Tok Batin menjawab, "Lepaskanlah dia kerana kecacatan pada jarinya". Raja itu pun dilepaskan.
Dengan segera si raja pulang ke istana. Si raja bergegas menuju ke penjara istana. Lalu, dia menemui penasihatnya kemudian memeluknya sambil menangis. Penasihat itu pun pelik. Kemudian dia bertanya, "Wahai tuanku, apakah yang telah terjadi?". Tuanku menceritakan segala yang terjadi.
"Benarlah katamu. Ada hikmah hilangnya satu jariku ini. Jika tidak, pasti aku menjadi korban mereka".
Kemudian si penasihat menjawab,"Wahai tuanku, ada hikmahnya engkau meletakkan ku di dalam penjara ini. Jikalau aku turut bersamamu, pasti engkau akan terselamat dan aku akan menjadi korban mereka".
Apa cerita dalam Quran yang lebih kurang sama dengan pengajaran cerita ini?
Satu juzuk dari kisah Nabi Musa dan Nabi Khidr.
Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: "Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar". (Surah Kahfi :71)
Ia menjawab: "Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya. Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat. (Surah Kahfi :78-79)
Nabi Khidr bocorkan perahu yang dia dan Nabi Musa tumpang. Apa perasaan kita kalau kita berada di tempat empunya perahu?
"Dahlah aku tolong, lepas itu buat jahat lagi".
Memang mengamuk, marah kan?
Tapi apa perasaan kita saat melihat perahu semua orang kena rampas oleh raja yang zalim dan perahu kita tidak disebabkan lubang yang dilakukan oleh Nabi Khidr?
"Alhamdulillah syukur orang itu rosakkan perahu aku, dah selamat tak kena rampas". Terus kita berubah 360 darjah kan?
Pernah tak dalam hidup ini berapa banyak takdir yang kita tak suka, yang kita sangkakan buruk? Dan akhirnya kita lihat hikmahnya?
Apa yang kita belajar dari semua ini? Hanya Allah yang tahu masa hadapan kita dan hanya Allah yang tahu hikmah kesakitan hidup yang kita lalui.
Oleh sebab itulah aku hidup di bawah bayangan al-Qur’an dengan hati yang tenang tenteram dan di sana aku melihat tangan kekuasaan Allah mengendalikan segala peristiwa dan segala perkara. (Assyahid Syed Qutb)
Dan saya tujukan tulisan ini pertamanya untuk diri sendiri..