Wednesday, July 27, 2011

Annas..

Jujurnya kenikmatan itu dapat dirasai oleh mereka yang berada di atas jalan dakwah dan tarbiah. Nikmat yang paling berharga adalah ketika Allah memberi peluang memahami kalamNya. Menitis air mata saat Allah memberi kefahaman yang sangat mendalam. Dan Quran itu sememangnya menggerakkan hati.

Sudah hari ketiga kami berprogram bersama. Program masih belum tamat. Namun berada di sini, merasai udara-udara iman yang indah begitu menggelorakan hati.

Dan jujur hati ini sangat cemburu dengan ustaz kerana dia dapat mentadabbur sebegitu rupa. Kami ambil masa sehari untuk tadabbur surah Annas sahaja. Kami belajar asas dakwah dan tarbiah dari surah Annas. Serasanya memang saya tidak sempat untuk menulis keseluruhan bahan yang disampaikan. Cuma beberapa poin yang saya rasakan begitu menyentuh hati saya.

Kenapa surah Annas diletakkan sebagai surah terakhir? Sebab surah Annas ini adalah penutup, kesimpulan AlQuran itu sendiri, merangkumi perkara yang sangat-sangat penting.

Saat ustaz huraikan Allah sebagai Malik - Allah sebagai raja, hati ini begitu tersentak. Bila kita sebut raja, pasti seorang raja memiliki rakyat di bawahnya, ada perlembagaan yang diasaskannya dan juga tanah jajahannya.

Cuba kita tanya diri kita sendiri. Adakah hak-hak Allah sebagai raja telah dipenuhi? Apa yang telah berlaku pada tanah jajahan Allah? Apa berlaku pada rakyat Allah? Adakah perlembagaan Allah telah dijalankan? Begitu dahsyat rakyat Allah memperlakukan Allah. Mereka telah menggulingkan Allah dari takhta kekuasaanNya!

Pernah tak kita rasa semua itu? Bukankah kita khalifah Allah? Bukankah kita yang sepatutnya menjadi wakil Allah di atas muka bumi ini? Adakah kita telah meletakkan Allah di tempat yang sepatutnya? Adakah kita sememangnya rakyat Allah? Apa kewarganegaraan kita? Cukup setakat cakap kita ini rakyat Malaysia? Di atas jalan dakwah dan tarbiah, kita tidak disempitkan dengan ideologi dan tanah jajahan yang sempit itu. Seluruh muka bumi ini adalah milik Allah dan rakyat Allah perlu memakmurkannya.

Tanggungjawab siapa semua ini? Tanggungjawab kita untuk mengembalikan semula hak-hak Allah.

Saat Allah mengatakan dia menciptakan kita sebagai sebaik-baik kejadian. Saat dia mengungkapkan bahawa saat Dia mencipta, dia hanya mencipta untuk kita, apa yang telah kita lakukan?

Jom tadabbur satu ayat – surah Baqarah ayat 29.
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (2:29)
Kalau kita belajar bahasa arab, dalam satu ayat akan ada fa’el (pembuat), fe’el (perbuatan) dan juga maf’ulum bih (yang kena buat). Misalnya, Ali bermain bola. Ali adalah fa’el (pembuat), bermain adalah fe’el (perbuatan) dan bola ialah maf’ulum bih (yang kena buat).

Bila Allah cerita ayat ini, Allah kata – Aku menciptakan segala yang ada di bumi untuk kamu. Huwallazi khalaqa lakum mafil ardhi – kalau terjemah direct bahasa Arab – Dia yang menciptakan untuk kamu segalanya yang ada di bumi. Kiranya – pembuat dalam ayat ini adalah Allah. Apa fe’el dia? Apa perbuatannya? Perbuatan dalam ayat ini adalah mencipta. Apa yang dia cipta? Apa maf’ulum bih dalam ayat ini? Segala yang ada di bumi. Tapi tiba-tiba di dalam ayat ini, di tengah-tengah ayat ada perkataan lakum – untuk kamu. Allah mendahulukukan lakum sebelum maf’ulum bih.

Kalau kamu nak belikan hadiah untuk seorang teman, apa yang kamu lakukan terlebih dahulu? Kamu beli hadiah dulu, baru cari orangnya. Atau kamu dah pasti siapa orangnya, baru beli hadiah? Mesti kamu dah pasti dulu siapa orangnya kan? Sebabnya kamu pastikan hadiah itu begitu istimewa untuk dirinya kan?

Begitulah Allah. Dia pastikan segala ciptaannya begitu istimewa untuk manusia. Dia mendahulukan lakum – untuk kamu, untuk kita!
Misalnya Allah telah menyediakan bumi berjuta tahun sebelum kita dijadikan. Maha hebat Allah!

Cuba fikirkan mengenai kejadian petroleum. Saintis sendiri mengatakan bahawa pembentukan petroleum mengambil masa berjuta tahun. Petroleum dijadikan dari daun, pokok dan bahan lain. Semua itu mengambil masa berjuta tahun lamanya. Kalau ikut sejarah nabi Adam dengan masa kini, semuanya itu mengambil masa dalam 10000 tahun sahaja. Firaun berapa ribu tahun? Mengikut pakar arkeologi adalah 2000-3000 tahun. Maksudnya Nabi Musa sehingga Nabi Adam dalam 10 000 tahun sahaja. 10 000 tahun belum cukup untuk menghasilkan petroleum. Itulah buktinya bahawa Allah menciptakan bumi ini berjuta tahun sebelum kejadian manusia. Bukankah proses penciptaan Nabi Adam sendiri dari tanah yang diambil di bumi? Cuba fikirkan seketika. Jin iblis pun sudah tinggal di bumi lama sebelum kita. Pernah tidak jin iblis menggunakan petroleum? Tidak pernah kan? Hanya manusia yang datang selepas berjuta tahun sahaja yang menggunakannya. Itulah gambaran betapa alam ini dijadikan semata-mata untuk manusia dan agar manusia menggunakannya sebagai alat untuk berubudiah kepada Allah.

Di atas semua keistimewaan yang Allah berikan, di atas segala nikmat cintaNya yang kita kecapi, Allah sebagai Rabb yang menciptakan segalanya untuk kita, tidak inginkah kita untuk menjadi hamba yang bersyukur? Tidak terlintaskah di hati kita untuk meletakkan Allah di takhtaNya semula? Lantas bergeraklah, teruslah bergerak membawa manusia…

Tuesday, July 19, 2011

Menghindari...

Banyak yang terjadi dalam beberapa hari ini. Minggu lepas, saya sempat menghadiri Wacana Tarbawi Tarbiah Ikhwan Muslimin dan Peranannya Dalam Membangunkan Masyarakat yang disampaikan oleh Sheikh Jum’ah Amin.

Semalam baru pulang dari Acheh setelah 4 hari di sana mengikuti Bakti Ikhlas Siswazah Acheh 2011. Pena terlalu ingin menarikan rentaknya, melukiskan hikmah-hikmah yang saya kutip untuk dikongsikan dalam kanvas maya peribadi ini.

Namun segala yang terjadi hari ini ternyata lebih menyengat diri untuk menulis. Allah menguji dalam menghadapi mad’u di bumi ini. Bertahun-tahun menulis, tulisan saya kepadanya disalah erti. Masih ramai rupanya yang belum mampu memahami bahasa-bahasa saya sehingga makna tulisan mampu berubah tiga ratus enam puluh darjah.

Dakwah, pasti ada cubaan. Saya kelelahan menghadapi remaja belasan tahun yang seorang ini. Itulah dakwah. Saya masih belajar. Belajar menghadapi hari-hari baru. Belajar dari kesilapan sendiri. Kita pasti tersilap apabila melakukan sesuatu. Saat kita tidak pernah tersilap, pasti kita tidak pernah melakukan sesuatu.

Dan percaturan pertama itu ternyata menguji. Moga Allah terus menuntuni. Semasa di Acheh tempoh hari, saya membeli satu lagi buku tulisan Salim A. Fillah yang bertajuk Dalam Dekapan Ukhwah. Dan ada satu hadis yang begitu terkesan buat diri ini.

Dalam dekapan ukhwah, ada pilihan untuk meraih rumah di surga dengan menghindarinya. “Aku menjaminkan sebuah rumah di tengah-tengah surga”, kata Sang Nabi dalam riwayat Abu Daud, “Untuk orang-orang yang menahan diri dari debat, meski dia benar”. – Dalam Dekapan Ukhwah


Dan hari ini saya belajar menghindari. Moga Allah menuntuni saya dan dia.

Monday, July 04, 2011

Rahmat...

Ukhti bercerita. Pernah dalam usrahnya, terdapat seorang ukhti yang bermasalah. Tidak mahu bergerak, tidak mahu membina. Dia hanya mahu menumpang gerabak dakwah ini. Lantas mereka memberitahu naqibah mereka. Kata si naqibah, "Serahkan hal itu pada Allah. Biar Allah mengadilinya".

Tidak lama selepas itu, ukhti yang bermasalah itu pun gugur dari jalan dakwah. Dia sendiri yang menjauh, tidak mahu lagi memikul beban dakwah ini.

Ukhti yang menceritakan kisah tersebut bertanya, "Apa pandangan antunna terhadap kisah ini? Adakah ia hanya sebuah kisah? Adakah ini cuma tentang ukhti yang bermasalah tersebut? Tidak sama sekali. Persoalannya adalah bagaimana seandainya kitalah ukhti tersebut dan Allah menapis kita dari jalan ini. Bagaimana ukhti? Setiap hari yang kita lalui di atas jalan dakwah dan tarbiah hanyalah kerana rahmat Allah. Beradanya kita di atas jalan ini hanyalah kerana pilihan dan rahmat Allah. Ia bukan sekali-kali pilihan kita. Hanya kerana ALLAH, kita masih di sini!".

"Lantas ukhti, kita perlu sentiasa berdoa agar secorot mana pun kita, Allah masih ingin memilih kita di jalan ini. Dan kita perlulah membuat kerja dakwah ini dengan bersungguh-sungguh agar melayakkan kita untuk terus berada di jalan ini!".

Sayunya...

Kayu ukur...

Aku memang mengkagumi akhawat. Malah aku bersyukur ditakdirkan untuk berada di bumi ini. Hati terasa basah dengan segalanya. Himmah pun menguat. Seakan-akan tak sabar untuk terus bergerak. Banyak yang aku pelajari dalam hari-hariku di sini.

Sungguh aku kagum dengan mereka yang bergerak di jalan ini. Kata seorang ukhti, "Kita harus melihat anak-anak binaan kita seperti Solahuddin Al Ayyubi, Sultan Muhammad Fateh dan lainnya. Kita melihat Solahuddin Al Ayyubi, Sultan Muhammad Fateh dan lainnya berlari-lari ke arah kita. Kita ingin lahirkan insan-insan yang apabila mereka faham, mereka akan menjadi seperti generasi terdahulu. Kerana cita-cita kita begitu tinggi. Kita mahu mencapai ustaziatul alam."

Masya Allah! Sungguh aku malu melihat mereka. Terlalu tinggi kayu ukur yang diletakkan oleh mereka. Pernah kita berfikiran sebegitu?

Thursday, June 30, 2011

Hutang...

Sayu sangat saat melihat gambar ini. Seorang anak Palestin sedang membersihkan kesan-kesan pembunuhan ahli keluarganya. Namun wajahnya memaparkan ketabahan yang luar biasa, kan? Allah, melihat wajah mereka sahaja menyalurkan himmah yang luar biasa.

Semalam Dr Hafidzi mengulang mengenai hadis ini.

Umamah al-Bahili r.a reports that the Prophet s.a.w said, “A group of my community will remain on truth, they will vanquish their enemy and those who disagree with them will not be able to harm them until Allah s.w.t commands,”. “Where are these people?,” the companions asked. The Prophet s.a.w replied, “In and around al-Quds (Jurusalem)”. (Imam Ahmad)

Saya tidak pandai bahasa Arab. Namun menurut Dr Hafidzi, hadis ini bukan menyebut mengenai musuh-musuh mereka, tetapi pengkhianat-pengkhianat mereka. Kesemua kezaliman mereka tidak akan memberi kesan pada anak-anak Palestin. Dan pengkhianat mereka bukan orang lain, bahkan mereka yang satu aqidah dengan mereka. Pengkhianatan pertama adalah pengiktirafan negara Israel oleh Turki yang saat itu dipimpin oleh kuasa-kuasa sekularisme. Negara Turki adalah negara Islam pertama yang mengiktiraf Israel. Kemudiannya adalah Iran yang saat itu memusuhi Mesir dan menjalin hubungan dengan Israel. Dan kemudiannya pengkhianatan Mesir sendiri sehinggalah terjatuhnya kerajaan Hosni Mubarak.

Dan terasa bahawa diri sendiri adalah pengkhianat. Nauzubillah! Menurut Dr Hafidzi saat kutipan derma, "Rakyat Palestin tidak akan pernah menagih simpati kita. Mereka tidak pernah mengharapkan duit-duit kita. Namun kitalah yang berhutang dengan mereka! Kita menyerahkan tanggungjawab membebaskan AlQuds yang sewajarnya menjadi tanggungjawab kita sepenuhnya kepada mereka. Kitalah yang berhutang dengan mereka. Mudah-mudahan sumbangan kita mampu mengurangkan hutang-hutang kita pada mereka".

Moga terus istiqamah membantu Palestina!

Tanggungjawab...

Semalam berpeluang mendengar ceramah Dr Hafidzi berkenaan dengan peristiwa Isra' Mikraj dan perkaitannya dengan bumi Palestin.

Antara kisah yang menyentuh hati saya adalah kisah Muhammad Fatih. Ketika itu usianya masih kecil dan murabbinya mengajarkannya sebuah hadis.

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”. (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dia bertanya pada murabbinya, "Adakah Rasulullah SAW menyebut nama si tentera?"

Jawab murabbinya, "Tidak, bahkan ia adalah lafaz umum".

Lantas dia mengatakan bahawa dialah tentera tersebut!

Masya Allah! Menurut Dr Hafidzi, generasi terdahulu mengambil sesuatu hadis dan segala yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai tanggungjawab individu. Mereka memikul segala kata Rasulullah SAW dengan harta dan jiwa mereka.

Kita lihat seorang lagi sahabat Nabi. Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi iaitu Abu Ayyub Al Ansary r.a telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”.

Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw meskipun usianya ketika itu adalah 80 tahun.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Kita dah baca banyak kan hadis-hadis mengenai kemenangan Islam dan pembebasan bumi Palestin? Pernah membaca hadis-hadis tersebut dan mengambilnya sebagai tanggungjawab individu?

Bersama dengan saya, ada e-book tentang 40 hadis mengenai Palestina yang pastinya menyuntik semangat kita tentang janji-janji Allah dan rasulNya. Boleh kirimkan email supaya saya dapat menghantarnya. Moga Allah menuntuni kita di jalanNya.

Friday, June 17, 2011

Infaq...

Pernah suatu ketika saya melihat bahawa kerja berdemonstrasi mahupun berhujah di hadapan pemimpin yang zalim adalah lebih sukar dari kerja-kerja mentarbiah. Pada saya, membawa usrah itu sungguh mudah.

Namun hari ini saya melihat hal itu terlalu berbeza. Andai ada kerja yang sukar, itulah kerja-kerja mentarbiah. Mungkin suatu ketika saya melihat usrah hanyalah medan untuk menyampaikan ilmu atau taalim. Namun kefahaman saya terlalu jauh berbeza. Hala tuju usrah itu jauh. Impiannya adalah ustaziatul alam. Saat kita menjadi murabbi, kita juga perlu melahirkan murabbi. Anak-anak binaan kita juga perlu menjadi murabbi. Mereka juga perlu mahir dalam selok belok dakwah dan tarbiah ini. Mereka juga perlu bergerak. Dan ternyata kerja itu pada saya adalah terlalu sukar. Mendidik seorang manusia dari zero to hero ternyata terlalu sukar.

Dan kerja dakwah dan tarbiah ini bukan bermusim, tapi setiap minggu. Setiap saat dan ketika. Jujurnya ianya terlalu sukar untuk membangunkan manusia.

Mujahadahnya terlalu berat. Perjalanannya sungguh jauh. Tadi saya mentadabbur satu ayat-ayat Allah. Benar-benar saat diri sedang bermujahadah. Barangkali kerana mutabaah amal diri ini yang sungguh corot, lantas dakwah dan tarbiah terasa sukar sekali.

Berapa tahun perjalanan dakwah dan tarbiah Rasulullah SAW di Madinah? 10 tahun. Berapa banyak misi jihad dalam tempoh itu? Ada 83 tahun misi jihad. Kalau ikut kiraannya, kiranya setiap sebulan setengah, pasti akan ada misi jihad. Dan misi jihad di zaman itu bukan sehari dua, tapi kadangkala memakan masa berbulan lamanya.

Satu hari, sahabat-sahabat singgah di Taif. Mereka melihat kedamaian kebun-kebun kurma di Taif. Mereka berbual-bual saat itu. Misi jihad yang berterusan menyebabkan mereka tidak sempat mengumpul harta untuk digunakan pada jalan Allah. Timbul idea untuk bertanyakan Rasulullah SAW agar mereka diberi giliran untuk berehat, agar dapat mengumpul kecukupan untuk berjihad semula. Lantas mereka menghantar seorang sahabat untuk bertanyakan hal itu pada Rasulullah SAW. Kalau kita yang bertanya, mungkin masih ada selonggok lagi harta kita kan? Tapi andai sahabat-sahabat yang bertanya, pastinya mereka benar-benar kesempitan.

Saat Rasulullah SAW mendengarkan idea itu, nabi Allah itu diam. Kenapa nabi diam? Sebabnya perintah jihad ini bukan dari Rasulullah SAW tapi dari Allah SWT! Dan saat itulah ayat 195 dari Surah Al Baqarah turun.

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (2:195)


Ayat-ayat ini turun dalam keadaan sahabat-sahabat sedang kesempitan yang amat. Tapi hebatnya para sahabat Rasulullah SAW, mereka sami’na wa ata’na. Tidak timbul lagi persoalan ini sehingga akhir kehidupan Rasulullah SAW.

Jihad dan infaq bukan saat kita telah sempurna. Bukan saat kita telah kaya, bukan saat kita telah menjaga hak-hak semua. Bukan! Bukan! Ianya berlaku setiap saat dan ketika. Meski dalam keadaan kita tidak punya apa-apa pun lagi.

Semuanya kerana janji Allah bahawa dia akan mencukupkannya bagi kita.

Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna". (18: 16)


Rasa nak nangis… Moga Allah permudahkan urusan-urusan kita..

Saturday, June 04, 2011

Sesak...

Semalam keluarga saya dan keluarga sahabat rapat keluarga datang dari Johor. Kami bercuti di Kuala Lumpur sahaja memandangkan adik-adik ramai di sini dan yang paling penting bagi kami adalah kebersamaan. Saya membesar dalam keluarga yang boleh dikatakan islami. Dan semalam malam kami berjalan, merasai lumpur jahiliah di bumi Kuala Lumpur. Kami berjalan di Fahrenheit 88 dan Pavilion. Kami melihat manusia-manusia berjalan tanpa tujuan. Kami melihat kedai-kedai arak, manusia-manusia yang minum air syaitan tersebut.

Masih teringat lagi kata ustaz dulu. Kalau tak terasa nak kena buat kerja dakwah ini, berjalanlah di Bukit Bintang. Dan semalam saya di sana.

Mungkin sebagai orang yang ditarbiah, saya tidak patut berjalan di tempat-tempat sebegitu. Tapi hal ini membuka mata saya tentang nikmat yang Allah beri iaitu nikmat iman dan hidayah. Dalam jutaan manusia yang masih leka berjalan di tengah hiruk pikuk malam, Allah memilih kita untuk merasai nikmat hidayah ini.

Teringat kata-kata Dr T dulu, kenapa Allah pilih kita?

Teringat kata-kata Ustazah Arpah, huwajtabakum – dia telah memilih kamu.

Teringat kata-kata Ustaz UQY, kalau orang Eskimo menuntut di hadapan Allah bahawa dia tidak menerima pernah mendengar tentang syahadah ini, kita juga akan memikul dosa mereka kecuali mereka yang melakukan kerja dakwah ini bersungguh-sungguh di tempat mereka.

Terasa habis menonton video ini.

Saya quote description video ini.

Kesimpulan dari short film ini adalah;
"Apakah peranan SAKSI?"
"What if saksi ambil tindakan untuk berdiam diri?"
Analogi: seperti short film di atas.
Kalau saksi-saksi itu berdiam diri sahaja, siapakah yang menegakkan keadilan untuk si victim itu? dan membiarkan sahaja si driver itu melepaskan diri..kalau begitu, bukan SAKSI namanya..

Tanggungjawab saksi bukan sahaja setakat berpeluk tubuh akan tetapi berani bergerak ke hadapan untuk memberitahu manusia apa yang sebenarnya yang mereka saksikan.

Samalah dengan tanggungjawab KITA! Tanggungjawa ape? Tanggungjawab ini ialah kita melaksanakan di hadapan seluruh alam ini segala hak Syahadah Al-Haq (Pengakuan Bahawa Tiada Tuhan yang Layak Disembah selain Allah dan Muhammad Adalah Utusan Allah) yang kita imani dan kita akui sebagai agama kita.

wallhualam.."Agar dunia menjadi saksi,kelak tiada alasan diberi"


Kalau masih tidak faham tentang Syahadatul Haq, mungkin boleh baca entri saya pada tahun 2008 dulu.

Tuntutan syahadah inilah yang menyebabkan saya menangis tiada henti semasa mendengar kupasan prof tentang ayat 6-11 surah Mulk.

Lagi 6 hari akan berakhir exam dunia, dan moga saya dapat lari lebih laju untuk mengejar akhirat pula. Sesak sangat fikiran dan hati bila asyik belajar.

Sunday, May 29, 2011

Mulk...

Ada seorang pemuda dihantar belajar ke Jerman dalam bidang kejuruteraan. Di Jerman, dia perlu mendalami bidang pengajiannya dalam bahasa Jerman. Satu hari, pensyarahnya memberikan tugasan.

“Balik ini kamu baca bab 2 buku X”. Agak-agak kamulah, apa yang dimaksudkan oleh pensyarahnya? Adakah pemuda tadi hanya perlu menyebut satu persatu perkataan di dalam bukunya dengan lughah, tajwid, makhraj bahasa Jerman yang betul atau dia perlu mendalami bab tersebut sebaiknya?

Pastinya dia perlu memahami bab tersebut sebaiknya. Apabila Allah menyebut Iqra’ (bacalah), apa yang Allah maksudkan? Hanya perlu baca dengan lughah, tajwid dan makhraj yang betul atau faham betul-betul Quran itu?Agak-agaknya pahala ‘membaca’ Quran yang disebutkan dalam hadis-hadis itu diperolehi tak oleh orang yang ‘membaca’ sahaja tanpa memahami?

Dalam Quran, Allah sebut kena baca Quran sebagaimana semestinya (2:121). Bacalah dan tadabburlah ye.

Dan kenalah tadabbur dengan hati, bukan akal. Dalilnya (47:24). Kenapa hati rasa keras dan tak mampu nak tadabbur?Fikirkan amalan-amalan kita yang mungkin telah pun menutup hati kita. (83:14)

Hari itu semasa nak pass over mutarabbi kepada Prof, Prof tadabbur surah AlMulk. Ya Allah, sangatlah cantik. Rasa tenang sangat. Rasa macam nak nangis puas-puas. Rasa sangat Allah itu dekat. Saya suka sangat ayat terakhir surah Mulk.

“Katakanlah: Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering, maka siapa yang akan memberimu air yang mengalir?”


Setiap kali saya rasa hati saya macam kering semacam, Allah itu sangat dekat. Dia akan membasahkannya semula. Sayang Allah!

Prof tadabbur surah itu sambil menghayati satu persatu kalimah Quran dalam surah tersebut. Sepanjang dalam tarbiah, saya belajar pelbagai metod pentarbiyahan dari setiap orang yang berbeza.

Ayat pertama surah Mulk itu sangat indah. Ayat itu adalah puji-pujian pada keagungan Allah yang tersangatlah luas. Dialah yang menguasai segala kerajaan. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Pelik kan kita ini. Kita rasa masalah kita besar. Kita rasa ujian kita paling berat. Tapi kalau kita memang bergantung sepenuhnya pada Allah, menghayati sepenuhnya kekuasaan Allah, terasa sebenarnya kecil sangat kan semua yang kita hadapi? Bila baca ayat itu, rasa macam dah serah bulat-bulat rahsia hidup kita pada Allah. Rasa tenang sangat. Allah kata semuanya dalam kekuasaan dia.

Mungkin saya rasa sangat ayat-ayat ini sebab saya dah nak exam. Saya tidak tahu case apa yang akan saya dapat. Rasa exam itu macam unfair. Belajar bertahun-tahun tapi nasib kita ditentukan oleh beberapa jam itu. Tidak adilnya! Dan lepas baca ayat-ayat itu, saya rasa sangat-sangat yang Allah tahu semua masalah saya. Allah tahu ketakutan saya. Allah tahu case apa yang akan saya dapat. Hanya Allah sahaja yang tahu masa depan saya. Allah berkuasa nak mentakdirkan apa-apa sahaja.

Ayat kedua itu Allah kata dia jadikan hidup dan mati ini untuk menguji kita siapa yang baik amalannya. Pernah seorang doktor tanya pada kami, apa definisi kejayaan pada kamu semua? Kami pun jawab, kejayaan itu bila kita berjaya masuk syurga Allah. Dia kata bukan. Lamalah kami cuba-cuba menjawab soalan itu. Lepas itu dia pun sebut ayat 3:185. Ada bahagian dalam ayat itu yang disebut – dimasukkan ke dalam syurga. Terdetik dalam hati, betullah apa yang kami cakap. Dia kata tak cukup masuk syurga sahaja, tapi berjaya ini adalah bila kita dijauhkan dari neraka Allah, yang juga disebut dalam ayat 3:185 itu. Sebabnya ramai orang yang akan masuk syurga, tapi mungkin dia dah masuk neraka dulu. Ada cop kat dahi dia yang dia dulunya ahli neraka.

Ada seorang sheikh dari Palestin nasihatkan, kalau kita nak doa, kena doa Allah masukkan kita ke dalam syurga tanpa hisab. Kalau pensyarah kita analyse kerja kita pun kita dah cuak kan? Kalau Allah yang menghisab kita masa hari kiamat itu, tak tahulah berapa puluh kali kita terkencing-kencing, tak tahulah takat mana peluh kita hari itu. Salahlah kalau doa nak diringankan hisab, kalau boleh kita nak masuk syurga Allah itu tanpa hisab.

Ayat 2 ini sebenarnya satu motivasi bagi kita. Setiap perkara yang terjadi dalam hidup kita, kita kena rasa yang Allah sedang menilai kita. Makanya kita rasa macam nak buat sebaiknya kan?

Cantik sangat ayat-ayat Allah itu. Selepas Dia menceritakan keagunganNya, dan dia tekankan hakikat kehidupan, selepas itu dia pun ceritakan keindahan ciptaanNya. Best sangat ayat itu sebab ulangan ayat-ayat Allah itu. Ma tara fi khalqirrahmani min tafawut. Tidak sesekali kau akan lihat satu pun kekurangan dalam ciptaan Allah itu. Farji’il basar. Lihatlah sekali lagi. Thummarji’il basar. Kemudian lihatlah sekali lagi. Terlalu hebat kan anjuran Allah yang suruh kita lihat berkali-kali itu? Allah kata kita akan penat. Tidak akan ada kelemahan pun dalam ciptaanNya.

Prof ceritakan tentang satu perkara yang menambah keindahan ayat ini. Dulu kan kita pernah belajar dalam fizik – pepejal lebih tumpat dari cecair, dan cecair lebih tumpat dari gas. Tapi ais (pepejal) itu boleh terapung dalam air. Itulah indahnya winter. Allah ciptakan winter itu sangat indah. Ketulan-ketulan ais itu membentuk satu lapisan jalan yang licin. Di atas sungai-sungai, ada lapisan ais, tapi di bawahnya masih ada air. Lapisan ais itu menjadi insulator kepada air yang ada di bawah itu. Ikan-ikan yang ada di sungat itu pun boleh terus hidup. Cantik tak? Kata Prof, hebatnya Allah yang mencipta semua itu. Kalau manusia yang menentukan sunnatullah alam ini, akan hancur bumi. Kesian ikan-ikan dan makhluk Allah yang lain itu.

Saya rasa indah sangat. Orang-orang yang bekerja dalam amal dakwah ini akan merasai dekatnya mereka dengan alam ini. Alam ini semuanya dalam ketaatan pada Allah. Kita tak pernah berseorangan. Alam inilah teman kita. Dan Allah yang menciptakan semua ini dengan sempurna pastinya tidak akan menyiakan kita. Dia ada bersama dalam hidup kita. Andai alam ini begitu indah, Allah pasti mentakdirkan yang indah-indah juga dalam hidup kita. Allah akan mentakdirkan hidup kita dengan penuh kecintaan dan keindahan. Percayalah.

Insya Allah, nanti sambung tadabbur lagi ye. Mahu belajar. Dulu-dulu saya selalu minta orang lain doakan. Tapi kata naqibah saya, bila kita minta orang lain doakan, luput sedikit sebanyak pergantungan pada Allah. Kita mula bergantung pada doa-doa manusia lain. Allah itu kan sangat dekat. Mintalah terus darinya.

Mudah-mudahan Allah mentakdirkan yang terbaik buat kita dalam kehidupan dunia dan akhirat. Moga-moga Allah mentakdirkan kebaikan dalam peperiksaan yang akan tiba ini dan kebaikan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya buat ummah. Dan moga Allah menjaga iman, niat dan cita-cita saya sehingga saya bertemu denganNya. Mahu syahid!

Wednesday, May 25, 2011

9:111...


Ayat ini menyentuh hati saya saat ustaz menceritakannya tempoh hari.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (9:111)


Saat Saidina Abu Bakar r.a mentadabbur ayat ini, dia menangis begitu lama. Tangisnya teresak-esak.

Lantas sahabat-sahabat yang lain bertanyakan asbabnya dia menangis sebegitu. “Kami juga membaca ayat tersebut tapi kami tidak menangis sepertimu. Apa yang menyebabkan kamu menangis?”

Abu Bakar menangis lebih kuat. Dia mula membaca ayat tersebut, namun dia tidak dapat menyudahinya. “Innallahasytara...”. Ayat-ayat tersebut seolah-olah mencekit dirinya. Sambil teresak-esak dia menyebut, “Allah sedang membuat perniagaan, Dia mahu membeli diri dan harta kita. Namun layakkah diri dan hartaku untuk dibeli oleh Allah?”

Masya Allah. Terlalu banyak kelemahan diri kita. Bermillion kelemahan dalam amal-amal kita. Pernahkah kita terfikir sedetik,adakah diri kita dan harta kita ini ingin dibeli Allah? Sudahkah kita menjadikan diri dan infaq kita adalah yang terbaik sehingga layak berjual beli dengan Allah?

Valley of the Wolves - Palestine..



Super best cerita ini! Memaparkan kezaliman Zionis yang terlalu hina. Tidak tertahan perasaan dari tidak menontonnya meskipun di ambang-ambang peperiksaan. Zionis pasti kalah akhirnya! PASTI! PASTI! Takbir! Allahu Akbar!

Sunday, May 22, 2011

Ustazah Yoyoh Yusrah...

Warafa’na laka zikrak (94:4)

Dan kami tinggikan sebutan namamu bagimu (94:4)


Itu janji Allah. Allah akan meninggikan nama-nama insan yang berjuang di medan dakwah ini. Sang Rasul diabadikan dalam setiap saat dan ketika. Namanya dilaungkan dalam azan dan fenomena azan ini berlaku setiap saat. Bilal misalnya diabadikan namanya juga sehingga kini. Setiap muazzin dipanggil dengan panggilan Bilal. Dan ramai lagi tokoh dakwah yang telah meninggalkan kita namun namanya harum mewangi ke seluruh pelusuk dunia.

Buat beberapa ketika saya merasai kemarau hati dalam dakwah dan tarbiah.Namun berita pemergian Ustazah Yoyoh Yusroh semalam memberi sentakan hebat. Air mata berjujuran jatuh saat akhawat menceritakan kisah perjuangannya. Hati basah kembali. Tiada yang mustahil buat diri ini dalam dakwah dan tarbiah.
Ustazah Yoyoh Yusroh adalah ahli politik hebat di Indonesia, merupakan ahli parlimen, tokoh penting dalam PKS. Memiliki 13 anak tidak sesekali membatasi perjuangan dakwah dan tarbiahnya.
Anak-anaknya adalah aset yang sangat bernilai. Putera sulungnya lahir pada 20 Disember 1985. Diberi nama Ahmad Umar Al Faruq. Anaknya yang paling bongsu berumur 8 tahun. Anak kedua A Izza Jundana, belajar di International University, Sarajevo, Bosnia. Puteri ketiga, Asmah Karimah, kuliah di Fakultas Pertanian UGM. Ustazah meninggal dalam kemalangan untuk menghadiri majlis konvokesyen anaknya ini.

Putera keempat, Huda Robbani lahir Oktober 1990, merupakan jaguh renang. Putera kelima, Shalahuddin Al Ayubi, lahir 13 April 1992. Putera keenam sampai ke lapan menimba ilmu di pesantren. Mereka ialah Jakfar Athoyar (lahir Mac 1993) di Gontor. Salma Salimah lahir April 1994, belajar di Ponpes Assyifa, Subang Jawa Barat. Muhammad Ayyasy lahir 13 April 1996 di Ponpes Al Hikmah. Ayyasy ini sudah menghafal Quran 30 juz. Putera kesebelas Abdulah Aminuddin, lahir 16 Januari 2000. Puteri kedua belas Helma Hamimah lahir Julai 2001. Puteri bongsunya Rahma Rahimah lahir Januari 2003.

Seorang ukhti menceritakan kisah ini semalam pada kami. Pada tahun 2009 Ustazah Yoyoh Yusroh, pernah bercerita. Ketika ke Palestin dia bertemu dengan dua wanita Ummu Mus'ab dan Ummu Hamzah. Dia ditanya oleh salah satu wanita Palestina itu.

"Berapa orang anak kamu?"

"Anak saya 13 orang", jawab Ustazah.

"Ohh..disini bilangan itu biasa-biasa sahaja. Karena anak kami rata-rata 14."

Pertanyaan kedua muncul. "Kamu hafal al-Qur’an?", tanya Ummu Mus'ab.

"Belum sampai 20 juz," jawabnya. Kemudian ditanya lagi berapa usia ustazah. Ustazah menjawab 41 tahun.

Lalu soalan seterusnya menyentap hati Ustazah, "Apa yang kamu buat selama ini sehingga di usia 41 tahun, masih belum menghafal Al Quran?" tanya Ummu Mus'ab.

Saat ukhti tersebut mengkhabarkan kisah ini, saya juga terdiam. Seakan-akan tiada alasan mengapa masih tidak menghafal AlQuran.

Kisah lain adalah kehebatan dia mentarbiah anak-anaknya. Setiap waktu solat, dia menyebut setiap satu nama anak-anaknya. Dan dia bangun tahajud, dua rakaat untuk setiap anak. Masya Allah!

Dalam satu majlis pada bulan Ogos 2009, beliau berbicara mengenai langkah menuju syurga dunia iaitu pernikahan. Subhanallah, luar biasa!

“Berbicara mengenai visi pernikahan, visi pernikahan itu adalah visi da'wah. Sehingga apabila visi pernikahan telah menjadi visi da'wah, apapun masalah yang tengah dihadapi oleh keluarga kita, masalah itu tidaklah terlalu besar bila dibandingkan dengan masalah umat. Maka keluarga itu tidak akan memperumit masalah-masalah kecil.”

“Bagaimana dengan menunda pernikahan?”


“Ternyata apabila menunda pernikahan, maka akan menunda kelahiran dan kebangkitan umat, menunda pernikahan akan menghambat pertumbuhan atau penambahan umat-umat yang berkualitas. Bukankah Rasul senang dengan umat yang banyak dan berkualitas. Dan bukankah kita rindu dengan lahirnya kembali kepemimpinan Islam dan Islam menjadi soko guru seluruh alam ?”


“Bagaimana hubungan Ustadzah Yoyoh Yusroh dan suami?” Ustazah mengatakan, hubungan layaknya seorang da'i dan mad'u, ertinya suami-isteri harus saling mengingatkan saling menegur bila salah.

Moderator berkata, “Ustadzah adalah seorang wanita yang luar biasa, memiliki 13 orang anak, menjadi seorang anggota DPR RI.”

Jawab ustazah, “Saya merasa saya adalah seorang wanita biasa, cerminan saya adalah wanita-wanita palestina, 13 orang anak di Palestina adalah suatu hal yang biasa. Dalam keadaan yang tercekam, mereka dapat melahirkan banyak anak”.

Beliau pernah berkesempatan bertemu dengan wanita-wanita Palestina. Semasa taaruf, wanita-wanita Palestina memperkenalkan diri misalnya seperti, “Ana Ummu Maryam, ana hafidzah, ana muhandis". (Saya Ummu Maryam, saya seorang penghafal Al-Quran, saya seorang jurutera). Subhanallah!

“Kecondongan mereka akan dunia itu sedikit, sehingga mereka mudah untuk menghafal Al-Quran, mereka adalah wanita-wanita tangguh. Tak sedikit pun rasa sedih ketika anak-anaknya menjadi pejuang Allah dan menjadi seorang yang syahid. Mereka adalah wanita-wanita cerdas. Mereka adalah wanita-wanita yang dekat dengan Allah SWT. Persiapkanlah menjadi seorang istri dan ibu. Seorang wanita harus mempersiapkan menjadi ibu generasi, siap menjadi ibu sehat. Oleh karena itu perhatikanlah menu-menu makanan yang kita (wanita) makan. Dari rahim inilah akan tumbuh embrio yang luar biasa dari seorang ibu yang luar biasa. Dari rahim inilah akan tumbuh embrio yang sehat dari seorang ibu yang sehat.”

“Pernikahan adalah suatu fitrah, ia bukanlah beban tapi kebutuhan. Dari rumah tangga muslim akan lahirlah khilafah fi ard. Dan satu kunci yang penting, kedekatan seorang hamba dengan Allah SWT. Ketika seorang hamba telah bertaqwa, Allah SWT akan memudahkan jalannya”.

Kadang kita rasa macam tak larat sangat. Penatlah dan macam-macam keluhan lagi. Fikirkan ustazah. 13 orang anak, pengasas AlQuran Centre Ummu Habibah, ahli parlimen, melanjutkan pengajian sehingga S2, seorang isteri, seorang murabbiah, seorang daiyah dan seorang hamba Allah yang telah berjuang sehingga akhir kehidupannya.

Kita juga mampu kan? Insya Allah, akan lahir lebih ramai lagi Ustazah Yoyoh Yusroh selepas ini.

Tulisan lain mengenai ustazah:

Link 1
Link 2
Link 3
Link 4
Link 5
Link 6 - Laporan Viva Palestina
Link 7
Link 8
Link 9

Boleh google Yoyoh Yusroh mp3, ada mp3 rakamannya terutama mengenai AlQuran.

AllahuA'lam.

Tuesday, May 17, 2011

Dua jalan...

Terlalu banyak ujian yang berlalu. Terkadang menilai hati sendiri yang masih belum terobsesi sepenuhnya pada Allah. Ujian-ujian yang hadir dalam kehidupan tidak lain hanyalah untuk membawa diri ini kembali padaNya.

Saya pernah melalui depression. Saat itu bukan antidepressant atau ECT yang membantu merawat saya. tapi secebis pengalaman melalui seketika erti nazak. Terlalu pahit kehidupan yang perlu saya lalui kini, tapi saya perlu melaluinya kerana mati ternyata terlebih menyakitkan.

Teringat kata-kata sahabat Rasulullah SAW..

Saidina Abu Bakar r.a pernah berkata pada seekor burung: “Andai aku menjadi burung seperti mu dan aku tidak ingin menjadi manusia!”.

Abu Dza pernah berkata: “Alangkah baiknya, andai aku hanya sebatang pohon”.

Uthman r.a pernah berkata: “Alangkah baiknya, andai setelah mati nanti tidak dibangkitkan”.

Aisyah r.a pernah berkata: “Alangkah baiknya, andaikan setelah ini aku dilupakan sahaja”.

Diriwayatkan bahawa Umar r.a pernah jatuh pengsan kerana takut kepada Allah ketika ia mendengar salah satu ayat AlQuran. Pada suatu waktu, ia menggenggam segenggam jerami seraya berkata: “Alangkah baiknya, andai aku hanya menjadi jerami ini. Alangkah baiknya, andai aku tidak pernah ada dan disebut-sebut orang, andai aku dilupakan sahaja, andai ibuku tidak melahirkan aku”.

Entahlah, terkadang hati ini benar-benar tidak mahu menjadi manusia lagi. Tapi itulah takdir Allah. Terlalu banyak kepayahan yang perlu dilalui.

Lantas mentadabbur Surah Al Balad. Surah yang indah. Kadang bila kita penat sangat, kita cuma nak manusia yang di sekeliling kita memahami kita. Macam notislah kepenatan atau kepayahan kita itu.

Begitulah surah itu. Memang faham sangat kehidupan manusia ini yang penuh dengan kepayahan. (90:4)

Surah-surah Makkah juga adalah surah yang menanam aqidah. Kita tidak nampak Allah, tapi perlu mantap keyakinan kita pada Allah. Saat kita asyik mengeluh tentang penat, harta yang kita habiskan di jalanNya, (90:6) jawapan Allah mudah. Seolah-olah kita tak rasa Allah melihat kita. (90;7 & 90:5) Sedang kita perlu yakin sepenuh hati bahawa Allah tahu kesusahan hidup kita.

Surah ini juga menyentuh mengenai golongan kanan. (90:18) Golongan kanan yang perlu melalui jalan yang sangat payah. (90: 11-12) Apa jalan yang payah itu? Nanti tadabburlah. Kalau kita rasa membebaskan hamba (90:13) itu tak relevan dengan kita, ternyata kita tersilap. Lagi ramai hamba zaman ini. Hamba pada nafsu dan segalanya. Dan ternyata kepayahan kita adalah kerana kita cuba membebaskan hamba ini kan? Kita ambil bidang yang sukar juga kerana matlamat ini kan? Moga Allah memudahkan.

Mahu atau tidak, kita perlu memilih jalan yang susah ini. (90:11-12) Sebabnya kalau kita tidak pilih jalan ini, kita termasuk dalam golongan kiri. (90:19) Balasannya adalah neraka yang tertutup (90:20) Maksudnya dah tak boleh keluar lagi.

Moga-moga kepayahan yang kita lalui melayakkan kita memasuki JannahNya. Bersabarlah diri…

Monday, May 09, 2011

Munafiq....

Kadang terasa futur sangat diri ini di musim-musim peperiksaan. Jujurnya saya bencikan peperiksaan yang begitu menguji hati dan nubari. Harapan-harapan manusia terkadang menyulitkan perasaan. Peperiksaan kali ini ujiannya begitu hebat. Rasa down sangat..

Mentadabbur ayat ini semalam malam. Saya semakin gerun dengan hati sendiri sebenarnya. Bimbang sangat.
Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: "Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh" Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan). Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta. (Surah Attaubah: 75-77)


Berapa kali kita berjanji dengan Allah? Terlalu banyak kan?

Ya Allah, aku sibuk sangat pre-clinical ini. Exam setiap minggu. Nanti bila aku masuk clinical year, aku akan buat kerja dakwah ini.

Ya Allah, aku nak Pro-Exam 1 sekarang ini. Kalau aku gagal, aku tak boleh masuk clinical year. Nanti bila aku dah lulus, aku akan buat kerja dakwah ini.

Ya Allah, aku nak Pro-Exam 2 sekarang ini. Kalau aku gagal, lama lagi aku perlu menunggu. Kalau aku berjaya, nanti aku buat dakwah ini.

Ya Allah, aku nak Pro Exam 3. Kalau aku tak lulus, aku tak jadi doktor. Nanti aku mencoreng arang pada dakwah dan tarbiah ini. Nanti bila aku dah lulus, aku buat kerja dakwah ini gila-gila.

Ya Allah, aku dah kena jadi houseman. Sibuk sangat. Ya Allah, nanti bila aku dah jadi MO, aku buat dakwah ini.

Ya Allah, aku dah jadi MO, semua HO di bawah aku. Banyak tanggungjawab aku. Nanti aku dah jadi pakar, aku buat dakwah ini.

Ya Allah, exam post-graduate susah sangat. Terlalu susah nak pass. Semua examiner akan cari alasan untuk failkan. Ya Allah, izinkan aku belajar. Nanti aku buat dakwah ini.

Ya Allah, duit aku tak banyak. Nanti aku dah jadi pakar, aku beri keseluruhan gajiku pada dakwah ini.

Ya Allah, aku tak jumpa ikhwah yang soleh lagi. Nanti kalau aku jumpa, mesti aku semangat nak buat dakwah ini.

Ya Allah, aku dah ada anak. Kalau aku tak jaga anak-anak aku, nanti diorang jadi liar. Aku akan jadi fitnah pada dakwah ini. Izinkan aku menjaga anakku. Nanti diorang dah besar sedikit, aku buat dakwah ini.

Ya Allah, aku dah tak berapa sihat lagi. Aku tak larat nak buat kerja dakwah ini. Tak larat nak ke sana dan ke mari.

Ya Allah aku dah nazak, dan aku betul-betul tak larat nak buat dakwah ini. Kau tahu kelemahanku.

Ya Allah, hari ini hari kiamat. Aku akan bertemu denganMu..


Apa maksud ayat-ayat AlQuran di atas itu ye? Ayat-ayat itu untuk mereka yang sering berjanji setia dengan Allah. Namun saat mereka telah dikurniakan semua nikmat, mereka memungkiri janji mereka.

Apa jawapan Allah untuk golongan ini? Allah akan menanamkan kemunafiqan dalam hati mereka sehingga bertemu denganNya. Allah gunakan kalimah fa, faa'qabahum. Fa ini serta merta. Serta merta Allah tanamkan sifat munafiq dalam diri kita pada setiap janji yang tak tertunai. Dapat bayangkan tak bahawa sifat munafik itu ada dalam diri kita sehingga kita bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak?

Lailahailla anta subhanaka inni kuntu minazzalimin…

Sunday, May 08, 2011

Hati...

Lama sungguh tidak menulis. Kesibukan mengatasi segalanya. Dulu saya pernah bercita-cita untuk menulis setiap ibrah yang saya perolehi dalam kehidupan ini, namun ternyata masa terlalu mencemburui. Pedulikan. Tuliskan hatta sebaris kata, kan?

Minggu lepas kami berdaurah dengan adik-adik. Tajuknya tentang Ghazwatul Fikr atau serangan pemikiran. Kami juga membincangan sedikit sebanyak tentang sayonara jahiliah.

Sukar bukan meninggalkan jahiliah? Terlalu sukar. Jahiliah yang terkadang menyebabkan hati dan perasaan kita semakin jauh dari dakwah dan tarbiah. Jahiliah yang membuatkan kita terkadang sudah tidak memahami lagi bahasa pertuturan ikhwah dan akhawat. Bergelumang dengan Jahiliah membuatkan kita merasai inferiority complex yang amat sangat dalam dunia dakwah dan tarbiah.

Lantas kami bermuhasabah bersama-sama. Mencari kekuatan sang Jahiliah. Kenapa manusia masih merindui dosa dan noda lama mereka? Kenapa filem-filem Hindustan begitu menyentuh hati? Kenapa ramai sanggup menonton deretan siri-siri filem dan drama Korea? Kenapa novel-novel cinta ternyata sangat meliurkan? Kenapa perhubungan sang jejaka dan wanita sering menjadi tema di sebalik pembikinan sesuatu filem? Apa rahsia filem-filem dan tulisan-tulisan sang Jahiliah yang hebat?

Kami menemukan jawapannya. Sang Jahiliah bermain dengan EMOSI, bermain dengan HATI. Bukan AKAL. Ternyata kerana itulah mereka terlalu berkuasa. Mereka bijak bermain dengan potensi hebat manusia iaitu HATI.

Dan ternyata kita golongan daie tak terlalu hebat bermain dengan HATI kan? Kuliah-kuliah tafsir, ceramah-ceramah dan wasilah-wasilah yang kita gunakan dalam dakwah kebanyakannya bersifat ilmiah. Menambah potensi AKAL, tetapi bukan HATI.

Kita lupa AlQuran diturunkan bukan untuk menambah potensi AKAL manusia, tetapi mengubah HATI manusia. Pelajaran seerah Rasulullah SAW menjadi bahan ilmiah, tiada nilai HATI di dalamnya. Semuanya menjadi kering dan tidak basah lagi.

Sedang tarbiah ini menyentuh HATI. Persis peristiwa Uhud. Allah boleh sahaja mengajarkan perintah ketaatan itu dengan nada ilmiah. Tapi ternyata tidak. Sahabat-sahabat diajar bukan dengan pena dan kalam tetapi diajar dengan darah dan kesakitan. HATI mereka sedih dan perit menyaksikan sahabat-sahabat mereka yang terlalu hebat dalam dakwah dan tarbiah gugur. Mereka menyaksikan pemergian Mus’ab, sahabat yang mengislamkan Madinah. Mereka berdepan dengan kenyataan menyakitkan mengenai Hendon yang memamah hati Hamzah. Mereka melihat dengan HATI mereka pemergian Anas bin Nadhir yang mana pemergiannya dipastikan dengan mengecam jarinya yang putus. Peristiwa itu sering dibaca dengan nada ilmiah, bukan bahasa HATI.

Seerah yang sebenarnya adalah bermain dengan HATI, namun ternyata zaman ini manusia memahaminya dengan AKAL.

Saya melihat filem-filem islami dari Indonesia. Ternyata mereka hebat sehingga penangan filem islami di Indonesia diterima lapisan masyarakatnya. Saya melihat juga lambakan novel-novel islami semasa di pesta buku tempohari. Ya, mereka hebat kerana berjaya menyediakan alternatif terhadap bahan-bahan jahiliah di luar sana.

Namun seakan ada sesuatu yang tiada. Di saat akhir menonton filem-filem atau novel-novel tersebut, lahir fantasi-fantasi yang indah. Kita ingankan cinta yang ideal sepertimana yang ada di dalam novel tersebut. Timbul persoalan, masih adakah perbezaan di antara filem-filem dan novel-novel tersebut dengan cerita Cinderella dan Snow White?

Mungkin filem-filem dan novel-novel tersebut menggugah hati manusia kepada Islam. Namun mampukah semua itu menyedarkan manusia akan tujuan penciptaan mereka, membangunkan mereka dari lena mereka? Atau manusia-manusia yang membaca dan menontonnya akan terus berfantasi?

Lantas kita sang daie perlu meneroka segala wasilah, memaksimakan sunnatullah agar manusia-manusia ini kembali kepada tujuan penciptaan mereka.

“Kebanyakan muslim pada hari ini sibuk dengan urusan dunia dan lalai daripada beribadat kepada Allah s.w.t dan mentaati perintah-Nya. Mereka seperti sekumpulan manusia yang sedang nyenyak tidur. Di sebelah mereka terdapat api yang marak menyala dan akan membakar mereka sekiranya mereka masih lagi tidur.

Di kalangan manusia yang sedang nyenyak tidur, terdapat mereka yang tidak tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekeliling, tetapi tidak mampu memadamkan api yang sedang membakar. Ketika itu kewajipan mereka ialah segera membangunkan manusia yang nyenyak tidur supaya setiap mereka menyedari keadaan masing-masing dan menjauhkan diri daripada api. Sebarang usaha untuk memperingatkan mereka yang tidur dari bahaya api akan menjadi sia-sia, jika dilakukan sebelum mereka terjaga dari tidur. Mereka tidak akan mendengar dan mentaati peringatan itu kerana mereka sedang nyenyak tidur. Jadi mereka mestilah dibangunkan terlebih dahulu barulah diberikan peringatan.

Dalam banyak kes, ketika usaha membangunkan orang yang sedang nyenyak tidur dilakukan, mereka tidak mahu bangun kerana sedang enak tidur dan tidak mahu diganggu. Ini kerana dia masih tidur dan belum lagi sedar. Jika dia benar-benar sedar dari tidurnya dan melihat api yang sedang membakar, nescaya dia bersegera menyelamatkan diri. Kata-katanya bahawa dia telah sedar tidak boleh dipercayai sepenuhnya kecuali apabila diikuti dengan tindakan menjauhkan diri dari api itu. ” (Dakwah Fardiah – Sheikh Mustafa Masyhur)

Faham ke kata-kata itu? Terkadang kita penat dalam dakwah ini kerana ternyata kita membawa manusia tanpa memberi pukulan terlebih dulu. Pukulan yang akan menyedarkan mereka dari lena mereka. Dan saya percaya karya yang baik adalah karya yang mampu memberi sentakan dan pukulan tersebut.

Moga Allah mengurniakan kekuatan dan mengilhamkan para duat untuk menghasilkan karya agung yang akan memberi sentakan dahsyat kepada mereka-mereka yang di luar sana sehingga mereka mengambil tindakan sesudah itu.

(Karya-karya seperti Bainal Ams wal Yaum, Syahadatul Haq semuanya telah memberi kesan itu. Bila kita pula mampu menghasilkan karya sebegitu ye?)