Wednesday, October 31, 2012

23 tahun..

Saya kira saya sahaja yang mungkin bersedih melihat kes itu, rupanya kawan cina saya juga merasakan hal yang sama. Dan kami berdua setuju umur 23 tahun terlalu muda untuk kanser pangkal rahim. 

Sedih..adik tersebut seorang muslim. Belajar di universiti yang punya nama islam di sebutannya. 

Malam itu saya menjaga wad. Dan seorang MO meminta saya melihat dua kes di wad periphery. Saya hanya mengikut, tak pernah pun jaga periphery di jabatan ini. Saya merasakan Allah sememangnya memilih saya untuk melihat kes itu.

Saat membaca kes tersebut di paparan komputer, saya sudah menjerit-jerit dalam hati. Tidak! Tidak! 23 tahun untuk kanser pangkal rahim (cervical carcinoma) adalah terlalu muda. Tidak pernah saya jumpa umur semuda itu untuk mendapat kanser pangkal rahim. 

Dan penyakit kanser pangkal rahim adalah disebabkan oleh hubungan kelamin. Dan disebabkan hal itu, wanita yang telah berkahwin atau telah mengadakan hubungan kelamin diminta menjalani screening seperti ujian Pap Smear dan lainnya..

Alhamdulillah, saat berjumpa adik itu saya temukan bibit-bibit sesal dalam dirinya. Dan saya yang sudah lama tidak menangis di hadapan pesakit menangis hari itu. Seakan setiap bicara adalah untuk adik sendiri..

Kerana penyesalannya, saya merasakan Allah terlalu menyayanginya... Dan Allah memanggil dirinya dengan ujian ini.. Betapa ramai mereka yang melakukan zina namun Allah tidak memanggil sebegitu.. Lebih menyedihkan, dia telah kehilangan sesuatu yang berharga. Dia telah kehilangan rahimnya... Dia telah pun menjalani pembedahan Wertheim's hysterectomy... 
Tambah menyedihkan, kini dia berhadapan dengan metastasis. Ya, saki baki kansernya telah merebak dengan sangat cepat. Perutnya membusung, baru tekan dia akan muntah. Hatinya membengkak. Dan telah mengganggu saluran sistem perkumuhannya... Dan bahan kumuh di dalam badannya tinggi..Dia sudah perlu menjalani hemodialisis. Sedih sangat...Dan dia perlu menjalani percutaneous nephrostomy (membuat satu saluran keluar supaya kencingnya boleh disalurkan lantaran kansernya telah menghalangi saluran kencingnya).. Saya pernah menemani seorang pesakit dahulu menjalani percutaneous nephrostomy dan saya tahu betapa azabnya prosedur tersebut.. Sedih sangat...Kata adik tersebut dia redha sebagai kafarah dosa-dosanya..Allah..
Dan malam itu, saya perlu mendapatkan social history darinya. Bukan calang-calang orang. Dia anak sulung. Adik beradiknya juga berjaya. Ada yang belajar di US, MRSM dan lainnya. Ayahnya telah meninggal dunia 3 tahun lalu, dan merupakan pengetua di sebuah sekolah agama..

Dia mengaku dengan saya cuma melakukan sekali sahaja hubungan kelamin. Saya tidak pasti kebenarannya.. Namun dia malu untuk mengakuinya... Dan saya hormati hal itu kerana saya telah menemui banyak pesakit yang tidak pernah malu untuk menzahirkan hal zina yang dilakukan mereka...

Tidak pernah terfikir zina akan menyebabkan hal itu terjadi. Selalunya yang kita jumpa adalah hal-hal kehamilan luar nikah. Tapi ini pertama kali saya berhadapan dengan kes sebegitu.. Entahlah, kadang sangat-sangat teringin untuk menyedarkan remaja di luar sana... Sebagai doktor, saya tidak menyebut namanya.. Namun saya meminta izinnya untuk menulis kisahnya lewat maya untuk memberi kesedaran kepada yang sudi membaca.. 

Dan saya tahu menulis di sini bukan amal yang besar yang dituntut dari saya... Ada banyak kerja-kerja kita.. Alhamdulillah bidang perubatan ini seringkali menyedarkan saya tentang realiti umat untuk terus bergerak...

Monday, October 29, 2012

9 Huruf - Bahagian 3...

Terkadang rasa letih untuk menulis, namun seakan ada rasa tanggungjawab terhadap bahan tarbiah yang diperolehi. Tempoh hari kami tadabbur surah al hadid dari ayat 16 dan jujusan ayat seterusnya..

Indahnya dunia tarbiah kerana dengannya kita menghayati ayat-ayat Allah..

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka. Ketahuilah kamu, bahawa Allah menghidupkan bumi sesudah matinya; sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan dan bukti, supaya kamu memahaminya. (Surah Al Hadid: 16-17)

Ayat tersebut turun di Madinah selepas peristiwa hijrah. Seandainya kita menyorot kembali peristiwa hijrah, kita tahu betapa besarnya pengorbanan sahabat. Mereka berhijrah sehelai sepinggang. Realiti hidup mereka di Mekah sangat menghibakan, namun di sana hati mereka khusyuk.. Dan ketika berada di Madinah, dalam keadaan yang damai, hati mereka mula lalai sedikit demi sedikit.. Mereka bebas di Madinah, bebas untuk melakukan apa sahaja.. Hati mereka mula terikat dengan keduniaan dan hati pun mula lambat untuk khusyuk dan mengingat ayat-ayat Allah..Sama seperti kita.. Di mana hati kita ketika ini?

Lalu turunlah ayat-ayat di atas untuk mengingatkan mereka kembali.. Macam mana nak tahu hati kita ini khusyuk? Ustaz kata, bila kita sedar segala amalan kita.. Kita sedar dan menghayati bacaan solat kita.. Kita sedar Mathurat yang kita baca sehari-hari.. Kita sedar perjanjian dan doa-doa kita dalam zikir-zikir mathur yang kita baca.. Kita hadir dalam setiap perjalanan hidup kita..

Teringat kisah yang dikongsikan oleh Hamza Yusuf mengenai Maryam saat ustaz bercerita mengenai ayat itu..... Dengarlah... Saya percaya kamu akan lebih memahami ayat itu dengan mendengar kisah ini..


Tuesday, October 23, 2012

9 Huruf - Bahagian 2...

Terkadang hati ingin berlari laju, tetapi hari-hari di hospital ternyata sulit. Kadang tertanya-tanya, adakah tersalah memilih langkah kehidupan? Perlukah mengubah laluan setelah melalui bidang ini bertahun-tahun. Setelah lima tahun belajar, setahun bekerja, masih menaksir adakah ia yang terbaik. Syukur punya dakwah dan tarbiah untuk mengubat sebahagian kesakitan itu, namun adakalanya terasa sakit yang amat. 

Hikmah adalah milik Allah. Pasti ada baiknya Allah menetapkan saya di sini. Saya juga belajar dari adik lelaki saya, Zaid. Belajar bidang bio-perubatan di UM beberapa bulan, dan ternyata tidak sesuai buat dirinya. Akhirnya memilih untuk membuat Islamic Finance di IPTS. Di situ dia menemui minatnya. Dan dia bahagia dengan pilihannya. 

Adakah saya perlu melakukan hal itu supaya tidak terus-terusan berdarah? Saya tahu saya boleh pergi jauh di tempat lain. Namun saya tahu, saya perlu terus bertahan. Saat saya membuat keputusan, saya telah membuatnya kerana dakwah dan tarbiah. Dan saya juga perlu bertahan kerana dakwah dan tarbiah walau mungkin bidang ini telah merampas hal itu juga dari saya. 

 Jujur saya malu juga dengan seorang MO saya yang merupakan sahabat seusrah saya sendiri. Menjadi doktor, kita tidak dibenarkan untuk membuat hatta satu kesalahan pun. Kesalahan yang kecil juga akan dijaja. Kesian dia yang mungkin terpaksa menadah telinga tentang sahabat usrahnya.. 

9 Huruf? Pakcik kata huruf-huruf itu adalah M-U-J-A-H-A-D-A-H. Saya masih bermujahadah. Hakikatnya tiada siapa pun yang akan terus melangkah tanpa MUJAHADAH. Masa tidak pernah cukup. Bahagia mungkin jauh. Namun apa yang membuatkan kita terusan melangkah? MUJAHADAH. Jujurnya usah menanti hal masa di masa mendatang, kerana kita pasti bertambah sibuk. Tanggungjawab yang ada akan terus bertambah. Dan andai mahu menunggu lapang, ketahuilah ketika itu fizikal kita pula telah melemah.

Kata Assyahid Syed Qutb, “Iman yang sebenar tidak akan mantap di hati kecuali setelah hati ini bermujahadah melawan manusia kerana secara tidak langsung ia sebenarnya telah bermujahadah melawan dirinya sendiri. Mereka selama-lamanya tidak akan memahami fenomena alam ini jika masih memerap diri, duduk dalam keadaan aman dan selesa. Sebaliknya dengan iman, mereka akan dapat memahami fenomena alam ini. Mereka juga tidak akan dapat memahami dengan jelas segala realiti manusia dan realiti kehidupan ini melainkan setelah mereka melalui proses ini. Jiwanya, emosinya, fikirannya, adatnya, nalurinya dan reaksinya tidak akan dapat merasai apa yang dirasainya kecuali apabila mereka melalui pengalaman yang sukar dan perit ini”. 

Dahsyat bukan kata-kata itu? Iman adalah keyakinan. Kita tidak akan yakin betul-betul seandainya kita tidak bermujahadah. Iman tidak akan mantap tanpa mujahadah. Kita dapat iman ini mudah bukan? Ada orang suap. Iman kita longgar sebab tiada mujahadah. Samalah keadaannya iman ini seperti memegang dompet. Kalau kita rasa tempat itu selamat, kita pun mesti pegang biasa-biasa sahaja. Tapi kalau kita tahu tempat itu banyak peragut, kita mesti pegang dompet itu kuat-kuat kan? Begitulah iman. Kena mujahadah.

Cuba tengok sahabat nabi dapat iman macam mana. Tengok Bilal dapat iman macam mana. Tengok Sumayyah pula. Mereka dapat iman itu dengan kesusahan. Sebab itulah jalan ini susah. Kita kena lawan nafsu kita dalam mendapatkan iman itu. Apa maksud mujahadah? Ramai sahaja yang menggunakan istilah mujahadah ini. Ada yang guna masa exam. Ada yang kata mujahadah melawan hawa nafsu. 

Maksud Assyahid Syed Qutb, mujahadah adalah dengan bencikan kebatilan dan mujahadah memindahkan manusia dari alam batil kepada kebenaran. Itulah cara dan manhaj Rasulullah SAW. Baginda mengajar para sahabatnya membenci Jahiliah dengan sebenarnya dan selepas itu membawa manusia pula. Usaha begitulah yang dipanggil mujahadah. Kesabaran atas mehnah menjadikan seseorang itu tetap teguh tetap dan terus mara. Kalau kita tidak buat dakwah ini, kita tidak rasa iman. Kalau kita buat dakwah ini di saat sukar, dan datang pertolongan Allah, masa itulah kita yakin dengan jalan yang kita pilih ini. Saat itulah iman kita bertambah-tambah. 

Dan itulah yang sahabat-sahabat rasakan. Menjaga iman di hari-hari sulit ternyata mudah. Iman mereka sangat kuat saat di Mekah. Iman ketika kesulitan merajai tenyata menyala-nyala. Keakraban dengan Allah dapat mereka rasai ketika hati mereka berdarah. Dan Allah menghadiahi mereka dengan hijrah. 

Dan ternyata bahagia mungkin sahaja melalaikan kita. Di situlah sahabat-sahabat diuji. Di Madinah, mereka bebas. Mereka boleh berterbangan dengan bahagia seperti burung kerana tiada siapa yang menghalangi. Di sana mereka boleh berniaga, boleh berkahwin, boleh melakukan apa sahaja. Mereka bebas sehingga tidak mahu menjadi insan yang bergelumang dengan dakwah dan tarbiah ini juga mungkin berlaku. Lantas semua itu menjadi asbah turunnya ayat 16 Surah AlHadid dan jujusan ayat-ayat seterusnya yang mengingatkan mereka.

Monday, October 22, 2012

9 Huruf - Bahagian 1..

Hati ingin menukilkan segalanya di atas kanvas maya ini namun masa seakan mencemburui. Lantas saya pesan pada diri, tulislah meskipun sedikit. Tulislah agar segalanya yang saya peroleh telah saya ikat dengan tulisan yang kemudiannya menjadi peringatan buat diri yang alpa. Beberapa hari yang lepas, saya melalui program. Jujurnya saya rindukan Putrajaya dan Kuala Lumpur yang mewah dengan program. Tapi saya percaya Allah meletakkan saya di tempat yang terbaik. Saya punya ikhwah akhawat yang sangat membantu dan menyokong saya dalam dakwah dan tarbiah terutamanya saat-saat genting melalui housemanship. Saya punya murabbi yang terus-terusan membantu. Dan banyak lagi ufuk pertolongan dan sinaran hikmah yang Allah tunjukkan di sini..

Sejujurnya di atas jalan ini, saya tidak pernah memperolehi sesuatu dengan mudah. Sangat sukar caranya saya memperoleh sesuatu. Namun begitulah doa saya. Biarlah Allah yang mentarbiah saya.. Dan saya kira Allah lebih mengetahui metod tarbiah untuk hambaNya yang kerdil seperti saya. 

Program tersebut saya kira adalah program di mana saya bermuhasabah banyak perkara. Bahan-bahan tersebut pernah saya perolehi sebelum ini, namun tidak pasti di mana saya menyimpannya dalam sudut hati dan pemikiran saya. Sehinggalah saya merasakan berat yang amat. Inna sanulqi 'alaika qaulan thaqila.. Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat padamu.. Membina manusia adalah pekerjaan paling berat.. Kalaulah belajar perubatan, housemanship ini susah, percayalah membina manusia adalah berjuta-juta kali lebih susah.. Lantas saya telus pada Allah.. Saya benar-benar merasakan berat yang amat.. Lantas Allah menjawabnya semasa sesi tadabbur..

9 Huruf? Insya Allah, mudah-mudahan Allah mengizinkan saya untuk terus berkarya atau 9 Huruf menjadi teka-teki semata-mata... Ya rabb, mudahkan..


Saturday, October 13, 2012

Bogel...

Jujurnya saya tidak setuju sangat dengan tindakan seorang pakar semasa HO teaching baru-baru ini. Dia mendedahkan kesalahan seorang HO di hadapan begitu ramai doktor-doktor yang lain. Saya benar-benar tidak bersetuju! 

Allah mahu mengajar sesuatu. Seusai hari itu, saya berusrah dengan adik-adik.. Kami mentadabbur Surah Al Haqqah.. Dan saya terpana.. Bicara Syed Qutb mencekik segala rasa hati..

Pada hari itu kamu dihadapkan kepada Allah, tiada satu pun dari rahsia kamu yang tersembunyi". (Surah AlHaqqah: 18)

Pada hari itu segala-galanya terdedah, badan  terdedah, jiwa terdedah, amalan terdedah, dan untung nasib terdedah. Gugurlah segala tabir yang melindungi rahsia-rahsia. Bogellah segala jiwa dan segala jasad, ketaralah segala yang tersembunyi. Setiap orang kehilangan daya tipu helah, kehilangan daya tadbir dan kehilangan perasaan. Terbukalah segala tembelang yang selama ini ditabiri hingga kepada dirinya sendiri. Alangkah malunya kepada khalayak yang ramai. Kepada Allah segala rahsia adalah terbuka kepadaNya di setiap waktu, tetapi mungkin manusia tidak menyedari hakikat ini dengan kesedaran yang sungguh-sungguh kerana tertipu dengan tabir-tabir dunia. Kini barulah dia menyedari dengan sempurna apabila ia terdedah pada hari kiamat. Segala sesuatu jelas di alam buana. Bumi dilebur dan diratakan hingga ia tidak dapat melindungi suatu apa. Langit juga turut pecah terbelah dan hancur hingga tidak dapat melindungi  suatu apa pun. Segala jasad bertelanjang bulat tiada dilindungi seurat benang pun, segala jiwa terbuka tanpa suatu tabir pun dan tidak lagi mengandung apa-apa rahsia. 

Tetapi yang lebih dahsyat dari kehancuran bumi, gunung ganang dan langit ialah berdirinya manusia dengan jasad yang bogel, dengan jiwa dan perasaan yang bogel, dengan sejarah hidup yang bogel dan dengan amalan yang bogel lahir dan batin di hadapan perhimpunan raksasa makhluk Allah dari manusia, jin dan malaikat di bawah naungan kebesaran Allah dan 'Arasy-nya yang terjunjung tinggi di atas segala-galanya. 

Tabiat manusia memang rencam dan canggih. Di dalam jiwanya terdapat berbagai-bagai liku dan lorong sempit tempat dia menyimpan perasaan-perasaan dan keinginan-keinginan, tempat dia menyembunyikan salah silap, angan-angan dan rahsia-rahsianya. Manusia lebih pintar melindungkan dirinya dari binatang siput yang dicucuk dengan jarum, di mana ia pantas menyorokkan kepalanya ke dalam sarungya dan menutupkan dirinya dengan serapat-rapatnya, tetapi manusia akan bertindak lebih pantas dan pintar dari siput itu lagi, apabila ia merasa ada mata sedang melihat, memerhati dan mengetahui sesuatu rahsia yang disembunyikannya selama ini atau apabila ia sedar ada mata sempat melihat suatu lorong atau liku sulit dari dirinya. Dia akan merasa amat pedih dan cemas apabila ia sedar ada orang mengetahui hal dirinya ketika ia berada di dalam keadaan-keadaan persendirian dengan perasaannya. 

Tetapi apakah yang dapat dibuat oleh manusia pada hari kiamat kelak apabila tubuh badan, fikiran, perasaan, niat dan hatinya terdedah belaka dari segala suatu yang dapat melindunginya. Bagaimana ia dapat menyembunyikan dirinya di bawah 'Arasy Allah yang Maha Kuasa di hadapan perhimpunan raksasa yang tidak bertabir itu. 

Ini adalah satu keadaan yang lebih dahsyat dan lebih pahit dari segala-galanya.

Seorang adik bertanya, "Kak, mungkin ke semua orang rasa tidak malu sebab semuanya berdepan dengan nasib yang sama?"

Mana mungkin tidak malu.. Kita pasti malu, PASTI dengan seseorang yang begitu kita hormati barangkali... Allahu A'lam...

Inspirasi..

Saya bertemu dengan tiga orang yang memberi saya inspirasi selama beberapa hari ini..

Pertamanya, ukhti H dari UTM. Bertemunya semalam di majlis thaqafah IPT. Dia menghidap albino. Sangat indah pertemuan dengannya. Matanya nystagmus. Bergerak-gerak. Berbual dengannya, saya tidak dapat mengadakan eye contact. Indah pertemuan dengannya kerana saya mengkagumi hidayah Allah. Dia telah memilih ukhti tersebut untuk berada di jalan ini. Teringat akak pengawal keselamatan di flat rumah sewa saya dulu. Dia juga menghidap albino, berkahwin dengan abang pengawal keselamatan yang sangat menyayanginya dan bayi mereka sangat comel.. Indah kan aturan Allah? Indah hidayahNya juga..

Keduanya pertemuan dengan seorang adik student nurse lelaki. Saya mengkaguminya.. Saat kami sedang sibuk beramai-ramai membuat CPR, ambubagging seorang pakcik yang nazak, menyediakan adrenalin, adik ini datang. Dia duduk berteleku di sisi pakcik tersebut dan mengajarkan syahadah tanpa peduli setiap mata yang memandangnya.. Masya Allah! Setelah pakcik itu diumumkan meninggal dunia, saya pergi ke satu sudut dan menangis. Adik tersebut telah membuatkan saya tertampar-tampar. Konon-kononnya berada dalam dakwah dan tarbiah, namun belum benar-benar menjadi DR (Daie Rabbani). Allahh.. Sangat kagum dengan pakcik yang meninggal itu juga.. Siapa dia? Apa yang telah dia lakukan sehinggakan Allah menghantarkan seseorang untuk mengajarnya syahadah di saat akhir kehidupannya? 

Dan pertemuan ketiga yang memberi saya inspirasi adalah pertemuan dengan Dr Lee. Setahun lebih saya membuat housemanship, namun jarang terinspirasi dengan mana-mana doktor malah mungkin tidak menyenangi profesyen ini disebabkan sikap manusia yang menghiasi dunia perubatan ini. Namun Dr Lee yang berumur 46 tahun itu mengajar saya banyak perkara. Betapa saya mengharap dia adalah Muslim.. Sangat memahami dunia houseman dan memberi qudwah yang sangat menyentuh hati.. Antara pesannya, dia mengatakan bahawa kita yang berada dalam bidang perubatan ini mungkin sahaja sudah kehilangan sensitiviti.. Kita yang dulunya semasa kecil menangis saat melihat setitis dua darah, kini tidak peduli dengan darah.. Brannula pesakit tercabut dipandang enteng.. Apabila pesakit memberitahu sakit, kita tidak peduli.. Apabila pesakit mati, hati sudah tidak berdenyut... Berada dalam profesyen ini, kita kehilangan hati kita... Betapa benar kata-katanya..

Manusia, betapa mereka adalah subjek terindah untuk dipelajari..

Saturday, October 06, 2012

Malaikat maut..

Selalunya saya tiba awal pagi di hospital... Dan terkadang kerja pertama adalah resuscitation kerana pesakit-pesakit di wad perubatan adalah pesakit-pesakit yang sangat tidak stabil.. Terlalu banyak kematian..

Scary kan setiap saat dan ketika dilawati malaikat maut dan berada hampir dengan malaikat maut...

Dan surah AlQiyamah yang dibacakan oleh Iman Fahd Kanderi ini akan selalu bergentayungan di kasus minda dan lubuk hati...

Insaf..

Tadi saya ambubagging seorang pakcik yang nazak. Sangat nazak.. Tiba-tiba datang anak pakcik tersebut.. Dengan jeans, tshirt ketat dan rambut berwarna, dia membaca Yassin buat si ayah tanpa mengenakan tudung mahupun selendang... Jujur sebagai daie, melihat dengan kaca mata daie, saya rasa kasihan yang amat... Dan hati saya terus-terusan menangis..

Pakcik, apa legacy yang telah pakcik tinggalkan? Apa legacy yang akan aku tinggalkan? Saya bermuhasabah sedalamnya..

Terkadang dunia perubatan itu memerlukan hati dan menagih seluruh tenaga kita.. Setelah pulang ke rumah juga, masih terbayang-bayang wajah-wajah pesakit..

Dan dakwah ini juga menagih hak yang sama, malah hak yang lebih lagi... Siapa yang akan membuat resuscitation untuk ummat ini?

Pagi tadi saya tanya seorang adik yang berusia 21 tahun, drug abuser.."Ko dah sembahyang subuh?" 

Dengan selamba dia menjawab, "Saya tak sembahyang dah bertahun-tahun ..".. 

Arghhh..

"Dah ko pergi tukar kain ini. Tutup aurat ko tu sket.."..Kasar, tapi memang perlu saat berhadapan dengan mereka..

Jauh sebenarnya mereka dengan dunia enta enti..ana enti...dunia ikhwah akhawat.. Sangat jauh... Dan kerja kita sebenarnya sangatlah banyakkkkkkkkk.......
There was an error in this gadget