Tuesday, December 27, 2011

Marsum maya 2....

Salam buat kalian adik-adikku yang masih muda belia. Rindunya akak pada kalian yang sudi mendengar bicara dan celoteh akak dalam pertemuan-pertemuan mingguan kita. Akak rasakan akaklah manusia yang paling gembira dengan berakhirnya cuti persekolahan. Ya, kerana akak boleh bertemu dengan kalian. Mudah-mudahan Allah terus menancapkan kehangatan cinta dalam hati-hati kita.

Sungguh akak kepenatan semalam. Tangan seakan tidak berdaya menarikan tintanya. Penat sungguh kehidupan seharian di hospital. Lelah kerana dalam usaha memberikan yang terbaik, tiada yang memahami. Malah habuannya begitu menggugah jiwa yang cuba melaksanakan amalnya dengan ihsan. Lantas akak bermuhasabah, Allah itu ada. Dia yang Maha Mengawasi hamba-hambaNya.

Dan dalam kepenatan itu, Allah mengingatkan dengan video yang menguatkan akak kembali.. Hiba sungguh akak saat menontonnya. Kita tiada masa untuk membuang masa. Lantas akak cuba menitipkan lagi marsum maya buat kalian, mudah-mudahan mengisi sedikit masa kalian. Dan mudah-mudahan tulisan ini menjadi zikr atau peringatan buat akak.

Akak mahu berkongsi beberapa perkara di dalam modul "Ini Sejarah Kita'. Dalam setiap siri modul ‘Ini Sejarah Kita’, pastinya ada satu soalan yang akan ditanya. Siapa ‘kita’ dalam ‘Ini Sejarah Kita’? Penting sekali untuk mengetahui siapa ‘kita’ sebenarnya.

Andai adik-adik mengatakan bahawa ‘kita’ adalah pelajar maka sejarahnya bermula dengan bagaimana kita mengenali alif ba ta, satu dua tiga, ABC dan lainnya.

Andai adik-adik mengatakan bahawa ‘kita’ adalah doktor maka sejarahnya bermula dengan kisah bagaimana kita mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Andai adik-adik mengatakan bahawa ‘kita’ adalah anak, maka sejarahnya bermula dengan kehidupan kita di alam rahim.

Andai adik-adik mengatakan bahawa ‘kita’ adalah Melayu maka sejarahnya bermula dengan Parameswara, kisah Lembah Bujang dan hal lainnya.

Tapi andai adik-adik mengatakan bahawa ‘kita’ adalah Muslim, maka sejarahnya akan menjadi begitu panjang.

Siapa Muslim? Muslim ini berasal dari kalimah Islam. Islam berasal dari kalimah Arab 'aslama' yang bermaksud menyerah. Contohnya, posmen aslama surat. Maksudnya posmen menyerahkan surat. Tapi apa maksud Islam? Akak teringat kenangan di matrikulasi, saat bibir tidak mampu mengungkapkan makna Islam saat diajukan oleh seorang senior. Saat itulah akak mula berubah. Sudah 17 tahun usia akak tika itu dan akak tidak mengetahui makna Islam. Akak bertanyakan pada diri akak, benar-benar muslimkah aku? Moga Allah mengirimkan renik-renik hujan hidayah yang berpanjangan dalam diri setiap dari kalian agar kalian mengerti makna islam dengan seluruh jiwa kalian. Sesungguhnya, makna islam adalah menyerahkan diri kepada Allah.

Lantas adik-adik, Islam atau islam? ‘I’ huruf besar atau ‘i’ huruf kecil? Sebenarnya ‘i’ huruf kecil sebabnya menyerahkan diri kepada Allah adalah kata kerja. Posmen menyerahkan surat. “Menyerahkan’ itu kata kerja, bukan? Kalau kita adalah islam, bukan hanya pada kad pengenalan sahaja Islam, tapi kena buat islam itu. Kena pastikan islam kita adalah kata kerja bukan kata nama.
Kalau adik-adik sudah memahami makna islam, maka sejarah kita bermula di mana? Nabi Adam itu islam ke? Nabi Yusuf islam ke? Islam itu maksudnya menyerahkan diri kepada Allah. Pada perkiraan adik-adik, Nabi Adam menyerahkan diri kepada Allah atau tidak? Dia menyerahkan diri kepada Allah, bukan ? Maka Nabi Adam juga adalah Islam.

Ayuh lihat Surah Al Baqarah ayat 131-133.
(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam". Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam". (Surah Al Baqarah: 131-132)


Di dalam ketenatan penghujung usia, begitulah wasiat para nabi Allah buat anak-anaknya agar hatta sehingga penghabisan usia, kalian perlu menjadi seorang Muslim, yang menyerahkan seluruh kehidupannya pada Allah.

Setelah itu, datang persoalan seterusnya iaitu perihal bangsa. Pada perkiraan adik-adik, penting ke bangsa? Siapa yang menjadikan bangsa? Allah yang menjadikan bangsa.

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah AlHujurat:13)

Buat adik-adik sekalian yang sedang berusaha memahami Islam, sesungguhnya di sisi Allah tidak penting bangsa! Allah yang menjadikan bangsa dan seandainya Allah melihat kepada bangsa seseorang, zalimlah Allah bukan? Bangsa bukan pilihan. Emak kita Melayu, ayah kita Melayu, maka jadilah kita berbangsa Melayu.

Apa yang Allah lihat? Iman dan amal. Allah tidak peduli soal rupa atau bangsa kita. Semua akan masuk syurga sekiranya iman dan amalnya baik.

Buat adik-adik, kita mesti meletakkan Islam lebih daripada bangsa.

Teringat akak satu kisah berkenaan Salman AlFarisi. Salman duduk dengan puak Arab yang lain. Puak-puak ini pun cakaplah, "Ini dari Bani Tamim; yang itu dari Bani Ghathafan; dan yang lainnya dari Bani Khuza'ah." Salah seorang dari puak ini pun bertanyakan Salman, “Kau dari puak mana?” Apa kata-kata Salman yang masyhur ? ‘Abil islamun, la abaali siwahun, hiina iftaqarrun bi qais au tamimun’ – Ayahku adalah islam, tidak ada ayah selainnya di saat manusia lain berbangga-bangga dengan puak Qais atau Tamim. Aku berbangga ayahku adalah Islam.

Adik-adikku, Salman cuba menyampaikan pada mereka bahawa Salman berbangga ayahnya Islam. Apa maksud ayah kita adalah Islam? Maksudnya semua orang Islam itu adalah adik beradik kita. Kalau kita kata ayah kita adalah Encik S, maka adik beradik kandung kita sahaja adalah adik beradik kita. Tapi kalau ayah kita adalah Islam, semua orang Islam adalah adik beradik kita. Mampukah kalian mengerti adik-adiku?

Teringat juga akak satu kisah berkenaan Mus’ab bin Umair dan saudara kandungnya Abu Aziz bin Umair. Mus’ab seorang Muslim manakala Abu Aziz pula tidak beriman kepada Allah. Abu Aziz ditawan oleh tentera Muslimin di dalam peperangan Badar. Apabila Mus’ab melihat saudara kandungnya sendiri ditahan, Mus’ab tidak meminta agar saudara kandungnya dibebaskan, sebaliknya Mus’ab meminta seorang Ansar mengikat adiknya dengan lebih kuat kerana ibu mereka seorang hartawan dan tentera Muslimin boleh meminta wang tebusan yang lebih tinggi. Abu Aziz terkejut mendengar pernyataan itu dan bertanyakan Mus’ab mengenai kata-katanya. Mus’ab berkata bahawa lelaki Ansar itu adalah saudaranya dan bukannya Abu Aziz kerana lelaki Ansar itu adalah Muslim.

Kefahaman Musaab terhadap Islam menyebabkan dia menganggap lelaki Ansar tersebut adalah adik beradiknya bukan adik kandungnya yang kafir.

Amatlah malang orang yang tidak faham apa itu Islam. Amatlah malang mereka yang berjuang untuk bangsa dan bukannya Islam.

Sungguh penting adik-adikku untuk kita memahami Islam kerana dengan memahaminya, kita tidak akan menganggap isu Palestin adalah isu bangsa Arab, sebaliknya ia adalah isu Islam.

Akak masih mengingati kata-kata seorang akh semasa tayangan “Baitul Maqdis, Bumi yang Dijanjikan’ ketika di matrikulasi dahulu. Katanya, “Anak-anak yang ada ada dalam tayangan ini adalah anak-anak kamu. Lelaki-lelaki yang ada di dalam tayangan ini adalah ayah dan abang kamu. Ibu-ibu yang ada dalam video ini adalah ibu-ibu kamu”. Moga adik-adik mengerti semua itu.

Monday, December 26, 2011

Acheh...

Hari ini 26 Disember 2011. Teringat kenangan ke Acheh sebelum mula bertugas sebagai house officer. Sungguh tsunami di Acheh 7 tahun lalu adalah peringatan berharga. Terkadang hairan kita sebagai Muslim masih 'menyambut' atau 'mengucapkan' Krismas tanpa sedar bahawa kita telah mensyirikkan Allah. Tidak takutkah andai tsunami melanda? Membaca perihal artis di Utusan hari ini buat saya menangis pilu. Kesian! Tapi dalam masa yang sama, saya kira mereka terlalu biadap. Moga Allah memberikan hidayah dan taufiqnya buat kita semua.

Saya kongsikan gambar kuburan massal (taman maqam syuhada Acheh) sebagai peringatan buat kita yang masih hidup akan hakikat kematian yang pasti buat semua insan.

Sunday, December 25, 2011

Marsum maya..

Izinkan saya berkongsi marsum maya yang dititip buat adik-adik.. Ini medan pertama saya di sekolah, pengalamannya lain. Namun segalanya tetap indah.. Moga Allah memberi kekuatan untuk terus menulis buat mereka.. Dan moga ada kebaikan buat adik-adik di luar sana juga..

------------------
Assalamualaikum wbt. Akak mengirimkan salam rindu buat adik-adik yang terlalu akak cintai. Kaifa imanuki? Bagaimana iman kalian melalui hari-hari di rumah? Masih rindukah kalian dengan tarbiah ini? Sungguh akak merindui kalian. Terlalu rindu.. Tidak mungkin segala tinta di sini mampu menukilkan rasa rindu yang berkecamuk ini..

Semalam akak pulang dari kerja pada pukul 3 pagi. Dan hati akak terlalu sebak.

“Ya rabb, aku terpaksa melakukan semua ini untuk duniaku. Izinkan aku ya rabb untuk melakukan sesuatu buat adik-adikku yang menjadi saham akhiratku”.

Tidak mungkin marsum maya ini mampu menggantikan pertemuan-pertemuan kita. Tidak mungkin hatta sekali pun. Namun Allah mentakdirkan kekangan-kekangan yang tidak memungkinkan kita bertemu sebagai satu keluarga di atas jalan dakwah ini.

Akak teringat kenangan dengan Nabila (Tingkatan 3). Pernah dua kali dia memberi mesej di Facebook meminta akak fokus pada pembinaan adik-adik di Tingkatan 5. Akak bermuhasabah, adakah semuanya lantaran kekurangan akak sebagai murabbi? Satu masa Nabila datang bertemu akak, menceritakan perihal sebenar yang menjadi asbab di sebalik mesejnya itu. Rupanya dia mencintai seniornya, Diyanah (Tingkatan 5) dan rasa cintanya menyebabkan dia menginginkan bahawa Diyanah juga dapat merasai nikmatnya dakwah dan tarbiah ini.

Masya Allah! Terdetik kekaguman yang luar biasa dalam diri akak terhadap Nabila. Masya Allah! Betapa Nabila dapat merasai makna cinta yang hakiki. Nabila telah mengajar akak sesuatu. Seandainya kita benar-benar mencintai seseorang kerana Allah, nescaya kita menginginkan kebaikan buat insan yang kita cintai. Dan kebaikan yang agung itu adalah tika mana seseorang itu dapat memahami deen Allah ini dengan sempurna. Sungguh Allah AlWadud, yang Maha Mencintai telah mencampakkan rasa cinta yang agung itu dalam hati-hati kita.

Dalam lingkungan yang kecil ini, izinkan akak untuk terus mengirimkan warkah buat kalian. Moga kalian tidak hanyut dalam menghadapi anasir-anasir yang tidak memberi hatta satu kebaikan dan saham di akhirat sana.

Buat adik-adik yang akan ke PLKN, terus kekalkan identiti kalian sebagai seorang yang pernah merasai nikmatnya tarbiah ini. Kalian perlu memberikan yang terbaik demi Islam di sana. Binalah biah islami di sana walau sememangnya hal itu terlalu sukar. Mohonlah doa dari Allah di setiap saat dan ketika.

Insya Allah, akak akan cuba menulis tentang Ini Sejarah Kita (ISK). Majoriti adik-adik Tingkatan 1 sehingga 4 telah mendapat ISK. Cuma adik-adik yang meniti SPM tempoh hari tidak memperolehi kesempatan mendapat tajuk ini. Insya Allah kita cuba menghadamnya bersama-sama dalam laman maya ini. Moga Allah memudahkan segalanya.

Sunday, December 18, 2011

Maaf...

Saya kira majlis konvokesyen sewajarnya menggembirakan sesiapa sahaja. Namun ternyata saya silap. Ianya hari yang menyedihkan bagi saya.

Salah seorang professor saya datang dan bertemu saya, meberitahu perihal peperiksaan akhir saya yang kiranya tidak memuaskan hati pensyarah-pensyarah saya. Sedih.. Setelah beberapa bulan, dan setelah 3 bulan bekerja, masih ada yang mahu bercerita tentang peperiksaan. Sedih kan? Adik lelaki saya kata, pelajar sekolah yang ambil penyata pun tidak akan menerima nasib seperti saya..

Berada di bidang perubatan ternyata membuat hati saya sentiasa berdarah. Terkadang tertanya-tanya, layakkah aku untuk terus berada di sini? Keyakinan saya untuk terus berada di sini sering goyah dengan bertambahnya hari..

Sering tertanya-tanya, ya Allah, tidak berhak kah aku untuk merasa secebis hakikat kebahagiaan?

Ternyata kita sebagai manusia sering teruji dengan niat kita sehari-hari. Mengapa kita mengambil bidang ini? Apa tujuannya? Andai kerana Allah, mengapa perlu masih kecewa dengan pernyataan manusia?

Ya Allah, aku melakukan banyak dosa, padaMu dan pada manusia lain seluruhnya.. Maafkan diri ini ya rabb, bukakan hati mereka yang pernah aku lukai untuk memaafkan hambaMu yang terlalu hina ini... Bukakan hati mereka untuk meredhaiku.. Ya rabb, Kau mengetahui bahawa setiap saat dalam hidupku, aku terlalu ingin untuk melakukan segalanya dengan ihsan.. Maka mudahkanlah ya rabb... Ampunkanlah diri ini ya rabb.. Perbaikilah akhlaqku... Berilah aku keluasan nikmatmu di akhirat.. jadikanlah segala kesedihan di sini sebagai pahala yang mampu aku tebus untuk melihat wajahMu di akhirat sana...

Buat kalian yang pernah aku lukakan hatinya, maafkan aku atas segala khilaf..Aku masih berusaha untuk menjadi yang lebih baik... Sering sebagai manusia, aku tersilap.. Maka maafkanlah... Sesungguhnya hari ini, aku merintih pada kalian untuk memaafkanku...

Saturday, December 10, 2011

Allah ada..

Mentadabbur fi zilalil Quran surah AlFalaq membuat hati tersentuh. Ya, Allah ada!

Surah al-Falaq dan Surah an-Nas merupakan satu arahan dari Allah mula-mula kepada Nabi-Nya SAW dan kemudian kepada para Mu'minin supaya memohon perlindungan dan naungan pada Allah dari segala kejadian yang menakutkan sama ada yang sulit atau yang terang sama ada yang tidak diketahui atau yang diketahui secara umum atau secara terperinci seolah-olah Allah membuka perlindungan dan naungan-Nya kepada mereka sambil berseru dengan penuh kasih sayang "Marilah ke sini marilah masuk ke dalam perlindungan dan naungan-Ku, marilah ke tempat yang aman yang memberi ketenangan kepada kamu. Marilah Aku tahu kamu lemah dan mempunyai banyak musuh dan di sekeliling kamu berbagai-bagai kejadian yang menakutkan." Hanya di sini sahaja keamanan, ketentemman dan kedamaian untuk kamu. Oleh sebab itulah kedua-dua surah ini dimulai dengan arahan ini:

1. Katakanlah (wahai Muhammad) aku pohon perlindungan pada Tuhan
seluruh makhluk.

1. Katakanlah (wahai Muhammad) aku pohon perlindungan pada Tuhan
yang memelihara manusia.

Bayi...

Ini adalah sebahagian petikan dari hadis yang menceritakan kisah ashabul ukhdud atau hadis yang popular dengan panggilan hadis ghulam:

Lalu raja memerintahkan supaya digalikan parit dan dinyalakan api. Raja berkata, “sesipa yang tidak kembali kepada agama asalnya, maka humbankan dia ke dalamnya.” Mereka pun melaksanakan perintahnya sehinggalah datang giliran seorang perempuan dengan membawa bayinya. Dia berhenti kerana takut untuk terjun ke dalam api. Lalu bayinya berkata, “wahai ibu, bersabarlah, sesungguhnya ibu berada di atas kebenaran.”


Sangat kagum dengan bayi tersebut. Saat mentadabbur kembali hadis ini, terasa seolah-olah Allah memberitahu bahawa hatta seorang bayi juga boleh menjadi pejuang agama ini. Sekiranya kamu tidak mahu berjuang, Allah boleh mendatangkan hatta seorang bayi yang akan meneruskan perjuangan ini sehingga ke titisan darahnya yang terakhir.

Membaca perihal di Syria, sangat kagum pada anak-anak kecil yang syahid, menjadi pemula revolusi.

Tahu kan asbab di sebalik revolusi?

Puncanya bila ada sekumpulan kanak-kanak dalam 28 orang bermain-main dan telah menulis sesuatu di dinding sekolah mereka. Apa yang ditulis oleh kanak-kanak ini ialah RAKYAT MAHU JATUHKAN KERAJAAN. Slogan ini telah dilaungkan dinegara-negara yg berevolusi. Apabila tahu pasal ini, pasukan keselamatan Syria telah menangkap kanak-kanak ini. Mereka telah disiksa dengan cara mencabut kuku-kuku kaki dan tangan mereka. Salah seorang kanak-kanak itu telah meninggal dan keluarga minta mayat kanak-kanak itu serta meminta kanak-kanak yang lain dilepaskan. Kerajaan telah meletakkan syarat dimana bila mahu lepaskan kanak-kanak itu, mereka perlu memberi wanita-wanita di kalangan mereka untuk dinikahi oleh puak-puak kerajaan ini. Perkara ini merupakan sesuatu yang menghinakan. Lantas berlakulah revolusi di Syria.


Ya, mereka si cilik yang syahid. Kita? Saya? Diuji di tempat kerja sahaja sudah mengeluh..

Teringat doa ghulam, "Ya Allah, bantulah kami dengan cara yang kau kehendaki...".

Moga Allah terus menguatkan...

Friday, December 02, 2011

Lau kaana bainana...

Insya Allah, hari ini kita tadabbur satu ayat Quran. Ayat yang mengingatkan saya pada Rasulullah SAW. Ayat yang mengingatkan kecintaan kita pada Rasulullah SAW. Dan ayat yang membuatkan saya terbayangkan andainya Rasulullah SAW ada bersama saya saat ini…

Ayatnya adalah ayat 21 Surah AlAhzab. Kita biasa mendengar ayat ini semasa sambutan Maulidurrasul .

Tadabburlah Surah Ahzab. Kisah tentang peperangan yang agung. Kisah tentang suasana cemas yang perlu dilalui oleh para Muslimin. Tiba-tiba dalam suasana cemas itu, Allah turunkan ayat ini. Kenapa eh? Kenapa di tengah-tengah gambaran suasana peperangan?

21. “Sesungguhnya pada akhlak Rasulullah itu terdapat contoh teladan yang baik bagi kamu, iaitu bagi mereka yang mengharapkan keredhaan Allah dan keselamatan pada hari Akhirat dan banyak mengingati Allah.”

Sebabnya dalam suasana yang sangat dahsyat, super duper stress itu pun, sahabat dapat melihat akhlaq Rasulullah SAW yang sangat hebat.

Dalam keadaan stress, saat itulah kita mengenal diri sendiri. Akhlaq kita yang sebenar-benarnya terlahir dalam keadaan stress.

Kehidupan saya kini sangat menekan. Kehidupan di hospital tersebut begitu menguji iman dan kesabaran saya. Seringkali saya tewas... Saya juga belajar mengenai manusia lain. Saya belajar personaliti doktor pakar dan MO saya dalam keadaan yang sungguh menekan itu. Jururawat yang sangat ayu pun jadi tak ayu dalam keadaan tersebut.

Begitu juga seorang daie.. Kita kenal akhawat kita dengan sebenarnya dalam suasana yang penuh tekanan kan?

Sedang Rasulullah SAW berjaya maintain malah akhlaqnya lebih sempurna dalam keadaan yang sangat cemas tersebut. Kalau kamu nak faham ayat tersebut, kena kaji habis kisah peperangan Ahzab.. Keadaan tersebut bukan perihal menyelamatkan nyawa di hospital, tapi suasana menyelamatkan Islam. Bilangan musuh ketika itu boleh menghancurkan umat islam sehabisnya... Bayangkan...

Terkadang saya membayangkan dalam kehidupan saya, andai Rasulullah SAW bersama saya... Bagaimana ye Rasulullah SAW seandainya dia seorang doktor pakar/ MO/ murabbi? Aku terlalu merinduimu, ya Rasulullah... Terbayang bagaimana Rasulullah SAW juga menggali parit ... Terbayang mereka menyanyikan sajak bersama-sama..

Saya copy paste tafsir zilal mengenai ayat ini...

Itulah keadaan orang-orang Munafiqin dan orang-orang yang mempunyai penyakit di dalam hati mereka, juga gambaran penyebar- penyebar khabar angin. Itulah gambaran mereka yang buruk, tetapi malapetaka kesusahan dan ketakutan tidak mengubahkan semua manusia kepada gambaran yang buruk itu, malah di sana ada golongan yang berseri-seri gemilang di tengah suasana yang gelap itu, hati mereka begitu tenang di tengah-tengah kemelut itu.

Mereka penuh percaya kepada Allah dan redha dengan qadha’ Nya. Mereka yakin mendapat kemenangan dari Allah selepas melalui segala keadaan yang cemas dan nanar ini.

Al-Quran memulakan gambaran golongan yang berseri-seri gemilang itu dengan menyebut Rasulullah s.a.w.:

21. “Sesungguhnya pada akhlak Rasulullah itu terdapat contoh teladan yang baik bagi kamu, iaitu bagi mereka yang mengharapkan keredhaan Allah dan keselamatan pada hari Akhirat dan banyak mengingati Allah.”

Walaupun di dalam suasana yang amat mencemas, susah dan letih lesu ini, namun Rasulullah s.a.w. tetap merupakan sumber keamanan, keyakinan, harapan dan ketenangan kepada kaum Muslimin.

Pengkajian terhadap sikap Rasulullah s.a.w. di dalam menghadapi peristiwa peperangan al-Ahzab yang besar ini boleh memberi pedoman dan panduan kepada para pemimpin jama’ah dan pergerakan (da’wah Islamiyah). Ia memberi contoh tauladan yang baik kepada mereka yang mengharapkan keredhaan Allah dan balasan yang baik pada hari Akhirat, juga kepada mereka yang menunjukkan contoh yang baik dan mengingati Allah tanpa melupakan-Nya.

Eloklah kita mengetahui serba sedikit tentang sikap Rasulullah s.a.w. ini sebagai contoh, kerana kita tidak dapat menghuraikannya dengan terperinci di sini.

Rasulullah s.a.w. keluar menggali parit pertahanan bersama-sama kaum Muslimin. Beliau memotong dengan kapak, menyodok tanah dengan penyodok dan mengangkut tanah dengan keranjang-keranjang.

Beliau turut menyanyikan sajak bersama mereka dengan suara yang tinggi semasa bekerja. Mereka menyanyikan sajak-sajak yang bersahaja yang digubah dari kejadian-kejadian yang berlaku. Misalnya ketika itu ada seorang Islam bernama Ju’ayl. Rasulullah s.a.w. tidak sukakan nama ini, lalu mengubahkannya kepada nama ‘Amr. Lalu orang-orang Muslimin yang berkerja menggali parit itu mendendangkan beramai-ramai sebuah sajak mengenainya yang bersahaja:

Samma min ba’di Ju’ayl amran ... amran, wa kana lil baisi zahran.... zahran...

Beliau menukar namanya
Dari Juayl kepada Amr
Setiap hari ada sahaja
Beliau menolong si malang derita

Apabila mereka mendendangkan kata-kata “Amr”, Rasulullah s.a.w. turut meningkah ‘Amran’. Begitu juga apabila mereka mendendangkan katakata "Zah" beliau turut meningkah “Zahran”. (cutenya Rasulullah SAW..)

Di sini dapatlah kita gambarkan betapa mesranya suasana ketika itu, di mana kaum Muslimin bekerja keras (menggali parit) dan Rasulullah s.a.w turut serta memotong dengan kapak, menyodok tanah dengan penyodok-penyodok, mengangkut tanah dengan keranjang-keranjang dan menyanyikan sajak ini bersama-sama mereka. Di sini juga dapat kita gambarkan bagaimana hebatnya suasana mesra ini melepaskan tenaga dan semangat di dalam jiwa mereka, mencurahkan perasaan sukarela, keghairahan, keyakinan dan kebanggaan di dalam hati mereka.

Ketika itu Zaid ibn Thabit berada dalam kumpulan yang bertugas mengangkut tanah. Rasulullah s.a.w. telah memujinya, “Dia seorang belia yang amat bagus”. (Pada suatu hari) dia mengantuk dan terus tertidur di dalam parit. Udara ketika itu sangat dingin, lalu ‘Umarah mengambil senjatanya tanpa disedarinya. apabila dia tenjaga dia terkejut, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Wahai Abu Ruqad (pak tidur) Engkau tidur hingga senjata engkau hilang entah ke mana.” Kemudian beliau bertanya: “Siapa tahu di mana senjata anak muda ini? Jawab ‘Umarah, “Wahai Rasulullah s.a.w.! Senjatanya ada pada saya. Ujar beliau: “Pulangkan senjata itu kepadanya.”

Kemudian beliau melarang mereka supaya jangan menakut-nakutkan orang-orang Islam dan bergurau dengan mengambil barang-barang kepunyaan mereka.

Peristiwa ini menggambarkan betapa mata dan hati Rasululiah s.a.w. sentiasa waspada dan ingat kepada setiap orang yang ada di dalam barisan perjuangan sama ada muda atau tua, juga menggambarkan semangat gurau senda yang manis dan mesra (sebagaimana tersemat dalam kata-kata beliau kepada Zaid ibn Thabit): “Wahai Abu Ruqad! (pak tidur) Engkau tidur hingga senjata engkau hilang entah ke mana”. Pada akhirnya peristiwa ini juga menggambarkan keadaan suasana mesra, di mana kaum Muslimin hidup di bawah naungan Nabi mereka dalam masa yang amat genting itu.

Di samping itu semangat perjuangan Rasulullah s.a.w. sentiasa melihat kemenangan dari jauh hingga beliau nampak kemenangan itu di dalam cahaya-cahaya api yang tercetus dari batu-batu yang terkena hayunan cangkul, kemudian beliau ceritakannya kepada kaum Muslimin untuk membangkitkan keyakinan dan kepercayaan di dalam hati mereka.

Ujar Ibn Ishaq: Aku telah diceritakan dari Salman al-Farisi katanya “Aku sedang mencangkul di suatu sudut parit itu, tiba-tiba satu batu yang keras menyusahkan cangkulku. Rasulullah s.a.w. berada berhampiran denganku. Apabila beliau melihat aku mencangkul dan melihat tempat itu amat keras dan sukar kepada aku, beliau pun turun dan mengambil cangkul dari tanganku lalu beliau cangkulkan tempat itu dengan cangkulan yang kuat hingga terpercik cahaya api, kemudian beliau mencangkul sekali lagi dan cahaya api terpercik pula sekali lagi.

Kemudian beliau mencangkul bagi kali yang ketiga dan sekali pula cahaya api itu terpercik”. Ujar Salman: Aku pun berkata: “Demi ayah bondaku, apakah cahaya yang aku nampak terpancar ketika anda mencangkul itu. Sabda beliau “Engkau nampak cahaya itu, wahai Salman?” Jawab dia, “Ya, saya nampak”. Sabda beliau: “Cahaya api pertama itu mengalamat bahawa Allah akan memberi kemenangan kepadaku mena’luk negeri Yaman, cahaya yang kedua pula mengalamatkan bahawa Allah akan memberi kemenangan kepada aku mena’luk negeri Syam dan negeri sebelah Barat dan cahaya yang ketiga mengalamatkan bahawa Allah akan memberi kemenangan kepada aku mena’luk negeri sebelah Timur”.

Tersebut di dalam kitab “ إمتاع الأسماع ” karangan al-Maqrizi bahawa peristiwa ini adalah berlaku kepada ‘Umar ibn al-Khattab dengan disaksikan oleh Salman al-Farisi r.a.

Pada hari ini dapatlah kita gambarkan betapa hebatnya pengaruh kata- kata beliau itu di dalam hati kaum Muslimin yang sedang dikepung oleh serangan musuh itu.

Di samping cerita-cerita Rasulullah s.a.w. yang gemilang itu dapatlah pula kita tokokkan dengan cerita Huzayfah yang pulang dari tugas meninjau keadaan bala tentera gabungan. Dia sedang dalam keadaan yang amat sangat sejuk, sedangkan Rasulullah s.a.w. ketika tu sedang mendirikan solat dengan berselimutkan kain lepas panjang salah seorang isterinya. Tetapi walaupun beliau sedang bersembahyang dan berhubung dengan Allah, namun beliau tidak membiarkan Huzayfah menggelentar kesejukan hingga beliau selesai sembahyang, malah beliau menarik Huzayfah di antara dua kakinya dan campakkan hujung kain lepas itu kepada Huzayfah supaya dia berselimut dengannya sementara beliau meneruskan sembahyangnya hingga selesai, lalu Huzayfah pun menyampaikan berita (pergerakan angkatan musuh) itu kepada beliau. Di menyampaikan berita gembira itu kepada beliau yang telah pun mengetahui berita itu dengan hatinya. Kemudian beliau mengirim Huzayfah untuk menghebohkan berita ini kepada kaum Muslimin,

Cerita-cerita mengenai keberanian Rasulullah s.a.w., ketabahan dan kecekalan beliau dalam menghadapi keadaan yang ganas itu adalah jelas di sepanjang kisah peperangan itu. Kita tidak perlu lagi menyalinkan ceritacerita itu di sini kerana ia sangat masyhur.

Amatlah tepat firman Allah S.W.T.:

21. “Sesungguhnya pada akhlak Rasulullah itu terdapat contoh teladan yang baik bagi kamu, iaitu bagi mereka yang mengharapkan keredhaan Allah dan keselamatan pada Hari Akhirat dan banyak mengingati Allah.


There was an error in this gadget