Monday, January 25, 2016

Tawakal..

Pernah saya bertanya pada suami, "Abi, macam mana abi boleh positif?" Serasanya perit untuk berdepan dengan kegagalan. Lantas suami memberitahu, "Semua ini dunia sahaja bukan?"

Di waktu lain, pernah saya luahkan padanya, "Abi, kalau umi gagal lagi, semua susah payah kita tidak berbaloi. Duit, tenaga dan lain-lain."

Lantas dia menjawabnya dengan tenang, "Pahala hilang tak?"

Sentap, memang sentap.

Entahlah. Saya menghormatinya.

Masih teringat lagi hari-hari awal perkahwinan. "Macam mana kalau umi tidak mampu memberikan zuriat? Umi pernah buat pembedahan buang cyst dulu."

Dia menjawabnya tenang seperti selalu, "Semua itu takdir bukan? Orang yang normal pun ada yang tidak dikurniakan zuriat".

Dan kini saya hamil anak kedua kami. Sungguh dia mengajar saya makna tawakal yang sebenarnya.

Thursday, January 14, 2016

Usaha lagi..

Ada dua kertas MRCP part 1. Masa yang diperuntukkan untuk setiap kertas adalah 3 jam, 100 soalan. 200 soalan dan jumlah duit yang dibelanjakan hampir RM7000. Duit peperiksaan, tiket, hotel, visa dan kos-kos lain. Duit yang dikumpul dengan susah payah oncall dan lain-lain.

Selepas kertas pertama, saya meladeni rasa. Melihat video dan gambar-gambar anak dan suami.

Ada air mata yang mengalir. Benarkah keputusan saya? Dua orang yang paling banyak berkorban, anak dan suami.

Suamilah yang menyelesaikan semuanya sendirian, memberi ruang untuk saya belajar. Segala urusan anak diuruskan sebaiknya. Terlalu banyak urusan kerja rumah yang turut dibantu.

Terus menangis. Saat keluar dari dewan peperiksaan seusai kertas kedua, saya ingin menangis. Melepaskan semuanya. Lantas anak kecil saya, Fatih datang berlari. Tersenyum.

Fabiayyi ala irabbikuma tukazziban..

Nikmat Tuhan kamu yang manakah yang ingin kamu dustakan.

Saya punya anak kecil yang menjadi penyejuk hati saya dan suami yang baik.

Yang sudi menemankan sepanjang perjalanan yang sukar ini. Melalui hari-hari yang mencabar.

Kami berjalan menyusuri jalan Lanmadaw, Yangon seusai peperiksaan mencari makanan halal. Kami berbual. "Abi, umi rasa peperiksaan susah. Kalau umi gagal lagi, macam mana abi?"

Lantas suami berbicara, "Tiada apa-apa. Cuba lagi. Yang penting dah usaha."

Ya, Allah tahu saya sudah berusaha. Saya mengalami pendarahan ketika hamil. Indeterminate hemorrhage likely threatened miscarriage. Dan dalam keadaan itu, saya cuba membuat latih tubi 3000 soalan, mengulang soalan dan lain-lain. Allah tahu saya sudah berusaha. Dan saya tahu Allah jualah yang mempunyai perancangan yang terbaik untuk kami sekeluarga.

Sekular?

Kenapa perlu menyambung pengajian? Mengapa saya menyambung lagi pengajian?

Saya pernah berada di klinik kesihatan namun teruk dibuli MO in charge. Jujurnya kita perlu menjadi yang terbaik di lapangan kita.

Dan jujur saya punya banyak perancangan lain sesudah menyelesaikan pengajian sebagai pakar.

Saya ingin belajar AlQuran, mendalami skil dakwah lagi dan membuat yang terbaik di medan dakwah.

Kehidupan yang lebih baik. Tiada oncall. Ruang masa yang lebih baik untuk keluarga dan dakwah.

Cumanya dakwah tidak pernah menunggu kita. Kita kian sibuk. Fasa sebelum dan selepas baitul Muslim jauh berbeza.

Semasa housemanship, saya masih sempat membawa dua usrah. Kini dengan anak kecil, hamil, kerja yang sibuk menyesakkan ruang masa untuk dakwah. Pastinya kita tidak mahu sekular. Seluruh kehidupan kita adalah dakwah. Namun di sana ada tugasan dakwah utama yang tidak boleh diabaikan. Makanya di setiap fasa kehidupan, kita perlu melakukan yang terbaik. Tidak menunggu hari-hari seterusnya kerana bimbang tiada esok dalam kehidupan kita.

Gila..

Saya baru mengambil peperiksaan MRCP Part 1 di Myanmar. Itu percubaan saya yang kedua.

Mungkin ada yang menganggap saya gila untuk mengambil peperiksaan di Myanmar. Saya hamil anak kedua dan dijangka bersalin bulan Mei semasa peperiksaan dijadualkan di Malaysia.

Saya perlu menggunakan masa yang ada sebaiknya. Berniat mahu mengambil peperiksaan di Singapura tapi saat mahu mendaftar, tempat di Singapura sudah penuh.

Ada tekanan yang dirasai. Bagaimana seandainya saya gagal? Malu bukan mahu berdepan dengan teman-teman yang mengetahui. Tapi Allah jualah yang lebih mengetahui rahsia dan hikmahnya.

Bila saya bicarakan pada Aiman, adik lelaki saya tentang keputusan untuk mengambil peperiksaan di Myanmar, yang mungkin pada pandangan mata yang lain gila, katanya hanya orang luar biasa yang akan melakukan perkara luar biasa. Usah jadi orang biasa, jadi orang luar biasa.

Wednesday, January 13, 2016

Kebaikan yang mencurah-curah

Perlu menulis kembali. Berdepan dengan kegagalan dan jatuh bangun kehidupan. Pasti ada hikmah yang akan digarap. Pastinya perlu membuang rasa rendah diri yang membunuh untuk memberi.

Perkara itu telah lama berlalu namun menjejaskan keyakinan diri saya selama ini. Ada kekuatan yang Allah beri untuk mendepani hari-hari kini.

Siapa yang tidak pernah gagal? Yang penting, adalah cara kita menghadapi kegagalan itu.

Itu yang saya pelajari setelah lama membisu.

Hari itu adalah hari konvokesyen saya. Dan saya telah pun memulakan housemanship. Namun kata-kata seorang pensyarah meremukkan hati saya. Keputusan peperiksaan klinikal saya tidak berapa baik. Markah keseluruhan yang menyelamatkan saya. Ya, hari konvokesyen dan saya menangis. Tamparan hebat kehidupan. Dan saya melalui hari-hari seterusnya sebagai pegawai perubatan dengan inferiority complex yang teruk.

Kemudiannya setelah menamatkan housemanship, masih teringat pertemuan dengan seorang sahabat saat mengetahui permukiman ilmu saya di tempat baru. "Ingat lagi kata Prof X? Kalau ada dua doktor, kita pasti ingin dirawat oleh doktor yang lebih cemerlang dalam akademiknya."

Ya, saya masih diadili oleh hari-hari lalu. Manusia kadang tidak menyedari racunnya kata-kata.

Namun Allah yang lebih tahu dan lebih mengenali kita, yang tidak mengadili kita. Keadilannya dalam menilai seorang hamba berbeza dari kaca mata manusia biasa.

Dan Allah temukan saya dengan kebaikan yang lebih mencurah-curah. Memahami kasih sayang Allah membuatkan saya lebih bersemangat melalui hari-hari kini. Ya rabb, izinkan diri ini untuk menintakan kebaikanMu yang tidak akan pernah mampu untuk  diri ini menghitungnya.

There was an error in this gadget