Friday, May 20, 2016

Bukan mudah..

Lama saya mendiamkan diri dari semua. Inferiority complex kerana pengalaman lalu semasa di undergrad. Ya, saat ujian perkahwinan jarak jauh (PJJ) begitu menguji, saya memohon bekerja di UIA. Dan saya diterima bekerja sebagai trainee lecturer dan ditawarkan program master. Maka bermulalah kembara saya sebagai pelajar master. 

Jujur tiada dalam perancangan saya untuk menyambung master semasa housemanship. Kegilaan saya dengan program-program tarbiah, membina adik-adik membuatkan saya lebih berminat dengan parallel pathway seperti MRCP. Namun Allah jua yang membawa saya ke UIA. Dia yang lebih mengetahui takdir terbaik untuk hambaNya. 

Saat melihat orang lain begitu gembira ditawarkan program master, saya menerimanya dengan biasa. Yang pasti saya bahagia dengan pilihan tersebut kerana tempoh PJJ selama dua tahun setengah telah berakhir. Saat saya membuat keputusan untuk menerima tawaran UIA, yang ada di benak kepala hanyalah untuk menamatkan tempoh PJJ. Saya memikirkan kemaslahatan baitul muslim yang terbina. 

Bukan mudah melalui ujian PJJ. Apatah lagi kita berkahwin melalui proses baitul muslim, diperkenalkan oleh orang tengah. Ustaz Wan dan Makcik Wan yang menguruskan baitul muslim kami. Berkahwin dengan orang yang tidak dikenali dan melalui PJJ selama dua tahun setengah adalah sangat sulit. PJJ membuatkan saya tidak mengenali suami. Diamnya, emosinya, kasih sayangnya semuanya tidak saya fahami. Mengandung anak pertama berseorangan membuatkan ujian emosi bertambah-tambah. Dan saya tidak memahami fungsi terdirinya sebuah institusi perkahwinan. Di saat itu, terlalu banyak konflik perkahwinan yang perlu kami lalui. 

Dan kerana itu saya membuat keputusan besar untuk memohon UIA. Dan saya membuat keputusan besar meninggalkan keluarga yang saya sayangi di Johor untuk berpindah ke Kuantan. Kemaslahatan baitul muslim adalah demi kemaslahatan dakwah. Baitul muslim merupakan tangga kedua setelah individu muslim. Dan saya perlu menyelamatkan baitul muslim kami demi dakwah yang kami cintai. 

Saya kira ada baiknya saya menukilkan semua ini kerana terkadang ramai yang berfantasi dengan baitul muslim dan lainnya. Perkahwinan seorang akh dan ukhti kadangkala ada ujiannya, Dan semua ini adalah realiti. Namun percayalah seandainya langkah pertama kita adalah kerana Allah, maka Allah akan menyelamatkan kita di saat-saat yang sulit yang kita lalui kerana pilihan yang dipilih kerana Allah. 

No comments: