Saat mahu mengenalkan keluarganya kepada zauj pada awal perkahwinan kami, saya turut memberitahu zauj kekaguman saya pada dirinya.
Lahir dalam keluarga yang biasa, dia menjadi sangat luar biasa. Membawa usrah anak gadis, saya pernah mendengar perbualan anak gadis mengenai lelaki. Tapi Afiqah tidak begitu. Tak gedik, auratnya sangat terjaga hatta di kampung. Tak pernah mengumpat, wajahnya penuh kemanisan. Dia menyentuh hati manusia-manusia di sekelilingnya. Orangnya matang.
Saya baru membeli buku Menalar Makna Diri oleh Ustaz Hasrizal. Buku yang baru di pasaran itu ada di rak bukunya juga. Ya, pembacaannya juga menunjukkan kematangannya.
Dia pergi tiba-tiba setelah demam dua hari. Ya, sebagai doktor saya ada banyak differential diagnosis.Tapi takdir Allah mengatasi segalanya. Dia telah tiada di dunia fana ini.
Ciuman terakhir pada dahinya. Melihat kain kafan yang membalutinya, melihat orang mengusung jenazahnya menimbulkan keinsafan pada diri ini. Lebih menginsafkan, apabila semua mulut berbicara mengenai kebaikannya. FBnya juga memaparkan komen-komen yang baik terhadap dirinya.
Lantas saya mendefinisikan kejayaan semula. Kejayaan yang hakiki adalah tika mana kita memperoleh khusnul khatimah.
Kecemburuan saya tidak berakhir di situ. Kadang terjadi konflik kecil suami isteri, dan saya akan bermonolog sendiri, "Bestnya Afiqah, tidak diuji dengan semua ini". Dia pergi pada usia 22 tahun saat sedang ada yang sedang merisiknya. Cemburunya saya pada dirinya.
Kecemburuan itu menjadi-jadi sehingga banyak tanda tanya dalam diri ini. Adakah Allah tak menyayangi diri ini? Terlalu banyak kelemahan diri sehingga saya jadi penasaran memuhasabah diri.
Dalam kelesuan iman dan ribuan persoalan yang berlegar dalam ruang minda, saya menghadiri pengisian dari Sheikh Dr Ibrahim Munir, pimpinan ikhwan yang turut hadir semasa muktamar Pas.
Saya tahu Sheikh berbicara soal-soal yang besar, tentang dakwah, ummah dan sebagainya. Namun pengisiannya menjawab beberapa persoalan yang hadir dalam diri ini.
Hakikat pahala di sebalik ibtila', ujian yang berlaku. Betapa di akhirat nanti, golongan yang tidak diuji akan mencemburui mereka yang diuji. Rupanya ujian-ujian dan tingkat kehidupan yang dilalui kini adalah sumber pahala yang mengalir.
Dan saya tersentak mendengar pengalamannya bersama Assyahid Syed Qutb. Saat Assyahid Syed Qutb dijatuhkan hukuman gantung, Sheikh ada berbicara dengan Assyahid,"Ujian yang kamu hadapi sekarang ini, Allah takkan membiarkan kamu!"
Apa jawapan Assyahid Syed Qutb yang cukup menggentarkan hati-hati manusia, "Di dalam ujian ini, yang penting adalah di mana kamu dalam dakwah?!"
Allahu akbar! Keberadaan yang hampir dengan ajal, dan masih mengingati dakwah. Saya teringatkan hadis ghulam, betapa kematian ghulam menghidupkan hati-hati yang lain.
Dalam ujian kehidupan yang kita lalui misalnya housemanhip, MOship, masalah di tempat kerja, konflik perkahwinan, anak dan lain-lain, di manakah kita dalam dakwah?