Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya lulus MMED Part 2. Jujurnya peperiksaan clinical MMED Part 2 adalah sangat emosional bagi saya. Terasa gerun melaluinya. Berdepan dengan dua hingga tiga examiner bagi setiap stesen adalah saat-saat yang sangat mendebarkan. Bilik yang berhawa dingin tidak mengesankan. Berpeluh-peluh di bawah blazer yang dipakai.
Seusai sesi peperiksaan short case, saya merasakan saya gagal. Dan untuk berdepan dengan long case pula sangat menguji. Apalah gunanya lulus long case, andai terkandas short case. Untuk lulus, perlu lulus kedua-dua komponen.
Di situlah saya teruji. Saya mungkin lulus, namun saya gagal dalam berprasangka baik dengan Allah. Saya terlupa tiada satu pun di tangan saya. Saya terlupa bukan kuasa manusia yang mengizinkan saya lulus. Saat saya di stesen respiratori, saya berdepan dengan pemeriksa yang terlalu sukar. Saya terlupa takdir hidup saya bukan ditentukan oleh sesiapa tetapi Allah.
Jujurnya andai ada yang bertanya, saya tidak ingin melalui peperiksaan clinical sekali lagi. Cukuplah sekali. Terasa traumanya dengan peperiksaan. Walaupun saya lulus, saya bersimpati dengan sahabat-sahabat yang gagal.
Peperiksaan master bagi seorang doktor adalah sukar. Meninggalkan keluarga untuk sesetengah rotation adalah sukar. Berulang alik setiap minggu bila tiada oncall, memandu jauh ke kursus-kursus. Sepanjang master, hampir setahun saya berulang alik JB-Kuantan-KL. Ramai yang berkorban dalam fasa-fasa itu. Keluarga terutamanya.
Berdepan dengan kegagalan bagi seorang doktor adalah sukar, memandangkan bukan hanya kita bersendirian yang melaluinya. Akan ada ramai yang perlu berkorban juga di sebaliknya. Dua minggu sebelum peperiksaan, ayah saya dimasukkan ke wad. Saya cuma berkesempatan balik hari sahaja ketika itu. Sukar untuk menerangkan pada yang lain kehidupan seorang doktor, hanya yang melaluinya mungkin memahami.
Saya percaya setiap candidate peperiksaan punya cerita di sebaliknya. Ada yang dalam proses penceraian, ada yang baru kematian keluarga terdekat, ada yang sudah bermalam-malam tidak memiliki tidur yang nyenyak kerana anak sakit dan sebagainya. Moga Allah menuntuni kita.
Setelah peperiksaan, perasaan saya berkecamuk. Alhamdulillah Allah rezekikan saya mempunyai seorang adik lelaki yang baik, Zaid Aiman yang juga merupakan seorang HO di Hospital Tawau. Bicaranya memuhasabah saya. Ada ujian berat yang juga sedang saya depani ketika peperiksaan. Tak mampu rasanya diri saya menerima satu lagi ujian.
“Peritnya hidup ini Aiman. Sakit sangat kehidupan ini”.
“Itulah dunia. Tiada apa-apa. Macam lagu Raihan, diminum hanya menambah haus. Benda yang kita perit itu kan, Allah simpan bahagiannya di akhirat. Bila Allah tunjukkan syurga kat orang beriman, dia terlupa segala masalah yang pernah dilaluinya di dunia, seolah-olah dia tidak pernah diuji. Dan apabila Allah tunjukkan neraka kat orang kafir, mereka terlupa segala nikmat yang pernah mereka rasai di dunia.”
Adik saya berbicara lagi. “Kenapa buat master? Sebab dunia ke? Kalau sebab dunia memang sakitlah, sebab kita nilai dengan pandangan dunia. Apa yang orang fikir bila kita gagal. Neraca kita dunia. Tapi kalau kita buat kerana Allah, neraca kita adalah Allah, sebab Allah tengok usaha kita, kesakitan kita. Benda yang kita tak dapat kat sini, kita akan dapat di akhirat. Kalau pass peperiksaan ini, tak puas jugak kan. Nak lagi. Nak lagi. Itulah dunia.”
“Syukurlah. Hidup kita ini berapa ramai orang yang nak. Pesakit aku muda, chorioamnionitis, disseminated infection, multiorgan failure. Hidup kita ini ada banyak nikmat yang kita tak syukuri. Pasal itu Allah cakap lawannya syukur itu kufur”.
Allahu. Selepas saya lulus pun, nasihat adik saya ini bagai terngiang-ngiang di telinga. Malu yang amat pada Allah. Mungkin saya lulus, tapi gagal dalam peperiksaan tawakal saya pada Allah.
Moga Allah kurniakan kita tujuan yang crystal clear tentang matlamat kita dalam kehidupan ini.
Adik saya kirimkan lagu ini. Sungguh memuhasabah hakikat kehidupan ini.
Antara Dua Cinta
apa yang ada jarang disyukuri
apa yang tiada sering dirisaukan
nikmat yang dikecap baru kan terasa bila hilang
apa yang diburu timbul rasa jemu
bila sudah di dalam genggaman
dunia ibarat air laut
diminum hanya menambah haus
nafsu bagaikan fatamorgana
di padang pasir
panas yang membahang disangka air
dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
dilihat ada ditangkap hilang
Tuhan.. leraikanlah dunia
yang mendiam di dalam hatiku
kerana di situ tidak ku mampu
mengumpul dua cinta
hanya cintaMu ku harap tumbuh
dibajai bangkai dunia yang kubunuh