Saturday, October 31, 2009

Afrigh...

Al Quran adalah satu realiti. Cerita-cerita di dalam Quran itu bukanlah fantasi untuk kita. Buat mereka yang berada di jalan dakwah, Quran mengubat kelelahan. Kadangkala kita tidak tahu cara terbaik untuk menyampaikan cerita-cerita di dalam Quran itu untuk semua orang kerana kebanyakan ceritanya hanya relevan untuk mereka yang berada di jalan dakwah ini. Tapi kita meyakini bahawa setiap saat akan ada manusia yang terus menyahut seruan dakwah ini dan kita mampu menceritakan kepada mereka semua ini.

Membaca ayat-ayat Allah bermula dari ayat 246 Surah Al Baqarah membuat hati merenungi realiti.

Tidakkah engkau ketahui, tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: "Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah" Nabi mereka menjawab: "Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?," Mereka berkata: "Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?" Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. (Surah Al Baqarah:246)

Ini adalah realiti. Setiap masa kita nak sangat semua orang pikul kerja dakwah ini sama-sama. Kita memanggil manusia untuk menyahut seruan ini. Ramai yang akan bersemangat. “Jom berperang. Jom berdakwah”. Sama seperti ayat tersebut – “Mengapa kita tidak berperang? Kita mesti berperang punyalah. Keadaan kita dah macam gini, macam gini dan gini. Ummah dah semakin teruk. Semua harta kita dah dirampas”. Semua orang bersemangat. Tapi dakwah bukan kerja sehari dua, atau setakat satu atau dua program, tapi dakwah adalah perjuangan jangka masa panjang. Kerana panjangnya perjalanan dakwah ini, yang memerlukan pengorbanan sepanjang masa, setiap saat dan ketika, di saat beban akademik semakin bertambah, di saat masa kian suntuk, maka angka-angka yang akan terus bekerja itu terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan kerja yang ada.

Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan fizikal". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya. (Surah Al Baqarah: 247)

Ini pun adalah realiti. Mereka tidak bersetuju nak lantik Talut sebagai pemerintah sebab Talut tiada pengaruh dan tiada kekayaan. Selalunya kita pandang sesetengah orang sebab pengaruh yang dia ada atau kekayaan yang dia ada. Zaman ini kalau kat kampus, kita pandang orang yang hebat gila akademik, kita pandang orang yang boleh mempengaruhi orang lain. Tapi nabi Allah membetulkan persepsi ini. Pemilihan ini akan dilakukan oleh Allah SWT dan apa dia dua ciri yang perlu ada sebagai pemimpin? Ilmu dan kekuatan. Tapi kekuatan yang diterangkan oleh ayat ini bukan kekuatan fizikal semata-mata tapi kekuatan untuk memegang post tersebut. Sebabnya kalau kita tengok sirah, Khalid al Walid memiliki fizikal yang kuat dan dia dilantik menjadi jeneral peperangan, tetapi kenapa dia tidak dilantik menjadi khalifah? Sebabnya setiap post memerlukan kekuatan tertentu. Kalau kita masih lagi ingat kisah Sheikh Ahmad Yassin, dia adalah seorang yang buta, lemah fizikal, perlu disorong dengan kerusi roda, tapi dialah yang mengobarkan semangat pejuang-pejuang Hamas untuk terus berjuang. Musuh menggeruninya dan akhirnya dia syahid.

Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman". Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". (Surah al Baqarah: 248-249)

Kalau kita tengok ayat ini, kita akan faham bahawa jalan dakwah akan sentiasa dibersihkan. Mereka-mereka yang tidak layak akan diuji sehingga mereka gugur dari jalan ini. (Ya Allah, janganlah kau sesekali menjadikan kami dari kalangan yang gugur.) Peperangan Hunain mengajar kita bahawa di kalangan 12 000 tentera Islam, hanya 100 sahaja yang bertahan. Hanya 0.1% sahaja yang bertahan.

Di dalam kisah ini juga begitu. Dari 80 000 orang, 76 000 meminum air tersebut. Hanya 4000 sahaja yang bertahan. Bukan senang ujiannya. Cuba bayangkan kalau kita kena berjalan di padang pasir yang sangatlah panas. Tiba-tiba kita ternampak sungai. Kita diberi pilihan, tidak minum atu hanya minum menggunakan dengan satu tangan. Nak minum dengan satu tangan pun bukan senang. Kalau dah minum, syaitan akan buatkan kita rasa air itu sangatlah nikmat, mampukah kita nak menahan godaan? Betapa susahnya pilihan yang kita ada. Tetapi itulah realiti di jalan dakwah. Ujiannya bukan biasa. Kita terlalu memerlukan Allah untuk terus istiqamah. Dan dalam 4000 orang, ada yang bercakap, mana mungkin bilangan yang sedikit ini nak mengalahkan Jalut? Inilah realiti. Angka-angka yang nak memikul kerja dakwah ini terlalu sedikit dan mad’u pula adalah terlalu ramai. Kita pun kadang mula menyoal, boleh ke kita bertahan? Boleh ke kita nak sebar luaskan lagi dakwah ini? Akhirnya kerana tekanan yang ada dan bayang-bayang kemenangan itu kadangkala tidak mampu dilihat, maka akan ada yang gugur juga di jalan ini.

Lepas itu, hanya 300 lebih sahaja yang bertahan. Apa yang dikatakan oleh mereka yang beriman ini? Apa kualiti iman mereka? Allah kata mereka ini adalah orang yang meyakini pertemuan denganNya. Dakwah bukan diukur dengan kejayaan di dunia atau diukur dengan kemenangan. Tapi sejauh mana kita meyakini hari akhir, hari pertemuan kita dengan Allah SWT. Apa kata orang yang meyakini pertemuan dengan Allah ini – “Betapa banyak kelompok kecil mengalahkan kelompok besar dengan izin Allah”. Masya Allah. Inilah kekuatan kita. Allah bersama dengan orang yang sabar.

Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir". (Surah Al Baqarah: 250)

Ayat ini best sangat. Bila mereka bertemu dengan musuh, mereka berdoa. Apa doa mereka? Rabbana afrigh alaina sabran. Kalimah yang digunakan adalah afrigh. Dalam bahasa Arab, kita guna afrigh/ifragh ini contohnya macam nak describe bahawa kita menuang air baldi ke atas seseorang. Dan mereka meminta agar disimbah atau dituang dengan kesabaran. Kenapa? Sebab jalan yang kita pilih bukan setakat memerlukan kesabaran yang biasa-biasa sahaja tetapi terlalu luar biasa. Doa ini terlalu hebat untuk kita hayati.

Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian alam. Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia kepadamu dengan benar; dan sesungguhnya engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan oleh) Allah. (Surah Al Baqarah:251-252)

Janji Allah tetap benar. Deen ini pasti menang akhirnya! Ya Allah, kurniakanlah kami kesabaran yang panjang dan jadikanlah kami istiqamah sehingga kami bertemuMu.

Buka pintu...

Saya ingat lagi bicara akhi dari Palestin dalam satu pertemuan. Dia menamatkan bicaranya dengan hadis berkenaan niat. Sentuhannya hari itu menggegarkan hati yang lain. Saya mohon pada Allah agar dikurniakan hikmah agar sentuhan saya terhadap mad’u juga boleh begitu.

Seorang soleh mengatakan, dahulu apabila mereka melakukan sesuatu pekerjaan, mereka akan memikirkan minima 7 niat untuk mengerjakannya. Contohnya, apabila rumah mereka diketuk oleh seseorang, maka si pemilik rumah yang soleh ini akan membukakannya dengan niat – Apabila orang yang saya temui di hadapan pintu adalah orang yang memerlukan bantuan, maka saya akan membantunya. Apabila orang yang saya temui adalah orang faqir yang meminta wang, maka saya akan memberikannya wang. Apabila orang yang saya temui adalah orang yang meminta tempat penginapan, maka saya akan memberikannya tempat penginapan, dan seterusnya hingga minima 7 alasan diniatkan sebelum membuka pintu.

Aduh, refleksi untuk diri sendiri pastinya, apatah lagi dengan tanggungjawab yang kian bertambah. Gambatte!

Thursday, October 29, 2009

Hubungan...

Saya dipertemukan Allah dengan beberapa jalan dakwah. Kesemuanya mengajarkan saya kebaikan. Dan saya masih mencari dan memohon pada Allah agar ditunjukkan jalan yang terbaik. Saya mohon pada Allah agar sebaik sahaja tamat pengajian, Dia memberikan dan menunjukkan saya jalan terbaik demi kemaslahatan ummah. Moga pilihan itu hanya kerana Allah semata-mata tanpa diwarnai oleh hal-hal yang lain. Moga jalan yang saya pilih itu mampu memastikan kerja-kerja dakwah dan tarbiah saya terus berjalan.

Tidak kira di mana sahaja saya berada saat ini, saya cuba mengutip hikmah. Perjalanan di dalam jalan dakwah mengenalkan kita dengan ramai sahabat, murabbi, dan murabbiah. Saya cuba mengutip seberapa banyak hikmah di dalam perjalanan ini. Saya bertemu dengan mereka-mereka yang ikhlas di dalam rona kehidupan ini. Terlalu ramai untuk saya sebut nama mereka – abi, umi, ustaz S, akak-akak, sahabat-sahabat, prof-prof di sini dan ramai lagi. Semuanya mengajar saya perkara yang sama – dakwah dan tarbiah. Terima kasih buat antum semua. Hanya Allah sebaik-baik pemberi balasan.

Saya tidak pasti sama ada bicara saya yang seterusnya mempunyai perkaitan dengan permulaan yang ditulis. Abaikan sahaja andai kalian tidak memahami bicara saya. Doakan agar Allah mentakdirkan yang terbaik buat saya demi dakwah dan ummah ini.

Baru-baru ini saya bertemu dengan abi dan umi dalam satu pertemuan. Terharu mendengar bicara mereka. Kata abi, kita dipertautkan atas dasar iman dan perjuangan itu sendiri. Rabitah-rabitah hati itu masih ada dan ianya terus menerus menjadi pengikat untuk sehidup dan semati dalam perjuangan ini. Hubungan hati ini adalah perkara yang serius kerana natijahnya akan menentukan nasib kita di akhirat nanti.

Abi tekankan mengenai ayat 112 dari Surah Ali Imran.

“Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka (berpegang) pada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia. Mereka mendapat murka dari Allah dan (selalu) diliputi kesengsaraan…”(Surah Ali Imran:112)

Meskipun ayat ini diturunkan untuk ahli kitab, namun kata abi kita boleh mengambil pengajaran dari umum ayat ini.

Ada 3 keadaan manusia yang dihinakan Allah:

1) Tidak mahu langsung hubungan dengan Allah dan manusia.
2) Ada hubungan dengan Allah dan tiada hubungan yang baik dengan manusia.
3) Ada hubungan yang baik dengan manusia tapi tidak dengan Allah.

Maksudnya untuk mendapat kemuliaan, kita perlukan hubungan yang baik dengan Allah dan dengan manusia. Kedua-dua hal ini sangat-sangatlah berkait rapat. Seolah-olah macam simbiosis kan? Kedua-duanya sangat diperlukan.

Ketiga-tiga manusia yang dihinakan Allah itu memang wujud di atas muka bumi ini. Ianya adalah peringatan yang berharga untuk saya sendiri.

Ada yang meninggalkan sesuatu kerana malu dengan kawan, melupakan Allah dalam amalan mereka. Sewajarnya rasa malu dan takut itu perlu terhadap Allah terlebih dahulu.

Ada kawan saya yang membuat perubatan, berkahwin dengan suami yang mengikut ajaran tarikat, lantas diberi keputusan untuk berhenti belajar perubatan.

Macam-macam lagi manusia yang saya temui dan mereka ini mengajar dan mengingatkan saya tentang tazkirah abi ini. Betapa kita perlukan Allah dalam kehidupan kita sehari-hari dalam berhadapan dengan manusia yang bermacam ragamnya.

Pahit..

Semasa usrah yang lalu, tiba-tiba air mata saya mengalir. Mungkin saya dalam tekanan. Dalam kepenatan yang ada itu, saya terkenangkan matrikulasi sebenarnya. Saya teringatkan abi (murabbi), umi (murabbiah) dan semua sahabat saya di matrikulasi dahulu.

Kalau saya penat, abi dan umi lagi penat. Mereka dah menyumbang segalanya pada jalan dakwah ini. Sehinggakan kesemua harta yang ada telah mereka infaqkan. Sahabat-sahabat saya juga berjuang di setiap penjuru bumi di mana mereka dicampakkan.

Tadi saya meluahkan rasa hati di hadapan kelas. Saya tidak sanggup lagi melihat apabila seorang lelaki yang belajar di sekolah agama suatu ketika dahulu, yang duduk di dalam usrah boleh menjadi seseorang yang memulakan prentation ‘jahiliah’ dengan menayangkan video AF, dan kemudian perkara tersebut berlanjutan. Saya benar-benar tidak mampu lagi menanggung segalanya.

Kekuatan yang saya ada hanyalah ingatan pada Allah, kenangan di matrikulasi dan akhawat di sini. Saya perlu berbicara meskipun ianya terlalu pahit. Saya teringatkan Rasulullah SAW. Dialah yang telah menanggung seserius sengsaranya emosi dan fizikal di jalan dakwah ini. Lantas saya perlu bangkit. Sesungguhnya peringatan itu bermakna bagi orang beriman.

Jujur saya kecewa dengan pelajar lelaki di sini. Kalau tak nak berdakwah, itu tanggungjawab kamu dengan Allah. Tapi usahlah menyesatkan manusia pula. Teringat semasa jahiliah dulu saya begitu bencikan lelaki tapi semasa di matrikulasi saya belajar bahawa ada lagi lelaki baik di dunia ini. Kerana semua itu, saya masih lagi kuat bertahan meskipun adakalanya hati begitu tercalar dengan segala tindakan pelajar lelaki di sini.

Matrikulasi juga tempat saya belajar bahawa komponen dakwah ada dua – amar maaruf dan nahi mungkar. Keduanya tidak boleh dipisahkan. Segala maksiat itu perlu ditegur. Pernah sekali di dalam peringatan yang Rasulullah SAW sampaikan, dia berbicara bekali-kali, “Jauhkanlah dirimu dari neraka”. Rasulullah SAW mengulang kata-kata tersebut dengan suara yang kuat sehinggakan sahabat yang ada di pasar juga mendengar suara Rasulullah SAW.

Adakalanya kita keseorangan tetapi sebuah kenangan mampu menguatkan kita untuk melalui jalan dakwah ini. Jalan dakwah ini mengajar kita hakikat bahawa kita tidak keseorangan. Lahiriah mungkin kita keseorangan tapi zahiriahnya kita punya Allah dan sahabat-sahabat yang lain yang turut berjuang meskipun kita tidak melihat mereka.

Teringat doa rabitah yang dibacakan oleh akhi dari Palestin baru-baru ini. Doa yang kita amalkan turut diamalkan oleh pejuang di sana. Kita tidak pernah berseorangan.

Moga Allah mengurniakan hidayah buat mereka dan kekuatan buat kita untuk terus berada di jalan dakwah ini.

Tuesday, October 27, 2009

As sa'yu dan Alkhasyiyah...

Dia buta tapi cahaya yang menghiasi hatinya mampu menyilaukan pandangan manusia lain. Kenapa? Kita yang sempurna ini juga berkira-kira dalam berjuang tapi tidak dirinya. Nyawa yang paling berharga bagi diri seseorang juga dikorbankannya pada jalan Allah. Dialah Abdullah Ibn Ummi Maktum.

Dia meminta izin untuk ikut berperang. Katanya, matanya yang buta tidak akan sesekali menyebabkannya gentar terhadap musuh. Lantas dia diberi tugas untuk memegang bendera. Rahmat Allah meliputinya. Dia syahid akhirnya menemui kekasih agungnya yang dirindu sekian lama.

Saat mentadabbur Surah Abasa, peribadi agung ini menjenguk kamar hati.

Dia berwajah masam dan berpaling; kerana seorang buta telah datang kepadanya; Dan tahukah engkau barangkali dia ingin menyucikan dirinya (dari dosa); atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran yang memberi manfaat kepadanya? (Surah Al Abasa: 1-4)

Selepas ayat ini diturunkan kepada baginda s.a.w, Rasulullah selalu memuliakan Ibn Ummi Maktum dan selalu berkata kepada beliau apabila bertemu, “Selamat datang wahai orang yang menyebabkan Tuhanku menegurku!” dan selalu bertanya, “Apa yang kau perlukan?”

Terdetik kekaguman di dalam hati saat Allah menerangkan keadaan hati Abdullah Ibn Ummi Maktum yang berupa syarat seseorang beroleh hidayah.

Wa amma man jaaka yas’a, wa huwa yakhsya. Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersusah payah, dan dia takut kepada Allah. (Surah Abasa:8-9)

Dua tahap yang membolehkan seseorang itu memperoleh hidayah adalah ‘as sa’yu’ (sudah payah) dan ‘alkhasyiyah’ (rasa takut kepada Allah SWT). Ertinya, sesiapa pun yang mengkehendaki hidayah Allah SWT, dia harus bersusah payah berusaha mencari dan mendapatkannya dan dia juga harus memiliki rasa takut kepada Allah di dalam lubuk hatinya yang paling dalam.

Terima kasih Allah kerana mengingatkanku dengan menghadirkan kisah seorang sahabat yang agung ini.

Monday, October 26, 2009

Meila...

Saya mahu update blog tapi masa begitu mencemburui. Sedikit sahaja coretan hari ini. Semalam saya borong majalah Tarbawi, majalah dakwah di Indonesia dari naqibah saya. Duit saya banyak dilaburkan untuk majalah-majalah itu. Dah lama sebenarnya tidak beli buku sebab tiada masa untuk membaca, tapi aroma majalah ini menarik hati saya sebabnya dalam kesendatan masa yang saya ada, saya inginkan tulisan-tulisan yang lebih santai tapi punya pengisian.

Saya suka membaca pengalaman orang. Mungkin sebab itu saya sangat suka membaca blog orang. Tidak suka sangat membaca buku-buku berorientasikan teori. Bestnyer kalau ada doktor-doktor pakar yang boleh menulis buku perubatan berdasarkan pengalaman, takdelah buku-buku perubatan itu menjadi sesuatu yang sangat memualkan. Kan best kalau buku-buku perubatan mempunyai rasa hati untuk dihayati? Sudah Afeera, kamu sudah mula merepek…

Berkenaan dengan majalah itu, semalam saya ambil satu dari 17 majalah yang saya beli. Ada satu kisah yang buat saya menangis dan saya gagal menghabiskan tulisan tersebut. Saya tertidur dengan tangisan. Kisahnya mengenai Meila, seorang mahasiswi yang meninggal dunia di tengah semangatnya berdakwah. Saya terjumpa tulisan tersebut di laman maya. Kalau berminat, bolehlah baca di sini.

Jangan pelik kalau tulisan saya akan bernada keindonesiaan selepas ini memandangkan saya sedang menghadam tulisan-tulisan dalam bahasa Indonesia.

Sunday, October 25, 2009

Masam...

Dia berwajah masam dan berpaling; kerana seorang buta telah datang kepadanya; Dan tahukah engkau barangkali dia ingin menyucikan dirinya (dari dosa); atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran yang memberi manfaat kepadanya? (Surah Al Abasa: 1-4)

Antara izzah Rasulullah SAW adalah kesalahannya juga dibaca oleh semua orang. Surah Abasa keseluruhannya adalah refleksi buat mereka yang berada di jalan dakwah ini.

Adakalanya kita terlalu penat, kita sudah hampir kehabisan tenaga, kita punya tugas-tugas lain yang terlalu banyak. Dan dalam tekanan kesemua ini datang seseorang mengingnkan dakwah kita. Sejauh mana kita meletakkan prioriti dakwah kepada mereka yang terlalu menginginkan sentuhan dakwah dari kita?

Saturday, October 24, 2009

Wajib!

Salah satu perkara yang menyebabkan adik usrah saya keliru adalah mengenai tanggungjawab dakwah. Dia menulis hal itu dalam borang biodatanya. Dakwah ini wajib atau tak? Hanya sesetengah orang sahaja ke yang kena buat dakwah ini ke? Hanya ustaz ustazah sahaja ke yang kena buat dakwah ini? Hanya budak tudung lubuh sahaja ke yang kena buat dakwah ini? Dakwah ini fardhu ain atau fardhu kifayah? Kalau dah ada orang yang buat kerja dakwah ini, orang lain kena buat ke?

Saya rasa kekeliruan itu ada dalam minda kebanyakan orang. Ada orang yang dah duduk dalam usrah selama 3 tahun atau lebih pun, apabila diajukan permintaan, boleh tak kamu pegang satu kumpulan usrah adik-adik? Maka jawapan yang diberi adalah – Boleh tak saya beri jawapan esok lusa? Saya tak baik lagi. Saya tak layak. Memang kena buat ke?

Huhu..Adakah dakwah ini satu pilihan? Boleh buat atau tak? Boleh buat ikut suka hati? Boleh buat bila ada masa lapang sahaja? Boleh buat bila rasa layak sahaja? Boleh buat bila dah jadi alim dan dah pergi belajar kat Al Azhar?

Oklah, saya ambil contoh lain. Ada orang mati kat satu kawasan. Apa tanggungjawab orang lain? Kena menyempurnakan pengebumian mayat itu kan? Kalau tiada orang yang buat kerja itu, satu kawasan itu berdosa kan? Kalau ada orang buat, orang lain terlepas ke? Ya, terlepas kalau tanggungjawab itu mencapai matlamatnya. Maksudnya, matlamat dalam kes ini adalah orang yang mati itu dah berada selamat di dalam kubur.

Apa matlamat kamu hidup kat dunia ini sebenarnya? Saya tak perlukan hadis atau ayat Quran untuk soalan ini. Semua orang tahu matlamat hidup kita adalah menjadi khalifah Allah. Apa matlamatnya? Memastikan Islam menjadi ustaziatul alam, menjadi world order. Adakah matlamat itu dah tercapai? Tidak. Orang Islam mati tidak mendapat pembelaan. Akak-akak kamu kat penjuru dunia yang lain ramai yang kena rogol tanpa pembelaan. Tiada satu tanah pun kat atas muka bumi Allah ini yang melaksanakan undang-undang Allah. Ustaziatul alam masih belum tercapai.

Maka semua orang Islam kat atas muka bumi ini berdosa melainkan mereka yang buat kerja dakwah ini bersungguh-sungguh. Kesimpulannya, dakwah ini WAJIB ke atas setiap orang yang melafazkan syahadah kerana tuntutan Lailahaillallah yang korang sebut itu adalah dakwah. FAHAM? Dakwah adalah WAJIB!

Friday, October 23, 2009

Sabar...

Saya perlu bersabar. Jalan ini panjang. Terharu membaca muqaddimah fi zilalil quran pagi ini.

Adapun Islam ia tetap berjalan dengan lemah-lembut memimpin fitrah manusia, ia menolak di sini dan menahan di sana, dan ia membetul bila menyeleweng, tetapi Ia tidak bertindak memecah atau menghancurkan fitrah manusia. Ia tetap sabar melayaninya, iaitu ia sabar dengan kesabaran seseorang yang arif, bijak dan yakin dengan matlamat yang telah ditetapkan itu.

Jika tidak dapat dicapai dalam pusingan pertama diusahakan pula dalam pusingan yang kedua atau ketiga atau ke sepuluh atau ke seratus atau ke seribu. Masa masih lanjut dan matlamat cukup terang dan jalan menuju ke matlamat yang agung itu amat panjang. Jika pokok yang finggi itu tumbuh dan akar-akarnya bertunjang teguh di dalam bumi, dahan-dahannya mencabang panjang dan merimbun tebal, maka begitulah juga Islam, Ia tumbuh dan subur perlahan-lahan, lambat dan tenang dan Ia selama-lamanya mengambil bentuk yang dikehendaki oleh Allah.

Sesuatu tanaman itu kadang-kadang ditimbus pasir, kadang- kadang setengahnya dimakan ulat dan kadang-kadang kering tidak disirami air dan kadang kadang tenggelam dalam air siraman, tetapi peladang yang arif dan bijak tahu bahawa tanaman itu tetap hidup dan subur dan ia akan dapat mengatasi segala penyakitnya dalam masa yang panjang itu. Oleh sebab itulah Ia tidak bertindak sewenang-wenang dan tidak resah dan gelisah dan tidak cuba mematangkannya dengan cara-cara yang lain dan cara cara fitrah yang tenang, lapang dada dan mesra, itulah cara peraturan Ilahi di seluruh alam alwujud ini:

23. “Dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan di dalam undang undang Allah.” (Surah al-Fath)

Thursday, October 22, 2009

Manis...

Esok mid posting exam. Saya mahu berehat sebentar, mahu berkongsi sesuatu barangkali. Entahlah..

Sejak saya mula belajar berjauhan dengan keluarga, saya senang berpuasa. Tiada gangguan aroma masakan ibu di sini. Dan saya juga senang berpuasa kerana mahu menjimatkan masa, tenaga, duit dan air liur dari berbual perkara yang tidak berfaedah. Makan adalah satu aktiviti yang amatlah mengambil masa terutamanya kalau makan dengan kawan-kawan. Saya pula jenis yang jalan cepat, makan cepat dan mahu segalanya cepat, agak sukar jugalah sebenarnya mahu mengikut orang.

Disebabkan mak saya adalah tukang masak yang terbaik di dunia buat saya, saya tidak pernah ada hati untuk menukar selera di tempat-tempat makan yang lain di sini. Makan hanyalah sekadar memenuhkan keperluan perut sahaja di sini. Saya rasa otak saya pun senang menerima ilmu ketika berpuasa. Penyakit saya pun lebih stabil dengan puasa. Saya ingat lagi kata-kata seorang akak, cara terbaik nak didik nafsu adalah dengan berpuasa. Disebabkan puasa menjadi rutin, saya tidak kisah berpuasa dengan kepenatan jadual harian. Rasa biasa sahaja. Tidak bagus bila satu-satu ibadah itu menjadi rutin, kan?

Ramadhan yang lalu juga mengajar saya sesuatu. Saya ada mendengar satu kuliah. Kata ustaz, kita tidak boleh puasa terus menerus sebabnya kita akan kehilangan roh berpuasa pada bulan Ramadhan pula. Huhu..baru saya tahu..

Dipendekkan cerita, sekarang ini dah kurang berpuasa. Tapi bila saya berpuasa hari ini, rasa macam puasa itu satu ujian yang sangatlah besar. Hati mula meminta-minta pada Allah agar waktu dicepatkan. Dan pertama kali saya menangis menatap makanan yang ada semasa berbuka puasa, merasai betapa nikmatnya makanan yang Allah kurniakan. Menitis juga air mata selepas makan dan rasa terharu yang amat saat membaca doa selepas makan. Baru faham makna lapar, barulah memahami kesukaran saudara seagama di Palestin dan negara lainnya. Rupa-rupanya ujian lapar ini adalah ujian yang hebat juga. Dan mujahadah sehingga ke saat akhir adalah sesuatu yang manis.

Saya rasa apa yang saya rasai ini sama juga dengan ibadah yang lain. Contohnya mentadabbur Quran, mula-mula terasa malas dan pahit tapi di hujungnya pasti ada kemanisan yang sukar diterjemahkan. Allahu A’lam.

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Surah Al Baqarah: 155)

Tuesday, October 20, 2009

Seni...

Tahu tak sebab musabab turunnya surah Kahfi? Nanti bila kamu ada masa, kamu carilah. Kat laman maya pun banyak. Saya cuba ceritakan sedikit.

Apabila dakwah Rasulullah SAW semakin berkembang, orang Quraisy pun tidak senang duduk. Maka mereka ini pun mintalah bantuan dari orang Yahudi. Dipendekkan cerita orang Yahudi minta orang Quraisy tanyakan 3 soalan kat Rasulullah SAW. Kalau Rasulullah SAW dapat menjawab 2 soalan dari 3 soalan yang diajukan, maka benarlah bahawa dia seorang nabi.

Apabila mereka mengajukan soalan kat Rasulullah SAW, Rasulullah SAW pun kata bahawa dia akan menjawabnya pada keesokan hari. Tapi wahyu tidak turun selama 15 hari dan Rasulullah SAW tidak akan mengatakan sesuatu yang bukan dari wahyu. Rasulullah SAW pun risau dan bersedih. Tapi ada sesuatu yang Allah nak ajarkan. Apa yang Allah nak ajarkan kat Rasulullah SAW? Allah nak ajar Rasulullah SAW untuk menyebut insya Allah (jika Allah mengkehendaki) dalam setiap bicaranya. Allah nak Rasulullah SAW sentiasa berhubung dengan Allah dalam setiap sisi kehidupannya.

Tapi saya suka sangat cara Allah menegur kekasih agungnya. Sweet sangat. Teguran itu hanya dalam ayat yang ke 23-24 dari Surah AlKahfi. Tapi sebelum itu Allah ceritakan kisah pemuda Kahfi yang sangatlah indah buat Rasulullah SAW. Sweet kan cara Allah tegur? Quran ini memang relevan sangat dengan kehidupan kita sebagai daie. Terasa macam terlalu sedikit seni dakwah yang ada dalam diri ini saat membaca Quran.

"Dan jangan sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu, "Aku pasti melakukan itu esok pagi," kecuali dengan mengatakan Insya Allah (jika Allah menghendaki)" Dan Ingatlah kepada Tuhanmu apabila engkau lupa dan katakanlah, "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku lebih dekat pada kebenaran dari pada ini." (al-Kahfi (18) ayat 23-24).

Present tense...

Selalunya kalau kita baca novel, kita jarang terasa cerita itu cerita kita. Cerita-cerita dalam novel itu selalunya macam mustahil je. Novel-novel yang kita baca banyaknya fantasi dari realiti. Kalau kita dengar cerita pun, kita jarang rasa cerita itu pasal kita. Macam membazir masa sahaja membaca novel atau mendengar cerita sebenarnya. Sebabnya benda itu sedikit pun tidak relevan dengan kita.

Tapi kalau baca cerita dalam Quran, cerita itu mesti relevan sangat dengan kita. Kalau kita tak nak terasa dengan Quran pun, Allah akan membuatkan hati kita terasa. Misalnya macam kisah dua pemilik kebun yang pernah saya ceritakan sebelum ini.

Cerita itu past tense, cerita yang dah pun berlaku. Bila kita baca surah itu macam tak terasa apa-apa pada mulanya sebab cerita itu bukan pasal kita pun. Tapi bila sampai ayat 42 surah AlKahfi itu, Allah guna kalimah ‘yaqulu’, present tense dalam menerangkan dialog pemilik kebun itu. Kenapa? Sebabnya benda itu masih berlaku lagi zaman ini. Ayat itu menempelak kita dengan cara yang terlalu halus. Hanya cerita-cerita dalam Quran sahaja yang mampu melakukan semua itu. Hebatnya Quran..

Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!" (Surah AlKahfi: 42)

Monday, October 19, 2009

Niat...


Setiap kali kami nyanyi lagu Muadz ini kat rumah, mesti mak ingatkan kami panggil dia. Mula-mula itu mak ingatkan kami adik beradik mainkan dia. Sebabnya awal lagu ini kan ada disebut ‘innama-sesungguhnya’, dalam bahasa kami “ennama” itu membawa maksud ‘kenapa mak?”..Huhu..

Ada satu lagi cerita menarik pasal hadis ini. Selalunya orang sebut hadis ini di permulaan bicara mereka. Tapi brother dari Palestin yang berikan tazkirah kat kami mengakhirkan ucapannya dengan hadis ini. Macam pelik tapi cukup membuatkan kami terasa dan berfikir panjang.

Begitulah peranan niat dalam setiap amalan kita. Niat yang tersemat di lubuk dada itu pastinya mampu dirasai oleh hati-hati yang lain dan sudah pastinya Allah mengetahui lebih mendalam lagi tentang rahsia hati.

Setiap kali saya menulis di sini, tujuan utamanya adalah peringatan buat diri saya yang sering terlupa. Semua yang saya tulis di blog saya ini adalah refleksi saya tentang kehidupan yang menemukan saya dengan sejuta hikmah. Dan jujur saya akui bahawa saya ini penuh dengan kelemahan. Kelemahan-kelemahan ini juga saya luahkan di sini sebagai peringatan buat saya. Saya tidak sempurna pastinya. Tapi mungkin saya perlu sedar bahawa pembaca-pembaca blog ini mengharapkan kesempurnaan dan mungkin saya perlu berhati-hati dalam melahirkan kelemahan.

Tulisan Ustaz Pahrol membuat saya termenung seketika.

“Penulis sejati memang menulis dirinya. Tetapi dia juga manusia… yang punya kekuatan dan kelemahan, kebaikan dan keburukan, pada hal khalayak pastinya inginkan yang baik-baik dan indah-indah sahaja. Lalu dia terus bermujahadah… menulis kebaikan sekalipun belum sepenuh dimilikinya dan dia akan “memendamkan” kejahatan dengan penuh kesedaran bahawa dia sedang berjuang untuk membuangnya. Dia ingin menghidangkan yang terbaik tanpa menjadi seorang munafik!”

Kata-kata yang sememangnya perlu menjadi renungan setiap penulis yang menulis kisah kehidupannya.

Friday, October 16, 2009

Paper...

Di saat saya mendidik anak dan adik manusia lain, seringkali saya berdoa agar Allah menunjukkan jalan buat adik-adik kandung saya sendiri. Jahiliah saya terlalu gelap dan adakalanya agak sukar untuk saya mendekati mereka. Latar belakang saya berbeza. Saya dan adik yang kedua bersekolah biasa manakala adik-adik yang lain bersekolah agama.

Saat saya mendapat ISK (Ini Sejarah Kita), saya tersentuh. Tapi pengalaman adik-adik saya nyata berbeza.

Ingat lagi adik lelaki saya yang bersekolah agama mengomel. “Apalah abang itu. Annasu ma’adin! Kejap lagi Annasu ma’adin. Kejap lagi ‘Annasu ma’adin. Lepas itu ada putih telur la, kuning telur la, ada sains tulen dan sains sosial la. Pening la”.

Eh tahu tak Annasu’ maadin itu apa? Manusia itu seperti logam. Itu sebahagian petikan hadis logam. Kalau nak baca, boleh je baca di sini.

Bila saya dapat tahu tentang hadis logam ini, saya bercita-cita dengan cita-cita yang tinggi. Saya nak jadi logam yang terpilih untuk Islam. Analogi kuning telur itu pun saya rasa best sangat. Tentang hal sains sosial dan sains tulen itu pula, benda itu juga mengubah pandangan saya. Tapi ternyata penerimaan setiap orang berbeza. Pasal itu apabila saya dan sahabat-sahabat sampaikan ISK di kalangan mereka yang punya jutaan ilmu agama dan fikrah, mereka kelihatannya seakan-akan bosan dengan pengisian itu. Mungkin itu juga satu faktor mengapa saya lebih suka mendekati golongan yang baru berkenalan dengan Islam. Rasa macam tidak layak sahaja nak duduk dengan kawan-kawan yang fikrahnya berapi-api ini.

Sukar sebenarnya mahu menjadi daie. Macam adik saya, saya kena terangkan balik semua yang dia keliru itu. Tapi pahala orang yang mula-mula menyampaikan padanya tentang ISK itu sedikit pun tidak berubah. Pasal itu ada satu lagi analogi, analogi a ream of paper. Bolehlah baca di sini.

Analogi itu amat bermakna buat kita yang bergelar daie ini yang selalu ada konflik, faham ke adik-adik aku ini tentang apa yang aku perkatakan? Mampu ke mereka memikul beban dakwah ini kelak? Mampu ke aku berjaya menghasilkan produk yang berguna untuk dakwah ini? Analogi ini jugalah yang membuatkan kita tidak akan kecewa. Saya sendiri gagal berkali-kali membawa usrah. Jalan nak jadi murabbi/murabbiah ini panjang.

Mungkin juga analogi itu juga yang menjawab soalan seorang lagi adik lelaki saya. Dia kata dia hanya mahu menyertai usrah ini hanya apabila semua jemaah Islam bersatu. Saya tahu dia amat pening dengan keadaan taadud jemaah di kolejnya.

Kalau faham analogi ini, tak delah kita pandang pelik jemaah lain. Kita tidak mampu nak buat macam apa yang tabligh buat, ketuk pintu rumah dari rumah ke rumah. Kita tidak mampu nak berjuang seperti PAS di dalam arena politik. Kita tidak mampu mengkaderkan manusia-manusia sepertimana yang dilakukan oleh kebanyakan jemaah yang berorientasikan tarbiah. Maka alangkah indahnya andai semua insan berlapang dada. Betul kata adik saya. Kat bumi Malaysia ini, masih ramai yang tak tahu nama-nama jemaah itu berbanding yang tahu. Maka rebutlah mereka-mereka yang kosong kefahamannya ini. Analogi ini akan membuatkan kita faham bahawa kita hanyalah penyambung mata-mata rantai perjuangan yang panjang.

Thursday, October 15, 2009

Inferior...

Tahun 4 ini pastinya merupakan tahun yang paling mencabar bagi saya. Ramai bijak pandai di dalam kumpulan saya. 3 orang pelajar yang pernah mendapat dean’s list ada dalam kumpulan saya. Jujur saya rasa inferior dengan kumpulan ini. Pembentangan saya juga dipandang sepi. Seakan-akan rasa tidak layak untuk berada di dalam kumpulan ini. Saya rindukan kumpulan saya yang dahulu yang banyak membantu saya.

Tapi kita diajar untuk yakin bahawa Allah hanya menjanjikan yang terbaik. Saya rasa saya menjadi lebih sensitif sejak akhir-akhir ini tetapi saya juga belajar hikmah yang lain. Dalam tekanan ini, AlQuran itu sebenarnya lebih menyentuh hati.

Tadi saya baca lagi Surah AlKahfi. Saya pernah ceritakan kisah tentang dua pemilik kebun yang dirakamkan oleh Allah di dalam surah ini di sini. Tapi kehebatan AlQuran adalah bila mana kita membacanya untuk kali yang seterusnya, sentuhannya sentiasa berbeza. Dua tahun yang lalu pemahaman saya berkenaan ayat ini lebih kepada persahabatan tapi kali ini pemahamannya adalah berbeza. Dan kadangkala keadaan dan peritiwa yang terjadi membuatkan kita lebih menghayati ayat-ayatNya.

Bicara dua pemilik kebun ini memberi satu kekuatan buat saya untuk terus melangkah.

[34] Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah dia kepada rakannya, semasa dia berbincang dengannya: Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai.

Kadangkala kelebihan yang ada pada orang lain membuatkan mereka memandang sepi sahaja kita yang kerdil ini. Tapi usah bersedih, dengarlah kalimah yang dituturkan oleh seorang pemilik kebun yang beriman yang mana mengandungi motivasi yang tiada taranya untuk kita bangkit kembali.

[37] berkatalah rakannya kepadanya, semasa dia berbincang dengannya: Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Dia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki? [38] Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dialah Allah, Tuhanku dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku. [39] Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandang aku sangat kurang tentang harta dan anak berbanding denganmu. [40] Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu…

Apa yang dikatakan oleh pemilik kebun yang beriman ini? Ingatlah Allah yang berkuasa, sungguh kita sebagai manusia adalah makhluk yang lemah walau sehebat mana pun kita. Pemilik kebun itu bertanya, kenapa kau tidak menyebut masya Allah, la haula wa la quwatta illa billah. Sungguh atas kehendak Allah semua ini wujud, tidak ada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.

Hebatnya kata-kata itu. Hakikatnya kita sebagai manusia terlalu lemah. Kita tidak memiliki sebarang kekuatan melainkan apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Apa lagi yang dikatakan oleh pemilik kebun ini? Ya, harta dan anak-anakmu lebih banyak dariku tapi mudah-mudahan Allah memberikanku sesuatu yang lebih baik dari itu.

Kita kecewa dengan benda yang remeh temeh. Apakah ilmu perubatan itu lambang kasih sayang Allah? Tidak! Allah beri dunia ini untuk semua manusia tapi Allah beri deen ini hanya pada insan yang Dia sayang. Bukankah Allah telah memberikan kita deen ini? Banyak lagi kebaikan yang Allah titipkan buat kita lantas mengapa kita perlu bersedih dengan sedikit cubaan yang diberikanNya?

Pandangan Allah dengan pandangan manusia begitu berbeza. Tarbiah Quran mengajar kita untuk melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza. Bukankah hati menjadi tenang dengan membaca kalamNya? Dia memujuk kita untuk lebih kuat. Dia mendengar suara hati dan menuntuni kita untuk memahami kalamNya. Berbahagialah wahai hati saat diuji kerana kau sedang mencari kekuatan dari Zat yang agung.

p/s – Saya rasa terharu membaca luahan hati seorang adik yang mungkin juga diuji dengan perasaan yang sama dengan saya. Dia kuat untuk bertanya Abi, murabbi kami semasa di matrikulasi dahulu tentang rasa inferiority complex ini. Dan jawapan Abi juga begitu menyentuh hati saya. Andai ada yang berminat, boleh sahaja membacanya di sini.