Thursday, May 30, 2013

Tempat...

Jujurnya saya seakan mahu menangis mengenai pemilihan tempat untuk MO-ship kelak. Mengikut apa yang disyurakan iaitu untuk kekal di tempat saya melalui latihan housemanship. Semuanya kerana dakwah dan tarbiah, kekurangan penggerak di sini.

Ada banyak lagi persoalan yang bermain di muara fikiran. Tagging MO, kerja-kerja MO yang cukup membebankan. Adakah di ketika itu kehidupan dakwah dan tarbiah akan terjamin? Barangkali kerana begitu penat tagging, semua ini begitu mengganggu fikiran... Persekitaran kerja, bekerja dengan manusia yang tiada ihsan, penat yang lebih menjadi-jadi.. Mampu ke untuk terus mengharungi hitam pekat Jahiliah ini?

Di persimpangan segalanya, di saat dunia terasa membebankan. Bila buka Quran, Allah hadiahkan ayat yang sweet sangat.. Dan ianya adalah ayat yang terus terbentang di mata..

"Kemudian apabila engkau dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu maka hendaklah engkau (bersyukur kepada Allah dengan) berkata: ` Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim '. 

 “Rabbi anzilnii munzalan mubaarakan wa anta khairul munziliina” “Ya Tuhanku, tempatkanlah aku pada tempat yang diberkahi, dan Engkau adalah sebaik-baik pemberi tempat. (Q.S. al-Mu’minun [23]: 28- 29)”

Saya sendiri tidak tahu kehidupan di masa mendatang... Hanya Allah yang mengetahuinya.. Dan mukmin itu percaya bahawa Allah akan mentakdirkan yang terbaik di sepanjang perjalanan kehidupannya.. 

Wednesday, May 29, 2013

Simptom atau punca?

Sangat-sangat penat! Hari ke empat tagging.. Kaki seakan sudah mahu tercabut.. Apa tujuan kehidupan ini? Semalam ada satu kes di red zone. Septic abortion. Melayu Muslim dalam kesakitan menceritakan bagaimana cara dia menggugurkan kandungan.. Allah.. Allah.. Aku sudah tak larat lagi dengan kedahsyatan ummah ini!

Bodoh tak jadi doktor? Ada ketikanya aku merasakannya.. Contohlah, ada pesakit yang ada pneumonia (jangkitan peparu), tapi doktor itu merawat simptom sahaja. Bila pesakit batuk, beri ubat batuk.Boleh baik ke pneumonia itu tanpa antibiotic? Tanpa merawat punca penyakitnya?

Dan aku merasakan itulah yang aku lakukan di hospital.. Ada remaja yang tertelan anting-anting di lidahnya.. Apa yang sebenarnya aku lakukan? Ya, aku bermatian merawat simptom ummah ini di hospital.. Aku bukan merawat punca akar umbinya.. 

Menjerit hati ini! Untuk apa penat ini? Aku yang benar-benar bodoh.. Sehinggakan ada kalanya aku merasakan bodoh yang amat bermatian di hospital.. 

Ummah ini memerlukan orang-orang yang sanggup bermatian untuk merawat punca penyakit mereka! Di mana mereka? Ya rabb, percepatkanlah masa yang berbaki 6 hari ini.. Aku sudah mahu termuntah merawat simptom ummah ini! Izinkan aku kembali pada dunia dakwah dan tarbiah yang aku cintai

Monday, May 20, 2013

Jauh..

Pulang ke rumah mertua hujung minggu yang lalu. Menarik nafas seketika barangkali. Dalam perjalanan, saya dan zauj mendengar lecture Mothers of the Believers oleh Suhaib Webb. Menurut sheikh, tiada istilah cuti dalam diari kehidupan seorang daie. Cuti mereka adalah di kubur dan syurganya. Namun di sana ada tanggungjawab yang perlu kami jaga.. Ada ikatan-ikatan rabtul am yang perlu kami santuni.. 

Banyak yang aku pelajari. Pergi mengutip siput sedut.. Susah sangat.. Kaki terjerlus berkali-kali.  Saya hanya sibuk membersihkan lecak.. Kemudian terjerlus lagi.. Huhu.. Mertua dan sepupu zauj yang akhirnya mengutip siput sedut tersebut.. Baru tahu sebab musabab di sebalik mahalnya siput sedut.. Alhamdulillah, tak makan siput sedut :)

Kemudiannya, melihat buah salak.. Melihat cara mereka membuat kacukan buah salak.. Sangat banyak yang saya pelajari.. Dapat mertua yang sangat sweet.. Banyak sangat bekalan yang kami bawa pulang.. 

Ada satu kisah yang mak long zauj ceritakan yang saya kira sangat relevan dengan dakwah. Panggilan bagi mak long di Pahang adalah We. 

Menurut We, pertama kali berjalan jauh, kita akan merasai jauhnya sebuah perjalanan.. Namun berkali-kali melalui jalan yang sama kita akan merasai dekatnya perjalanan.. Katanya, kerana semua pokok, alam yang berada di sepanjang perjalanan telah pun mengenali kita.. Mereka akan menemani kita di perjalanan kedua..ketiga dan seterusnya.. Menurut We, itulah yang dipelajarinya dari kitab-kitab lama.. 

Betul kan? Tempat-tempat dakwah yang kita hadiri.. Mula-mula itu rasa jauh sangat.. Lama-lama dekat je..  Tengoklah akhawat kita yang ke luar negeri, memberi taujih.. Tengoklah murabbi-murabbi kita yang super saiya ke mana-mana.. Macam dekat je.. Allah jualah yang menghantarkan makhluknya untuk menemani kita.. Sungguh alam ini dan keagungannya bersama daie! Sangat kagum dengan zauj juga yang boleh bertahan memandu berjam-jam dan tak henti-henti merenung alam.. 

Oklah, kena berhenti..

Back to reality.. end of posting assessment, log book.. new posting..tagging.. daurah negeri.. Wow! Realiti!

Tuesday, May 14, 2013

Alien..

Terkadang hari-hari di hospital sangat-sangat memenatkan. Entahlah, dari posting medical lagi sehinggalah sekarang, andainya saya menjaga wad, maka saya perlu menjaga acute bed. Perlu siapkan dressing. Perlu tukar trachy tube. Sekecil-kecil benda sampai sebesar-besar benda. Penat sangat!

Mutarabbi di sekolah, huhu, baru 17 tahun menceritakan betapa penatnya mereka. Ya, mereka kepimpinan asrama dan sekolah. "Akak, salah tak kalau kita cakap kita penat?"

Soalan yang menempelak diri sendiri.. Dan aku katakan penatnya kita menunjukkan betapa manusiawinya kita.. Namun penat tak membuatkan kita terduduk, mengambil cuti emergency, ponteng kerja dan lain-lain.. Kita masih melangkah, mencari kekuatan untuk terus bekerja.. Siang dan malam.. Dan kita jugalah yang tahu betapa nikmatnya tidur.. Sering juga aku menanyakan zauj, "Bila kita akan ke syurga?"

"Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)", (Surah Insyirah: ayat 7)

Begitulah nature jalan dakwah.. Tiada henti.. Penat pun perlu terus melangkah.. Dan tak mungkin sama pahala mereka yang struggle dengan mereka yang mudah kerjanya! So struggle la.. Lagi penat, lagi banyak pahala! Jadilah orang yang gila syurga! Jadilah orang yang menanti-nanti syahidnya, menanti gilirannya untuk dipanggil syahid! Apa mungkin kita syahid andai sel, darah, hati dan segalanya yang ada pada kita tidak menunjukkan bukti itu?

Setiap bait kata semuanya aku tujukan pada diri sendiri, ketika dugaan terasa menyempitkan.. Ketika tanggungjawab-tanggungjawab yang ada makin bertambah.. aku perlu melahirkan segalanya pada Allah..

Satu perkara yang aku pelajari dari ukhti S juga adalah kita tak mungkin sama dengan manusia lain.. Telah aku ceritakan kisah ibu tirinya yang lemah lembut.. Dia juga mengkhabarkan mengenai ibu kandungnya.. Ketika ayah kandungnya meninggal kerana kanser otak, dia berusia 5 tahun.. Dan ibunya ketika itu mempunyai 4 anak.. Sebagai janda dan memiliki 4 anak, dia seorang wanita yang tegas, outspoken.. Tidak mungkin kerjanya menjual ayam ketika itu menjadikan dirinya lemah lembut seperti gambaran kebanyakan orang mengenai akhawat..

Di situlah setiap manusia berbeza.. Kita tak mungkin menjadi orang lain.. Latar belakang dan pengalaman setiap dari kita adalah unik.. Kita tak mungkin menjadi seperti gambaran sesetengah orang mengenai akhawat.. Di hospital juga, setiap house officer itu berbeza-beza bukan? Dan sangat penatlah andai kita meletakkan target yang tinggi pada diri kita dan mahu meletakkan expectation yang sama pada manusia lain..

Aku dan ukhti S belajar mengenai sesuatu juga.. Persamaan kami, kami memiliki ayah yang baik.. Dan terkadang kami mula membandingkan zauj dengan ayah sendiri.. 26 tahun di bawah perlindungan seorang ayah, dan kemudian mengahwini seorang alien yang tidak pernah dikenali, dapat bayangkan? Dan tiba-tiba, alien itu mengambil tanggungjawab yang besar dari ayah kita.. Dapat bayangkan perubahan itu? Dapat bayangkan bahawa syurga kita tiba-tiba berubah pada seorang alien?

Dan pesan ayah ukhti S ternyata sangat mengesankan diriku, "Zauj tak akan sesekali menjadi seperti ayah sendiri.. Zauj juga tak boleh merasai hal yang sama mengenai diri kita.. Seorang isteri tak akan sesekali dapat menyamai ibu kandung zauj sendiri.. Kematangan seorang ayah dan kebaikannya terbentuk setelah bertahun-tahun.. Sikap peduli kebapaan, keibuan dan semua itu akan terbentuk setelah proses berumah tangga bertahun-tahun.. Semua itu satu proses dan semua itu satu tarbiah"..

Allah, menangis diri ini malam itu! Dan aku mula belajar menerima alien tersebut malam itu sepenuhnya.. Dia adalah dia.. Pengalaman kami jauh berbeza.. Dan kami mula belajar melengkapi..

Tentang tanggungjawab, ada lagi pesanan ayah ukhti S.. "Seorang zaujah itu adalah amanah.. Seorang zauj mengambil amanah itu dari seorang ayah.. Dan bukan hanya dari seorang ayah, dia telah berjanji di hadapan Allah, mengambil amanah itu dari Allah juga! Seandainya dia melanggar amanah, bukan hanya melanggar amanah seorang ayah, malah juga melanggar amanah Allah!" Meski nasihat itu ditujukan untuk para suami, aku juga mengerti.. Ternyata tanggungjawab kita terlalu banyak dan kita juga akan diminta pertanggungjawaban atas semua itu!

Banyak lagi yang perlu kita pelajari dalam menelusuri perjalanan ini..

Monday, May 13, 2013

Setahun...

Saat aku merasai pelangi yang indah setelah hujan mendung tempoh hari, aku mengucapkan syukur pada Allah kerana menghantar ukhti S tempoh hari. Ceritanya mengenai pelajaran-pelajaran baitul muslim mengajarkanku seribu satu kebaikan yang ingin aku kongsikan pada yang lain pula..

Ya, aku mengkagumi ayahnya.. Saat aku mendengar ceritanya yang indah-indah, aku terpana seketika. Ayahnya bukan ayah kandungnya tapi adalah ayah tirinya..

Usia perkahwinan pertama ayahnya hanya bertahan selama setahun. Setelah 4 tahun, ayahnya mengahwini ibu ukhti S yang merupakan janda dan memiliki 4 anak. Melalui perkahwinan kedua, beliau dikurniakan 5 orang lagi anak. Ya, semuanya 9 orang anak. Andai perkahwinan pertama adalah dengan seorang akhawat, perkahwinan kedua adalah dengan seorang janda yang tidak pernah menerima tarbiah. Namun ayahnya berjaya menarik isterinya dan kesemua 9 anaknya bersama dalam gerabak tarbiah..

Izinkan aku berkongsi kisah perkahwinan pertama ayahnya. Ayahnya hanya berkongsi kisah ini pada ukhti S yang menjadi rahsia dirinya selama hampir 27 tahun sebelum walimah anak sulungnya itu, mengkhabarkan perjalanan kisah seorang isteri solehah.. 

Ya, usia perkahwinan mereka hanya setahun. Makcik tersebut namanya Iman. Sedang mengandungkan anak sulung mereka.. Kemalangan jalan raya.. Saat itu sudah sampai masanya untuk dia melahirkan anaknya.. Dan dia terkorban dalam kemalangan itu bersama bayinya.. 

Dia merupakan seorang peguam..Andai berbicara, suaminya perlu hampir dengannya.. Begitu halus bicaranya sebagai seorang akhawat.. Allah, betapa indah perjalanan isteri solehah.. Hanya setahun usia sebuah perkahwinan, namun mengesankan si suami bertahun-tahun lamanya.. Betapa indah perjalanan seorang isteri yang solehah, sudah menanti si suami dan anak di syuga.. Aku? Jauh sekali.. 

Ya rabbi, perbaikilah akhlaqku.. Sungguh orang terdekat kitalah yang lebih mengenali kekurangan-kekurangan kita.. Andai dulu keluarga, kini zauj mengetahui serba serbi kekuranganku.. Ya rabbi, bantulah aku dengan menutupi sisi-sisi kelemahanku di hadapannya.. Nangis.. 

Keajaiban..

Aku rindu untuk menarikan tinta.. Namun di sana ada tugasan-tugasan yang terus mencemburui.. Dan nubari berkata, biarlah sedikit dari tiada..

Jujur hati terus-terusan bertanya, perlukah aku mengkhabarkan atau menuliskan tinta menyentuh soal baitul muslim? Sedangkan perjalanan baitul muslimku sendiri belum lagi menjejak 3 bulan.. 

Namun di sana seakan ada dorongan-dorongan tarbiah yang meminta tangan menarikan segalanya pada kanvas maya ini. Biarlah coretan dari diri yang hijau muda dalam dunia baitul muslim ini membantu mereka yang juga masih seperti anak pucuk yang baru bertunas.. 

Dan mungkin juga catatan ini aku coretkan buat para mutarabbi, anak-anak dakwah yang akan melangkah ke tangga ini kelak.. Dan terlebih pastinya buat diri sendiri, menguatkan diri melalui fasa yang lebih mencabar iman ini... 

Jujur ada suka dan duka dalam melayari dunia baitul muslim. Dan dunia baitul muslim bukan dunia yang ideal. Di sana ada ujian-ujian yang terus-terusan melanda.. Di sana ada syaitan yang mencucuk-cucuk.. Begitulah perjalanan baitul muslimku sendiri.. Sehinggakan satu ketika aku sendiri menanyakan pada diri sendiri, benarkah ini baitul muslim? Bolehkah rumah tangga yang kami bingkaikan dalam kaca mata dakwah ini bertahan dan menjadi qudwah buat yang lain? Mampukah aku sendiri menjadi qudwah buat adik-adik dalam dunia dakwah ini? Mampukah aku berbicara dengan manusia lain mengenai baitul muslimku sendiri? 

Percaya atau tidak dalam usia yang masih hijau berbaitul muslim, telah ada konflik-konflik yang kami alami.. Ya, biar aku kisahkan semua ini.. Tapi bacalah tulisan ini hingga ke noktah terakhir atau pada sambungan catatan-catatan seterusnya.. Dan aku pasti kisah ini tiada penghujungnya sehinggalah kami bertemu Allah.. 

Satu pelajaran yang berharga dalam berbaitul muslim adalah hadirkanlah Allah dalam kehidupan berbaitul muslim.. Hadirkanlah Allah! Hadirkanlah Allah dalam setiap saat dan ketika! Tiada siapa yang akan membantu kita melainkan Allah! 

Dan di saat konflik diri itu Allah hadirkan seorang ukhti untuk membantuku. Betapa aku mencemburui dirinya dan betapa aku berharap diri yang kerdil ini mampu hadir dalam diari kehidupan insan lain,memberi sinar buat insan lain juga.. Aku tidak mengenalinya. Petang itu aku mahu menziarahi mutarabbiku. Saat sudah bersiap, ayah memberitahuku. Ada yang mahu berkunjung ke rumah.. Orang jemaah juga, berasal dari Sarawak.. Lantas aku membatalkan hasrat untuk menziarahi mutarabbi, dan menerima tetamu ini..

Ibu bapaku yang bertemu dengannya pertama kali semasa walimahnya. Ya, walimahku bulan Februari lalu dan dia sebulan sesudah itu. Dia berkahwin dengan saudara jauhku.. Saat ibu bapaku dan ibu bapanya bertemu, seakan telah ada gelora tarbiah dan di sana semuanya bermula..Dan kami berukhwah juga kerana itu.. 

Malam aku bertemunya menjadi saksi ukhwah kerana Ilahi.. Beberapa jam malam itu seakan terus bermakna.. Dan pertemuan itu Allah aturkan untuk aku sendiri memperbaiki baitul muslimku.. Jujur pertemuan itu mengundang sejuta hikmah.. Tak aku nafikan, diri ukhti itu benar-benar qawiyy.. Setahun lebih tua dariku, dia memaparkan kematangan seorang akak buatku.. Oh ye, dia pernah ke Gaza.. Benar-benar qawiyy perkongsian pengalamannya denganku.. Dan aku terlebih mengkagumi ayahnya meski tidak pernah bertemu.. Ya, ayahnya adalah pakcik yang juga qawiyy di atas jalan ini.. 

Allah! Sungguh aku menangis kerana pertemuan itu... Siapa dia? Aku tidak pernah mengenalinya, namun dia hadir membantuku menelusuri perjalanan baitul muslim itu sendiri.. Ya, begitulah ketika Allah hadir membantuku menelusuri kehidupan ini.. Aku berdoa pagi itu agar Allah membantuku dan malam itu Allah menghantar dirinya.. Sungguh tiada nikmat Allah yang mampu aku dustakan... 

Insya Allah, dia akan bergabung dengan dakwah di daerah ini.. Aku percaya bumi BJB ini adalah bumi yang penuh keajaiban dakwahnya..

Tuesday, April 23, 2013

Penat!

Ada kala dan ketikanya saya merasakan 'penat' yang amat. Seakan ingin berlari jauh membawa diri, mahu memencilkan diri seketika dari terus melihat manusia. Mahu menarik nafas seketika, mencari kekuatan. Ya, saya penat.. 

Saya menoleh kiri dan kanan, depan dan belakang. Tiada siapa. Tahulah saya ketika itu, Allah hanya ingin saya mengadu padaNya.. Housemanship, naluri seorang wanita yang lemah, keluarga, kewangan semuanya adalah bentuk ujian yang dihamparkan agar saya kembali padaNya.. Saat seluruh dunia mungkin mengatakan saya kuat, saya tahu Allah jualah yang paling tahu kekerdilan saya sebagai hamba, mengetahui setiap zarah dosa yang saya lakukan, megetahui segala isi hati.. Allah, betapa halus tarbiahNya.. 

Motivasi? Pesakit-pesakit di hospital juga motivasi berharga saya.. Saya kini berusia 26 tahun..

Melihat pesakit wanita yang berusia 27 tahun menghidap kanser payudara. Dia telah melalui pembedahan membuang satu payudara. Dan kemudiannya Allah menguji bahawa payudaranya yang sebelah juga terkena kanser yang sangat advance. Dia melalui neoadjuvant therapy, kemoterapi sebelum pembedahan untuk mengecilkan saiz kanser. Dan mastectomy atau pembedahan membuang payu dara yang perlu dihadapinya esok adalah cuma sebagai palliative, bukan curative. Bimbang pecah dan sebagainya.. Dan kansernya telah merebak ke tulang dan hati. Apa yang saya fikirkan? Hanya satu tahun lagi, mungkin itu jugalah time bomb saya.. Siapa tahu? Sebagai doktor, terlalu banyak seni kematian yang kita lihat, bukan? Dan saya akan memuhasabah, menggoncangkan diri yang penat.. Afeera! Setahun lagi nak mati..

Semasa saya menjaga ICU 3 malam yang lepas, satu kes seorang lelaki berusia 29 tahun, appendix pecah (perforated appendicitis). Sayang semasa pembedahan, berlaku iatrogenic incident, terkena usus. Dan kini dia hanya menanti saat untuk pergi.. 

Betapa banyak kes ectopic pregnancy, kehamilan luar rahim yang kita lihat. Sekejap sahaja Allah nak, kena ectopic pregnancy, berlaku pendarahan yang banyak dan mati.. 

Terlalu banyak seni kematian yang saya lihat. Dan betapa ramai di kalangan pesakit yang pergi begitu muda.. Dan begitulah acap kali saya memotivasi diri. Afeera, setahun lagi nak mati! Afeera, 3 tahun sahaja lagi nak mati! Dan apakah bekal yang akan saya bawa pulang. Mati! Tiada jalan pulang.. 

Begitulah saya memuhasabah diri.. Doakan agar Allah memberikan saya seni kematian, khusnul khatimah yang indah! Dan sungguh kematian adalah motivasi berharga untuk terus bergerak meski penat!

Ahmad Ar Rasyid , kadang kadang kasar juga dalam penulisan beliau:

 الراحة للرجال غفلة ذالك أن من أراد الراحة والسكون فإن الموت والقبر يزودانه منهما حتى يشبع

Kerehatan bagi seseorang (da'ie) adalah kelalaian! Oleh itu untuk yang berkehendak kepada rehat dan berhenti maka sesungguhnya maut dan kubur itu akan merehatkannya sehingga dia puas!

Friday, March 29, 2013

Census..

Seusai Asar tadi, dalam sujud syukur saya menangis. Air mata turun mencurah-curah.

Brother Omar Suleiman said, "One moment of Allah being pleased with you can lead to an eternity of bliss. Work hard for that moment".

Saya merasai ungkapan itu tadi segenap jiwa saya. Saya selesai present Census untuk bulan Januari di hospital tadi. Dalam kesesakan masa, saya diamanahkan untuk membuat statistik pesakit bulan Januari. Bukan sekadar satu wad. Malah dikehendaki untuk membuat statistik dua wad, ICU, Burn Unit, Daycare, OT dan lainnya. Habis kerja ataupun datang awal kerja, saya perlu ke ICU, Burn Unit, OT, daycare untuk mengumpul segala data. 

Sejujurnya saya tidak mengerti hikmah di sebaliknya pada awal kali diamanahkan tugasan itu. Ya rabbi, Engkaulah yang lebih mengetahui kesesakan masa yang aku ada, mengapa aku yang dimanahkan untuk tugasan ini?

Tugasan itu tidak berat seandainya saya adalah full timer houseman. Namun ada begitu banyak tugasan dan tanggungjawab saya yang lain. Dan kerja itu sungguh berat. Di samping kerja, saya perlu menyudahkan statistik. Hampir lebih 500 dokumen pesakit yang perlu saya lihat. I have sleepless day and night throughout these few weeks..

Di situlah tarbiah Allah. Slide siap setengah jam sebelum presentation. Seusai Zohor, saya duduk menyerahkan segala kehidupan saya pada Allah. Di situlah tarbiahnya. Sepenuh pengharapan saya letakkan pada Allah. Di situlah saya mengakui kekerdilan seorang hamba. Dan ALLAH jualah yang memudahkan urusan presentation tadi.  Saya tidak mampu berpaling ke kiri, ke kanan atau meminta sesiapa sahaja untuk membantu tugasan ini. Kerjanya hanya difahami oleh doktor sendiri. Mahu mengharapkan bantuan rakan HO yang lain, saya cuma bermimpi barangkali. Dan di situlah saya merasakan betapa Allah menemani perjalanan saya dari awal sehingga saya menyudahkannya.. 

Dan dalam tempoh housemanship ini, Allah jualah yang menyusun segala kesibukan housemanship itu dengan sebaiknya. Andai saya sibuk begini, pasti ketika itu mutarabbi saya sedang bercuti.. Allah, betapa cantik Kau mengatur hidupku..

Saya pernah mencatat pengalaman yang sungguh memenatkan semasa posting di medical dulu saat perlu membantu seorang pesakit dengue yang berdarah dari haidnya, dari lubang duburnya, dari mulut dan hidung. Ya, saya mencatat pengalaman itu kerana hari itu sangat memenatkan dan sangat mengesankan saya..

Saya tidak melihat hikmahnya tika itu. Sehinggalah ketika saya menghadiri kursus dengue di hospital. Itulah satu-satunya pesakit dengue yang meninggal untuk tahun lepas. Hanya beberapa kes kematian dengue sahaja di Malaysia. Dan Allah jualah mentakdirkan bahawa saya perlu menolong resuscitation pesakit tersebut. Saat kes tersebut dibentangkan di peringkat hospital, ada butir-butir air mata yang mengalir. Ya rabb, Kau ingin mengajari aku sebenarnya.. Ya, saya belajar banyak perkara dari kes itu.. Betapa dalam kepenatan itu ada hadiah Allah.. Ramai yang hadir mendengar case presentation tersebut namun saya pasti sayalah di antara orang yang menghadamnya dengan baik kerana saya terlibat langsung untuk resuscitate pesakit tersebut.. Allahu Akbar! Betapa terkadang kita sering tersasar menghadami hikmah.. 

Ada email dakwah dan tarbiah yang saya tulis minggu ini. Ada komen-komen balasan mengungkapkan email saya meleret panjangnya, ada yang mengungkapkan betapa saya perlu belajar format menulis email. 

Sekali lagi, cukuplah Allah yang mengetahui di ketika dan saat mana saya menulis email itu.. Saya ingin mengungkapkannya dalam meeting.. namun di sana ada kekangan masa sebagai houseman.. Cukuplah saya merasakan bahawa Allah mengetahui segalanya..

Ok, sudah tiba masanya untuk membalas segala hutang.. Saya mahu melompat-lompat selepas ini, meski saya tahu saya tidak akan pernah mampu mengungkapkan rasa cinta pada Allah atas lautan cintaNya buat saya.. Terima kasih ya Rabb.. 

Tuesday, March 26, 2013

Fa anta 'anhu talahha...

Tarbiah Allah itu indah. Dan Dia saban waktu mentarbiah diri ini dengan peristiwa. Saya bukan sesiapa dalam dunia dakwah dan tarbiah. Masih belajar. Dan ingin terus belajar. Betapa saya mengharapkan di sana ada yang sudi mengajar dengan hikmah, membetulkan segala kecacatan fikrah andai ada yang melihatnya.

Zauj meminta saya berdiam sahaja. Saya duduk di persimpangan. Mahu menerobos yang hak atau berdiam diri. Saya tidak mengatakan saya di pihak yang hak, malah mungkin sahaja sayalah yang tersasar jauh. Lantas saya menginginkan penjelasan untuk membaiki kecacatan yang ada. Betapa saya berharap yang hak terus menang dan menyuluh jalan kembali. 

Lantas dalam perjalanan saya dari rumah mertua dari Jengka ke Johor, saya dan zauj menghadam mp3 yang ada. Dan Allah mengajari diri yang serba kerdil ini sesuatu. Lantas saya membenarkan bicara zauj untuk berdiam. Tapi bukan berdiam dalam jejak-jejak yang kami yakini pastinya.. 

Tadabbur surah Abasa itu mengetuk hati sekali lagi.. Ketika Rasulullah SAW mendakwahi golongan bangsawan Quraisy, apakah matlamatnya? Adakah kerana duit, pangkat, kekayaan dan lainnya? TIDAK! Malah dia melakukan semuanya kerana DAKWAH ini. 

Betapa Allah mengajari kekasihnya seni dakwah. Siapa pula Abdullah Ibni Ummi Makhtum? Inilah pertama kali saya belajar fiqh dakwah dalam menganalisis siapakah dia.. Dari kaca mata fiqh dakwah, dia adalah mereka yang telah berada dalam sistem tarbiah, dalam proses pentakwinan. 

Ya, dialah yang disifati Allah dengan menginginkan proses tazkiah yang juga merupakan komponen penting tarbiah.. 

Wa amma man jaaka yas’a, wa huwa yakhsya. Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersusah payah, dan dia takut kepada Allah. (Surah Abasa:8-9) 

Dua tahap yang membolehkan seseorang itu memperoleh hidayah, dipilih dalam proses takwin adalah ‘as sa’yu’(sudah payah) dan ‘alkhasyiyah’ (rasa takut kepada Allah SWT). 

Ertinya, sesiapa pun yang mengkehendaki hidayah Allah SWT, dia harus bersusah payah berusaha mencari dan mendapatkannya dan dia juga harus memiliki rasa takut kepada Allah di dalam lubuk hatinya yang paling dalam. 

Ya, siapa pula golongan Quraisy? Mereka adalah orang yang ditajmik di fasa taarif. Mereka yang istaghna.. Merasa cukup dengan segalanya.. Merasa cukup dengan apa yang diketahui mereka.. 

Apa pengajarannya? Di antara dua amal dakwah, fokus tetap pada takwin, takwin dan takwin.. Ya, taarif juga adalah untuk dakwah. Namun bila berlaku pertembungan, mana yang perlu diberi perhatian? Tetaplah takwin yang utama.. 

Bukankah rasa hati itu kurniaan Allah? Ya, saya sendiri dijentik dengan abasa watawalla.. Ya, Allah sedang berbicara.. Akukah yang bermasam muka dengan takwin? Fa anta 'anhu talahha.. Akukah yang telah mengabaikan adik-adik ini? Barangkali saya sedang memberi fokus pada taarif atau mereka yang menyokongnya, sedang ramai lagi yang dibawah binaan merayu-rayu penyusunan takwin.. 

Penyusunan dan tarbiah sendiri? Biarlah Allah yang menjaganya.. Moga Allah menjauhkan diri ini dari istaghnaa, merasa cukup.

Friday, March 15, 2013

Ssshh.. Monolog...

Jujurnya ada yang ingin saya tuliskan. Ada yang menjadi renungan sendiri..

Sejauh mana sebenarnya kita melahirkan rahsia baitul muslim kita? Sejauh mana kita berhak menceritakannya? Ya, sangat sukar kita sendiri menjadi qudwah. Sangat sukar kerana kita sendiri manusia yang penuh lupa.

Cuba mencari dari pakcik makcik di lapangan dakwah. Tiada yang terlahir dengan penuh zahirnya. Dan kami anak-anak dakwah yang baru meniti alam ini mencari-cari qudwah. Lantas kami menghadam bahan bacaan, terkadang hati segan meluahkan atau bertanya pada murabbi/ murabbiah kami..

Terkadang kita melihat betapa zahirnya pasangan ikhwah akhawat melahirkan di ruangan Facebook. Pastinya bicara kita bukan perihal orang biasa.. kita mahu bicara soal daie.. Bagaimana sewajarnya akhlaq seorang daie?

Pasti kisah baitul muslim kita seringkali tanda tanya orang biasa. Staff nurse di hospital juga bertanya. Kawan HO dan MO kita juga bertanya. Dan semua terkejut bahawa kami tidak mengenali sebelum walimah.

Lantas adakah tiket nikah adalah tiket untuk menzahirkan segalanya? Segala catatan cinta, luahan hati, bait nasyid cinta boleh kita zahirkan di ruangan maya di hadapan khalayak? Adakah seorang daie boleh melakukannya?

Ada respons yang mengatakan, kita perlu melahirkan cinta sebenar supaya boleh menjadi contoh bagi orang biasa? Benarkah?

Bukankah Rasulullah SAW sendiri meluahkan bahawa Saidatina Aisyah r.a adalah orang yang paling dicintainya ketika ada yang menanyakan?

Bagaimana sewajarnya kita mengaplikasikan kehidupan Rasulullah SAW dalam konteks kehidupan hari ini? Dan saya sendiri mencari jawapannya..

Saya lihat tokoh-tokoh ulama di Malaysia seperti Ustaz Zahazan, Dr MAZA.. Ya, mereka benar-benar menjaga akhlaq mereka..

Ya, kita juga melihat tokoh dalam jemaah sendiri seperti Prof Dr Harlina dan yang seangkatan dengannya, bila mereka berbicara soal baitul muslim, tiada rasa mual yang mengairi anak tekak sendiri bukan?

Lantas mengapa perilaku daie daiyah muda ini menimbulkan rasa geli dan mual? Adakah saya sahaja yang merasainya? Mungkin bukan geli dan mual, perasaan malu itu hadir saat menatap semua itu.. Sebulan walimah, saya masih malu melihat kelakuan itu.. Dan saya pasti malu itu begitu mencengkam hati andai melihatnya sebelum walimah..

Kemudiannya, perihal daie daiyah muda yang belum walimah.. Ya, saya akui baitul muslim adalah impian semua orang.. Ada yang bertanya dalam ruangan komen, bagaimana saya menjaga batasan ketika dalam tempoh pertunangan?

Teringat soalan saya pada Makcik Azizah / Dr Azizah beberapa tahun dahulu semasa daurah Baitul Muslim. Saya tanyalah makcik dilema akhawat. Bilangan ikhwah kan sedikit, sedang umur akhawat kian bertambah. Dan tekanan dari semua pihak untuk berkahwin itu ada. Apa penyelesaiannya?

Best sangat jawapan makcik. Makcik kata tidak perlu fikirpun persoalan ini. Fikirkan tentang Allah, rasulNya dan dakwah. Tapi pastikan diri bersedia. Biar benda itu terjadi naturally.

Ya, ada malu yang terbias dari hati ini kerana mengajukan soalan tersebut. Namun cukuplah jawapan makcik itu menjadi pengajaran berharga. Fikirkan tentang Allah, rasulNya dan dakwah! Menjaga hati ketika tempoh pertunangan, itulah juga jawapannya! Kuat ketika dalam fasa perkahwinan jarak jauh, itulah juga jawapannya! Fikirkan tentang Allah, rasulNya dan dakwah!

Tentang pemilihan jodoh, sama ada ikhwah atau tidak, saya sendiri menerima pelbagai versi jawapan dari para murabbi/murabbiah di lapangan dakwah. Namun saya berpuas hati dengan jawapan Pakcik T, kita perlu bertegas dalam menyampaikan fikrah kita yang menginginkan setiap akh berkahwin dengan ukhti yang sama-sama terlibat dalam gerak kerja dakwah dan tarbiah. Kita perlu menyampaikannya! Namun kita tiada kuasa memaksanya. Dan kita mengakui bahawa seorang akh/ukhti pasti ada ujiannya. Ada yang diuji dengan perasaan sendiri, diuji dengan keluarga sendiri, diuji dengan pertambahan usia dan seribu satu mehnah sendiri. Yang kuat terus bertahan dan begitu sebaliknya.. Namun fikrah tetap fikrah! Kitalah yang perlu menjaganya!

Dan saya percaya, buat mereka yang diuji barangkali itulah jalan Allah dalam membawa kalian ke JannahNya..

Kemudiannya, bukankah kita yang melafazkan tentang ukhwah? Bukankah kita yang memperjuangan ukhwah lillah wa fillah?

Namun benarkah ada penghayatan di sebalik semuanya? Sejauh mana kita sensitif dengan akak-akak dan akhawat fillah di atas jalan dakwah ini yang masih belum bertemu dengan jodoh mereka? Sejauh mana kita menjaga sensitiviti mereka saat semuanya mahu dipamerkan?

Sejauhmana kita menjaga sensitiviti ikhwah akhawat kita yang belum dikurniakan cahaya mata setelah bertahun-tahun berkahwin?

Adakah saya ekstrim? Entahlah.. Konflik dalaman saya barangkali.. Namun ada sesuatu yang mengganggu hati nubari..

Terkadang usikan juga begitu merimaskan.. Beginikah jalan dakwah mengajarkan?

Setiap dari kita adalah manusia, insan yang pelupa. Mengharap ada yang mengingatkan .. Diajar saling berpesan-pesan dalam Surah Al Asr..

Saya tiada penyelesaiannya.. Sejauh mana iman kita, itulah yang akan menjadi sandaran jawapan.. Sejauh mana fikrah kita, itulah juga sandaran jawapan.. Monolog yang andai dizahirkan, pasti berat dihadam oleh insan lain.. Usahkan orang lain, diri sendiri juga.. Sssshhhh .. Ini hanyalah monolog dalaman..

Allahu A'lam..

Friday, March 08, 2013

Tangga kedua..

Benar menurut Ustazah R, tangga kedua maratibul amal akan lebih menguji iman dan hati. Saya mengakuinya. Seribu satu rona perasaan saya rasai yang tidak pernah saya rasai sebelum ini. Di dalam usrah sendiri, majoriti sahabat seusrah sudah berwalimah. Dulu saya tidak memahami luahan mereka, kini mula merasainya.. Dan Allah jualah yang mengurniakan semua warna warni perasaan itu.. Ya, kami diuji dengan perkahwinan jarak jauh namun pastinya untuk mengikat hati kami untuk lebih dekat lagi pada Allah yang mentakdirkannya..

Pada dia, cukuplah saya mengkaguminya kerana imannya.. Ya, saya belajar banyak perkara perihal iman darinya.. Setiap kali membaca tulisan Sis Rytha mengenai wanita yang menghidap poliovirus ini [Link] , saya mengingati zauj.. Tindakannya pasti membuatkan saya taajub pada imannya.. Dia adalah ikhwah sebelum menjadi zauj saya.. Dia membuktikannya pada tindakannya..

Dan saya juga mengakui ungkapannya di ruangan FB, "Memanglah perkahwinan tu membahagiakan. Sehinggakan kita merasakan kitalah orang yang paling bahagia dalam dunia. Kita share kisah percintaan kita di fb, nak katakan "so sweet", "caringnye suami you", dan macam2 lagi lah. Sedangkan kita lupa kebahagiaan tu yg dicari2 org lain yg tidak mampu mendirikan rumahtangga. Yg strugglenya mereka menahan hawa nafsu dr berdua-duaan. Hingga akhirnya org yg dah berkahwin membuka jln maksiat kepada mereka. Dgn menceritakan "so call sweet tuh"."

Acap kali pemikiran kami sama, dan perasaan malu itu juga sama. Pasti di sana ada perbezaannya juga.. Dan di situ kami belajar melengkapi.. Ada seribu satu perkara yang tidak dapat diungkapkan kerana saya belum melangkah ke tangga kedua ini sebelum ini, namun dengan ikatan ini, moga Allah mengizinkan diri ini mengungkapkannya dalam suasana yang penuh dengan adab dan akhlaq seseorang yang mengikuti tarbiah.. 

Saya menelusuri kata-kata Nabi saw tentang Khadijah ra sehingga apabila Aisyah ra berkata, “Bukankah Allah telah menggantikannya dengan isteri yang lebih baik?”, jawab Nabi saw,”Demi Allah, Allah tidak pernah menggantikan untuk aku isteri yang lebih baik dari Khadijah. Dia beriman kepadaku apabila manusia lain kufur kepada aku. Dia membenarkan aku ketika manusia lain membohongi aku. Dia memberi aku harta ketika manusia lain memboikot dan mencegah harta dari sampai kepada (perjuangan) aku. Darinya aku dikurniakan anak-anak (yang mengikut perjuanganku)”.

Jujurnya dia menerima saya saat beberapa ikhwah menolak saya. Cukuplah saya mengkagumi dia kerana itu.. Dan tarbiah Allah sangatlah besar.. Saat beberapa borang sebelum ini datang kepada saya, saya tidak pernah menolak.. Ada yang kurang dari segi harta, rupa, dan lain-lain.. Ya, saya tidak menolak.. Dan Allah telah menguji saya dengan soal hati, rupa, harta menerusi borang-borang sebelum ini.. Dan apabila tiada lagi soal semua itu, dan keputusan yang diambil hanya kerana dakwah dan tarbiah, maka Allah memberikan kecukupan dari segala segi yang lain..

Ya, saya tidak sepatutnya berbunga-bunga. Ya, saya doktor yang melihat realiti ujian manusia.. Ya, ujian manusia ada silih pergantiannya.. Saya mengakuinya.. Namun saya berharap satu ketika andai ujian terus menggoncangkan hati ini, biarlah detik-detik ini saya ingati untuk mengubati segala perit ujian kehidupan..



Saya ingin mengungkapkan kata-kata Ummu Darda' seperti yang diceritakan oleh Sheikh Omar Suleiman pada dirinya. Ya, saya ingin menjadi isterinya di akhirat kelak.. Moga Allah terus menguatkan kami di atas jalan ini.. 

Tuesday, February 12, 2013

BM...

Baitul Muslim (BM)? Oh ye.. seandainya Allah izinkan, saya akan menaiki tangga kedua maratibul amal dalam tempoh 6 hari lagi..

Soalan yang paling banyak ditanya dalam menghadapi hari-hari akhir ini, "Apa perasaanya?"

Saya tak dapat lari dari rasa nervous yang sangat menggoncang hati dan perasaan.. Saya cuba melarikan diri dari perasaan itu tapi tak boleh.. Thanks God that i am still working till the last day before the marriage..

Kata Zaid, "Kalau nervous, normal. Tak nervous, tak normal". Huhu..

Saat melihat majlis akad nikah abang saudara baru-baru ini, i did cried. Sebabnya merasai sendiri betapa beratnya mithaqan ghaliza lafaz nikah tersebut.. Apatah lagi betapa beratnya beban yang dipikul sebagai seorang du'at yang memikul tugas syahadatul haq sepanjang masa..

Jujurnya mereka yang mengenali saya sedari awal dan membaca jatuh bangunnya kehidupan saya, pasti tahu betapa pesimisnya saya terhadap perkahwinan itu sendiri kerana hari-hari yang telah saya lalui.. Ya, saya pernah melalui pembedahan..

I did inform akh (through orang tengah) multiple times regarding that.. Honestly, i did hope that he rejected me.. I am in denial state sampailah proses pertunangan itu..

Kenapa masih hantar borang BM? Jujurnya proses BM saya beberapa kali tak jadi.. Aiman pernah bertanya, "Kalau contohnya kita tak dapat anak dan dah jumpa 100 doktor, adakah kita perlu bertemu doktor yang ke 101?" Kata Aiman, orang yang faham qadar akan terus bertemu doktor ke 101 dan seterusnya..

Saya tahu borang BM yang terakhir perlu saya hantar adalah di Johor.. Saya tak nak Allah bertanya satu ketika di akhirat kelak, kenapa saya tidak menghantarnya.. Kalau tiada rezeki, saya redha sebab akur dengan segala kelemahan diri.. Sedikit lewat juga menghantarnya kerana konflik diri..

“Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya untuk meminang perempuan kamu maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan”. (hadith hasan riwayat Tirmidzi no 1084).
 
Allah izinkan akh menerimanya.. Kenapa? Sepertimana yang dia tegaskan, kerana dakwah dan tarbiah.. Jujurnya tiada apa-apa pun pada saya.. Tin kosong.. Huhu..

Biarlah Allah yang menentukan segalanya.. Perencanaan lagi 6 hari ini pun dalam rencanaNya.. Allah yang menentukan segalanya.. Huhu.. Allah knows best.. I am not sure whether i'm prepared or not.. Dan saya serahkan sepenuhnya urusan ini pada Allah.. ALLAH KNOWS BEST!!!

DENGAN HORMATNYA MENJEMPUT SAHABAT-SAHABAT DAN KENALAN KE MAJLIS PERKAHWINAN KAMI. 

Ummu Afeera Zainulabid & Akh Mat Sharil Abdul Talib 

PIHAK PEREMPUAN: 17 FEBRUARI 2013 DI DEWAN SERBAGUNA TAMAN PELANGI INDAH, JALAN CANTIK 5, TAMAN PELANGI INDAH, 81800 ULU TIRAM JOHOR. JAMUAN MAKAN : 11 PAGI - 5 PETANG 

PIHAK LELAKI: 23 FEBRUARI 2013 DI KEDIAMAN A.14 FELDA SRI PAGI JENGKA 17, 26400 BANDAR JENGKA, PAHANG. JAMUAN MAKAN : 11 PAGI - 3 PETANG 

SEMOGA DENGAN KEHADIRAN DAN DOA KALIAN AKAN MEMERIAHKAN DAN MEMBERI KEBERKATAN DALAM MAJLIS INI.

Brannula..

 
Saya jarang menolak saat junior houseman memanggil saya untuk brannula insertion. Ye, brannula insertion sahaja. Nampak kecil sahaja amalnya. Tapi saya kira pahalanya tetap besar memandangkan ubat, IV drip dan banyak lagi rawatan lain memerlukan brannula

Dan saya sangat memahami kesukaran memasukkan brannula semasa awal-awal latihan housemanship. Teringat pengalaman sendiri melalui hari-hari awal itu. Setiap kali ke hospital, saya akan meminta mak mendoakan agar saya dapat insert brannula pada pesakit. 

Hari pertama sebagai house officer, saya menangis kerana gagal memasukkan brannula. Ya, saya dimarahi oleh senior houseman bila cuba memasukkan brannula berkali-kali. Katanya, "Awak tak rasa pesakit ini macam ayah awak sendiri ke? Kalau ayah awak, awak sanggup sakitkan macam ini?" 

Sebak sangat masa itu. Sebabnya tidak pernah terlintas pun di hati untuk menyakitkan pesakit. Hmm.. Hari-hari itu sudah berlalu.. 

Dan hari ini, Allah memberikan kepakaran memasukkan brannula. Dan setiap kali dapat masukkan brannula, saya masih berdoa dan melafazkan syukur pada Allah. Sebabnya, saya mengingati hari-hari awal sebagai houseman saat pengharapan saya benar-benar besar pada Allah agar dapat memasukkan brannula.. Itulah indahnya beginner's mind.. Kita mengingati Allah setiap masa.. Dan tak wajar untuk melupakan Allah saat dia mengurniakan hatta sekecil-kecil kepakaran.. 

My humble advice, jangan rasa amal insertkan brannula itu kecil.. Setiap kali staff nurse atau junior houseman memanggil untuk brannula insertion, sambutlah sahutan amal itu.. 

Banyak lagi amal yang dipandang kecil, tapi tetap besar... Contohnya memasukkan tiub kencing (CBD insertion), saat pesakit gagal kencing.. Dan kita sendiri dapat merasai kepuasan menjadi doktor saat pesakit relieve dari kesakitan mereka selepas memasukkan CBD disebabkan gagal kencing (urinary retention).. 

Dan setiap kali dipuji pesakit, kembalikan semua pujian itu pada Allah. Allah jualah yang mengajar kita dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara!

Splenic artery...

Alhamdulillah, saya sudah di posting kelima melalui latihan housemanship. Teringat hari pertama tagging sebagai 5th poster di wad pembedahan. 

Doktor pakar yang sedang membuat round bertanyakan soalan saat melihat CT abdomen seorang pesakit. Kekunci mouse komputer ditujukan pada satu objek di CT abdomen dan dia bertanyakan tentang organ itu. Owh, rupanya splenic artery.. 

Dan kemudian dia mengambil sehelai kertas dan melukis pancreas (yang seperti daun) dan dia bertanyakan MO satu soalan. Hmm, splenic artery dan vein, mana satu yang di atas dan di belakang pancreas? Dan dia sebut bahawa Tuhan tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia.. 

Jawapannya, Allah yang hebat itu menciptakan splenic vein di belakang pancreas dan splenic artery pula di atas pancreas.. 

Kenapa? Sebabnya artery adalah salur darah yang berdenyut dengan kuatnya (pulsatile), dan seandainya splenic artery berada di belakang pancreas, akan sakitlah semua orang. Splenic artery yang pulsatile itu akan menekan pancreas, merembeskan segala hormon pancreas dan akan menyebabkan seseorang mendapat acute pancreatitis.. 

Bergenang air mata tika itu.. Teringat kuliah Ustaz Zahazan berkenaan surah Rahman. Setiap kali ayat Fabiayyi ala irabbikuma tukazziban dibacakan maka para Jin akan menjawab, "Sungguh tiada apa pun nikmatMu yang dapat kami dustakan". Dan saya mengakuinya.. 

Saya tadabbur kembali hadis faham.. Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya, maka Allah akan memberi faham dalam deennya.. Walau bukti kasih sayangNya terlalu banyak dalam diri kita, ada yang lebih besar dari segalanya.. Itulah nikmat faham.. Bukan TAHU tapi FAHAM! 

 Itulah juga yang pakcik ulangi semasa daurah baru-baru ini.. Walau terkadang merasai diri penuh dengan dosa, betapa kita tetap perlu melahirkan syukur pada Allah atas nikmatNya yang memilih kita untuk berada di atas jalan ini..

Saturday, February 09, 2013

Maaf..

Andai tiada istilah maaf, barangkali saya tiada di sini. Andai tiada istilah mujahadah, barangkali saya tiada di sini juga. Kerana manusiawinya kita, seringkali kita tersasar. Jujur sisi-sisi manusiawi itu menambahkan rasa kehambaan yang tiada terkira. Jujur dosa-dosa itu menunjukkan ketidaksempurnaan kita di hadapanNya..

Teringat kuliah Amru Khalid mengenai AlWadud. Boleh dicari di laman maya Youtube. Kuliah berkenaan Asma Allah AlWadud itu adalah antara siri-siri kuliahnya Bismika Nahya - Dengan NamaMu, Kami Hidup. Betapa ketika itu dia mengungkapkan sebuah kisah yang begitu mempersona. Bicara Saidina Ali saat diajukan dirinya, adakah dia ingin ibu bapanya yang sangat menyayanginya memberikan kesaksian buat dirinya di akhirat kelak.. Dan sahabat yang agung ini menjawab, betapa tetap dia inginkan Allah yang memberikan kesaksian buat dirinya, kerana agungnya sifat AlWadud Allah melebihi ibu bapanya sendiri!

Dan aku juga mengakui kisah itu. Betapa terkadang manusia tidak akan mampu menerima hatta satu kesilapan kita sekali pun. Sekali kesilapan maka terjejaslah segalanya. Dan aku akui Allah jualah yang menciptakan manusia sebegitu sehinggakan diri tidak lagi berharap pada pandangan manusia yang kerdil itu.

Aku telusuri Risalah Ta'alim, aku rasakan berat yang amat. Dosa-dosa yang banyak bergantungan di pelupuk mata. Sungguh andai tiada istilah mujahadah, akulah insan yang pertama sekali lari dari jalan dakwah ini kerana ketidaksempurnaan diri. Dan aku sangat penuh noda pada diri, akhawati fillah, pada jemaah, ummah dan segala-galanya.. Di persimpangan khauf dan raja', aku masih melangkah walau terkadang bisa-bisa dosa seakan menyakitkan setiap langkah..

Matahari mungkin sahaja terus bersinar keesokan hari, namun adakah diri ini masih punya nyawa keesokan hari?