Monday, May 13, 2013

Setahun...

Saat aku merasai pelangi yang indah setelah hujan mendung tempoh hari, aku mengucapkan syukur pada Allah kerana menghantar ukhti S tempoh hari. Ceritanya mengenai pelajaran-pelajaran baitul muslim mengajarkanku seribu satu kebaikan yang ingin aku kongsikan pada yang lain pula..

Ya, aku mengkagumi ayahnya.. Saat aku mendengar ceritanya yang indah-indah, aku terpana seketika. Ayahnya bukan ayah kandungnya tapi adalah ayah tirinya..

Usia perkahwinan pertama ayahnya hanya bertahan selama setahun. Setelah 4 tahun, ayahnya mengahwini ibu ukhti S yang merupakan janda dan memiliki 4 anak. Melalui perkahwinan kedua, beliau dikurniakan 5 orang lagi anak. Ya, semuanya 9 orang anak. Andai perkahwinan pertama adalah dengan seorang akhawat, perkahwinan kedua adalah dengan seorang janda yang tidak pernah menerima tarbiah. Namun ayahnya berjaya menarik isterinya dan kesemua 9 anaknya bersama dalam gerabak tarbiah..

Izinkan aku berkongsi kisah perkahwinan pertama ayahnya. Ayahnya hanya berkongsi kisah ini pada ukhti S yang menjadi rahsia dirinya selama hampir 27 tahun sebelum walimah anak sulungnya itu, mengkhabarkan perjalanan kisah seorang isteri solehah.. 

Ya, usia perkahwinan mereka hanya setahun. Makcik tersebut namanya Iman. Sedang mengandungkan anak sulung mereka.. Kemalangan jalan raya.. Saat itu sudah sampai masanya untuk dia melahirkan anaknya.. Dan dia terkorban dalam kemalangan itu bersama bayinya.. 

Dia merupakan seorang peguam..Andai berbicara, suaminya perlu hampir dengannya.. Begitu halus bicaranya sebagai seorang akhawat.. Allah, betapa indah perjalanan isteri solehah.. Hanya setahun usia sebuah perkahwinan, namun mengesankan si suami bertahun-tahun lamanya.. Betapa indah perjalanan seorang isteri yang solehah, sudah menanti si suami dan anak di syuga.. Aku? Jauh sekali.. 

Ya rabbi, perbaikilah akhlaqku.. Sungguh orang terdekat kitalah yang lebih mengenali kekurangan-kekurangan kita.. Andai dulu keluarga, kini zauj mengetahui serba serbi kekuranganku.. Ya rabbi, bantulah aku dengan menutupi sisi-sisi kelemahanku di hadapannya.. Nangis.. 

Keajaiban..

Aku rindu untuk menarikan tinta.. Namun di sana ada tugasan-tugasan yang terus mencemburui.. Dan nubari berkata, biarlah sedikit dari tiada..

Jujur hati terus-terusan bertanya, perlukah aku mengkhabarkan atau menuliskan tinta menyentuh soal baitul muslim? Sedangkan perjalanan baitul muslimku sendiri belum lagi menjejak 3 bulan.. 

Namun di sana seakan ada dorongan-dorongan tarbiah yang meminta tangan menarikan segalanya pada kanvas maya ini. Biarlah coretan dari diri yang hijau muda dalam dunia baitul muslim ini membantu mereka yang juga masih seperti anak pucuk yang baru bertunas.. 

Dan mungkin juga catatan ini aku coretkan buat para mutarabbi, anak-anak dakwah yang akan melangkah ke tangga ini kelak.. Dan terlebih pastinya buat diri sendiri, menguatkan diri melalui fasa yang lebih mencabar iman ini... 

Jujur ada suka dan duka dalam melayari dunia baitul muslim. Dan dunia baitul muslim bukan dunia yang ideal. Di sana ada ujian-ujian yang terus-terusan melanda.. Di sana ada syaitan yang mencucuk-cucuk.. Begitulah perjalanan baitul muslimku sendiri.. Sehinggakan satu ketika aku sendiri menanyakan pada diri sendiri, benarkah ini baitul muslim? Bolehkah rumah tangga yang kami bingkaikan dalam kaca mata dakwah ini bertahan dan menjadi qudwah buat yang lain? Mampukah aku sendiri menjadi qudwah buat adik-adik dalam dunia dakwah ini? Mampukah aku berbicara dengan manusia lain mengenai baitul muslimku sendiri? 

Percaya atau tidak dalam usia yang masih hijau berbaitul muslim, telah ada konflik-konflik yang kami alami.. Ya, biar aku kisahkan semua ini.. Tapi bacalah tulisan ini hingga ke noktah terakhir atau pada sambungan catatan-catatan seterusnya.. Dan aku pasti kisah ini tiada penghujungnya sehinggalah kami bertemu Allah.. 

Satu pelajaran yang berharga dalam berbaitul muslim adalah hadirkanlah Allah dalam kehidupan berbaitul muslim.. Hadirkanlah Allah! Hadirkanlah Allah dalam setiap saat dan ketika! Tiada siapa yang akan membantu kita melainkan Allah! 

Dan di saat konflik diri itu Allah hadirkan seorang ukhti untuk membantuku. Betapa aku mencemburui dirinya dan betapa aku berharap diri yang kerdil ini mampu hadir dalam diari kehidupan insan lain,memberi sinar buat insan lain juga.. Aku tidak mengenalinya. Petang itu aku mahu menziarahi mutarabbiku. Saat sudah bersiap, ayah memberitahuku. Ada yang mahu berkunjung ke rumah.. Orang jemaah juga, berasal dari Sarawak.. Lantas aku membatalkan hasrat untuk menziarahi mutarabbi, dan menerima tetamu ini..

Ibu bapaku yang bertemu dengannya pertama kali semasa walimahnya. Ya, walimahku bulan Februari lalu dan dia sebulan sesudah itu. Dia berkahwin dengan saudara jauhku.. Saat ibu bapaku dan ibu bapanya bertemu, seakan telah ada gelora tarbiah dan di sana semuanya bermula..Dan kami berukhwah juga kerana itu.. 

Malam aku bertemunya menjadi saksi ukhwah kerana Ilahi.. Beberapa jam malam itu seakan terus bermakna.. Dan pertemuan itu Allah aturkan untuk aku sendiri memperbaiki baitul muslimku.. Jujur pertemuan itu mengundang sejuta hikmah.. Tak aku nafikan, diri ukhti itu benar-benar qawiyy.. Setahun lebih tua dariku, dia memaparkan kematangan seorang akak buatku.. Oh ye, dia pernah ke Gaza.. Benar-benar qawiyy perkongsian pengalamannya denganku.. Dan aku terlebih mengkagumi ayahnya meski tidak pernah bertemu.. Ya, ayahnya adalah pakcik yang juga qawiyy di atas jalan ini.. 

Allah! Sungguh aku menangis kerana pertemuan itu... Siapa dia? Aku tidak pernah mengenalinya, namun dia hadir membantuku menelusuri perjalanan baitul muslim itu sendiri.. Ya, begitulah ketika Allah hadir membantuku menelusuri kehidupan ini.. Aku berdoa pagi itu agar Allah membantuku dan malam itu Allah menghantar dirinya.. Sungguh tiada nikmat Allah yang mampu aku dustakan... 

Insya Allah, dia akan bergabung dengan dakwah di daerah ini.. Aku percaya bumi BJB ini adalah bumi yang penuh keajaiban dakwahnya..

Tuesday, April 23, 2013

Penat!

Ada kala dan ketikanya saya merasakan 'penat' yang amat. Seakan ingin berlari jauh membawa diri, mahu memencilkan diri seketika dari terus melihat manusia. Mahu menarik nafas seketika, mencari kekuatan. Ya, saya penat.. 

Saya menoleh kiri dan kanan, depan dan belakang. Tiada siapa. Tahulah saya ketika itu, Allah hanya ingin saya mengadu padaNya.. Housemanship, naluri seorang wanita yang lemah, keluarga, kewangan semuanya adalah bentuk ujian yang dihamparkan agar saya kembali padaNya.. Saat seluruh dunia mungkin mengatakan saya kuat, saya tahu Allah jualah yang paling tahu kekerdilan saya sebagai hamba, mengetahui setiap zarah dosa yang saya lakukan, megetahui segala isi hati.. Allah, betapa halus tarbiahNya.. 

Motivasi? Pesakit-pesakit di hospital juga motivasi berharga saya.. Saya kini berusia 26 tahun..

Melihat pesakit wanita yang berusia 27 tahun menghidap kanser payudara. Dia telah melalui pembedahan membuang satu payudara. Dan kemudiannya Allah menguji bahawa payudaranya yang sebelah juga terkena kanser yang sangat advance. Dia melalui neoadjuvant therapy, kemoterapi sebelum pembedahan untuk mengecilkan saiz kanser. Dan mastectomy atau pembedahan membuang payu dara yang perlu dihadapinya esok adalah cuma sebagai palliative, bukan curative. Bimbang pecah dan sebagainya.. Dan kansernya telah merebak ke tulang dan hati. Apa yang saya fikirkan? Hanya satu tahun lagi, mungkin itu jugalah time bomb saya.. Siapa tahu? Sebagai doktor, terlalu banyak seni kematian yang kita lihat, bukan? Dan saya akan memuhasabah, menggoncangkan diri yang penat.. Afeera! Setahun lagi nak mati..

Semasa saya menjaga ICU 3 malam yang lepas, satu kes seorang lelaki berusia 29 tahun, appendix pecah (perforated appendicitis). Sayang semasa pembedahan, berlaku iatrogenic incident, terkena usus. Dan kini dia hanya menanti saat untuk pergi.. 

Betapa banyak kes ectopic pregnancy, kehamilan luar rahim yang kita lihat. Sekejap sahaja Allah nak, kena ectopic pregnancy, berlaku pendarahan yang banyak dan mati.. 

Terlalu banyak seni kematian yang saya lihat. Dan betapa ramai di kalangan pesakit yang pergi begitu muda.. Dan begitulah acap kali saya memotivasi diri. Afeera, setahun lagi nak mati! Afeera, 3 tahun sahaja lagi nak mati! Dan apakah bekal yang akan saya bawa pulang. Mati! Tiada jalan pulang.. 

Begitulah saya memuhasabah diri.. Doakan agar Allah memberikan saya seni kematian, khusnul khatimah yang indah! Dan sungguh kematian adalah motivasi berharga untuk terus bergerak meski penat!

Ahmad Ar Rasyid , kadang kadang kasar juga dalam penulisan beliau:

 الراحة للرجال غفلة ذالك أن من أراد الراحة والسكون فإن الموت والقبر يزودانه منهما حتى يشبع

Kerehatan bagi seseorang (da'ie) adalah kelalaian! Oleh itu untuk yang berkehendak kepada rehat dan berhenti maka sesungguhnya maut dan kubur itu akan merehatkannya sehingga dia puas!

Friday, March 29, 2013

Census..

Seusai Asar tadi, dalam sujud syukur saya menangis. Air mata turun mencurah-curah.

Brother Omar Suleiman said, "One moment of Allah being pleased with you can lead to an eternity of bliss. Work hard for that moment".

Saya merasai ungkapan itu tadi segenap jiwa saya. Saya selesai present Census untuk bulan Januari di hospital tadi. Dalam kesesakan masa, saya diamanahkan untuk membuat statistik pesakit bulan Januari. Bukan sekadar satu wad. Malah dikehendaki untuk membuat statistik dua wad, ICU, Burn Unit, Daycare, OT dan lainnya. Habis kerja ataupun datang awal kerja, saya perlu ke ICU, Burn Unit, OT, daycare untuk mengumpul segala data. 

Sejujurnya saya tidak mengerti hikmah di sebaliknya pada awal kali diamanahkan tugasan itu. Ya rabbi, Engkaulah yang lebih mengetahui kesesakan masa yang aku ada, mengapa aku yang dimanahkan untuk tugasan ini?

Tugasan itu tidak berat seandainya saya adalah full timer houseman. Namun ada begitu banyak tugasan dan tanggungjawab saya yang lain. Dan kerja itu sungguh berat. Di samping kerja, saya perlu menyudahkan statistik. Hampir lebih 500 dokumen pesakit yang perlu saya lihat. I have sleepless day and night throughout these few weeks..

Di situlah tarbiah Allah. Slide siap setengah jam sebelum presentation. Seusai Zohor, saya duduk menyerahkan segala kehidupan saya pada Allah. Di situlah tarbiahnya. Sepenuh pengharapan saya letakkan pada Allah. Di situlah saya mengakui kekerdilan seorang hamba. Dan ALLAH jualah yang memudahkan urusan presentation tadi.  Saya tidak mampu berpaling ke kiri, ke kanan atau meminta sesiapa sahaja untuk membantu tugasan ini. Kerjanya hanya difahami oleh doktor sendiri. Mahu mengharapkan bantuan rakan HO yang lain, saya cuma bermimpi barangkali. Dan di situlah saya merasakan betapa Allah menemani perjalanan saya dari awal sehingga saya menyudahkannya.. 

Dan dalam tempoh housemanship ini, Allah jualah yang menyusun segala kesibukan housemanship itu dengan sebaiknya. Andai saya sibuk begini, pasti ketika itu mutarabbi saya sedang bercuti.. Allah, betapa cantik Kau mengatur hidupku..

Saya pernah mencatat pengalaman yang sungguh memenatkan semasa posting di medical dulu saat perlu membantu seorang pesakit dengue yang berdarah dari haidnya, dari lubang duburnya, dari mulut dan hidung. Ya, saya mencatat pengalaman itu kerana hari itu sangat memenatkan dan sangat mengesankan saya..

Saya tidak melihat hikmahnya tika itu. Sehinggalah ketika saya menghadiri kursus dengue di hospital. Itulah satu-satunya pesakit dengue yang meninggal untuk tahun lepas. Hanya beberapa kes kematian dengue sahaja di Malaysia. Dan Allah jualah mentakdirkan bahawa saya perlu menolong resuscitation pesakit tersebut. Saat kes tersebut dibentangkan di peringkat hospital, ada butir-butir air mata yang mengalir. Ya rabb, Kau ingin mengajari aku sebenarnya.. Ya, saya belajar banyak perkara dari kes itu.. Betapa dalam kepenatan itu ada hadiah Allah.. Ramai yang hadir mendengar case presentation tersebut namun saya pasti sayalah di antara orang yang menghadamnya dengan baik kerana saya terlibat langsung untuk resuscitate pesakit tersebut.. Allahu Akbar! Betapa terkadang kita sering tersasar menghadami hikmah.. 

Ada email dakwah dan tarbiah yang saya tulis minggu ini. Ada komen-komen balasan mengungkapkan email saya meleret panjangnya, ada yang mengungkapkan betapa saya perlu belajar format menulis email. 

Sekali lagi, cukuplah Allah yang mengetahui di ketika dan saat mana saya menulis email itu.. Saya ingin mengungkapkannya dalam meeting.. namun di sana ada kekangan masa sebagai houseman.. Cukuplah saya merasakan bahawa Allah mengetahui segalanya..

Ok, sudah tiba masanya untuk membalas segala hutang.. Saya mahu melompat-lompat selepas ini, meski saya tahu saya tidak akan pernah mampu mengungkapkan rasa cinta pada Allah atas lautan cintaNya buat saya.. Terima kasih ya Rabb.. 

Tuesday, March 26, 2013

Fa anta 'anhu talahha...

Tarbiah Allah itu indah. Dan Dia saban waktu mentarbiah diri ini dengan peristiwa. Saya bukan sesiapa dalam dunia dakwah dan tarbiah. Masih belajar. Dan ingin terus belajar. Betapa saya mengharapkan di sana ada yang sudi mengajar dengan hikmah, membetulkan segala kecacatan fikrah andai ada yang melihatnya.

Zauj meminta saya berdiam sahaja. Saya duduk di persimpangan. Mahu menerobos yang hak atau berdiam diri. Saya tidak mengatakan saya di pihak yang hak, malah mungkin sahaja sayalah yang tersasar jauh. Lantas saya menginginkan penjelasan untuk membaiki kecacatan yang ada. Betapa saya berharap yang hak terus menang dan menyuluh jalan kembali. 

Lantas dalam perjalanan saya dari rumah mertua dari Jengka ke Johor, saya dan zauj menghadam mp3 yang ada. Dan Allah mengajari diri yang serba kerdil ini sesuatu. Lantas saya membenarkan bicara zauj untuk berdiam. Tapi bukan berdiam dalam jejak-jejak yang kami yakini pastinya.. 

Tadabbur surah Abasa itu mengetuk hati sekali lagi.. Ketika Rasulullah SAW mendakwahi golongan bangsawan Quraisy, apakah matlamatnya? Adakah kerana duit, pangkat, kekayaan dan lainnya? TIDAK! Malah dia melakukan semuanya kerana DAKWAH ini. 

Betapa Allah mengajari kekasihnya seni dakwah. Siapa pula Abdullah Ibni Ummi Makhtum? Inilah pertama kali saya belajar fiqh dakwah dalam menganalisis siapakah dia.. Dari kaca mata fiqh dakwah, dia adalah mereka yang telah berada dalam sistem tarbiah, dalam proses pentakwinan. 

Ya, dialah yang disifati Allah dengan menginginkan proses tazkiah yang juga merupakan komponen penting tarbiah.. 

Wa amma man jaaka yas’a, wa huwa yakhsya. Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersusah payah, dan dia takut kepada Allah. (Surah Abasa:8-9) 

Dua tahap yang membolehkan seseorang itu memperoleh hidayah, dipilih dalam proses takwin adalah ‘as sa’yu’(sudah payah) dan ‘alkhasyiyah’ (rasa takut kepada Allah SWT). 

Ertinya, sesiapa pun yang mengkehendaki hidayah Allah SWT, dia harus bersusah payah berusaha mencari dan mendapatkannya dan dia juga harus memiliki rasa takut kepada Allah di dalam lubuk hatinya yang paling dalam. 

Ya, siapa pula golongan Quraisy? Mereka adalah orang yang ditajmik di fasa taarif. Mereka yang istaghna.. Merasa cukup dengan segalanya.. Merasa cukup dengan apa yang diketahui mereka.. 

Apa pengajarannya? Di antara dua amal dakwah, fokus tetap pada takwin, takwin dan takwin.. Ya, taarif juga adalah untuk dakwah. Namun bila berlaku pertembungan, mana yang perlu diberi perhatian? Tetaplah takwin yang utama.. 

Bukankah rasa hati itu kurniaan Allah? Ya, saya sendiri dijentik dengan abasa watawalla.. Ya, Allah sedang berbicara.. Akukah yang bermasam muka dengan takwin? Fa anta 'anhu talahha.. Akukah yang telah mengabaikan adik-adik ini? Barangkali saya sedang memberi fokus pada taarif atau mereka yang menyokongnya, sedang ramai lagi yang dibawah binaan merayu-rayu penyusunan takwin.. 

Penyusunan dan tarbiah sendiri? Biarlah Allah yang menjaganya.. Moga Allah menjauhkan diri ini dari istaghnaa, merasa cukup.

Friday, March 15, 2013

Ssshh.. Monolog...

Jujurnya ada yang ingin saya tuliskan. Ada yang menjadi renungan sendiri..

Sejauh mana sebenarnya kita melahirkan rahsia baitul muslim kita? Sejauh mana kita berhak menceritakannya? Ya, sangat sukar kita sendiri menjadi qudwah. Sangat sukar kerana kita sendiri manusia yang penuh lupa.

Cuba mencari dari pakcik makcik di lapangan dakwah. Tiada yang terlahir dengan penuh zahirnya. Dan kami anak-anak dakwah yang baru meniti alam ini mencari-cari qudwah. Lantas kami menghadam bahan bacaan, terkadang hati segan meluahkan atau bertanya pada murabbi/ murabbiah kami..

Terkadang kita melihat betapa zahirnya pasangan ikhwah akhawat melahirkan di ruangan Facebook. Pastinya bicara kita bukan perihal orang biasa.. kita mahu bicara soal daie.. Bagaimana sewajarnya akhlaq seorang daie?

Pasti kisah baitul muslim kita seringkali tanda tanya orang biasa. Staff nurse di hospital juga bertanya. Kawan HO dan MO kita juga bertanya. Dan semua terkejut bahawa kami tidak mengenali sebelum walimah.

Lantas adakah tiket nikah adalah tiket untuk menzahirkan segalanya? Segala catatan cinta, luahan hati, bait nasyid cinta boleh kita zahirkan di ruangan maya di hadapan khalayak? Adakah seorang daie boleh melakukannya?

Ada respons yang mengatakan, kita perlu melahirkan cinta sebenar supaya boleh menjadi contoh bagi orang biasa? Benarkah?

Bukankah Rasulullah SAW sendiri meluahkan bahawa Saidatina Aisyah r.a adalah orang yang paling dicintainya ketika ada yang menanyakan?

Bagaimana sewajarnya kita mengaplikasikan kehidupan Rasulullah SAW dalam konteks kehidupan hari ini? Dan saya sendiri mencari jawapannya..

Saya lihat tokoh-tokoh ulama di Malaysia seperti Ustaz Zahazan, Dr MAZA.. Ya, mereka benar-benar menjaga akhlaq mereka..

Ya, kita juga melihat tokoh dalam jemaah sendiri seperti Prof Dr Harlina dan yang seangkatan dengannya, bila mereka berbicara soal baitul muslim, tiada rasa mual yang mengairi anak tekak sendiri bukan?

Lantas mengapa perilaku daie daiyah muda ini menimbulkan rasa geli dan mual? Adakah saya sahaja yang merasainya? Mungkin bukan geli dan mual, perasaan malu itu hadir saat menatap semua itu.. Sebulan walimah, saya masih malu melihat kelakuan itu.. Dan saya pasti malu itu begitu mencengkam hati andai melihatnya sebelum walimah..

Kemudiannya, perihal daie daiyah muda yang belum walimah.. Ya, saya akui baitul muslim adalah impian semua orang.. Ada yang bertanya dalam ruangan komen, bagaimana saya menjaga batasan ketika dalam tempoh pertunangan?

Teringat soalan saya pada Makcik Azizah / Dr Azizah beberapa tahun dahulu semasa daurah Baitul Muslim. Saya tanyalah makcik dilema akhawat. Bilangan ikhwah kan sedikit, sedang umur akhawat kian bertambah. Dan tekanan dari semua pihak untuk berkahwin itu ada. Apa penyelesaiannya?

Best sangat jawapan makcik. Makcik kata tidak perlu fikirpun persoalan ini. Fikirkan tentang Allah, rasulNya dan dakwah. Tapi pastikan diri bersedia. Biar benda itu terjadi naturally.

Ya, ada malu yang terbias dari hati ini kerana mengajukan soalan tersebut. Namun cukuplah jawapan makcik itu menjadi pengajaran berharga. Fikirkan tentang Allah, rasulNya dan dakwah! Menjaga hati ketika tempoh pertunangan, itulah juga jawapannya! Kuat ketika dalam fasa perkahwinan jarak jauh, itulah juga jawapannya! Fikirkan tentang Allah, rasulNya dan dakwah!

Tentang pemilihan jodoh, sama ada ikhwah atau tidak, saya sendiri menerima pelbagai versi jawapan dari para murabbi/murabbiah di lapangan dakwah. Namun saya berpuas hati dengan jawapan Pakcik T, kita perlu bertegas dalam menyampaikan fikrah kita yang menginginkan setiap akh berkahwin dengan ukhti yang sama-sama terlibat dalam gerak kerja dakwah dan tarbiah. Kita perlu menyampaikannya! Namun kita tiada kuasa memaksanya. Dan kita mengakui bahawa seorang akh/ukhti pasti ada ujiannya. Ada yang diuji dengan perasaan sendiri, diuji dengan keluarga sendiri, diuji dengan pertambahan usia dan seribu satu mehnah sendiri. Yang kuat terus bertahan dan begitu sebaliknya.. Namun fikrah tetap fikrah! Kitalah yang perlu menjaganya!

Dan saya percaya, buat mereka yang diuji barangkali itulah jalan Allah dalam membawa kalian ke JannahNya..

Kemudiannya, bukankah kita yang melafazkan tentang ukhwah? Bukankah kita yang memperjuangan ukhwah lillah wa fillah?

Namun benarkah ada penghayatan di sebalik semuanya? Sejauh mana kita sensitif dengan akak-akak dan akhawat fillah di atas jalan dakwah ini yang masih belum bertemu dengan jodoh mereka? Sejauh mana kita menjaga sensitiviti mereka saat semuanya mahu dipamerkan?

Sejauhmana kita menjaga sensitiviti ikhwah akhawat kita yang belum dikurniakan cahaya mata setelah bertahun-tahun berkahwin?

Adakah saya ekstrim? Entahlah.. Konflik dalaman saya barangkali.. Namun ada sesuatu yang mengganggu hati nubari..

Terkadang usikan juga begitu merimaskan.. Beginikah jalan dakwah mengajarkan?

Setiap dari kita adalah manusia, insan yang pelupa. Mengharap ada yang mengingatkan .. Diajar saling berpesan-pesan dalam Surah Al Asr..

Saya tiada penyelesaiannya.. Sejauh mana iman kita, itulah yang akan menjadi sandaran jawapan.. Sejauh mana fikrah kita, itulah juga sandaran jawapan.. Monolog yang andai dizahirkan, pasti berat dihadam oleh insan lain.. Usahkan orang lain, diri sendiri juga.. Sssshhhh .. Ini hanyalah monolog dalaman..

Allahu A'lam..

Friday, March 08, 2013

Tangga kedua..

Benar menurut Ustazah R, tangga kedua maratibul amal akan lebih menguji iman dan hati. Saya mengakuinya. Seribu satu rona perasaan saya rasai yang tidak pernah saya rasai sebelum ini. Di dalam usrah sendiri, majoriti sahabat seusrah sudah berwalimah. Dulu saya tidak memahami luahan mereka, kini mula merasainya.. Dan Allah jualah yang mengurniakan semua warna warni perasaan itu.. Ya, kami diuji dengan perkahwinan jarak jauh namun pastinya untuk mengikat hati kami untuk lebih dekat lagi pada Allah yang mentakdirkannya..

Pada dia, cukuplah saya mengkaguminya kerana imannya.. Ya, saya belajar banyak perkara perihal iman darinya.. Setiap kali membaca tulisan Sis Rytha mengenai wanita yang menghidap poliovirus ini [Link] , saya mengingati zauj.. Tindakannya pasti membuatkan saya taajub pada imannya.. Dia adalah ikhwah sebelum menjadi zauj saya.. Dia membuktikannya pada tindakannya..

Dan saya juga mengakui ungkapannya di ruangan FB, "Memanglah perkahwinan tu membahagiakan. Sehinggakan kita merasakan kitalah orang yang paling bahagia dalam dunia. Kita share kisah percintaan kita di fb, nak katakan "so sweet", "caringnye suami you", dan macam2 lagi lah. Sedangkan kita lupa kebahagiaan tu yg dicari2 org lain yg tidak mampu mendirikan rumahtangga. Yg strugglenya mereka menahan hawa nafsu dr berdua-duaan. Hingga akhirnya org yg dah berkahwin membuka jln maksiat kepada mereka. Dgn menceritakan "so call sweet tuh"."

Acap kali pemikiran kami sama, dan perasaan malu itu juga sama. Pasti di sana ada perbezaannya juga.. Dan di situ kami belajar melengkapi.. Ada seribu satu perkara yang tidak dapat diungkapkan kerana saya belum melangkah ke tangga kedua ini sebelum ini, namun dengan ikatan ini, moga Allah mengizinkan diri ini mengungkapkannya dalam suasana yang penuh dengan adab dan akhlaq seseorang yang mengikuti tarbiah.. 

Saya menelusuri kata-kata Nabi saw tentang Khadijah ra sehingga apabila Aisyah ra berkata, “Bukankah Allah telah menggantikannya dengan isteri yang lebih baik?”, jawab Nabi saw,”Demi Allah, Allah tidak pernah menggantikan untuk aku isteri yang lebih baik dari Khadijah. Dia beriman kepadaku apabila manusia lain kufur kepada aku. Dia membenarkan aku ketika manusia lain membohongi aku. Dia memberi aku harta ketika manusia lain memboikot dan mencegah harta dari sampai kepada (perjuangan) aku. Darinya aku dikurniakan anak-anak (yang mengikut perjuanganku)”.

Jujurnya dia menerima saya saat beberapa ikhwah menolak saya. Cukuplah saya mengkagumi dia kerana itu.. Dan tarbiah Allah sangatlah besar.. Saat beberapa borang sebelum ini datang kepada saya, saya tidak pernah menolak.. Ada yang kurang dari segi harta, rupa, dan lain-lain.. Ya, saya tidak menolak.. Dan Allah telah menguji saya dengan soal hati, rupa, harta menerusi borang-borang sebelum ini.. Dan apabila tiada lagi soal semua itu, dan keputusan yang diambil hanya kerana dakwah dan tarbiah, maka Allah memberikan kecukupan dari segala segi yang lain..

Ya, saya tidak sepatutnya berbunga-bunga. Ya, saya doktor yang melihat realiti ujian manusia.. Ya, ujian manusia ada silih pergantiannya.. Saya mengakuinya.. Namun saya berharap satu ketika andai ujian terus menggoncangkan hati ini, biarlah detik-detik ini saya ingati untuk mengubati segala perit ujian kehidupan..



Saya ingin mengungkapkan kata-kata Ummu Darda' seperti yang diceritakan oleh Sheikh Omar Suleiman pada dirinya. Ya, saya ingin menjadi isterinya di akhirat kelak.. Moga Allah terus menguatkan kami di atas jalan ini.. 

Tuesday, February 12, 2013

BM...

Baitul Muslim (BM)? Oh ye.. seandainya Allah izinkan, saya akan menaiki tangga kedua maratibul amal dalam tempoh 6 hari lagi..

Soalan yang paling banyak ditanya dalam menghadapi hari-hari akhir ini, "Apa perasaanya?"

Saya tak dapat lari dari rasa nervous yang sangat menggoncang hati dan perasaan.. Saya cuba melarikan diri dari perasaan itu tapi tak boleh.. Thanks God that i am still working till the last day before the marriage..

Kata Zaid, "Kalau nervous, normal. Tak nervous, tak normal". Huhu..

Saat melihat majlis akad nikah abang saudara baru-baru ini, i did cried. Sebabnya merasai sendiri betapa beratnya mithaqan ghaliza lafaz nikah tersebut.. Apatah lagi betapa beratnya beban yang dipikul sebagai seorang du'at yang memikul tugas syahadatul haq sepanjang masa..

Jujurnya mereka yang mengenali saya sedari awal dan membaca jatuh bangunnya kehidupan saya, pasti tahu betapa pesimisnya saya terhadap perkahwinan itu sendiri kerana hari-hari yang telah saya lalui.. Ya, saya pernah melalui pembedahan..

I did inform akh (through orang tengah) multiple times regarding that.. Honestly, i did hope that he rejected me.. I am in denial state sampailah proses pertunangan itu..

Kenapa masih hantar borang BM? Jujurnya proses BM saya beberapa kali tak jadi.. Aiman pernah bertanya, "Kalau contohnya kita tak dapat anak dan dah jumpa 100 doktor, adakah kita perlu bertemu doktor yang ke 101?" Kata Aiman, orang yang faham qadar akan terus bertemu doktor ke 101 dan seterusnya..

Saya tahu borang BM yang terakhir perlu saya hantar adalah di Johor.. Saya tak nak Allah bertanya satu ketika di akhirat kelak, kenapa saya tidak menghantarnya.. Kalau tiada rezeki, saya redha sebab akur dengan segala kelemahan diri.. Sedikit lewat juga menghantarnya kerana konflik diri..

“Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya untuk meminang perempuan kamu maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan”. (hadith hasan riwayat Tirmidzi no 1084).
 
Allah izinkan akh menerimanya.. Kenapa? Sepertimana yang dia tegaskan, kerana dakwah dan tarbiah.. Jujurnya tiada apa-apa pun pada saya.. Tin kosong.. Huhu..

Biarlah Allah yang menentukan segalanya.. Perencanaan lagi 6 hari ini pun dalam rencanaNya.. Allah yang menentukan segalanya.. Huhu.. Allah knows best.. I am not sure whether i'm prepared or not.. Dan saya serahkan sepenuhnya urusan ini pada Allah.. ALLAH KNOWS BEST!!!

DENGAN HORMATNYA MENJEMPUT SAHABAT-SAHABAT DAN KENALAN KE MAJLIS PERKAHWINAN KAMI. 

Ummu Afeera Zainulabid & Akh Mat Sharil Abdul Talib 

PIHAK PEREMPUAN: 17 FEBRUARI 2013 DI DEWAN SERBAGUNA TAMAN PELANGI INDAH, JALAN CANTIK 5, TAMAN PELANGI INDAH, 81800 ULU TIRAM JOHOR. JAMUAN MAKAN : 11 PAGI - 5 PETANG 

PIHAK LELAKI: 23 FEBRUARI 2013 DI KEDIAMAN A.14 FELDA SRI PAGI JENGKA 17, 26400 BANDAR JENGKA, PAHANG. JAMUAN MAKAN : 11 PAGI - 3 PETANG 

SEMOGA DENGAN KEHADIRAN DAN DOA KALIAN AKAN MEMERIAHKAN DAN MEMBERI KEBERKATAN DALAM MAJLIS INI.

Brannula..

 
Saya jarang menolak saat junior houseman memanggil saya untuk brannula insertion. Ye, brannula insertion sahaja. Nampak kecil sahaja amalnya. Tapi saya kira pahalanya tetap besar memandangkan ubat, IV drip dan banyak lagi rawatan lain memerlukan brannula

Dan saya sangat memahami kesukaran memasukkan brannula semasa awal-awal latihan housemanship. Teringat pengalaman sendiri melalui hari-hari awal itu. Setiap kali ke hospital, saya akan meminta mak mendoakan agar saya dapat insert brannula pada pesakit. 

Hari pertama sebagai house officer, saya menangis kerana gagal memasukkan brannula. Ya, saya dimarahi oleh senior houseman bila cuba memasukkan brannula berkali-kali. Katanya, "Awak tak rasa pesakit ini macam ayah awak sendiri ke? Kalau ayah awak, awak sanggup sakitkan macam ini?" 

Sebak sangat masa itu. Sebabnya tidak pernah terlintas pun di hati untuk menyakitkan pesakit. Hmm.. Hari-hari itu sudah berlalu.. 

Dan hari ini, Allah memberikan kepakaran memasukkan brannula. Dan setiap kali dapat masukkan brannula, saya masih berdoa dan melafazkan syukur pada Allah. Sebabnya, saya mengingati hari-hari awal sebagai houseman saat pengharapan saya benar-benar besar pada Allah agar dapat memasukkan brannula.. Itulah indahnya beginner's mind.. Kita mengingati Allah setiap masa.. Dan tak wajar untuk melupakan Allah saat dia mengurniakan hatta sekecil-kecil kepakaran.. 

My humble advice, jangan rasa amal insertkan brannula itu kecil.. Setiap kali staff nurse atau junior houseman memanggil untuk brannula insertion, sambutlah sahutan amal itu.. 

Banyak lagi amal yang dipandang kecil, tapi tetap besar... Contohnya memasukkan tiub kencing (CBD insertion), saat pesakit gagal kencing.. Dan kita sendiri dapat merasai kepuasan menjadi doktor saat pesakit relieve dari kesakitan mereka selepas memasukkan CBD disebabkan gagal kencing (urinary retention).. 

Dan setiap kali dipuji pesakit, kembalikan semua pujian itu pada Allah. Allah jualah yang mengajar kita dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara!

Splenic artery...

Alhamdulillah, saya sudah di posting kelima melalui latihan housemanship. Teringat hari pertama tagging sebagai 5th poster di wad pembedahan. 

Doktor pakar yang sedang membuat round bertanyakan soalan saat melihat CT abdomen seorang pesakit. Kekunci mouse komputer ditujukan pada satu objek di CT abdomen dan dia bertanyakan tentang organ itu. Owh, rupanya splenic artery.. 

Dan kemudian dia mengambil sehelai kertas dan melukis pancreas (yang seperti daun) dan dia bertanyakan MO satu soalan. Hmm, splenic artery dan vein, mana satu yang di atas dan di belakang pancreas? Dan dia sebut bahawa Tuhan tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia.. 

Jawapannya, Allah yang hebat itu menciptakan splenic vein di belakang pancreas dan splenic artery pula di atas pancreas.. 

Kenapa? Sebabnya artery adalah salur darah yang berdenyut dengan kuatnya (pulsatile), dan seandainya splenic artery berada di belakang pancreas, akan sakitlah semua orang. Splenic artery yang pulsatile itu akan menekan pancreas, merembeskan segala hormon pancreas dan akan menyebabkan seseorang mendapat acute pancreatitis.. 

Bergenang air mata tika itu.. Teringat kuliah Ustaz Zahazan berkenaan surah Rahman. Setiap kali ayat Fabiayyi ala irabbikuma tukazziban dibacakan maka para Jin akan menjawab, "Sungguh tiada apa pun nikmatMu yang dapat kami dustakan". Dan saya mengakuinya.. 

Saya tadabbur kembali hadis faham.. Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya, maka Allah akan memberi faham dalam deennya.. Walau bukti kasih sayangNya terlalu banyak dalam diri kita, ada yang lebih besar dari segalanya.. Itulah nikmat faham.. Bukan TAHU tapi FAHAM! 

 Itulah juga yang pakcik ulangi semasa daurah baru-baru ini.. Walau terkadang merasai diri penuh dengan dosa, betapa kita tetap perlu melahirkan syukur pada Allah atas nikmatNya yang memilih kita untuk berada di atas jalan ini..

Saturday, February 09, 2013

Maaf..

Andai tiada istilah maaf, barangkali saya tiada di sini. Andai tiada istilah mujahadah, barangkali saya tiada di sini juga. Kerana manusiawinya kita, seringkali kita tersasar. Jujur sisi-sisi manusiawi itu menambahkan rasa kehambaan yang tiada terkira. Jujur dosa-dosa itu menunjukkan ketidaksempurnaan kita di hadapanNya..

Teringat kuliah Amru Khalid mengenai AlWadud. Boleh dicari di laman maya Youtube. Kuliah berkenaan Asma Allah AlWadud itu adalah antara siri-siri kuliahnya Bismika Nahya - Dengan NamaMu, Kami Hidup. Betapa ketika itu dia mengungkapkan sebuah kisah yang begitu mempersona. Bicara Saidina Ali saat diajukan dirinya, adakah dia ingin ibu bapanya yang sangat menyayanginya memberikan kesaksian buat dirinya di akhirat kelak.. Dan sahabat yang agung ini menjawab, betapa tetap dia inginkan Allah yang memberikan kesaksian buat dirinya, kerana agungnya sifat AlWadud Allah melebihi ibu bapanya sendiri!

Dan aku juga mengakui kisah itu. Betapa terkadang manusia tidak akan mampu menerima hatta satu kesilapan kita sekali pun. Sekali kesilapan maka terjejaslah segalanya. Dan aku akui Allah jualah yang menciptakan manusia sebegitu sehinggakan diri tidak lagi berharap pada pandangan manusia yang kerdil itu.

Aku telusuri Risalah Ta'alim, aku rasakan berat yang amat. Dosa-dosa yang banyak bergantungan di pelupuk mata. Sungguh andai tiada istilah mujahadah, akulah insan yang pertama sekali lari dari jalan dakwah ini kerana ketidaksempurnaan diri. Dan aku sangat penuh noda pada diri, akhawati fillah, pada jemaah, ummah dan segala-galanya.. Di persimpangan khauf dan raja', aku masih melangkah walau terkadang bisa-bisa dosa seakan menyakitkan setiap langkah..

Matahari mungkin sahaja terus bersinar keesokan hari, namun adakah diri ini masih punya nyawa keesokan hari?

Monday, January 28, 2013

Tafsir Surah Annisa' ayat 95-96

Insya Allah sedikit nota dari kupasan Ustaz Salam berkenaan Tafsir Surah Annisa' ayat 95-96.
 
  • Ayat ini menceritakan galakan Allah dan bagaimana Allah membezakan orang-orang beriman.
  • Ada yang darjatnya tinggi dan adanya darjat yang rendah.
  • Tidak boleh berpuas hati di peringkat dakwah yang rendah, misalnya nak duduk di syurga yang rendah. Misalnya hadis nabi, sesiapa yang mengucap Lailahaillallah akan masuk syurga. Adakah cukup setakat itu sahaja? Adakah cukup dengan hanya berada di pinggiran syurga?
  • Andai di pinggiran, dan kemudiannya terjatuh di dalam neraka?
  • Adakah mahu menjadi orang yang terakhir masuk syurga sedangkan ada di kalangan manusia yang masuk seperti kilat ke dalam syurga? Adakah nak masuk neraka dulu? Bersedia?
  • Maksudnya orang yang berada di tangga yang terendah, duduk berdekatan dengan Abu Jahal, Abu Lahab.
  • Jangan duduk di tepi syurga, jangan berfikir untuk duduk di tepi syurga. Macam orang yang duduk di tepi kereta, senang nak tergesel. Senang melayang. Sepatutnya memilih tempat yang selamat.
  • Kita kena berada di mustawa yang tinggi, level yang tinggi.
  • Muslim ini pelbagai darjatnya.
  • Allah sebut 'la yastawi' - Muslim ini tidak sama.
  • "AlQai'dun" - orang-orang yang duduk. Apa maksud duduk? Orang yang tidak bekerja untuk Islam. Duduk maksudnya malas. Duduk istilah yang tidak bagus. Allah sebut orang yang duduk di kalangan Mukmin.
  • Ghaira dharari - tanpa uzur syar'ie.
  • Tidak sama orang yang pergi berjuang dengan orang yang duduk.
  • Dharar ini contohnya sakit, keuzuran. Berapa ramai orang yang tidak datang program yang baik
  • Betapa ramai yang mindsetnya nak rehat? Cuti dan mindsetnya adalah rehat.
  • Allah beri harta dan jwa kita.
  • Sama ke orang yang solat dengan yang tak solat? Sama ke orang yang pakai tudung dengan tak pakai tudung? Jenis-jenis tudung pun memberi nilai persepsi yang berbeza di mata manusia.
  • Sama ke orang berjihad dengan tak berjihad? Sama ke orang yang dakwah dengan tak dakwah?
  • Apa persepsi parent terhadap anak yang terlibat dengan dakwah dan tak dakwah?
  • Allah kata tak sama! Kita kena bagi mesej kat semua orang yang ada atas muka bumi ini bahawa tidak sama orang yang tarbiah dengan yang tak tarbiah! Tak sama mujahid dengan qa'id! Rosak aqidah kalau kita kata sama sebab Allah kata tak sama.
  • Fadhhala llahu -- Allah melebihkan orang yang mujahid ke atas orang yang qai'd dengan satu darjat.
  • Apa maksud satu darjat? Satu perbezaan. Darjat di sisi Allah, bukan di sisi manusia. Ini darjat orang mukmin. Darjat mukmin berbeza dengan darjat solat.
  • Di kalangan sahabat, ada tingkat sahabat yang pergi perang Badar. Ada tingkat sahabat yang masuk Islam sebelum Fathu Mekah dan selepas Mekah.
  • Abu Sufian masuk Islam dan pergi perang Hunain.
  • Apa terjadi semasa peperangan Hunain? Kena ambush, ada yang cabut lari. Bila kena ambush, majoriti cabut lari. Tapi akhirnya menang, dapat harta rampasan perang yang sangat banyak.
  • Taif, tempat yang sejuk, subur, banyak kambing dan binatang ternakan.
  • Majoriti harta dibahagikan kepada orang yang baru masuk Islam dan Abu Sufian. Orang Ansar dapat sedikit sahaja.
  • Rasulullah SAW beri 100 ekor unta pada Abu Sufian, Abu Sufian minta lagi untuk anak dan saudara mara, sehingga tiada lagi nama untuk disebut.
  • Selepas itu (selepas peperangan Hunain), Abu Sufian berjihad dengan sangat hebat, memerangi orang murtad sehingga putus tangan tapi still darjatnya tetap tak sama.
  • Hebatnya sesetengah sahabat tapi tak dapat menebus mereka kerana kelewatan mereka.
  • Masa sangat berguna dalam meningkatkan pahala kita.
  • Apa yang dibuat sebelum Fathu Mekah tidak sama dengan selepas Fathu Mekah.
  • Apa pengajarannya untuk kita? Lambatnya kita akan memberi effect pada darjat dan pahala amalan kita.
  • Sesetengah menunggu masa kerja. Adakah kerja lagi tak stress? Housemanhip gila. MOship gila. Buat kepakaran pun gila. Habis housemanship, iman nyawa-nyawa ikan.
  • Bila start jadi qa'id, akan selesa duduk.
  • Orang yang selesa duduk, malas mahu berdiri semula.
  • Apa selepas housemanship? Kepakaran, dahlah kerja, kena pula sambung belajar, lagi sibuk. Bila dah tenang dah jadi consultant pun sibuk juga, sibuk dengan anak-anak.
  • Masa bergelar pelajar adalah masa yang paling baik untuk dakwah.
  • Bukankah ada akh yang meninggal selepas 3 jam walimah, lagi beberapa hari nak masuk jadi pensyarah.
  • Bukankah menyesal andai dia lari dari tarbiah? Tapi dia terus dalam tarbiah sehingga akhir kehidupannya. Kehidupannya memberi pengajaran kepada beribu-ribu kita!
  • Wa kullan wa'adallahu husna. Ini macam nak ambil hati.
  • Misalnya semasa program, kita dikehendaki menghafaz hadis. Bila kita tak hafaz, mas'ulah program minta kita tunggu di luar dewan. Tadelah halau terus dari program. Allah pun sama dalam ayat itu. Allah tak kutuk terus. Tadelah Allah kata orang yang qa'id itu hina dan tak guna langsung.
  • Tapi selepas Allah ambil hati, Allah sebut fadhhala lagi. Allah lebihkan pahala mujahid berbanding qa'id dengan darjat, maghfirah dan rahmah. Allah tak sebut spesifik darjat apa.
  • Allah bila melihat mujahid, banyak dosa yang Allah gugurkan. Seperti kisah Hatib.
  • Ada mujahid yang minum arak. Ada sahabat yang minum arak dalam perang qadisiah. Kena ikat tapi masih ingin pergi berjihad. Jihad tak boleh dibandingkan dengan apa-apa kerja.
  • Rasulullah SAW sebut seandainya ada seseorang puasa dan solat sepanjang masa orang pergi berjihad, baru boleh sama dengan mereka yang berjihad. Boleh buat?
  • Untuk apa ilmu? Cukup setakat ilmu adalah asbab kita bersama tarbiah? Jadi makin gemuk dan tak buat apa-apa? Ilmu bermanfaat bila beramal dan diajarkan kepada orang lain.
  • Pokok kalau tak berbuah, apa fungsinya?
  • Untuk apa hafal hadis? Untuk DF manusia lain, untuk menarik hati-hati manusia lain pada Islam, pada kesyumulan dakwah.
  • Bayangkan perasaan manusia lain apabila seorang doktor dan bukan ustazah yang mengajarkan hadis?
  • Sheikh Abdul Majeed Zindani yang mengarang kitab Tauhid dari sudut sains. Dia adalah orang Yaman. Dia asalnya adalah ahli farmasi, namun kini adalah ulama' hebat di Yaman. Orang tanya dia, Sheikh dapat ilmu dari mana? Macam mana sheikh boleh jadi hebat? Kata sheikh, dia dapat semuanya dari tarbiah.
  • Kita duduk dalam tarbiah bukan kerana exam. Tarbiah kita kalau ikut betul-betul akan jadi hebat.
  • Kita bukan buat kerana nak menunjuk. Itu niat tak betul, pahala ranap dari awal.
  • Kita nak gunakan semua itu untuk dakwah. Manusia ada egonya dan itulah caranya menghancurkan ego manusia untuk dia tunduk pada Islam.
  • Hafazan - untuk digunakan semasa menyampaikan pada manusia. Bila dah hafaz, mencari jalan untuk digunakan. Barulah dapat diingati dengan sebaiknya sebab digunakan.
  • Ingat bahawa Allah kurniakan darjat, maghfirah dan rahmah untuk mujahid.
  • Orang yang keluar ke medan kadang relaks sahaja, bukan bertemu musuh.
  • Macam perang Tabuk, musuh cabut lari. Tentera Rom cabut lari. Untuk orang yang berjihad, kalau puasa boleh buka. Kalau solat boleh qasar. Sedangkan qa'id nak dapat pahala sama kena continuous puasa dan solat.  
  • Asal hukum qasar solat adalah untuk orang yang berjihad.
  • Ayat seterusnya menceritakan hal ini. Allah sebut dibolehkan qasar supaya sekiranya kamu takut diserang oleh orang kafir.
  • Musafir kita kerana makan angin, sahabat kerana jihad.
  • Kita pergi musafir supaya boleh qasar solat. Teruk kan?
  • Dari segi fiqah, memang boleh. Kita ambil fiqah sebagaimana fiqah. Tapi asal sembahyang qasar adalah untuk orang yang berjihad.
  • Datang program, atas medan ini dapat pahala sama dengan continous puasa dan solat.
  • Jihad sekarang adalah dakwah. Keluar sahaja dari rumah dikira mujahid.
  • Mudah-mudahan Allah terus menguatkan kita di jalan ini.

Tuesday, January 22, 2013

Annas..

Banyak kali juga saya mencoretkan tentang surah Annas. Tapi itulah hebatnya AlQuran. Setiap kali kita mendengarnya, setiap kali kita mentadabburnya, ribuan poin baru yang kita perolehi. 

Itulah perasaan saya saat mentadabbur surah Annas sambil mendengar lecture brother Nouman Ali Khan. Menangis.. Saya masih lagi gagal mencapai muwasafat-muwasafat tarbiah yang dikehendaki dari saya. Setiap hari saya bermujahadah, dan setiap hari juga saya gagal. Sangat susah mahu mengubah diri.

Dan bila mendengar tadabbur brother Nouman, saya rasakan syaitan tersenyum bangga mentertawakan. Ya rabb, sedihnya..

Perasaan saya terhadap surah Annas kini, betapa perlunya pergantungan pada Allah. Cantik sangat brother Nouman terangkan. Rabb, Malik, Ilah... terlalu cantik. Betapa rasa pergantungan pada Allah itu hadir. Kenapa entah pena sendiri tak dapat mengungkapkan perasaan itu... Saya gagal mengungkapkannya pada bahasa pena. Tinggi sangat Quran itu sehingga saya tidak mampu mengungkapkannya, sehingga saya tersedu sedan menangis. 

Bila kita faham Quran, perkara pertama kita nak buat adalah rasa mahu berkongsi pada yang lain. Tapi entah kenapa saya tidak mampu mengungkapkannya... Terlalu tinggi keagungan Quran itu..

Perasaan bencikan syaitan itu hadir.. Sebenarnya bila baca surah Annas ini, kita akan tahu betapa ekstremnya gangguan syaitan itu.. Terlalu mengerikan... Dan betapa pentingnya pergantungan yang mutlak pada Allah...

Dengarlah... bermujahadahlah untuk mendengar..  dan mutiara-mutiara Quran yang sangat hebat itu pasti hadir sehingga kalian terpesona...sehingga keakraban dengan kuasa Ilah yang agung itu mampu dirasai...

Sunday, January 13, 2013

Huhu..

Serasanya kalau ke hospital, seringkali hati ini sebak. Malah berkira-kira mahu menangis ataupun tidak. Pagi tadi juga mahu mengambil darah seorang makcik yang demented (nyanyuk). 

Saat saya menjaganya, saya telah masukkan dua brannula, satu untuk IV drip, ubatan dan satu lagi tujuannya adalah untuk mengambil darah. Saya memasukkannya saat dia ditenangkan oleh anaknya. 

Makcik ini Muslim, berusia 80 tahun. Bagaimana anaknya menenangkannya? Dia dan ibunya menyanyi bersama-sama lagu Baa Baa Black Sheep dan Twinkle Twinkle Little Star. Jujur saya mahu pengsan di situ juga. Sedihnya, dan pagi tadi saya mengajarnya, "Allah! Allah!" saat mahu mengambil darah. 

Sedihnya andai nenek tua tersebut meninggal dunia dengan lafaz yang bukan sepatutnya..

Sunday, January 06, 2013

Fitrah...

Sejujurnya rasa penat yang amat di hospital. Seminggu di ICU, seminggu di wad dan perlu menjaga acute bed yang juga seakan-akan mini ICU. Hanya Allah yang tahu hari-hari gelap tersebut. Insya Allah perkhabaran walimah dan doa dari sahabat-sahabat meredakan trauma hati yang berpanjangan. Malam saya mengkhabarkannya adalah malam yang berat bagi saya sebenarnya. Ya, tidak mampu tidur kerana trauma.  Paginya saya ke ICU seperti biasa. Dibentak-bentak oleh MO Anesthesiologi pagi itu yang seakan-akan tidak pernah melihat nazak seorang pesakit. "Call your MO right now! Do CPR!" Menjerit-jerit dia memberi tiga empat arahan dalam satu masa. Akhirnya pesakit India tersebut mati. Dan saya menulis death certificate dengan air mata yang cuba disembunyikan. 

Dan saya adalah HO yang menjaga 13 pesakit acute di ICU. Sekecil-kecil perkara semuanya dipanggil. "Dr Ummu! Dr Ummu! Dr Ummu!" Dan saya punya seorang pesakit yang menghidap denggi berdarah. Dia berdarah dari haidnya, dari lubang duburnya, dari mulut, dari hidung. 1 pint darah yang masuk, empat atau lima pint darah yang keluar. Dan sayalah HO yang perlu berlari untuk mengambil darah dan DIVC regime berkali-kali. Lebih 30 pint darah yang dimasukkan. Ada sekali saya pergi, saya tertinggal borang. Pertama kali saya pergi untuk mendapatkan darah, mereka mahukan borang-borang berbeza untuk cryoprecipitate, platelet, dan FFP. Berulang-ulang kali saya berlari dari ICU ke lab darah. 

Dan dalam perjalanan mengambil darah, MO saya akan call berkali-kali. "Ummu, i want CVC set right now. Go and get it and i will come after 5 minutes". Tak tahu mana yang perlu saya lakukan terlebih dahulu. Sekejap lagi dia menelegon. "Ummu, where are you? I want to insert the CVC right now..".  Dan staff nurse pula akan bertanya berulang kali. "Dr Ummu, HD regime ni berapa? HD regime yang ni pula berapa?" Dan staff nurse di HDW (ICU 2) pula akan menelefon, "Dr Ummu kat mana, ada form yang perlu diisi..". Hanya Allah yang mengurniakan taufiqnya, saya telah melalui hari-hari gelap tersebut. Andai ada yang memberikan saya berpuluh juta ringgit untuk melalui housemanship semula, pasti saya tetap tidak mengingininya. Dan kerana semua itulah, saya tidak suka ada yang memanggil saya Dr ataupun nama Ummu sebenarnya. I am so stressful with both names actually..

Allah memberikan kerehatan semalam semasa daurah. Banyak yang Allah ajari semalam. Pertamanya menghidupkan hati yang mati.

Hati mati? Ya, tiada siapa yang menyedari bahawa hati sendiri tidak hidup lagi melainkan saya sendiri. Seingat saya saat mula-mula di posting medical, saya terlalu sensitif dengan kematian. Namun kini tidak lagi. Saya memandang kematian dengan sepi kerana beban kerja yang banyak. Di wad juga, paginya saya datang dan melakukan CPR dan pesakit mati. Saya melihat sahaja keluarganya menangis, dan saya perlu menyambung kerja-kerja saya semula. I lost all my sensitivity.. I don't  even have time to ponder.. 

Semalam semasa daurah, ada sesuatu yang sangat mengesankan saya.. Saat mahu mengambil makanan. Orang yang menghantarnya adalah lelaki. Dan dia telah membuka pintu dan menutupnya semula apabila melihat peserta program yang ramai. Refleks saya adalah pergi mengambilnya memandangkan sayalah yang diamanahkan sebagai mas'ulah program. Dan ustaz tanya masa itu, "Lelaki atau perempuan?" Bila saya sebut lelaki, ustaz meminta ikhwah yang mengambilnya. Masya Allah! Peristiwa tersebut sangat mengesankan saya. 

Sebabnya i already lost all my sensitivity.. Dan saat itu, hati saya sebak yang amat, serasanya mahu menjerit, fitrah saya yang dikotori oleh jahiliah di hospital telah berdenyut semula! Saya rasa seakan mahu berbicara pada ustaz. Ustaz tak kenal siapa saya.. Murabbi-murabbiah saya tidak mengenali siapa saya. We're doctors right? We treat male patient everyday. We are the one that inserting CBD, do PR, inserting condom catheter. We're dealing with male patient/ male colleague everyday until we lost the sensitivity as muslimah as well..

Dan tarbiahlah yang akan mengingatkan kita tentang semua itu. Ustaz menjaga sekecil-kecil perkara. Hijab dan tabir yand dipasang ada yang lolos sedikit. Dan sambil memberi perkongsian, ustaz mengambil lagi sejadah dan menutup ruang yang terbuka itu. 

I felt blessed with all that.. Dulu saya rasakan semua itu hipokrit, di dunia luar kita bukan begitu, tiba-tiba kita begitu ..Hakikatnya tidak sebenarnya.. Seandainya fitrah kita masih berdenyut, kita tahu itulah kebenaran.. Dan disebabkan tiada siapa yang memahami kita di dunia realiti, kita perlu mempraktikkannya dalam dunia tarbiah di kalangan yang memahami... Dan kita berharap pada satu masa nanti, semua orang akan mempraktikkannya...

I am still strong because of tarbiah... Thank you Allah for choosing me to be in this path..