Monday, May 31, 2010

Terpilih...

Saya perlu menulis mengenai adab bekerja. Saya belum kongsikan pengisian itu dengan yang lain. Cuma Palestina lebih memerlukan segalanya sekarang.

Bestnya membaca kesyahidan peserta konvoi. Best sangat! Dulu naqibah saya kata orang yang syahid ini Allah sendiri yang cabut nyawa mereka. Bestnya lagi, diorang boleh memberi syafaat kepada 70 orang. Best bangat! Ahli keluarga mereka tidak perlu bersedih. Seakan-akan sudah terjamin syurga buat mereka.

Kita? Saya? Pernah tertanya-tanya mengapa bukan kita yang Allah pilih untuk mengikuti misi tersebut? Satu penghormatan dari Allah sebenarnya buat mereka yang terpilih. Sudah terpilih untuk mengikuti misi, Allah pilih lagi sekali untuk syahid. Allahu Akbar! Bestnya..

Saya kenal salah seorang peserta konvoi, Dr Arbaie. Kliniknya berdekatan dengan rumah saya. Isterinya juga seorang doktor. Saya pernah pergi program dengan menaiki kereta mereka. Jujur saya katakan, terlalu hebat keluarga ini.

Anak kedua-dua doktor tersebut pernah ke sekolah bersama-sama dengan adik saya dan kawan mereka yang lain. Ada sekali pemandu MPV nyaris terlelap. Kereta berpusing 360 darjah. Semua orang menjerit. Tapi adik saya kata, anak doktor tersebut sahaja yang spontan menyebut Allahu Akbar! Hebatkan pasangan doktor tersebut mendidik anak mereka. Rasa-rasanya boleh tak kita didik anak kita sebegitu? Mereka sangat hebat. Keyakinan mereka terhadap Allah adalah luar biasa. Sebab itulah Allah memilih mereka. Kita?

Isterinya juga hebat. Sanggup terus menarbiah anak-anak tanpa suami di sisi. Sanggup membenarkan suami pergi menyertai misi yang belum terjamin keselamatannya. Entah balik entah tidak. Sanggup jadi isteri sebegitu?

Jujur bukan calang-calang orang yang Allah pilih menyertai misi tersebut. Jujur bukan calang-calang keluarga untuk mendapat penghormatan dari Allah sebegitu rupa.

Kita bagaimana? Solat masih di awal waktu? Kalau hal solat pun, masih tidak menepati waktu, berbeza kita dengan yang lain, bagaimana nak bersatu hati-hati? Hal solat pun tak settle lagi…

Banyaknya muhasabah yang perlu kita lakukan…

Wednesday, May 26, 2010

BM dan cabarannya..

Sekali lagi insan yang menulis ini hanya berkongsi, belum diuji dengan alam Baitul Muslim lagi. Allahu A’lam. Sekadar berkongsi perkongsian tempoh hari.

Pemilihan pasangan hidup

Majoriti dari kita maklum berkenaan dengan ciri-ciri pasangan yang sewajarnya dipilih. Namun Allah Taala akan menguji kita. Mungkin satu masa, akan ada 3 lamaran serentak. Yang seorang mempunyai rupa, seorang lagi mempunyai harta, seorang lagi tidak mempunyai rupa dan harta tetapi fikrahnya jelas, apa pula pilihan kita? Di saat ini, tepuk dada tanyalah iman.

Memberi kefahaman kepada pasangan jika pasangan bukan mengikuti usrah dan tarbiyah

Menurut seorang doktor yang menjadi panelis, akhawat perlu sedar realiti semasa. Di mana-mana bilangan akhawat adalah lebih ramai berbanding ikhwah.

Di kalangan ikhwah sendiri, hadis-hadis berkenaan pemilihan pasangan berdasarkan kaca mata agama semata-mata juga adalah retorik semata-mata. Akhirnya, ikhwah tetap memilih nilai bonus seperti rupa, harta dan lainnya. Akhawat harus mengakui situasi ini.

Maka kemungkinan besar, akhawat akan dilamar oleh mereka yang bukan mengikuti usrah dan tarbiyah. Dunia realiti adalah jauh dari dari dunia yang menjadi idaman setiap akhawat. Kemungkinan untuk akhawat berkahwin dengan bukan ikhwah adalah besar. Makanya, berilah penjelasan kepada bakal pasangan berkenaan dengan realiti kehidupan kita sebagai seorang daiyah. Bawa bakal pasangan bertemu dengan naqibah dan lainnya. Sekiranya dia mampu menerima kehidupan kita sebagai daiyah, syura dan istikharah kita juga positif, maka terimalah lamaran ini.

Alhamdulillah, menariknya program kali ini sebab di kalangan panelis sendiri ada yang bukan berkahwin dengan ikhwah. Cabarannya berbeza. Ada pasangan yang meletakkan syarat agar rumah tip top, anak dah diuruskan, makanan dah disediakan sebelum ukhti tersebut ke program atau usrah. Apa yang boleh dilakukan? Satunya program atau usrah tersebut diadakan di rumah ukhti tersebut. Akhawat yang lain boleh datang awal, membantu urusan rumah ukhti ini tadi, membantu mengemas dan lainnya. Akhirnya, lama-lama pasangan ukhti ini tadi gembira sebab rumah pun bersih.

Peranan usrah bukan hanya touch and go sahaja. Sebolehnya kita kenal permasalahan akhawat kita dan akhawat juga perlu meminta bantuan dan bersedia dibantu.

Keduanya menurut ukhti tersebut, mungkin ada sekali pasangan kita tidak membenarkan kita ke usrah. Tapi kalau dah berkali-kali tidak dibenarkan juga, macam tidak logik. Maksudnya, kita sebagai akhawat belum berperanan memberi kefahaman kepada pasangan.

Perkahwinan dengan ikhwah

Ramai yang merasakan perkahwinan sesama ikhwah adalah ideal. Tapi tidak. Ada ujian-ujiannya. Kata doktor tersebut, terkadang kita merasakan bila berkahwin dengan ikhwah, mereka akan membantu kita bila kita down. Tapi benda itu jarang terjadi. Selalunya kalau kita down, pasangan pun akan down.

Keduanya, ada juga ikhwah yang meletakkan banyak syarat. Rumah nak sempurna, urusan dia dah sempurna, baru boleh pergi usrah. Akhawat kena belajar mengurus rumah tangga dari sekarang. Belajar masak, belajar kemas rumah dengan efisyen, belajar menguruskan banyak benda dalam satu masa. Perkahwinan itu sendiri adalah tarbiah. Bila dah duduk satu katil, baru nampak kelemahan dan kelebihan pasangan. Tapi kita kena fokus pada kelebihan pasangan.

Ada juga ikhwah yang mungkin tidak kisah dalam hal rumah dan lainnya, tapi akhawat tidak boleh tidak ambil kisah sebabnya rumah kita adalah rumah Muslim. Rumah seorang Muslim kena kemas dan bersih. Kena tip top juga.

Pasangan berlainan fikrah

Tidak menjadi masalah sekiranya pasangan berlainan fikrah sekiranya kedua-duanya mampu untuk saling menghormati fikrah masing-masing. Hal ini perlu dijelaskan dari awal lagi kepada pasangan. Tapi seorang ukhti perlu berhati-hati dan mengkaji fikrah suaminya kerana dibimbangi sesat.

Bersabar dalam berumahtangga dan tetap terus dalam tarbiyah

Kena banyak bersabar dalam rumahtangga. Banyak ujiannya. Kena belajar tentang tarbiyatul aulad (pendidikan anak-anak) juga. Setiap fasa anak-anak itu, ujiannya juga berbeza. Kena banyak belajar dari senior-senior di lapangan dakwah. Ada juga yang akan diuji dengan anak-anak bermasalah sampai orang kata ibu bapa aktif dakwah tapi anak-anak hancur. Makanya pergantungan kita dengan Allah itu kena sangat kuat. Kena banyak meminta dari Allah. Kita memang tak mampu kadang menjaga anak sebaiknya, maka Allah sahajalah sebaik-baik murabbi untuk anak kita. Terkadang kita doktor, pasangan pun doktor. Allah uji anak sakit. Kadang kena minta bantuan akhawat lain untuk menjaga anak. Macam-macam ujiannya.

Ada ukhti yang cerita, pengalaman mereka bersama di hospital. Saling membantu. Kalau dah habis kerja, pergi wad tempat ukhti lain bekerja dan membantu ambil darah dan lainnya supaya semua boleh bersama semasa program atau usrah. Sampai begitu sekali ukhwah mengajar mereka untuk saling berkorban walau bukan kerja mereka. Kena saling menguatkan di dalam usrah. Kena back up each other. Pastikan tetap terus dalam tarbiah walau bagaimana pun ujiannya.

Bersabar dan redha jika jodoh belum sampai

Amat penting topik ini. Terkadang satu persatu akhawat meninggalkan kita, melangkah ke alam Baitul Muslim. Makanya kita kena banyak bersabar dalam hal ini.

Saya suka sangat kata-kata seorang doktor ini. Dia kata mungkin itulah jalan yang Allah berikan untuk kita ke syurga. Masya Allah! Banyak sangat ujian dalam hidup ini. Dah kahwin, diuji dengan tiada anak. Mungkin diuji dengan sakit. Macam-macam lagi.

Ingatlah bahawa barangkali itulah jalan kita ke syurga Allah. Allahu A’lam

Tulisan ukhti lain

Saya memang tidak pandai sangat tulis hal ini. Mungkin boleh baca tulisan Kak Aisyah. Best lagi! Ini linknya. Allahu A’lam.

Tuesday, May 25, 2010

Cabaran...

Makcik minta saya berkongsi perkongsian yang saya perolehi pada hari Sabtu lepas bersama dengan akhawat UMS. Insya Allah, saya cuba menulisnya. Tapi sejujurnya insan yang menulis ini belum diuji Allah dengan pangkat doktor di hadapan namanya, belum diuji Allah dengan cabaran Baitul Muslim dan hal lainnya. Berat sebenarnya menulis suatu teori yang tidak pernah kita lalui. Tapi itulah tarbiah. Terkadang kita tidak faham pun tapi satu masa nanti Allah akan membuatkan kita memahaminya. Allahu A’lam.

Fokus dan topik program

Fokus dan topik program tersebut ialah:

1) Kepentingan penerusan tarbiyah semasa HO khususnya dan semasa bekerja amnya
2) Baitul Muslim dan penerusan tarbiyah
3) Cabaran bekerja
4) Adab bersama pesakit dan adab bekerja

Akhawat lain yang turut hadir juga boleh berkongsi. Menulislah. Pesan Hamka bahawa penulis mempunyai dua kenikmatan, pertama kenikmatan apabila karyanya dibaca orang, yang kedua kenikmatan selepas penulis itu meninggal dunia, jika penulisannya baik maka akan sentiasa mengalirlah pahala kepada si penulis itu.

Peringatan tentang tujuan hidup manusia dan tujuan bekerja

Pertamanya, kami ditekankan dengan konsep ubudiah kepada Allah. Pada hari, kita menerima title doktor di hadapan nama kita, hendaklah kita merasakan dengan sepenuhnya bahawa kita hanyalah seorang hamba.

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (51:52)

Keperluan tarbiyah sepanjang masa

Perancangan berkenaan dengan hal penerusan tarbiah perlu dimulakan dari sekarang. Perlu ada perancangan tentang pemilihan tempat kerja. Pastikan kita tidak berehat lama dari tarbiah, sebaiknya terus berhubung dengan pihak yang berkenaan agar kita tidak futur. Lambat sesaat akan membuat kita senang dan seterusnya lari dari jalan dakwah dan tarbiah. Pastikan kita sentiasa berada di dalam usrah dan mempunyai sahabat-sahabat yang selalu mengingatkan. Pemilihan tempat kerja juga perlu dilihat dari kaca mata dakwah dan tarbiah. Masih terjamin lagi ke dakwah dan tarbiah dengan pemilihan kita? Persoalan tersebut perlu sentiasa dijawab.

Pastikan juga kita dah mengkaji tempat-tempat pilihan yang dipohon. Ada HO yang dihantar ke Sibu, tapi di sana kebanyakan doktor adalah doktor Cina yang berbahasa cina sesama mereka. Akhirnya, HO ini tertekan dan terasa seperti dibuli. Amat penting pemilihan tempat kerja.

Teramat penting sekali adalah doa. Doa dari sekarang agar Allah meletakkan kita di tempat yang terbaik. Minta Allah meletakkan kita di tempat yang terjamin gerak kerja dakwah dan tarbiah kita.

Seterusnya kita redha dengan pilihan Allah. Pastinya Allah meletakkan kita di tempat yang terbaik.

Cabaran HO sekarang

Kak Fatimah, HO di HKL memberitahu bahawa cabaran HO hari ini adalah kerehatan. Mungkin kerana pembahagian HO yang tidak seimbang menyebabkan sesetengah hospital mempunyai lambakan HO. HO di HKL misalnya ada yang diberi cuti pada hari Sabtu dan Ahad. Tapi ada juga tempat yang masih kekurangan HO. Sebaiknya kita sedar bahawa kesempitan dan kelapangan kedua-duanya adalah ujian dari Allah.

Sewajarnya dengan masa rehat yang Allah beri, kita merancang untuk gerak kerja dakwah. Tiada alasan untuk berehat dari usrah dan membawa usrah. Dakwah dan tarbiah perlu diteruskan semasa menjadi HO. Sejujurnya semuanya bergantung pada keimanan kita kepada Allah. Hal dakwah dan tarbiah ini juga adalah hal kita dengan Allah. Bersikap jujurlah dengan Allah. Kita lebih tahu sama ada kita sibuk ataupun tidak.

Kalau kita penat sangat, tidurlah dalam usrah. Yang penting pertemuan kita dengan akhawat. Harapannya walau kita tidak mendapat apa pun dari usrah, tapi pertemuan wajah itu membuatkan akhawat masih mengingati kita. Berehatnya kita dari jalan usrah akan membuatkan kita yang keciciran sebenarnya memandangkan kerja-kerja akhawat kita yang lain juga terlalu banyak. Sesungguhnya dakwah dan tarbiah tidak pernah menunggu kita. Dakwah dan tarbiah ini milik Allah dan akan terus berjalan. Kitalah yang hakikatnya akan kerugian di jalan dakwah apabila kita menjauhi jalan ini.

Allahu A’lam..

Insya Allah bersambung…

Friday, May 21, 2010

Jiwa hamba...

Posting psychiatry adalah antara posting yang menarik bagi saya. Berbicara mengenai Palestin, teringat satu soalan Prof dalam posting ini. Prof tanyakan kami, ada tak keadaan di mana kita boleh membunuh diri? Semasa soalan itu diajukan, saya rasa tiada. Mana boleh bunuh diri, begitulah hati berbicara.

Ada pelajar lelaki dalam kumpulan saya yang menyebut mengenai amaliyyah istisyahdiah (pengebom mati syahid). Diberikannya dalil-dalil mengapa amaliyyah istisyhadiah dibolehkan.

Tapi suka cara Prof melihat amaliyyah istisyhadiah. Prof menyebut hal itu sebagai strategi peperangan. Saya setuju dengan Prof. Amaliyyah Istisyhadiah tidak mempunyai kaitan pun dengan istilah membunuh diri. Maksudnya bila orang lain sebut tentang bunuh diri pun, dalam benak pemikiran kita tidak boleh merasakan hal itu adalah membunuh diri. Mereka syahid lillah dan fillah.

Sebenarnya Prof nak ceritakan mengenai pesakit psychiatry yang membunuh diri. Kadang kita sesuka hati sahaja mengadili manusia. Contohnya bila kita lihat orang membunuh diri, kita rasa dia itu mesti masuk neraka, mesti bumi tidak terima dan macam-macam lagi. Tapi kemungkinan besar mereka membunuh diri kerana penyakit mereka.

Saya sendiri pernah clerk seorang pesakit. Dia kata dia sendiri minta dimasukkan ke dalam hospital sebab dia tak sanggup lagi mendengar suara yang meminta dia terjun dari tingkat 15 rumahnya. Dia adalah pesakit schizophrenia. Setelah mengambil ubat dan menerima rawatan, dia kata suara itu hilang.

Cuba bayangkan keadaan pesakit lain yang tidak menerima rawatan. Prof kata mungkin sahaja mereka membunuh diri, tapi mereka mendapat syurga Allah kerana ujian Allah yang terlalu hebat dengan penyakit sebegitu.

Saya ingat lagi masa saya belajar child psychiatry. Ada ibu bapa yang diuji dengan anak-anak yang menghidap autism, Down Syndrome, dan lainnya. Kata doktor tersebut, anak-anak ini adalah anak-anak syurga. Dapat bayangkan tak Allah memberi kelebihan bagi sesetengah manusia untuk menjaga anak syurga? Kata doktor tersebut seakan-akan Tuhan menghantarkan sebuah kereta Mercedes Benz di hadapan rumah, terpulang bagi si pemilik rumah sama ada ingin menjaga harta tersebut atau sebaliknya.

Saya rasa beruntung jadi pelajar perubatan bila belajar semua ini. Saya menonton filem Beautiful Mind dengan adik-adik saya tapi diorang tidak faham. Saya rasa filem itu sangat menarik tapi orang lain tidak memahaminya. Psychiatry adalah bidang yang terlalu menarik untuk diterokai.

Filem Beautiful Mind adalah kisah benar mengenai seorang pesakit paranoid schizophrenia, John Nash yang akhirnya mendapat Nobel Prize. Kata Prof, kita yang normal ini pun tidak pernah mendapat Nobel Prize, tapi pesakit yang menghidap schizophrenia boleh melakukannya. Jangan sesekali dalam hati kita nak pandang rendah dengan orang lain, meremehkan manusia lain. Mereka barangkali mempunyai kelebihan di sisi Allah yang mungkin tiada pada kita.

Prof ceritakan juga mengenai Elyn Saks. Semasa Prof menghadiri satu konvensyen di Itali, Prof bertemu dengan wanita ini yang merupakan penghidap schizophrenia tapi merupakan Professor dalam bidang undang-undang, psikologi dan psychiatry. Dia masih hidup lagi dan berjuang memberikan pemahaman kepada kebanyakan manusia mengenai penyakit schizophrenia. Hebat tak? Masya Allah! Allah menunjukkan kehebatanNya dalam kehadiran makhluk-makhlukNya kan? Dengan kesihatan yang Allah beri, kita belum mampu mencapai tahap pencapaian seperti itu tapi seorang pesakit mampu melakukannya.

Moga Allah membersihkan hati kita dan membuatkan hati ini merasai jiwa hamba dengan sebenarnya.

Faris Audah...

Lama tak cerita pasal Palestin. Cemburu rasanya melihat mereka yang mengikuti misi dan berpeluang ke sana.

Semasa daurah baru-baru ini, Bro A tunjukkan video berkenaan seorang kanak-kanak Palestin bernama Faris Audah. Menitis air mata. Masya Allah! Kata seorang ukhti, dia ingin menamakan anaknya dengan nama Faris Audah.

Kadang itu kita tidak faham kan betapa yakinnya mereka dengan hanya seketul batu. Keyakinan yang luar biasa.

Mereka bukan seperti kita yang mengharapkan hasil. Tapi mereka berusaha sehabis daya walau dengan hanya seketul batu. Walau dengan hanya seketul batu, mereka ingin memecut ke syurga.

Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Al Anfaal: 17)

Thursday, May 20, 2010

Ala Tuhibbuna...

Ingat tak kisah seorang sahabat yang dijamin syurga kerana memaafkan orang lain sebelum tidur? Dulu saya dengar kisah ini, rasa tak susah pun nak maafkan orang. Yalah, sebab saya buat kerja saya dan membiarkan orang lain membuat kerja mereka. Macam tiada masalah. Rasa tak buat dosa dan tak rasa orang buat dosa kat kita.

Tapi satu masa Allah uji dengan caci keji dan umpatan manusia lain. Masa itulah terujinya hati. Betul-betul sabar atau tak? Mampu ke nak maafkan? Jujur kita adalah manusia yang Allah kurniakan dengan seribu satu perasaan. Sedih juga sebenarnya dengan kata-kata manusia.

Semasa kawan saya ceritakan kritikan manusia lain terhadap saya, dia kata dia pun ada kelemahan. Tapi dia tak nak tanya pun kat orang lain kelemahan dia sebab dia tak berani berdepan dengan kelemahan-kelemahan tersebut. Tapi sebenarnya berhadapan dengan kritikan ini baguslah sebenarnya. Biarlah hijab keburukan kita itu terbongkar di dunia dari Allah buka semua itu kat akhirat nanti. Biarlah kita dah tarbiah diri kita menerima umpatan manusia, dari aib kita dibongkar satu persatu di mahsyar.

Dalam mengubat kesedihan itu, kisah Saidina Abu Bakar mengubat hati saya. Pernah sekali Saidina Abu Bakar diuji dengan sangat hebat dalam peristiwa Hadithul Ifk. Anaknya, Saidatina Aisyah difitnah. Bukan fitnah biasa, fitnah membuat zina. Cubalah bayangkan kita kat tempat Saidina Abu Bakar, kita dah didik anak kita sebaiknya, kita kenal anak kita sehabisnya dan orang fitnah anak kita sebegitu. Apa perasaan kita agaknya? Kalau sayalah, mesti saya dah bunuh orang itu. Lepas itu, puak yang terlibat dengan fitnah itu adalah orang susah dan mereka ini dibantu oleh Saidina Abu Bakar . Apa agaknya perasaan kita kalau kita kat tempat Saidina Abu Bakar? Kalau saya, mesti saya cakap orang itu tidak kenang budi betul.

Tapi bukan begitu sikap Saidina Abu Bakar. Dia cuma kata dia tak nak beri makanan lagi kat diorang.

وَلَا يَأۡتَلِ أُوْلُواْ ٱلۡفَضۡلِ مِنكُمۡ وَٱلسَّعَةِ أَن يُؤۡتُوٓاْ أُوْلِى ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِينَ وَٱلۡمُهَـٰجِرِينَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۖ وَلۡيَعۡفُواْ وَلۡيَصۡفَحُوٓاْ‌ۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَكُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ۬ رَّحِيمٌ (٢٢)

Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (Surah Annur: 22)

Turunlah ayat dari Surah Annur ayat 22 berkenaan perihal ini. Ada satu bahagian ayat itu, yang mana membuat api kemarahan dalam diri Saidina Abu Bakar terpadam terus. Ala tuhibbuna an yaghfirallahu lakum. Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Terus Saidina Abu Bakar kata dia maafkan dan akan terus memberi bantuan. Saidina Abu Bakar mengharapkan pengampunan Allah. Kalau kita rasa kita macam kecewa dengan manusia, sedih dengan manusia, ulanglah ayat ini. Tidak suka ke kita Allah ampunkan kita? Jangan kecewa. Jangan bersedih.

Tips seterusnya adalah fikirkan isu-isu yang lebih besar yang ada di sekeliling kamu. Semasa daurah baru-baru ini, ustaz bangkitkan berkenaan murtad. Ustaz bertanyakan pendapat kami. Ustaz kata sepatutnya kami sensitif dengan isu-isu sebegitu. Ustaz tempelak kami kerana sensitif dengan isu-isu yang kecil, terasa hati dengan hal remeh temeh padahal banyak lagi kerja kita. Huhu..

Oklah. Pengajarannya, belajarlah memaafkan. Ala tuhibbuna an yaghfirallahu lakum.

Wednesday, May 19, 2010

Hadis 1...

Semalam selepas bersarapan, ayah minta saya kongsikan satu hadis sebagai perkongsian pagi itu. Saya kongsikan hadis pertama dalam hadis 40 yang dikumpulkan oleh Imam Nawawi. Di dalam usrah, saya dan sahabat-sahabat lain dikehendaki untuk menghafaz hadis. Saya cuma baru berjaya menghafaz dua hadis sahaja. Tapi hafazan sebenarnya memaknakan lagi hadis-hadis ini dalam kehidupan kita. Serasanya hadis ini mengetuk hati saya dengan sebenarnya minggu lepas kerana beberapa peristiwa.



Exam written psychiatry

Exam written psychiatry adalah antara exam bertulis yang saya rasakan terlalu sukar. Semasa Prof bincangkan jawapan, terlalu banyak kesalahan yang saya lakukan. Jujur macam ada kekecewaan dalam hati saya sebabnya saya belajar untuk Psychiatry lebih banyak dari saya belajar untuk Specialty Posting. Tapi kesalahan dalam paper Psychiatry lebih banyak. Bila kekecewaan itu timbul, barulah saya muhasabah semula hadis ini. Kalau kita belajar kerana Allah, mesti kita tidak kecewa. Tapi nampak sangatlah yang saya ini belajar kerana exam. Terasalah dengan hadis ini. Huhu..

Case write up Psychiatry

Saya rasa semangat sangat menyediakan case write up saya. Pernah sekali saya present case, pensyarah saya kata saya macam present everything under the sun, orang macam tidak dapat membuat diagnosis / differential diagnosis daripada presentation saya. Seolah-olah saya tidak rule out atau rule in mana-mana penyakit. Sedihlah bila dengar komen macam itu.

Semasa saya buat case write up itu, saya cubalah sedaya upaya rule in dan rule out beberapa penyakit. Siap clerk pesakit dengan buku DSM-IV-TR lagi. Cita-cita nak buat lebih baik.

Bila pensyarah pulangkan semula case write up itu, semangatlah nak ambil, sebab rasa macam dah buat bersungguh-sungguh. Tapi baca komen pensyarah saya macam sedih sangat. Dia kata saya tidak describe symptom dengan sebenarnya. Siap dia kata dia pernah failkan student sebab itu.

Seriously sedih sangatlah baca komen itu. Waktu itu Allah ingatkan kembali hadis ini. Kita buat kerana Allah atau kerana pensyarah? Atau kerana kita mengharapkan hasil? Nampak sangatlah saya mengharapkan hasil. Bila sedih itu, kita terlupa pandangan Allah sebenarnya. Allah tengok usaha kita, bukan hasilnya. Lain itu, kenapa nak sedih sangat?

Peer assessment

Saya teringat hadis ini masa saya lihat borang peer assessment kawan-kawan saya. Hal tentang peer assessment ini satu kisah panjang sebenarnya. Tapi takpelah. Saya ceritakan sedikit. Ada beberapa orang kawan yang rankingkan saya paling rendah dalam group. Komen mereka kerana saya tidak join discussion group. Ada sekali sahaja sebenarnya saya tidak attend discussion.

Saya memang ada asocial personality sebab saya tidak berminat dengan percampuran lelaki perempuan dan banyak lagi hal lain. Kadang kita melarikan diri kerana hal itu. Tapi bila melihat borang peer assessment kawan-kawan saya, rasa sedih itu ada.

Persoalannya, adakah saya mengharap pandangan manusia sebenarnya? Kalau benarlah saya mengharapkan pandangan Allah, tidak patutlah saya rasa sedih kan?

Hadis ini besar maknanya dalam kehidupan saya sehari-hari. Banyak peristiwa yang terjadi membuatkan saya memikirkan kembali niat saya. Moga saya tidak menghafaz hadis ini di mulut semata-mata tapi juga menghafalnya dengan hati dan perasaan saya.

Tuesday, May 18, 2010

KFC vs McD...

Aiman, adik lelaki saya ceritakan perbualan di antara dia dan kawannya. Kawannya menyokong KFC.

Kawan Aiman: Aku sokong KFC..

Aiman: Aku sokong McD.. (Aiman saje cakap dia sokong McD)

Kawan Aiman: KFC orang Islam punya, ramai orang Islam kerja bawah KFC, kita kena sokong perniagaan umat Islam. McD orang Kafir punya..

Aiman: Aku tetap sokong McD. Aku tidak kisah kalau orang Kafir yang belikan peluru untuk Israel, tapi aku sakit hati tengok orang Islam sendiri yang beli peluru untuk Israel.

Kawan Aiman: Tapi KFC hanya memberi sumbangan 6% sahaja, sedang McD menyumbang 100% untuk Israel.

Aiman: Aku sokong McD. Contohlah kalau dari 100% keuntungan McD, 100 peluru dibeli dan mungkin hanya 1 peluru sahaja yang kena kat rakyat Palestin. Tapi kalau dari 6% keuntungan KFC, dia beli 6 peluru dan enam-enam kena kat rakyat Palestin, macam mana?

Kawan Aiman: Tapi Tan Sri Muhammad Ali kata Kumpulan Johor Corporation (JCorp) dah beli KFC. Sekarang beli satu, nanti belilah semua syarikat KFC kat dunia ini.

Aiman: Sekarang JCorp sahaja yang beli KFC, kau rasa rakyat Palestin nak tunggu berapa lama? Kau baru beli satu dah kecoh, kau ada hati nak beli satu dunia? Sementara tunggu JCorp beli seluruh syarikat KFC kat kat dunia, kita nak biarkanlah rakyat Palestin dibunuh sesuka hati?

Saya tak tahu kamu faham atau tak dialog ini. Tapi saya suka sangat jawapan Aiman. Hakikatnya boikotlah kedua-duanya. Jangan kerana nafsu, kalian merasionalkan segalanya.

Saya boikot KFC dan McD. Saya tidak mati hanya semata-mata boikot KFC dan McD.

Rujukan:

Link 1

Link 2

Tapisan Allah...

Semasa slot daurah pada sebelah petangnya, Bro A yang menjadi penyampai pun tiba lewat 2 jam. Dia pun ceritakan kesukaran untuk melepasi setiap check point. Dan katanya, yang berjaya sampai ke tempat program semuanya telah melalui tapisan Allah. Jujur saat dia menyebut tapisan Allah itu, hati ini benar-benar merasai kata-kata itu. Dan untuk ke tempat program itu, semuanya melalui ujian yang berbeza.

Ada satu kereta ini yang mana terdiri daripada adik-adik, mereka kata kalau tidak lepas, mereka dah nekad untuk balik. Masya Allah, yang terjadi sebaliknya. Polis trafik itu yang bertanyakan mereka, “Ada program kat masjid ke?”. Mereka kata ya, dan mereka melepasi polis trafik dengan mudah.

Ada seorang ukhti pula, keretanya rosak dalam perjalanan. Dia menangis. Datang ukhti yang lain membantu. Mereka berbicara dan membayangkan bahawa sekiranya mereka tiba dan program baru sahaja bermula, apa perasaan mereka? Seorang ukhti berkata mereka akan bertakbir. Dan masya Allah, sememangnya benar, walau setelah melalui ujian yang hebat, mereka tiba tepat pada masa Bro A memulakan sesinya. Masya Allah! Subhanallah! Dan sejurus sampai, keduanya bertakbir sesama mereka.

Ada seorang ukhti lagi, dia tidak lepas checkpoint. Akhirnya menaiki bas dan tangannya tercedera semasa menaiki bas, terlanggar sesuatu. Masya Allah! Allah memberi ujian yang bukan sedikit untuk semua hadir ke program kali ini.

Sememangnya benar, Allah menapis hambaNya. Jujur saat saya sendiri berputus asa, saya nak sahaja membawa adik-adik saya ke satu tempat dan memberi sahaja pengisian dan ke masjid setelah keadaan reda. Tapi Allah jua yang mengizinkan hati saya dan adik-adik untuk bermujahadah hadir ke tempat program. Allah tahu kalau hati kita ini betul-betul nak kebaikan itu atau pun tidak.

Dalam banyak-banyak program yang saya lalui, program ini adalah program yang paling sukar. Tapi di akhirnya ada kemanisan yang tidak terkira. Masya Allah, membaca email seorang ukhti yang memforwardkan komen adik-adik di Facebook membuat kami merasai dengan sebenarnya hakikat iman dan ukhwah itu. Allah jua yang membantu hamba-hambaNya.

Masih teringat lagi bicara Prof setelah LDK pada sebelah malamnya. Prof kata, dakwah ini milik Allah. Kita merancang, tapi Allah jua merancang, dan perancanganNya jugalah yang terbaik. Segalanya lari dari tentatif dan perancangan asal, tapi kemanisan program itu benar-benar kami rasai.

Tapisan Allah benar-benar teliti. Moga-moga Allah menguatkan kita di jalanNya sehingga akhir hayat kita.

”Apakah kamu mengira kamu akan dimasukkan ke dalam syurga sedangkan kamu belum mengalami apa yang telah dialami oleh manusia sebelum kamu. Mereka telah menderita kesusahan dan keperitan hingga bergegar (keimanan) mereka. Sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman yang bersamanya tertanya-tanya : ‘Bilakah pertolongan Allah (akan datang)? (Insaflah) pertolongan Allah itu sangat hampir ”(Al-Baqarah : ayat 214 )

”Di kalangan manusia, banyak yang mengaku kami beriman dengan Allah, tetapi apabila diuji dalam perjuangannya kerana Allah, ia lantas menyamakan gangguan manusia sama dengan seksaan Allah. Kalau pula datang pertolongan Tuhanmu (wahai Muhammad) necaya mereka berkata ini adalah kerana kami menyertai (perjuangan) kamu. Bukankah Allah yang lebih tahu apa yang tersirat di dada alam semesta. Allah akan mengetahui jua sesiapa yang beriman dan siapa pula yang munafiq. ”(Al-Ankabut : ayat 10-11)

Monday, May 17, 2010

Tanah liat...

Terlalu banyak yang ingin diluahkan. Jujur seminggu yang baru berlalu merupakan satu pengalaman yang terlalu berharga. Selepas penat exam, ada Intermediate Life Support, kemudian dinner batch dan seterusnya daurah. Penat sangat tapi setiap perkara mengajarkan saya sesuatu. Teringin berkongsi semuanya tapi saya mulakan catatan daurah terlebih dahulu.

Saya ingat lagi semasa akhawat 5th year exam, hati saya merintih berdoa pada Allah agar Allah mengurniakan mereka kejayaan. Seminggu selepas 5th year exam, batch saya akan menghadapi final exam pula. Sedang kerja dakwah terus menanti. Alhamdulillah, akak-akak 5th year lulus di dalam Professinal Exam mereka. Satu kegembiraan yang amat besar bagi saya. Dan best sangat bila seorang akak 5th year volunteer menjadi pengarah program daurah. Saya berterima kasih yang amat dengan akak tersebut. Rasanya dengan minggu yang amat penuh itu, batch kami sepertinya tidak mampu nak fokus pada perjalanan program daurah. Akak tersebut yang menguruskan hal bahan, tempat dan banyak lagi. Hanya Allah yang mampu membalas jasanya.

Semasa dalam perancangan program itu, tidak terfikir pun program itu akan clash dengan program Hari Belia Negara. Jalan ke tempat program semuanya ditutup. Saya sedang memandu saat itu. Kami konvoi pada mulanya dalam 10 kereta. Tapi kerana kesesakan yang berlaku, semua terpisah. Kemudian bila jalan semua ditutup, akhirnya Ameer membuat keputusan agar venue program ditukar ke tempat lain. Saat itu, saya diberi tanggungjawab untuk memberi tahu semua hal itu. Dalam keadaan memandu, untuk memaklumkan kepada semua keputusan itu benar-benar menyesakkan minda saya. Bila mesej dah dihantar, ada yang memberitahu bahawa penceramah dan juga beberapa kumpulan telah tiba di masjid. Dan kemudian Ameer membuat keputusan agar tempat program dikekalkan. Sekali lagi saya perlu mesej pada yang lain.

Saya memandu sejak 7.15 pagi dan sangkut di dalam kereta bersama dengan adik-adik usrah selama lebih 3 jam lebih. Rasanya otak dan minda saya dah cukup blank dah masa itu. Terlalu sesak dan tertekan rasanya berurusan dengan semua saat pertukaran venue dan hal-hal lain. Mesej yang bertali arus dalam keadaan saya memandu juga benar-benar menguji ketahanan. Setiap kali tiba di check point, saya memberitahu polis trafik bahawa kami mempunyai program di masjid tapi tidak dilepaskan. Kereta sahabat saya yang lain dapat melepasi dan hanya kereta saya dan beberapa kereta lain sahaja yang tidak dibenarkan. Hampir menangis saya di hadapan polis trafik tersebut memaklumkannya perihal program tapi dia tidak mahu memahami. Pelik kan? Mereka membenarkan manusia ke pogram Sure Heboh dan Hari Belia tapi menghalang orang ke masjid Allah.

Kemudian saya memandu berpusing-pusing di tempat yang sama. Kemudian dalam kesesakan tersebut, kereta polis nak lalu. Saat saya reverse untuk berpusing, kereta saya terlanggar kereta di belakang. Masya Allah, trauma kemalangan dahulu belum hilang lagi, dan Allah memberi saya tarbiah sekali lagi. Alhamdulillah, kereta saya dan kereta perempuan tersebut tidak kemek apa-apa. Jujur ia adalah keajaban bagi saya. Seakan-akan pertolongan Allah.Tapi tetap diuji apabila wanita tersebut memaki hamun saya. Sabarkan sahaja hati.

Trauma kemalangan itu hakikatnya tidak hilang lagi, tapi saya perlu memandu dan dalam masa yang sama perlu mesej sahabat-sahabat yang lain. Saya benar-benar blank dan meluahkan pada adik-adik usrah bahawa saya sudah berputus asa memandangkan jalan yang ada di hadapan saya seakan gelap semuanya. Adik-adik usrah juga yang menguatkan saya, mengucap kata sabar agar saya terus bertenang, memberitahu bahawa semua ini adalah ujian. Jujur dakwah ini mengajarkan kita bahawa kita akan belajar banyak perkara dari mad’u kita. Mereka melengkapi kita.

Akhirnya kami membuat keputusan untuk parking kereta di tempat berhadapan dengan Alamanda dan menaiki bas untuk ke masjid. Perjalanan itu menguatkan lagi ukhwah saya dengan adik-adik. Kami naik bas dan turun di tempat pertama dan kemudian kami naik shuttle bus dan diturunkan di satu tempat yang lain lagi. Dan akhirnya kami berjalan kaki ke masjid. Kami dan bermukhayyam dan berjaulah sebelum berdaurah.

Alhamdulillah, adik-adik usrah saya sungguh positif menghadapi semua itu. Rasanya pengalaman itu terlalu berharga bagi saya.

Kami tiba di masjid pada pukul 11.30 pagi. Kami sempat mengikuti pengisian kedua. Kami terlepas slot pertama. Tapi saya tidak dapat lupakan kata-kata ustaz berkenaan dengan kata-kata Mustafa Masyur – Iman ini seperti tanah liat. Kalau kita tembak tanah liat, mesti tanah liat itu akan bocor. Tapi tanah liat yang dah dipanaskan, diletakkan di dalam suhu yang tinggi, akhirnya akan menjadi batu bata yang kuat. Dan batu bata yang kuat ini menjadi satu binaan yang tersangat kukuh akhirnya. Pertama kali diuji, kita akan hancur tapi dalam setiap ujian itu, Allah sedang menguatkan kita sebenarnya. Allah sedang menarbiah dan membentuk diri kita untuk menjadi hebat lagi.
Masya Allah, menitis air mata saya. Mungkin ada yang rasa biasa sahaja tapi setelah melalui ujian yang sebegitu, saya merasai makna di sebalik kata-kata tersebut.

Insya Allah, nanti sambung cerita lagi…

Sunday, May 09, 2010

Gua Batu Maloi 2...

Esok saya akan menghadapi exam clinical psychiatry. Saya tidak cuak sangat exam bertulis, tapi takut dengan exam clinical. Dan saya dapat examiner yang saya rasakan paling hebat dalam banyak-banyak psychiatrist yang saya temui. Memang gementar sangat rasanya. Tapi saya doa kat Allah untuk berikan saya examiner yang terbaik. Kena yakin kat Allah itu adalah yang terbaik.

Sebenarnya macam dah muak menghadap buku. Ada tips untuk rasakan buku-buku perubatan adalah buku yang menyelerakan? Buku-buku psikiatri best sebab pasal perasaan, pasal diri sendiri, pasal manusia, personaliti dan lain-lain. Tapi bila tengok buku ENT, ophthalmology, anesthesiology and radiology, rasa macam kering sangat.

Cerita pasal kering ini, teringatlah basah. Hanya kapas yang basah mampu membasahkan kapas yang lain. Jujur cemburu bila membaca tulisan ukhti-ukhti lain yang membasahkan hati saya. Terasa sendiri bahawa saya hanya merepek di sini. Separuh tulisan ini pun dah merepek. Saya kena siapkan tulisan muhasabah perjalanan ke Gua Bukit Maloi yang tidak siap-siap lagi. Dateline hari ini. Huhu. Saya mahu menulis sebentar memenuhkan rasa kebosanan menghadap buku-buku perubatan.

Asma’ r.a

Kenal Asma’, puteri Saidina Abu Bakar? Saya terlalu mengkagumi dirinya. Menangis baca perbualannya dengan anaknya, Abdullah. Hebat sungguh peribadi seorang ibu. Insya Allah, ada masa nanti saya kongsikan kisah tersebut. Pernah tak terfikir kenapa Rasulullah SAW memilih bapa Asma’, Saidina Abu Bakar untuk menemani perjalanan hijrah baginda? Rasulullah bias ke? Kenapa Rasulullah SAW tidak pilih sahabat lain? Rasulullah SAW pilih kasih ke? Jawapannya yang pertama adalah kerana Saidina Abu Bakar r.a ini sangat hebat dan mengenali ramai pembesar kafilah Arab. Penguasaan bahasanya pun hebat. Tiada siapa yang akan mengesyaki perjalanan hijrah andai Saidina Abu Bakar yang menemani baginda.

Keduanya adalah kerana Saidina Abu Bakar ini telah mentarbiyah anak-anaknya dengan baik. Ingat lagi kisah Asma’ dengan datuknya? Masya Allah, terlalu hebat tarbiah Abu Bakar. Anaknya Abdullah menjadi pengintip rahsia kuffar. Hamba Saidina Abu Bakar, Amir bin Fuhairah membersihkan tapak kaki Abdullah dan Asma’ dengan menjadi pengembala kambing. Hebat kan Rasulullah SAW sebagai murabbi. Dia meletakkan manusia-manusia yang ditarbiyahnya di posisi yang terbaik.

Nak bicara mengenai Asma’ sebenarnya. Apa kaitan Asma’ dengan perjalanan masuk gua? Semasa kami masuk gua itu, ada seorang ukhti yang mengandung dua bulan juga bersama kami. Masya Allah. Saya rasa aktiviti itu macam lasak sangat. Tapi ukhti ini berjaya mengharunginya. Seorang ustazah pernah memberitahu kami, tiada alasan bagi wanita yang mengandung untuk tidak terlibat dalam mukhayyam. Kenapa? Sebab Asma’ dalam keadaan sarat mengandung, mengikat pada perutnya bekalan makanan dan menghantar makanan tersebut kepada Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar r.a di Gua Thur. Mungkin ada yang rasa biasa sahaja. Nak tanya satu soalan. Berapa kilo berat yang akan bertambah bagi seorang wanita yang mengandung? Ramai yang cakap 3kg, 4kg sebab bayi yang keluar bila timbang 3 kg, 4 kg. Masya Allah. Itu hanya berat bayi, tapi untuk setiap kelahiran, berat seorang ibu boleh bertambah sehingga 20 kg. Dengan berat itu, Asma’ r.a ikat makanan kat perut dia. Berapa lagi tambahan berat makanan tersebut. Allahu A’lam. Dan dia bukan berjalan di tanah rata. Tapi mendaki gunung untuk sampai ke Gua Thur. Masya Allah. Kisah peribadi Asma’ ini bermain-main di fikiran saat melihat ukhti tersebut.

Air

Semasa sharing moment dengan akhawat di sana, seorang ukhti berbicara bahawa tarbiyah ini seperti meminum air yang sedap. Kalau nak minum air, kena tuang dalam gelas, kena angkat dan suakan ke mulut. Begitulah jalan dakwah dan tarbiyah. Kalau nak rasa nikmat dia, kena buat dahulu.

Semasa perjalanan ke gua pun begitu. Perjalanannya begitu sukar. Tapi bila kita sampai ke satu tempat di mana kita merasai dan meminum air terjun yang segar, nikmat dan kemanisannya sukar diterjemahkan.

Bila cerita tentang haus dan air ini, teringat kisah Talut dan Jalut juga.

Allah

Semasa perjalanan itu, ada laluan yang terlalu sukar untuk kita lalui. Ada keadaan yang terlalu menakutkan. Ada tempat yang tiada cahaya. Ada saatnya terpaksa merentasi air terjun yang tersangat deras. Ada kalanya terpaksa memanjat di saat air terjun mencurah-curah dengan tekanan yang tinggi. Ada ketikanya laluan begitu sempit. Dan saat itu, pergantungan kita kepada Allah begitu tinggi. Begitulah jalan dakwah mengajar kita. Terkadang penat. Ada ujian yang melanda. Ada kesakitan yang perlu kita rasai. Ada saatnya terasa berseorangan. Ada kalanya menangis dan bersedih. Dan dalam semua kesukaran di jalan ini, pergantungan kita kepada Allah adalah terlalu tinggi. Jalan inilah yang menemukan kita dengan Allah, merasakan kehadiran Allah dalam setiap saat yang kita lalui.

Kita rasai sendiri perasaan itu semasa perjalanan. Kita melihat sendiri bahawa di celah batu itu, ada air yang mengalir. Kita melihat sendiri bahawa dalam kegelapan itu, ada makhluk Allah yang hidup berzikir padanya. Kita melihat sendiri bahawa Allah menjamin rezeki makhluknya di dalam tempat yang terlalu sukar dijejaki manusia. Seandainya Allah mengetahui semua itu, pastinya Dia lebih mengetahui segala perkara yang tersirat di lubuk hati kita yang paling dalam walau tiada siapa yang menjejaki dan mengetahuinya bukan?

Akhawat

Jujur saya lambat dalam aktiviti ini. Tapi akhawat yang berada di hadapan dan belakang saya sangat membantu. Mereka yang cepat menghulurkan tangan membantu. Memberi motivasi. Terkadang menolak kita untuk melonjak melepasi laluan yang sukar. Begitulah juga dengan jalan dakwah. Tidak mampu kita menghadapinya berseorangan. Kita memerlukan sahahat. Kita terlalu memerlukan mereka. Merekalah yang menguatkan kita di saat kita lemah. Merekalah yang menolak kita untuk terus mara. Mereka membantu kita di saat kerja-kerja kita bertimbun. Mereka melengkapi kita. Dalam perjalanan saya sebagai pelajar dan memegang mas’uliyah, sememangnya jasa baik akhawat terlalu banyak. Hanya Allah yang mampu membalasanya.

Surah Kahfi

Hari sebelum bertolak, saya mentadabbur surah kegemaran saya, Surah Kahfi semasa qiamullail. Masya Allah, dalam gua tersebut, surah ini menggamit kenangan. Kita tidak menyertai perjalanan tersebut semasa-mata untuk bergembira. Tapi semata-mata untuk menjalin ukhwah dan memberi motivasi agar akhawat di sana turut bergerak. Even di dalam gua, walau kesannya terlalu sedikit di mata manusia lain dalam konteks dakwah, jika Allah mengkehendaki kesan dakwah ini akan mampu dirasai oleh masyarakat di luar sana. Walau pemuda kahfi berada di dalam gua, Islam terus memancar. Kerja Allah siapa tahu?

Mati

Tidak mustahil kan kita mati dalam gua itu? Tidak mustahil batu-batu besar yang ada di atas kita akan menghempap kita. Begitulah kehidupan mengajarkan kita. Maut sentiasa mengintai. Kena lebih aktif lagi dalam dakwah dan tarbiah agar tidak menyesal kerana membawa hanya secebis amalan untuk bertemu Allah.

Syurga

Dalam hidup ini saya pernah melalu anchedonia (loss of the capacity to experience pleasure). Saya pernah melalui depression. Masa itu saya rasakan hidup ini tidak indah.

Tapi perjalanan di dalam gua tersebut menimbulkan keinsafan dalam diri saya. Perjalanannya terlalu sukar, tapi bila saya melihat kelawar yang bergayut dan berterbangan, labah-labah yang sedang bergayut membuat sarangnya yang sangat besar, katak batu yang melompat, kulat pada batu yang bercahaya apabila terkena sinaran matahari, akar pokok yang menyedarkan kita bahawa kita berada di bawah tanah, saya rasakan bahawa hidup ini terlalu indah. Ada banyak lagi perkara yang perlu kita terokai.

Saat kita mendaki, saat kita terhantuk batu, saat tangan kita terhiris dengan ketajaman batu, kita tidak tahu pun apa yang Allah sediakan untuk kita di hadapan. Tapi masya Allah, Allah memberi izin untuk mata kita merakam panorama yang terlalu indah. Terlalu indah sehingga bayangan kenangan itu seakan bermain-main di fikiran kita.

Begitulah juga jalan dakwah. Terkadang penat. Terkadang sukar. Ada kesukaran yang tidak mampu kita ceritakan pada yang lain. Ada kesulitan yang kita pendam dalam nubari kita. Ada kepayahan. Tapi apa yang Allah sediakan untuk kita di hadapan adalah suatu yang indah iaitu syurgaNya yang terlalu hebat. Masih teringat lagi bicara pensyarah Palestin yang mengajar di sini. Apabila Allah menunjukkan syurgaNya buat orang beriman, orang beriman itu merasakan bahawa dia tidak pernah melalui kesukaran apa pun di dunia ini. Masya Allah.

Muka (orang-orang yang beriman) pada hari itu berseri-seri, Tertawa, lagi bersuka ria; (Surah Abasa: 38-39)

"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu) ! "Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia - "Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! " (Surah Al Fajr: 28-30)

Saturday, May 08, 2010

Rasalah bertuhan...

Dr R ceritakan tentang Michael Crichton, pengarah rancangan TV bersiri popular ER. Kata Dr R, Michael menulis semasa berada di alam universiti sebagai pelajar perubatan. Tulisannya yang menguatkan dirinya untuk mengharungi alam perubatan.

Hmm..Bukan duat juga perlu menulis? Kalau bukan untuk menguatkan yang lain pun, paling kurang untuk menguatkan dirinya sendiri. Bilakah saatnya saya mampu menulis segala hikmah yang saya perolehi?

Penat. Jujur itu yang saya rasakan. Saya tidak mahu menangis. Tapi saat chatting dengan Dilah, hati ini rasa dekat sangat. Air mata tidak tertahan lagi. Allah menghantarnya untuk menguatkan saya. Jujur saya rindukan dirinya. Walau lama kami tidak berchatting, masya Allah ukhwah itu masih hangat lagi.

"Hidup ini kan sekejap sangat. Banding dengan akhirat, dunia macam sekelip mata sahaja. Adatlah rasa tak kuat. Kita kan manusia, bukan malaikat. Jangan hilang rasa bertuhan".

"Rasa lemah itu maknanya Allah panggil balik nti untuk reload power. Allah sangat dekat sebenarnya dalam waktu-waktu macam itu. Cuma nti sedar atau tidak sahaja. Ana selalu juga rasa lemah, kosong dan sendiri. Ubatnya, rasalah bertuhan. Never fail yourself because you're always the winner. Tiada masalah yang terlalu besar untuk seorang mukmin. Tiada urusan dunia yang boleh menggagalkan kita. I'm not saying that we're the mukmin, but at least we're striving for that. Tiada siapa dan apa yang boleh kalahkan kita. Walaupun tiada siapa yang recognize kita kat dunia, ingat kita still ada somebody kat dunia ini. At least dekat mata Allah kita adalah somebody. Tiada makna masyhur kat dunia kalau penduduk langit tak kenal kita. Lagi pun ana rasa nti sangat jelas yang ujian Allah sesuai dengan kekuatan dan kemampuan kita".

Huhu...Betapa diri ini perlu selalu diingatkan...

Tuesday, May 04, 2010

Gua Batu Maloi...

Terlalu banyak yang terjadi sehingga tangan dan minda terlalu lesu untuk menyajikan sebarang tulisan di sini. Kadang bila memikirkan masa depan blog yang kerdil ini, seakan ia menanti masa untuk fana’. Semua hal di dunia akan fana’ bukan? Hal itu adalah sesuatu yang pasti.

Oklah, saya tangguhkan dahulu tulisan tafsir AlMudathir. Saya kena siapkan homework, menulis muhasabah catatan kembara dakwah ke Gua Batu Maloi pada hari Sabtu yang lalu. Saya ingatkan pengalaman semasa PPD camp adalah yang paling lasak. Rupanya ada yang lebih lasak lagi. Tapi hati saya gembira. Ibrahnya yang ditulis di sini tidak mungkin sama dengan pengalaman yang saya rasai sendiri.

Perjalanan tarbiah

Jujur ada kegemibiraan bila dapat bersama dalam kembara tarbiah. Perjalanan yang mengasingkan tempat duduk lelaki dan perempuan. Satu perjalanan yang mana ikhtilatnya terjaga. Kadang saya yang bergerak di dalam arena dakwah jarang memikirkan bagaimana kelak seandainya Islam memerintah. Bagaimana dunia seandainya Islam menjadi Ustaziatul Alam? Bagaimana suasana bas di dalam negara Islam? Bagaimana jalanrayanya? Bagaimana bangunan di dalam negara Islam? Kita jarang bermimpi kan? Kita jarang membayangkan dan berfikir sejenak. Sejujurnya setiap aktivis dakwah perlu ada semua itu di dalam benak pemikirannya agar ia menjadi motivasi baginya untuk terusan bekerja. Ada ketenangan luar biasa mengikuti kembara ini. Rasa terjaga. Rasa aman yang mana semua itu terlalu sukar kita temui dalam kehidupan kita sehari-hari. Tapi bukankah hal itu perlu menjadi motivasi bagi kita untuk mengubah dunia? Banyak sungguh kerja yang menanti.

Ukhwah

Jujur Allah jua yang menautkan hati hambaNya. Bertemu dengan akhawat di sana merupakan suatu yang terlalu indah. Walau berlainan wajah dan tidak pernah bertemu sebelum ini, tapi seakan ada satu tautan hati yang sukar dimengertikan. Benar kata makcik. Ukhwah ini buah iman yang mana iman itu sendiri adalah perjalanan dakwah kita. Semakin kita mengharungi jalan dakwah, iman kita bertambah dan lahirlah nikmat ukhwah. Dan tiadalah yang berkuasa menyatukan hati-hati kita melainkan Allah SWT.

"Dan Dia menyatukan hati mereka. Sekiranya kamu (Muhammad) menafkahkan kesemua yang di dalam bumi, tentu kamu tidak akan dapat menyatukan hati mereka; tetapi Allah menyatukan antara mereka; sesungguhnya Dia Perkasa, Bijaksana." (8:63)

Sesi perkongsian pengalaman

Dakwah ini membuatkan hati kita membuak-buak untuk memberi kan? Saat ukhti lain berbicara, hati kita juga meronta-ronta untuk berbicara. Macam berat sangat bila bicara dakwah itu kita tahan di dalam hati kita. Seakan air yang begitu tiggi tekanan dan derasnya yang ditahan oleh empangan. Seakan hati itu terasa seperti ingin pecah. Jujur itu yang saya rasai. Cuma masa yang ada terlalu sedikit untuk semua memberi dan berkongsi nikmat dakwah dan tarbiah ini. Mudah-mudahan perasaan ini akan terus membuak kerana takut andai Allah menariknya sehingga diri ini tidak bersemangat lagi. Nauzubillah..

Qawiyyul Jismi

Jujur saat jurupandu memberitahu bahawa tidak digalakkan memakai kasut sukan yang baru kerana bimbang akan rosak, saya tidak memahaminya. Alhamdulillah, ada ukhti yang menjual kasut getah dan hal itu amat membantu. Sepanjang perjalanan merentasi gua, baru saya fahami apa yang disebut sebagai ‘kelasakan’ itu. Memang lasak. Tidak pernah terfikir rasanya saya akan melalui semua itu. Malah saya merasai sendiri apa yang disebut oleh tarbiah . Saya bukan seorang yang aktif dalam semua ini tapi jalan tarbiah mengubah saya. Malah terasa alangkah indahnya andai Allah menemukan saya dengan jalan ini lebih awal lagi agar saya menitikberatkan muwasafat Qawiyyul Jismi dari awal lagi. Insya Allah, saya akan berusaha untuk menjaga nikmat jasad yang Allah berikan ini.

Bicara akhi A semasa sharing moment seakan-akan datang ke minda. Kisah sahabiyah bernama Nusaibah semasa perang Uhud menimbulkan keinsafan dalam diri saya. Lemahnya saya dari sudut fizikal sedangkan sahabiyah dulu begitu kuat. Berjuang mempertahankan Rasulullah SAW sehingga Rasulullah SAW mengungkapkan kata bahawa dia tidak melihat yang lain selain Nusaybah yang mempertahankannya. Bukan dengan sikap lemah seorang perempuan, “Eh jangan dekat”. Bukan dengan sikap itu. Sebaliknya menurut riwayat, dia memegang dua pedang dengan kedua-dua tangannya melawan ribuan tentera musyrikin yang datang untuk membunuh Rasulullah SAW. Kerana hanya sebilangan kecil sahaja yang terus mengawasi dan membela bersama Rasulullah SAW, Nusaybah sanggup menjadikan kudrat tubuhnya sebagai pelindung rasul.SAW. Medan pertempuran semakin sengit. lewat sehingga Nusaybah rebah sendirian. Tiba-tiba Ibnu Mas’ud datang mengawasi bersama kudanya, kalau-kalau ada korban yang masih boleh ditolongnya. Sahabat itu, begitu melihat sekujur tubuh bergerak lemah, segera mendekatinya. Dipercikannya air ke muka tubuh itu. Akhirnya Ibnu Mas’ud mengenalinya, “Apakah kamu ini Isteri Zaid?”

Nusaybah samar-samar memperhatikan ibn Mas'ud. Lalu bertanya, “Bagaimanakah dengan Rasulullah? Selamatkah beliau?”

“Beliau tidak kurang suatu apapun..Allah dan para pencintanya bersama baginda SAW”

“ Pinjamkan kuda dan senjatamu kepadaku….”

“Engkau masih luka parah, wahai isteri Zaid yang disegani….”

“Engkau mahu menghalangi aku membela Rasulullah?”

Terpaksa Ibnu Mas’ud menyerahkan kuda dan senjatanya. Dengan susah payah, Nusaybah menaiki kuda itu, lalu menderapkannya menuju ke pertempuran. Banyak musuh yang dipatahgantikannya. Namun, kerana tangannya sudah cedera parah.akhirnya dikatakan didalam sebuah riwayat ada lebih kurang 13 kesan tusukan pedang pada tubuh beliau termasuklah kesan selar dibahagian lehernya.

Diriwayatkan oleh Ikrimah dalam sebuah hadith: Rasulullah SAW bersabda, “Aku tidak nampak yang berperang itu perempuan melainkan kelibat kehebatan lelaki..(aw kama qal)

Masya Allah. Ya rabb, izinkan diri ini mengambil semangat mereka dalam perjuangan ini.

Insya Allah sambung nanti. Huhu, exam final next week - Psychiatry, Anesthesiology, ENT, Ophthalmology, Radiology. Ya Allah, berikan aku kelapangan masa.
There was an error in this gadget