Wednesday, December 30, 2009

Glucometer...

Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Surah Al Ahzab:23)

Ayat ini biasa kita dengar kan? Bagi mereka yang berada di dalam tarbiah, ayat ini sering diulang-ulang. Ayat ini begitu menggentarkan hati. Hebatnya mereka yang telah bertemu dengan Allah dan sering tertanya-tanya bagaimana pula dengan diri sendiri? Adakah telah layak menjadi orang yang akan dijemput oleh Allah?

Hebat sungguh para sahabat Rasulullah SAW bukan? Manisnya syurga buat mereka sehingga tidak mampu menghabiskan kurma. Mahu dibandingkan kita dengan mereka, terasa kerdil sekali. Hmm..pernah dengar tak sebab musabab penurunan ayat 23 Surah Al Ahzab tersebut?

Kisahnya adalah berkenaan dengan seorang sahabat yang bernama Anas bin Nadhir. Anas ini tidak sempat nak berjuang dalam perang Badar kerana saat itu dia dalam perjalanan. Dia tidak mendengar seruan jihad untuk ke medan Badar. Namun sebaik dia pulang dari perjalanan dan bertemu dengan sahabat-sahabat yang berjuang di dalam perang Badar, hatinya menjadi sebak. Terasa di hati kesedihan yang tiada taranya kerana tidak berpeluang pergi berjuang. Bagai mencucuk perasaannya mendengar perjuangan sahabat-sahabat yang lain. Tersiat-siat isi hatinya kerana tidak dapat berjuang. Lantas dia berkata pada Rasulullah SAW – Andai ada lagi peperangan, maka Allah akan melihat apa yang akan aku lakukan!

Kata-katanya diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a, “Bapa saudaraku Anas bin An-Nadr tidak bersama dalam Perang Badar lalu dia berkata, “Ya Rasulullah, aku tidak bersama ketika engkau kali pertama berperang menghadapi musyrikin. Jika aku dapat memerangi musyrikin, Allah akan memperlihatkan kamu apa yang akan aku lakukan”.

Lantas turun perintah jihad di dalam peperangan Uhud. Anas bin Nadhir seolah-olah tidak sabar-sabar nak pergi berjuang. Pada hari Perang Uhud dan tentera Islam menerima padah, dia berkata, “Ya Allah, aku memohon maaf kepadaMu terhadap apa yang mereka (tentera Islam) lakukan dan aku berlepas diri untukMu dari apa yang mereka (tentera Musyrikin) lakukan”. Dan kemudian dia mara ke medan juang.

Dia bertemu menghadap Saad bin Muaz (ketua Ansar) lalu berkata, “Ya Saad bin Muaz ! Syurga dan demi Tuhan, aku sedang mencium bau Syurga yang datang dari arah Bukit Uhud”.

Saad berkata, “Ya Rasulullah! Aku tidak mampu lakukan sepertimana yang dia dapat lakukan".

Kata Anas bin Malik, “Kami dapati padanya lebih dari 80 liang akibat pukulan pedang, tikaman tombak dan panah. Dia telah terbunuh dan dikelar-kelar oleh kaum Musyrikin. Tidak seorang pun yang dapat mengenalinya kecuali saudaranya melalui jari-jarinya”.

Dapat bayangkan tak? Pengalaman di klinik kesihatan saat ini cukup membuat diri ini memuhasabah akan kisah sahabat agung ini yang diceritakan oleh Ustaz UW semasa mukhayyam. Di klinik kena buat prosedur glucometer, di mana tangan pesakit dicucuk sedikit menggunakan jarum yang halus untuk mengambil darah bagi memeriksa kandungan gula, untuk ujian BSP (Blood Sugar Profile) atau MGTT (Maternal Glucose Tolerance Test) bagi ibu-ibu yang mengandung. Untuk ujian yang kecil ini pun, ada pesakit yang tidak tahan. Memang sakit sikit. Tapi cuba bayangkan Anas bin Nadhir. 80 tikaman, bukan dengan jarum yang halus tapi pedang yang tajam. Dan ujian glucometer hanya di jari dan bukan di setiap anggota badan, tapi Anas bin Nadhir ditikam di seluruh tubuhnya dan yang tinggal hanya jarinya. Allahu Akbar! Hebatnya sahabat yang agung ini.

Kadang kita tertinggal program, rasa gembira di hati. Tidak pernah bersedih. Tapi Anas bin Nadhir sedih yang amat bila tertinggal satu program. Bukan salah dia pun. Dia dalam perjalanan. Tapi hari ini, segala maklumat telah diberitahu. Email, sms dan macam-macam lagi tapi masih tidak datang program. Kadangkala tertanya-tanya, di mana sensitiviti diri sendiri? Malu kan dengan Anas bin Nadhir? Saya terasa yang amat saat mendengar kisah ini.

Kadang cita-cita yang ada begitu tinggi iaitu meraih syurga Allah yang hebat itu. Tapi perjuangan masih terlalu sedikit. Layak ke untuk bertemu dengan Allah dengan amalan yang cuma picisan? Duhai Anas, kisahmu benar-benar menyentak aku yang terlalu lemah ini…


Sirah...

Lama kelmarin kami berusrah. Hampir pukul 12 malam baru pulang. Antara topik yang dibincangkan adalah berkenaan dengan jodoh, perkahwinan dan tarbiyatul aulad (pendidikan anak-anak).

Teringat kata-kata Makcik A semasa mukhayyam – Jodoh memang satu ketentuan tapi jodoh juga satu pilihan. Antara perkara yang perlu menjadi agenda besar dalam soal perkahwinan adalah dakwah itu sendiri. Adakah pilihan kita mampu menjamin kelangsungan dakwah? Allahu A’lam. Saya tinggalkan dahulu topik ini.

Terlanjur berbicara mengenai Makcik A, saya teringat tema mukhayyam – Nahnu Duat Qabla Kulli Syaiin – Kami adalah duat sebelum segala sesuatu. Makcik A adalah seorang doktor pakar tapi saya tidak mengetahui hal itu pada beberapa pertemuan awal dengannya. Makcik lebih dikenali sebagai seorang daiyah. Melihat kepada anak binaannya, saya mengucap takbir. Masya Allah, sungguh mengkagumkan sekali kehebatan yang Allah berikan padanya.

Pengisian makcik benar-benar mengesankan. Makcik banyak menyelitkan kuiz sepanjang pengisian. Dan banyak sekali soalan-soalan yang diajukan tidak dapat saya menjawabnya. Kata makcik, dia mahu menjentik perasaan halus dalam diri para peserta bahawa masih banyak lagi ilmu tentang Islam yang tidak kita kuasai. Ayat Quran tidak dihafaz. Sahabat dan sirah tidak kita kenali. Huhu. Rasa malu sukar saya gambarkan.

Bicara makcik menyentuh hati. Kata makcik, ayat-ayat Quran mengenai perjuangan perlu kita hafaz agar ayat ini menjadi motivasi di saat kita kefuturan. Kisah-kisah sirah dan sahabat bukan hanya kisah dulu tapi perlu diterjemahkan dalam kehidupan kini.

Antara soalan-soalan kuiz yang makcik ajukan sepanjang pengisiannya:

Tuliskan satu ayat jihad.

Tuliskan satu hadis mengenai jihad.

Siapakah sahabat yang mana golongan kufar di Mekah mengatakan padanya – “Kau dahulunya tidak memiliki harta semasa kedatangan awalmu ke Mekah dan kini kau mempunyai harta. Kau tidak boleh berhijrah dengan harta ini ke Madinah”. Lantas sahabat ini meninggalkan seluruh hartanya di Mekah dan berhijrah. Siapakah sahabat ini?

Apakah doa Abdullah bin Jahsh sehingga Saad bin Abi Waqas mengatakan bahawa doa Abdullah adalah lebih baik dari doanya

Siapakah sahabat yang mengungkapkan kata-kata ini – “Berada pada suatu malam yang dingin membeku dalam suatu pertempuran, lebih aku sukai daripada tidur bersama seorang gadis di malam pengantin”?

Siapakah sahabat yang terlibat dalam perang Badar tapi menghantar secara sulit rahsia pembukaan Mekah kepada golongan Kufar di Mekah?

Huzaifah bin Yaman pernah disuruh oleh Rasulullah SAW untuk menjadi pengintip. Huzaifah melihat seorang musuh Islam dan saat itu beliau mampu membunuh musuh tersebut. Tapi kerana begitu patuh pada perintah Rasulullah SAW yang menyuruhnya hanya untuk menjadi pengintip dan bukan membunuh, dia akhirnya tidak jadi membunuh. Siapakah musuh yang ingin dibunuhnya?

Kambing milik siapakah yang mana air susu kambing ini dicampurkan dengan batu yang panas sehingga menjadi air susu yang suam dan menghilangkan dahaga Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar dalam peristiwa hijrah?

Itu antara soalan yang diajukan. Banyak lagi cuma saya tidak sempat menyalinnya. Kisah-kisah ini begitu memotivasikan sebenarnya. Indahnya hidup apabila melihat dan mengambil semangat mereka yang terlibat dalam perjuangan ini.

Saya ingin mencontohi makcik. Makcik menghafal setiap ayat Quran. Pengisiannya diselang-selikan dengan ayat Quran yang begitu menyentuh hati.

Makcik juga menjual buku-buku tarbiah. Makcik ada menceritakan mengenai seorang isteri Rasullullah SAW, Zainab bint Jahsy yang menyamak kulit binatang dan menjualnya dan segala hasil keuntungannya diinfaqkan demi dakwah. Terdetik juga keinginan untuk berniaga cuma masih belum pasti detik dan ketika yang terbaik.

Di saat makcik mempromosi buku-buku yang ada, saya jadi terpegun sebentar. Banyaknya buku yang makcik baca. Dakwah mengajar kita semua itu. Bukankah Islam juga memerlukan kita menjadi seperti itu demi kelangsungan dakwah?

Sungguh jalan ini menemukan saya dengan ramai murabbi dan murabbiah yang berjuang lillah dan fillah. Moga-moga Allah memberi kekuatan untuk saya pula agar terus thabat.

Monday, December 28, 2009

Pintu...

Bila saya menulis mengenai 8 cinta dalam entri sebelum ini, mungkin juga ada yang merasakan hal itu begitu mudah diatasi. Insya Allah hal itu mudah andai tidak memiliki, tapi sukar andai sudah memiliki.

Misalnya kereta. Suatu ketika dahulu, saya begitu menginginkan kereta agar urusan dakwah menjadi mudah. Namun apabila Allah mengurniakan saya kereta, datanglah ujian seterusnya iaitu menginfaqkan duit untuk mengisi minyak. Saat itu, hati diuji dengan sebenarnya. Kena kuat mengatakan dan mendidik hati bahawa jual beli ini adalah dengan Allah untuk membeli syurgaNya yang hebat itu. Terbayang andai sudah memiliki beribu-ribu ringgit satu masa nanti, adakah saat itu infaq menjadi mudah atau sukar?

Bila kita di kolej, hal dakwah tidak sukar. Tapi bila di rumah, di satu tempat yang sangat selesa, keluar untuk membuat kerja dakwah adalah sukar. Bila kita berjauhan dengan keluarga, dakwah begitu mudah. Tapi andai hidup bersama keluarga, keluar ke jalan dakwah dengan meninggalkan mereka menjadi begitu sukar.

Contoh lain lagi, mungkin ada yang rasa bahawa kahwin bukan satu masalah. Andai bertemu dengan pasangan yang juga memahami dakwah, hal itu akan menjadi mudah. Tapi tidak. Ramai pasangan yang bertemu di jalan dakwah ini juga gugur. Pernah saya mengajak seorang ukhti yang mana pasangannya juga adalah yang memahami dakwah ke satu program. Tapi ukhti ini mengatakan bahawa dia perlu memasak untuk suaminya. Tertanya-tanya juga di hati, adakah suaminya tidak mampu bertahan selama dua jam andai si isteri ke program. Tapi inilah realiti. Semua cinta ini akan menguji kita. Itulah sebabnya Kak A mengatakan bahawa andainya satu masa nanti kita telah berkahwin, percayalah bahawa suami tidak akan sekali-kali dapat menggantikan tempat akhawat.

Suatu masa nanti juga kita akan diuji dengan anak. Bayangkan wajah bayi yang mulus di dalam dakapan kita. Mampukah kita melepaskan bayi yang lahir, yang pernah berada sembilan bulan dalam rahim kita untuk hadir ke program tarbiah? Hati akan diuji dengan sebenarnya saat itu. Dan inilah yang dinamakan jalan dakwah. Jalan yang penuh dengan tapisan Allah. Menitis air mata saat berbicara mengenai jalan ini. Tidak tahu sampai bila diri ini bertahan. Hanya mampu mengharapkan rahmatNya untuk membantu hambaNya yang lemah ini untuk terus istiqamah.

Sebelum perasmian mukhayyam tempoh hari, program mukhayyam dimulakan dengan mentadabburi ayat-ayat Allah. Ayat-ayatnya ialah ayat 38-47 dari Surah Attaubah. Saya pernah mentadabbur ayat ini dulu. Sebahagiannya pernah saya tulis di sini dan sini. Tapi bila dalam keadaan hati kita yang begitu berat untuk hadir ke mukhayyam, ayat ini menggetarkan hati dengan sebenarnya. Mencurah-curah air mata. Hebatnya Quran yang akan menarbiah hati mengikut peristiwa, menggetarkan hati walau sudah berkali-kali dibaca. Terasa sangat Allah sedang berbicara dengan kita.

Aradhitum bil hayatiddunya? Adakah saya dah redha dengan kehidupan dunia ini? Adakah saya dah melekat dengan tanah sehingga begitu sukar untuk keluar ke medan?

Allah berbicara bahawa kehidupan dunia ini nak dibandingkan dengan kehidupan akhirat adalah terlalu sedikit.

Allah kata dia akan gantikan orang yang tidak ingin berjihad. Saya nak ke Allah gantikan saya dengan orang lain untuk terus berada di jalan dakwah? Adakah saya mahu diazab?

Allah ceritakan mengenai Rasulullah SAW dan Abu Bakar dalam jujusan ayat-ayat itu. Ya, Allah menolong Rasulullah SAW dan Abu Bakar ketika berada di gua, ketika tiada siapa menolong mereka. Kalau saya tidak tolong agama Allah, agama Allah tetap akan menang. Allah tidak perlukan saya, tapi saya amat memerlukan Allah.

Infiru khifafan wa thiqalan. Berangkatlah baik dalam keadaan merasa ringan atau berat. Tidak ada pilihan di jalan dakwah. Walau seberat mana pun hati, kena terus berangkat. Allah kata benda itu lebih baik bagi saya.

Dalam ayat 42, Allah berbicara mengenai jalan dakwah ini. Satu jalan yang sangat panjang. Tidak tahu bila nak menang. Allah tahu orang yang berdusta di jalan ini. Adakah saya orang yang dikatakan berdusta itu?

Di dalam ayat 44, Allah ungkapkan ciri-ciri mereka yang meminta izin untuk tidak berjihad. Mereka adalah orang yang tidak beriman kepada Allah, hari kemudian dan hati mereka ragu. Allah tegaskan lagi ayat itu dengan mengatakan bahawa mereka selalu bimbang dalam keraguan. Nauzubillah. Sayakah orang yang Allah sebutkan itu? Beratnya ayat ini.

Ayat yang ke 46 juga begitu menggegarkan hati. Jalan ini adalah jalan yang penuh tapisan. Andai Allah tidak menyukai keberangkatan seseorang, Allah akan melemahkannya. Nauzubillah. Dalam ayat 47, Allah kata orang-orang ini kalau pergi pun tidak akan menambahkan kekuatan, hanya membuat kekacauan. Saidina Abu Bakar r.a pernah berkata, janganlah Islam kalah dari pintu yang dia jaga. Adakah saya akan membiarkan Islam kalah dengan kelemahan saya. Nauzubillah.

Mencurah-curah air mata. Terasa kegerunan yang amat saat mentadabbur ayat-ayat Allah. Moga Allah menguatkan saya sehingga saya bertemuNya.

Sunday, December 27, 2009

8 cinta...

Saya bermukhayyam kharaji minggu ini. Mukhayyam kharaji ini bolehlah diterjemahkan sebagai perkhemahan yang banyak mengandungi aktiviti luar yang lasak. Mukhayyam merupakan satu dari wasilah tarbiah dan amat penting bagi seorang daie.

Sejujurnya program ini mengajar saya satu perkara yang paling besar. Semua yang pergi mesti pulang dengan hikmah yang berbeza dan saya juga pulang dengan jiwa yang berbeza. Allah mahu mengajar saya yang begitu lemah ini dengan satu perkara iaitu meletakkan cinta kepada Allah dan RasulNya melebihi pada cinta-cinta yang lain.

Saya pulang ke Johor selama seminggu untuk GP attachment. Dan kemudian pada hujung minggu ini pula keluarga merancang untuk pergi bercuti di Perak. Kerja yang ada begitu banyak. Report attachment lagi. Kerja presentation Isnin ini lagi. Banyak sangat kerja. Terbayang juga andai sudah pulang dari mukhayyam, mesti penat. Rumah sewa pula tidak ada mesin basuh, susah nak basuh baju yang kena lecak itu semua.

Allah uji hebat sangat hati saya sehingga hati begitu berat memilih untuk ke mukhayyam. Dengan hati yang penuh kotor juga, saya merasai adakah dakwah ini akan merampas segalanya dari saya? Di saat membaca mesej naqibah, saya rasakan hal itu begitu berat – “Makcik harap Afeera dan I pergi program ini”.

Saya luahkan pada Allah rasa berat ini. Kemudian saya membelek buku yang ada di depan mata. Allah jawab permasalahan ini secara terus untuk saya.

Katakanlah : "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah Attaubah:24)

Semua cinta yang ada di dalam hati saya ada Allah sebutkan dalam ayat ini. Saya begitu mencintai keluarga saya. Urusan-urusan akademik saya yang dapat ibaratkan seperti perniagaan juga begitu saya cintai. Apabila adik-adik saya merayu agar saya pergi bercuti juga, jujur saya tahu bahawa saya juga terlalu mencintai mereka. Rumah saya yang indah, tempat percutian yang menarik juga begitu saya cintai. Adakah salah semua cinta ini? Tidak, malah Allahlah yang menyuruh kita mencintai ibu bapa kita, saudara mara kita. Dan Dia jugalah yang menurunkan ayat mengenai wasiat dalam konteks harta.

Tapi ada satu gambaran lain yang Allah berikan dalam ayat ini buat saya. Seandainya sahaja lapan cinta yang Allah sebutkan di dalam ayat ini diletakkan di satu timbangan, dan di satu timbangan yang lain diletakkan Allah dan RasulNya, dan kemudiannya kedua-duanya ditimbang. Dan jika lapan cinta yang disebutkan itu lebih berat, walaupun hanya SERAMBUT atau SEATOM, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya buat saya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq. Nauzubillah. Siapakah orang fasiq yang Allah sebutkan di dalam ayat ini? Mereka yang mengutamakan lapan cinta tersebut berbanding cinta kepada Allah dan RasulNya. Nauzubillah. Habatnya ayat ini menggoncang hati saya yang lemah.

Saya pernah berdoa di saat saya bersemangat dalam dakwah. Ya Allah, seandainya satu masa nanti aku melupakanMu, maka Kau ingatkanlah aku kembali padaMu. Dan seandainya satu masa nanti aku cuba lari dari jalan dakwah ini, Kau tariklah aku. Usah Kau tinggalkan aku untuk sesaat. Allah jawab doa ini. Walaupun saya lemah, hina dan kotor, Dia masih memilih saya.

Jujur jalan dakwah ini telah menemukan saya dengan ramai yang gugur. Mereka semua adalah manusia yang begitu hebat suatu ketika dahulu. Ada ukhti yang mengorbankan seluruh duit simpanannya demi satu program dan hari ini saya sudah tidak mendengar lagi khabarnya. Kadangkala saya merasakan sejauh mana pula saya akan bertahan sedangkan insan yang kuat, yang menjadi idola saya juga gugur? Takut sangat tentang hal ini.

Moga Allah terus memelihara saya dan yang lain agar terus istiqamah di jalan ini. Insya Allah andai ada kelapangan, saya akan cuba menulis mutiara hikmah yang saya perolehi di dalam mukhayyam ini. Terlalu banyak hikmahnya dan semuanya mengajar saya satu perkara iaitu meletakkan Allah dan rasulNya melebihi dari segalanya.

Sunday, December 20, 2009

Kepimpinan...


Sekadar berkongsi analogi dari Ustaz H mengenai kepimpinan dunia ini.

Kenapa Allah berikan kepimpinan kepada musuh islam?

Dunia ini diibaratkan seperti sebuah hospital swasta. Bayangkan hospital ini saya punya. Saya invest 300 million. Selepas saya bina hospital ini , saya perlu mencari pekerja – MA, MO, specialist, tukang sapu, jaga, tukang dobi. Semuanya dengan kelulusan masing-masing. Walaupun saya tuan punya hospital, tiba-tiba anak saya minta nak kerja dengan saya. Kelulusan anak saya hanya PMR. Saya minta dia jadi tukang dobi. Meskipun saya tuan punya hospital tetapi saya tidak mahu merosakkan hospital ini.

Tapi kalau sebab dia anak saya, saya minta dia pakai labcoat dan pakai stetoskop, masuk bilik bedah dan menyuruhnya melakukan pembedahan dan saya minta anak yang lain pula menjadi pengarah hospital, maka hancurlah hospital. Orang yang ada degree, saya minta jadi jaga di hospital. Akhirnya rosak hancur lebur hospital tersebut.

Dunia ini milik Allah. Siapa menjadi pengarah dunia ini terpulang pada Allah. Dan Allah tidak mahu rosakkan dunia ini. Hari ini umat islam begitu teruk sehingga Allah tidak memberi kepimpinan itu kepada kita.

Setiap hari saya masuk hospital nak mesyuarat. Saya tengok anak saya jaga dobi. Saya abah, sedih tak bila saya tengok anak saya? Hospital adalah milik saya. Mesyuarat dalam bilik, semua orang tunduk kat saya. Saya tengok anak sulung saya jadi jaga. Saya cakap kat anak saya, gaji specialist RM10 000. Gaji jaga dan tukang dobi RM400 tapi kat rumah abah kasi RM20 000. Jangan marah, jangan sedih. Dia pun buatlah dobi, yang sulung jadi jaga.

Allah taala sayang kita. Allah taala kata kita ini semua kalau ucap lailahaillallah akan masuk syurga. Tapi kepimpinan dunia Allah tak beri kat kita. Rosak dunia ini kalau kat tangan kita.

Kita lihat Tunisia bila parti Nahdhah menang, yang mana ketuanya ialah Sheikh Rashid al-Ghannoushi. Saat itu pilihanraya hanya untuk tahu siapa yang kuat sahaja. Bila Sheikh Rashid al-Ghannoushi menang, dia dihukum bunuh. Tapi tak berjaya dihukum bunuh sebab 100 000 ribu orang dari ummah di Tunisia melawan. Akhirnya Sheikh Rashid al-Ghannoushi dibuang ke Britain . Kekallah presidennya Ben Ali yang tidak lulus UPSR dua kali yang kisahnya bermula sebagai driver pegawai tinggi. Dia kemudiannya berkahwin dengan anak pegawai tinggi tersebut. Pegawai tinggi tersebut tengok menantu dia yang bangang itu, takkanlah driver je. Hantar dia ke US , belajar kat sana , balik jadi timbalan menteri dalam negeri dan kemudian menjadi presiden hari ini. Dia mengikut segala telunjuk US . Sheikh Rashid al-Ghannoushi dituduh terrorist oleh akhbar Britain . Dia fight kat makhamah kat Britain dan menang. Akhbar kat Britain yang mengamalkan kebebasan bersuara pun akhirnya minta maaf. Maknanya ada this value kat negara Barat sehingga Allah beri kepimpinan kat dia. Tak beri kepimpinan kepada ummah yang menang AlHaq. Semua ini berlaku di Mesir, Turki dan negara Islam lainnya. Rasuah tidak payah cakap kat negara-negara Islam. Itu sebabnya Allah tidak bagi kepimpinan dunia kepada umat islam. Anak saya tidak cukup syarat, dia kerja dobi tapi di rumah, saya bagi RM20 000 sebulan.

Allah tidak bagi kepimpinan kepada umat Islam tetapi di akhirat nanti Allah bagi syurga.

Tapi adakah kita rela kita dobi sahaja? Alangkah indahnya kalau kita jadi pengarah hospital, specialist. Bila saya tengok anak saya, saya bagi kefahaman kat dia. “Kau kalau belajar betul-betul, ambil SPM, tak dapat biasiswa pun takpe, abah hantar belajar. Duit abah banyak. Belajar sahaja betul-betul”, pesan saya. Setiap kali saya pergi hospital, saya nampak anak saya mula membaca. Lepas gosok baju, dia membaca. Satu hari dia beritahu yang dia dapat tawaran belajar perubatan. Saya pun hantar dia belajar dan satu hari dia beritahu saya yang dia dah dapat sijil MBBS. Sebagai seorang ayah dan tuan punya hospital, saya tidak tunggu lama. Saya masukkan dia ke beberapa department untuk mencari pengalaman dan dalam jangka masa yang sekejap saya jadikan dia pengarah hospital.

Sekiranya umat Islam (tidak usah cerita luar, cerita tentang diri kita) mencukupi syarat untuk memegang kepimpinan dunia, Allah tidak tunggu sesaat pun.

Walikulli ommatin ajalun faitha jaa ajaluhum la yastakhiroona saAAatan wala yastaqdimoona (7:34)

Setiap umat ada ajal, apabila ajalnya sampai, Allah taala tidak tunggu sesaat pun atau mempercepatkannya. (7:34)

Boleh sahaja negara barat ini jatuh, tapi siapa yang akan memimpin ummah ini? Adakah kaki rasuah, kaki judi? Atau seorang yang bagus akhlaqnya, bagus fikrahnya?

Ini sebenarnya cita-cita kita. Cita-cita kita adalah untuk memperbaiki diri kita dan mencukupi syarat menjadi hamba Allah yang soleh. Apabila menjadi hamba Allah yang soleh, ada title soleh maka tunggulah janji Allah.

Walaqad katabna fee alzzaboori min baAAdi alththikri anna alarda yarithuha AAibadiya alssalihoona (21:105)

Kami telah menentukan di dalam Zabur, yang sebelumnya ditentukan di dalam Taurat, bumi ini akan kami berikan pengarahnya di kalangan orang-orang yang soleh. (21:105)

Pengarah bumi hanya orang-orang yang soleh sahaja. Peranan kita adalah mencukupi syarat untuk memegang kepimpinan dunia. Mungkin pelik kita berbicara tentang hal menguasai dunia. Hatta di lecture hall pun kita hanya berbicara sekitar kursus kita semata-mata. Rasulullah SAW mula di rumah AlArqam bin Abi Arqam, di celah Bukit Safa, tiada hidupan di sahara yang panas itu, tiada tamadun. Tapi di dalam rumah itu, dia berikan kefahaman tentang risalah yang agung ini. Bermula dari seorang, sepuluh orang kemudian beratus orang. Akhirnya setelah 30 tahun, orang Arab memerintah dunia.

Perubahan mesti dalam diri. Kita nak jadi apa? Apa matlamat hidup kita? Apa risalah yang kita nak bawa? Tidak sedihkah kita melihat ummah? Siapa yang mahu memimpin ummah ini? Akhirnya tugas kita adalah membaiki diri kita dan membawa risalah.

Inna Allaha la yughayyiru ma biqawmin hatta yughayyiroo ma bianfusihim (13:11)

Allah tidak ubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada di dalam diri mereka. (13:11)

Bayangkan tadi anak saya tukang dobi, tak belajar apa-apa tapi pakai labcoat dan stetoskop, adakah dia seorang doktor? Allah tidak mahu luaran, tapi Allah mahu dalaman.

Di antara wanita sekretari dan bidadari, mana yang lebih kuat dalam diri anda? Di antara rumah yang hebat dengan rumah di syurga, mana yang lebih kuat dalam diri anda? Bila ada usrah dan juga movie, mana satu yang lebih kuat dalam diri anda?

Allah nak tengok dalam. Bila dunia ini dah tiada dalam hati, fikir akhirat, maka saat itulah Allah akan berikan dunia buat kita. Allah tidak akan berikan dunia andai ada sekelumit dunia di dalam hati.

Jadilah orang yang bawa risalah, penuhilah syarat kemenangan.

Latihan...

Antara hikmah yang saya pelajari dari ustaz Tuan Ibrahim adalah kepentingan untuk memahami mad’u. Ustaz begitu memahami kehidupan nelayan kerana ustaz juga turun ke laut. Ustaz tahu ada ketikanya ikan terlalu banyak dan nelayan tidak solat. Ada sesetengah nelayan yang mengqadha’ kesemua solatnya setelah kembali ke rumah masing-masing. Namun ada juga yang tidak solat langsung.

Ustaz jelaskan satu persatu kepada masyarakat nelayan. Ustaz katakan bahawa tiada istilah qadha’ dalam solat. Saat itu, kepala saya berlegar-legar mengenai penyelesaian kepada masalah ini. Misalnya, semasa waktu solat maghrib, ikan terlalu banyak. Pukat diturunkan saat itu. Setelah beberapa ketika, pukat perlu dinaikkan kerana ikan akan mati. Dan seandainya ikan mati, pukat akan menjadi berat dan menaikkan pukat saat itu akan menyebabkan kerosakan sahaja. Bagaimana untuk solat saat itu? Apa yang perlu dilakukan?

Kadangkala apabila menjadi daie, kita sering menyebut masalah tapi jarang memikirkan mengenai solusi sesuatu masalah. Apa penyelesaian bagi masalah ini? Ustaz kata boleh jama’. Fiqh di lautan berbeza dengan fiqh di daratan.

Banyak lagi yang perlu saya pelajari mengenai Islam.

Ustaz ceritakan juga kisah mengenai seorang nelayan Muslim dan seorang nelayan kafir. Nelayan Muslim ini selalu berdoa, menjaga segala amalnya. Sedang nelayan yang kafir itu terus-terusan dalam kekufuran kepada Allah. Tapi tangkapan nelayan Muslim begitu sedikit manakala tangkapan nelayan yang kafir begitu banyak. Lantas malaikat bertanyakan Allah sebab musabab nelayan muslim ini dikecewakan. Allah katakan bahawa lihatlah segala apa yang telah Allah sediakan untuk nelayan Muslim itu di akhirat kelak dan usah melihat perihal di dunia sahaja.

Banyak yang saya pelajari dari kisah itu. Saya tidak pandai menulis tapi bicara ustaz dengan suara yang sebak saat itu benar-benar membuatkan saya terasa.

Suka juga berkongsi entri dari blog yang lain ini. Suatu entri yang menyentuh hati saya juga memandangkan bloggernya adalah seorang doktor yang berjuang melawan penyakitnya. Mengajar juga mengenai perjalanan takdir. Terkadang ada perkara yang sukar kita fahami tapi mengajar kita yakin bahawa segala rencanaNya adalah yang terbaik.

Sesungguhnya tawakal memerlukan latihan. Kisah Nabi Musa yang saya pelajari dari buku Hati Sebening Mata Air tulisan Amru Khalid menitiskan titisan hikmah di perdu hati yang paling dalam. Ya, tawakal tidak tercapai dengan mudah.

"Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu,..” (Thaha:69)

Ketika Nabi Musa melihat tongkat berubah menjadi ular, apa yang Nabi Musa lakukan?

"...berpalinglah ia melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu ia diseru): "Wahai Musa, datanglah kemari dan janganlah engkau takut. Sesungguhnya engkau dari orang-orang yang beroleh aman.” (AlQasas: 31)

Ini kejadian pertama kali.

Kedua kali ketika ia mulai melatih tawakal, dia menghadapi 30 000 penyihir yang menimbulkan rasa takut di dalam dirinya.

Mereka berkata: "Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan mencampakkan (lebih dahulu)?" (Al Aaraf:115)

Nabi Musa menjawab: "Bahkan kamulah campak dahulu". Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan, disebabkan sihir mereka. (Taha:66)

Lihat apa yang terjadi?

Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut sedikit dalam hatinya. (Taha:67)

Kali ini rasa takut hanya dalam diri Nabi Musa. Dia hanya takut, tidak sampai lari seperti pada peristiwa pertama.

Kini lihatlah di kali ketiga, ketika Nabi Musa sudah menjadi seorang mutawakkil, apa yang terjadi?

Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: "Sesungguhnya kita akan dapat ditawan". (Surah Assyuara: 61)

Firaun mengejar di belakang mereka. Ini ujian yang lebih berat dibanding dengan yang sebelumnya. Tetapi lihatlah apa yang dikatakan oleh Nabi Musa.

Nabi Musa menjawab: "Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan menunjuk jalan kepadaku". (Surah Assyuara’: 62)

Lihatlah bagaimana proses pembentukan tawakal pada diri Nabi Musa.

Moga tarbiah ini mampu mendidik saya menjadi yang lebih baik.

Saturday, December 19, 2009

Sampan...

Nama sebenar

Dulu semasa saya mula menulis blog, tidak banyak yang saya fikirkan. Saya menulis dengan nama sebenar sejak 2006. Saya tidak matang saat itu dan tidak pernah terfikir kesan menulis dengan nama sebenar. Apabila saya tahu bahawa pensyarah saya juga membaca blog ini, teringin sungguh untuk menyembunyikan diri.

Tapi Afeera tetap Afeera. Tidak berubah. Ada sekali saya membantu seorang doktor pakar di kliniknya. Tiba-tiba pesakit doktor tersebut mengatakan bahawa dia mengenali saya. Dia pernah ternampak saya di Hospital Serdang. Saya mula sedar bahawa saya tidak pernah mampu melarikan diri dari manusia. Dan saya mula berpesan pada diri, jadilah diri sendiri. Menulis dengan nama sebenar juga menjadikan saya lebih bertanggungjawab dengan tulisan sendiri.

Satu faktor saya masih tidak mendelete blog ini adalah kerana pembaca. Sukar mencari mad’u di zaman ini. Pembaca di sini adalah mad’u percuma buat saya. Tidak perlu mencari, mereka sendiri yang mencari di sini.

Sebab seterusnya adalah kerana saya bimbang andai saya mendelete blog ini, url blog ini akan digunakan sebagai laman iklan. Tidak berguna dan menjadi sia-sia. Kesimpulannya yang dapat saya ambil, hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya hatta mungkin hanya sedikit kebaikan sahaja yang mampu diberikan dengan menulis. Menulislah walau diri tidak pernah sempurna kerana tulisan yang terhasil adalah renungan buat diri sendiri.

Taksub

Semasa saya belajar usul 20, ada satu kaedah yang dibincangkan di dalam usul yang ke-6. Kenalilah kebenaran, nescaya anda akan mengenali orangnya. Dan janganlah mengenali kebenaran melalui orang.

Pengajarannya adalah baik untuk kita tidak taksub pada sesiapa. Taksub ini kerja hati. Kadangkala kita tidak lahirkan. Tapi hati kita selalu taksub tanpa sedar. Selalu rasa kalau sesuatu itu dari jemaah X, mesti betul. Kalau dari ustaz Y mesti betul. Kesesatan bermula dari hal ini. Pengikut Arqam dulu sesat kerana hal ini. Hatta ulama’ agung keluar dari Arqam pun, pengikut Arqam masih tidak sedar.

Moga Allah memelihara saya dari taksub ini secara lahiriah mahupun batiniah.

Ustaz Tuan Ibrahim

Antara ustaz yang ingin saya kenali ialah Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man. Dulu semasa kekalahan pembangkang yang teruk pada pilihanraya, guru fizik saya pernah bertanyakan pendapat saya. Menurutnya, dia amat mengenali barisan ulama’ dan kekalahan ulama’ benar-benar mengecewakannya. Dia juga ada menyebut nama Ustaz Tuan Ibrahim.

Sejak saat itu, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man adalah antara figur yang ingin saya kenali. Tidak sangka Allah memberi saya peluang untuk mendengar ceramahnya semasa di Kedah. Saya kira mereka yang berpeluang duduk di bawah kepimpinan ulama’ adalah sungguh bertuah. Suasana yang Islami itu amat sukar saya temui di bumi kelahiran saya sendiri.

Banyak yang ustaz tekankan. Bahasa dan olahan ustaz amat sesuai dengan masyarakat tempatan yang datang dari kalangan nelayan.

Statistik

Statistik yang disebut oleh ustaz benar-benar mengejutkan saya. Setiap tahun 300 000 anak luar nikah yang dilahirkan. Anak luar nikah yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan sahaja mencecah 100 000 setahun. Dapat bayangkan tak angka 300 000? Adakah zina adalah suatu yang begitu biasa?

Setiap 5 minit akan ada seorang penagih dadah yang baru. 6-7 orang membunuh diri setiap bulan di Malaysia dan orang Melayu menduduki tangga ke-2 selepas orang India. Sebab untuk membunuh diri adalah tidak logik. Di Jerantut misalnya, seorang isteri cuba membunuh diri kerana suami tidak membelikan set pinggan mangkuk. Masyarakat tidak sedar azab Allah bagi mereka yang membunuh diri. Orang yang membunuh diri tidak akan mencium bau syurga.

Keluarga

Menurut ustaz, pembinaan keluarga Muslim itu amatlah penting. Setiap anak yang bermasalah mempunyai keluarga yang juga bermasalah. Itulah sebabnya apabila seseorang itu mahu berkahwin, dia perlu melihat latar belakang keturunan pasangannya.

Ustaz ceritakan tentang Walid Al-Mughirah yang merupakan orang kanan Abu Jahal. Dia memiliki 10 orang anak lelaki dan dia berbangga dengan mereka. Kesemua anak lelakinya begitu hebat melawan Rasulullah SAW. Cucu cicit semua tidak masuk Islam. Keturunan yang ke-7 baru ada yang memeluk Islam. Nauzubillah.

Mudah-mudahan Allah mengurniakan kita zuriat yang terbaik.

Punca

Berbicara tentang statistik begitu mudah tapi kita perlu memikirkan puncanya. Ustaz memberikan contoh mengenai doktor. Apabila seorang pesakit demam, doktor bukan mengkaji demam. Doktor mencari punca demam tersebut. Mengenali dan merawat punca sesuatu masalah akan mengubati masalah tersebut.

Punca yang pertama adalah pengabaian institusi keluarga. Ustaz pernah bertemu dengan anak-anak remaja yang menangis kerana tidak solat. Bukan tidak mahu solat tapi ibu bapa tidak solat dan tidak mengajar anak-anak untuk solat.

Ustaz kata pembinaan asas keluarga bermula dengan pemilihan pasangan sendiri. Itu adalah asas yang pertama. Hendak bertemu dengan insan berlainan jantina begitu mudah. Namun ada satu persoalan yang ustaz bangkitkan. Pasangan kita hendaklah bukan setakat suami atau isteri, tapi mereka mampu untuk bergelar ayah atau ibu untuk anak-anak kita kelak. Kalau setakat suami, semua lelaki boleh. Kalau setakat menjadi isteri, semua perempuan boleh. Tapi bolehkah mereka menjadi ayah atau ibu yang baik?

Kelemahan seterusnya yang ada dalam rumah tangga adalah rumah tidak bergema dengan AlQuran. Ustaz kata ibu bapa buta benda lain takpe, tapi jangan sekali-kali buta Quran dan solat. Rumahtangga sekarang hebat muzik berbanding Quran. Solat juga tidak dijaga. Rasulullah SAW tidak pernah memukul anak-anak. Cuma dalam hal solat, ada penegasan, perlu dipukul dengan perlahan di kaki andai anak tidak mendirikan solat.

Faktor seterusnya yang menyumbang kepada masalah sosial yang kronik ialah pengaruh rakan sebaya. Anak kita terpaksa berdepan dengan cabaran yang dahsyat. Menurut ustaz, kawan yang baik bagi anak kita adalah apabila anak kita lupa kepada Allah, kawannya akan mengingatkan.

Ustaz juga memberitahu tips dari Imam Ghazali untuk membaiki diri. Pertamanya, cari guru yang mursyid. Hal ini begitu sukar kerana Imam Ghazali sendiri mengungkapkan bahawa di zamannya sendiri begitu sukar untuk menemui guru yang mursyid.

Keduanya, cari sahabat yang baik.

Ketiganya, bagi mereka yang tidak berhajat kepada guru dan sahabat, berazamlah untuk membuat kebaikan apabila mendengar kebaikan dan berazamlah untuk meninggalkan keburukan apabila mendengar mengenai keburukan.

Parenting skill

Ada juga sedikit sebanyak parenting skill yang saya belajar. Saya ingat kalau ayah marah anak, mak perlu pujuk. Tapi tidak. Menurut ustaz, kalau mak pujuk masa si ayah marah, hal itu tidak membina anak-anak menjadi lebih baik. Ada 3 tahap mendidik anak-anak.

Peringkat pertama adalah saat anak-anak berumur dari 1 hingga 7 tahun. Saat ini adalah saat untuk bermain dengan anak, berkenalan dengan anak sepuas-puasnya.

Peringkat kedua aadalah ketika anak-anak berusia 7 hingga 14 tahun. Saat ini anak-anak perlu diajar dengan adab. Adab dengan orang tua, adab dengan quran, adab keluar masuk tandas, adab makan dan adab lainnya.

Peringkat yang ketiga adalah ketika anak-anak berusia 14-21 tahun. Saat ini adalah saat yang begitu kritikal. Ustaz bawakan contoh mengenai sampan. Mengeluarkan sampan dari muara lebih sukar dari mengemudi sampan di laut kerana adakalanya alur begitu sempit. Begitulah dengan anak-anak. Andai masa yang kritikal ini dapat diatasi, insya Allah anak-anak akan dapat mengemudi bahtera kehidupan yang seterusnya dengan baik.

Insya Allah saya sambung tulisan ini di lain masa…

Thursday, December 17, 2009

Salam Maal Hijrah...

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Annisa':100)

Salam Maal Hijrah!

Moga artikel-artikel yang ditulis pada tahun-tahun yang lalu ini mampu memberi khair. Segala kebaikan dari Allah dan segala kelemahan adalah dari diri saya sendiri. Hakikatnya kedua-duanya adalah dari Allah.

Tuesday, December 15, 2009

Langit...

Saya nak sangat menyambung tulisan perjalanan di Kedah tapi minggu ini sibuk sangat. Esok dah mid-posting exam. Cuma nak berkongsi sesuatu. Tulisan ini ditulis dalam pukul 6.30 petang semasa di dalam kelas. Masa itu hujan dan kelas sudah benar-benar membosankan bagi saya sebabnya semua yang ada di slide dah ada di dalam CPG (Clinical Practice Guidelines). Saya dah mula rasa macam orang bacakan buku untuk buatkan saya tertidur. Afeera, kamu kena menghargai hasil kerja orang lain!

Saya rasa amat bagus untuk menulis masa itu. Paling kurang menulis membuatkan saya sedar dan tidak tertidur lagi.

Apa-apa sahaja!

Kudengar bunyi guruh
Dentumannya datang dari langit
Adakah langit membawa khabar?
Adakah guruh cuba menyedarkan?
Aku ingin mengetahui rahsia langit
Hatiku membuak untuk menyelongkarnya
Akhirnya aku sedar
Tidak mungkin manusia berdaya
Kerana diri hanyalah hamba

Rahsia langit tentu sukar difahami
Langit cuma mematuhi perintah RabbNya
Aku amati irama langit dan guruh
Apakah langit dan guruh bermuram durja?
Tidak tertahan menanggung segalanya?
Hakikatnya tidak
Keduanya berzikir
Memuja Tuhan
Menyedarkan manusia yang alpa

Wahai pencipta langit dan guruh
Kau mendengar segalanya
Kau memerhati segala yang di bumi
Dan yang ada di atas dan di bawah sana
Dengarlah hatiku
Kuatkan jiwaku
Pegangi rahsiaku
Ampunkan dosaku
Dekati aku seakrabnya
Kerana ternyata aku lemah tidak berdaya

Tahu tak ada surah dalam quran nama Arra'd yang membawa maksud guruh? Allah abadikan mengenai guruh di dalam kalamNya. Bunyi guruh yang menakutkan kita itu zikir.

Dia lah yang memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir), dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia yang menjadikan awan tebal yang berat (dengan air). Dan Dia lah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Padahal Ia Amat keras azab seksanya. (Surah Arra'd:12-13)

Tapi kita tak pernah memahami tasbih guruh kan?

"...Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun". (Quran 17:44)

Sunday, December 13, 2009

Pengalaman...

Ya Allah, ingin sekali rasanya aku menukilkan setiap sudut perjalanan hidupku ini agar setiap satu hikmah yang aku temui dalam hidupku ini mampu menjadi renungan buatku di saat badai menghampiri. Aku juga amat berharap agar setiap tulisan ini mampu aku wariskan pada generasi seterusnya. Sungguh kau memberikanku pengalaman yang tidak terkira manisnya. Dan setiap satunya mempunyai titisan hikmah yang terlalu manis.Bukan hanya kemanisan yang kau berikan, adakalanya kau berikan aku merasai sedikit kelemahan dalam perjalanan tarbiah, namun akhirnya Kau temukan juga aku dengan hikmah.

Perancanganku pada minggu ini sebenarnya adalah mahu menghadiri program Triple I di UIA, Kuantan. Tapi cantik sungguh Kau menyusunnya. Program itu ditunda dan aku akhirnya berpeluang bersama teman-teman yang lain menghadiri program Le Tour de Kedah. Sejak awal lagi Kau menyusunnya . Aku merancang, Kau merancang dan perancangan Mu adalah yang Maha Hebat.

Kau mengetahui rahsia hati. Kau mendengar bisikan hati bahawa aku ingin sekali merasai kemanisan bersama dengan Islam. Kegembiraanku yang paling besar tentang program ini adalah pergabungan jemaah Islam untuk menjayakan suatu program.

Bagi adik-adik yang pernah membaca buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam tulisan Fathi Yakan pastinya akan sedar tentang dua komponen besar di dalam buku tersebut. Pertamanya kepentingan menjadi seorang Muslim dalam seluruh aspek kehidupan. Keduanya setelah bergelar Muslim yang sejati, adik-adik perlu menggabungkan diri ke dalam sebuah jemaah Islam. Di bumi Malaysia ini, jemaah-jemaah Islam tumbuh bagai cendawan. Di sini akan timbul satu persoalan dalam diri adik-adik, jemaah mana yang perlu dipilih?

Izinkan akak sebagai seorang yang pernah terlibat dalam kekeliruan ini, berada dalam dilema untuk beberapa tahun berkongsi tips buat adik-adik pembaca. Maaf andai diri ini membahasakan diri sebagai akak. Mungkin akak sukar mengubah mentaliti senior-senior di jalan dakwah ini tapi akak percaya adik-adik mampu dilentur sedari awal dalam dunia tarbiah. Akak punya ibu bapa yang datang dari tarbiah lain, akak pula hanya sedar tentang Islam dan dakwah saat di matrikulasi. Setahun di matrikulasi adalah masa yang singkat untuk memahami semua ini. Akak ditarbiah dengan tarbiah yang lain di matrikulasi dan kemudiaannya ditarbiah dengan tarbiah yang lain pula semasa di kampus.

Sejujurnya tiada masalah andai adik mahu memilih jalan adik sendiri. Terpulang pada budi bicara dan minat masing-masing. Tapi satu perkara yang paling penting adalah adik-adiik sendiri perlu membuat kajian tentang sejarah kepelbagaian jemaah (taadud jemaah) ini. Dengarlah pelbagai versi taadud jemaah dan buat sendiri sedikit kajian.

Tips yang seterusnya dan yang paling penting yang perlu adik-adik setkan di dalam minda kepala adik-adik adalah mencari kebaikan dalam setiap jemaah. Adik perlu menjadi agen perubahan yang memikirkan soal kesatuan. Pernah adik-adik dengar kisah Assyahid Dr Abdullah Azzam? Adik-adik perlu mencari kisahnya yang mengobarkan semangat kita. Dia bersusah payah menyatukan mujahideen di Afghanistan yang berpecah-pecah kepada pelbagai gerakan dan jamaah. Di atas usaha beliaulah dan dengan izin Allah SWT, akhirnya mujahideen bersatu di atas satu payung, iaitu ISLAM. Natijah dari penyatuan itu adalah tersingkirnya tentera beruang merah soviet union di bumi gersang Afghanistan. Tidak teringinkah kita untuk melihat sejarah yang sama di bumi Malaysia ini? Tidak mahukah kita untuk bersatu?

Tips yang seterusnya adalah mencari titik persamaan di antara semua jemaah ini. Pernah seorang murabbi berbicara –“Kita dengan jamaah lain terlalu banyak persamaan. Tuhan yang sama, Rasul yang sama, Al-Quran dan Al-Hadis yang sama, kiblat yang sama, rukun iman dan islam yang sama dan terlalu banyak lagi persamaan yang lain. Perbezaan kita terlalu sedikit, hanyalah perbezaan kaedah penyampaian dakwah dan sistem tarbiyyah. Persamaan yang terlalu banyak, perbezaan yang terlalu sedikit, yang diperbesar-besarkan adalah perbezaan. Mengapa kita tidak berbincang di atas titik-titik persamaan yang begitu banyak tersebut?”

Sebagai seorang yang terlibat dengan taadud jemaah, akak sendiri pernah mencari hakikat perbezaan yang sedikit ini tapi kemudiaannya Allah menemukan akak dengan titik persamaan. Akak amat berharap adik membaca setiap catatan ini dengan minda yang terbuka.

Mengapa program Le Tour de Kedah (LTDK) sangat best buat akak? Program ini adalah program mesra rakyat Dun Tanjung Dawai dan merupakan anjuran bersama di antara Kolej Universiti Perubatan Islam Malaysia, Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dun Tanjung Dawai dan Pejabat Daerah Kuala Muda. Satu yang menarik tentang kerajaan Kedah, fokus mereka bukan parti tapi rakyat. Kalau tengok kebanyakan program atau pembangunan di bawah pemerintahan BN, maka akan ditulis di sana bahawa “Projek ini adalah projek kerajaan Barisan Nasional”. Tapi di Kedah ini tidak terjadi. Inilah yang sepatutnya terjadi. Bila kita dah menang, sepatutnya fokus kita adalah rakyat dan bukannya parti. Akak ingin berbicara tentang politik tapi akak tangguhkan dahulu hajat ini. Insya Allah catatan seterusnya akan menyusul setelah catatan ini.

Bagi setiap remaja, umur 14-21 tahun adalah umur yang kritikal. Adik-adik perlu mencari haluan sendiri, membentuk diri adik-adik sendiri. Tidak kisah andai perjalanannya panjang tapi sewaktu adik menemui jawapan kepada persoalan-persoalan kehidupan ini, adik akan menemui ketenangan yang luar biasa. Apabila adik disuap dengan Islam tanpa melalui proses pencarian, sukar bagi adik untuk terus memegang Islam itu. Pencarian akan membuatkan adik menghargai setiap titis ketenangan yang adik perolehi.

Bagaimana untuk mencari? Salah satunya adalah pengalaman dan pengalaman ini boleh dicari dengan permusafiran. Akak sendiri banyak bermusafir dengan menyertai program. Meskipun semua itu hanya di dalam Malaysia tapi cukup untuk membuka minda akak. Moga satu masa nanti Allah memberikan peluang untuk bermusafir ke luar negara pula. Antara negeri yang pernah akak kunjungi kerana program adalah – Johor, Melaka, Terengganu, Perak, Kedah, Sabah dan beberapa tempat lagi. Satu faktornya juga adalah untuk mencari bumi tempat di mana kita mampu terus memberi selepas bekerja kelak. Akak ingin mencari tempat yang sesuai yang dapat menjamin tarbiah dan dakwah akak. Permusafiran akan menemukan kita dengan ramai manusia dan kita mengutip hikmah dari setiap personaliti ini. Allah jualah yang menemukan kita dengan mereka agar semua itu menjadi satu tarbiah buat kita.

Dalam program kali ini akak berkenalan dengan YB Dr Hamdan, Adun Tanjung Dawai. Blog YB boleh dibaca di sini. Kelakar sangat pertemuan itu. Masa itu kami di table Sunathon, YB datang dan YB tanya, “Wah, apa yang putih itu?” Dengan keyakinan yang luar biasa, akak menjawab, “Yang putih itu smegma. Kita kena bersihkan bahagian itu.” Kawan-kawan yang lain dan MA yang ada sudah mula tergelak. Ops, rupanya YB adalah seorang doktor. Alhamdulillah kulit gelap, kalau tidak mesti dah merah sebab menahan malu.

Untuk menutup rasa malu, akak cuba teruskan perbualan. “YB dah lama ke jadi Adun?” Jawab YB, “Jadi Adun baru sahaja, jadi doktor dah lama”. Haiyya, malu sungguh.

Kata seorang teman yang menetap di Kedah, klinik YB sangat daif sehingga boleh menitiskan air mata mereka yang melihatnya. Semalam malam YB turut bercerita tentang kliniknya. Arkiteknya adalah nelayan. Penghadang yang ada juga daripada kayu. Dapat kamu bayangkan ada lagi doktor sebegini di zaman ini? Kata YB, doktor ini tiada persatuannya sendiri yang akan berjuang untuknya. Gaji hakim dan peguam ditentukan oleh badan kehakiman. Tapi gaji doktor ditentukan oleh JPA. YB kata semua orang ingat doktor kaya. Tapi tidak pada hakikatnya. Gaji doktor hanya melebihi gaji seorang guru beberapa ratus sahaja.

Kata YB, doktor seperti lilin. Membakar dirinya sendiri untuk memberikan cahaya pada yang lain. Kata YB, kalau Adun itu seorang doktor, bantuan yang diperolehi sedikit kerana stigma yang ada mengatakan bahawa doktor adalah kaya.

Ada juga saya bertanya pada YB, “YB bekerja bawah PAPISMA ke?” Kata YB, tidak. Dia bekerja dengan Yayasan AMAL. YB banyak ke tempat bencana dan peperangan. YB pernah sampai ke Iran, Acheh, Palestin dan lainnya. Cuma setelah bergelar Adun, YB tidak lagi berkesempatan untuk aktif.

Sebenarnya YB tidak pernah terfikir akan menang dalam pilihanraya. Sebelum menang, dua kali YB kalah. Tapi YB tidak kisah. Hari ini kalah, esok ke klinik seperti biasa. Pesakit tanya, "YB kalah?" Jawab YB, "Aah kalah" dan dia meneruskan kehidupannya sepeti biasa dengan memberi. Tapi siapa sangka Allah memberikan kemenangan setelah dua kekalahan. Dan kini YB berusaha memenuhi kemenangan demi Islam. Saya berpeluang mendengar bicara Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dalam program ini. Insya Allah, itu juga memerlukan catatan yang lain. Di akhir bicara ustaz, dengan suara yang sebak ustaz berkata, "Sebagai pemimpin, kita bukan nak fikirkan tantang jalan, lampu dan lainnya. Hal itu perlu juga. Tapi sebagai pemimpin, ada satu perkara yang terlalu kita takuti iaitu andai rakyat di bawah kepimpinan kita ditarik untuk dimasukkan ke dalam neraka". Masya Allah!

Perjalanan saya menemukan saya dengan pejuang-pejuang yang hebat. Pengalaman di dalam taadud jemaah juga menemukan saya dengan murabbi yang hebat. Mereka berjuang semata-mata demi Islam yang tercinta. Kerana semua ini, saya masih mencari titik persamaan dan mengabaikan sedikit perbezaan. Cita-cita saya yang paling tinggi adalah untuk melihat kesatuan jemaah Islam. Ingin sekali sebenarnya melihat figur-figur yang hebat dari latar belakang jemaah yang berbeza ini duduk sekali membincangkan hala tuju yang sama iaitu ISLAM.

Insya Allah, saya akan cuba menyambung tulisan ini. Doakan agar Allah mengurniakan kesempatan masa. Pagi ini pukul 4 baru sampai. Esok kelas sudah bermula seperti biasa. Tanggungjawab dakwah yang lain seperti usrah juga tidak boleh diabaikan. Moga Allah memberi keberkatan masa untuk terus menulis.

Monday, December 07, 2009

Memberi...

Terlalu banyak hikmah yang saya kutip selama dua hari program Sunathon semalam di Kampung Parit Lapis Bangas, Johor . Ia adalah pengalaman yang terlalu berharga bagi saya.

LA

3 tahun lebih saya menunggu. Saya takut nak berikan pesakit LA- local anesthesia (bius) kepada mana-mana kanak-kanak. Apatah lagi setelah pembedahan yang pernah saya lalui dulu. Saya takut nak sakitkan pesakit kerana terlalu memahami makna sakit. Tapi Dr A berikan saya peluang membuat LA. Dia memberi sepenuh kepercayaan. Terima kasih! Dan dia berikan saya peluang menggunakan quartery untuk memotong lapisan luar bahagian sulit yang perlu dibuang semasa proses berkhatan.

Dalam hidup ini, kita hanya memerlukan seseorang atau satu insiden sahaja untuk melangkah lebih jauh. Saya rasa terharu sangat sebabnya saya memang takut nak berikan LA sebelum ini. Tapi bila dah buat sekali, keyakinan itu bertambah. Dan saya berjaya juga memberi LA untuk pesakit seterusnya dengan izin Allah.

Sejujurnya saya teringin nak jadi seorang pensyarah satu masa nanti. Saya rasa hal itu akan berikan saya kepuasan. Saya nak jadi pensyarah yang baik sama seperti pensyarah-pensyarah saya.

Mathurat

Saya pernah hadiahkan pada keluarga angkat Mathurat sebelum ini. Tidak sangka ayah angkat saya benar-benar mengamalkannya. Ayah angkat saya banyak bertanyakan perihal Mathurat tersebut.

Bukan senang untuk terjun kepada dunia masyarakat. Saya sendiri berfikir banyak kali tentang dakwah. Bagaimana perjalanan saya ini dapat digunakan demi dakwah? Dan saya mula sedar bahawa masyarakat di luar sana begitu menginginkan dakwah cuma tidak ramai yang sudi memberi.

Erti hidup pada memberi

Ayah angkat saya ada bertanyakan soalan, “Kamu tidak penat ke? Hujung minggu datang sini dan esoknya sudah ke kelas seperti biasa?”

Agak-agaknya penat tak? Sejujurnya penat tapi saya terangkan pada ayah angkat bahawa semuanya kerana Islam. Islam yang membuatkan kami sentiasa berfikir bahawa hidup adalah untuk memberi.

Majalah Solusi bulan ini juga mengupas tentang topik ini. Saya beli majalah tersebut untuk dibaca semasa dalam perjalanan. Tapi saya hadiahkan juga majalah tersebut buat ayah angkat dan keluarga. Moga-moga mereka memahami.

Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain), (94:7)

Akhirat

Teringat kata-kata arwah Ammar – “Jiwa mereka yang hangat cintanya mencari akhirat. Laksana anak-anak akhirat, melihat dunia dari jendela akhirat”.

Saya rasa akhirat itulah yang membuatkan setiap dari kami bermotivasi. Mungkin ada banyak sebab musabab kenapa join sunathon. Tapi motivasi saya paling besar adalah akhirat.

Sebabnya kita hanya penat sehari tapi pahala itu adalah pahala yang berterusan. Apabila anak-anak kecil ini bersembahyang dan mengerjakan amalan Allah dalam keadaan yang bersih setelah berkhatan, insya Allah sahamnya ada juga buat kita. Itu yang memberikan saya motivasi terus menerus. Kata prof, ianya juga bertali arus untuk setiap generasi. Perhubungan lelaki perempuan dalam konteks suami isteri yang baik juga bermula dari amalan berkhatan.

Teringat juga bicara Syed Qutb – “Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat alam al-wujud ini adalah jauh lebih besar dari saiznya yang lahir yang dapat dilihat itu. Ia lebih besar dari segi hakikatnya dan dari segi bilangan aspek-aspeknya. Ia mencakup alam ghaib dan alam syahadah kedua-dua sekali bukannya alam syahadah sahaja. Ia merangkumi dunia dan Akhirat kedua-dua sekali bukannya dunia ini sahaja. Dan kewujudan manusia adalah bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh itu. Maut bukannya penghabisan perjalanan hidup manusia, malah ia merupakan suatu peringkat perjalanan di tengah jalan. Segala sesuatu yang dicapai oleh seseorang di dunia ini bukanlah merupakan seluruh habuannya, malah hanya merupakan sebahagian dari habuannya sahaja. Segala balasan yang terluput di dunia ini tidak akan terluput di Akhirat nanti. Di sana balasan tidak akan mengalami penganiayaan, pengurangan dan kesesiaan.

Sabar

Ya Allah, saya rasa menguruskan lebih 10 pesakit di table sendiri dengan beberapa orang yang lain sehingga tengahari begitu mudah. Tiada tekanan. Tapi ada seorang kanak-kanak yang mahu proses tersebut dijalankan tanpa ada orang lain di dalam balai raya yang begitu menguji kesabaran saya. Dialah kanak-kanak terakhir untuk hari itu.

Memujuk kanak-kanak tersebut memerlukan kesabaran yang amat. Kawan saya begitu sabar untuk terus memujuk. Di atas table juga, begitu sukar untuk memberi LA. Pegang sahaja kaki tanpa melakukan apa-apa, kanak-kanak tersebut sudah mula menjerit. Saya sudah tidak mahu memujuk. Sebolehnya saya mahu kanak-kanak tersebut melaluinya pada waktu yang lain. Banyak lagi yang perlu dilalui olehnya. Nak bersihkan smegma, nak potong dan buang bahagian lapisan atas, dan sebanyak 6 jahitan lagi. Kalau LA sendiri sukar dilakukan, bagaimana dengan lainnya? Tapi kawan saya terus memujuk. Ya Allah, serius dia seorang yang penyabar.

Kemudian datang seorang doktor muda. Dia menggunakan teknik potong menggunakan gunting. Proses tersebut begitu lama dan begitu banyak pendarahan. Ya Allah, saya nak sangat doktor itu dengan rendah hatinya meminta bantuan. Tapi tidak dan darah terus mengalir. Akhirnya panggil juga Prof di masjid.

Masya Allah, saya rasa kagum sangat melihat wajah Prof. Tenang sangat. Dia baru habis solat. Dan dia kata dia akan datang. Saya dah gelabah tapi Prof tenang sangat. Masya Allah!

Bila Prof datang, dengan tenangnya dia cuba berhentikan pendarahan. Akhirnya pendarahan berhenti. Tidak tahu nak cakap macam mana. I really admire him so much. I really want that skills and knowledge so that I can contribute to ummah. Saya nakkan sangat ketenangan yang dia ada. Saya begitu cemburukan dia. Dua manusia yang boleh dicemburui, orang yang ada ilmu dan diajarkan pada yang lain dan keduanya orang yang ada harta dan dia gunakan pada jalan Allah.

Macam nak nangis pun ada dengan tarbiah Allah, melihat murabbi-murabbi agung sepanjang perjalanan ini. Banyak lagi yang perlu saya lalui dalam tarbiah ini. Ya Allah, kurniakan aku kesabaran!

Dakwah umum dan dakwah khusus

Sejujurnya saya tahu peranan dakwah khusus seperti usrah dan wadah tarbiah yang lain. Tapi belajar di kolej ini juga mengajar saya kepentingan dakwah umum, kepentingan untuk bersama dengan masyarakat. Masyarakat kat luar sana begitu mendambakan sentuhan kita. Dan benarlah bahawa title ‘doktor’ yang akan kita perolehi kelak mempunyai seribu satu peranan buat ummah. Title tersebut benar-benar berperanan dalam menjayakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah. Saya mula mencintai bidang ini.

Sepanjang dari tahun pertama sehingga kini, banyak program sunathon yang saya hadiri. Namun setiap satunya mengajar saya hikmah yang berlainan. Tidak pernah program seperti ini hanya menjadi rutin buat saya. Setiap saat saya menggali hikmah dan jujur harga setiap hikmah itu tidak mampu dibeli oleh apa-apa di dunia ini. Terima kasih Allah kerana mengajar aku semua ini.

Third party

Dalam posting family medicine, saya belajar satu perkara. Pesakit tidak suka kalau kita menggunakan pengalaman sendiri sebagai contoh. Mereka rasa menyampah. Amat baik untuk menggunakan third party sebagai contoh. Misalnya, Dr Mahathir makan vitamin.

Saya tidak tahu berapa ramai yang menyampah dengan blog ini sebab asyik menggunakan pengalaman sendiri. Tapi sejujurnya saya tidak menulis untuk orang lain di sini. Hanya menulis sebagai muhasabah untuk diri sendiri terlebih dulu pastinya.

Friday, December 04, 2009

Observant...

Saya gembira di dalam posting Family Medicine ini. Kadang saya rasa posting ini agak childish sebabnya dalam log book ada bahagian Assigned Individual Reading dan Study Plan. Takkanlah bab yang kena baca pun kena tulis dalam log book? Takkanlah proses pembelajaran pun nak tulis dalam log book? Tadika dulu pun tidak macam itu.

Tapi banyak skill yang saya pelajari dalam posting ini. Malah saya dah jatuh cinta dengan bidang perubatan di dalam posting ini. Dulu saya suka bidang ini tapi sekarang saya belajar mencintai bidang ini. Sebabnya saya belajar tentang manusia.

Ada sekali itu masa percepting session, saya kena consult pesakit sambil diperhatikan oleh pensyarah saya dan kawan-kawan yang lain. Semua symptom yang saya tanya, semuanya pesakit ini ada. Huhu, kepala saya sudah mula memikirkan bermacam-macam jenis penyakit. Bila periksa, semuanya normal. Pensyarah saya pun tanya kat pesakit ini, kenapa tidak pergi klinik panel? Dia kata sebab kena bayar mahal. Nak dipendekkan cerita, pesakit ini datang semata-mata nak MC. Saya tidak dapat pun identify hidden agenda pesakit ini.

Lepas itu kena juga pelajari cara dan teknik menolak memberikan MC. Kalau dalam rekod perubatan menunjukkan pesakit dah banyak kali ambil MC, mestilah sebagai doktor kita fikir pesakit itu datang lagi sebab nak MC, kan? Tapi tidak sepatutnya seorang doktor buat pre-mature judgement macam itu. Entah-entah pesakit ada masalah psikiatri. Kena pula fikirkan satu lagi perkara, apa pula maksud kesihatan? Adakah sihat tubuh badan semata-mata? Kalau ikut definisi WHO - Health is a state of complete physical, mental and social well-being and not merely the absence of disease or infirmity.

Sebagai doktor, kenalah pula tengok ketiga-tiga komponen itu. MC bukan hanya diberikan bila pesakit ada masalah dari sudut lahiriah sahaja, tapi juga seandainya pesakit punya masalah dalaman yang lain.

Untuk orang lain, macam remeh temeh sahaja bab MC ini. Tapi nak jadi doktor, nak dapat semua skill itu punyalah susah. Ada doktor sampai kena cakap cam gini, “Saya kalau kasi awak MC ini tanpa sebab yang jelas, saya berdosa. Apa saya nak cakap depan Allah?”

Banyak lagi skill yang saya kena pelajari. Ada seorang pesakit yang saya temui di Terendak pernah mimpi jumpa Rasulullah SAW dan Saidina Hamzah. Serius saya tahan ketawa masa ambil maklumat pesakit ini. Dia kata dia dapat stroke dan dia berjalan dengan gaya pesakit stroke. Huhu, saya ingatkan dia ada masalah di bahagian otak. CT scan dia semuanya normal. Pensyarah saya suruh saya melihat gaya dia berjalan. Saya tidak faham apa-apa masa itu. Rupanya ada gaya jalan spesifik pesakit stroke dan gaya jalan pesakit ini sama sekali tidak serupa. Sebab itu dalam bidang perubatan ini ada satu kata-kata yang popular – What brain doesn’t know, the eyes cannot see. Huhu, banyaknya lagi ilmu yang saya kena belajar. Lagi bertambah ilmu, rasa lagi kerdil sebab banyak lagi ilmu Allah yang saya tidak tahu.

Ada penyarah saya yang tengok kuku pesakit pun boleh tahu bila pesakit itu kahwin. Tanda inai yang beransur hilang dapat memberitahu hal itu. Sebabnya pertumbuhan kuku itu pun ada kadar ukurannya. Menarik kan?

Tadi belajar pasal Shaken Baby Syndrome. Tak boleh goncang bayi. Tidak boleh macam baling-baling bayi sebab nak main-main dengan dia. Tidak boleh enjut bayi dalam buaian. Saya suka belajar benda-benda macam ini. Rasa best. Rasa macam seronok bila bertambah ilmu tentang manusia. Ada sesetengah bayi tidak merangkak, terus berjalan. Ibu bapa ingatkan benda itu adalah baik. Diorang fikir mungkin bayi itu cerdik. Hakikatnya benda itu salah. Setiap bayi akan belajar banyak benda semasa proses merangkak itu sendiri. Ramai orang tidak tahu kan?

Contoh lain lagi, orang selalu rasa madu itu benda baik. Ya, memang baik. Tapi tidak boleh bagi madu kat kanak-kanak di bawah umur setahun sebab madu boleh menyebabkan bayi mati andai dia mendapat penyakit Infant Botulism. Boleh membaca lanjut di sini.

Contoh lain lagi, ada satu kes di klinik yang mana si ayah cuba menyedut hingus bayinya dengan mulut. Dia juga cuba keluarkan kahak dari mulut bayi itu dengan menggunakan tangannya. Hakikatnya benda itu salah sebab bayi sangatlah mulus. Struktur dalaman bayi sangat halus dan mudah cedera. Tindakan si ayah boleh sahaja menyebabkan kecederaan yang teruk pada bayi. Ramai ibu bapa yang tidak tahu hal-hal ini.

Kawan non muslim saya cadangkan agar semua orang yang teringin nak kahwin, kena belajar terlebih dahulu tentang dunia kanak-kanak. Sesetengah orang rasa parenting skill boleh diperolehi once bila dapat anak. Hakikatnya itu juga adalah satu kesilapan. Even teknik menyusukan anak pun kena belajar. Huhu…

Banyak lagi ilmu Allah yang kena gali. Pensyarah saya selalu menyuruh kami jadi observant sebab banyak sangat sign/tanda pada manusia yang boleh memberitahu seribu satu cerita. Dan benda ini amatlah praktikal bagi mereka yang bergelar daie yang mana topic sehariannya adalah manusia.
Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)? (Surah Adzzariyat:21)

Thursday, December 03, 2009

Penyair..

Saya sedih andai ada yang tertunggu-tunggu entri baru memandangkan masa yang saya ada kian kurang untuk menulis. Saya galakkan pembaca menggunakan Google Reader, senang untuk mengetahui entri terbaru blog-blog favourite. Saya andaikan Google Reader ini seperti satu blog yang menghimpunkan semua blog-blog favourite. Tidaklah masa terbuang untuk ke setiap satu laman kegemaran semata-mata untuk melihat kewujudan entri baru.

Hakikatnya saya perlu bersemangat untuk menulis. Tadi baru membaca perkongsian seorang akak.

سَتَبْلىَ اليَدُ مِنِّي فِي التُّرَاب # َويَبْقَى الخَطّ بَعْدِي فِي اْلكِتَاب

فَيَالَيْتَ اَّلذِي َيقْرَأ حُطُوطِي # دَعَالِي النَجَاة مِنَ اْلعَذَاب

Tanganku akan hancur di dalam tanah
Yang tinggal hanya tulisanku di dalam buku
Moga sesiapa yang membaca tulisanku
Doakanlah keselamatanku dari Azab (api neraka).

Betulkan kata-kata itu? Tangan ini akan hancur. Kita dan seluruh jasad kita akan hancur. Yang tinggal hanyalah amalan.

Tidak semua faham tujuan kita menulis. Hakikatnya kita tidak sebaik mana pun. Cuma kita ingin berbuat sesuatu, tidak menambah beban di muka bumi Allah. Yang paling penting, kita nak sangat jadi logam yang berharga untuk Islam. Kalau tidak jadi orator untuk Islam, jadilah penulis Islam. Kalau tahu memandu, pandulah kereta ke tempat dakwah. Kalau tahu memasak, memasaklah untuk dakwah. Hakikatnya, Allah mesti beri kita satu kelebihan. Terpulang pada kita sama ada kita nak explore kelebihan itu atau tidak.

Ayat-ayat Allah ini sering menjadi refleksi saya saat mahu menulis:

Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat - tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya? Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali. (Surah Assyuara': 224-227)

Takutnya andai saya menulis dengan ciri-ciri penyair yang sesat. Ya Rabb, izinkan aku menulis dengan ihsan, merasai kehadiranMu dalam setiap titis pena yang aku ungkapkan. Ya Rabb, izinkan manusia-manusia yang membaca setiap titis pena yang aku nukilkan menyedari bahawa setiap kebaikan hanyalah dariMu dan setiap keburukan adalah dari kelemahanku semata-mata dan hakikatnya kedua-duanya adalah dariMu.

Alasan...

Seronok ke dengan kesibukan? Saya rasa saya perlu bersyukur sangat atas nikmat sibuk yang Allah kurniakan. Ramai manusia yang tidak tahu apa yang perlu mereka lakukan dan alangkah beruntungnya saya kerana Allah tidak menjadikan masa saya sia-sia. Tapi saya tidak pasti sejauh mana orang sekeliling saya dapat memahami kesibukan saya.

Saya kira artikel Ustaz Hasrizal amatlah baik untuk dihayati – Di dalam dunia yang serba TIDAK PATUT ini.

Artikel itu saya kira bukan hanya untuk pasangan suami isteri doktor atau salah seorang pasangan adalah doktor. Artikel ini amat baik hatta untuk ibu bapa dan semua yang menginginkan adanya seorang doktor dalam keluarga mereka.

Saya rasa kehidupan seorang doktor tidak pernah mudah hatta sejak hari pertama mereka melangkah kaki untuk bergelar pelajar perubatan. Maka amatlah perlu untuk setiap manusia yang berada di sekeliling mereka memahami mereka.

Saya pernah bertemu dengan seorang ibu yang menginginkan anak lelakinya berkahwin dengan guru dan bukan seorang doktor. Semua orang amat tidak terbuka saya kira untuk menerima kehidupan seorang doktor. Tapi tidak ke mereka mementingkan diri? Entahlah, manusia punya pilihan masing-masing.

Pada saya, dunia hanya sebentar cuma. Beruntunglah mereka yang sedia berkorban untuk dunia yang fana’ ini. Berbahagialah mereka yang memikirkan kehidupan di alam sana yang abadi. Tidak mahu ke mereka syurga yang tertinggi? Tidak mahukah mereka syurga yang tidak pernah terdengar oleh telinga, tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah terlintas di hati? Tidak mahukah mereka berbulan madu di syurga Allah yang hebat itu, di saat ada sungai-sungai madu, susu dan arak yang mengalir di tepi mereka? Tidak ada sakit kepala, tidak ada lagi cemburu.

Bila ye syurga akan jadi magical word untuk kita sehingga kita boleh berkorban segala-galanya?

Semakin lama saya hidup di dalam tarbiah, saya bahagia. Tarbiah yang juga mengajar saya bahawa kerjaya doktor itu hanyalah sub-kerja saya yang lebih besar iaitu menjadi khalifah Allah.

Pensyarah-pensyarah saya juga adalah role model yang baik. Mereka hadir usrah, mereka buat dakwah umum dan khusus, punya keluarga yang bahagia. Saya ingat lagi kata prof – “Dulu-dulu orang ingatkan doktor sibuk dan tidak boleh datang usrah, tapi kita kena buktikan benda itu salah”. Doktor boleh! Dan kalau doktor boleh buat semua itu setelah oncall, setelah bermatian di hospital, mengapa yang lain tidak boleh? Saya rasa kita tidak punya alasan. Dan kalau kita masih punya alasan, fikir-fikirkan sahaja sama ada alasan itu boleh diterima oleh Allah ataupun tidak. Berikan alasan yang boleh diterima oleh Allah!

Perjalanan ini bukan pelancongan
Jangan cuba ditakrif penat
Lupakan saja erti rehat
Kerana matlamat kita masih maya
mungkin telah terbayang di mata
namun di tangan digenggam tidak

Friday, November 27, 2009

Haus...

Cuba bayangkan kamu ini adalah newly married couple. Bulan madu yang masih hangat. Dan Allah kurniakan seorang cahaya mata untuk menambahkan lagi kebahagian yang ada. Bayangkan moodnya saat itu. Bayangkan perasaan si isteri. Bayangkan perasaan suami yang begitu menghargai isterinya kerana telah menyerikan kehidupan mereka dengan kehadiran seorang cahaya mata.

Apa agaknya yang akan seorang suami lakukan dalam mood yang begitu membahagiakan itu?

“Wahai isteriku, ayuh kita pergi berbahagia di suatu tempat percutian untuk meraikan kebahagian ini”. Pastinya ramai suami yang akan begini.

Begitulah seakan-akan moodnya dalam kehidupan sepasang suami, Nabi Ibrahim dan Siti Hajar. Tapi bukan itu yang terjadi. Allah memerintahkan Nabi Ibrahim untuk membawa isterinya, Hajar dan anaknya Ismail ke Mekah. Lalu bergegaslah ketiga beranak itu ke sana. Hajar mengikut tanpa soalan. Pastinya segala perkara yang dilakukan oleh suaminya adalah yang terbaik.

Bayangkan seketika perjalanan itu. Siang dan malam di padang pasir. Debu-debu halus, batu bata yang kasar. Setelah berhari-hari perjalanan, mereka tiba di Mekah.

Tiba-tiba Nabi Ibrahim berbicara, “Aku akan meninggalkan kau dan Ismail di sini”.

Bayangkan suasana itu. Tidak kelihatan langsung sumber makanan. Bayangkan ketakutan hati seorang wanita di padang pasir itu. Bagaimana dia akan menghadapi malam-malam hari dengan anaknya? Binatang buas?

Nabi Ibrahim tidak berpaling lagi dan meneruskan kembali perjalanannya ke Palestin kerana tahu itu adalah perintah Allah. Tapi Siti Hajar masih belum mengetahuinya. Tapi bayangkan juga perasaan seorang ayah yang akan meninggalkan bayi ciliknya yang paling disayanginya. Bayangkan perasaan seorang suami yang begitu mencintai isterinya. Tapi dia tidak berpaling lagi. Tidak ada rasa berbelah bahagi dalam mematuhi perintah Allah. Masya Allah!

Lantas Si Hajar mengikut jejak suami. Mengapa wahai Ibrahim kau mahu meninggalkanku? Mengapa? Mengapa? Berlinangan air mata tumpah meminta suami berhenti. Bayangkan seketika perasaan Ibrahim saat mendengar pujuk rayu sang isteri yang paling dicintainya. Tapi dia tetap tegar melaksanakan perintah RabbNya.

Tiba-tiba Hajar berbicara, “Adakah ini perintah Allah?”

“Ya”, balas Ibrahim. Terus Siti Hajar berbicara,

“Maka pastinya Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang yang beriman”.

Masya Allah! Bayangkan kalau kita di tempat Hajar.

“Apa? Allah suruh tinggal kat sini? Apa aku nak makan kat sini? Apa nak jadi dengan anak aku”.

Mungkin itu bicara kita. Tapi dia redha menerima ketentuan Tuhannya.

Cuba bayangkan seketika saat dia melihat bayinya yang mugil itu. Kekuatan yang diharapkannya hanyalah dari Allah SWT. Bayinya mula menangis. Mungkin lapar seketika mampu dipujuk. Bayangkan saat anaknya kian lemah, menangis kerana starvation, kelaparan pada tahap melampau dan mungkin juga mati andai tidak mendapat makanan. Bayangkan seketika perasaan seorang ibu saat itu.

Lantas dia berlari-lari di antara Safa dan Marwa. Andai ada yang sudah pergi ke Mekah, perjalanan Safa dan Marwa hari ini adalah di atas susunan mozek, ditutupi oleh bumbung Masjidil Haram tetapi hakikat yang perlu dilalui oleh Hajar bukan begitu. Yang memayunginya adalah terik mentari sahara, yang menantinya adalah fatamorgana, jejak-jejak yang perlu dilaluinya adalah debu pasir yang berbatu.

Tidak sedikit pun dia mengeluh, Tidak sesekali dia berbicara begitu. Bayangkan semangat yang ada pada dirinya saat dia perlu melakukan semua itu selama 7 kali. Lantas turunlah pertolongan Allah, terbinalah telaga zam zam yang bukan hanya mengairi dan menghilangkan haus tekak Hajar dan Ismail, tapi jutaan manusia sehingga kini. Hebat! Semua itu kerana keikhlasan Hajar.

“…dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”. (Surah Attalaq:2-3)

Berjalanlah pula Ibrahim jauh dari tempat ditinggalkan isteri dan anaknya. Di belakang sebuah gunung dia berdoa.

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”
(Surah Ibrahim:37)

Indah sungguh susunan doa tersebut. Bayangkan kita seorang ayah dan berada di tempat Ibrahim, mungkin sahaja doa kita begini, “Ya Allah, aku tinggalkan anak dan isteriku di tempat yang tiada siapapun, kurniakan mereka makanan dan minuman, kurniakan mereka keselamatan”.

Tapi bukan itu doa Ibrahim. Dia berharap agar dalam keadaan yang begitu terdesak itu, anak dan isterinya akan mendirikan solat. Masya Allah! Dia ingin anak dan isterinya sentiasa berhubungan dengan Allah. Kemudiannya barulah disebabkan perihal hal-hal yang lain agar anak dan isterinya terus bersyukur.

Ibn Abbas said, "'The Prophet Salla Allahu Alayhi Wasallam said, 'May Allah bestow His Mercy upon Isma'eel's mother! If she had left Zamzam - or if she had not cupped her hand - Zamzam would have been a flowing spring.' Ibn Abbas then said, 'So she drank and nursed her son. The angel then said to her, 'Do not fear abandonment, for a House for Allah (the Kaa'bah) will be built in this area by this boy and his father, and most certainly, Allah does not abandon His people.'

Kisah ini sangat panjang. Ada lagi yang lainnya. Semuanya menaikkan semangat kita untuk terus berjuang. Eid mubarak! Moga terus bersemangat!

Sumber yang sahih dan dalil kisah ini boleh diperolehi di sini.

Thursday, November 26, 2009

Sayang...


Teringat lagi tulisan ustaz Nik Abduh yang secara tidak langsung mengingatkan penulis-penulis blog. Betapa hari ini dunia blog menjadi dunia penulisan yang tiada adab.

Mungkin juga refleksi buat diri sendiri. Kadangkala saya sendiri tidak sabar dan tergopoh-gopoh dalam menulis, melampiaskan segala perkara yang ada di kepala, tidak sedar bahawa ada hati-hati yang terluka.

Sering kali juga tertanya-tanya, apakah cara yang terbaik untuk menegur insan apatah lagi andai mereka tergolong dalam golongan insan yang paling kita sayangi.

Mungkin sahaja kita boleh menulis hal yang baik-baik sahaja, tapi adakalanya teguran juga perlu dibuat. Dan mungkin saya juga masih lemah dalam memberi teguran.

Benar juga kata-kata Ustaz Hasrizal, ketahuilah, mungkin orang yang paling tajam mengkritik adalah orang yang paling mengasihi, berbanding orang yang memuja dan memuji di sekeliling kita.

Orang yang mengenali saya di dunia realiti lebih tahu siapa saya yang sebenarnya. Saya bukan seorang yang serius dan penyedih. Kawan non muslim saya andai menyebut nama saya pun sudah mula tergelak. Orang yang paling serius belajar pun boleh tergelak juga melihat saya sebabnya saya seorang yang amat blur. Kalau bual dengan Zaid di telefon, dia selalu cakap -"Apasal signal lambat sampai kat sana?" Huhu...blurrr...

Kalian yang mengenali saya di dunia realiti lebih tahu tentang saya. Apalah sangat tulisan-tulisan saya dengan saya yang sebenar.

Kalian lebih tahu bahawa saya seorang yang outspoken tapi akan melupakan segalanya sesudah itu. Andai ada teguran-teguran saya yang membekas dalam diri kalian dan kalian merasakan bahawa hal itu adalah benar di sisi Allah, maka beriltizamlah untuk mengubahnya. Tidak mungkin teguran itu datang dari saya semata-mata andai ia adalah kebenaran, tapi percayalah bahawa ia dari Allah. Andai ia tidak benar, saya mohon sejuta kemaafan dari kalian kerana saya juga insan biasa.

Saya masih di sini, menyayangi kalian sama seperti dulu. Macam mak saya cakap tentang saya - "Kalau kau merajuk, masuk lubang tandas sahaja merajuk itu". Sebab saya tidak pernah serius. Tapi dalam ketidakseriusan saya, ada perkara-perkara yang batil di sisi Allah yang amat saya harapkan kalian mengubahnya.

Jangan percaya dunia blog. Orang yang paling penyedih adalah orang yang paling gembira. Orang yang paling kelihatan serius barangkali adalah orang yang paling kelakar.

Tuesday, November 24, 2009

Bara api...


Kalau kita baca buku salah faham terhadap Islam oleh Muhammad Qutb, kita akan mendapati bahawa Islam tidak akan sesekali tertegak di atas logik. Saya baru membaca sedikit sahaja kandungan dari buku tersebut. Penulis yang menulis buku ini cuba menjawab kekeliruan yang timbul tapi semakin dijawab, semakin banyak yang akan ditanya oleh golongan yang memikirkan logik semata-mata sehinggalah sampai satu ketika hal Tuhan juga mahu dilogikkan.

Soalan mudah – Kenapa kita tidak makan babi? Kerana haram kan? Kalau kita cakap kerana kuman lantaran cuba men’sains’kan hukum tersebut, adakah sekiranya tiada kuman kelak di dalam babi, kita akan mula memakan babi? Tidak, Kita patuh – ‘Sami’na wa ata’na’ (kami dengar dan kami taat) kerana kepercayaan yang mendalam terhadap Allah SWT. Itulah sebabnya 13 tahun di Mekah memfokuskan pembinaan aqidah. Kalaulah Islam bermula dengan syariah – tidak boleh buat ini, haram buat itu, maka islam tidak akan kekal sehingga hari ini.

Pasal itu, dalam banyak isu yang dipersoalkan oleh non muslim atau orang yang mempercayai logik semata-mata, kita tidak punya jawapan. Sebabnya kita melakukan semua itu semata-mata kerana Allah, kerana kecintaan kepada Allah. Sahabat-sahabat Rasulullah SAW meskipun dah gila ketagih arak, tapi bila perintah arak diharamkan, terus pecahkan botol-botol arak. Sebabnya aqidah dah mantap.

Hari ini umat Islam sendiri rapuh dari segi aqidah. Lagi korang larang, lagi diorang buat. Cakaplah macam mana rokok haram pun, orang tetap hisap rokok. Cakaplah macam mana haram jual rokok pun, akan ada seribu satu dalih. Kalau cuba haramkan arak, lagi memberontak manusia-manusia di sini. Cuba nak buat hukum hudud, akan ada sejuta persoalan. Ramai tidak yakin dengan Islam.

Cuba tengok ayat-ayat Makkiyah, ayat sebelum hijrah yang banyak menekankan aqidah misalnya dalam juzu’ 30. Ayatnya mengerikan tentang gambaran kiamat dan lainnya. Semuanya tentang keimanan. Digambarkan syurga itu macam mana, digambarkan neraka macam mana. Digambarkan juga kekuasaan Allah. Hayatilah tafsir-tafsirnya. Itulah juga permulaan usrah, menanamkan dalam diri anak-anak usrah tentang aqidah. Insya Allah hal lainnya akan mudah selepas itu.

Dulu masa saya dikenalkan dengan tarbiah di Tingkatan 1, saya memberontak. Benci! Bila disuruh, saya tidak suka. Bila dilarang, saya melawan. Tapi bila faham Islam betul-betul, senang saya nak menerima tarbiah itu.

Kecintaan pada tarbiah juga perlu dipupuk. Tidaklah asyik membangkang sahaja. Bila dikatakan tidak boleh makan KFC, berjuta dalil dikemukakan untuk kata boleh. “Ustaz kata boleh!”, kata mereka. Bila dikatakan tidak boleh menonton wayang di panggung wayang, dalil dari mana-mana mampu dibawa. Susah benda-benda ini bagi mereka yang mengikuti tarbiah dengan terpaksa. Tidak rasa cinta lagi kat tarbiah ini. Tidak faham bahawa 6% keuntungan KFC masih pergi kepada Amerika. Tidak faham bahawa menonton wayang hanya sia-sia.

Kadangkala kalau kita sudah meyakini hal itu adalah terbaik, kita perlu serahkan sepenuh jiwa kita kepada hal itu. Kalau kita rasa tarbiah itu adalah baik, kita perlu bersedia untuk dicorak oleh tarbiah itu.

Kalau kita faham Islam yang terbaik, mengapa kita masih perlu menyokong sekular? Kenapa kita biarkan hiburan menguasai diri kita? Kenapa kita boleh menyokong Astro yang membuatkan kita terlalai most of the time, tapi kemudiannya beriman seketika dengan Astro Oasis? Kenapa kita tidak sedar benda itu adalah sekular.

Saya tidak kata saya bagus sangat. Saya juga kadangkala tewas berjuta kali dengan televisyen. Cuba bayangkan kalau kita duduk di rumah yang ada Astro. Walau ditarbiah macam mana pun, kalau benda-benda itu ada kat rumah, kita akan tewas juga. Itulah sebabnya kita perlu bercita-cita nak dirikan rumah kita sendiri yang dicorak dengan corak Islam sepenuhnya.

Ekstrim ke kita? Orang kata saya ekstrim dengan pegangan saya. Susah sangat rasanya nak terangkan kat orang lain benda ini kecuali mereka yang sama-sama menganuti kefahaman yang sama. Persoalannya, kita tahu Islam itu baik, dakwah itu baik tetapi kenapa kita tidak mempercayai sepenuhnya hal itu 100%?

“Shibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah (Al Baqarah 138)”

Sibghah Allah adalah celupan Allah. Celupan Allah tidak sama dengan celupan biskut yang disalut coklat. Luar sahaja macam coklat. Dalam biskut sahaja. Celupan Allah adalah luar dan dalam. Tidak teringin ke kita nak terima Islam ini secara totok 100 %?

Sedih nak tulis benda ini sebab diri pun rasa tidak kuat bila biah tidak Islam sepenuhnya. Kalau kita tidak bersama Islam sesaat, kita mesti bersama Jahiliah. Semua benda yang bukan Islam adalah Jahiliah. Allah cipta syurga dan neraka. Semua itu jelas, tidak ada tengah-tengah kan?

Sebenarnya perit tulis benda ini. Sebab kita ini nak sangat Islam itu, tapi Jahiliah itu macam arus yang sukar kita lawan.

Benarlah kata-kata Rasulullah SAW tentang Islam di akhir zaman ini.

Daripada Anas r.a. bekata, Rasulullah saw. bersabda, "Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api".
(H.R. Tirmizi)

Ekstrim sangat kan analogi yang Rasulullah SAW gambarkan? Tapi itulah hakikatnya yang perlu kita hayati bila nak pegang Islam.

Jihad...

Ramai orang tergila-gila nak buat haji dan umrah. Dah pergi sekali, nak pergi kali kedua dan seterusnya. Ada sekali saya dengar IKIM, ada seorang lelaki ini pergi umrah untuk kali ketiga semata-mata nak Allah satukan dia dengan kekasih pilihan hati dia yang sudah berpunya. Mungkin orang ingat haji dan umrah itulah satu-satunya amalan yang menjanjikan pahala yang besar.

Tahu tak apa prioriti hidup di zaman ini? Dakwah. Kalau yang dah pergi haji sekali, duit lebihan yang dia ada sepatutnya bukan digunakan untuk buat haji lagi tapi untuk jalan dakwah.

Tahu tak Salahuddin Al Ayyubi tidak pergi menunaikan haji semata-mata untuk membebaskan Palestin? Tidak banyak kubur sahabat di Mekah dan Madinah pun sebab masing-masing pergi berjihad menyebarkan Islam di tempat yang jauh. Kenapa agaknya? Sebab pahala berjihad di jalan Allah adalah berjuta-juta kali besarnya nak dibandingkan pergi haji dan umrah atau hidup di Mekah dan Madinah.

Kalau kaabah itu runtuh sekalipun, benda itu adalah kecil di hadapan Allah dibandingkan dengan pembunuhan darah seorang Muslim. Tapi berapa ramai yang sedar hal itu?

Hari ini ramai orang pergi haji, kalah dengan jumlah yang pergi masa zaman Nabi. Hari ini ramai yang solat dibandingkan dengan jumlah yang solat di zaman Nabi. Tapi Palestina terus dibantai. Jahiliah terus-terusan berkuasa. Ummah sudah melupakan jihad di jalan Allah.

Ada satu hadis. Sesiapa yang berminat bolehlah mengikuti hadis ini di dalam siri kuliah Allah is preparing us for victory oleh Imam Anwar Awlaki. Rasulullah SAW kata generasi sahabat adalah yang terbaik, kemudian generasi Tabien, kemudian Tabi’ Tabien. Tapi akan ada di akhir zaman yang mana pahala seorang dari mereka adalah bersamaan dengan 50 orang. Sahabat pun tanya, “Pahala 50 orang kami atau 50 orang mereka?” Kamu tahu apa jawapan Rasulullah SAW? Pahalanya adalah 50 orang kamu (merujuk kepada sahabat).

Korang tahu kan pengorbanan sahabat? Tahu kan kisah Mus’ab? Kisah Sumayyah? Kisah Bilal? Kisah Abu Bakar? Dapat bayangkan tak pahala jihad di zaman ini bersamaan dengan 50 orang sahabat? Masya Allah, tidak terkira.

Kemenangan Islam itu adalah perkara ghaib. Hanya orang yang beriman akan mempercayainya. Bagi yang dah pergi, sudah-sudahlah. Berikan duit itu pada dakwah dan jihad.

Siapa yang tidak merindui Rasulullah SAW? Siapa yang tidak ingin menziarahinya? Tapi cinta punya bukti dan bukti yang sebenar adalah dakwah. Saya nak kongsikan hadis ini lagi sekali, betapa Rasulullah SAW sudah pun merindui kita.

Di saat mana Rasulullah mengatakan dia merindui saudara-sauadaranya, suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.

Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.

Kemudian baginda bersuara: "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda:

"Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika.

Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya.

Tahu tak apa sunnah Rasulullah SAW yang paling besar? DAKWAH ilallah.

Memetik kata-kata seorang adik di dalam emailnya pagi ini - Tarbiyah itu nyawa, dakwah itu jiwa. Matilah manusia tanpa kedua-duanya.