Sunday, April 24, 2011

Zulzilu...

Sebagai pelajar, terkadang beban akademik itu begitu menyesakkan jiwa kita. Saya tidak menafikannya. Teringat 2 minggu yang lalu, saya tertekan yang amat. Saat itu minggu terakhir posting surgery. Dan saya masih belum present case kedua untuk patient management round. Perkara itu amat penting memandangkan sebahagian markah posting diambil dari presentation itu. Ada sahaja masalahnya. Pensyarah tidak hadir, pesakit turun ke bilik bedah dan macam-macam lagi yang membuatkan saya tidak dapat present case sehingga saat terakhir. Jujur saya sangat tertekan. Akhirnya dapat juga present. Namun laluannya tersangat sukar.

Minggu tersebut adalah minggu yang menyedihkan bagi saya. Tertekan juga dengan kata-kata manusia yang sedikit pun tidak pernah memahami. Mereka tidak akan memahami kehidupan kita. Tidak akan sesekali.

Semasa dalam tekanan tersebut, saya ajukan pada Allah. “Ya Allah, kenapa Kau tidak membantuku setelah aku cuba dengan segala kelemahanku untuk membantu agamaMu. Mengapa ya rabb pertolonganMu tidak kunjung tiba?”. Sangat sedih saat itu.

Dan begitulah Allah ingin mengajar kita. Tarbiah dengan peristiwa lebih terkesan di hati kita.
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan dan serangan penyakit, serta digoncangkan, sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat. (2:214)


Ada 3 perkataan yang Allah gunakan dalam ayat itu. Baksa', Dharra’ dan Zulzilu. Kamu tahu bila akan datangnya pertolongan Allah? Bila kita telah tiba sehingga tahap Zulzilu di dalam dakwah ini. Zulzilu adalah goncangan yang sangat dahsyat. Macam Surah Zalzalah. Kiamat yang mana goncangannya sangat dahsyat. Pernah tak dalam dakwah ini kita diuji sehingga tahap Zulzilu? Tepuk dada, tanya iman.

Bila ye ayat ini turun? Ayat ini turun selepas peristiwa di Taif. Kalau kita baca seerah sama macam kita baca ketika di sekolah dulu, sangat kuranglah penghayatan kita terhadap ayat ini. Bacalah dari kaca mata insan yang ditarbiah. Bukalah buku seerah. Hayati setiap mehnah yang Rasulullah SAW hadapi. Tak tertanggung rasanya. Sehingga segalanya suram di Mekah, tiada apa lagi yang boleh dilakukan. Lantas sang rasul berjalan ke Taif. Dan di Taif, baginda menerima penghinaan yang lebih teruk, dibaling dengan batu sehingga berdarah. Di Mekah tiada siapa yang mahu menerima, di Taif juga baginda ditolak.

Lantas turunlah ayat ini merawat luka sang rasul. Sehingga ayat ini membuka ufuk baru pada dakwah, berlakulah hijrah ke Madinah dan seterusnya Islam ini agung seagungnya.

Sesungguhnya mehnah yang kita lalui di jalan dakwah, banyaknya Baksa' dan Dharra’ sahaja. Belum lagi Zulzilu. Zulzilu ini sangat dahsyat, sehingga ayat mata nasrullah itu spontan terlantun. Dan spontan juga jawapan sang rasul, bahawa pertolongan Allah itu sangat dekat.

Ingat kisah Khabbab? Dia disalai sehingga lemaknya menitis dan memadamkan api yang menyalainya. Dia jumpa Rasulullah. “Wahai Rasulullah! tidakkah Anda memohonkan pertolongan bagi kami?”, Khabbab bertanya. Rasulullah duduk, raut mukanya memerah seraya bersabda: “Dahulu sebelum kalian, ada orang disiksa dengan dikubur hidup-hidup. Ada yang kepalanya digergaji menjadi dua bagian. Ada pula yang kepalanya disisir dengan sikat besi hingga kulit kepalanya terkelupas. Tetapi siksaan-siksaan itu tidak memalingkan mereka dari agamanya. Demi Allah, Allah pasti akan mengakhiri persoalan ini, sehingga orang berani berjalan dari Shan’a ke Hadramaut tanpa rasa takut kepada siapa pun selain Allah, walaupun srigala ada di antara hewan gembalaannya, tetapi kalian tampak terburu-buru.”

Hatta apa yang dilalui oleh Khabbab adalah Baksa’ dan Dharra’ sahaja. Apatah lagi nak dibandingkan dengan perjuangan kita yang terlalulah sedikit.

Teringat lagi kisah dalam buku Detik-detik Hidupku karangan Assyahid Imam Hassan Al Banna:

"Saya pun membuka ke muka surat-muka surat yang disebutkannya dan mula mengulangkaji. Kemudian saya terkejut jaga. Saya sangat gembira. Pagi esoknya saya menduduki ujian. Saya dapati kebanyakan soalan datang dari muka surat-muka surat yang saya baca di dalam mimpi tersebut. Ini semua adalah rahmat Allah. Allah telah memberi rahmat istimewa kepada saya. Mimpi yang benar adalah sumber maklumat kepada seorang Mukmin. Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam".

Hebat kan kisah itu? Saat mentadabbur kisah ini sekali lagi, saya rasakan Allah membantu Assyahid kerana perjuangannya telah sampai ke Zulzilu. Ingat lagi dulu Prof cerita, kat celah-celah bukit dan gunung di Mesir zaman itu, orang kenal Assyahid. Begitulah dakwah Assyahid. Dan amatlah berpatutan pertolongan itu tiba buat Assyahid.

Kita? Masih jauh lagi kan? Setakat buat kerja sedikit, tapi mengharapkan pertolongan yang sangat besar.

Mana lagi Allah sebut kalimah Zulzilu? Dalam kisah perang Ahzab, di dalam Surah Ahzab.
Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat. (33:11)


Pernah baca kisah perang Ahzab (Khandaq)? Tahu pengkhianatan ketiga-tiga kelompok Yahudi di Madinah? Insya Allah, penghayatan terhadap seerah tersebut akan membuatkan kita memahami ayat Allah tersebut. Dan gambaran ketakutan sahabat itu Allah rakamkan dalam ayat sebelumnya.
Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. (33:10)


Bilangan tentera yang perlu sahabat lalui adalah terlalu menakutkan. Dalam Raheeq Makhtum diceritakan, “Jumlah tersebut mungkin lebih banyak dibandingkan dengan jumlah orang-orang Madinah, baik wanita, anak-anak, pemuda dan orang tua. Seandainya pasukan bersekutu itu mendatangi perbatasan Madinah secara mendadak, tentu akan sangat membahayakan dan mengancam kewujudan kaum Muslimin. Bahkan boleh jadi mereka mampu membinasakan kaum Muslimin hingga ke akar-akarnya”.

Musuh yang mereka hadapi adalah dari dalam dan juga luar. Dari atas dan juga bawah. Allah rakamkan ketakutan mereka dalam ayat 33:10. Wa balaghatil qulubul hanajir. Sehingga hati itu menyesak sampai ke kerongkong. Tidak dapat nak digambarkan palpitation para sahabat.
Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. (33:22)


Ayat 33:10-11 dan ayat 33:22 macam contradict kan? Sahabat yang melihat semua itu dengan ketakutan dan dalam ayat 33:22, itu menyebut semua itu menambah iman mereka.

Tafsiran Assyahid Syed Qutb best tentang ayat ini. Sahabat pun manusia juga. Tidak dapat lari dari rasa takut itu. Itu adalah luaran biasa bagi manusia. Namun jauh di dalam lubuk hati mereka, tertanam iman yang sangat mendalam.

Kenapa bila sahabat bila lihat tentera Ahzab yang sangat ramai itu, sahabat kata haza ma wa’adanallah. Inilah yang dijanjikan Allah.

Jawapannya sebab sahabat faham, andai telah tiba perjuangan sehingga kepada Zulzilu, maka pertolongan Allah akan tiba. Sahabat faham ayat 2:214 itu dengan sangat mendalam. Mereka yakin dengan janji Allah.

Teorinya kita dah faham. Namun adakah kita beriman dengan ayat ini? Mampu ke kita nak berjuang sehingga ke tahap Zulzilu? Moga Allah menancapkan lagi iman kita, menambah iman atas iman yang telah sedia ada sehingga tiada lagi keraguan dalam hati kita.

Doakan moga Allah mempermudahkan urusan saya yang sangat besar setelah ini. Doakan moga Allah perkuatkan langkah kaki saya dan mentakdirkan yang terbaik buat saya dalam tiap saat dan ketika.

Jzkk buat yang berkongsi mengenai tafsiran ayat ini. Saya amat-amat memerlukannya. Ayat ini datang dalam keadaan saya amat memerlukannya.

Tuesday, April 05, 2011

Ummuhu..

Semalam saya rasa down sangat belajar perubatan. Saya kena berada di hospital seawal 7.30 pagi, ada teaching di klinik, kemudian ada patient management round, kena siapkan patient management record. Dan keadaan di hospital lagilah haru biru. Kes-kes surgical di hospital ini sangatlah menyedihkan dan ramai pesakit terminal. Ada yang ada colostomy sebab kanser. Najis akan keluar di colostomy bag itu. Saya tengok doktor korek dengan tangan dia lubang colostomy itu. Tidak tahu apa dia buat.
Entahlah, kalau ada dulu sesiapa yang beritahu saya kalau buat perubatan, kena buat per rectal examination, atau kena examine scrotal, mesti saya tidak buat perubatan. Tidak sukanya saya dengan posting surgery. Rasa tak larat sangat.

Saat-saat down selalunya sahabat akrab saya adalah mak saya. Saya pun menelefonnya. Memang betul-betul down la masa itu.

Mak saya pun cakap kat saya, “Kerja itu kan mulia, Afeera. Syurga itu kan mahal. Tangan yang periksa, mata yang melihat, semua itu kan akan dapat syurga Allah.”.

Air mata pun menitis. Dzuq sangat nasihat itu sebab betul-betul tengah down. Lepas itu, barulah ada semangat. Dapatlah siapkan satu lagi mock patient record lepas itu.

Pengalaman itu mengajar saya tentang satu ayat Allah semalam.. Saat itu sedang menyediakan bahan untuk usrah adik-adik.
Bila baca ayat ini, teringat dua pengalaman saya sebelum ini. Pertamanya saat saya tidak dapat nak bernafas selepas pembedahan satu masa lalu. Saat itu, saya yakin sangat itulah saatnya pertemuan saya dengan Allah. Dan dalam keadaan yang sangat desperate itu, saya mencari-cari satu amalan yang boleh saya bawa untuk bertemu dengan Allah. Dan saat itu, saya tidak dapat mencarinya. Saya meminta saat itu diberikan peluang kedua. Dan Allah memberinya dengan hayat yang ada kini.

Pengalaman kedua adalah semasa saya kehilangan mock patient record saya. Saya begitu terdesak saat itu dan saya ingin bertawassul seperti 3 pemuda yang terperangkap di dalam gua. Dan bila setiap satu di antara pemuda tersebut menyebut kebaikan yang pernah dilakukan, batu yang menutup gua terbuka sedikit demi sedikit. Saya mahu bertawassul, mencari satu amal yang dengannya saya boleh bertawassul. Tapi tiada. Kosong. Saya kata kat Allah, “Ya Allah, aku tiada satu pun amalan untuk aku bertawassul padaMu”.

Apa kaitannya dengan ayat itu? Bila baca ayat itu, saya rasakan amalan kebaikan saya bukan ringan, tetapi kosong. Bukan kosong, tapi negative marking disebabkan dosa-dosa saya yang bertimbun. Menitis air mata.

Mesti kamu yang membaca entri ini tertanya-tanya, apa kaitan kisah mak saya tadi itu kan? Sebab ayat seterusnya memberikan saya sentakan yang sangat dalam sehingga saya sukar untuk tidur semalam.
Dapat bayangkan tak ayat ini? Dalam keadaan saya begitu terdesak di makhamah Allah, saat saya mencongak-congak amalan saya yang terlalulah teruk, dan saya tahu realiti dan hakikat bahawa saya tidak mungkin dikembalikan ke dunia, saat saya tahu bahawa tiada lagi peluang kedua…Allah memberitahu saya sesuatu…faummuhu hawiyah.. Dan ibu kau saat itu adalah hawiyah!!

Dapat bayangkan tak betapa kejamnya ayat ini. Kalau ada di dunia, ada ibu yang menenangkan hati kita saat kita down. Tapi ibu di akhirat saat kita sangat desperate, ibu kita adalah hawiyah. Wa ma adraka ma hiyah? Tahukah kau apakah Hawiyah itu? Itulah neraka yang sangat panas.

Saya kongsikan petikan tafsir fi zilalil quran yang menggerunkan tentang ayat Allah ini:

Makna asal “umm’ ialah ibu. Si ibu ialah tempat kembali mencari perlindungan, sedangkan ibu tempat kembali bagi orang-orang yang ringan timbangan amalannya untuk mencari perlindungan pada hari itu ialah neraka Hawiyah.

Biasanya pada ibulah terdapat keamanan dan ketenangan, tetapi malangnya orang-orang ini mendapat pada ibunya Neraka yang amat panas. Ini adalah suatu ungkapan yang menimbulkan rasa terkejut yang membayangkan hakikat yang kejam.


Surah AlQariah ini sangatlah mengerikan. Macam contohnya kita tengah duduk dan tiba-tiba ada orang ketuk meja dengan sangat kuat. Terkejut giler. Bila Allah sebut AlQariah, kata Assyahid Syed Qutb ianya dimulakan dengan sepatah kata yang seolah-olah seperti sebiji bom.

Ngeri kan surah ini?

Monday, April 04, 2011

Samira Halayka...


Kenal tak siapa wanita ini? Dia ialah Samira Halayka, anggota dewan legistelatif dari HAMAS.

Hebat kan? Malu kan sebab kita tak kenal pun tokoh-tokoh wanita yang sebegini hebat..

Jom baca artikel tulisannya..

Klik sini..

Wahai kalian orang-orang bebas di dunia ini, kasus ini terjadi terhadap suamiku dan ratusan orang sepertinya, kurang atau lebih, namun kalian tidur dan terlelap dalam hangatnya keluarga kalian dan fasilitas dunia yang lembut.

Bagaimana para pejuang itu tidak menangis di sel-sel badan keamanan yang dilanggar dan dilecehkan kehormatan manusia???

Bagaimana mereka bisa bersabar???

Wahai suamiku, bukan aib jika laki-laki dan pahlawan menangis. Yang aib adalah nurani yang dibunuh oleh nanah kebencian dan kedengkian serta memilih berpecah belah. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menangis dalam banyak kasus seperti dalam momen yang saya sebutkan, para sahabat dan para nabi pun menangis. "Ya Allah, balaslah orang menzhalimi dan menganiaya kami, jika Engkau tidak memberikan petunjuk kepada mereka ke jalan yang benar." Itulah kata-kata terakhir kami.
Peristiwa ini bukan dah lama berlaku, tapi baru sahaja berlaku. Masih peduli tentang Palestina?

Saturday, April 02, 2011

Fussilat...

Terkadang saya tidak suka manusia mengadili saya hanya berdasarkan blog. Tidak semua perkara yang saya lalui saya nukilkan di sini. Dan percayalah saya bukan sempurna. Saya cuma seorang manusia yang dianugerahi Allah dengan seribu satu kelemahan dan dengan kelemahan tersebut ianya menyedarkan saya akan hakikat bahawa saya seorang hamba.

Malam ini, sekali lagi saya mentadabburi Surah Fussilat. Surah yang bermain-main di fikiran sepanjang minggu ini kerana ujian yang menimpa beberapa hari lalu.

Hujung minggu lalu, saya habisi masa saya beberapa jam di hospital untuk menyiapkan Mock Patient Record (MPR) saya. Penat sangat. Sebolehnya mahu menyiapkannya secepat mungkitn agar ada masa untuk kerja-kerja yang lain dan supaya saya boleh bersedia untuk berdepan dengan peperiksaan yang akan hampir dalam masa beberapa minggu sahaja dari sekarang.

Allah mentakdirkan keesokan harinya MPR saya hilang. Dan saya mencarinya di hospital dalam keadaan berpuasa. Turun naik, bertawaf keliling hospital. Saya tanya pada teman-teman, makcik cleaner, jururawat dan juga doktor. Penat sangat. Dan terasa begitu penatlah belajar perubatan bila MPR itu hilang. Dan bertambah-tambah penatnya dalam keadaan diri yang berpuasa. Jauh sungguh nak dibandingkan diri ini dengan sahabat yang pergi berperang dalam keadaan berpuasa. Perasaan saat itu sukar nak diungkapkan. MPR itu tulisan tangan. Semuanya dalam tulisan tangan – laporan CT scan, FNAC, biopsy semuanya ditulis dengan tangan. Kalau hilang satu report, mungkin tidak kisah sangat. Tapi 4 report yang sudahpun siap.

Allah sahaja yang tahu perasaannya saat itu. Begitu berkecamuk.

{Dan, kamu menyangka kepada Allah dengan bermacam-macam prasangka. Di situlah diuji orang-orang mukmin dan digoncangkan hatinya dengan goncangan yang sangat.} (QS. Al-Ahzab: 10-11)


Balik hospital waktu maghrib. Disebabkan terlalu down, saya cancel usrah dengan adik-adik. Saya baca Quran cuma beberapa ayat, seolah-olah macam ‘merajuk’ dengan Quran. Seusai isya’, saya terus tidur. Bangun awal, berdoa agar ditemukan semula dengan MPR tersebut. Mulut terkumat kamit membaca ayatul kursi, agar ditemukan kembali barang yang hilang. Saya pergi awal ke hospital keesokan harinya. Mencari lagi. Tapi tidak jumpa. Dalam pukul 9 lebih, seorang teman membawakan MPR saya. Dia terambil MPR tersebut. Semalam saya sudah pun menanyakan dirinya tapi katanya tidak ambil. Entahlah, saya terkilan tapi lebih terkilan dengan diri sendiri.

Sebab sedih sangat dengan diri sendiri, saya pergi ke surau. Mentadabbur Quran. Ayat bacaan saya berhenti pada Surah Fussilat. Dan kena batang hidung satu-satu, sampaikan terasa seperti nak pecah dada saya saat itu.

Dan mereka berkata: "Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis … (41:5)


Terasa sangat hati ini dilitupi dosa yang bertimbun-timbun dan berlapis-lapis.. Nauzubillah..

Kemudian Ia menunjukkan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit sedang langit itu masih berupa asap; lalu Ia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Turutlah kamu berdua akan perintahKu, sama ada dengan sukarela atau dengan paksa!" Keduanya menjawab: "Kami berdua sedia menurut - patuh dengan sukarela" (41: 11)

Kat surau itu ada tingkap dan dapat melihat langit. Terasa malu sangat kat langit. Sebab langit itu begitu patuh dengan Allah dalam keadaan sukarela. Jauhnya terasa diri ini dengan langit Allah itu. Malu sangat..

"Dan sangkaan kamu yang demikian, yang kamu sangka terhadap Tuhan kamu, itulah yang telah membinasakan kamu; (dengan sangkaan kamu yang salah itu) maka menjadilah kamu dari orang-orang yang rugi!" (41:23)


Dalam ayat ini Allah gunakan kalimah dzon (sangkaan). Allah, hancur luluh hati saat membaca ayat tersebut. Sukarnya hati ini untuk redha dan tidak dzon saat diuji. Maksiat hati ini hanya kita dengan Allah sahaja yang tahu. Malu sangat dengan Allah. Terasa diri ini rugi sangat.

Oleh itu, sama ada mereka bersabar menderita azab atau sebaliknya (maka sama sahaja) kerana nerakalah tempat tinggal mereka; dan jika mereka memohon peluang untuk mendapat keredaan Allah, maka mereka bukanlah lagi dari orang-orang yang diterima permohonannya. (41:24)


Saya tidak boleh nak teruskan lagi bacaan saya setelah ayat ini pada hari tersebut. Allah gunakan kalimah yasbiru – bersabar. Bersabar dalam derita di neraka. Nauzubillah. Seolah-olah saat itu, saya rasakan perasaannya seolah-olah Quran berbicara dengan saya – “Kau tidak mampu bersabar kan? Sabarlah kau nanti di neraka Allah!”.

Sedih sangattttt…….

Hari ini saya mentadabbur lagi. Teringat keadaan diri sendiri yang sama seperti yang diungkapkan oleh AlQuran.

Manusia tidak jemu-jemu memohon kebaikan. Dan kalau ia ditimpa kesusahan maka menjadilah ia seorang yang sangat berputus asa, lagi sangat nyata kesan putus harapnya (dari rahmat pertolongan Allah). (41:49)

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar. (41:51)


Saya rasa malu sangat membaca ayat-ayat Allah ini. Terkadang disebabkan dosa yang kita lakukan, kita rasa malu sangat nak melangkah terus dalam dakwah dan tarbiah. Terlalu malu. Dan terkadang kita rasa seakan tidak mahu meneruskan kehidupan kerana dosa-dosa kita. Entahlah, tapi kerana harapan pada Allah kita terus melangkah.

Allah berfirman: Katakanlah: Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas akan dirinya (berbuat dosa), janganlah kalian berputus asa dari rahmat Allah, sesunggunya Allah mengampuni dosa seluruhnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Az-Zumar : 53)


Ayat tersebut adalah ayat yang paling disukai oleh Rasulullah SAW. Moga-moga Allah mengampuni dosa hambaNya ini.

Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya, engkau melihat bumi kosong sepi (dalam keadaan kering dan tandus), maka apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya serta suburlah tanamannya. Sesungguhnya Allah yang menghidupkannya sudah tentu berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati; sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (41:39)

Ayat dalam surah Fussilat ini benar-benar menyentuh hati sang pendosa seperti saya. Saya mohon andai satu masa bumi hati saya menjadi kering dan tandus, Allah tidak mebiarkannya. Biarlah saya disiram hujan hidayah dan dengannya saya dapat bergerak di dalam dakwah dan tarbiah dengan lebih subur lagi. Sungguh Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Sinar...

Saya sukakan kisah-kisah manusia. Dan barangkali itulah asbabnya saya belajar di dalam bidang perubatan. Manusia adalah subjek yang begitu indah untuk diterokai.

Saya tidak membaca buku-buku Harry Potter, cuma pernah mengikuti filemnya. Jalan ceritanya sungguh kreatif. Dalam temubual JK Rowling bersama Oprah, saya dapat memahami jalan cerita Harry Potter dengan lebih baik lagi. Perjalanan Harry Potter terkadang menyedihkan kerana beliau berulang kali diuji dengan kehilangan orang-orang yang disayanginya.

Dalam temubualnya bersama Oprah, saya belajar banyak perkara. Sifat qanaah yang ada dalam dirinya sungguh mengkagumkan. Dan benar juga penjelasannya mengenai clinical depression kerana saya pernah melaluinya suatu ketika dahulu. Dia tidak membesarkan kejayaan tapi belajar dari hakikat kegagalan.

Hikmah adalah harta yang hilang dari mukmin, dan memang benar terkadang terlalu banyak hikmahnya yang kita temui dalam kehidupan insan yang diciptakan Allah. Dan saya temuinya dalam temubual tersebut.

Rowling: At least half of Harry’s journey is a journey to deal with death in its many forms, what it does to the living, what it means to die, what survives death – it’s there in every single volume of the books.


Bukan itu ke hakikat kehidupan kita? Persiapan menghadapi mati..

Winfrey: In Harry Potter’s world, the Dementors are dark creatures who feed-off human happiness causing depression and despair to those in their path. Dementors are capable of consuming a person’s soul.

Winfrey: Would it be fair to say that you’ve used, in the seventeen year process, writing the Potter series, that you’ve used the good, the bad and the ugly of your life?

Rowling: Yeah. Definitely. Definitely.

Winfrey: And expressed it through your writing through the Potter stories?

Rowling: Yeah. For sure. Depression is – Clinical depression is a – is a – is a terrible place to be. Terrible place to be.

Winfrey: So you became depressed after your mother died?

Rowling: Yes, but I think it was a kind of delayed – I think I had tendencies toward depression from quite young. It became really acute when I was sort of twenty-five to twenty-eight was a dark time. It’s that absence of feeling – and it’s even the absence of hope that you can feel better. And it’s so difficult to describe to someone who’s never been there because it’s not sadness. Sadness is – I know sadness – sadness is not a bad thing. You know? To cry and to feel. But it’s that cold absence of feeling – that really hollowed-out feeling. That’s what the Dementors are. And it was because of my daughter that I went and got help.


Perkara yang paling saya kagumi tentang dirinya adalah mengenai bukunya itu. Kebanyakan penerbit menolak bukunya. Tidak kurang dari 9 penerbit yang menolaknya. Dapat bayangkan tak? Kalau ada seorang pun yang menolak buku kita, mesti kita akan kecewa kan? Rasa macam teruk sangatlah kan buku kita itu? Tapi tidak bagi dirinya..

Dan takdir Allah dalam hidupnya, setelah sembilan kali bukunya ditolak, barulah ada seorang penerbit buku yang sudi menerbitkannya. Dan takdir hidupnya terus berubah setelah itu.

Dan terkadang kita terlalu mudah berputus asa kan? Teringat lagi Aiman beritahu saya sesuatu. Kalau kita tidak dapat anak, dan telah bertemu 100 doktor, adakah itu adalah takdir kita? Tidak. Kenapa kita tidak jumpa yang ke 101 kan? Hidup adalah satu perjalanan dan kita tidak boleh berputus asa sebaliknya terus bangkit walau apa jua yang terjadi.

Bangkit dan terus bangkit. Ada sinar pelangi yang terus menanti. Walau bukan di dunia, pasti ada di syurga.

Link temubual - Klik sini.

Tercalarkah rindu?

Terlalu lama kita tidak berbicara mengenai Palestina. Tercalarkah rindu pada bumi anbiya’ itu? Masih tersisa air mata tangisan mengingati bumi isra’ dan mikraj itu? Sudah diutus kiriman-kiriman doa? Sungguh seringkali kesatan mengkhatankan keinsafan.

Kelmarin mendengar bicara Prof mengenai bumi itu. Ternyata bicaranya mengingatkan rindu dan cinta yang mungkin sudah suam-suam kuku.

Kisah dari bibirnya diceritakan oleh seorang akh yang bersama mengikuti rombongan Viva Palestina. Kata akh tersebut, semasa mengikuti Viva Palestina, ada di kalangan peserta rombongan merupakan mereka yang beragama Kristian. Mereka ini mengorbankan segala duit dan harta mereka untuk menjejaki bumi tersebut, mahu bertemu dengan saudara-saudara kita di bumi Palestina, mahu mengatakan bahawa mereka bersama dengan perjuangan para mujahidin Palestina. Perginya mereka dengan menghabiskan harta-harta mereka. Dan seandainya mahu kembali ke bumi Eropah, tempat asal mereka, mereka harus bekerja semula, mencari pendapatan untuk menampung duit tiket. Tapi itu bukan persoalannya bagi mereka. Paling penting, hajat mereka tertunai. Hajat untuk bersama dengan perjuangan membela Palestina.

Kata Prof, Islam ini pasti menang. Allah pasti akan memenangkan agamanya hatta di tangan seorang kuffar sekalipun. Dan sungguh malang seandainya kita tidak bersama dengan perjuangan ini. Sungguh memalukan perjuangan kita dibandingkan dengan mereka yang bukan Islam itu.

Semalam Prof ceritakan kisah mengenai seorang ayah seorang pensyarah mikrobiologi di sini. Pensyarah tersebut dari bumi Palestina, sedang membuat PHD juga. Dia mahu cepat-cepat menamatkan PHDnya, mahu segera ke bumi anbiya’ tersebut. Kelulusan minima untuk mengajar di sana adalah PHD. Satu hari ayahnya datang ke bumi Malaysia dan berada 3 bulan di Malaysia. Prof juga sempat bertemu dengan ayahnya. Kamu tahu apa bicara ayahnya? Dia mahu segera kembali ke bumi Palestina. Menurutnya, Palestina adalah syurga. Pelik kan? Hidup dalam dentuman dan bedilan bom adalah syurga. Tahu kenapa ianya adalah syurga? Kerana ayahnya adalah pemegang kunci surau di sana. Kerjanya seawal hening pagi adalah membuka pintu surau. Dan dia tidak dapat membuatnya di Malaysia. Hebat kan mereka? Kepahitan adalah madu. Dan ternyata memang benarlah hadis nabi seperti yang disebut dalam nasyid yang sungguh membangkitkan semangat ini…

Palestina ternyata mengajar kita banyak perkara kan? Mengajar kita bahawa perjuangan kita masih jauh, masih terlalu kecil dibandingkan mereka. Ya rabb, berikan kami kekuatan yang sama dengan mereka yang disana…
There was an error in this gadget