Tuesday, February 16, 2010

Semangat...

Saya mencari semangat. Minggu ini saya akan berhadapan dengan dua peperiksaan - Ophthalmology dan Anesthesiology. Banyaknya lagi yang tidak dihadam.

Betul kata-kata Dilah semalam.

"Ada masa kita mesti berhenti, tapi jangan terlalu lama. Kita tiada masa yang banyak. Takut masa kita melengah-lengah mencari semangat, Allah panggil kita balik, dan kita tiada persembahan akhir yang baik untuk ditunjuk pada Dia. Lalu apa? Salahkan Tuhan sebab Allah tarik sekejap nikmat itu?"

"Yang membezakan orang mati dan orang hidup ialah semangat yang datang sekali dengan kehidupan. Dinamakan orang itu hidup bila dia subur dengan rasa. Hilang rasa, putuslah semangat. Cumanya, kita tidak hidup untuk melayan perasaan sahaja, tidak juga kita hidup untuk mengikut kata semangat sahaja. Banyaknya kerja kita, banyaknya manusia yang kita perlu menghadap, diambil semula nikmat rasa, diuji dengan hilang semangat, semuanya pakej Allah bagi untuk regular format supaya kita remain as human. It is the pain that keeps u human".


Dikongsikan juga pembacaannya dari buku Bedar Sukma Bisu:

"Hebatnya orang Islam, segara itu pernah kitalah nakhodanya dahulu. Hari ini? Siapa pula kapal selam-perang paling canggih dalam laut? Siapa pula kapal perang yang mengawas laut? Ada muslim punya? Hmmm, bertuahnya kalau dapat jadi even tukang bersihkan lantai sahaja dalam kapal-kapal diorang itu".


Terima kasih Dilah. Dialah sahabat yang paling lama bertahan dengan saya. Dialah juga teman untuk diajak 'bergaduh' dan berbicara.

Pagi ini saya melihat satu gambar dari blog akhawat. Terus bersemangat juga. Kata-kata yang selalu didengar cuma bila diterjemah dalam bentuk gambar, seakan-akan ia punya roh yang menghidupkan pagi saya.
Sekadar memetik petikan dari buku AlMunthalaq untuk bermuhasabah di pagi hari:

"Kamu akan mengetahui betapa kelembutan yang dikendong oleh hati-hati rijal tersebut yang telah menghadiahkan kepada kamu buah hasil pengalaman dan natijah pengamatan mereka. Oleh sebab itu, sebutan (nama) mereka berkekalan dan mendapat perhatian manusia kerana ia mempunyai hubungan dengan al haq (kebenaran)."

"Sesuatu perkataan tidak akan kekal di sisi generasi kecuali jika ia berhubung dengan kebenaran dan kebaikan, kerana ia sentiasa mendapat pertolongan daripada makhluk Allah mengikut undang-undangNya (sunnahNya) dan sentiasa diilhamkan kepada hamba-hambaNya."

"Berapa banyak kilatan yang dipancarkan oleh raja yang zalim atau berhala yang masyhur mengeluarkan gema seketika, memancarkan cahaya sebentar, kemudian padam dan senyap, seperti bintang yang bertukar menjadi habuk dan debu selepas terbakar. Ditambah lagi bahawa gemanya adalah daripada suara kebatilan, bukan kebenaran dan kilatannya daripada hiasan kebatilan bukannya kebenaran."

"Hanya aqal yang faham, hati yang bersih dan orang yang yakin dengan kebenaran apa yang dibawanya sahaja boleh mengucapkan kebenaran yang kekal. Dia mengeluarkan kata-katanya yang menjadi contoh-contoh yang realiti dan keterangan yang kekal di dalam kehidupan. Tidak tertentu untuk satu waktu sahaja, tidak juga perkara tertentu, tidak juga orang tertentu, tidak juga kejadian tertentu, akan tetapi ia mencakupi semua generasi dan setiap ketika, negara dan kawasan."

"Kamu akan dapati kehebatan kata-kata berdasarkan kehebatan orang yang berkata, sebagaimana katanya, bahawa ia mahu menjadikan kata-katanya itu sebagai jalan kehidupan manusia dan cahaya yang menerangi kegelapan kehidupan)."


Jom semangat!

No comments: