Mutarabbi saya yang masih muda meniti alam persekolahan bertanyakan
buku-buku yang boleh dibaca semasa cuti ini. Andai mahu menjawabnya,
saya sendiri yang perlu membaca terlebih dahulu pastinya.. Di sebalik
buku-buku fikrah yang perlu dihadami, saya juga baru menyudahi beberapa
buku yang bercorak pengalaman.
Nota Hari Seorang Lelaki - Ustaz
Pahrol Juoi
Pertamanya buku tulisan Ustaz
Pahrol Juoi bertajuk Nota Hati Seorang Lelaki. Keberadaan saya dua
minggu lepas di wad nefrologi (wad pesakit yang menghidap masalah buah
pinggang) ternyata membuat buku ini dekat dengan saya. Saya melihat
seorang ibu yang menghidap strok tergagap-gagap mengungkapkan, "aaanakk
maaa raaah..aaanak terukkk ..tak booleeh haaraap". Dan kemudiannya dia
menangis. Andai perlu melihat drama anak derhaka berulang-ulang, silalah
ke wad nefrologi.. Huhu.. Bicara Ustaz Pahrol dalam mengisahkan perihal
ibu bapa benar-benar saya insafi. Banyakkkkkkkk sangat kelemahan saya
sebagai anak. No one knows me better after Allah except my parents and
my siblings.
Banyak kisah di dalam buku tersebut yang menyentuh
hati saya antaranya kisah ayah yang sering meminta wang dari anaknya
namun punya hikmah besar dalam hidup si anak, kisah ibu yang sentiasa
memberi - bukan bimbang andai tiada anak yang mendoakan selepas dia
meninggal tetapi bimbang tiada yang mendoakan si anak selepas
ketiadaannya, kisah anak kucing, kisah anak yang bosan mendengar celoteh
ibunya namun menjadi sesuatu yang dirinduinya selepas ketiadaan
ibunya..
Bacalah! Benar-benar buku yang baik...
Noorah - Ummu Hani
Buku kedua yang menyentuh hati saya adalah Noorah tulisan Ummu Hani. Ya, kisah benar seorang wanita yang begitu dicintai Allah. Ujian hidup yang dilaluinya bukan biasa-biasa. Pengislamannya adalah titik perubahan hidupnya. Alam kanak-kanaknya penuh dugaan. Ayahnya baran, ibunya pula pernah nyaris membunuh diri, kemudiaannya perjalanan hidupnya menghuni rumah kebajikan dan sering melarikan diri. Dia pernah tinggal di 21 buah pusat kebajikan! Pengislamannya sendiri penuh liku. Cinta pandang pertama dengan seorang lelaki Muslim yang kemudiaanya membawa derita yang berpanjangan. Dia keguguran kandungan pertamanya lantaran ubat tradisional yang diberi suami. Kemudiaanya balang gas api di tandas bocor akibat kecuaian suami dan kawan-kawan suaminya sering datang berkunjung ke rumah yang menyebabkan kandungan keduanya meninggal akibat keracunan gas. Dia memperolehi 3 cahaya mata dari perkahwinan pertama.
Kemudiannya saat melahirkan Saleha, di mana dia dibedah tanpa diberi ubat pelali. Menjerit hati kecil saya saat membaca catatan itu kerana saya juga pernah merasai sakitnya pembedahan. Penceraian hidupnya, kisah suami pertama yang melarikan ketiga-tiga anaknya membuat hati benar-benar hiba. 4 tahun dia mencari anaknya. Saat bertemu Muhammad, salah seorang anaknya kembali, si anak menceritakan pada pihak berkuasa bahawa dia menderanya lantaran momokan seorang ayah. Allah! Kemudiannya perkahwinan kedua dan penceraian lantaran suami kedua tak mampu menerima kehadiran anak-anak dari suami pertama.
Kemudian perjalanan didiagnosis menghidap kanser payudara. Dua saudara terdekatnya pengsan melihat kesan pembedahan yang dilaluinya. Seterusnya kembaranya melalui luka-luka kemoterapi dan radioterapi. Seorang anaknya menghidap dyslexia, seorang lagi adalah autisme. Islam menyatukan dirinya semula dengan ibunya yang menghidap masalah psikiatri.
Tidak hairan Allah menganugerahinya mimpi bertemu Rasulullah SAW, perjalanan ke Gaza (baru seusai pembedahan membuang payudara), dan juga menjadi jemputanNya menunaikan haji (ditaja) di atas semua kesabarannya. Perjalanannya memberi saya inspirasi untuk melalui kehidupan ini..
‘Saat dia mula mengenal Islam, kisah silam yang suram hanya tinggal sejarah, walaupun ujian datang dengan seribu wajah’ -petikan muka depan NOORAH -
Catatan hati seorang istri - Asma Nadia
Buku popular dari Indonesia ini juga membuatkan air mata berlinangan jua. Perempuan saya kira dicipta dengan seribu satu rona perasaan. Memang banyak sekali lurah kehidupan yang perlu diharungi mereka. Saat membaca permasalahan, konflik yang diutarakan di dalam buku ini, jawapan saya mudah. Perempuan perlu disibukkan dengan dakwah, tarbiah dan hal lainnya dari memikirkan diri mereka sendiri. Hatinya akan sentiasa memikirkan yang bukan-bukan andai tiada kesibukan dalam kamus hidupnya. Benar pesan ustaz yang berusia 72 tahun Ahad lepas semasa Seminar Belaian Kasih Keluarga Dakwah. Saat itu ustaz menempelak ikhwah yang berpoligami. Ujarnya, tunjukkan kepada kita qiyadah yang memilih poligami. Tiada kerana agenda besar dalam hidup mereka adalah dakwah dan tarbiah. Wanita juga saya kira perlu begitu. Dia perlu sibuk dan terus sibuk.
Diari Musafir, Jangan Berhenti 'Berlari' - Dr Zaharuddin
Best sangat buku ini! Rasa nak ambil ijazah kedua dalam bidang Islam selepas ini. Buku yang sedikit sebanyak mengenalkan saya pada dunia luar. Buku yang menempelak saya dalam perihal peranan saya sebagai seorang pelajar suatu ketika dahulu. Buku yang sangat menginspirasi. Ustaz membayar denda RM 53 000 buat isterinya kerana menamatkan kontrak pekerjaan isteri lebih awal agar dapat menumpukan sepenuhnya pada tarbiah anak-anak. Allah! Terlalu banyak perkongsian ustaz. Saya juga tersilap menilai perihal perkahwinan nikah misyar sebelum ini. Alhamdulillah, dikristalkan semula pemikiran tersebut melalui buku ini..
Sangat-sangat perlu golongan yang cemerlang mewarisi ilmu agama. Sudah-sudahlah kita menghantar pelajar tercorot mewarisi agama ini!
Saya rasa nak fokus betul-betul untuk 5 tahun ini untuk mengukuhkan kewangan. Lepas itu nak ambil ijazah kedua dalam bidang islam. Perubatan? Entahlah.. Huhu...banyaknya cita-cita! Tapi baca buku ini memang memberikan motivasi yang sangat hebat. Berkobar-kobar..
Kesimpulan saya, banyak rupanya buku-buku tulisan di Malaysia ini yang super best juga..