Wednesday, July 27, 2011

Annas..

Jujurnya kenikmatan itu dapat dirasai oleh mereka yang berada di atas jalan dakwah dan tarbiah. Nikmat yang paling berharga adalah ketika Allah memberi peluang memahami kalamNya. Menitis air mata saat Allah memberi kefahaman yang sangat mendalam. Dan Quran itu sememangnya menggerakkan hati.

Sudah hari ketiga kami berprogram bersama. Program masih belum tamat. Namun berada di sini, merasai udara-udara iman yang indah begitu menggelorakan hati.

Dan jujur hati ini sangat cemburu dengan ustaz kerana dia dapat mentadabbur sebegitu rupa. Kami ambil masa sehari untuk tadabbur surah Annas sahaja. Kami belajar asas dakwah dan tarbiah dari surah Annas. Serasanya memang saya tidak sempat untuk menulis keseluruhan bahan yang disampaikan. Cuma beberapa poin yang saya rasakan begitu menyentuh hati saya.

Kenapa surah Annas diletakkan sebagai surah terakhir? Sebab surah Annas ini adalah penutup, kesimpulan AlQuran itu sendiri, merangkumi perkara yang sangat-sangat penting.

Saat ustaz huraikan Allah sebagai Malik - Allah sebagai raja, hati ini begitu tersentak. Bila kita sebut raja, pasti seorang raja memiliki rakyat di bawahnya, ada perlembagaan yang diasaskannya dan juga tanah jajahannya.

Cuba kita tanya diri kita sendiri. Adakah hak-hak Allah sebagai raja telah dipenuhi? Apa yang telah berlaku pada tanah jajahan Allah? Apa berlaku pada rakyat Allah? Adakah perlembagaan Allah telah dijalankan? Begitu dahsyat rakyat Allah memperlakukan Allah. Mereka telah menggulingkan Allah dari takhta kekuasaanNya!

Pernah tak kita rasa semua itu? Bukankah kita khalifah Allah? Bukankah kita yang sepatutnya menjadi wakil Allah di atas muka bumi ini? Adakah kita telah meletakkan Allah di tempat yang sepatutnya? Adakah kita sememangnya rakyat Allah? Apa kewarganegaraan kita? Cukup setakat cakap kita ini rakyat Malaysia? Di atas jalan dakwah dan tarbiah, kita tidak disempitkan dengan ideologi dan tanah jajahan yang sempit itu. Seluruh muka bumi ini adalah milik Allah dan rakyat Allah perlu memakmurkannya.

Tanggungjawab siapa semua ini? Tanggungjawab kita untuk mengembalikan semula hak-hak Allah.

Saat Allah mengatakan dia menciptakan kita sebagai sebaik-baik kejadian. Saat dia mengungkapkan bahawa saat Dia mencipta, dia hanya mencipta untuk kita, apa yang telah kita lakukan?

Jom tadabbur satu ayat – surah Baqarah ayat 29.
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (2:29)
Kalau kita belajar bahasa arab, dalam satu ayat akan ada fa’el (pembuat), fe’el (perbuatan) dan juga maf’ulum bih (yang kena buat). Misalnya, Ali bermain bola. Ali adalah fa’el (pembuat), bermain adalah fe’el (perbuatan) dan bola ialah maf’ulum bih (yang kena buat).

Bila Allah cerita ayat ini, Allah kata – Aku menciptakan segala yang ada di bumi untuk kamu. Huwallazi khalaqa lakum mafil ardhi – kalau terjemah direct bahasa Arab – Dia yang menciptakan untuk kamu segalanya yang ada di bumi. Kiranya – pembuat dalam ayat ini adalah Allah. Apa fe’el dia? Apa perbuatannya? Perbuatan dalam ayat ini adalah mencipta. Apa yang dia cipta? Apa maf’ulum bih dalam ayat ini? Segala yang ada di bumi. Tapi tiba-tiba di dalam ayat ini, di tengah-tengah ayat ada perkataan lakum – untuk kamu. Allah mendahulukukan lakum sebelum maf’ulum bih.

Kalau kamu nak belikan hadiah untuk seorang teman, apa yang kamu lakukan terlebih dahulu? Kamu beli hadiah dulu, baru cari orangnya. Atau kamu dah pasti siapa orangnya, baru beli hadiah? Mesti kamu dah pasti dulu siapa orangnya kan? Sebabnya kamu pastikan hadiah itu begitu istimewa untuk dirinya kan?

Begitulah Allah. Dia pastikan segala ciptaannya begitu istimewa untuk manusia. Dia mendahulukan lakum – untuk kamu, untuk kita!
Misalnya Allah telah menyediakan bumi berjuta tahun sebelum kita dijadikan. Maha hebat Allah!

Cuba fikirkan mengenai kejadian petroleum. Saintis sendiri mengatakan bahawa pembentukan petroleum mengambil masa berjuta tahun. Petroleum dijadikan dari daun, pokok dan bahan lain. Semua itu mengambil masa berjuta tahun lamanya. Kalau ikut sejarah nabi Adam dengan masa kini, semuanya itu mengambil masa dalam 10000 tahun sahaja. Firaun berapa ribu tahun? Mengikut pakar arkeologi adalah 2000-3000 tahun. Maksudnya Nabi Musa sehingga Nabi Adam dalam 10 000 tahun sahaja. 10 000 tahun belum cukup untuk menghasilkan petroleum. Itulah buktinya bahawa Allah menciptakan bumi ini berjuta tahun sebelum kejadian manusia. Bukankah proses penciptaan Nabi Adam sendiri dari tanah yang diambil di bumi? Cuba fikirkan seketika. Jin iblis pun sudah tinggal di bumi lama sebelum kita. Pernah tidak jin iblis menggunakan petroleum? Tidak pernah kan? Hanya manusia yang datang selepas berjuta tahun sahaja yang menggunakannya. Itulah gambaran betapa alam ini dijadikan semata-mata untuk manusia dan agar manusia menggunakannya sebagai alat untuk berubudiah kepada Allah.

Di atas semua keistimewaan yang Allah berikan, di atas segala nikmat cintaNya yang kita kecapi, Allah sebagai Rabb yang menciptakan segalanya untuk kita, tidak inginkah kita untuk menjadi hamba yang bersyukur? Tidak terlintaskah di hati kita untuk meletakkan Allah di takhtaNya semula? Lantas bergeraklah, teruslah bergerak membawa manusia…

Tuesday, July 19, 2011

Menghindari...

Banyak yang terjadi dalam beberapa hari ini. Minggu lepas, saya sempat menghadiri Wacana Tarbawi Tarbiah Ikhwan Muslimin dan Peranannya Dalam Membangunkan Masyarakat yang disampaikan oleh Sheikh Jum’ah Amin.

Semalam baru pulang dari Acheh setelah 4 hari di sana mengikuti Bakti Ikhlas Siswazah Acheh 2011. Pena terlalu ingin menarikan rentaknya, melukiskan hikmah-hikmah yang saya kutip untuk dikongsikan dalam kanvas maya peribadi ini.

Namun segala yang terjadi hari ini ternyata lebih menyengat diri untuk menulis. Allah menguji dalam menghadapi mad’u di bumi ini. Bertahun-tahun menulis, tulisan saya kepadanya disalah erti. Masih ramai rupanya yang belum mampu memahami bahasa-bahasa saya sehingga makna tulisan mampu berubah tiga ratus enam puluh darjah.

Dakwah, pasti ada cubaan. Saya kelelahan menghadapi remaja belasan tahun yang seorang ini. Itulah dakwah. Saya masih belajar. Belajar menghadapi hari-hari baru. Belajar dari kesilapan sendiri. Kita pasti tersilap apabila melakukan sesuatu. Saat kita tidak pernah tersilap, pasti kita tidak pernah melakukan sesuatu.

Dan percaturan pertama itu ternyata menguji. Moga Allah terus menuntuni. Semasa di Acheh tempoh hari, saya membeli satu lagi buku tulisan Salim A. Fillah yang bertajuk Dalam Dekapan Ukhwah. Dan ada satu hadis yang begitu terkesan buat diri ini.

Dalam dekapan ukhwah, ada pilihan untuk meraih rumah di surga dengan menghindarinya. “Aku menjaminkan sebuah rumah di tengah-tengah surga”, kata Sang Nabi dalam riwayat Abu Daud, “Untuk orang-orang yang menahan diri dari debat, meski dia benar”. – Dalam Dekapan Ukhwah


Dan hari ini saya belajar menghindari. Moga Allah menuntuni saya dan dia.

Monday, July 04, 2011

Rahmat...

Ukhti bercerita. Pernah dalam usrahnya, terdapat seorang ukhti yang bermasalah. Tidak mahu bergerak, tidak mahu membina. Dia hanya mahu menumpang gerabak dakwah ini. Lantas mereka memberitahu naqibah mereka. Kata si naqibah, "Serahkan hal itu pada Allah. Biar Allah mengadilinya".

Tidak lama selepas itu, ukhti yang bermasalah itu pun gugur dari jalan dakwah. Dia sendiri yang menjauh, tidak mahu lagi memikul beban dakwah ini.

Ukhti yang menceritakan kisah tersebut bertanya, "Apa pandangan antunna terhadap kisah ini? Adakah ia hanya sebuah kisah? Adakah ini cuma tentang ukhti yang bermasalah tersebut? Tidak sama sekali. Persoalannya adalah bagaimana seandainya kitalah ukhti tersebut dan Allah menapis kita dari jalan ini. Bagaimana ukhti? Setiap hari yang kita lalui di atas jalan dakwah dan tarbiah hanyalah kerana rahmat Allah. Beradanya kita di atas jalan ini hanyalah kerana pilihan dan rahmat Allah. Ia bukan sekali-kali pilihan kita. Hanya kerana ALLAH, kita masih di sini!".

"Lantas ukhti, kita perlu sentiasa berdoa agar secorot mana pun kita, Allah masih ingin memilih kita di jalan ini. Dan kita perlulah membuat kerja dakwah ini dengan bersungguh-sungguh agar melayakkan kita untuk terus berada di jalan ini!".

Sayunya...

Kayu ukur...

Aku memang mengkagumi akhawat. Malah aku bersyukur ditakdirkan untuk berada di bumi ini. Hati terasa basah dengan segalanya. Himmah pun menguat. Seakan-akan tak sabar untuk terus bergerak. Banyak yang aku pelajari dalam hari-hariku di sini.

Sungguh aku kagum dengan mereka yang bergerak di jalan ini. Kata seorang ukhti, "Kita harus melihat anak-anak binaan kita seperti Solahuddin Al Ayyubi, Sultan Muhammad Fateh dan lainnya. Kita melihat Solahuddin Al Ayyubi, Sultan Muhammad Fateh dan lainnya berlari-lari ke arah kita. Kita ingin lahirkan insan-insan yang apabila mereka faham, mereka akan menjadi seperti generasi terdahulu. Kerana cita-cita kita begitu tinggi. Kita mahu mencapai ustaziatul alam."

Masya Allah! Sungguh aku malu melihat mereka. Terlalu tinggi kayu ukur yang diletakkan oleh mereka. Pernah kita berfikiran sebegitu?
There was an error in this gadget