Saturday, January 29, 2011

Tendon hammer...

Banyak benda yang berlaku. Semuanya meninggalkan kesan dalam kehidupan saya. Saya tuliskan secara ringkas sahaja pengalaman tersebut kerana kesuntukan masa yang ada.

Stroke

Saya jumpa ramai pesakit stroke di hospital. Kesian sangat. Lebih menyayat hati sebab anak-anak tidak mahu menjaga ibu bapa mereka. Ada seorang pakcik itu, anaknya nak hantar ke nursing home. Saya terdengar bicara si isteri dengan jururawat. Seolah-olah memang si anak tidak dapat diharapkan sama sekali.

Sedih sangat. Saat itu saya berdoa, “Ya Allah, cabutlah nyawaku seandainya kehidupanku yang lebih lama di dunia ini menyebabkan aku melakukan kederhakaan terhadap kedua ibu bapaku..”.

Saya pernah menulis entri mengenai ibu bapa suatu ketika dulu. Moga bermanfaat.

Muwasofat tarbiah

Saat naqibah saya menerangkan tentang muwasofat tarbiah yang perlu ada dalam diri saya, saya tidak memberi fokus yang sepenuhnya. Satu perkara telah terjadi yang memahamkan saya dengan perihal muwasofat.

Seorang ukhti menceritakan saya kehidupannya. Dia akan berwalimah dengan seorang akh yang merupakan pelajar tajaan Petronas. Tapi Petronas tidak mengizinkan mereka berwalimah. Kata ukhti tersebut, dia rasa tenang kerana salah satu muwasofat yang perlu ada adalah tidak bimbang terhadap masa depannya. Entahlah, saat dia berbicara sebegitu, saya rasa kacang goreng sahaja muwasofat itu sehinggalah saya diuji sejauh mana kefahaman saya pula terhadap muwasofat tersebut.
Semalam pagi di hospital, tendon hammer saya hilang. RM25 harga tendon hammer tersebut. Murah je barangkali untuk sesetengah orang. Tapi keperluan saya yang lain amatlah menuntut duit sehinggalah saya merasakan RM25 adalah besar. Merata-rata saya mencari tendon hammer tersebut tapi tidak jumpa. Bila saya kembali ke meja saya semula, Patient Management Record saya pula tiada. Ya Allah, stress sangat masa itu. Pukul 10 lebih, Prof akan sampai. Matilah saya. Semua data pesakit saya ada dalam kertas tersebut.

Takut sangat saat itu. Saya takut sangat Prof marah. Saya pernah dimarahi oleh seorang doktor wanita di hadapan kelas atas kesalahan yang tidak saya sengajakan. Pengalaman tersebut meninggalkan bekas yang mendalam. Saya trauma. Saya tidak mahu pengalaman pahit itu berulang. Saya mencari kertas tersebut di mana-mana namun tidak berjumpa. Penat sangat jalan masa itu.

Menangislah saya semasa solat Dhuha. Rasa takut yang amat. Keduanya, saya tidak larat nak buat report itu lagi sekali. Banyak lagi kerja saya dan nak mengulang tulis semua itu adalah sesuatu yang sangatlah berat.

Akhirnya Prof sampai dan saya masih tidak menjumpai kertas itu. Air mata dah penuh. Memang takut sangat masa itu.

Tapi Prof tidak buat ward round hari itu. Dan Prof hanya tanyakan ada siapa-siapa yang nak volunteer present case atau tidak. Memang pelik sebenarnya bila Prof tak buat ward round, tapi begitulah pertolongan Allah. Ya Allah, saya rasa bersyukur sangat itu. Saya beristighfar dengan sebanyaknya saat itu dan Allah telah membantu saya.

Seusai kelas, saya mencari lagi tendon hammer dan Patient Management Record saya. Saya jumpa tip dia di atas meja makan pesakit dan plastic handlenya di dalam tong sampah. Alhamdulillah jumpa. Patient Management Record saya pula dijumpai di atas rak pesakit. Huhu… Alhamdulillah ..Berulang kali saya jalan di tempat tersebut sebelum Prof tiba, tapi tidak jumpa. Seandainya Allah hendak menguji hambaNya, tiada siapa yang dapat menghalangnya meskipun dengan sebatang kayu dan helaian kertas yang tidak bernyawa.

Tapi pengalaman itu meninggalkan kesan di dalam hati saya. Belum cukup lagi diri ini ditarbiah. Kita masih takut dengan perkara yang mendatang sebenarnya. Ujian yang simple tapi cukup menguji perasaan saya, sejauh mana saya bersangka baik dengan Allah. Dan belum 100% lagi pergantungan saya pada Allah. Saya masih bergantung pada helaian kertas tersebut. Saya rasakan saya tidak mampu present case tanpa helaian kertas tersebut. Halus perasaan tersebut dan aku tewas di hadapanMu ya rabb.

Ampunkan hambaMu ya Rabb, sungguh aku lemah tidak berdaya tanpa bantuanMu ya Rabb. Jadikanlah aku hambaMu yang bergantung sepenuhnya padaMu pada tiap saat dan ketika.

Facebook

Tentang Facebook pula, saya pakai sebab nak update perkembangan jemaah. Keduanya kerana ada orang lain juga memiliki nama yang serupa dengan saya sebenarnya. Ada facebook Ummu Afeera juga di laman maya tapi bukan milik saya. Kerana keperluan, saya menggunakannya. Dikhuatiri fitnah dan hal lainnya. Allahu A’lam

Kalau ada yang sudi add saya di Facebook, addlah saya. Insya Allah, cuba berkongsi sedikit sebanyak perihal tarbiah di sana juga. Allahu A’lam.

Tuesday, January 25, 2011

Pintu...


Jujurnya saya tidak tahu dari mana saya perlu memulakan. Titisan air mata gugur tanpa dipinta. Suasana sesuatu tempat itu hanya diketahui oleh mereka yang melaluinya sahaja. Ramai yang telah mencuba di sini, tapi akhirnya semua kepenatan. Saya masih mencuba dan saya berharap bahawa saya akan terus mencuba sehingga keberadaan saya yang terakhir di sini.

Saya sukakan analogi. Tapi analogi yang ustaz gunakan tempoh hari meninggalkan kegerunan yang amat terhadap amal-amal dakwah. Taarif tanpa takwin ibarat analogi yang disebutkan di dalam ayat 13:14.
"...hanyalah seperti orang yang membentangkan kedua tapak tangannya kepada air supaya sampai ke mulutnya, padahal air itu sudah tentu tidak akan sampai kepadanya." (13:14)

Fasa taarif laju di sini, tapi takwin kian hari semakin rapuh. Jujurnya kerana tiada manusia pun yang akan sukakan kerja takwin tanpa memahaminya dengan hati sedalamnya. Tanpa memahami hakikat syurga yang hebat itu, tidak akan ada manusia yang ingin melakukan kerja ini. Bak kata ustaz, ramai sukakan perjuangan yang bermusim seperti angkat banner, buat projek dan lain-lain. Tapi kerja takwin memerlukan istiqamah yang terlalu lama. Kerjanya perlu setiap hari tanpa henti. Dan tanpa nafas iman yang kencang, mungkin sahaja ramai yang akan kelelahan di jalan ini.

Dan kita pula terkadang mengumpul angka-angka yang ramai dalam fasa taarif, berpenat-penat dalam fasa taarif, menyangka telah berbuat sebaik-baiknya. Tapi ia ibarat air yang kita ambil dengan tangan. Terasa banyak di tangan, tapi air yang sampai di mulut adalah terlalu sedikit.

"Lain itu ustaz, kerja taarif yang kami buat ini tidak dapat pahala ke?" Dan jawab ustaz - "Kutip sampah pun dapat pahala. Awak kutip je sampah setiap hari, dapat pahala kan? Tapi kita nak amal-amal kita berkekalan, nafasnya panjang. Hidup walau kita telah mati. Dan di sinilah kepentingan takwin." Masya Allah!

Mengingati semua bicara itu, aku menangis lagi. Bagaimana kaki ini harus terus melangkah ya rabb? Susah. Di penghujung usiaku sebagai pelajar di sini, baru aku mengetahui semua itu. Hanya beberapa bulan sahaja yang masih berbaki. Mampu ke aku melakukan sesuatu? Surah Yusuf terus aku tadabburi. Tertanya-tanya di hati, apakah surah ini masih relevan dengan situasiku saat ini? Aku hanya meneruskan sahaja pembacaanku dengan mengharapkan agar Allah mengurniakan kekuatan menerusi kalamNya.

Dan aku menangis dengan lebih kuat lagi saat tiba pada ayat yang ke 67. Masya Allah! Quran itu berbicara denganku, memahami gurindam hati yang kebuntuan.

Dan ia berkata lagi: "Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". (12:67)


Aku akan mencuba ya Allah. Dan akan terus mencuba. Dan aku akan mencuba dari arah yang lain. Dan kepadaMu aku bertawakal. Bantulah aku ya rabb...

Thursday, January 20, 2011

La Raib...

Ada ramai penulis di luar sana kan? Tapi tidak ramai pun yang benar-benar yakin dengan penulisan mereka. J.K Rowling pun tidak pernah yakin pada awalnya bahawa karyanya akan meletup. Tiada seorang penulis pun di atas muka bumi ini yang yakin bahawa karyanya hebat dan tiada kelemahan.

Tapi ada satu buku yang mana penulisnya yakin 100% mengenai kandungannya. Mesti kita rasa macam nak tahu sangat mengenai buku tersebut dan penulisnya kan? Tulisan tersebut adalah AlQuran dan penulisnya ialah Allah SWT.

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; (2:2)


La raib. 100% tiada keraguan di dalam AlQuran. Hebat kan? Dan AlQuran itu akan sentiasa menyentuh dan membasahi hati manusia.

Prof pernah mentadabbur ayat ini semasa revision kelas kami yang terakhir untuk Professional Exam 2. Saya pernah menulisnya di sini.

“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh 10-12)


Itu adalah kata-kata Nabi Nuh kepada kaumnya. Tadabbur saya sungguh surface. Kalau kita nak nikmat di atas muka bumi ini, perbanyakkanlah istighfar.

Saya membaca blog Fatimah Athirah. Dia menemukan ayat yang seakan-akan serupa dengan ayat tersebut. Menangis hati ini membaca entri tersebut.

Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa! (Surah Hud: 52)

Masya Allah, andai ayat sebelumnya di dalam surah Nuh, ayat seterusnya adalah di dalam Surah Hud. Andai ayat sebelumnya adalah kata-kata Nabi Nuh a.s, ayat seterusnya adalah kata-kata Nabi Hud a.s.

Hebatnya. Dan benarlah kata-kata Assyahid Syed Qutb di dalam muqaddimah zilal.

Oleh sebab manusia mempunyai darjah kemuliaan dan ketinggian yang seluhur ini, maka Allah telah menjadikan tali hubungan yang mengikat umat manusia itu ialah tali hubungan yang diambil dari tiupan ilahi yang mulia, iaitu tali hubungan ‘aqidah kerana Allah. Oleh itu ‘aqidah seseorang Mu’min merupakan tanahairnya, kaumnya dan keluarganya dan di atas ‘aqidah inilah umat manusia harus bersatu padu bukannya seperti haiwan yang berpadu kerana rumput, kerana padang ragut, kerana kumpulan dan kerana pagar.

Orang yang beriman mempunyai keturunan yang amat tua yang bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh. Dia adalah salah seorang dan angkatan manusia yang mulia yang dipimpin oleh para rasul yang mulia, iaitu Nuh, Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya’kub, Yusuf, Musa, ‘Isa dan Muhammad alayhimus-salam.

Masya Allah!

Terlalu dekat saya rasakan bicara Nabi Nuh a.s dan Nabi Hud a.s.

Jujurnya saya tidak pasti asbab kedua-dua nabi Allah ini menyebut tentang hujan. Dan midrara (hujan lebat) itu saya rasakan adalah iman yang kian menyala di lubuk hati yang paling dalam. Beristighfarlah dan pasti dia akan menghantarkan hujan iman yang akan menguatkan kita semula. Quwwatan ila quwwatikum. Dia akan menambahkan kekuatan di atas kekuatan yang telah sedia ada. Allahu Akbar! Apa lagi yang kita ingini?

Dan mudah-mudahan kita tidak memakai payung dosa yang menghalang hujan iman dari terus membasahi kita.

Moga Allah terus menguatkan kita untuk berada di jalanNya dan moga Allah terus menuntuni kita. Allahu A’lam.


Sunday, January 16, 2011

Istikharah...

Banyak lagi perkara yang boleh saya tuliskan. Tapi melihat sedikit kepincangan yang berlaku, saya berhasrat menuliskannya. .

Saya mengkagumi Dr Har dan pasangannya. Kedua-duanya bertemu di jalan dakwah. Dialah yang mengajar saya makna istikharah. Dia dan ustaz, kedua-duanya tidak melakukan istikharah saat ditunjukkan borang baitul muslim pasangan masing-masing. Kedua-duanya yakin dengan pasangan mereka.

Saat Dr Har ceritakan hal tersebut pada kami, saya rasa terkejut. “Eh, ada orang tidak istikharah dalam perkara perkahwinan? Bukan hal tersebut adalah besar ke?” Tapi itulah hakikatnya. Kalau kita telah meyakini deen seseorang itu, lantas mengapa masih istikharah?

Dan itulah saatnya saya memahami sedalamnya makna istikharah. Di saat kita meyakini, tiadalah keperluan di sana untuk istikharah. Pelik kan bila kita masih tidak meyakini piawaian SIRIM yang telah jemaah luluskan dalam menilai batu bata individu muslim?

Kalau mahu hujah dari segi seerah pula, saya terkenangkan kisah seorang sahabat yang miskin dan tidak handsome wajahnya. Saat Rasulullah SAW meminang seorang wanita buatnya, keluarga tersebut tidak menyetujui. Tapi wanita tersebut yang menyedarkan keluarganya tentang kebaikan lelaki tersebut yang telah pun diiktiraf oleh Rasulullah SAW. Tidak pula wanita tersebut meminta izin pada Rasulullah SAW untuk beristikharah terlebih dulu, kan?

Ala kulli hal, setiap manusia mempunyai pendiriannya masing-masing. “Aku masih mahu beristikharah. Kesolehan luarannya tidak mempamerkan dalamannya”. Lantas jenuhlah istikharah. Belek quran sana sini. Jawapan akhirnya, terasa berat jawapan istikharahnya. Tentang hal ini, masing-masing mempunyai ijtihadnya yang tersendiri.

Buat akh/ukhti yang menerima jawapan sebegini, bersyukurlah! Kerana dia telah meragui kesolehanmu sedari awal lagi. Bersyukurlah atas jawapan tersebut dan teruslah melangkah. Nescaya kelak Allah pasti akan menunjukkan kamu seseorang yang sesuai denganmu dan tidak meraguimu.

Sekali lagi, perbincangan ini adalah hal yang sangat terbuka. Saya pasti di sana ada alasan yang banyak di dalam diri setiap akh/ukhti untuk menolak seseorang. Dan setiap insan yang melalui proses ini perlu bersikap terbuka dan redha dalam menerima sebarang keputusan. Allah hanya menjanjikan yang terbaik buat kedua-duanya.

Moga berjaya dalam kehidupan masing-masing. Baitul Muslim (BM) bukan satu keseronokan melainkan ianya adalah tanggungjawab dakwah yang berat. Dan yang mengikat hati seseorang itu adalah roh-roh islamnya sepertimana Rasulullah SAW dan Saidatina Khadijah. Tidak sesekali Khadijah menghalang nabi untuk berkhalwat di Gua Hira’. Saat roh telah menyatu, hal jasad bukan menjadi persoalan. Tidak kisah ditinggal-tinggalkan. Tapi kalau hal jasad dan lainnya yang bermain di fikiran, maka banyaklah permasalahan yang akan timbul.

Saya tidak layak pun menulis hal ini. Saya sendiri bimbang seandainya Allah menguji saya dengan tulisan ini. Namun di sana ada kecacatan yang saya lihat dan saya berhasrat untuk memperbetulkannya. Moga Allah terus menuntuni saya.

Allahu A’lam.

Sharing dari akhawat lain: Link

Saturday, January 15, 2011

Assyuara...

Alhamdulillah, pertama kali menghadapi ujian yang berat dan saya tidak menangis. Barangkali tugasan dakwah yang kian bertambah menjadi penyelamat hati sendiri. Alhamdulillah saya dapat fokus kembali.

Semalam ke kolej, macam tiada apa-apa yang berlaku. Saya akan meneruskan juga pengajian. Tidak suka sangat bila tahu Internal Medicine adalah posting yang pertama. Sememangnya rasa macam tidak bersedia. Ala kulli hal, Allah Maha Mengetahui..

Tadabbur seerah dan juga Quran. Sampai kepada kisah di mana Rasulullah SAW dianjurkan untuk menyampaikan dakwah ini kepada keluarga terdekat dalam keadaan terang-terangan. Ingat lagi kisah saat baginda menganjurkan jamuan untuk keluarganya yang terdekat dan mahu menyampaikan mesej dakwah ini?

Kalau baca seerah, kita akan ingat mengenai ayat 26:214 – wa anzir asyiratakal aqrabin. Dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang terdekat (26:214)

Kita pun terus hafaz ayat tersebut. Jarang kita mentadabbur kan? Dalam buku Raheeq Makhtum diceritakan bagaimana sebenarnya Allah mensetkan minda Rasulullah SAW. Dikhabarkan bagaimana Allah brainwash kekasih hatinya. Ayat itu tidak turun tiba-tiba. Sebaliknya 213 ayat sebelumnya telah memberi kekuatan dan motivasi yang tidak terkira buat Rasulullah SAW.

Suasana surah tersebut turun di dalam keadaan dakwah yang masih underground di bumi Mekah. Kalau kita lihat jujusan ayat-ayat dalam surah Assyuara’ ini, ayatnya pendek-pendek tapi maksudnya sungguh mendalam.

Setiap kisah yang Allah khabarkan dalam surah ini mensetkan nabi tentang sunnatullah jalan dakwah. Kau akan dipulaukan, diejek dan dicerca. Tapi Allah menghancurkan mereka.

Kisah pertama dimulakan dengan kisah Nabi Musa. Nabi Musa rasa inferior juga untuk melakukan kerja dakwah, rasa diri berdosa dan rasa tidak layak sangat. Kita semua merasainya kan? Dia meminta Allah untuk menghantarnya bersama Harun. Dalam ayat 26:15, Allah sampaikan pada Musa, kenapa nak takut? Allah ada. Allah bersama-sama mereka. Dan kemudian diceritakan kehancuran Firaun dan kemenangan yang diraih oleh Musa.

Seolah-olah Allah nak beritahu nabi, tidak perlu risau. Abu Jahal itu tidak selevel pun dengan Firaun. Kecil sangat dia itu. Firaun yang menguasai dunia itu pun jatuh tersungkur dan kalah, apatah lagi Abu Jahal.

Kemudian diceritakan kisah Nabi Nuh, Nabi Hud, Nabi Soleh, Nabi Lut, dan Nabi Syuaib. Kesemua mereka didustakan oleh kaumnya tapi akhirnya hero tetap menang dan musuh Islam tetap kalah.

Setelah tidak putus-putus kisah-kisah nabi tersebut, barulah turun ayat 26:214. Bila dah set minda nabi, dah brainwash nabi betul-betul, barulah diberitahu amanah tersebut. Seolah-olah nak beritahu nabi, sekarang ini turn kamu pula. Bila penceritaan Quran sebegitu, apa perasaan nabi sebenarnya? Dah hilang rasa ketakutan. Tidak heran dengan perlakuan kuffar. Timbullah kekuatan yang menyebabkan nabi melangkah terus dalam medan dakwah ini. Lantas nabi menganjurkan jamuan untuk memberitahu kerabatnya yang terdekat tentang dakwah.

Dahsyat kan ayat-ayat Allah itu? Kalau tidak faham seerah, tidak fahamlah Quran kan?

Hakikatnya apa yang berlaku adalah bonus untuk saya sendiri, melangkah lagi laju… Ujian dalam kehidupan ini memang tidak putus-putus. Dan Allah memang menghantar ujian-ujian itu sebagai clorox untuk membersihkan hati kita sebersih-bersihnya sehingga matlamat dakwah itu hanya kerana Allah semata-mata. Jom terus melangkah…

Thursday, January 13, 2011

Wafa Idris...

Kita ini konon-kononnya duduk dalam dakwah dan tarbiah. Tapi kalau saat ini diajukan tentang hal ehwal umat Islam di Tunisia mahupun Sudan, kitalah yang paling tidak tahu.

Banyak sangat fakta tentang umat Islam kita tidak tahu. Siapa wanita yang mendahului amaliyyah istisyhadiah di Palestin? Tidak tahu juga...

Kita paling malas nak ambil pusing tentang akhbar alam islami (isu semasa umat islam) kan?

Tidak perli siapa-siapa..perli diri sendiri sahaja ini...

Ala kulli hal, rasa zuuq sangat menonton video ini..

Wednesday, January 12, 2011

In aradtum...



إن أردتم أن تكونوا شامة بين الورى
If you want to be like a mole (or "beauty mark") distinguished amongst the human race.

فاقتفوا آثار جيل للمعالي سطرا
Then track the trails of a generation that planned and outlined for excellence.

جيل زيد وأسيد ومعاذ والبراء
The generation of Zaid and Usaid and Mu'adh and Al-Bara'.
(Zayd ibn Thabit - Usaid bin Hudhair - Mu'adh bin Jabal -Al-Bara' ibn Malik)

هم نجوم في الدياجي وعلى الباغي رجوم
They were like stars in the darkness and on the unjust they were falling comets.

هم بدور قد تجلت لاتواريها الغيوم
They are clear full moons with no clouds to disrupt visibility

كلهم جد وعزم كلهم غيث عميم
They all were "Effort" and "Striving" in character.
They were needed rain (Help) that fell on all.

إن أردتم أن تكونوا شامة بين الورى ..فاقتفوا آثار جيل للمعالي سطرا

إن أردتم أن تكونوا شامة بين الورى ..فاقتفوا آثار جيل للمعالي سطرا

جيل زيد وأسيد ومعاذ والبراء

طلقوا الدنيا وعاشوا في نواحيها مشاعل
They divorced life and lived as torches of guidance on its aspects

ملئوا الأرض سلاماً وعلوماً وفضائل
They filled earth with peace, science and virtues.

وهدوا كل ضليل عن هدى الإسلام مائل
They guided every misguided one who, from the guidance of Islam, had lost course.

إن أردتم أن تكونوا شامة بين الورى ..فاقتفوا آثار جيل للمعالي سطرا

إن أردتم أن تكونوا شامة بين الورى ..فاقتفوا آثار جيل للمعالي سطرا

جيل زيد وأسيد ومعاذ والبراء

فمتى ياقوم نبني فمتى فمتى
So, O my people when will we rebuild...When?...When?

ما بأيدينا هدمنا فمتى فمتى
What we have by our own hands destroyed...When?...When?

ليس يجدينا التباهي بخبيب والمثنى
Boasting about Khubaib and Al-Muthanna will gain us nothing. (Khubaib bin Uday - Al-Muthanna bin Harithah)

لن يزيل البغي عنا قولنا كنا وكنا
Injustice will not be removed from us by saying "We were this...We were that".

إن أردتم أن تكونوا شامة بين الورى ..فاقتفوا آثار جيل للمعالي سطرا

إن أردتم أن تكونوا شامة بين الورى ..فاقتفوا آثار جيل للمعالي سطرا

جيل زيد وأسيد ومعاذ والبراء

Sunday, January 09, 2011

Compang camping...

"DEMI Allah, sekiranya itu yang diceritakan oleh Baginda, semua benar belaka. Sebenarnya aku mempercayai Muhammad mengenai perkara yang lain lebih daripada itu," jawab Saidina Abu Bakar al-Siddiq kepada beberapa orang musyrikin yang mendengar cerita mengenai peristiwa mukjizat Israk dan Mikraj.

Aku kira bukan mudah untuk menjadi seperti Abu Bakar saat pertama kali berdepan dengan situasi yang berat. Aku juga bukan seperti Abu Bakar di dalam situasi ini. Tiada apa-apa pada diri ini untuk kalian teladani. Namun di sana Allah mentakdirkan bahawa tetap ada insan-insan seperti Abu Bakar.

Kita mungkin terlupa. Namun saat seorang akh mengirimkan warkah mayanya untuk kita bersama di dalam bahtera ini, meletakkan sepenuh kepercayaan pada murabbi-murabbi kita, mengapa hal itu masih sulit? Seorang ukhti juga berbicara padaku dengan iman dan kefahaman yang mendalam terhadap perjuangan ini. “Ini projek jemaah. Ada barakah di dalam setiap syura.” Bahkan dialah yang memberitahuku tentang jaminan yang kau pertanyakan itu. Kau dan dia hadir dalam sesi itu. Namun tasawwur kalian nyata berbeza.

Barangkali kau merasakan aku mencari-cari aibmu. Tidak ukhti. Aku nyata lebih bersalah dalam soal ini. Aku juga tidak berfikir panjang. Namun di sana masih ada sahabat-sahabat kita yang terus-terusan mengingatkan. Saat kau bercerita tentang syura, aku kira ianya juga bukan syura. Syura bukan saat kita telah memutuskan perancangan kita, dan kemudiannya hanya memberitahu perancangan kita pada para murabbi kita. Bukan, nyata bukan. Syura bermula sedari awal lagi.

Tentang thiqah pula, kau lanjutkan perbicaraan tentang Ibrahim yang terus-terusan mencari kebenaran dengan soalan-soalan. Itu dalam soal aqidah. Kita bicara soal akhlaq. Akhlaq mereka yang bersama dalam gerakan dakwah. Nyata aku susah menerangkannya kerana aku juga jauh belum sempurna.

Tentang jaminan, kita telah sama-sama mentadabburi Surah AlFath. Yadullahi fauqa aidihim. Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka. Manusia yang tidak bersama gerakan dakwah ini mungkin membaca permukaan sahaja penerangan murabbi-murabbi kita. Namun tasawwur dan pemikiran kita pasti berbeza. Sewajarnya ada keyakinan yang kita letakkan pada mereka dan pasti keyakinan yang lebih hebat hanya pada Allah sahaja. Siapalah aku mahupun murabbi-murabbi kita untuk memberikan jaminan? Bukankah Allah sebaik-baik pemberi jaminan?

Nyata terlalu sulit untuk aku menuliskan segalanya. Aku nyaris kemalangan dua kali memikirkan perkara ini. Baju yang aku seterika juga hangus. Aku terlalu memikirkan hal yang terjadi. Aku menangis terlalu lama ukhti.

Maaf ukhti andai tulisan ini menggores hatimu sekali lagi. Lantas aku dedikasikan tulisan Salim A Fillah ini buat semua. Dan ternyata benar kata-katanya , “Tentu terlebih sering, imankulah yang compang-camping”.

Ukhti, aku kira masalah itu terlalu kecil. Namun ujian-ujian lain serasanya begitu menggelisahkan hati ini. Tentang ukhwah, tentang syura, tentang thiqah dan lainnya. Ukhti, menurut ayahku, tiada siapapun yang bersalah dalam hal ini. Setiap manusia berijtihad. Dan mungkin ijtihadmu betul ukhti. Lantas aku masih mengharapkan kau terus-terusan menegur sahabatmu yang imannya terlalu sakit saat ini.

Ukhti, aku tidak bimbang andai medan Badar yang berulang. Namun aku bimbang ukhti saat Allah mentakdirkan Uhud berulang. Terlalu sakit ukhti andai jemaah perlu melaluinya lantaran sikap-sikap kita. Kupetik petikan dari Hazaddeen:

Melalui peperangan ini, jamaah Islam ini kini benar-benar memahami dasar ini. Mereka mempelajari dasar ini bukan melalui kata-kata atau melalui teguran semata-mata sebaliknya mereka mempelajari dasar ini melalui darah dan penderitaan.

Mereka terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mempelajari dasar ini. Mereka terpaksa merasai kekalahan walaupun setelah merasai kemenangan. Mereka terpaksa menanggung kerugian walaupun setelah memperolehi keuntungan. Mereka terpaksa menerima luka parah dan sebahagiannya gugur syahid termasuklah pemimpin syuhada', Hamzah r.a.. Bencana yang paling malang dan paling dahsyat menimpa jamaah Islam ini ialah apabila Rasulullah s.a.w. sendiri cedera, wajahnya yang mulia itu luka dan gigi hadapannya tercabut. Baginda juga tersungkur ke dalam lubang yang digali oleh Abu Amru al-Fasiq, sekutu pihak Quraisy. Lubang ini digali bagi memerangkap orang-orang Islam. Musyrikin Quraisy sedaya upaya cuba membunuh Nabi s.a.w. tatkala Baginda hanya dikelilingi oleh beberapa orang sahabat sahaja, dan sahabat-sahabat ini gugur satu demi satu syahid dalam mempertahankan baginda. Salah seorang sahabat ini ialah Abu Dujanah yang menjadikan belakang badannya sebagai perisai menahan anak-anak panah musyrikin. Walaupun anak-anak panah ini menusuk belakangnya namun beliau tidak berganjak. Sehinggalah akhirnya tentera muslimin yang lain datang memberi bantuan setelah mereka kembali pulih dan menerima hakikat kekalahan mereka. Mereka kini menerima pengajaran yang amat pahit.


Aku tidak pasti ukhti apa yang ingin Allah ajarkan pada kita. Tarbiah dengan peristiwa memberikan kesan yang terlalu mendalam pada diri ini. Allah sebaik-baik perancang. Doakan aku ukhti agar Allah tidak menapisku dari jalan ini atas segala peristiwa yang berlaku.

Maafkan aku ukhti untuk kesekian kalinya. Nyata sahabatmu ini imannya benar-benar compang camping. Moga Allah melapangkan hati kita selapang-lapangnya dalam menerima segalanya. Dan moga Allah terus mentakdirkan yang terbaik dalam situasi apapun. Moga Allah terus memberkati dan menuntunimu sepanjang masa. Uhibbuki fillah ya ukhti…

Wednesday, January 05, 2011

Dhomrah....

Terlalu hebat aku rasakan perancangan Allah. Menyusun dan mengatur rahsia hambaNya. Kita orang Islam tidak pernah kalah. Itu prinsipnya. Walau di zahirnya, kekalahan seakan menjadi igauan, tapi Allah sentiasa memujuk kita bahawa kemenangan itu pasti tiba.

Hebat mehnah dan tribulasi yang perlu dilalui oleh para pensyarah dan pelajar di kolejku. Hanya kerana seorang dua manusia tamak, sebuah perjuangan terjejas. Bisik hatiku, ianya adalah sunnatullah jalan dakwah. Tiada yang mudah. Buat kerja Islam tidak akan mudah. Akan sentiasa teruji.

Lantas apa yang akan diraih dari sebuah perjuangan? Seakan kegelapan yang ada di hadapan jalan. Adakah kita akan kalah? Adakah musuh-musuh Allah yang sentiasa bekerja menghancurkan itu akan berjaya?

Lantas aku menghalusi kisah seorang sahabat. Aku tidak pernah mengenalinya. Seorang murabbiah telah menceritakan kisah ini pada kami. Nama sahabat yang mulia ini adalah Dhomrah bin Jundub. Orang mudakah dia? Tidak, dia hanya seorang sahabat mulia yang telah tua dan lumpuh.

Ingatkah lagi ayat 97 dari Surah Annisa’?

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. (4:97)


Dhomrah bin Jundub telah mendengar ayat-ayat Allah tersebut. Dan ianya umpama bom nuklear yang menggegarkan hatinya. Saat itu dia masih di Mekah. Lantas dia berbicara dalam serak-serak suara tuanya, “Bawalah aku, aku bukanlah orang yang lemah dan aku tahu jalannya. Demi Allah, aku tidak perlu menunggu sampai malam di khemah untuk berangkat”.

Lantas si anak yang mendengar rayuannya mengusungnya sambil dia tetap di atas tempat di tidurnya. Dan di dalam perjalanan hijrah itu, dia meninggal dunia. Saat ajal mendatang, saat nafas di kerongkongan kian menggetirkan, dia menyatukan tangan kanan dan tangan kiri, “Ya Allah, ini untukMu dan ini untuk RasulMu, ku membaiatMu atas apa yang engkau baiatkan terhadap RasulMu”. Lantas ajal menjemputnya untuk bertemu dengan Allah yang agung. Kematiannya sungguh terpuji. Namun sang musyrik mentertawakan. Mungkinkah kita juga tersenyum sama? Barangkali kita akan mengatakan, duduklah diam-diam sahaja, mengapa perlu berhijrah dalam keadaan begitu.

Lantas turunlah ayat ke 100 dari Surah Annisa’ merakamkan pengorbanannya di atas jalan dakwah ini. Ayat yang sungguh bermakna ini memberi kita motivasi bahawa Allah akan menyampaikan kita kepada tujuan kita walau apa jua cabarannya.

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (4:100)


Ya Rabb, perjuangan kami masih berbaki malah kami tidak mengetahui kesudahan kami. Lantas sampaikan pahala amal dan niat kami ya Allah. Mudah-mudahan Kau terus mengiranya sebagai pahala. Dan sungguh Kau telah memberi kami motivasi yang agung untuk terus bertatih di jalan ini. Dan sungguh kesudahan yang baik adalah bagi mereka yang bertaqwa.
There was an error in this gadget