Tuesday, August 25, 2009

Dekat...

Saya amat mengharapkan Allah menghiaskan iman yang ada di dalam hati saya di dalam Ramadhan ini dan seterusnya sebagai persediaan menghadapi bulan-bulan yang seterusnya.

Semalam Allah berikan saya dua hadiah Ramadhan yang amat bermakna. Saya ceritakan yang pertama dahulu.

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah Al Baqarah: 186)

Dalam ayat itu Allah berfirman bahawa Dia terlalu dekat. Saya merasai betapa dekatnya Dia dengan saya. Dia mendengar suara hati.

Ada sekali saya lihat seorang pesakit Cina meninggal dunia. Saya tidak merasakan apa-apa. Tiada juga perasaan empati pada si anak yang memberikan penghormatan terakhir pada ayahnya. Saya tidak merasakan apa-apa.

Pernah juga saya melihat satu keluarga India meratapi kematian ibu mereka. Paling teruk, saya tersenyum saat itu. Kenapa mereka perlu begini? Melihat hati yang terlalu lali dengan kematian, saya berbisik pada Allah.

“Ya Allah, saya tidak sepatutnya begini. Adakah hati saya sudah terlalu keras?”

Allah hadiahkan saya pengalaman semalam. Pagi itu ada seorang wanita muda disorong masuk ke Red Zone. Dia mengalami masalah sesak nafas. Dan doktor tidak melakukan active management kerana dia menghidap kanser. Tiada CPR, tiada apa-apa yang perlu dilakukan. Cuma dia dipakaikan alat untuk mengambil bacaan Sp02, tekanan darah, tiub di mulutnya, dan cardiac monitor di dadanya. Kemudiannya semua orang pergi. Semua orang tahu dia akan pergi jua akhirnya. Tinggal saya berseorangan bersamanya saat itu.

Degupan jantungnya beransur perlahan. Cardiac monitor juga menunjukkan bahawa degupan jantungnya semakin menurun. Allah kurniakan saya ilham saat itu untuk pergi dekat dengannya dan membacakan Lailahaillallah di telinganya. Prof pernah katakan bahawa seorang doktor amat memerlukan hikmah. Tidak cukup dengan ilmu tetapi juga hikmah supaya dia dapat melakukan hal yang betul di saat yang betul. Sejujurnya saya tidak pernah melihat orang naza’ dan itulah pengalaman saya yang pertama. Allah jualah yang mengurniakan ilham buat hambanya yang kerdil ini.

Apa yang terjadi? Meskipun wanita tersebut sudah tidak bergerak, pupil mata juga dah dilate tapi setiap kali bacaan Lailahaillallah itu dibacakan, degupan jantungnya akan bertambah, menjadi statik dan kemudian turun kembali. Hal itu berlaku beberapa kali. Seram sejuk saya dibuatnya. Air mata menitis tiada henti. Saya dapat merasakan wanita tersebut bergelut dengan sakaratulmaut. Saya juga merasakan bahawa malaikat maut terlalu hampir dengan saya. Saya tidak tahu explanation segala yang berlaku dari sudut medical. Doktor ada juga menyebut tentang PEA tapi entahlah, saya teruskan sahaja bacaan Lailahaillallah. Akhirnya degupan jantung turun menjadi 30 dan kemudiannya menjadi asystole (satu garisan lurus), menunjukkan bahawa dia sudah tiada.

Pengalaman tersebut adalah muhasabah buat saya. Menyedari hakikat kekurangan diri. Saya kemudiannya menolong menanggalkan segala peralatan yang ada pada tubuh pesakit. Saya cuba sedaya upaya menarik semua itu perlahan-lahan dan air mata terusan mengalir. Kemudian ibu pesakit masuk. Suara saya seperti tersangkut di halkum. Saya cuma mendengar cerita si ibu tanpa berbicara.

Pagi tersebut wanita tersebut mahu mandi, kemudian ternampak bayangan putih. Si ibu sempat membacakan Yassin . Itulah cerita dari si ibu. Usia 34 tahun terlalu muda untuk wanita tersebut pergi, tapi ajal tidak akan sesekali dilambatkan atau dicepatkan.

Setelah urusan saya selesai, saya meluru ke surau. Itulah solat Dhuha yang paling bermakna dalam hidup saya, mengharapkan rahmat dan keampunan Allah semata-mata.

Balik dari surau, saya meneruskan tugasan saya seperti biasa. Ada satu PC yang membuka bacaan AlQuran dan Allah memberikan saya sentakan yang kuat apabila bacaan Quran saat itu – kullu nafsin dzaiqatul maut – setiap yang bernyawa akan merasakan kematian. Takut, seram sejuk, bercampur baur perasaan saya. Saya terasa bahwa Allah sungguh dekat.

Semalam adalah Ramadhan yang amat bermakna di dalam hidup saya.

4 comments:

Mama Hazim said...

masya Allah. bestnye awak...

harap saya pun dapat rasa macam tu.
cemburunye..nak juga rasa dekat dgn Allah!!!!

doakan saya!

Ummu Afeera said...

hmm..sebenarnya hati saya dah keras kerana lali dengan kematian...saya minta kat Allah KD..janji Allah dalam kalamNya bahawa Dia terlalu dekat:)

DrChomelMama said...

maaf, hari tu mmg rasa sedih..maybe i can explain sini je.. sedih sebab ada kwan ni ckp dia dah penat mendengar nasihat2 dari saya. i dont know apa nak buat..i know i cant leave her alone. but tak tau cana nak explain that she feels comfortable dlm zon selesa..tak rasa kena ada perubahan..and dia ckp dia dah byk berubah so maybe its just me yg tak nampak..so right now saya rasa mcm demotivated je.

Aiman Amz said...

Terima kasih kerana berkongsi, sangat menyentuh jiwa.