Bagi sahabat-sahabat yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi, buat sehabis baik dan serah segalanya pada Allah. Saya kongsikan kata-kata seorang sahabat kepada saya semalam - Tawakal kembarnya redha. Bila di awal, kita mula dengan tawakal yag bulat, di akhir akan ada redha yang bulat. Semoga berjaya.
Kita tinggalkan sebentar hal-hal berkenaan dengan peperiksaan. Hari ini kita cerita tentang makan-makan dan masak-masak pula. Saya kongsikan ilmu yang saya perolehi dari musafir saya bersama keluarga semalam dalam catatan ini.
Banyak sebenarnya faedah makan-makan dan masak-masak ini. Kami adik beradik sememangnya ’terlekat’ hati dan perasaan kat rumah walau di mana kami dicampakkan. Salah satu sebabnya kerana kami merasai kasih sayang ibu kami dalam masakannya. Kalau di ambang peperiksaan, kita biasa spot soalan, ibu kami pasti dah spot soalan yang akan kami tanya setiap kali kami telefon - ”Mak masak apa hari ini?”. Bagi kami, rumah adalah kerehatan dan ketenangan.
Penting sebenarnya bagi seorang isteri atau ibu untuk memasak buat keluarganya. Itulah satu-satunya cara untuk mengekalkan kebahagian rumah tangga. Tapi tidak semestinya asyik isteri atau ibu sahaja yang perlu memasak. Sesiapapun boleh. Andai kita bermasalah dengan isteri, masakkanlah untuk isteri. Kalau bermasalah dengan mak atau ayah, masakkanlah untuk mereka. Percayalah, hati kita akan lebih dekat dengan mereka yang memasak untuk kita.
Penting juga untuk makan bersama. Di awal perkahwinan mak dan ayah dan sewaktu kami masih kecil, kami sering makan bersama di dalam talam. Cuma memandangkan bilangan ahli keluarga yang semakin bertambah dan saiz masing-masing yang turut membesar, kami mengubahnya dengan makan bersuap. Selalunya mak akan suapkan kami. Meskipun kami dah besar panjang, kami tidak pernah malu meminta disuap. Kami rasa sungguh terikat. Kita juga pastinya rapat dengan sahabat-sahabat yang pernah makan bersama dengan kita.
Buat mereka yang sudah berkahwin pula, jangan biarkan acara menyuap pasangan hanya di hari perkahwinan, teruskan budaya tersebut selamanya. Insya Allah, makin akrab.
Kalau ada masalah dengan anak-anak yang tidak berselera untuk makan pula, ambil sahaja dulang atau talam. Makan sekali dengan anak-anak. Kami dulu sungguh teruja untuk makan di dalam dulang atau talam bersama ibu bapa kami.
Saya percaya masalah keluarga dan sosial hari ini dapat diselesaikan dengan aktiviti makan-makan dan masak-masak ini. Ada juga kawan-kawan saya yang terlibat dengan zina yang menyalahkan ayah dan ibu mereka. Kata mereka, ayah atau ibu mereka terlalu garang. Nasihat saya jangan salahkan keluarga. Keluarga kita adalah insan-insan yang telah ditentukan oleh Allah untuk bersama-sama di alam ini. Mungkin sahaja kita boleh memasak untuk melembutkan hati mereka. Kekurangan yang ada dalam keluarga kita itulah yang mungkin akan menjadi kekuatan buat kita. Kita mengambil pengajaran dan belajar dari kekurangan tersebut untuk mendidik keluarga kita sendiri kelak. Mungkin juga kesabaran kita dalam berhadapan dengan kekurangan mereka, akan menyebabkan kita dikurniakan Jannatul Firdaus. Mereka adalah pasukan pilihan Allah pada kita. Hati-hati dengan bisikan syaitan yang cuba memecahkan pasukan pilhan Allah.
Andai kita punya masalah dengan jiran, tidak tahu cara terbaik untuk berkomunikasi dengan mereka, berilah makanan yang kita masak pada mereka. Insya Allah hati mereka pasti lembut meskipun mereka bukan Islam. Nyonya di hadapan rumah saya ada kalanya memberikan ikan bilis kepada ibu untuk dibuat ’sambal tumil’ buatnya dan juga keluarga saya. Memberi makanan juga akan memecahkan tembok di antara jiran bila perbualan bermula dengan bertanyakan resepi dan hal lainnya.
Mungkin sahaja hal-hal kecil ini akan membentuk suatu yang besar. Saya sudahi catitan ini dengan lagu Small Deeds dari kumpulan Native Deen. Boleh sahaja sahabat-sahabat mencarinya di Youtube. Jom masak-masak dan makan-makan. ’Grand plans expand in our small little hands’.