Monday, May 18, 2009

Bahagian 8: Rona Pemudi...

Bicara-bicara Kak Wafa lima tahun lalu masih bermain-main di hati tiga sahabat itu. Ukhwah di atas dasar Islam menyatukan mereka sehingga kini. Hubungan iman semestinya lebih berharga dari hubungan darah.

Tsana masih mengingati memori lima tahun lalu. Saat itu mata Tsana seakan mengecil mendengar bicara sahabat-sahabatnya yang lain. Dia disapa nikmat ngantuk. Lima tahun lalu dia dan sahabatnya yang lain hanyalah merupakan pelajar-pelajar perubatan yang merintis arus yang bergelora demi sebuah perjuangan. Mereka mengorbankan cuti-cuti hujung minggu demi dakwah dan adakalanya untuk mengutip hikmah ilahi demi pengislahan diri. Murabbiah mereka, Kak Wafa seakan memahami. Kak Wafa menangguhkan perbincangan memberi peluang buat Tsana untuk terlena.

Ulfah dan Afnan memahami titis-titis peluh sahabatnya. Mereka juga merasai kesusahan itu. Namun di dalam perjuangan ini semuanya dilihat sebagai murah dan mudah. Harga wang itu murah jika dibandingkan dengan mahalnya syurga Allah. Islam mengajar bahawa wang yang diinfaqkan ganjarannya jauh lebih tinggi daripada nilai wang itu sahaja. Nyawa itu amat berharga, tetapi untuk mendapat syahid, nyawa itu terasa murah harganya. Mereka sanggup mengorbankan waktu yang mereka ada untuk insan lain. Mereka sanggup mengorbankan masa hari-hari minggu dan masa senggang bersama keluarga. Allah membuatkan mereka melihatnya sebagai murah dan mudah. Apalah sangat berkorban apa yang ada pada mereka demi mendapat redha Allah dan syurga yang sangat hebat itu?

Setiap dari mereka punya cerita yang berbeza. Tsana datang dari keluarga yang tidak mempunyai fikrah Islam. Afnan berasal dari Mesir namun keturunannya mempunyai susur galur dari bumi AlQuds. Afnan telah menyaksikan kematian sejak usia yang muda. Dia berkahwin ketika usianya 14 tahun dengan seorang pemuda Palestin dan dikurniakan cahaya mata ketika berusia 16 tahun. Namun suaminya telah lama syahid saat dipanggil berjuang di bumi Palestin. Kini dia menyambung pengajian di bumi Malaysia demi sebuah perjuangan.

Ulfah datang dari keluarga pejuang. Ayahnya masih ditahan di bawah akta yang zalim. Mereka bertiga bertemu di istana ilmu yang sama dan bertemu dalam lembayung Islam. Mereka menganyam dedaunan ukhwah sehingga pertemuan membuahkan satu rindu yang sukar diungkapkan. Apabila Allah menginginkan kebaikan bagi hambaNya maka Allah akan memberikan kefahaman Addeen. Mereka bersyukur kerana terpilih merasai nikmat Islam dan iman.

Pagi itu selepas Subuh mereka menyambung kembali bicara.

”Allah dah tetapkan rezeki untuk kita?”

”Ya dik. Allah dah tetapkan rezeki kita sejak azali lagi. Semua ini ada ditulis di dalam hadis yang keempat dari hadis 40”.

”Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas'ud r.a, katanya Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya : ' Sesungguhnya sesaorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian seketul daging seperti yand demikian itu juga, iaitu 40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat pekara : rezekinya, ajalnya, amalannya, celaka dan bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya sesaorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya ( suratan takdir ) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah ia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya sesaorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta saja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu. "

“Jodoh?”

“Ya, jodoh juga. Meskipun tidak disebutkan secara spesifik di dalam hadis ini tapi urusan jodoh juga termasuk di dalam perkara-perkara yang telah ditentukan oleh Allah”.
“Betul itu. Usia perkahwinanku dengan Ammar hanya bertahan selama 2 tahun. Allah lebih menyayanginya”.

”Adakah kau bersedih Afnan?”

”Kau masih ingat filem Cut Nyak yang baru kita tonton? Andai wanita Acheh tidak menitiskan air mata atas kesyahidan suami mereka, mengapa aku yang sememangnya berasal dari bumi jihad harus bersedih? Meskipun aku hidup tidak begitu lama dengan Ammar tapi dia telah mengajarku untuk menjadi wanita yang kuat. Ammar mahu perkahwinan kami memercu ke syurga Allah. Dia mahu aku mengalahkan semua bidadari di syurga. Dia mahu aku mengkhabarkan pada bidadari-bidadari tersebut bahawa akulah yang mereka cemburukan ketika hayatku di dunia dahulu”.

”Kisah cintamu membuatkan aku cemburu. Doakan aku pula”.

”Menjadi tanggungjawab kami untuk mendoakan kau, Ulfah. Apabila berkahwin kelak, usah jauh dari jalan dakwah. Ingat selalu kata-kata murabbiah kita. Andai tidak mahu hadir di dalam pertemuan-pertemuan ini, berilah alasan yang mampu diterima Allah bukannya murabbiah”.

”Ya sahibahku. Terima kasih kerana mengingatkanku akan hal itu”.

Insya Allah akan bersambung...

Saturday, May 16, 2009

Bahagian 7: Rona Pemudi...

Diskusi di tepian pantai membuatkan mereka berkelana memikirkan alam yang telah Allah bentangkan buat mereka. Masa sering mencemburui. Bukan mudah untuk mereka berkumpul sebegitu. Benarlah manusia itu hanya mampu merencana takdir tetapi tidak mengukirnya. Lantaran akal yang tidak seberapa seringkali membataskan manusia bergerak sendiri tanpa mengharap nusrah daripada Allah swt. Rencam peristiwa dilalui dalam bilah hari yang berlabuh. Ada suka, ada duka. Terlalu pantas, hingga tidak terjangkau dek akal sedikit pun. Liku-liku jahiliah cuba mereka jauhi. Biarlah sejarah itu berlalu. Nikmat kebahagian bersama Quran cuba mereka rasai dengan sepenuh jiwa. Bicara Kak Wafa membuatkan mereka terusan berfikir.

”Cuba adik bayangkan seandainya adik ditawarkan kerja di sebuah syarikat yang besar. Majikan adik telah menyediakan bilik yang terbaik. Segala kelengkapan adik cuba disediakan dengan sempurna. Printer, laptop, dan segala peralatan disusun rapi. Apa pekerjaan adik sebenarnya? Adakah menggunakan printer sepanjang masa untuk kerja-kerja memprint sahaja? Atau kerja adik menggunakan laptop sesuka jiwa untuk ke sawang-sawang maya yang ada? Atau sebenarnya adik mempunyai kerja yang harus diselesaikan dan segala peralatan yang disediakan adalah untuk membantu adik menyiapkan kerja tersebut?”.

”Pastinya majikan saya memberi saya kerja dan saya akan menggunakan segala kelengkapan yang diberi untuk menyiapkan kerja tersebut”.

”Batul itu. Itulah analogi alam yang Allah jadikan ini. Semuanya untuk kita. Tapi adakah kita mahu menjadi ahli geologi semata-mata untuk mengkaji segala galian yang ada? Atau kita mahu menjadi angkasawan untuk mengira segala bintang dan galaksi? Atau kita mahu menjadi pakar matematik menggunakan akal yang Allah beri untuk menyelesaikan segala masalah matematik? Bukan itu sebenarnya pekerjaan kita. Kerja kita adalah menjadi khalifah Allah di muka bumi dan menggunakan segala perkara yang telah Allah sediakan sebagai alat untuk membantu kerja tersebut”.

”Analogi yang baik, kak. Saya baru terfikir hal itu.”

Kak Wafa tersenyum melihat keletah adik-adik usrahnya yang begitu bersemangat sekali. Dia menyambung bicaranya.

“Allah terlalu menyayangi kita, dik. Hatta Allah telah menyediakan bumi berjuta tahun sebelum kita dijadikan. Maha hebat Allah”.

”Macam mana akak tahu Allah sudah menciptakan bumi berjuta tahun sebelum kejadian kita?”

”Cuba adik fikirkan mengenai kejadian petroleum. Saintis sendiri mengatakan bahawa pembentukan petroleum mengambil masa berjuta tahun. Petroleum dijadikan dari daun, pokok dan bahan lain. Semua itu mengambil masa berjuta tahun lamanya. Kalau ikut sejarah nabi Adam dengan masa kini, semuanya itu mengambil masa dalam 10000 tahun sahaja. Firaun berapa ribu tahun? Mengikut pakar arkeologi adalah 2000-3000 tahun. Maksudnya Nabi Musa sehingga Nabi Adam dalam 10 000 tahun sahaja. 10 000 tahun belum cukup untuk menghasilkan petroleum. Itulah buktinya bahawa Allah menciptakan bumi ini berjuta tahun sebelum kejadian manusia. Bukankah proses penciptaan Nabi Adam sendiri dari tanah yang diambil di bumi? Cuba fikirkan seketika. Jin iblis pun sudah tinggal di bumi lama sebelum kita. Pernah tidak jin iblis menggunakan petroleum? Tidak pernah kan? Hanya manusia yang datang selepas berjuta tahun sahaja yang menggunakannya. Itulah gambaran betapa alam ini dijadikan semata-mata untuk manusia dan agar manusia menggunakannya sebagai alat untuk berubudiah kepada Allah”.

”Betul itu kak. Prinsip ketiga yang ditekankan oleh Syed Qutb adalah matlamat kewujudan manusia sepertimana yang disebut dalam surah Azzariyat ayat 56"
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.

”Betul itu dik. Pernah adik hayati ayat selepas ayat itu?”

”Tidak pernah. Kenapa kak?”

”Allah tekankan dalam ayat seterusnya mengenai rezeki. Cuba adik baca ayat-ayat yang seterusnya”.
Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya. (Surah Azzariyat: 57-58)

”Kenapa agaknya Allah tekankan mengenai rezeki? Sebab fokus manusia hari ini bukan berubudiah kepada Allah sebaliknya mencari rezeki. Dari kecil kita diajar kepentingan mencari rezeki. Belajar untuk mendapat kerjaya yang hebat dan mendapat pekerjaan yang lumayan. Manusia terlupa bahawa rezeki mereka telah ditentukan oleh Allah. Itulah ketegasan Allah dalam ayat-ayat seterusnya agar manusia yang terlupa akan visi dan misi hidupnya yang sebenar kembali kepada neraca yang betul”.

Insya Allah akan bersambung...

Wednesday, May 13, 2009

Realiti...

Saya akui kata-kata senior saya baru-baru ini mengenai realiti. Kita ini berjiwa muda, semangat membara tapi jauh dari realiti. Adakalanya saya tidak setuju dengan beberapa perkara juga kerana realiti.

Apabila ada yang mencadangkan beberapa perkara, saya keberatan untuk bersetuju. Saya kira saya tidak mampu memberi komitmen saat saya bekerja kelak. Afeera, itu kekuatan kamu, kekuatan mereka pasti berbeza. Mereka hebat dalam lapangan sedang saya hanya merangkak sahaja. Entahlah, kamu yang membaca catatan ini pasti tidak memahami bicara saya. Saya merepek sahaja di sini setelah lama tidak membuat kerepek.

Saya pernah menulis suatu ketika dahulu menceritakan perihal realiti. Tulisan ini sudah lama tapi terasa mahu menampalnya di sini. Tapi ada beberapa perkara yang telah saya edit. Saya terasa saat membaca tulisan ini semula. Hikmah itu dari Allah bukan dari diri sendiri. Allah yang menyedarkan saya. Moga ada khairnya tulisan yang ditulis dalam bahasa campur ini.

Saya pernah belajar mengenai satu hadis dan hadis ini benar-benar signifikan dalam kehidupan saya sehari hari.

“Andainya kiamat tiba dan pada tangan seseorang daripada kamu ada sebatang anak kurma, maka hendaklah dia tanpa berlengah-lengah lagi menanamkannya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

It was really a beautiful hadis. Sebabnya Rasulullah SAW tak sebut – sekiranya hari kiamat akan berlaku, dan kamu boleh membaca quran, kamu perlu membaca quran. Rasulullah SAW tidak menyebut mengenai hal-hal yang jelas berkaitan dengan agama, sebaliknya Rasulullah SAW sebut hal menanam biji benih.

Hadis ini menunjukkan kepada kita betapa tidak sekularnya kehidupan seorang muslim. Tiada pengasingan di dalam mana-mana aspek hidupnya. Dan hadis ini lebih-lebih lagi relevan dengan kehidupan seorang daie. Tiada langsung pengasingan di antara kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Semasa belajar hadis ini, saya bertanyakan soalan – “Contohnya kalau kita dah berkahwin, bagaimana kita nak tahu yang kita tidak terlebih limit bersama bersama keluarga sehingga mengabaikan dakwah, atau terlebih limit bersama dakwah sehingga mengabaikan keluarga? Sebagai pelajar, bagaimana kita nak tahu yang kita tidak terlebih limit bersama pelajaran atau dakwah?”

Even soalan saya kelihatan seperti tidak judge pada sesiapa, hikmah pertama yang diajarkan oleh orang yang mengajarkan saya hadis ini adalah – jangan judge sesiapa.

Betul katanya. Satu masa nanti mungkin sahabat kita akan berkahwin, dan mungkin sepi dari lapangan dakwah. Dan saat itu, tidak sewajarnya kita judge bahawa dirinya telah meninggalkan dakwah ini.

Sebabnya individu tersebut sahaja yang lebih maaruf mengenai dirinya. Kita yang lebih tahu keadaan diri kita sendiri.

Andai selepas berkahwin, mak mertua kita adalah seorang yang tidak faham Islam misalnya, ia menyukarkan kehidupan kita pastinya. Tapi adakah kita hendak berputus asa? Tak. What should we do? Tanamkan fikrah pada mak mertua. Proses itu mungkin mengambil masa selama 10 tahun atau lebih, tapi kita perlu melakukannya even mungkin perjuangan kita pada lapangan dakwah bersama jemaah telah terbantut. Kerana kita maaruf, semua itu juga untuk digunakan pada dakwah. Allah mengadili kita berdasarkan niat. Allah tahu matlamat akhir kita. Penting ke nak lahirkan mak-mak mertua yang faham Islam? Penting sangat. Even dakwah ini memerlukan syabab-syabab, tapi dakwah ini tidak pernah sesekali meminggirkan golongan tua. Kita nak lahirkan mak mertua yang boleh menginfaqkan menantunya pada jalan dakwah, bukan golongan ibu mertua yang sibuk berbicara mengenai haid dan nifas even diorang dah menopause. Ambillah masa bersolat jemaah bersama ibu mertua, dan tanamkan fikrah sedikit demi sedikit.

Saya pernah pergi kursus hafaz quran. Ustaz ajar sehari hafaz satu ayat je kalau kita memang bermasalah untuk hafaz quran. Tapi kerana niat kita adalah untuk menghafaz quran, Allah mengira pahalanya sama dengan orang yang hafaz keseluruhan Quran even saat itu kita merangkak-rangkak menghafaz Quran. Kalau kita tahu masa kita bersama keluarga itu adalah untuk kepentingan dakwah pada masa hadapan, insya Allah, Allah nilai semua itu meskipun kita mati sebelum sempat berjuang di dalam lapangan sebenar.

Satu lagi aspek yang perlu ditekankan adalah pembinaan anak-anak. Beryukurlah seandainya kita dikurniakan anak-anak yang memahami dakwah macam anak-anak umi dan abi. Even baru habis UPSR, umur 12 tahun, bila pergi surau, boleh mengemop lantai surau. Masya Allah.

Tapi mungkin juga kita diuji dengan naluri anak-anak yang memberontak. Mungkin juga ada anak-anak yang lebih sensitif dan memerlukan perhatian. Kalau lahir anak nombor dua, perlu pula memikirkan masalah yang selalu dialami disebabkan oleh konflik di antara anak pertama dan kedua. Mungkin juga mempunyai anak-anak yang mengalami penyakit seperti autistik dan lain-lain. Dengan semua masalah ini, kita masih lagi terkejar-kejar dengan dakwah di luar, kita sendiri menjadi fitnah apabila zuriat sendiri hancur belaka. Kita sahaja yang mengenali diri kita. Allah faham permasalahan kita.

Boleh je kita organize program dakwah yang melibatkan keluarga. Boleh je nak bawa anak-anak pergi program usrah. Seorang ukhti yang saya kenali membawa anaknya dan menggunakan anaknya sebagai model apabila bercerita mengenai kisah sahabat. Kita masih lagi melakukan dakwah dan anak-anak masih lagi merasa kebersamaan dengan kita.

Dan kita juga perlu memahami keadaan ibu yang mengandung. Pada bulan-bulan pertama (1st trimester), tidak mustahil ibu-ibu yang mengandung mengalami symptom yang teruk. Ada yang muntah-muntah (hyperemesis gravidarum) sehingga perlu masuk ke hospital. Baguslah kalau still mampu bersama dakwah. Muntah-muntah di dalam usrah. It’s good. Ada juga penyakit-penyakit yang tidak mustahil kita kena waktu mengandung sahaja macam kencing manis semasa mengandung (gestational diabetes mellitus), darah tinggi semasa mengandung (pregancy induced hypertension) dan penyakit lainnya.

Dalam semua permasalahan, satu je yang perlu ditekankan. Kita lebih mengenali diri kita sendiri. Kalau tiada masalah, tapi masih melarikan diri dari dakwah, jawablah sendiri dengan Allah. Kita lebih mengetahui kemampuan kita. (Ayat ini membuatkan saya terasa. Adakalanya bermalas-malasan tanpa urusan. Astaghfirullah..)

Cuma saya tidak dapat mengupas mengenai pasangan. Kalau pasangan yang menuntut perhatian, saya kira masih tidak cukup tarbiah lagi la. Memang tidak faham lagi tujuan hidup kat dunia. Di saat Rasya, isteri Dr Abdul Aziz Rantisi ditanya sama ada beliau mahu menulis kisah riwayat hidup suaminya, jawapan yang diberikan oleh Rasya – “HAMAS sedang mengumpulkan bahan tentang ini. Mungkin saya tidak begitu mengambil peduli hal seperti ini dan menyerahkannya kepada HAMAS. HAMAS lebih layak untuk menjaga anak-anaknya dan HAMAS lebih lama bergaul dengan as-Syahid daripada kami. Dengan itu saya atau anak-anak dan ahli keluarga kami tidak mengambil peduli hal ini. Saya berdoa kepada Allah yang maha berkuasa agar kisah riwayat hidup ini terbit tidak lama lagi.”

Saya kira orang yang sibuk nak cari orang nombor dua dalam kehidupannya tanpa sebab yang benar, adalah mereka yang belum lagi hidup dalam dakwah dengan sepenuhnya. Orang yang benar dalam kehidupan dakwahnya, mungkin masih tercari-cari masa dengan keluarganya.

Tapi kita masih lagi boleh merasa kebersamaan dengan handle program bersama macam Kak E dan pasangannya. Mereka attend program bersama, menggunakan rumah mereka sebagai tempat dakwah dan lainnya.

Apapun sebolehnya janganlah tinggalkan semua macam attend usrah misalnya. Kalau penat sangat pun , pergilah jugak usrah seminggu sekali. Tidurlah dalam usrah.

Semua yang disebutkan sama juga dengan aspek pelajaran. Kita lebih tahu kemampuan kita. Kalau lemah dalam akademik, tapi sibuk dengan dakwah, kita jugalah yang menjadi fitnah pada dakwah. Tapi segalanya berkait dengan Allah. Pelajaran kita pun perlu diniatkan untuk dakwah. Even tidur pun perlu diniatkan pada dakwah. Kadang kita ini beri alasan nak study, tapi tak study jugak, jawablah dengan Allah. Hidup ini satu sahaja persoalannya iaitu mengenai hubungan kita dengan Allah. Tidak sesiapa boleh menipu Allah. Allah mengetahui segala perkara di dalam hati.

Sebagai manusia, sukar menjadi sempurna. Pasti ada cacat cela dalam segalanya. Tetapi teruslah berusaha.. Banyakkan berdoa..Kehidupan ini amat memerlukan Allah untuk bersama kita..
Segala yang baik datang dari Allah, dan segala kelemahan datang dari diri saya sendiri…

Ini dunia realiti, Afeera!

Sunday, May 03, 2009

Bahagian 6: Rona Pemudi...


Setiap dari mereka berfikir dan berkelana merenungi setiap bicara. Adakalanya mereka membisu memberi ruang kepada hati untuk mencerna. Tidak lekang mulut mereka mensyukuri, tidak kering lidah mereka mengucap puji, dan tidak basah bibir mereka menyebut nama-Nya atas kurniaan nikmat iman dan Islam yang mereka rasai. Hati mereka kian celik apabila Islam bersiram di perdu hati.

Ulfah membaca perenggan seterusnya. Mereka yang lain cuba memahami dengan hati setiap butir kata yang ada di atas helaian kertas di hadapan mereka. Bagi mereka biarlah ilmu itu meresap dalam hati bukan hanya terbiar tersadai di kertas kelak. Mereka berazam mahu mencetak diri menjadi Quran berjalan.

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Qur’an dan di sana aku melihat jahiliyah berkecamuk di muka bumi ini dan aku melihat minat dan cita-cita penduduk-penduduk dunia ini amat kecil dan kerdil, aku melihat pemuja-pemuja jahiliyah itu berbangga bangga dengan ilmu pengetahuan yang ada pada mereka, iaitu ilmu pengetahuan kanak-kanak, kefahaman dan pemikiran kanak-kanak, minat dan cita-cita kanak-kanak sama seperti pandangan seorang tua kepada mainan kanak-kanak, percubaan kanak-kanak dan keteloran lidah kanak-kanak. Aku merasa kaget dan hairan mengapa manusia jadi begini, mengapa mereka jatuh ke dalam lumpur yang kotor dan penuh penyakit ini? Mengapa mereka tidak mendengar seruan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Besar, iaitu seruan yang dapat meluhur, memberkati dan membersihkan usia seorang?

Kak Wafa menjelaskan perenggan tersebut. Dialah murabbiah ataupun pendidik buat Tsana, Ulfah dan Afnan. Di dalam hati setiap murabbi ada impian yang ingin dicapai. Dunia menganggap cita-cita untuk menyirami dunia dengan embun Islam adalah mimpi tapi tidak bagi dirinya. Allah menjadi saksi setiap amal manusia.

”Apabila adik-adik melihat manusia-manusia yang hebat dengan ideologi dan teknologi mereka, pasti adik-adik berasa kagum. Bangunan yang mencakar langit, ideologi yang berapi membuatkan setiap insan terjegil kehairanan. Tapi Syed Qutb menggambarkan bahawa semua itu hanyalah seperti kanak-kanak dan mainannya. Kita pun pernah menjadi kanak-kanak, pernah ambil periuk dan kuali di rumah dan bermain masak-masak dengan menggunakan pasir. Saat itu kita duduk dalam dunia sendiri. Kita marah apabila ada yang mengganggu sedangkan kita hanya bermain pasir. Itulah analogi kepada setiap ideologi yang ada di atas muka bumi ini. Manusia merasa dirinya hebat dengan pemikiran mereka padahal semua itu hanyalah seperti mainan yang tidak berguna. Tiada nilaian hatta satu sen pun pemikiran-pemikiran yang diada-adakan oleh manusia”.

Tsana menyambung bacaan muqaddimah Fi Zilalil Quran.

Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku dapat meni’mati kefahaman yang sempurna dan meliputi, tanggapan yang tinggi dan bersih terhadap alam al-wujud, terhadap matlamat seluruh alam al-wujud dan terhadap matlamat kewujudan manusia itu sendiri.

”Syed Qutb mendapat kefahaman dan persepsi yang tidak pernah diperolehinya sebelum ini saat membaca AlQuran. Tiga perkara yang disebut di sini ialah kefahaman terhadap alam, matlamat kewujudan alam dan matlamat kejadian manusia itu sendiri. Quran tidak menceritakan benda-benda yang remeh. Quran tidak menceritakan kaedah menanam sayur, jumlah tulang yang ada di dalam diri manusia, anatomi vein dan arteri ataupun hukum fizik. Hal itu adalah perkara-perkara kecil. Ada yang lebih utama. Syed Qutb menyebut kualiti kefahaman yang perlu ada adalah kefahaman yang sempurna dan meliputi, tanggapan yang tinggi dan bersih terhadap alam alwujud ini. Kita yang suka mengkaji hal-hal yang seni, suka meneropong mikroskop, mengkaji perihal anatomi dan fisiologi seringkali terlupa hakikat sebenar kejadian ini. Jarang kita mendapat big picture mengenai alam ini. Akhirnya kita sesat di alam kita sendiri. Syed Qutb cuba membetulkan hal ini. Tanggapan seorang Muslim sewajarnya berbeza dengan tanggapan bukan Muslim. Tanggapan itu juga berbeza di antara Muslim yang membaca Quran atau mereka yang tidak membaca Quran”.

”Berbeza?”

”Ya, cuba adik-adik fikirkan mengapa alam ini dijadikan? Mengapa manusia diciptakan? Ataupun adik melihat semut dan adik bertanya pada diri sendiri akan tujuan penciptaan semut ataupun ciptaan lain. Fikiran, tanggapan dan persepsi adik-adik pastinya berbeza dengan insan lain. Cuba adik-adik lihat Quran pula dan fikirkan tujuan penciptaan sesuatu makhluk. Pemikiran mereka yang membaca AlQuran pasti berbeza. Jom lihat Surah Annaziat ayat 27-33 dan kemudian surah seterusnya iaitu Surah Abasa ayat 24-32. Mungkin Tsana boleh membacakannya”.

”Baik kak”. Tsana mengalunkan bacaan Quran dengan keasyikan yang sukar dimengertikan.
Wahai golongan yang ingkarkan kebangkitan hidup semula! Kamukah yang sukar diciptakan atau langit? Tuhan telah membinanya (dengan Kukuh)! Ia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnakannya, Dan Ia menjadikan malamnya gelap-gelita, serta menjadikan siangnya terang-benderang. Dan bumi sesudah itu dihamparkannya (untuk kemudahan penduduknya), Ia mengeluarkan dari bumi itu: airnya dan tumbuh-tumbuhannya; Dan gunung-ganang pula dikukuhkan letaknya (di bumi, sebagai pancang pasak yang menetapnya); (Semuanya itu) untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. (Surah Annaziat:27-33)
(Kalaulah ia tidak memikirkan asal dan kesudahan dirinya), maka hendaklah manusia melihat kepada makanannya (bagaimana kami mentadbirkannya): Sesungguhnya kami telah mencurahkan hujan dengan curahan yang menakjubkan. Kemudian kami belah-belahkan bumi dengan belahan yang sesuai dengan tumbuh-tumbuhan, Lalu Kami tumbuhkan pada bumi biji-bijian, Dan buah anggur serta sayur-sayuran, Dan Zaitun serta pohon-pohon kurma, Dan taman-taman yang menghijau subur, Dan berbagai buah-buahan serta bermacam-macam rumput, Untuk kegunaan kamu dan binatang-binatang ternak kamu. (Surah Abasa: 24-32)

”Allah sebut Aantum assyaddu khalqan amissamau banaha. Ada tanda jim kan? Kena berhenti dan kemudian sambung banaha. Apabila manusia melihat langit misalnya, pasti terdetik kekaguman. Awan yang terapung membuatkan hati berfikir dan terus berfikir. Hujan yang turun mencurah seakan membuatkan akal berkelana memikirkan kekuasaanNya. Langit dan galaksinya terlalu jauh keluasan dan saiznya dibandingkan dengan manusia. Allah bertanya pada kita, adakah kita sukar diciptakan berbanding langit? Ayat ini bernada marah apabila Allah menggunakan ’a’ sebagai pemula soalan. Allah menyebut banaha menerangkan hakikat bahawa Dia telah mencipta langit tersebut. Rafa’a samkaha fa sawwaha. Ia telah meninggikan bangunan langit itu lalu menyempurnakannya. Allah menceritakan kehebatan-kehebatanNya dalam jujusan ayat-ayat ini. Di hujung ayat Allah mengungkapkan bahawa semua itu adalah untuk kita dan binatang-binatang ternak kita. Binatang ternak itu pula untuk siapa? Untuk kita juga. Semua benda di atas muka bumi ini adalah untuk manusia. Allah jadikan air untuk rumput. Rumput untuk lembu. Lembu untuk kita”.

”Betul itu kak. Kalau kita renungkan, semua makanan yang kita beli, apa jenis pun makanan yang kita makan, kesemuanya berasal dari tanah - cornflake, ayam, coklat, teh dan lain-lain. Oleh sebab jasad kita ini dari tanah, maka hanya apa yang dari tanah sahaja akan mengenyangkan kita. Kalau kita makan angin, kita telan sebanyak mungkin pun, tidak akan kenyang. Kembung sahaja kerana itu bukan makanan. Allah yang mengeluarkan semua itu dari bumi sebagai manfaat buat manusia”.

”Kalau kita fikirkan tentang matahari pun sudah cukup. Kedudukan matahari yang strategik itu juga untuk manusia. Andai terlalu dekat matahari dengan bumi, cairlah manusia. Andai terlalu jauh, bekulah pula. Semua itu untuk manusia”.

”Ya dik, matlamat alam alwujud ini berpusat pada manusia. Ok, sekarang kita sudah memahami mengenai alam alwujud dan matlamatnya. Tapi persoalan itu akan tergantung andai kita tidak memahami aspek yang ketiga iaitu matlamat kewujudan manusia. Tidak selesai segala persoalan hanya dengan mengetahui bahawa Allah menciptakan semua yang ada di langit dan di bumi untuk manfaat manusia andai manusia itu sendiri tidak mengetahui tujuan penciptaannya. Apa yang akan terjadi? Manusia mula mencipta teknologi dan menggunakan alam itu dengan sesuka rasa tanpa ada matlamat. Itulah yang dinamakan kufur”.

“Dialah yang telah menciptakan untuk kamu segala apa yang ada di bumi” (Surah al-Baqarah:29)

”Dalam ayat ini, ada perkara yang ingin Allah tekankan. Misalan dalam bahasa Melayu kalau akak sebut – Makan nasi ini. Maksudnya, kena makan nasi itu sahaja, tidak boleh makan nasi lain. Di dalam ayat Al Quran juga ada penekanannya. Inilah sebahagian dari ilmu balaghah. Di dalam ayat ini, penekanannya adalah khalaqa lakum. Allah menekankan bahawa segala ciptaannya adalah untuk manusia. Orang Jahiliah yang hidup di zaman Rasulullah mengaku bahawa mereka dan alam ini dijadikan oleh Allah. Andai mereka tidak mengaku sebegitu, bodohlah mereka. Mereka tidak mengaku bahawa berhala menciptakan mereka kerana mereka sendiri adalah pencipta kepada berhala. Tapi kelemahan mereka adalah tidak mengetahui matlamat kewujudan makhluk-makhluk ini”.

”Saya tidak faham kak berkenaan penekanan itu. Kenapa Allah tekankan hal itu?”

”Allah menekankan perihal ciptaan semua itu adalah untuk kita agar kita mengetahui matlamat kewujudan kita sebagai hambaNya dan tidak menyembah selain daripadaNya. Tiada makhluk ciptaan Allah yang boleh menguasai kita malah kitalah yang diberi kelebihan untuk menguasai bumi. Gajah yang berkali-kali lebih besar dari kita pun tidak pernah mampu untuk menguasai kita. Inilah undang-undang Allah di atas muka bumi ini”.

Insya Allah akan bersambung...

Monday, April 20, 2009

Bahagian 5: Rona Pemudi..

Akhirnya saat yang ditunggu-tunggu tiba jua. Kak Wafa memulakan perbincangan mengenai muqaddimah Fi Zilalil Quran.

“Boleh Tsana bacakan perenggan pertama?”

”Boleh kak”.

Tsana membaca perenggan tersebut dengan menjiwai setiap kata dengan penuh makna,

Hidup di bawah bayangan al-Quran adalah suatu keni’matan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu keni’matan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang.

”Ok. Kalau kita lihat perenggan pertama ini, Syed Qutb memulakan bicaranya dengan menyebut ’hidup di bawah bayangan AlQuran’. Kata-kata ini adalah simbolik bagi dirinya sehingga tafsir karangannya dinamakan Fi Zilalil Quran yang bermaksud di bawah bayangan AlQuran. Dia mula menulis tafsir ini semenjak dia mengenali Islam dan mengenali dakwah secara khususnya. Saat itu dia baru sahaja menyertai Ikhwanul Muslimin iaitu pada tahun 1951. Kehidupannya yang dahulu mengenalkan dia kepada Jahiliah. Apabila dia mengenali Islam, dia menghargai nilai Islam itu dan dapat mengharungi kehidupannya sepertimana Saidina Umar dan para sahabat lainnya yang mengenali Islam dan terus berjuang di jalan Allah”.

”Kak, mungkin kita yang mendapat Islam secara percuma ini kurang menghargainya”.

”Ya, tapi setiap dari kita sentiasa berazam mahu membaiki diri, bukan? Jom lihat muqaddimah ini. Akak hendak menerangkan tentang naungan terlebih dahulu. Istilah naungan mempunyai dua makna. Pertama, naungan yang zahir. Misalnya duduk di bawah naungan pokok. Kedua adalah naungan yang maknawi yang tidak dapat dilihat. Misalnya, kita duduk di bawah naungan seorang raja. Pastinya manusia lain takut mahu menganggu, bukan? Naungan di dalam muqaddimah ini adalah maknawi seolah-olah Syed Qutb merasai manisnya hidup di bawah payung AlQuran. Dia merasakan seolah-olah Quran ini turun padanya. Kita pun perlu begitu. Kalau kita merasakan Quran ini turun kepada Nabi Muhammad 1400 tahun dahulu, kita tidak dapat merasakan bahawa Quran ini diturunkan kepada kita. Tidak larut kefahaman AlQuran itu dalam diri kita. Syed Qutb merasakan bahawa hidup di bawah naungan AlQuran adalah nikmat yang sangat tinggi yang luhur, memberkati dan membersihkan usia”.

”Apa maksud memberkati dan membersihkan usia, kak?”

”Misalnya kita mati semasa umur kita 63 tahun. Kiranya seolah-olah umur kita hanya 63 tahun, bukan? Tapi ada manusia yang umurnya melebihi 63 tahun meskipun dia mati pada umur 63 tahun. Hal itu terjadi apabila seseorang itu hidup untuk fikrahnya. Dia hidup untuk pemikirannya. Apabila seseorang hidup untuk dirinya, umurnya adalah menurut tarikh lahirnya sehingga tarikh matinya. Sesiapa yang hidup untuk satu fikrah atau ideologi, umurnya adalah bersama-sama dengan ideologi dan pemikiran tersebut sehinggalah pemikiran tersebut berkecai dari kehidupan dunia. Jadi apabila seseorang itu hidup untuk Islam, dia akan memberi sumbangan kepada Islam dan akan terus hidup bersama Islam. Misalnya Syed Qutb sendiri. Meskipun dia syahid di tali gantung, dia seolah-olah hidup bersama kita. Itulah kehebatan insan-insan yang berjuang bersama Islam. Faham ke? Boleh kita teruskan lagi pembacaan kita?”.

”Boleh kak”, jawab Ulfah penuh semangat.

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang telah mengurniakan kepadaku keni’matan hidup di bawah bayangan al-Qur’an selama beberapa waktu, di mana aku telah mengecapi nimat yang tidak pemah aku kecapi sepanjang hidupku, iaitu ni’mat yang meluhur, memberkati dan membersihkan usiaku.

Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepadaku dengan al-Quran ini… ya Dia bercakap kepadaku seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi dari keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab süci ini? Manakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Pencipta Yang Maha Mulia?

”Mendalamnya kak maksud kata-kata Syed Qutb ini”.
”Ya dik. Kalau kita lihat diri kita sendiri, apa yang ada pada kita sebenarnya? Tiada apa-apa yang berharga atau bermakna. Umur dunia adalah panjang, sudah beribu tahun. Tapi kita? Kita lahir dari salur faraj yang sempit dan mungkin setelah berusia 60 tahun kita kembali ke alam barzakh. Siapa yang akan mengingati kita? Tiada siapa. Kita ini sama sahaja seperti semut yang hidup di tepi rumah. Siapa yang menghiraukan semut tersebut? Kita sendiri pun tidak menghiraukannya. Makhluk di atas muka bumi ini sahaja berjuta. Seolah-olah Syed Qutb mahu menggambarkan kepada kita, siapalah kita di sisi Tuhan. Tapi apabila Syed Qutb membaca Quran, dia merasakan kemuliaan yang tiada taranya. Itulah perasaan yang perlu dirasai oleh Mukmin saat dia membaca AlQuran. Quran seolah-olah berbicara padanya dan bukan insan lain. Tapi bukanlah maksudnya mendapat wahyu. Itu sudah salah konsep namanya. Maksudnya di sini, kita merasai seolah-olah Allah itu dekat dengan kita”.

”Betul juga. Kita kena merasai penghormatan yang Allah Taala berikan kepada kita. Orang yang tidak dapat merasai semua itu akan merasa kosong sahaja saat membaca Quran”.

Insya Allah akan bersambung..

Bahagian 4: Rona Pemudi...

”Insya Allah kita akan memulakannya sebentar lagi. Muqaddimah Fi Zilalil Quran ini adalah ekstrak isi-isi penting yang ada di dalam AlQuran. Macam akak katakan dahulu bahawa muqaddimah Fi Zilalil Quran seolah-olah mencantumkan puzzle yang terpisah. Akak pasti adik-adik pernah membeli jigsaw puzzle. Pastinya di luar kotak puzzle tersebut ada gambar yang menunjukkan keseluruhan jigsaw puzzle. Dengan berpandukan gambar tersebut adik-adik mempunyai overview mengenai puzzle yang mahu diselesaikan. Andai gambar dinosaur yang terpapar, adik-adik akan mula mencantumkan puzzle tersebut membentuk dinosaur juga, bukan? Begitulah analogi muqaddimah Fi Zilalil Quran. Apabila kita mampu memahaminya, insya Allah pemikiran kita akan disetkan dengan pandangan yang benar saat membaca Quran. Kita dapat mencantumkan persoalan-persoalan yang timbul.”

”Saya tertarik dengan persoalan yang pernah akak timbulkan mengenai sains dan AlQuran. Selama ini kita seringkali cuba mengaitkan Quran dan sains”.

”Ya dik. Cuba adik lihat ayat-ayat Allah dan kemudian lihat pula kefahaman para sahabat. Saat mereka berada di rumah Al Arqam bin Abi Arqam, mereka tidak pernah sesekali cuba memahami Quran dari sudut kaca mata sains kerana sains tiada di zaman itu. Pada akak, tafsir Fi Zilalil Quran adalah berbeza kerana tidak mencampuradukkan semua ini. Syed Qutb cuba membawa kita kepada kefahaman yang telus”.

“Tidak boleh ke kak seandainya kita mahu mengaitkan Quran dan sains?”
”Boleh tapi setelah adik mempunyai kefahaman yang benar dan jitu mengenai segala perkara yang ingin ditekankan oleh AlQuran. Jus yang baik amat diperlukan untuk menghasilkan air yang menyelerakan. Andainya adik telah mendapat jus Quran yang sebenar, insya Allah hal itu bukan lagi menjadi masalah. Itulah sebabnya sains muncul di era Abbasiyah bila mana hal yang asas telah pun selesai”, Kak Wafa membalas setiap soalan adik-adiknya itu dengan senyuman di wajah.

”Maksudnya kita tidak boleh meleret-leret ya?” Tsana mengajukan soalan sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

”Ya, kita tidak mahu memanjangkan isu bahasa, isu fiqah, isu sains dan lainnya. Apabila kita membawa usrah ataupun halaqah, usah membazir masa membahas semua ini. Pening nanti adik-adik. Contohnya macam Surah AlAlaq. Usah membazir masa dengan bahasa seperti membincangkan kata dasar khalaqa. Ada pula kata terbitan seperti makhluk, khaliq dan lainnya. Lepas itu bincang pula tentang sains. Akhirnya terlupa mahu menerangkan akan hal yang paling penting iaitu penekanan bahawa ALLAH ALKHALIQ, Allah Maha Menjadikan. Lagi satu kita ini suka sangat bincang masalah fiqah. Cuba renung sebentar mengenai sirah. Pernah sahabat-sahabat asyik tanya pada Rasulullah mengenai jumlah pendapat dan hal lainnya?”.

”Tidak pernah kak”.

”Apabila kita berada di dalam usrah, janganlah kita menjadi pemula bicara mengenai hukum dan hal lainnya. Hancur usrah. Kalau boleh biarlah usrah menjadi medan kita mendapat kefahaman yang sebenar mengenai Quran. Inilah hikmahnya Quran diturunkan kepada bangsa Arab kerana mereka ini bersih”.

”Bersih?” Ulfah cuba memahami penerangan Kak Wafa dengan penuh minat.

“Ya. Cuba bayangkan seandainya Quran diturunkan kepada bangsa Greek. Boleh sahaja Allah menjadikan rasul terakhir di kalangan orang Greek, tapi kenapa semua itu tidak terjadi? Sebab kita pun tahu kehebatan bangsa Greek dengan pemikiran falsafah mereka. Habislah nanti Quran ditafsir dengan ideologi Greek. Orang Hindustan pula sukakan seni. Kalau turun kepada orang Hindustan, habislah Quran ini disenikan dengan segala macam rencah kesenian. Orang Arab sahajalah orang yang benar-benar asli. Duduk di tengah-tengah padang pasir. Orang asli pun sudah tidak asli lagi. Cuba pergi ceruk kampung, ada sahaja antena Astro yang kelihatan. Di tengah-tengah hutan pun ada DVD, cerita Hindustan lagi. Pasal itu zaman ini orang sukar menerima Islam sebabnya pemikiran mereka telah dirasuk dengan seribu satu ideologi yang mengelirukan. Kita ini hendak memahami Quran dengan benar pun sukar kerana ideologi-ideologi ini dan tafsir Fi Zilalil Quran mahu membersihkan kita dari semua ini”.

Insya Allah akan bersambung…

Saturday, April 18, 2009

Bahagian 3: Rona Pemudi..

Afnan membisu seketika. Mungkin perjuangan Assyahid Imam Hassan Al Banna mengusik memorinya. Dia bukan anak tempatan. Dia berasal dari Mesir namun keturunannya mempunyai susur galur dari bumi AlQuds. Seringkali dia berazam mahu kembali ke bumi suci tersebut untuk melunasi satu janji.
”Kekecewaan bukan mudah untuk dirawat. Ada sebak kekecewaan di dalam diri Syed Qutb saat dia kembali ke Mesir kerana saat itu Assyahid Imam Hassan Al Banna sudah meninggalkan dunia yang fana menuju kehidupan yang abadi. Kes Assyahid Imam Hassan Al Banna tidak pernah selesai. Meskipun seluruh manusia mengetahui bahawa dia dibunuh tapi tiada tindakan yang pernah diambil. Terlalu zalim apabila doktor dan jururawat yang ada di hospital turut membiarkan tubuh Assyahid di atas stretcher. Darah yang suci itu terus mengalir tanpa rawatan dan pembelaan selama 3-4 jam. Semua itu kerana arahan Raja Mesir yang zalim yang sibuk dengan urusan sambutan hari lahirnya. Kekuasaan raja sendiri berada di dalam tangan Amerika. Arahan bunuh dipatuhi tanpa ihsan. Semuanya kerana Ikhwanul Muslimin menghantar pemuda-pemudanya ke medan jihad di Palestin. Tahun semua ini terjadi adalah pada tahun 1948 yang turut menyaksikan penubuhan negara haram Israel. Kebinatangan dan dendam kesumat Amerika tidak pernah padam. Cucu cicit Zionis tidak akan berdiam selagi umat Islam tidak dihancurkan”.

"Entahlah Afnan. Ingin sekali aku menyedarkan generasi muda yang terlena. Di saat setiap Yahudi menginsafi diri kerana tidak diberi masa melebihi 24 jam sehari untuk segala perancangan menghancurkan Islam, umat Islam pula hanyut dalam hiburan. Aku mengkagumi kau, Afnan. Kau sanggup datang dan berjuang di bumi ini untuk menyedarkan umat Islam dari tidur mereka yang terlalu lama".
”Afnan, aku seolah-olah dapat mendengar jeritan batinmu. Kau akan berpeluang untuk melunaskan janji yang termeterai. Aku pasti akan hal itu. Aku tahu bahawa Palestin pernah berada di bawah kekuasaan British sama seperti halnya dengan Tanah Melayu. Di Palestin, orang Yahudi dibenarkan berpindah beramai-ramai ke Palestin. Di Tanah Melayu pula, British mengimport orang India dan orang Cina. Majoriti Muslim di sesebuah wilayah akan cuba dihancurkan oleh British dengan kaedah ini. Perancangan mereka terlalu licik. Matlamat mereka sukar dibaca oleh generasi kini”.
”Ya. Saat penubuhan negara haram Israel, kebanyakan negara Arab menghantar tentera. Namun di antara semua tentera, tentera Ikhwanul Muslimin beraksi seperti singa. Mereka mencintai kematian sama seperti mereka mencintai kehidupan. Kerjaya mereka yang asal bukanlah tentera. Mereka hanya insan biasa yang diberi latihan dalam tempoh yang singkat. Kekuatan dalaman yang kuat membuatkan mereka mencintai syurga. Kalimah syurga seakan kata-kata magis yang membuatkan mereka meninggalkan segalanya. Saat pengecaman mayat dilakukan, kebanyakan tentera Ikhwan luka di hadapan sedangkan tentera-tentera yang lain luka di belakang. Mereka berhadapan dengan musuh dan tidak akan sesekali lari dari medan dan badai perjuangan. Hebat sungguh jiwa mereka merindui syahid. Seorang tentera British sendiri mengungkapkan bahawa seandainya ada 3000 pemuda seperti mereka pastinya dunia akan ditakluki. Mereka berjaya merentasi perjalanan sejauh 70 km menuju Tel Aviv yang pernah menjadi ibu negara Israel. Saat itu PBB mengumumkan perihal pengencatan senjata”.

”Aku bencikan PBB. Kau ingat saat Israel mahu menyerang Lebanon? PBB membisu selama 34 hari seolah-olah memberi peluang kehancuran berleluasa dan kemudiannya baru mengumumkan gencatan senjata. Hal yang sama berlaku di Palestin saat itu. Pengencatan senjata diumumkan dan semua tentera dikerah untuk balik”.

”Di sempadan Mesir, bukan pingat yang menanti. Tentera-tentera Ikhwan yang berjumlah 60000 orang dihumban ke dalam penjara. Tentera-tentera Ikhwan sendiri di dalam konflik. Mereka boleh sahaja menghancurkan tentera pemerintah dalam sekelip mata namun roh Islam membuatkan mereka tidak berdaya membunuh tentera-tentera pemerintah yang juga Muslim. Kesan dari semua ini, ketakutan Barat terhadap Ikhwan menjadi-jadi. Lantas mereka meniup bara agar Raja Mesir merencanakan pembunuhan Assyahid Imam Hassan Al Banna. Kesyahidan Assyahid Imam Hassan Al Banna menjadi titik mula dalam kehidupan Assyahid Syed Qutb. Dia menyertai Ikhwanul Muslimin serta merta sekembalinya dari Amerika”.

Perbualan mereka seolah-olah merungkai perkaitan di antara Ikhwanul Muslimin dan Assyahid Syed Qutb.

“Kak, saya sudah tidak sabar-sabar mahu membaca muqaddimah Fi Zilalil Quran. Bila kita akan memulakannya?”

Insya Allah akan bersambung..

Friday, April 17, 2009

Bahagian 2: Rona Pemudi..

Angin yang begitu merdu desirannya seakan memahami bicara mereka. Biodata pengarang agung itu seakan semanis madu yang mengkhayalkan. Mereka terlalu asyik dalam menuntut ilmu Islam bagi menyediakan diri menjadi daiyah sejati.

“Syed Qutb mempunyai 4 orang adik beradik, 2 perempuan dan dua lelaki. Syed Qutb, Muhammad Qutb, Aminah Qutb dan Hamidah Qutb merupakan jujusan nama-nama indah. Mereka terlalu hebat kerana kesemua mereka pernah ditangkap. Setiap titis peluh dan dugaan yang mereka hadapi di jalan dakwah ini menjadi bukti kesaktian cinta mereka di hadapan Allah”.

Ulfah mewariskan kisah yang pernah diceritakan oleh ayahnya buat sahabatnya yang lain. Setiap insan yang hebat di jalan dakwah pastinya mempunyai pendidik yang hebat. Ayah Ulfah merupakan pejuang Islam yang berani. Ulfah telah menunjukkan sifat kepimpinan dan akhlak yang menyejukkan hati semenjak kecil lagi. Penahanan ayahnya di bawah akta yang zalim tanpa dibicarakan tidak sesekali mematahkan semangat Ulfah.

“Ayah pernah bercerita. Dua minggu sebelum Syed Qutb dihukum gantung, pemerintah Mesir yang zalim telah meminta Hamidah Qutb memujuk abangnya supaya meminta maaf secara terbuka di dalam rancangan televisyen. Seteru yang zalim itu meminta Syed Qutb untuk mengaku bahawa setiap catatan penanya di dalam tafsir dan tulisannya yang lain adalah tidak benar sama sekali. Syed Qutb membalas kata-kata adiknya - Jari telunjuk yang aku gunakan semasa mengucap kalimah syahadah di dalam solat tidak akan sesekali menukilkan hatta satu patah perkataan untuk meminta maaf di atas segala perkara yang benar! Setelah dua minggu, Syed Qutb dihukum gantung. Pergilah dia menghadap Ilahi yang dirindui dengan senyuman di wajah. Sejak saat itu dia digelar Assyahid Syed Qutb, seorang insan yang pernah syahid di jalanNya”.

Kesemua mereka menginsafi diri. Sayu mengenangkan kezaliman yang pernah bermaharajalela. Seorang insan dibunuh lantaran kerana setiap butir kebenaran yang dicoretkannya. Perasaan tidak sabar untuk menikmati tulisan Syed Qutb seakan bersemarak di perdu hati masing-masing.

Tulisan Syed Qutb memberi kefahaman yang sebenar mengenai kalam Allah. Quran bukan mahu menceritakan masalah fiqah. Quran bukan ingin manusia berkelana mengenai dunia sains. Seandainya manusia hanya mahu memikirkan AlQuran dari sudut kaca mata sains, terlau jahillah manusia.

”(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan. Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim).Yang keluar dari "tulang sulbi" lelaki dan "tulang dada" perempuan”. (Surah Attariq: 5-7)

”Adakah ayat di dalam Surah Attariq itu mahu disainskan? Seandainya sains yang menjadi fokus, sewajarnya kesemua para sahabat Rasulullah SAW menjadi saintis. Andai Quran mahu bercerita tentang tumbuhan, sewajarnya semua sahabat menjadi pakar tumbuhan. Hal itu tidak pernah terjadi bukan? Bilakah sains meledak di dalam masyarakat Islam?”
”Sains hanya mula diteroka oleh umat Islam setelah 300 tahun di zaman Abbasiyyah. Saat itu adalah zaman Khawarizmi, Ibnu Sina dan lainnya. Kenapa zaman sebelum itu umat Islam tidak memfokuskan pada sains? Semua itu adalah kerana Quran bukan kitab science, tapi adalah kitab signs. Quran bercerita tentang tanda. Terakam di dalam Kalamullah bahawa Quran adalah ayaat (tanda), bukan ulum (ilmu). Quran tidak memberi ilmu kepada akal sebaliknya Quran mengubah pandangan hati setiap individu. Manusia yang memahami AlQuran melihat segalanya dari kaca mata hati, bukan akal semata-mata. Apabila kita mengulang membaca Quran dan melihatnya dengan mata hati, insya Allah pandangan kita terhadap sesuatu perkara akan mula berubah".

”Alhamdulillah, adik-adik dapat melihat perkaitan tersebut dengan sejarah Islam yang kita pelajari. Ada perkara lain lagu yang mahu Ulfah ceritakan ?"
”Ada kak. Syed Qutb dimasukkan ke dalam penjara pada tahun 1952. Terjadi pergiliran di mana ada ketikanya dia dibebaskan dan kemudian ditahan semula. Tempoh penulisan Fi Zilalil Quran mengambil masa selama 8 tahun. Dia menulis di dalam penjara selama 6 tahun. Dia berjaya mendapatkan hak untuk menulis namun semua tulisannya memerlukan dia melalui proses birokrasi di dalam penjara. Semasa Syed Qutb dibebaskan buat seketika, dia mendapati bahawa terdapat tulisannya yang hilang. Lantas dia membaiki tulisan tersebut. Selain itu Syed Qutb juga merupakan seorang hafiz. Renungannya terhadap Quran bertambah mendalam di dalam penjara sehingga membuatkan dirinya istiqamah dalam menulis. Ujian yang hebat di dalam penjara menjadi faktor kebanyakan penulis Islam yang tersohor menghasilkan karya yang luar biasa. Selain itu kehidupan di penjara memisahkan mereka dari kehidupan dunia yang melalaikan dan membuatkan hati mereka luhur di dalam penulisan”.

”Betul Ulfah. Kita rasa bertuah kerana Ulfah bersama kita untuk menceritakan kisah tersebut. Agak-agaknya adik-adik tahu sebab musabab kepentingan untuk membaca muqaddimah sesuatu buku?”

”Saya tidak pasti kak. Boleh akak ceritakan?”
”Ayat-ayat Quran tidak boleh dipisahkan apabila kita membaca sirah dan kisah rasul. Begitu juga perihalnya apabila kita membaca Quran. Terdapat perkaitan di antara satu sama lain. Quran seolah-olah merupakan jigsaw puzzle yang unik. Muqaddimah atau pendahuluan Fi Zilalil Quran ditulis untuk memberi overview keseluruhan tafsiran, menjahit dan mencantumkan setiap puzzle. Cuba bayangkan diri kita dicampakkan dengan seribu kepingan puzzle. Pastinya kepala kita sudah mula berpinar. Dapat bayangkan bagaimana caranya mahu mengaitkan dan mencantumkan hampir 6000 lebih ayat di dalam AlQuran? Itu sebabnya ada sesetengah manusia yang mengambil Quran secara cebisan dan bukan secara keseluruhan”.

”Baru saya faham kak. Ada sesuatu yang ingin saya tanyakan pada akak. Bagaimana Syed Qutb boleh terlibat dalam gerakan Ikhwanul Muslimin?”

”Assyahid Imam Hassan Al Banna yang merupakan pengasas kepada gerakan Ikhwanul Muslimin menuntut di taman ilmu yang sama dengan Assyahid Syed Qutb iaitu di Darul Ulum tapi kedua-dua mereka tidak bertemu. Penglibatan Assyahid Imam Hassan Al Banna di dalam bidang dakwah bermula sejak awal lagi iaitu di bangku sekolah rendah. Malah dia mengasaskan kumpulan amar maaruf nahi munkar. Pemikiran Assyahid Syed Qutb di zaman mudanya pula lebih diwarnai oleh kefahaman sosialis dan liberal. Dia juga amat menyukai sastera dan gemar menulis. Namun tiada kuasa mampu menghalang embun hidayah dari Allah. Segalanya bermula semasa kesyahidan Assyahid Imam Hassan Al Banna yang ditembak mati. Saat itu Assyahid Syed Qutb berada di sebuah hospital di Philaphelia, Amerika Syarikat. Dia berasa hairan apabila melihat doktor, jururawat dan staf hospital lainnya berasa gembira. Dia bertanyakan kepada mereka asbab di sebalik kegembiraan itu. Rupanya mereka bergembira di atas pembunuhan seorang ekstremis islam merujuk kepada kesyahidan Assyahid Imam Hassan Al Banna. Malah staf-staf tersebut mengakui bahawa Assyahid Imam Hassan Al Banna adalah manusia yang paling berbahaya kepada Barat”.

“Ayah pun ceritakan hal yang sama pada saya. Saat itu Assyahid Syed Qutb mencuba mengingati tutur peribadi Assyahid Imam Hassan Al Banna. Dia tidak pernah mengambil peduli mengenai dakwah Imam Hassan Al Banna semasa dia berada di Mesir meskipun telah berjuta-juta manusia menyahut seruan dakwah tersebut. Kejadian di hospital itu juga menjadi titik perubahan buat dirinya. Semua itu membuat dirinya tersentak. Dia tertanya-tanya mengapa dirinya tidak pernah menghargai Assyahid Imam Hassan Al Banna yang dikenali dan digeruni hatta oleh jururawat di Barat. Dia berazam untuk melakukan sesuatu sekembalinya dia ke Mesir”.

Insya Allah akan bersambung..

Thursday, April 16, 2009

Rona pemudi..

Tadi saya terjumpa serangkap kata yang menarik.

"Life is predestined, yet it's presented to us as unpredictable..hence signifying the Power of the Creator & the dependence of His creations~"

Saya juga sempat berchatting dengan seorang adik mengenai hal memiliki dan meredhai. Mungkin perkongsian link dari adik Liyana mengenai karya Jalan Cinta Para Pejuang membantu menambahkan lagi makna dalam mencari untaian hikmah. Hebat sungguh cinta mereka!

Di sebalik yang terjadi, pasti ada yang terjanji. Di sini terdapat sedikit perkongsian dari saya. Saya tidak pasti sama ada saya akan menamatkan tulisan ini. Saya merancang dengan cita-cita, Allah merancang dengan cintaNya.

------------

Tsana, Ulfah dan Afnan adalah tiga sahabat yang mekar mewangi sebagai bunga-bunga Islam. Di tengah kehanyutan dan kehancuran dunia, mereka bangkit untuk menewaskan yang batil. Sejalur rona pengalaman telah mereka kecapi demi sebuah kebangkitan.

“Kau ingat lagi Tsana saat kita berkenalan dengan Tafsir Fi Zilalil Quran?”

“Mana mungkin aku melupakannya Ulfah. Kita telah menikmati Quran semenjak kita berkenalan dengan tafsir agung itu. Fi Zilalil Quran atau terjemahannya di dalam bahasa ibunda, Di Bawah Lembahyung Quran telah memercu kita untuk terus berada di jalanNya. Bukan begitu?”

Afnan turut bersuara, “Aku bukan Afnan yang dahulu semenjak aku berkenalan dengan tafsir agung itu. Perjalanan hidupku telah berubah. Semangat dan roh jihad telah berapi dalam diriku. Perjalanan untuk mengenali tafsir ini di dalam program-program tarbiah yang kita hadiri secara tidak langsung telah membuatkan kita menjahit dedaunan ukhwah”.

Perbualan petang itu membangkitkan kembali kerinduan pada secebis pengalaman. 5 tahun lalu mereka telah diperkenalkan dengan muqaddimah atau permulaan tafsir itu oleh Kak Wafa.

”Tafsir ini tidak mungkin bermakna tanpa kita mengenali pengarangnya terlebih dahulu”, ujar Kak Wafa saat itu memulakan bicara.

”Ya. Ayah pernah berpesan bahawa setiap tulisan menceritakan sesuatu. Pengalaman dan jalur kehidupan pengarang sentiasa mewarnai madah penulisan. Kak Wafa mahu ceritakan pada kami mengenai penulisnya?”

”Ya, mungkin adik-adik sudah pun mengenali Assyahid Syed Qutb. Sebarang perkongsian dari adik-adik amat akak alu-alukan. Izinkan akak memulakan bicara mengenai peribadi yang muktabar ini. Assyahid merupakan seorang ulama di Mesir yang dilahirkan pada tahun 1906”.

”Tidak silap saya dia sememangnya lahir dalam lingkungan keluarga yang mengamalkan Islam. Dia menghafaz Quran sebelum berusia 10 tahun lagi. Namun semasa muda, pemikirannya diwarnai oleh fahaman sosialis, liberal dan lainnya. Dia sendiri mengakui semua itu”, Tsana yang diam juga turut berbicara.

”Ya Thana. Titik perubahannya bermula pada tahun 1948 saat dia ke Amerika untuk melanjutkan pengajian di dalam bidang Master. Apabila dia melihat pemuda di Amerika, dia menjadi tersentak. Kemajuan di sana tidak sedikit pun menggiurkan dirinya. Malah dia menulis surat kepada gurunya di Mesir yang bernama Taufiq Hakim - Aku melihat bahawa di Amerika ada kesemuanya tapi tiada satu perkara iaitu ROH.”

”Apa maksudnya tiada roh Kak Wafa?”

”Di sebalik fizikal yang zahir, tiada yang tersirat di sebaliknya. Fizikal dan roh saling melengkapi. Apabila tiada roh, fizikal hanyalah seperti bangkai yang tidak bernilai sama sekali. Mereka mencipta teknologi tanpa mengetahui tujuan di sebalik semua itu. Ingat lagi analogi telur ayam?”
”Saya ingat. Akak pernah ceritakan bahawa keseluruhan hidup manusia ini diibaratkan seperti telur ayam. Telur ayam ada telur kuning dan telur putih di dalamnya. Di antara telur kuning dan telur putih, telur kuning pastinya yang lebih penting kerana kandungan genetik seekor ayam ada di dalamnya. Telur kuning itulah yang kelak akan membentuk seekor ayam. Telur kuning diibaratkan seperti matlamat. Putih telur wujud untuk menyokong keberadaan kuning telur. Putih telur dianalogikan sebagai semua benda-benda teknikal seperti teknologi dan kemajuan dalam kehidupan kita. Tapi hari ini kita lebih fokus pada putih telur dan putih telur tersebut tidak langsung menyokong keberadaan kuning telur. Malah kadangkala putih telur itu menolong menghancurkan kuning telur iaitu matlamat kita untuk berubudiah kepada Allah”.

”Entahlah kak. Kata-kata Syed Qutb itu menyedarkan saya mengenai hakikat di bumi sendiri. Adakah jutaan ringgit yang dibelanjakan untuk teknologi telah mendekatkan kita pada Rabb yang agung? Di bumi kita hari ini, orang Islam sendiri sudah keliru dengan pegangan mereka”.

”Ya, umat Islam sendiri melupakan tanggungjawab mereka iaitu kerja dakwah. Syed Qutb sendiri melakukan perubahan setelah kembali belajar dari Amerika selama dua tahun. Kembalinya dia adalah untuk menguatkan lagi jentera dakwah. Dia menulis untuk akhbar-akhbar Islam. Dia begitu berani. Segala yang batil ditegur dengan penanya. Oleh kerana keberaniannya dalam memperjuangkan kebenaran, kerajaan Mesir yang ala komunis dan begitu baik dengan Rusia saat itu telah menangkap dan memenjarakan dirinya. Dia dihukum gantung”, Kak Wafa memugar semangat adik-adiknya itu dengan bicaranya.

Bersambung...

Tuesday, April 14, 2009

Istimewa..

Saya ke Sekolah Kanak-Kanak Istimewa Johor Bahru hari ini. Angin bahagia seakan bertiup semilir di kamar hati. Saya gembira di sana. Saya juga sempat bertemu Roti Anas dan dia membelanja saya minum. Saya pernah menulis mengenai Roti Anas di sini dan sini.

Macam-macam ragam anak-anak ini. Ada yang berlagak seperti majikan, ada yang lurus bendul, ada yang baran dan bermacam-macam lagi tingkahlaku mereka yang mengusik hati. Saya turut melihat mereka menyediakan popia untuk dijual. Terlalu teliti dan hasilnya sungguh menakjubkan. Paling tersentuh saat melihat mereka membaca doa naik kenderaan bersama-sama sebelum pulang. Kanak-kanak bukan Muslim turut membaca doa tersebut.

Aksi lucu Roti Anas terhadap Nurul yang dianggapnya sebagai kekasih hati turut membuatkan saya tersenyum. Tidak sudah-sudah Roti Anas meluahkan rasa hatinya untuk berkahwin dan melambaikan ’flying kiss’. Semalam juga saat dia menemankan akak angkatnya yang mahu mengisi borang ke kursus perkahwinan di jabatan agama, dia juga turut diberi borang. Mungkin pegawai di sana tidak dapat mengenali Roti Anas sebagai penghidap Down Syndrome :)

Ada juga ibu anak-anak Down Syndrome yang turut menjadi guru di sini. Kemesraan mereka membuatkan saya terasa seperti di rumah sendiri. Saya telah memilih Sekolah Kanak-Kanak Istimewa ini sebagai medan elektif saya kelak. Saya pasti elektif saya akan disulami rona-rona bahagia.

Proses pengajaran di sini pastinya memerlukan kesabaran yang luar biasa. Saya mahu mempelajari hikmah ilmu itu di sini. Moga Allah menyuburkan kesabaran di bustan hati insan kerdil seperti saya.

Teringat Assyahid Imam Hassan Al Banna yang membantu ayahnya di kedai jam semasa muda. Membaiki jam tidak sama dengan membaiki kereta bukan? Ketukan yang terlalu cermat, ketelitian yang sensitif amat diperlukan. Proses membaiki jam yang memerlukan ketelitian luar biasa juga dikatakan faktor yang membentuk dirinya menjadi insan yang sabar dalam berhadapan dengan manusia.

Moga elektif saya kelak mampu menyumbang sesuatu dalam pembentukan diri untuk mengharungi dunia dakwah. Manusia sememangnya merupakan topik yang sangat menarik untuk diterokai.

Sunday, April 12, 2009

99 Belon..

Saya perlu menghantar proposal elective dalam masa 2 minggu. Fikiran saya masih keliru memikirkan bidang yang ingin saya terokai. Hati saya mahu meneroka dunia kanak-kanak cuma saya masih belum yakin dengan kemampuan diri saya untuk beradaptasi dengan dunia mereka.

Saya sempat bertanyakan bonda, benarkah pilihan saya. Maha Suci Allah yang menjawab persoalan tersebut semasa saya menonton Oprah. Video ini meyakinkan saya dengan pilihan saya. Video ini benar-benar membuatkan saya sebak. Saya sukakan penghujung video ini yang menyedarkan hakikat kekuasaan Allah.

Benar kata-kata ibu tersebut di dalam bicaranya bersama Oprah bahawa dia memilih untuk menikmati setiap saat bersama anaknya dan mahu bersedih di kemudian hari. Kita yang memilih cara untuk berhadapan dengan kehidupan, bukan?

Deskripsi video ini juga mengujakan saya. Alhamdulillah atas petunjuk ini...

"Eliot was born with an undeveloped lung, a heart with a hole in it and DNA that placed faulty information into each and every cell of his body. However, that could not stop the living God from proclaiming Himself through this boy who never uttered a word."

Blog mengenai Eliot boleh dibaca di sini.

Friday, April 10, 2009

Luahan rasa...

Hari ini hari lahir saya. Entahlah, saya tidak berminat mahu mengingati tarikh ini. Tapi ramai yang menghantar sms. Semakin ramai yang mengucapkannya, saya menjadi semakin bersalah. Kenapa? Perasaan bersalah itu lahir kerana saya tidak pernah dapat mengingati tarikh lahir mereka. Maafkan saya atas kekurangan ini.

Semasa saya melalui pembedahan tahun lepas, saya telah berdepan dengan hakikat kematian. Saya juga berdepan dengan hakikat ’kesakitan’ saat itu. Saya kira itulah sakit yang paling sakit. Tapi 4 bulan yang lalu, saya diserang dengan sakit yang lebih teruk. Semenjak saat itu, saya tahu umur yang kian bertambah mengingatkan saya bahawa saya kian mendekati takdir ajal saya.

Kamu pasti pernah membaca Surah Annasr, bukan? Surah yang paling pendek di dalam AlQuran. Ramai sahabat yang gembira apabila surah tersebut turun kerana surah itu menceritakan hakikat kemenangan. Tapi ada sahabat yang sedih. Kenapa? Sebab surah itu menunjukkan bahawa kematian Rasulullah SAW semakin hampir. Mission completed! Misi Rasulullah SAW sudah selesai.

Kalau kamu mahu mendoakan saya, usah doakan umur saya panjang. Saya bimbang saya menjadi beban pada dunia dan insan sekeliling saya. Tapi doakan agar Allah mencabut nyawa saya di kemuncak kehidupan dan perjuangan saya sepertimana Allah mencabut nyawa Rasulullah SAW. Alangkah indahnya andai kamu mampu mendoakan agar Allah mengurniakan saya kesyahidan yang meliputi seluruh tubuh.

Semalam saya menceritakan pada teman-teman betapa jahatnya saya suatu ketika dahulu. Tapi Islam merubah saya. Saya sukakan tajuk blog saya – Inqilaab yang membawa maksud bahawa Islam itu bersifat inqilabiyyah, Islam itu mampu merubah sesiapa sahaja.

Saya sukakan kisah Nabi Musa di dalam AlQuran kerana dia adalah insan yang penuh kekurangan. Dia pernah membunuh. Tapi Allah mengangkatnya sebagai rasul. Dia juga bukan insan yang petah berhujah sehingga dia meminta Allah mengurniakan Harun buatnya. Tapi semua itu tidak sesekali menghalang dirinya dari menjalankan kerja dakwah. Saya juga ada kisah jahiliyyah saya sendiri dan saya juga seorang yang introvert, tapi Allah masih memberikan saya peluang dalam kehidupan ini untuk melakukan perubahan sedikit demi sedikit.

Kak Long

Kak Long adalah sahabat saya. Kami berkenalan di matrikulasi. Saat itu kami rapat tapi kami bertambah akrab semenjak dia didiagnosis menghidap SLE.

Dia terlalu hebat. Allah memberikan ujian yang hebat buat insan yang hebat. Semalam adalah hari lahir Kak Long. Hari lahir kami hanya dibezakan sehari sahaja. Kami bertemu dua hari yang lepas di hospital. Kak Long datang untuk follow up. Buah pinggangnya sudah mula terjejas. Masya Allah, saat dia menitiskan air mata menceritakan semua itu, saya cuba menahan rasa. Matanya juga terjejas saat ini.

Saya mengulang bicara alang buatnya, ” Bukanlah muslimah sejati itu dikatakan hebat dengan besarnya ujian yang diterima. Tetapi, kehebatan seorang srikandi itu terserlah apabila dia redha dengan segala takdir yang menimpa”.

Saya menceritakan kisah Kak Long pada ibu. Kata ibu, dunia ini cuma sebentar. Fikirkan akhirat dan usah bersedih. Pastinya Allah telah menyediakan balasan yang terbaik buat Kak Long.

Saya suka bicara Syed Qutb di dalam muqaddimah Fi Zilalil Quran. Mukmin ada kehidupan kedua.

"Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat alam al-wujud ini adalah jauh lebih besar dari saiznya yang lahir yang dapat dilihat itu. Ia lebih besar dari segi hakikatnya dan dari segi bilangan aspek-aspeknya. Ia mencakup alam ghaib dan alam syahadah kedua-dua sekali bukannya alam syahadah sahaja. Ia merangkumi dunia dan Akhirat kedua-dua sekali bukannya dunia ini sahaja. Dan kewujudan manusia adalah bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh itu. Maut bukannya penghabisan perjalanan hidup manusia, malah ia merupakan suatu peringkat perjalanan di tengah jalan. Segala sesuatu yang dicapai oleh seseorang di dunia ini bukanlah merupakan seluruh habuannya, malah hanya merupakan sebahagian dari habuannya sahaja. Segala balasan yang terluput di dunia ini tidak akan terluput di Akhirat nanti. Di sana balasan tidak akan mengalami penganiayaan, pengurangan dan kesesiaan."

Teringat juga kes Altantuya saat membaca perenggan tersebut. Allah sebaik-baik pemberi balasan.

SLE

SLE adalah penyakit autoimun. Banyak lagi sebenarnya penyakit autoimun yang lain. Penyakit ini berlaku apabila sel badan tidak dapat mengenali dirinya sendiri dan mula menyerang setiap organ.

Saya suka kisah yang diceritakan oleh Prof mengenai penyakit autoimun. Kisah tersebut menyedarkan bahawa manusia ini terlalu kerdil di hadapan Allah. Tidak semua mampu diketahuinya.

Kisahnya mengenai seorang doktor yang menduduki peperiksaan post-graduatenya. Doktor tersebut dapat menjawab setiap soalan yang diajukan oleh pemeriksa. Tiba-tiba seorang pemeriksa bertanyakan punca satu penyakit autoimun yang sangat pelik. Doktor tersebut tidak mengetahui jawapannya tetapi cuba menjawab dengan penuh berhemah.

”I know the answer but I can’t remember it right now. I will definitely read about it later”.

Jawab pemeriksa tersebut, “How can you forget the answer? Only God and you know the answer!”.

Begitulah kisahnya. Tiada siapa pun yang tahu sebab musabab penyakit autoimun terjadi. SLE misalnya menyerang seorang dari 4 wanita. Penyakit ini sangatlah popular. Untuk peperiksaan klinikal saya semalam, saya mendapat case demam dan SLE. Tiada siapapun tahu punca penyakit ini. Tiada siapa pun tahu rawatan yang spesifik untuk penyakit ini. Tiada siapa pun tahu mengapa penyakit ini menyerang wanita di dalam child-bearing age. Tiada siapa pun tahu. Allahu A’lam. Allah lebih mengetahui. Maha Hebat Allah yang mencipta segala sesuatu.

Sunday, April 05, 2009

Buta...

Bicara Syed Qutb di dalam tafsir Surah AlBaqarah ayat 208-209 seakan menusuk hatiku:

”Maksud pertama dari seruan ini ialah supaya orang-orang Mu’min menyerah seluruh jiwa raga mereka kepada Allah dan menyerah segala urusan mereka sama ada kecil atau besar kepada Allah. Mereka hendaklah menyerah secara mutlak kepada Allah tanpa meninggalkan sesuatu yang sumbang sama ada berupa fikiran atan perasaan, niat atau tindakan, kegemaran atau ketakutan yang tidak tunduk kepada Allah dan tidak redha dengan ketetapan dan keputusan-Nya. Mereka hendaklah memberi keta’atan dan kepatuhan kepada Allah dengan penuh keyakinan dan kerelaan. Mereka hendaklah menyerah diri mereka kepada qudrat Ilahi yang memimpin langkah-langkah mereka dengan keyakinan bahawa Allah mahukan mereka mendapat kebaikan, pengajaran dan petunjuk, dan dengan keyakinan bahawa mereka sedang menuju ke jalan dan kesudahan yang baik dunia dan Akhirat.”

Aku merupakan seorang pelajar perubatan. Dahulu aku bukanlah insan yang tergila-gilakan bidang ini. Namun ibu dan ayah meniupkan semangat buatku. Aku percaya bahawa ibu dan ayahku mahukan yang terbaik buatku.

Pernahkah kalian terfikir mengenai hakikat kasih ibu dan ayah? Kadangkala kita terlalu buta untuk menilai kasih mereka. Kita meyakini sepenuh hati bahawa segala perkara yang mereka lakukan pastinya adalah yang terbaik buat kita. Kita memberikan sepenuh kepercayaan buat ayah dan ibu untuk menguruskan kehidupan kita kerana kita percaya bahawa mereka hanya mahukan yang terbaik buat kita. Kita terlalu buta dengan kasih sayang mereka, bukan?

Lantas aku mula berfikir. Mengapa tidak aku serahkan sepenuh kehidupanku pada Allah? Bukankah Allah hanya mahukan kebaikan bagi hambaNya, bahkan Dia lebih mengkehendakinya? Mengapa tidak aku biarkan mataku buta dengan kasih sayang Allah agar Dia mengatur hidupku sepenuhnya?

Bukan hanya perlakuanku semata-mata melambangkan aku hamba, sewajarnya perasaanku itu perlu lebih utama untuk aku serahkan pada Allah semata-mata. Dia lebih mahukan kebaikan bagiku daripada ibu bapaku sendiri. Seandainya aku faham bahawa Allah hanya mahukan kebaikan buatku, maka aku akan buta melihat Dia mengatur hidupku. Moga hatiku mutlak pada cintaNya.

Gajah...


Masa tidak pernah berhenti. Angin masih bertiup sepoi-sepoi bahasa. Awan masih berarak dengan gembira. Hujan masih menarikan titisannya. Kehidupanku tidak pernah berhenti dengan satu peristiwa yang berlaku dalam hidupku. Penyakitku tidak pernah mampu untuk melemahkanku. Allah hanya mahu aku kembali dengan diri yang penuh bersih untuk sebuah perjuangan. Peristiwa yang berlaku dalam hidupku adalah untuk membersihkan aku. Sungguh Surah Al Fil ini memberikan makna dalam kehidupanku. Surah ini menceritakan tentang kisah gajah yang merupakan binatang darat terbesar di bumi yang dikalahkan oleh tentera Allah yang kecil.

Aku sukakan Surah Al Fil ini kerana surah ini mengajarkanku akan hakikat takdir.

Allah tidak mengizinkan mana-mana pihak untuk mempertahankan Kaabah. Allah tidak memberi peluang buat Abrahah untuk memusnahkan Kaabah dan Allah juga tidak mengizinkan orang Arab Quraisy untuk mempertahankannya.

Masih aku ingat lagi kata-kata Abdul Mutalib yang aku baca di dalam tafsir Fi Zilalil Quran karangan Syed Qutb. Dia hanya meminta dari Abrahah agar untanya dipulangkan semula tetapi tidak sesekali meminta Abrahah agar membatalkan hasrat untuk menghancurkan Kaabah.

Abdul Mutalib bertemu Abrahah dan bebicara, ”Maksud kedatangan saya ialah untuk meminta tuan memulangkan kembali dua ratus ekor unta yang telah dirampas”.

Dengan bantuan jurubahasa, Abrahah memahami tuntutan Abdul Mutalib. ”Beta mulanya amat memandang tinggi kepada awak apabila beta melihat awak, kemudian sekarang beta memandang rendah kepada awak apabila awak menyatakan maksud kedatangan awak adalah untuk menghadap beta. Adakah wajar awak datang menghadap beta kerana hendak berunding untuk meminta balik dua ratus ekor unta kepunyaan awak yang dirampas oleh beta itu, dan awak langsung tidak mahu berunding dengan beta tentang nasib rumah Kaabah yang menjadi pegangan agama awak dan agama nenek moyang awak, sedangkan maksud kedatangan beta ialah untuk merobohkannya?”

Abdul Mutalib menjawab, ”Saya ini hanya tuan punya unta-unta itu sahaja, sedangkan rumah Kaabah ini ada tuannya yang akan mempertahankannya”.

Mengapa semua ini berlaku? Allah terlalu agung melakar setiap takdir. Allah sedang menyediakan Kaabah untuk peristiwa yang lebih besar.

Apabila mereka tidak mempertahankan atau memenangi Kaabah, maka mereka tidak pernah mampu untuk mengatakan bahawa agama mereka adalah benar. Betapa hebat Allah yang tidak memberi peluang buat Abrahah untk memusnahkan Kaabah dan juga tidak mengizinkan orang Arab Quraisy untuk mempertahankannya.

Allah membebaskan Mekah dari sebarang penjajahan sebagai persediaan kepada risalah yang agung. Bumi itu perlu bersedia memikul sebuah perjuangan. Allah telah menyediakan bumi itu untuk sekian lama buat perjuangan kekasihNya, Rasulullah SAW.

Mengapa aku perlu bersedih akan segala peristiwa yang berlaku padaku hari ini? Masih teringat madah bonda, ”Andai kau mampu meneroka masa hadapan, pastinya kau yakin bahawa Allah hanya mentakdirkan yang baik sahaja”.

Peristiwa hari ini adalah sebagai persediaan di masa hadapan. Kisah hari ini adalah kebahagian di hari yang mendatang. Lantas mengapa aku perlu bersedih? Bukankah Allah sedang menyediakan aku untuk berhadapan dengan sebuah perjuangan?

Friday, April 03, 2009

Istiqamah...

Beberapa hari ini saya benar-benar tiada motivasi sedangkan saya akan menghadapi peperiksaan akhir minggu hadapan. Mungkin agak keterlaluan sekiranya saya mengatakan bahawa saya sudah bosan. Saya bosan mahu ke hospital. Saya bosan berada di hospital dari pagi sampai ke malam. Saya bosan mahu menghadap buku. Saya bosan mahu menyelasaikan case report. Saya bosan mahu menulis reflective diary. Saya bosan mahu memenuhkan log book saya. Saya benar-benar kebosanan. Tiada mood.

Dengan bertambahnya ilmu saya di dalam bidang perubatan, saya juga terasa kian bodoh. Ilmu Allah terlalu luas. Terlalu banyak yang masih belum saya hafal. Jutaan lagi perkara yang perlu saya pelajari.

Saya masih mencari kekuatan. Inilah kehidupan saya untuk tahun-tahun yang akan mendatang dan saya perlu menerimanya. Semalam saya menangis saat menelefon ibu. Setiap kali ibu saya berbicara, jawapan saya hanya hmm..hmm..dan hmm... Adik saya meminta saya untuk tidur dahulu. Katanya, mungkin saya kepenatan.

Saya tidur setelah puas menangis. Saya bangun awal untuk meminta kekuatan dariNya.

Mengapa semua ini terjadi? Mudah jawapannya. Inilah yang dinamakan hati yang juga disebut sebagai qalbun. Qalbun adalah kalimah arab yang berasal dari perkataan taqallub yang membawa makna berubah-ubah. Hati sentiasa berubah-ubah. Tidak pernah hati statik. Tidak selalu hati termotivasi. Adakalanya hati akan lemah. Hati akan rasa termotivasi semasa usrah tapi mungkin sahaja setelah 10 minit pulang dari usrah, hati terasa jauh kembali.

Adakah perasaan ini hanya dirasai oleh saya? Tidak. Sahabat Rasulullah SAW juga pernah menghadapinya. Saat mereka bersama Rasulullah SAW, mereka terasa kuat. Tapi di saat mereka bersama keluarga, hati mereka terasa kian jauh. Para sahabat pernah bertanya pada Rasulullah SAW, adakah itu nifaq (sifat munafik)? Rasulullah SAW mengatakan bahawa semua itu adalah normal dan bukannya nifaq.

Siapa yang memiliki dan memegang hati kita? Dialah Allah SWT. Hanya dariNya kita mengharap kekuatan. PadaNya kita memohon agar hati kita ditetapkan pada jalanNya. Antara doa yang mahsyur adalah..Ya Muqallibal Qulub, thabbit qulubana ’ala dinik..Wahai Rabb yang membolak balikkan hati, tetapkan hati kami pada jalanMu..

Saya pernah bertanya pada diri sendiri, benarkah keputusan saya untuk memilih bidang perubatan suatu ketika dahulu? Tidak pernah saya terfikir bahawa kehidupan saya akan menjadi terlalu sibuk. Andai bukan kelas, ada program tarbiah, ada program Young Mercy, ada program PPIM. Kadangkala saya terasa cemburu dengan adik saya yang sedang bercuti. Alangkah indahnya kehidupan insan lain. Mereka punya masa bersama keluarga. Mereka punya duit yang berbillion untuk bahagia di dunia.

Dan saya mula tertanya-tanya, adakah ini jalan yang saya pilih? Saya bertanya kembali pada diri sendiri. Bukankah saya punya cita-cita? Lupakah saya bahawa ultimate goal saya bukan untuk menjadi doktor tapi untuk membawa Islam kembali.

Saat saya lemah begini, saya teringat kisah hadis ghulam. Saya pernah menulisnya di sini.

Kalau hendak difikirkan dengan logik akal, terasa ghulam dan orang-orang yang beriman ini memang kalah habislah. Kena sembelih dengan gergaji dan macam-macam lagi perkara dikenakan ke atas orang beriman. Rasa macam tidak best sangat jadi orang beriman. Kisah itu berakhir dengan kematian ghulam dan orang beriman. Macam kalah habis kan? Allah tidak ceritakan apa yang terjadi pada raja yang zalim tersebut. Tapi apa yang Allah sebut di hujung kisah?

...zalikal fauzul kabir. (Surah AlBuruj:11)

..itulah kemenangan yang besar. (Surah AlBuruj:11)

Bukan hanya kemenangan, tapi ia adalah satu kemenangan yang besar!

Semua itu adalah rahmat di sebalik istiqamah. Di saat kamu perlu memilih di antara dunia yang hanya sebentar atau akhirat, dan kamu memilih akhirat, di saat itulah kamu menang dan ia adalah kemenangan yang besar.

Ya Allah, saya telah memilih jalan ini demi akhirat, tetapkan saya di jalan ini.

Ya Muqallibal Qulub, thabbit qulubana ala dinik..