Thursday, November 24, 2011

Iktibar...

Terkadang pena ingin terus menarikan bicara di kanvas maya ini. Menulis hikmah yang dikutip dalam bilahan hari-hari yang berlaku. Dan hikmah itu perlu dinukilkan, kelak sebagai peringatan buat diri sendiri di saat usia kian terus berjalan menuju maut yang akan hadir tidak kira masanya.

Terkadang ngeri untuk memikirkan. Ada di antara pesakit yang hari semalamnya berbual dengan kita, namun keesokan harinya telah bertemu Allah. Sungguh semua itu peringatan buat diri sendiri. Saya pasti kebanyakan pesakit tersebut juga tidak menyangka mereka akan pergi dalam masa terdekat. Benarlah, kematian itu hadir tiba-tiba. Ianya urusan ilahi yang sukar ditaksir oleh insan.

Masih segar di fikiran saya, pengalaman 3 tahun yang lalu saat saya melalui pembedahan. Fungsi pernafasan saya belum pulih, namun alat bantuan pernafasan telah dikeluarkan (extubate). Sangat mengerikan saat saya tidak mampu bernafas. Setiap kali diingatkan dengan pesakit yang telah pergi bertemu Allah, gambaran itu hadir dalam benak minda saya. Saat melihat mereka nazak, itu juga yang saya rasakan. Mereka sedang bertarung dengan hakikat maut.

Pernah seorang makcik mahu kematian yang sempurna, tidak mahu membuang kakinya. Dia mati akhirnya kerana jangkitan dari kaki telah merebak ke seluruh organ. Saya masih belum arif hukum agama. Adakah perbuatan sebegitu dikira membunuh diri? Namun saya teringin makcik itu dihidupkan semula. Saya mahu dia bercerita semula pengalamannya berdepan dengan maut. Saya pasti dia tidak kisah seandainya semua anggotanya dibuang jika dibandingkan dengan hakikat maut yang lebih menggerunkan.

Pernah saya hadir kursus Pain as 5th vital sign. Consultant yang memberi ceramahnya bertanya, “Pernah tak kalian yang berada dalam medical profession ini memberitahu pesakit yang sedang sakit bahawa mati lebih menyakitkan?” Tiada siapa yang mengangkat tangan. Sungguh kenyataan itu dikira kejam kepada pesakit yang sedang sakit. Tapi saya pernah memberitahu seorang pesakit yang menginginkan kematian akan hal itu. Semuanya lantaran pengalaman 3 tahun lalu…

Saya pernah melihat pesakit mati, semasa cardiac monitor menunjukkan pesakit telah tiada (asystole). Badan terasa seram sejuk. Terasa malaikat maut baru sahaja mengunjungi. Entah berapa ratus kali malaikat maut mengunjungi saya dalam kehidupan seharian di hospital. Sungguh semua itu adalah peringatan..

Saya rasakan tiada pilihan dalam kamus hidup saya. Saya mahukan syahid sebagai kematian, mahukan khusnul khatimah. Bicara akak mengetuk hati, “Terkadang syahid cuma di bibir sahaja. Sel-sel, darah, tulang dan segalanya yang mengalir dalam tubuh badan kita masih belum mahukan kesyahidan. Amal kita tidak membuktikan bahawa kita menginginkan syahid itu”.

Benar katanya. Merenung kembali amal seharian.

Dan mudah-mudahan kita adalah insan yang merindukan pertemuan dengan Allah. Teringat kata-kata seorang sahabat, Dilah semasa saya sakit dan begitu takut akan kematian suatu ketika dahulu, “Bagi mukmin, kecintaan utamanya tumpah kepada Allah. Bila beriman dengan Hari Pertemuan, maka percayalah hanyalah hari perpisahan dengan dunia pintu untuk ke pertemuan bersama Allah. Bukankah Allah itu kekasih mukmin? Kekasih tidak akan menyakiti kekasihnya. Benar bukan? Lalu, bila Kekasih memanggil untuk bertemu, mengapa kamu harus bersedih? Mengapa mesti takut? Bukankah waktu untuk bertemu kekasih waktu yang mendebarkan rasa hati? Kerana rindu akan langsai.Usah rasa takut lagi, usah risau lagi. Bersiap-siap sahaja untuk hari bertemu kekasih yang satu ini, kerana di panggil pulang bermakna cintaNya terlalu sarat untuk kita!”

Moga Allah mengurniakan kesyahidan buat kita.
si cilik yang syahid


1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum akak..aseef jiddan....saya share blog akk tjuk ni kat fb kawan.