Alhamdulillah, kembara perjalanan sebagai house officer selama lebih dua tahun hampir ke muara penghujungnya. Lantas saya berkira-kira mahu menukilkan kembara perjalanan tarbawi rona kehidupan sebagai house officer. Ya, perjalanan gelap hitam sebuah kehidupan namun di dalamnya punya seribu satu hikmah ilahi.
Dan saya pasti perjalanan itu tidak akan menarik tanpa ujian yang bertali arus. Bagaimana untuk setia thabat di atas jalan dakwah yang panjang semasa housemanship? Bagaimana menghadapi dunia hitam gelap bagi seorang daie? Dunia yang telah membunuh begitu ramai daie. Bagaimana? Andai tanpa tarbiah, percayalah saya bukan di sini!
Ya, Dialah Allah yang mengurniakan saya keluarga yang sangat memahami, zauj yang dengan cintanya membuka seribu satu pintu kekuatan dalam diri yang penuh lemah ini.
Tidak dapat tidak Allah yang mengurniakan semua itu pada saya. Zauj adalah keajaiban Allah yang agung. Tanpa menyembunyikan segalanya, saya letakkan pada borang BM bahawa saya pernah melalui pembedahan ovarian cystectomy suatu ketika dahulu. Borang yang ditolak sebelum itu oleh beberapa calon. Dan zauj menerima kekurangan itu meski di sana mungkin sahaja saya tidak pernah mampu memberikan zuriat buatnya. Saya mengakui imannya. Rezeki Allah di mana-mana. Dan alhamdulillah kini saya hamil 2 bulan. Terima kasih abang! Terima kasih Allah di atas segala nikmatMu.
Perkahwinan, hamil dan semua ini saya lalui di dalam fasa housemanship. Kenapa lebih dua tahun housemanship? Saya berjaya melalui 5 posting sebelumnya tanpa extension. Namun di posting yang keenam, posting akhir saya melalui perlanjutan selama 3 bulan lagi kerana tidak pass viva akhir. Allah yang lebih mengetahui!
Andai tiada extension, bagaimana catatan tarbawi ini punya nilai di dalamnya? Ya, extension tersebut membuka lembaran catatan lagi untuk mereka yang akan mengharungi dunia ini. Penat yang berganda-ganda. Dari 8 pagi sehingga 3 petang. Dan kemudiannya menyambung syif dari 10 malam sehingga ke 3 petang keesokan harinya. Dan begitulah selang sehari kehidupan. 9-10 oncall dalam sebulan. Hamil lagi. Hampir 7 bulan saya melalui hari-hari yang gelap tersebut. Ya, hikmahnya banyak. Hanya Allah yang mengerti penatnya fizikal dan mental saya ketika itu.
Perkahwinan jarak jauh yang mengundang rindu juga ujian yang hebat bagi diri yang kerdil ini. Sudah 9 bulan kami melaluinya. Terima kasih abang sekali lagi kerana sudi berulang alik 3 jam pergi dan 3 jam balik untuk diri yang kerdil ini. Cinta dan kasih sayang manusia sekeliling juga menjadi salah satu faktor yang menguatkan diri ini.
Dan tanpa lupa, dunia tarbiah yang saya cintai juga menguatkan saya. Anak-anak yang lahir dari kantung didikan tarbiah saban waktu menguatkan dengan doa dan kesungguhan mereka di atas jalan ini. Murabbi murabbiah di atas jalan ini juga sering menitipkan kekuatan yang tiada taranya. Saya mahu menulis! Ya, saya mahu menulis semua hikmah itu agar ia mampu membantu jiwa-jiwa yang lain yang sedang bertarung dalam dunia gelap itu! Tidak saya nafikan ada seribu satu lagi cahaya yang hadir yang memancarkan nur dalam gelap kehidupan itu. Moga saya mampu menukilkannya..