Friday, March 22, 2019

Liqa..

Baru ini pergi liqa’ mingguan. Ada seorang adik dari usrah lain yang hadir. Masih belajar. Melihat dirinya, terasa suci murni. Hati yang masih penuh ke’hamas’an. Ala-ala kita 10 tahun dahulu. Hati yang berkobar-kobar. Bak kata sahabat seliqa’, sungguh ‘Hamas’ zaman itu, pergi kelas pakai mafla Palestin. Andai tadabbur Quran, begitu mendalam. Mathurat tak tinggal. Lagu-lagu lagha tak dengar.

Di mana kita yang itu? Begitulah muhasabah diri yang panjang.

Tapi kehidupan kini adalah realiti. Punya keluarga sendiri. Ujian hidup yang bertalu-talu. Tanggungjawab-tanggungjawab yang perlu dilunasi. Menyambung pengajian, dengan harapan juga untuk ummat. Kehidupan kerjaya, dunia realiti yang kita depani sehari-hari. Dalam melalui hari-hari itu, moga hati-hati kita tak jauh, moga ke’hamas’an kita tak futur.

Lantas peristiwa yang berlaku di bumi Kiwi itu sangat mengesani kita. Tiada siapa yang mengingati si pembunuh, seperti tiada siapa mengenali pembunuh Assyahid Sheikh Ahmad Yassin, Assyahid Imam Hassan AlBanna, Assyahid Syed Qutb dan lainnya. Sejarah membuktikan, tiada siapa mengingati si pembunuh yang kejam! Yang ada adalah ingatan terhadap para syuhada’ yang gugur. Yang hatta dalam kehidupan ini, telah terbukti betapa hidupnya mereka, mewangi seantero dunia.

Siapa mereka? Siapa mereka yang telah Allah pilih dari serantau dunia. Yang pada logik akal kita, tak mungkin syahid di satu bumi yang asing. Sering kita gambarkan syahid itu di Palestina, Syria dan lainnya. Mustahil sungguh untuk beroleh syahid di bumi sebegitu. Namun Allah membuktikan. Dia memuliakan siapa yang dia kehendaki. Ada yang baru tiba di bumi asing itu dua minggu yang lalu. Satu takdir yang teliti disusun. Nama-nama syuhada yang akan dipilih dan akan dimuliakan sebegitu rupa.

Terngiang-ngiang ayat dari surah Waqiah, “Wa qalilumminal akhirin”. Mereka adalah golongan kecil di zaman ini yang dimuliakan Allah sedemikian rupa. Tidak ramai yang akan terpilih berada di dalam golongan tersebut di zaman ini. Terasa sentapnya hati.

Dan mereka adalah yang berbuat sebaiknya dalam kehidupan sehari-hari. Dari sekecil-kecil tanggungjawab yang dipikul, mereka melakukan semuanya dengan sebaiknya. Sebagai ayah, sebagai jurutera, sebagai isteri, sebagai doktor dan lainnya, yang pasti mereka mengesankan manusia-manusia yang pernah bertemu mereka. Diam, ketulusan dan keikhlasan mereka dinilai Allah.

Hatta keluarga yang mendapat syafaat syahid itu juga bukan sebarangan. Tiada dendam. Ketenangan yang luar biasa. Senyuman yang menggugah. Temuramah yang mengesankan hati jutaan manusia.

Sungguh peristiwa di bumi Kiwi itu menyentak jiwa-jiwa yang futur. Moga Rejab, Syaaban dan Ramadhan yang sedang dilalui menjadi madrasah mentarbiah diri yang terlupa. Moga peristiwa tersebut menyedarkan diri yang terlena, bahawa dunia ini fana hakikatnya. Bahawa kejayaan sebenar adalah khusnul khatimah.