Wednesday, April 19, 2017

1%

Saya benci realiti di hospital. Kadang sikap superior saya membuatkan saya benci dengan kerjaya sendiri. Mereka terlupa dosa 1% mengaibkan junior mampu menghancurkan seluruh amal..

Saya menulis ini lama dahulu..terasa ingin berkongsi sekali lagi.

Bila saya dengar Sejarah Jemaah oleh Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom, ada satu poin yang saya hayati secara mendalam. Poin yang mungkin tak mengesankan yang lain tapi sangat mengesankan bagi saya.

Saat dia beritahu pada para isteri, "Sayangi suami paling maksimum pun 99%. Perlu tinggalkan 1% kerana mungkin yang 1% menjadi 100%. Sebab Allah yang memegang hati-hati."

Kenyataan umum tapi kenyataan penting yang praktikal dalam seluruh aspek kehidupan.

Kenyataan yang relevan dalam setiap hubungan kemanusiaan.

Kenyataan yang penting dalam perjalanan sejarah bagaimana berubahnya perjalanan kemanusiaan.

Ada yang kita sangkakan baik, kemudiaannya mengakhiri kehidupan dengan cara yang tidak diredhai.

Ada yang kita sangkakan biasa-biasa tapi mengakhiri kehidupan dengan khusnul khatimah.

Berkenaan taksub misalnya, kita tak boleh taksub sesuatu kerana mungkin hati kita berubah satu masa nanti.

Ada yang hidup dengan 99% kebaikan tapi mengakhiri kehidupan dengan 1% kejahatan. Dan 1% kejahatan tersebut menjadi 100% asbab untuk ke neraka.

Ada yang hidup dengan 99% kejahatan tapi mengakhiri kehidupan dengan 1% kebaikan dan rupanya 1% kebaikan itu adalah asbab ke syurga Allah.

Kita penat 99% di hospital. 99% penat bermatian menyelamatkan nyawa manusia. Serasanya syurga milik kita. Tapi 1% kezaliman pada junior adalah seakan 100% penilaiannya di sisi Allah yang menjadi asbab kita ke neraka.

Kita bencikan sesuatu 99%, seakan tidak terlihat hikmah Allah yang 1%. Rupanya 1% hikmah itu menjadi 100% kebaikan yang hanya kita fahami di akhirat kelak.

Saya tak dapat menghayati keseluruhan isi perkongsiaan tapi kata-kata Prof tersebut seakan memuhasabah beberapa perkara yang berlaku dalam kehidupan saya. Terima kasih Prof!