Kadang di sebalik mujahadah kita, pasti ada benda yang ingin Allah ajari. Allah izin dapat hadir kursus klinikal di KL, kelas bersama Dr Felix. Sangat mujahadah meninggalkan anak. Sangat mujahadah mengeluarkan duit dan berjalan jauh. Semuanya diniatkan untuk tujuan menuntut ilmu.
Banyak yang saya pelajari. Pelbagai kes seperti TOF, Eisenmenger's Syndrome, Myesthenia Gravis, VSD, MND dan lain-lain.
Tapi ada tarbiah Allah yang sangat menjentik hati saya. Allah izinkan saya berkenalan dengan Dr Felix. Momen bertemunya seakan bertemu cahaya setelah hidup dalam kegelapan. Akhlaknya membuatkan saya sangat terkesan. Hormatnya pada pekerja Radicare, jururawat dan kami yang ingin belajar darinya sangat mengesankan. Pelik bertemu dengan guru yang berterima kasih pada muridnya. Komennya pada kami yang belajar ini sangat konstruktif.
Terngiang-ngiang pesannya. Tidak perlu doa banyak-banyak untuk peperiksaan. Yang paling penting adalah merawat dan memeriksa pesakit dengan baik. Doa pesakit adalah rahmat untuk berjaya.
Bertemu dengannya mengingatkan saya dengan beberapa individu. Kuat lagi ingatan saya pada kursus ACLS yang saya hadiri. Bertemu dengan Prof Dr Ismail Saibon yang sangat semangat mengajar walaupun di dalam bas. Mereka sangat mengalu-alukan soalan dari doktor-doktor junior seperti kami. Tak perlu takut untuk bertemu mereka. Tak perlu takut mendengar tempelak,
'Ini pun tak tahu'.
'Balik baca sendiri'.
Teringat juga semasa kursus Patient's Blood Management, bertemu dengan HOD sebuah hospital, Dr Carol. Consultant yang juga sangat baik, mengalu-alukan soalan dari peserta kursus. Sangat terkesan dengan akhlaqnya bila mana dia menyedari kehadiran MOnya yang paling junior. Tak tahulah berapa ramai consultant yang sedar kelibat doktor-doktor junior di bawahnya. Kalau saya berkesempatan menemuinya awal, besar kemungkinan saya membuat O&G.
Teringat juga pada Dr LTC semasa saya membuat latihan housemanship. Akhlaqnya dengan pekerja buruh warga asing. Sangat-sangat mengesankan. Masih teringat bila jururawat kata tiada bekas untuk mengukur urine output pesakit, dia beli 10 bekas dan membawanya ke hospital. Consultant tapi akhlaqnya sangat mengesankan.
Bertambahnya usia kita dalam bidang perubatan, bertambah ilmu dan kepakaran. Mungkin juga Allah izinkan kita bergelar pakar dan consultant suatu hari nanti. Tapi dunia ini juga mungkin membunuh jiwa kita bila berada dalam biah yang tidak baik atau bertemu dengan peribadi yang tidak membina kita.
Isu akhlaq, adab dan hati ini adalah sangat halus. Perasaan bongkak, takabur, rasa tahu semua benda, memandang rendah orang lain hanya membunuh dalaman kita. Banyak perkara yang saya rasakan membunuh saya sehari-hari.
Dan saya sangat berharap, Allah terus-terusan menemukan saya dengan peribadi baik ini, yang mana tanpa bicara, akhlak mereka memuhasabah saya yang banyak kekurangan ini.
Moga Allah temukan saya dengan tarbiah-tarbiah sentap ini yang tidak mungkin saya pelajari di dalam buku-buku atau jurnal perubatan.
No comments:
Post a Comment