Thursday, April 11, 2019

Sahabat...

Beberapa tahun lepas, saya berdepan dengan kes kematian pesakit yang akan menghantui seumur hidup saya. Saya ingat kes tersebut dibincangkan dengan seseorang, dan jawapannya ketika tahu kes itu berakhir dengan kematian adalah, “Jangan sesekali sebut kes ini dibincangkan dengan aku”.  Entahlah, Tuhan masih menetapkan saya di jalan ini. Ada ramai sahabat saya yang meninggalkan dunia klinikal kerana pengalaman sebegitu. Dan mortaliti sesetengah kematian denggi atau ibu mengandung menghantui mereka sehingga mereka lebih rela meninggalkan pengalaman bertahun lamanya dan akhirnya berada di jabatan lain. Hatta, saya juga tidak tahu sehabis mana saya mampu bertahan. Tiada siapa yang menilai pesakit yang berjaya diselamatkan, tapi satu pesakit yang gagal itulah yang diperbesarkan. Sememangnya berada di mesyuarat morbiditi adalah sangat menggerunkan. Terasa andai begitu gerunnya mesyuarat dunia, entah bagaimana mesyuarat akhirat.

Dan Tuhan mengajar sesuatu. Saya melihat satu kes pesakit muda. Kes kemalangan dua minggu lalu, dimasukkan ke wad ortopedik kerana disyaki patah tulang leher. Semasa di dalam wad dia dimasukkan tiub kencing yang kemudiannya dicabut keluar. Dia datang semasa saya oncall.

Selepas keluar wad dia sakit ketika kencing. Semua simptom tanda jangkitan kencing ada. Dia datang dengan sepsis, jangkitan yang teruk. Tinggi darah putih. Renal punch sebetul-betul positif di sebelah kiri. Diagnosis saya adalah pyelonephritis / renal abscess ketika itu. Dan saya cuba yang sebaiknya merawat sepsis, dan membuat plan untuk ultrasound keesokan harinya.

Sahabat saya Nur Aida yang melihat kes tersebut keesokan harinya. Dan dia mendalami lebih dalam tentang mekanisma kemalangan. Rupanya high impact injury. Total loss kedua-dua kereta yang terlibat. Dan kami berbincang. Dia yang mengusulkan mungkin ada kecederaan dalaman. Tapi lactate tak berapa tinggi. Tiada dokumentasi free fluid dan lainnya. Kemalangan sudah 2 minggu.

Dari keputusan ultrasound yang dibuat, rupanya adalah high possibility of renal hematoma (pendarahan di buah pinggang) dan mungkin early abscess (nanah).

Dengan pengalaman saya yang tak berapa banyak, saya tak berfikir bahawa renal hematoma adalah salah satu differential. Tapi sahabat saya mengajarkan apa yang dipelajari dari jabatan urology. Kecederaan di buah pinggang kadang mengambil masa yang lama untuk termanifestasi. The effect is slow until the capsule of the renal stretched. 

Saat dia passover di whatsapp group, banyaklah persoalan yang timbul dari pakar dan consultant. Ada yang berunsur provokasi dan sebagainya. “Kenapa medical? CAP?” Dan sahabat saya ini sebolehnya tak mahu saya menggali kubur sendiri. Dia juga menjawab secara selektif soalan-soalan yang ditanya.

Ala-ala politik. Tak semua benda perlu dijawab. Lagi dijawab, lagi terbakar netizen. Lagi banyak provokasi. Begitulah dia menasihatkan. Saya pula tak mahu dia dilihat buruk. 

“Aku tak kisah nampak buruk di mata manusia. Ini dunia. Yang penting pesakit selamat. Yang penting Allah lihat. Ini dunia. Kita ini ada akhirat lagi. Dunia ini sementara, tempat ujian. Akhirat itu yang kekal”. 

Begitulah sahabat saya seorang ini mengajarkan. Saya tahu 6 bulan untuk kembali ke hospital X adalah hari yang sukar, tapi entahlah Tuhan mengirimkan dia untuk menguatkan saya.

Dialah yang sentiasa mengingatkan. You need to have differential. Berkali-kali dia ingatkan. Begitulah juga dengan kes ini. 

Teringat juga semasa usrah, sahabat saya seorang lagi, Nadzirah Basri berkongsi kisah. Kisah seorang ibu yang memiliki profesyen yang baik, namun berhenti kerja kerana menjaga anak autisme. Hari-harinya sukar kerana sikap orang-orang di sekeliling yang sering mempersoalkan keputusannya berhenti kerja. Dan motto hidupnya hanya satu. Seharian kehidupannya yang berlalu, apa jawapan yang telah dia persiapkan dan usahakan untuk Allah. Dia tak perlu menjawab pada sesiapa, cukuplah Allah mengetahui segala jawapannya.

Hari ini saya sangat terkesan dengan mereka-mereka ini, yang bersikap seperti manusia akhirat, melihat dunia ini dari jendela akhirat. 

Dan jujurnya antara nikmat yang besar yang Allah kurniakan untuk diri ini, di usia ini adalah sahabat yang baik. Moga Allah merahmati sahabat-sahabat saya ini. 

Teringat satu hadis. Ingat lagi pesan seorang syuyukh, wajib hafal dan dalami. Hadis tentang 7 golongan yang dinaungi Allah ketika tiada naungan selain naunganNya. Perlu berusaha sedaya upaya untuk termasuk dalam 7 golongan ini. Dan salah satunya adalah dua manusia yang bertemu dan berkasih sayang kerana Allah dan berpisah kerana Allah. 

Moga Tuhan menghimpunkan kami dalam naunganNya.