Sunday, August 31, 2008

Benar...

Dia masih lagi mengingati kejadian yang berlaku beberapa malam yang lepas saat dia perlu oncall. Kawan perempuannya terpaksa pulang ke rumah kerana tidak sihat. Tinggallah dia bersama dengan dua kawan lelaki. Malam itu benar-benar mengujinya kerana dia tidak punya kenderaan untuk pulang ke rumah sedangkan dia perlu jua pulang memandangkan Dr. N, Ketua Jabatan Pediatrik merangkap pensyarahnya mahu dia membentangkan mengenai Leptospirosis semasa ward round keesokan harinya. Tiada akses internet di hospital untuk membolehkan dia mencari mengenai penyakit itu.

Dia turun ke lobi hospital untuk mencuba mencari teksi namun harapannya hampa. Dia naik semula. Dia terjumpa seorang perempuan India yang mengawal di luar wad pediatrik. Dia cuba berbual dan akhirnya bercerita mengenai masalahnya untuk pulang pada malam hari yang kian pekat itu. Perempuan India itu cuba membantunya dengan menelefon kawannya yang lain. Sementara menunggu respons dari kawan perempuan India tersebut, mereka berbual-bual.

Rupanya perempuan India tersebut beragama Kristian, bukannya Hindu. Katanya, Jesus telah membantu mendapatkannya kerja di hospital tersebut. Jesus begitu banyak membantunya dalam kehidupan ini. Dia juga pernah mengenali Islam. Penah solat dan mengaji. Namun dia tidak pernah percaya kepada Islam.

Perempuan India tersebut bertanyakan soalan padanya. Mengapa dia yang hanya sembahyang sedikit masih lagi baik? Dan mengapa orang Islam yang sembahyang lima kali sehari begitu jahat? Ujarnya lagi, orang Islam adalah pengganas seperti AlQaeda dan lainnya. Dia terpaksa menjawab soalan perempuan India tersebut. Dia menerangkan kepada perempuan India tersebut mengenai Islam.

Dia teringat kata-kata Yusuf Islam. Yusuf Islam memeluk Islam kerana AlQuran dan bukannya kerana akhlaq orang Islam yang kebanyakannya begitu jauh dari nilai Islam. Maududi pernah berpesan bahawa Syahadatul Haq bukan hanya di lidah tetapi perlu diamalkan dari sudut perbuatan juga.

Kemudian perempuan India tersebut menceritakan bantuan Jesus kepadanya. Seolah-olah begitu ajaib ceritanya. Dia pula tidak mampu fokus kepada perbualan tersebut kerana memikirkan cara untuk pulang. Hatinya berdoa moga-moga Allah membantunya.

Perempuan India tersebut berjaya mendapatkan teksi tapi harga yang ditawarkan oleh teksi tersebut sungguh tidak munasabah. Dia akhirnya akur untuk menelefon kawannya di rumah untuk mengambilnya.

Hatinya dirasuk godaan jahat. Ya Rabb, mengapa Kau tidak membantuku seperti Kau membantu perempuan India tersebut? Seakan-akan terdengar bisikan dari Allah. Duhai insan, perempuan India itu Tuhannya salah, namun keyakinannya benar-benar mantap. Sedangkan kau, Tuhanmu adalah Maha Benar melebihi segala kebenaran, namun keyakinanmu padaNya belum benar lagi.

Malam itu menyedarkan kembali hakikat bahawa keyakinannya pada Allah belum benar-benar mantap. Dia menangisi dirinya yang tewas mengharungi ujian yang terlalu kecil itu. Dia malu pada Ramadhan yang menjelma kerana dirinya belum bersedia. Namun rahmat Allah yang meluas di bulan ini menyuburkan kembali harapan buat dirinya untuk bertaubat dengan sesungguhnya. Semoga dia berjaya menjadi graduan dari Universiti Tarbiyyah ini.


Ya Allah kami mohon kecukupan agar kami tidak lagi terpaksa meminta jasa orang lain. Ya Allah berikanlah iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi mengharap orang lain selain dari Engkau sendiri. Ya Allah janganlah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walaupun kadar sekelip mata atau kadar yang lebih pendek dari itu. Ya Allah, perkenankanlah...

Alhamdulillah atas kurniaan kereta yang Kau berikan di bulan yang mulia ini..Terima kasih buat ayah dan ibu yang menemani perjuangan yang begitu panjang ini…

2 comments:

Azlin Halim said...

dah dapat kete?!..
hehe..afeera ingat ye..kalau nk pegi kolej ke mane2..jangan lupa ajak saya.. saya tak mahu Ramadhan ini saya terasa terbeban dengan dugaan yang satu itu..

Ummu Afeera said...

aah...alhamdulillah..tapi takut2 lagi nak bawak...

moga akak tabah..Allah pilih akak untuk melalui dugaan tu...