Thursday, April 29, 2010

Al Mudathir 2...

Sehari dua ini hati terlalu sedih. Tapi kena teruskan juga segalanya. Segalanya terlalu memeritkan. Petikan muqaddimah Fi Zilalil Quran menggamit hati - Setiap perkara dan kejadian ada hikmahnya, tetapi hikmah itu adalah suatu hikmah ghaib yang amat mendalam dan mungkin tidak ternampak kepada pandangan manusia yang singkat. Moga kelak saya memahaminya walau mungkin saya tidak berpeluang memahami bahasa takdir di dunia ini.

Di dalam muqaddimah tersebut juga, Assyahid Syed Qutb menukilkan:

Oleh sebab itulah aku hidup di bawah bayangan al-Qur’an dengan hati yang tenang tenteram dan di sana aku melihat tangan kekuasaan Allah mengendalikan segala peristiwa dan segala perkara. Di sana aku hidup di bawah naungan dan pemeliharaan Allah dan aku benar-benar merasa kesan-kesan sifatNya yang positif dan aktif.

Moga segala yang terjadi dalam redha Allah kerana sungguh saya tidak berdaya dan terasa begitu lemah menghadapi semuanya. Tangisan bagai tiada henti. Moga ribut hujan ini akan melahirkan pelangi yang bergemerlapan. Itu sahaja harapan saya. Jujur saya tidak ingin terusan bersedih kerana kerja yang ada kian banyak.

Oklah, ayuh teruskan sambungan tafsir Al Mudathir.

Buat semua yang berada di atas jalan dakwah ini, amat penting untuk kita memahami bahawa jalan ini beitu payah sekali dan jalan dakwah adalah jalan yang panjang. Good results are not easy to be achieved. Prof beritahu kami ciri-ciri jalan dakwah. Hanya ada sedikit yang masih istiqamah. Dari dulu sehingga kini, angka-angka yang terlibat dalam usrah yang dulu hakikatnya ramai kian berkurang. Yang istiqamah akan berasa sedih dengan apa yang berlaku.

Rasulullah SAW sendiri adalah the best daie ever existed. Tapi berapa ramai bilangan mereka yang hijrah? Macam mana seorang daie yang bekerja 13 tahun terus menerus, full-timer dakwah, 24 jam sehari tapi hanya sedikt sahaja angka yang berjaya dikumpulkannya?

Seterusnya jalan ini hanya sedikit sekali penyokongnya. Berapa ramai yang sanggup datang dalam kesukaran? Kalau semua senang, orang datang tapi kalau susah?

Seterusnya jalan ini akan membuatkan kita berasa seperti alien. Ghuraba’. Berbahagialah seandainya menjadi asing. Islam tu dagang dan akan kembali dagang. Kita akan menjadi terlalu pelik dalam komuniti. We always worries that we may be wrong. And the fact is that ‘failure’ is the default short term outcomes. Hatta Rasulullah SAW sendiri yang merupakan kekasih Allah itu mengalami kegagalan demi kegagalan. Selama 13 tahun, Rasulullah pergi setiap khemah semasa musim haji. Bukan setahun sahaja tapi tiap-tiap tahun. Berapa kali kegagalan yang Rasulullah SAW lalui?

Kenapa awal dakwah, sembunyi di rumah Alarqam bin Abi Arqam? Sebabnya tidak semua akan terima dakwah ini. Prof katakan pada kami selagi tak rasa ketakutan kerana dakwah, maksudnya belum buat dakwah. Ustaz Fathi Yakan menulis satu buku bertajuk Panduan untuk Para Pendakwah dan topik pertama adalah dakwah di pinggiran. Ramai yang senang dengan dakwah touch and go. Sampaikan ceramah dan kembali pulang. Berapa ramai yang sanggup follow up mad’u mereka?

Dalam bab 6 buku Al Muntalaq tulisan Muhammad Ahmad Arrashid menyentuh mengenai pelukan malaikat Jibril terhadap Rasulullah SAW semasa meminta baginda membaca Iqra’. Kenapa perlu peluk kuat-kuat? Itulah sebabnya semasa dakwah fardiah, kena peluk mad’u kita kuat-kuat. Kena ada ikatan hati yang terlalu erat. Erti dakwah sebenar sehingga orang itu menjadi muslim dan daie yang sebenarnya. Kita bina manusia sehingga mereka juga memahami makna dakwah ini.

Seterusnya Prof terangkan pada kami dugaan dan cubaan dalam jalan dakwah. There is possibility of frustrations , giving up, accepting ‘better’ offers with quicker rewards, and making mistakes that results in people running away from the path. Pernah lalui semua itu? Saya sendiri tersilap langkah beberapa kali. Hatta kesedihan saya kali ini juga kerana memikirkan sama ada saya tersilap percaturan atau tidak. Jujur terkadang segala yang terjadi begitu menyakitkan. Betul kata makcik, yang ada di jalan ini adalah kerikil yang menyakitkan. Berat rasanya kesedihan yang perlu dipikul.

Di dalam Surah Luqman, Allah ceritakan nasihat Luqman buat anaknya:

"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. (Luqman: 17)

Selepas melakukan kerja dakwah, Luqman nasihatkan – fasbir ala ma asabak. Bersabar atas segala yang terjadi selepas itu. Sebabnya jalan ini terlalu menyakitkan. We’re looking for short term result sedangkan hasil dalam dakwah adalah jangka masa panjang.

Ingat lagi kisah suapan Rasulullah SAW?

Di sudut pasar Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yangmendekatinya, “Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya”.

Namun, setiap pagi Muhammad Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahwa yang menyuapinya itu adalah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW melakukan hal ini setiap hari sampai beliau wafat.Setelah wafatnya Rasulullah SAW praktis tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.

Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah SAW yakni Abu Bakar RA berkunjung ke rumah anaknya Aisyah RA yang tidak lain tidak bukan merupakan istri Rasulullah SAW dan beliau bertanya kepada anaknya itu,“Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?”

Aisyah RA menjawab, “Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja”

“Apakah itu?” tanya Abu Bakar RA.

“Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana” kata Aisyah RA.

Keesokan harinya Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu. Abu Bakar RA mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abubakar RA mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil mengherdik, “Siapakah kamu ?”

Abu Bakar RA menjawab, “Aku orang yang biasa.”

“Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku”, bantah si pengemis buta itu. “Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut setelah itu ia berikan padaku”, pengemis itu melanjutkan perkataannya.

Abu Bakar RA tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, “Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW”. Seketika itu juga pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abu Bakar RA, dan kemudian berkata, “Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia…”

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat di hadapan Abu Bakar RA saat itu juga dan sejak hari itu menjadi muslim.

Masya Allah, begitu hebat dakwah Rasulullah SAW. Adakah Rasulullah SAW mengejar dakwah jangka masa pendek? Tidak. Malah Rasulullah SAW wafat tanpa sempat melihat hasil kerjanya. Malah keislaman wanita Yahudi itu adalah setelah wafatnya Rasulullah SAW. Ada pengajaran besar untuk duat dalam kisah ini. Sungguh dakwah ini hasilnya hanya mampu dituai setelah satu jangka masa yang panjang.

Ingat lagi kisah Ashabul Kahfi? Mereka mengislah ummah dan melakukan dakwah, tapi tidak berkesan. Hatta sampai terancam nyawa. Adakah dakwah mereka berkesan masa itu? Tidak, tapi selepas beratus tahun, baru orang masuk islam. Impak dakwah mereka berjalan walau mereka tidur dalam gua. Hatta selepas itu Allah hidupkan mereka. Kenapa Allah tak matikan mereka? Kenapa hidupkan mereka? Untuk membuktikan janji Allah. Janji bahawa mission yang impossible itu akan berjaya. Wa’dallahi haqq (18:21)

Assyahid Imam Hassan Al Banna sendiri semasa awal permulaan dakwah bercita-cita agar fikrah Ikhwanul Muslimin sampai ke seluruh alam. Benar apa yang dicita-citakannya. Hatta dakwah ikhwan mewarnai bumi Fiji bumi. Subhanallah.. Sungguh perjalanan ini masih jauh.

Insya Allah, sambung lagi.. Tidak masuk lagi perbincangan surah ini. Huhu..

Sunday, April 25, 2010

AlMudathir 1..

Ada adik yang memberi ulasan mengenai blog ini. Katanya, blog ini sentiasa terupdate. Belajar perubatan di Malaysia tidak sibuk ke? Saya memetik kata-kata Prof semalam berkenaan program tarbiah yang berjalan tiap-tiap bulan di sini. Kata Prof, program tarbiah yang berjaya dilaksanakan dalam kepadatan masa bergelar belajar perubatan adalah anugerah Allah. Tanpa anugerah Allah, perkara ini tidak dapat dilaksanakan. Saya percaya setiap yang berlaku adalah anugerah Allah. Masa untuk menulis juga adalah anugerah Allah.

Saat ini saya menaip di dalam kereta. Kelas selama dua hari di Melaka. Kawan saya mahu menumpang kereta saya pada mulanya. Tapi tadi saat saya mahu start kereta, baterinya dah rosak. Akhirnya seorang kawan yang lain yang membawa kereta. Terkadang kita tertanya-tanya, mengapa saat kita memerlukan, Allah memberi ujian sebegitu? Ternyata Allah sedang memberi saya masa untuk menulis semasa menumpang kereta kawan.

Oklah, kita berkongsi pengalaman program semalam. Kata Prof, program tersebut bukan setakat satu program. This is not just another program. There is reason for everything. Jujur saya juga merasakan hal yang sama.

Selepas pendahuluan yang memugar semangat, Prof teruskan dengan memberi tafsir surah alMudathir. Manisfestation of this ayah is intense. Surah ini adalah surah Makkiah. Ayatnya pendek-pendek, tapi implilasi ayatnya adalah sangat besar. Contohnya seperti surah Haqqah, nama haqqah itu sendiri membawa maksud yang sangat besar. Setiap amalan akan dibongkar. Setiap zarah akan diungkit oleh Allah. One word, tapi implikasinya besar. Menurut Assyahid Syed Qutb, ianya adalah hentaman dari Allah, sampai panjang sangat bacaannya, macam ambil satu barang, lepas itu hempas dengan sangat kuat. Supaya semua orang sedia, sedar dengan apa yang sedang diperkatakan.

Banyak perbahasan sekitar surah AlMudathir ini. Ada kisah pertembungan di antara Walid AlMughirah dan Rasulullah SAW. Ada perbincangan sama ada ayat ini yang pertama kali diturunkan atau tidak. Ada sahabat nabi yang bernama Jabir r.a yang mendengar bahawa ayat ini adalah ayat pertama yang diturunkan. Ada riwayat yang menceritakan bahawa wahyu lama tidak turun dan Rasulullah SAW terlalu gelisah dan kembali ke gua Hira’, lantas tika itu wahyu turun. Insya Allah, kalian boleh membacanya di dalam tafsir Fi Zilalil Quran.

Kita masuk perbincangan seterusnya. Apa beza Al Mudathir dan Al Muzammil? Al Muzammil adalah berselimut yang biasa-biasa sahaja sedang AlMudathir adalah meyeliputi seluruh tubuh dengan sebenarnya kerana ketakutan yang amat.

Cuba bayangkan seketika dalam keadaan kita tidur, ada yang datang memberi kerja. Kalau tidak pun, dalam keadaan kita belajar perubatan ini, yang kadangkala bersedia atau tidak, tiba-tiba sahaja pensyarah buat peperiksaan tanpa ada notis. Apa perasaannya? Pasti ada yang akan merayu agar peperiksaan ditangguhkan. Tapi dalam ayat Allah – Ya Ayyuhal Mudathir, Qum Faanzir. Wahai orang yang berselimut, bangunlah dan berilah peringatan. Allah guna dalam ayat kedua tersebut fa (faanzir). Apa beza ‘fa’ dan ‘saufa’? Macam kitalah kan,dah makan dan lepas tu nak basuh tangan. Tapi kita sempat nak jalan berlenggang nak pergi dapur untuk basuh tangan. Itulah ’saufa’ , ada sela masa di antara perbuatan kita. Tapi dalam ayat ini Allah guna fa yang membawa maksud bangun terus dan beri peringatan. Tiada argument, tiada discount. In same breath, in same ayat, no pause, terus buat kerja.

Apa yang Rasulullah lakukan? Rasulullah saw bangun dan membuka selimutnya terus dan mengatakan pada Saidatina Khadijah, ’ Telah berlalu masa tidurku’.

Sejak saat itu Rasulullah saw terus berdakwah sehingga akhir hayatnya. Dan inilah sunnahNya yang paling besar. Tanyakan pada diri kita, kita dah ’qum faanzir’ atau belum? Kita dah berikan peringatan atau belum? Kerana takutnya Rasulullah SAW dengan amanah ini, dia meminta Khadijah r.a, “Dathiruni, dathiruni”. (Selimuti aku, selimuti aku).

Prof kata kat kami kalau belum pernah ada ketakutan sebegitu dalam hati kami, sehingga rasanya seperti ingin diselimuti, kita belum lagi melakukan dakwah. Kita belum lagi merasakan keseriusan dakwah. Dakwah belum lagi menjadi darah daging kita.

Ayat ini diturunkan seperti dalam satu babak drama, walau ianya bukan drama. Ada ketakutan yang amat. Ada keseriusan yang begitu menggoncangkan. Dakwah bukan kerja senang, akan ada banyak masalah. Akan ada situasi yang kita give up sangat. Dakwah matlamat akhirnya sangat besar. Expectation in you are very high.

Qum faanzir. Apa ultimate goalnya? Jawapannya adalah ustaziatul alam, menjadi world order. Berat tak? Rasa tak betapa berapa beratnya ayat ini? Seandainya kita fikirkan sebenarnya, tidak sesekali kita mampu memikulnya. Memegang satu posisi juga membuatkan saya ketakutan. Kadangkala manusia ada pasang surutnya. Ada kala terlalu bersemangat dan ada ketika yang lain, semangat yang ada kian pudar. Terlalu takut sebenarnya memegang posisi. Bimbang andai kelemahan saya menjadi kelemahan orang di bawah saya. Andai saya lemah yang lain juga akan menjadi lemah. Tiap hari saya ketakutan dengan tanggungjawab yang diberi. Andai ada pemilihan, begitu mudah menulis nama yang lain. Tidak akan ada manusia yang ingin menagih posisi dalam dakwah. Allah, bantulah hambaMu ini.

Mungkin kita tidak rasa berat lagi. Kata Prof, apa maksud Ustaziatul Alam ini? Maksudnya sehingga program-program kita boleh berlaku di White House. Program kita tak perlu berbayar. Ini adalah objektif yang ditentukan oleh Allah. Rasa mustahil? Tapi inilah matlamat yang perlu dicapai. Berat sungguh beban dakwah ini.

Inni ja’ilun fil ardhi khalifah. Inilah matlamat dan objektif yang telah Allah tentukan iaitu menjadi khalifah Allah di atas muka bumi ini. Sedar atau tidak, reason for our existence is not accomplished.

Apa perasaannya kalau kita tidak sempat complete buat medicine. Sedih tak? Tapi pernah tak bersedih sebab tak accomplish lagi mission buat kerja dakwah? Kalau Allah tanya, kenapa tak accomplish kerja ini, apa jawapan kita? Dan cuba bayangkan bagaimana perasaan Rasulullah SAW menerima amanah yang begitu berat ini.

Beratnya kerja ini sehingga ada nabi yang sampai sanggup nak bunuh diri iaitu Ashabuunnun (Nabi Yunus). Dia give up. Kalau belajar psychiatry, nabi Allah ini sampai ada suicidal ideation, sanggup terjun ke dalam laut. Kalau kita tak rasa benda ini, kita belum fikir lagi tentang dakwah lagi maksudnya. Rasulullah SAW sendiri bersedih melihat kehancuran dan kesesatan kaumnya. Allah gambarkan perasaan baginda ini dalam Surah AlKahfi ayat 6. ”Maka (Apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati sesudah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman dengan keterangan ini (AlQuran)”. Kesedihan inilah juga yang perlu ada dalam hati kita melihat ummah ini. Kenapa bersedih sebegitu sekali? Kerana jalan ini ‘outcome’nya almost invisible.

Kereta saya rosak. Kereta yang indah di luarnya tetapi tidak boleh bergerak. Tidak mencapai objektif tujuan kereta tersebut. Begitulah analoginya kita. Allah ciptakan kita, tapi kita tak buat pun apa yang Allah suruh. Sama seperti membeli jam yang mahal, yang penuh ukiran tapi tidak mampu menunjukkan masa. It’s useless. Allah kata Allah ciptakan kita dengan sebaik-baik kejadian tapi kita menjadi makhluknya yang paling tidak berguna.

Liyabluwakum ayyukum ahsanu amala. Orang yang paling baik adalah orang yang berjaya mencapai objektifnya. Tapi kita?

Insya Allah sambung nanti..

Realiti..

Jujur saya terinspirasi dengan buku Hazaddeen dan juga kisah beberapa sahabat. Beberapa hari yang lepas, terdetik di hati menulis novel dengan mengambil inspirasi dari buku tersebut. Sudah beberapa kali niat itu hadir tapi wallahi idea itu tidak pernah mampu saya terjemahkan sebagai tulisan. Saya mengkagumi keluarga Asma’ r.a. Saya ingin dia menjadi watak heroin dalam novel tersebut. Saya mengkagumi perjuangan Zubair dan inginkan dia menjadi heronya. Tapi saya tidak boleh menulis. Hal menulis novel ini pernah hadir beberapa kali dalam hidup saya. Tapi setiap kali mahu meneruskannya, saya akan mengalami writer’s block. Allah tidak pernah mengizinkan hal itu terjadi.

Saya memohon pada Allah agar dikurniakan hikmah, melihat tabir rahsia mengapa semua itu berlaku. Lantas semalam saya mendapat jawapannya. Selepas pengisian mengenai tafsir AlMudathir yang begitu menyentuh hati, murabbi saya menangis membaca lirik lagu Perjuangan oleh Saff One. Jarang saya melihat lelaki menangis dan saya tahu apabila mereka menangis bermakna tekanan yang ada adalah begitu berat. Saat akhir program pula, seorang murabbi yang lain yang membacakan doa perpisahan tidak mampu meneruskan doanya. Dia juga menangis.

Jujur dakwah ini terlalu berat. Hari-hari suram terkadang begitu menggetirkan. Saat mereka berusaha bermatian mewujudkan universiti idaman, segala yang terjadi jauh dari impian. Saya tahu tempat saya menadah ilmu ini datang dari pengorbanan yang bukan sedikit. Dan murabbi murabbiah saya masih terus berusaha sehingga saat ini.

Saya mula sedar bahawa novel hanyalah fantasi sedang dakwah adalah realiti. Mudah-mudahan Allah mengurniakan saya kekuatan untuk menulis realiti ini.

Perjuangan – Saff One

Perjuangan itu gerun dan mengerikan
Hebat dan dasyat menggerunkan hati
Bagi mukmin di sini harga dan nilainya 2x

Perjuangan itu bagai sampan di laut
Di atas lapang tiada perlindungan
Di bawa air melambung dan menggunung
Menongkah gelombang yang datang melanda

Kiri kanan depan dan belakang
Angin yang menderu tidak tahu bila datang
Hujan badai yang datang menyerang
Bak singa yang lapar yang garang

Kadang-kadang terdampar di batu karang
Penumpang menerima nasib berlainan
Ada yang jatuh ada yang tenggelam
Yang pandai berenang berpaut ke sampan

Ada yang berjaya berenang ke tepian
Sekali lagi dia melayar sampan
Walau pelayaran mungkin tidak berjaya
Namun harapnya hanya pada yang esa

Tuesday, April 20, 2010

Kunci...

Saya di Perak sekarang ini. Esok akan melawat Hospital Tanjung Rambutan. Sejujurnya tidak tahu nak buat apa. Menulislah jawapannya.

Semalam ada kelas Alcohol and Drug Abuse. Otak saya begitu ligat berfikir. Entahlah, macam-macam perbincangannya. Semuanya menarik.

Pertamanya, statistik penagih dadah kat Malaysia. Kamu carilah angka-angka itu. Fakta yang menyedihkan hati seorang daie adalah 90% dari kalangan penagih itu adalah Melayu Islam yang mana ajaran Islam dengan jelas menyebut bahawa haram semua ini. Mula-mula pensyarah suruhlah teka berapa peratusan Melayu? Kami pun tekalah 50%, 60%. Pensyarah kami kata kami baik sangat. Faktanya, 90% adalah Melayu Muslim.

Kemudiannya berkenaan klinik Methadone, rawatan dadah gantian. Banyak pendapat berkenaan hal ini. Artikel yang baik berkenaan hal ini boleh dibaca di sini. Punyalah banyak kerajaan belanjakan duit untuk penagih dadah ini. Bukan duit kerajaan pun, duit rakyat juga hakikatnya. Duit yang mak ayah kita bayar untuk cukai itulah yang digunakan untuk semua ini.

Pensyarah saya bincangkan hal ini dari sudut positif dan negatif. Bila dia bincangkan hal yang negatif itu, saya tanyalah kenapa program ini tidak berjaya pula? Kalaulah penagih dadah itu masih ambil heroin lagi, bukan ke random urine test boleh kesan semua itu? Best sangatlah jawapan pensyarah saya. Dia kata, penagih dadah ini siap buat perniagaan lagi jual air kencing yang bersih. Kadang diorang bawa air kencing yang bersih bersama mereka dan memberikan air kencing tersebut semasa pemeriksaan. Huhu..

Lepas itu, kami ditunjukkan juga statistik sekali lagi. Macam-macam yang kerajaan buat tapi angkanya meningkat. Saya tanya lagi – apa faedahnya buat semua ini sedangkan angkanya masih meningkat? Apa cara terbaik untuk mengatasi masalah ini? Sebenarnya saya dah tahu jawapannya tapi masih bertanya untuk melihat perbincangan ini dari sudut akademik.

Kata pensyarah saya, jawapannya adalah kembali kepada ajaran agama yang sebenar. Saya tidak sangka itu jawapan yang akan diberi tapi itulah sebenarnya jawapan yang saya nanti-nantikan. Macam nak tepuk tangan sahaja saat itu sebab itulah jawapan yang paling tepat.

Bila saya pergi PERSADA, pusat untuk para penagih dadah, saya rasa macam melampau sahaja duit yang kerajaan belanjakan untuk mereka. Dapat bayangkan tak tempat ini ada dobi lagi? Lemak gila kot pelatih kat sana. Saya pun tidak dapat nikmat itu sebagai pelajar. Bukan cemburu, cuma kalau duit sebanyak itu diberikan kat saya, saya yakin saya boleh buat berjuta kali lebih baik program pemulihannya. Saya boleh buat ISK, brainwash betul-betul penagih dadah ini. Tengoklah sedikit apa yang berlaku kat Palestina, Ambon, dan lainnya, korang senang-senang hati sahaja dudukberkhayal. Cubalah berkhayal benda baik sikit. Kalau saya boleh dapat kem macam PERSADA itu, saya nak buat satu sistem tarbiah yang mantap, boleh hasilkan daie yang ramai dan boleh hantar mereka ke seluruh pelusuk tempat atas matlamat dakwah. Kalaulah duit sebanyak itu diberikan kat saya, saya boleh menjaga kebajikan keluarga duat.

Saya bukan pandang serong kat penagih dadah. Pensyarah saya pun puji satu parti politik yang pergi ke lorong Chow Kit dan memberi sumbangan kepada golongan ini. Malah memberi bunga dan yassin kepada pelacur. Pensyarah saya tidak sebut pun nama parti politik itu tapi ikut pembacaan saya parti politik itu adalah PAS. Baguslah..

Oklah, jom masuk pada perbincangan yang sebenar. Hakikatnya jawapan kepada semua permasalahan ini adalah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Manusia ini kadangkala bodoh jugalah sebenarnya. Berjuta-juta benda dia cuba buat tapi semuanya gagal. Dia buat PLKN semata-mata nak disiplinkan manusia, tapi lepas itu berlakulah kejadian rogol kat dalam PLKN itu sendiri. Setiap masa bercampur lelaki perempuan, setiap masa bergayut atas bawah, manalah tak berlaku rogol itu. Itulah buat lagi perkara ikut kepala otak sendiri. Manalah mungkin idea dari kepala otak manusia boleh merawat permasalahan manusia? Hakikatnya kenalah kembali pada cara hidup yang ditentukan Allah yang mencipta kita.

Lepas itu, Islam ini dah melalui eksperimen. Dah pernah menang. Dah membawa manusia kepada pencapaian yang tertinggi sekali. Hatta boleh menukar orang Jahiliah kat Mekah itu untuk menjadi pemimpin yang menguasai dunia. Hebat sangat Islam. Sebut sahaja ideologi lain. Semuanya memang hebat juga pada mulanya, tapi tak mampu mencapai pencapaian yang pernah dicapai oleh Islam. Semuanya kantoi di tengah jalan. Kapitalis, sosialis semuanya kantoi. Meskipun zaman ini dikuasai Barat, tapi sebagai Muslim yang ditarbiah, kita yakin sangat bahawa sistem ini juga akan jatuh. Kita yakin sangat masa depan adalah milik agama ini. Tapi kenapa semua orang Islam tak nampak hal itu? Kenapa korang berpusing-pusing mencari penyelesaian sedang penyelesaian itu ada di depan mata?

Barat mengajak kepada kebebasan. Contohnya ajak kepada seks bebas. Tapi hakikatnya manalah ada diorang itu bebas. Diorang itu menjadi hamba kepada nafsu mereka sendiri. Nafsu dan otak kita pun makhluk. Mana boleh ikut kata otak dan nafsu? Orang Islam kena bebaskan diri mereka dari otak dan nafsu mereka juga. Kena benar-benar bebaskan diri dan hanya menyembah Allah SWT. Itulah kebebasan hakiki.

Oklah, sebenarnya saya benar-benar terinspirasi dari buku Assyahid Syed Qutb yang bertajuk Hazaddeen. Nanti ada masa sambung celoteh lagi. Akhir kata, nak memetik sedikit dari muqaddimah Fi Zilalil Quran:

Umat manusia yang diciptakan Allah ini tidak dapat dibuka pintu fitrah yang tertutup itu melainkan dengan anak-anak kunci dari ciptaan Allah itu dan penyakit-penyakitnya tidak boleh diubati melainkan dengan penawar yang dicipta oleh Allah SW.T.

Allah telah menyediakan di dalam sistem hidup yang diaturkan olehNya itu anak anak kunci untuk membuka segala pintu yang tertutup dan penawan Untuk mengubatkan segala penyakit:

82. “Dan Kami turunkan dari al-Qur’an itu sesuatu yang menjadi rahmat kepada orang-orang yang beriman.” (Surah al-Isra)

9. “Sesungguhnya aI-Qur’an ini memberi hidayat ke jalan yang amat lurus.” (Surah al-Isra)

Tetapi malangnya umat manusia tidak mahu mengembalikan ibu kunci kepada tukang pembuatnya dan tidak mahu membawa orang sakit kepada penciptanya. Mereka tidak bertindak dalam urusan diri mereka, kemanusiaan mereka, kebahagian atau kecelakaan mereka seperti mereka bertindak dalam urusan mesin-mesin dan alat-alat murah yang digunakan mereka dalam keperluan-keperluan seharian mereka yang kecil. Mereka tahu jika mesin-mesin dan alat-alat itu rosak mereka akan memanggil mekanik kilang yang membuat mesin itu untuk memperbaikinya, tetapi mereka tidak menggunakan peraturan ini dalam usaha membetulkan manusia sendiri, iaitu dengan mengembalikan mereka kepada kilang yang mengeluarkan mereka dan tidak meminta petua dari Allah Pencipta yang telah mengadakan mesin-mesin manusia yang mengkagumkan ini, iaitu mesin manusia yang besar, mulia, halus dan seni, mesin yang tidak diketahui liku-liku dan pintu-pintunya melainkan oleh tukang yang membuatnya sendiri:

13 - 14. “Sesungguhnya Allah amat mengetahui segala isi hati. Apakah Allah yang telah menciptakan (kamu) tidak mengetahui (isi hati kamu), sedangkan Dlalah Yang Maha Halus dan Maha Mendalam Ilmu-Nya” (Surah al-Mulk)

Dari sinilah kecelakaan menimpa umat manusia yang sesat, umat manusia yang sengsara dan bingung, umat manusia yang tidak akan bertemu dengan petunjuk dan hidayat, kerehatan dan kebahagiaan melainkan apabila fitrah mereka (yang rosak itu) dikembalikan kepada Penciptanya yang Maha Besar, sebagaimana mesin-mesin yang murah itu dikembalikan kepada tukang-tukangnya yang kecil.

Saturday, April 17, 2010

Sayap...

Tadi saya berbuka puasa dengan lauk yang dibawa dari Johor. Terlalu sayu rasanya memakan makanan tersebut. Alhamdulillah, hujung minggu yang lalu saya berpeluang balik ke Johor seketika.

Teringat kembali rancangan saya untuk balik. Tapi kemudiannya diberitahu bahawa hari Ahad perlu ke Perak kerana ada lawatan di hospital sana. Sedih sangat saat itu. Tapi apabila pulang dari hospital, membaca email, lawatan ke Perak ditangguhkan pada hari Selasa. Terlalu gembira saat itu. Walau penat, saya mengambil adik dan terus pulang ke Johor.

Sudah begitu lama saya tidak pulang. Rindu yang amat. Tiga bulan saya rasakan begitu lama. Ada hikmahnya saya belajar di dalam Malaysia sahaja kerana agak sukar menanggung beban rindu. Walau untuk seketika sahaja, saya tidak kisah. Biarlah saya pulang walau cuma sehari setengah sahaja, cukuplah hal itu membakar kembali semangat yang pudar.

Saya ingat lagi insiden selepas solat di rumah. Saya ternampak kaki mak punya kesan melecur yang banyak. Rupanya beberapa hari lalu, saat membantu ayah di restoran, air didihan lada tertumpah ke atas kakinya.

Saat usia kian lanjut, mak dan ayah masih bekerja keras buat kami adik beradik. Terkadang malu kerana masih menagih pemberian dari ayah dan ibu.

Pada hari Sabtu, saya membantu mak di restoran . Kesian sungguh melihat dia dan ayah bekerja. Ya Allah, sememangnya aku tidak pernah mampu menjaga mereka, hanya Kau yang berhak memelihara mereka.

Saat pertama kali mendengar pengisian Brother Nouman mengenai ibu bapa ini, saya menangis begitu lama. Saya rasa Islam ini agamanya begitu indah, akhlaknya begitu tinggi. Hatta saya tidak mampu menjadi muslim yang baik kerana saya sendiri gagal mengikut lunas-lunas Islam.



Begitu tinggi Islam meletakkan nilai ibu bapa.

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلۡوَٲلِدَيۡنِ إِحۡسَـٰنًا‌ۚ إِمَّا يَبۡلُغَنَّ عِندَكَ ٱلۡڪِبَرَ أَحَدُهُمَآ أَوۡ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَآ أُفٍّ۬ وَلَا تَنۡہَرۡهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوۡلاً۬ ڪَرِيمً۬ا (٢٣) وَٱخۡفِضۡ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحۡمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرۡحَمۡهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرً۬ا (٢٤) رَّبُّكُمۡ أَعۡلَمُ بِمَا فِى نُفُوسِكُمۡ‌ۚ إِن تَكُونُواْ صَـٰلِحِينَ فَإِنَّهُ ۥ ڪَانَ لِلۡأَوَّٲبِينَ غَفُورً۬ا (٢٥)

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat. (Surah Al Isra': 23-25)


Allah gunakan kalimah ihsana. Kita ingatkan ihsan itu maksudnya berbuat baik, tapi maksud dalam ayat ini adalah membuat sesuatu dengan paling baik. Apa maksudnya?

Allah memberi kita peluang untuk menjadi yang terbaik dalam setiap amal perbuatan kita. Dan perbuatan yang paling baik perlu dilakukan terhadap ibu bapa. Cuba bayangkan kita bercakap dengan pensyarah kita. Mesti penuh kelembutan, berhati-hati kan? Tapi sebenarnya, ibu dan ayah kita lebih berhak untuk semua itu. Kadang kita menjaga akhlaq kita di hadapan sahabat kita, tapi Allah mengajar kita akhlak kita yang terbaik adalah di saat kita bersama dengan ibu dan ayah kita.

Lepas itu kita tengok penggunaan kalimah waalidain yang membawa maksud kedua ibu bapa. Walid merujuk kepada ayah, walidah merujuk kepada ibu. Dalam bahasa arab, abb merujuk kepada ayah dan umm merujuk kepada ibu juga. Apa beza walid walidah dengan abb umm? Walid dan walidah berasal dari kalimah arab yalidu yang bermaksud melahirkan. Maksudnya walid dan walidah merujuk kepada physical parent kita, ayah dan ibu yang melahirkan kita, ayah dan ibu kandung kita. Umm dan abb dalam Quran merujuk kepada pangkat yang lebih tinggi lagi, iaitu merujuk kepada ayah dan ibu yang mendidik dan membesarkan kita. Dalam ayat ini, Allah gunakan kalimah walidain. Maksudnya, tidak kisahlah ibu dan ayah kandung kita itu kafir ke, jahat ke, tidak pernah jaga kita ke, tidak pernah kasik kita makan minum ke, tidak kisahlah pekerjaan dia hina macam mana pun, sebagai anak kita perlu buat yang terbaik (ihsana) kepada kedua-duanya. Masya Allah! Hebat sekali perintah Allah kan? Hebat kan prinsip ajaran Islam?

Lepas itu, Allah spesifik menyebut usia ibu bapa yang tua. Kenapa tua? Dalam ayat lain, Allah menyebut bahawa:

Waman nuAAammirhu nunakkishu fee alkhalqi afala yaAAqiloona

Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? (Surah Yassin: 68)

Cuba tengok kanak-kanak kan? Banyak demand kan? Tak pun pergi je wad kanak-kanak. Kadang itu macam sakit jiwa sahaja melihat kanak-kanak yang gedik nak mati. Huhu.. Tidak habis-habis nak duduk dengan mak ayah. Tapi kita pun, kalau dah tua nanti, begitulah juga perangai kita. Orang tua akan menjadi childish, keras kepala macam kanak-kanak juga. Mereka menjadi orang yang terlalu sensitif emosinya sama seperti kanak-kanak. Terlalu sukar difahami. Dan inilah cabaran bagi mereka yang memiliki ibu dan ayah yang tua. Dan dalam spesifik masa mereka yang tua inilah, dalam keadaan yang benar-benar menguji kesabaran seorang anak, Allah perintahkan agar jangan menyebut ‘uff’. Uff dalam ayat Quran ini bukan sebutan sebenarnya tapi merujuk kepada wajah seseorang bila dia frust. Tidak boleh pun di hadapan mak ayah kita, kita tunjukkan yang kita frust, apatah lagi kata-kata yang tidak baik dan lainnya. Tidak kisah walau apapun yang diorang lakukan, tidak kisahlah diorang marah ke, hina kita ke, naikkan suara kat kita, kita tetap tidak boleh hatta tunjukkan ekspresi wajah tidak berpuas hati.

Apa yang ayat ini nak ajar kita? Kita bukan menghormati mereka kerana mereka adalah ayah dan ibu kita tapi kita menghormati mereka semata-mata kerana suruhan Allah. Hatta di dalam usrah pun, kita diajar untuk menyayangi ayah dan ibu kita atas dasar aqidah terlebih dahulu, bukan di atas hubungan darah terlebih dahulu. Hubungan darah hanya menyokong kasih sayang kita yang dihubungkan atas dasar aqidah terlebih dahulu.

Keduanya yang Allah nak ajar kita adalah walau apapun kejahatan yang mereka lakukan kat kita, sedikit pun kita tidak mampu membalas sedikit pun jasa mereka. Bacalah blog seorang doktor ini yang menceritakan keajaiban proses kelahiran. Masya Allah, terlalu hebat pengorbanan seorang ibu.

Dalam lecture ini, Brother Nouman ceritakan bagaimana seorang ibu yang melalui kesakitan melahirkan, tidak sedikit pun berehat dari kesakitan tersebut, sebaliknya terus menyusukan anaknya. Dan hisapan yang pertama itu hakikatnya begitu menyakitkan seorang ibu tapi kerana sayangnya mereka terhadap kita, semua kesakitan itu menjadi madu buat mereka. Begitu mahal pengorbanan mereka melahirkan kita, sehingga keseluruhan dosa mereka diampunkan oleh Allah.

Dan tahu tak satu perkara, malam-malam mereka tidak pernah melenakan kerana menjaga kita. Tapi tidak sekali pun, seorang ayah dan ibu meluahkan hakikat pengorbanannya buat kita. Tidak pernah sekali pun mereka mengharapkan balasan dari setiap perbuatan mereka kepada kita.

Banyak lagi yang Brother Nouman ceritakan. Nanti dengarlah ye. Hmm, satu lagi part yang saya rasa sangat menarik dalam ayat ini adalah wahfidh lahuma janahazzuli minarrahmah. Dalam terjemahan cuma menyebut hendaklah merendah diri kan? Tapi masya Allah ayat ini sangat cantik. Sebabnya Allah describe ayat ini dengan menggunakan sayap sebagai perumpamaan. Allah suruh melabuhkan dan merendahkan sayap bayangan dari rahmah kepada ibu bapa. Kita ada sayap ke? Tiada. Burung yang ada kan? Dan seekor burung memelihara sarangnya dengan sayapnya. Harta yang paling bernilai bagi burung adalah sayapnya. Dan Allah suruh kita rendahkan sayap kita menyaluti ibu bapa kita. Masya Allah terlalu indah ayat Allah. Allah suruh kita rendahkan semua keegoan kita di hadapan ibu dan ayah kita. Tidak kisahlah walau macam mana terkenal pun kita di atas muka bumi ini, tapi kita kena rendahkan diri kita sehabisnya di hadapan ayah dan ibu kita. Dan ayat ini adalah ayat perintah. Wajib bagi kita untuk mengerjakannya. Subhanallah.

Yang best lagi tentang ayat ini adalah doa kepada ayah dan ibu kita. Rabbi arhamhuma. Ya Allah, rahmatilah mereka. Dalam ayat ini, Allah tidak gunakan rabbigfirlahuma, ya Allah ampunilah mereka. Dalam doa kita, jangan sekali-kali menyalahkan mereka, sebaliknya meminta Allah merahmati mereka. Jangan attribute kesalahan kat mereka. Dan seterusnya sepertimana mereka memelihara kita semasa kita kecil. Apa maksud doa itu? Maksudnya kita tidak mungkin membalas jasa ayah dan ibu kita, hanya Allah yang berkuasa melakukan semua itu. Dan Allah gunakan kalimah rabbayani yang berasal dari kalimah rabb. Asal kalimah tarbiah juga adalah rabb. Maksudnya hanya Allah yang hakikatnya berkuasa mentarbiah hambaNya, Allah adalah rabb kita tapi ibu dan ayah kita menjadi perantaraan tarbiah Allah itu. Menjaga kita dengan sebaiknya. Subhanallah, setiap kalimah yang Allah gunakan adalah begitu indah.

Lepas itu, penekanan ayat Allah mengenai rahsia yang terdapat di hati kita. Allah tahu sama ada kita benar-benar melaksanakan tanggungjawab kita atau tidak terhadap ayah dan ibu kita. Hanya kita dan Allah sahaja yang tahu apa yang terdetik di hati kita kan? Hebat sangat Allah berbicara dengan hambaNya. Allah tahu segalanya tentang kita. Ampunkan diri ini ya Rabb..

Ya Rabb, rahmatilah kedua ibu bapaku..

Fatuba...

Contohnya di satu kawasan itu, ada ramai orang yang berjalan dengan kepala di bawah, kaki di atas. Awak sahaja yang berjalan dengan menggunakan kaki di bawah, kepala di atas.

Siapa yang pelik? Awaklah kan?

Siapa yang betul cara jalannya? Awak jugaklah kan sebenarnya?

Inilah realiti zaman ini.

Peritnya hati menerima perlian dari mereka yang sewajarnya memahami. Sungguh saya perlu berbahagia dengan prinsip kehidupan ini seandainya ia benar-benar mengikut acuan Islam. Abaikan kata-kata mereka kerana Allah Maha Melihat. Bukan hanya zahirnya sahaja, tapi juga segala yang terkandung di dalam hati.

Kamu akan berdepan dengan Allah kerana hinaan ke atas mereka yang cuba beramal dengan deen ini.

Fatuba lil ghurabaa’...



Video lain:

Link pertama

Link kedua

Thursday, April 15, 2010

Tenggorokan...

Saya membaca buku Hazaddeen tulisan Assyahid Syed Qutb. Insya Allah, buku itu akan dikupas minggu hadapan. Terlalu dekat rasanya penulisan Assyahid. Tertanya-tanya bagaimana dia boleh mengetahui perihal umat dan keadaan ini? Bagaimana dia boleh menulis suatu tulisan yang evergreen? Segala persoalan yang diungkapkan adalah terlalu indah. Cuma kian terasa beban yang perlu dipikul.

Semasa program baru-baru ini, biodata Assyahid dikupas sekali lagi. Masya Allah! Tidak pernah sekali pun saya rasa bosan. Tidak pernah sekali pun saya rasa ia berulang. Pasti ada benda baru yang saya pelajari. Benarlah janji Allah, bahawa mereka yang syahid tidak mati, sebaliknya terus hidup.

Ukhti yang menyampaikan profil agung ini dalam penyampaiannya menyebut, "Sekiranya seorang itu syahid di jalan Allah, dia akan melahirkan ribuan lagi syuhada'. Sekiranya seseorang itu bekorban di jalan Allah, dia akan melahirkan ribuan lagi insan yang akan berkorban juga".

Saya kongsikan sedikit petikan yang ada di dalam nota yang diberikan berkenaan assyahid.

"Beliau telah menemui janjinya untuk membela agama Allah. Solat ghaib dilaksanakan di mana-mana, headline berbagai surat khabar pun menceritakan biografi Syed Qutb. Dengan kesyahidannya itu, semua karya Syed Qutb tersebar ke seluruh penjuru dunia Islam. Buku-bukunya dicetak sampai 20-25 kali dan diterjemahkan ke berbagai bahasa di dunia".

Yang mengkagumkan saya mengenai fikrah ini adalah kesaksamaanya di penjuru dunia yang lain juga. Bagaimana AlMaududi di India juga mempunyai fikrah yang sama dengan Ikhwan di Mesir?

Menitis air mata membaca kesaksian Maududi sendiri mengenai kesyahidan Syed Qutb, "Tiba-tiba tenggorokan saya merasa tercekik sekali, tidak tahu apa penyebabnya. Ketika saya tahu jam terjadinya eksekusi Syed Qutb, baru saya sedar saat tercekiknya tenggorokan saya itu bersamaan dengan saat tercekiknya Syed Qutb di tiang gantungan".

Ukhti yang menyampaikan menyambung lagi kata-katanya, "Seorang akh (saudara) akan merasakan keperitan akhnya (saudaranya) yang lain".

Dalam perjuangan ini, sewajarnya begitulah ukhwah yang perlu kita rasai. Keyakinan kita terhadap fikrah ini seharusnya melahirkan ukhwah yang begitu. Moga Allah mengurniakan rasa mahabbah di dalam hati-hati kita.

Antara kata-kata Assyahid Abdul Qadir Audah, " Jemaah Ikhwanul Muslimin tidak akan bubar hanya kerana secarik kertas pemerintah atau kerana markas ditutup. Ia hanya akan bubar seiring memudarnya ikatan hati dan cinta di antara para anggotanya, serta redupnya semangat dakwah. Penutupan tempat dan mimbar tidak menghalang dakwah dari terus tersebar. Dengan izin Allah, dakwah kita akan tetap hidup dan kuat yang tetap diperhitungkan kemuliaannya selama kalian masih bersatu, berkaitan, saling mencintai, sabar serta berwasiat dengan kesabaran".

Monday, April 12, 2010

Sang Pemimpi...

Tadi ke PERSADA, pusat pemulihan penagih dadah. Dulu semasa tahun pertama juga saya pernah berkunjung ke sana. Rasa bosan pada mulanya kerana mengulang benda yang sama. Cuma saat diberi peluang menemuramah pelatih yang ada, saya jadi sebak yang amat.

Masalah mereka sama. Mereka datang dari keluarga yang bermasalah. Mereka memberontak. Saat itu saya rasa macam nak sujud syukur sebentar kerana Allah tidak menguji saya dengan masalah keluarga.

Kemudiannya saya tanyakan dia tentang tujuan hidupnya. Katanya dia tak tahu pun tujuan hidupnya. Rasa nak menitis air mata saya. Meskipun lama di dalam pusat pemulihan, dia masih belum menemukan tujuan hidupnya. Impiannya sama seperti manusia lain iaitu bekerja, menyara keluarga dan berkahwin. Saya tanyakan juga persepsinya mengenai agama. Yang dia fahami tentang agama adalah solat, puasa dan qiamullail.

Jujur saya menangis di dalam dada. Seakan ada satu masalah yang besar yang perlu saya pikul. Ummah ini masih belum menemukan tujuan hidup mereka. Mereka masih tidak memahami tujuan hidup yang disaran Ilahi. Katanya dia datang ke pusat pemulihan kerana bosan dengan dadah yang menagih wang yang banyak saban waktu. Saya juga pernah begitu. Saya pernah bosan dengan belajar. Kenapa perlu belajar? Adakah tujuan hidup saya untuk belajar? Dan kemudian bermula satu pencarian. Saya mungkin menjadi lebih teruk sebenarnya. Tapi dalam pencarian itu, Allah menemukan saya deen ini.

Sehingga hari ini, deen inilah nikmat terbesar dalam hidup saya. Pernah saya menonton video ini selepas ISK dan saya menangis tiada henti. Sayalah robot dalam video ini yang tidak pernah tahu tujuan penciptaannya suatu ketika dahulu.

Saat saya terlibat dengan community project di Formula 1, seorang kawan bertanya, "Macam mana Afeera? Best ke?" Jawab saya acuh tak acuh, "Bolehlah". Ianya satu exposure bagi saya tapi hakikatnya hati saya menangis di dalam. Saat di sana saya melafazkan kesyukuran pada Allah kerana tidak cantik. Melihat gadis litar dan gadis seksi di sana, saya mengucap panjang di dalam hati. Apalah kaitan kereta dengan gadis? Tapi itulah hakikatnya. Wanita menjadi hamba bagi dunia ini. Kecantikan mereka menjadi ujian buat mereka.

Tiket paling mahal di Formula 1 boleh mencecah RM 2800. Gila tak? Manusia hanya datang untuk melihat kereta meluncur dan memekak. Bodoh sungguh.

Paling menyedihkan, manusia datang seawal 8 pagi untuk mendapatkan seat sedang acara hanya akan bermula pada pukul 4 petang. Apa tujuan hidup manusia sebenarnya? Mereka tidak pernah mengetahuinya. Bagai ayam dan lembu - mencari makanan, berak, kencing, seks, dan kemudiannya mati. Itulah manusia bodoh di dunia ini. Ada rasa kesian dan simpati. Dan tanggungjawab yang ada di bahu ini kian berat.

Keesokan harinya saya terlibat dengan program iftar (berbuka puasa). Bilangan yang hadir ramai sekiranya hendak dibandingkan dengan program lain. Dalam hati, selepas ini tidak perlu buat benda lain, buat iftar sahaja. Baru orang nak datang. Tapi barangkali itulah asbabnya sang Rasul mengumpul pemuka-pemuka Mekah pada permulaan dakwah dengan acara makan. Mungkin makan mampu menarik manusia pada dakwah. Allahu A'lam.

Bukan itu yang ingin saya bicarakan sebenarnya. Bilangan yang hadir ke iftar meskipun kelihatan membanggakan tapi menyedihkan saya juga. Kerana lebih ramai manusia yang lebih jauh dari Allah di Formula 1. Puluhan ribu yang membanjiri Formula 1 sedang iftar baru mencecah 200 orang.

Seketika saya jadi sedih. Iftar begitu. Kalau daurah dan mukhayyam, bilangannya jauh lebih sedikit.

Tapi saya teringat catatan di dalam buku Barakallahu Laka Bahagianya Merayakan Cinta oleh Salim A. Fillah. Saya ingin membeli buku tersebut kerana penulisnya. Saya terlalu suka dengan tulisan Salim A. Fillah. Tapi saya jadi malu di hadapan makcik untuk mengambil buku tersebut. Makcik menggalakkan saya mengambilnya. Boleh dibaca untuk memberi nasihat buat sahabat yang ingin melangkah ke tangga Baitul Muslim.

Jujur saya merasakan tidak rugi membelinya. Kupasan di dalam buku tersebut sungguh professional. Dan buku ini tidak sesekali mengasingkan perihal dakwah. Saya kongsikan sebahagian catatannya yang saya rasakan merawat hati saya juga dengan realiti ummah.

Dari dalam selnya yang pengap, Syed Qutb menulis sebuah buku bertajuk Al Mustaqbal Li Hazaddeen (Masa Depan Milik Agama ini). Tak kurang dari tokoh pemuda termasuk 'Abdullah Azzam pun berkomentar, "Apakah ia sedang tenggelam dalam mimpinya, khayalan dan angan kosong? Ke mana saja anda wahai Syed Qutb? Tidakkah anda saksikan bahawa semua daie sudah boyongan ke penjara...Dari 120 000 mahasiswi Universitas Kairo pun hanya ada seorang yang berjilbab, itupun keponakan anda sendiri, puteri Hamidah Qutb..Aduhai di mana masa depan itu?"

Tapi tak lama kemudian, mereka harus meralat hujatan mereka terhadap Syed Qutb, ketika melihat berduyun-duyun para akhawat memasuki kampus dengan kitaran jilbabnya dan menyaksikan masjid-masjid kembali 'hidup', hanya selang beberapa tahun dari wafatnya 'sang pemimpi' di tiang gantungan.

"Takutlah kalian pada firasat seorang mukmin. Sesungguhnya ia melihat dengan cahaya Allah. " (HR At Tirmidzi dan At Tabrani)

Syed Qutb bukannya berkhayal. Di saat kondisi paling menegangkan dalam perang Khandaq, saat musuh mengepung dan semua diliputi kecemasan, Rasulullah juga malah mengabarkan akan jatuhnya Syam, Madain dan Shan'a, pusat-pusat peradaban dunia masa itu. Dan Syed, dengan keyakinannya pada janji Rasulullah, tak peduli kondisi paling kritis di masanya untuk tetap mengatakan: Masa depan milik Islam! Mengapa, kerana siklus ummat ini setelah keadaan paling parahnya akan ditutup dengan Khalifah di atas manhaj kenabian!

"Masa kenabian akan berlangsung pada kalian dalam beberapa tahun. Kemudian Allah mengangkatnya. Selepas itu datang masa kekhalifahan atas manhaj kenabian selama beberapa masa sehingga Allah mengangkatnya. Kemudian datang masa kerajaan (mulk) yang buruk selama beberapa masa, selanjutnya datang masa kerajaan diktator selama beberapa masa, hingga waktu yang ditentukan Allah. Selepas itu akan berulang kekhalifahan atas manhaj kenabian. Kemudian Rasulullah diam." (HR Ahmad)


Teruskan sahaja kerja! Usah kecewa! Masa depan milik agama ini!

Sunday, April 11, 2010

Rehat?

Kadang bila kita dah bekerja, kita ingin berehat seketika. Kadang berprogram, esoknya mahu berehat sepanjang hari. Sedikit perkongsian untuk menyedarkan saya yang terlupa.

Program dua hari yang baru berlalu adalah gabungan program dengan pelajar dari IPTA. Mereka sudah selesai peperiksaan akhir cuma saya masih meniti hari-hari di perbukitan ilmu lagi. Meskipun saya menanti hari-hari peperiksaan yang akan menjelang dalam 5 minggu lagi, jauh di sudut hati saya setuju dengan kata-kata makcik meskipun hal itu ditujukan pada yang lain.

Kadang kerana peperiksaan, kita pun lupa dengan gerak kerja dakwah kita. Kadang kerana nak exam, kita boleh minta ditangguhkan usrah sementara waktu. Kadang nak exam, program semua tolak tepi. Kadang kerana nak exam, kita serahkan adik-adik usrah kita pada yang lain. Kadang kerana satu posting yang berat, kita serahkan semua tugasan kita pada yang lain. Kadang kerana final year, kita serahkan semua kerja pada yang lain.

Dalam slide makcik, ada petikan ini. Petikan yang sudah lama kita dengari tapi mungkin tidak pernah kita hayati.

"Ramai orang yang mudah berkhayal, tetapi tidak semua khayalan yang bermain di benak fikirannya itu mampu digambarkan melalui percakapan lisan. Ramai orang mampu mengungkapkan perbuatan (lisan) tetapi sedikit dari mereka mampu memikul bebanan jihad dan amal yang beral sehingga para mujahidin dari kalangan Ansar yang terdiri dari orang pilihan pun kadangkala tersilap memilih jalan dan tak dapat mengenal sasaran kalaulah tak diselamatkan dari rahmat Allah".

Siapa yang masih mampu memikul beban ini dalam bahang keperitan? Siapa yang mampu memegang tanggungjawab ini dalam segala masalah yang mencengkamnya? Jihad bukan istilah di kala senang, jihad adalah perbuatan dan amal kita di saat kita dalam kesempitan.

Makcik kata kita berehat dua minggu kerana exam, tapi adakah musuh berehat dalam tempoh itu? Makcik khabarkan isu APCO yang terus berjalan, dasar ekonomi yang begitu mencengkam dalam tempoh dua minggu ini. Kerana exam, semua isu ini kita pandang sepi sedang musuh tidak pernah berehat walau sesaat.

Kadang Allah beri kita masa 24 jam sehari. Bagi mereka yang ingin melepaskan tanggungjawab dakwah kerana alasan study, satu sahaja persoalannya. Adakah anda benar-benar menggunakan masa 24 jam sehari itu untuk study? Kalau betul, teruskanlah. Allah Maha Halus dan Maha Mengetahui.

Di dalam program ini juga kami kenali satu peribadi. Muhammad Kamaludin As-Sananiri. Pernah saya menulis kisah cintanya di sini.

Ketika ayahnya meninggal, beliau mengasuh tiga saudara lelaki dan tiga saudara perempuannya termasuk ibunya, sebagai pencari nafkah. Namun, beratnya tanggungjawab ini tidak menghalangnya untuk menjalani amanat dakwah, terlibat dalam jihad di dalam negeri atau di Palestina. Kerana terlalu sibuknya amanah yang dipikulnya, dia tidak sempat berfikir untuk membeli perabot rumah.

Begitulah dia. Seorang insan yang mana penyiksaan ke atasnya membuatkan ibunya sendiri tidak mengenalinya dan membuat adik iparnya menjadi gila.

Bagaimana pula dengan kita? Sehari berprogram terus mahu berehat. Sekali penat, terus mengeluh. Bila berseorangan membuat kerja, kita kecewa dengan sahabat.

Pernah sekali di dalam program, seorang ukhti mengajukan persoalan berkenaan kekangan masa. Jawab murabbiyah - "Kekangan masa tidak akan pernah reda, malah akan menjadi kronik".

Benar. Esok lusa tanggungjawab yang ada akan kian bertambah. Perkahwinan, keluarga, anak-anak, dunia kerjaya dan lain-lain lagi.

Contohlah, kita kata nak rehat kerana exam. Esok lusa tiada exam ke? Kalau ada Pro Exam 1, akan ada Pro Exam 2 dan 3. Kalau kata nak dakwah selepas graduation, kita dah nak bekerja. Lepas itu dah nak kahwin. Lepas itu ada anak. Bila kita nak berdakwah sebenarnya?

Dunia ini bukan tempat berehat. Kematian sahajalah kerehatan yang abadi bagi pejuang Allah.

Bimbang sungguh dengan alasan rehat. Makcik pesan kalau nak tidur sangat, fikirkan bagaimana kalau Allah tidurkan kita selamanya. Kalau nak rehat, fikirkan bagaimana kalau Allah rehatkan kita selamanya. Nauzubillah.

Jalan ini sungguh jauh. Bimbinglah kami wahai Rabb yang agung...

Ya Allah
Terangilah gelap hitam hatiku
Ya Allah
Sucikanlah hati ikhlas untukMu

Tarbiah...

Semalam semasa pulang dari program, baru saya tahu, hari lahir saya sama dengan seorang ukhti. Ukhti tersebut berkongsi hadiahnya dengan saya. Masya Allah! Tiadalah nikmat ukhwah ini kecuali bagi mereka yang merasainya sahaja. Terima kasih pada semua sahabat! Moga Allah terus mentautkan hati-hati kita untuk berada di jalanNya.

Semalam saya berani sahaja tanya dengan makcik satu soalan kontroversi semasa satu session sharing moment. Sharing moment kali ini fokusnya pada pembinaan keluarga dan juga penyertaan kita ke dalam masyarakat selepas garaduation nanti. Mungkin fokusnya begitu sebab yang hadir ada yang dah graduate, dan ramai juga yang akan graduate tidak lama lagi. Insya Allah! Moga Allah permudahkan.

Saya tanya makcik tentang dilema akhawat. Sebelum itu makcik menjawab soalan seorang ukhti bagaimana makcik membahagikan masa di antara kerjaya sebagai specialist, isteri, menantu, ibu, daiyah, aktivis dan lainnya. Makcik beritahu bahawa keywordnya adalah suami yang memahami. Sebabnya semasa makcik sibuk dengan housemanship, suami makcik yang menolong segalanya. Adakalanya suami makcik yang membawa anak ke hospital bila makcik perlu berada terus-terusan selama dua hari di hospital. Kemudian suami makcik juga yang menolong coverkan makcik di hadapan keluarga bila makcik ada kerja-kerja dakwah yang perlu diselesaikan.

Dan saya pun tanyalah makcik dilema akhawat. Bilangan ikhwah kan sedikit, sedang umur akhawat kian bertambah. Dan tekanan dari semua pihak untuk berkahwin itu ada. Salah ke kalau kahwin dengan yang tiada fikrah?

Best sangat jawapan makcik. Nak sangat share kat sini. Makcik kata tidak perlu fikirpun persoalan ini. Fikirkan tentang Allah, rasulNya dan dakwah. Tapi pastikan diri bersedia. Biar benda itu terjadi naturally.

Makcik kongsikan pengalaman dia. Semasa dia belajar perubatan di Azhar, dia rapat sangat dengan akhawat dan sangat aktif dalam dakwah. Satu hari, dia dilamar melalui orang tengah. Makcik kata makcik tak nak sangat kahwin masa itu, nak duduk bersama akhawat. Istikharah pun makcik tak rasa apa. Akhirnya makcik serahkan pada jemaah. Jemaah anjurkan agar makcik berkahwin. Makcik kata makcik kahwin hanya semata-mata kerana tanggungjawab, kerana jemaah dan Islam amat memerlukan kita kepada pembinaan Baitul Muslim. Selepas kahwin, dengan tanggungjawab itulah datangnya cinta. Tapi memang makcik kahwin semata-mata kerana Allah. Dan bila cinta itu semata-mata kerana Allah, makcik kata tidak kisah kalau suami memintanya untuk memasak meskipun dia kepenatan. Sebabnya makcik buat semua itu kerana Allah bukan kerana suami.

Boleh ke kahwin dengan yang tiada fikrah? Makcik kata kalaulah niat kita itu semata-mata kerana Allah dari mulanya, insya Allah kita akan menjadi agent of change. Kita akan tarbiah suami kita. Kita akan bawa dia ke jalan dakwah dan tarbiah. Tapi kalau kita kahwin dan terdetik di hati kita agar kita boleh lari dari jalan dakwah dan tarbiah, itulah yang akan berlaku.

Saya rasa persoalan ini betul-betul perlu difikirkan. Sebabnya banyak contoh di depan mata, yang mana dahulu kedua-dua pasangan adalah mereka yang aktif dakwah tapi kemudiannya meninggalkan jalan dakwah. Mengapa? Tepuk dada, tanyalah iman.

Satu lagi perkara yang saya rasa best, makcik kata makcik tak nak pun arrangekan akhi ini dengan ukhti ini. Makcik nak benda itu berlaku naturally. Kalau kita menetapkan, bimbang hati akhi atau ukhti itu tidak bersih. Saya rasa benda itu pun betul 100%. Setuju sangatlah.

Dulu pernah semasa daurah, ada pengisian Baitul Muslim. Ada akhi yang tanya kat makcik, bagaimana kalau perkahwinan itu, isteri lebih tinggi dari segi gajinya atau yang lain berbanding suami? Jawapan makcik best sangat. Saya tidak sedar saya menangis masa itu.

Makcik ceritakan pengalamannnya sendiri. Makcik seorang doktor dan memilih ustaz sebagai pasangannya. Banyak juga mulut yang bercakap mengenai hal itu. Tapi makcik dah letakkan Islam di depan. Selepas berkahwin, makcik buat share account dengan suaminya. Gaji makcik dimasukkan di dalam account tersebut. Tidak tahu pun gaji makcik berapa, gaji suaminya berapa. Dan makcik tidak gunakan pun kad bank. Setiap kali makcik memerlukan duit, makcik akan meminta suaminya. Makcik nak perasaannya seolah-olah suami yang memberi. Makcik kata makcik tidak tahu nak gunakan kad bank sampaikan satu masa yang memerlukan makcik menggunakan kad bank, baru makcik belajar. Makcik kata kalau makcik teringin nak apa-apa, makcik akan memberitahu suami. Suami benarkan baru makcik beli. Kalau nak fikir, ada je duit makcik dalam itu tapi makcik tidak pernah lafazkan ini duit aku, ini duit kau. Makcik kata kalau sekali dah sebut, benda itulah yang akan menjejaskan hubungan suami isteri. Dapat bayangkan tak bagaimana seorang doktor yang hebat membumikan dirinya di hadapan suaminya kerana kecintaanNya pada Allah dan rasulNya? Masya Allah!

Suami makcik pun baik. Bila balik beraya, suami makcik akan memberi duit agar makcik yang memberikannya pada mertua. Masya Allah! Suami makcik berbuat begitu agar ibu dan ayahnya menyayangi makcik. Masya Allah! Saya rasa macam soleh dan solehah sangat makcik dan suaminya. Tergambar betapa hebatnya didikan suami juga dalam keperibadian makcik. Macam tidak pernah dengar kisah-kisah ini. Rasa macam biar betik wa papaya (biar betol!) .

Selepas itu ada seorang ukhti yang bertanya, kan banyak halangan-halangan di jalan dakwah misalnya macam masalah hati. Benda-benda inilah yang menghalang kita dari laju di jalan dakwah. Bagaimana nak hilangkan halangan-halangan ini. Makcik kata setiap satu soalan yang ditanya, jawapannya yang pertama sehingga sepuluh dan seterusnya adalah tarbiah. Ya, tarbiah, tarbiah dan tarbiah. Masya Allah, begitulah kepentingan tarbiah dalam hidup kita.

Sejujurnya saya rasa lega sangat bila saya tanya soalan itu. Sebabnya ramai yang wish untuk hari lahir asyik tanya – bila nak kahwin? Nenek saya sampaikan setiap kali telefon akan bangkitkan hal ini. Kadang itu rasa macam tak nak telefon. Tapi tidak baik. Jawapan makcik melegakan hati saya biiznillah (dengan izin Allah). Entahlah, banyak sangat mutiara ilmu yang saya perolehi selama dua hari ini. Huhu, tapi saya mulakan dengan kisah ini pula. Takpelah, insya Allah cuba berkongsi berkenaan dengan yang lain pula selepas ini.

Saturday, April 10, 2010

Masa depan...

Hari ini saya menyambut ulangtahun hari kelahiran yang ke-23. Nikmatnya hari ini tidak mampu saya gambarkan dengan kata-kata kerana Allah memberi saya peluang untuk berada di dalam program bersama dengan akhawat. Tidak mampu digambarkan nikmat Iman dan nikmat Islam ini. Syukur padaMu meski aku tahu kesyukuranku tidak pernah mampu membalas hatta setitis nikmat ini.

Semalam semasa satu pengisian, seorang akhi memberitahu bahawa syukur kita baik dari segi lisan dan perbuatan tidak akan sesekali seimbang dengan apa yang telah Allah berikan. Maka jadikanlah dakwah sebagai rasa cinta kita kepada Allah atas kurniaan nikmat iman dan Islam. Di saat kita menemukan kesukaran di dalam dakwah, kita tidak akan sesekali merasa sedih kerana kita merasakan tiada apa-apa yang dapat dibandingkan dengan nikmat iman dan islam ini. Segalanya di jalan ini kita rasakan madu yang memberi kita kemanisan sepertimana ungkapan Assyahid Imam Hassan Al Banna bahawa hidup kita adalah dakwah dan dakwah adalah hidup kita. Setiap kali kita diberi tugasan pada jalan dakwah, kita menerimanya dengan hati yang terbuka untuk melahirkan rasa syukur kita di atas nikmat kurniaanNya.

Assyahid Syed Qutb menulis di dalam bukunya Mustaqbal fi Hazaddeen bahawa sesungguhnya masa depan adalah milik Islam. Islam tidak akan suram. Hari-hari kebahagiaan akan menampakkan wajahnya. Lembayung Islam akan gemilang. Zaman itu terlalu hampir dan kita meyakini bahawa kemenangan Islam adalah aqidah. Kepercayaan kita pada sesuatu akan membuatkan kita berusaha untuk segalanya yang kita yakini. Kita akan memerangi kekafiran yang ada di atas muka bumi Allah ini sehingga kalimahNya akan tertegak di muka bumi Allah ini.

Sesungguhnya Islam adalah agama fitrah dan ia pasti mampu diterima oleh semua orang. Agama ini akan sampai sejauh mana sampainya siang dan malam. Begitulah keimanan kita dibentuk dari hadis-hadis yang kita baca. Seandainya abad ke-19 adalah abad komunisme, abad ke-20 adalah abad kapitalisme maka yakinlah bahawa abad ke-21 adalah milik Islam.

Imam AlGhazali menukilkan bahawa Barat mampu membuat manusia terbang seperti burung, berenang seperti ikan tetapi tidak mampu berjalan seperti manusia. Kehancuran Barat akan tiba dan Islam akan dijunjung semula. Itu bukan delusi. Itu bukan mimpi Itu bukan fantasi. Itu satu realiti yang pasti terjadi.

Pada hari ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih pada semua yang membantu saya mengenali Allah, dakwah dan tarbiah. Jutaan terima kasih saya ucapkan pada ayah dan ibu yang terus-terusan mendorong saya. Ini adalah jangka masa paling lama saya tidak pulang ke rumah. Hanya Allah mampu membalas jasa kalian. Maafkan saya atas hak-hak yang tidak akan mungkin saya lunasi sebagai anak. Terima kasih kerana sentiasa menyokong setiap gerak kerja saya. Tanpa kalian, tidak mungkin mampu saya mengharungi jalan dakwah dan tarbiah ini. Buat adik-adik kandung saya, saya menyayangi kalian kerana Allah. Terima kasih atas segalanya. Terima kasih kerana sudi menerima saya sebagai seorang akak. Terlalu ingin sebenarnya melihat kalian juga di medan ini. Itu adalah doa seorang akak buat adiknya.

Terima kasih buat para sahabat yang terusan mendoakan saya, menyokong saya dalam setiap pekerjaan saya. Terima kasih kerana menunjukkan saya jalan ini. Terima kasih kerana menerima segala kekurangan saya dan menerima saya sebagai sahabat kalian.

Terima kasih pada adik-adik usrah. Terima kasih kerana sudi menerima seorang insan yang terlalu kerdil ini. Moga Allah terusan menguatkan ikatan hati kita di atas jalanNya.

Kuucapkan jutaan terima kasih buat para murabbi dan murabbiyah. Moga aku akan mampu mengikut jejak kalian di dalam medan ini.

Doakan diri ini semoga terus tsabat di atas jalan dakwah dan tarbiah ini. Doakan agar diri ini dikurniakan syahid di jalan Allah. Doakan diri ini dikurniakan syurga yang tertinggi dariNya. Doakan diri ini tersenyum bahagia bertemuNya. Doakan diri ini agar bersama kalian, saling menziarahi di syurga Allah yang hebat tersebut.

Ameen.

Friday, April 09, 2010

Dua pilihan..

Di antara dunia dan akhirat, aku memilih akhirat. Di antara mentor dan murabbiah, aku memilih murabbiah. Di antara Nando’s dan makan di dalam talam, aku memilih makan di dalam talam. Di antara kawan dan akhawat, aku memilih akhawat. Di antara program tarbiah dan Alamanda, aku memilih program tarbiah.

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; - Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (Surah Assyams: 7-10)


Barangkali aku melakukan kesilapan dengan ponteng session mentor mentee. Tapi aku sakit dan hanyalah tarbiah yang mampu mengembalikanku semula. Fizikalku sakit, begitu juga rohaniku. Dan aku tahu program ini mampu menghilangkan dahagaku yang terlalu mendamba siraman tarbiah. Dan aku yakin aku benar. Aku bersedia menerima apa sahaja halangan apabila kembali kerana aku yakin dengan pilihanku. Inilah jalanku.

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa. (Al An’am: 153)

Nikmat tarbiah menjadi kecintaan yang amat bagi mereka yang merasainya. Nikmat tarbiah ini membuatkan bunga-bunga cinta terusan memekar di dalam hati setiap insan yang melaluinya. Nikmat ini terlalu mengasyikkan sehingga dunia yang menipu ini terasa kosong. Barangkali benar dunia tarbiyah ini begitu memabukkan bagi sang pencinta yang berkelana.

Asyik dan terlalu mengasyikkan. Indah dan terlalu indah. Bumi dan isinya ditundukkan bagi sang daie. Allah mengikat hati-hati ini dengan cintaNya. Bukankah dunia ini indah apabila dilihat dengan pandangan tarbiah?

Diceritakan pada kami kisah-kisah realiti kehidupan aktivis dakwah. Mereka hidup seperti nomad. Mereka bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Ditebarkan jala cinta di satu tempat, dibina pewaris dakwah di tempat tersebut dan kemudian pergi ke tempat lain. Begitulah kehidupan duat. Mereka melahirkan cinta yang mereka rasai. Mereka mengungkapkan cinta mereka pada manusia. Mereka menginginkan agar dunia merasai bahang keasyikan cinta yang tiada penghujungnya.

Diajarkan pada kami untuk terus memaksa diri. Dalam paksaan, ada kenikmatan. Dalam pengorbanan, ada kemanisan yang ingin Allah kurniakan. Dan benar. Satu persatu pesona cinta kami rasai. Cinta yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Cinta yang hanya mampu dirasai oleh sang pencinta. Cinta yang diberikan oleh Maha Pencinta. Adakah kenikmatan yang lebih tinggi dari nikmat ini?

Yang benar,

Aku yang ingin terus merasai cintaNya..

Wednesday, April 07, 2010

Delusion...



Saat saya menerima email ini, ada beberapa persoalan yang bermain di fikiran. Bagaimana Facebook boleh tahu bahawa saya adalah owner kepada dua yahoogroup ini? Mungkinlah Facebook cuma try and error sahaja mengirimkan email tersebut, cuma tambah owner di sebelah nama yahoogroup. Tapi memang rajin bangatlah Facebook mengkaji puluhan ribu yahoogroup yang ada di atas muka bumi ini kan, nak send satu-satu email kepada pemilik yahoogroup kan? Sejauh mana pula Yahoo menjaga privasi pemiliknya?

Sejujurnya macam tidak selamat langsunglah berada di alam maya ini. Semua maklumat privasi kita boleh diketahu oleh pihak ketiga. Kita invisible kat YM pun orang boleh tahu. Ada detector.

Blog saya ini misalnya selalu dikunjungi oleh Googlebot. Bila saya search tentang Googlebot ini, ini maklumat yang saya terima:

Googlebot is the search bot software used by Google, which collects documents from the web to build a searchable index for the Google search engine.

Dahsyatlah teknologi. Setiap laman sentiasa dikaji. Tapi macam pelik jugaklah kan. Kenapa Google nak kaji blog saya. Bukannya ada faedah pun. Dia tingkatkan traffic blog saya pun macam tak guna sebab saya tidak bayar dia apa-apa pun. Mungkin jugak bussiness. Yalah, kalau ramai search dan jumpa dengan mengggunakan Google, Google pun famous, lama-lama untunglah. Apa-apalah..

Pernah tengok filem Eagle Eye tak? Saya menonton filem ini di dalam bas semasa perjalanan ke satu program sunathon. Filem itu mula dengan pembunuhan orang Islam, tapi keseluruhan cerita seakan-akan tiada kaitan langsung dengan babak pertama, tapi babak pertama itulah yang menarik perhatian saya untuk menonton cerita ini.

Dalam filem ini, ada babak di mana hero ditunjukkan semua maklumat peribadinya. Dia pun tanyalah, macam mana semua maklumat itu boleh diketahui oleh mesin yang canggih itu? Yalah, hero pun pelik sebab video semasa zaman kanak-kanak dia pun ditunjukkan. Mesin itu pun beritahulah yang dia tahu semua maklumat dia itu dari laman-laman peribadi yang pernah disertai sang hero.

Selepas itu, ada babak yang tunjukkan sampai mesin yang hebat itu boleh mengikuti perbualan walau ada segelas air. Bila orang berbual, ada getaran kat air itu dan mesin tersebut boleh detect. Macam hebatlah mesin itu.

Salah satu komen berkenaan filem itu: (Sumber)

“Yet, the film succeeds in instilling paranoia. It may not have reached the cinematic tension of "Jaws," but you will still feel suspicious about your cell phones, laptops, and GPS. Is Big Brother watching? In "Eagle Eye," it's Big Sister who's doing all the controlling. Her soothing but commanding voice (Julianne Moore in an uncredited role) is manipulating people into doing exactly what she wants them to do. Her motivation may be patriotic, but the means by which she carries out her duties can be considered terroristic.”

Saya mungkin rasa sedikit paranoid selepas menonton filem ini. Terasa seperti ada yang memerhatikan gerak geri kita. Setiap kali rasa nak buat kerja jahiliah, rasa macam ada mesin yang tengok aktiviti kita. Terasa seperti musuh Islam ketawakan kita dan tak takutkan kita. Huhu, padahal CCTV Allah sentiasa melihat kita pada hakikatnya.

Pernah baca tak tentang pembunuhan Mahmoud al-Mabhouh,Ketua Komando HAMAS? Bila baca konspirasi yang dirancang untuk membunuhnya, saya jadi tertanya-tanya, kenapa dia yang dibunuh dan bukannya saya? Agaknya memang betul kot ada mesin yang canggih macam itu yang dimiliki oleh musuh Islam yang mengkaji pergerakan umat Islam. Musuh tidak takut pun dengan saya sebab ada sahaja masa yang saya gunakan untuk jahiliah. Tapi musuh takut sangat dengan Mahmoud al-Mabhouh sebab dia benar-benar berjuang.

Belajar dalam psychiatry, ada satu term iaitu delusion. Delusion ini adalah fixed false belief. Contohnya kita percaya ada orang nak serang kita sedangkan tiada. Kadang delusion boleh menjadi bizarre delusion. Percaya dengan sesuatu yang sangat merepek. Contoh muda delusion melampau ini macam dalam cerita Terminator. Percaya ada makhluk nak serang dunia sampai tak boleh tidur. Kelakar!

Kalau saya kata saya percaya ada mesin macam dalam cerita Eagle Eye itu, mestilah saya dikatakan ada mental disorder, saya ini ada bizarre delusion. Tapi bila saya baca AlQuran, Allah ceritakan betapa dahsyatnya perancangan jahat musuh Islam hatta boleh melenyapkan gunung ganang lagi.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya. (3:118)

Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun. (14:46)

Apa pendapat kamu? Saya? Saya berdelusi hari ini. Terpulang pada kamu nak percaya atau tak dengan delusi ini. Terpulang pada kamu nak pakai Facebook atau tak. Terpulang pada kamu untuk menghancurkan Islam atau tak dengan memberi segala maklumat berkenaan link dan nama sahabat-sahabat kamu pada musuh Allah. Terpulang pada kamu segalanya.

Monday, April 05, 2010

Selepas grad?

Sekadar membantu Mr/Mrs Anonymous yang meninggalkan komen ini. Kalau ada yang sudi menambah jawapan untuk komen ini, amat dialu-alukan.

“salam afeera..

kefahaman, iman, istiqamah.
how to apply all these things in our life???
zaman kampus, at least kita boleh jaga adab & pergaulan, dgn kata lain ikhtilat sesama kita hanya kerana masih dlm beusrah & ada naqibah sbg pemantau...
but, once bl kita dah grad, adakah kita msh boeh kekalkan tahap prformance kita, ikhtilat kita??
sekadar lontaran persoalan dari diri yg penuh kedhaifan...wslm....”.

Saya tidak menafikan reality di luar lebih teruk dari apa yang ada di kampus. Pernah sekali semasa saya melalui elektif di sebuah hospital, terdapat jururawat dan MA (Medical Assistant) yang main kejar-kejar untuk saling memegang bahagian dada. Menangis saya melihat hal tersebut. Inilah realiti kerja hakikatnya. Cabarannya tidak pernah mampu digambarkan. Kerana semua inilah, kita amat memerlukan jemaah. Personally, ramai yang rasa usrah, naqibah dan sewaktunya hanyalah ketika di alam kampus sahaja. Benarkah begitu? Tidak kecuali kamu benar-benar sudah pun kuat. Hakikatnya dakwah, usrah dan segalanya perlu berterusan sehingga ke akhir hayat kamu. Kamu memerlukan jemaah walau di mana sahaja kamu berada. Terdapat banyak hadith yang berupa peringatan agar kita menggabungkan diri dalam jemaah Islam kerana "kambing bersendirian lebih mudah dibaham serigala". Maka ulama` sehebat manapun tidak mungkin sendirian dapat menghadapi gelombang pelbagai gerakan musuh bagi menghancurkan kekuatan Islam.

Kadang ada pasangan yang berkahwin di atas jalan dakwah, tapi kemudian tidak lagi join usrah. Saya pernah dengar orang berkata, “Takpe, diorang suami isteri usrah di rumah”. Oh tidak! Mengikut pemahaman saya mengenai usrah, walau sehebat manapun suami saya kelak, dia tidak akan sesekali boleh mengganti usrah saya dengan akhawat. Saya tidak boleh terima hujah ini. Macam-macam fikrah ada di atas muka bumi ini, Mr/Mrs Anonymous. Ini adalah pemahaman saya mengenai usrah. Kamu masih boleh mencari pemahaman yang sesuai dengan kamu barangkali.

Seterusnya adalah persoalan iman. Seperti apa yang murabbi saya katakan - “Ya, sebenarnya kita tahu batas batas itu ,cuma nak buat atau tidak itu bergantung keimanan kita”. Makanya Mr/Mrs Anonymous kenalah belajar cara-cara meningkatkan iman.

Seterusnya adalah tarbiyah dzatiyah. Seorang akak pernah menukilkannya di sini. Link yang disertakannya juga begitu baik untuk diikuti.

Dan seterusnya adalah dakwah. Dakwahlah yang terus-terusan mengingatkan kamu. Di saat kamu perlu berbicara dengan manusia, kamu perlu memperbaiki diri kamu sendiri. Dakwahlah booster terbaik untuk memperbaiki diri sendiri.

Allahu A’lam..

Tegur?

Semalam pengunjung blog ini ialah 143. Satu angka yang terlalu ramai saya kira untuk blog saya yang kerdil ini.

Mungkin ada yang rasa saya menyalahkan mereka. Tidak! Saya mungkin marah tapi kalau baca sehingga akhir entri tersebut, saya menyalahkan diri sendiri sebenarnya. Saya menegur diri saya sendiri sebenarnya.

Selepas itu ada yang tinggalkan mesej kat YM - “salam afeera..busy ke? ak just nak ckp pasal hal mase tgk cte movie kat main campus tu.. ak rase cam tak kene je… agak over kot mase tu…ko ade mase tu ..jd nak mintak tlg..kalo next time nmpak ak macam tu lg…tlg tegur ye…kdg2 ak terlupe..pasal manusia ni mmg byk buat silap…kalo ko nmpak gitu lagi, straight je terus ckp.. kalo sekadar ko pendam2...sampai ble pon ak tak sedar…kalo tanak nasihat tu, terpulang, ak pon manusia….dan manusia buat salah….thanx, sorry kaco malam ko…salam alaiki”.

Entahlah, pertamanya saya tidak tahu siapa yang bawa mulut berkenaan blog ini kat dia. Atau mungkin dia pembaca blog ini. Allahu A’lam. Cuma satu persoalan yang ingin saya lontarkan, senang ke nak tegur orang? Apatah lagi kalau orang itu adalah orang yang faham, yang meminta semasa meeting tarbiah untuk pengasingan ikhwah akhawat. Bila orang itu kefahamannya dah mantap, senang ke saya nak tegur?

Keduanya, saya sendiri tidak sempurna. Setiap hari saya rasa nak bawa kereta sendiri supaya dapat melarikan diri dari semua ini. Tapi saya tidak kaya. Duit pun kadang cukup-cukup sahaja. Saya sendiri melakukan kesalahan ini bila mengikut orang. Senang ke bagi seorang yang juga bersalah seperti saya untuk menegur orang?

Ketiganya, ada satu nasihat yang ingin saya berikan. Jangan tinggalkan sesuatu kerana Ummu Afeera. Jangan rasa bersalah kerana Ummu Afeera. Buatlah sesuatu kerana Allah. Semasa saya tegur couple pun, saya tidak kata – Dilarang berdua-duaan. Saya katakan – Allah tidak suka perbuatan berdua-duaan begini. Sebabnya saya nak sangat orang itu tinggalkan perbuatan itu kerana Allah , bukan kerana saya. Jangan selepas ini kita cakap – Tak nak tengok movie itu sebab Afeera ada. Huhu..Janganlah! Allah ada! CCTV Allah ada!

Kadang saya tertanya-tanya adakah kefahaman puncanya? Nak kata tidak faham mustahil kan? Sebab makcik usrah dah berbuih mulut dah sebut pasal ini.

Kadang kita tahu pakaian mana yang perlu dipakai semasa usrah, tapi kenapa pakaian kita berbeza semasa di luar usrah? Labuhkan tudung, pakailah juga stokin di luar usrah. Mungkin bila sebut semua ini, orang rasa usrah itu berat sangat. Tapi tanyakan sahaja kat diri, benda ini Allah suka atau tak? Menutup aurat itu semua bukan saya suruh, Allah suruh kan?Dalam surah Annur pun Allah suruh labuhkan tudung sehingga paras dada kan? Berkenaan movie pun, kita tanya sahaja kat diri kita sendiri, Allah suka tak kita tengok cerita ini? Allah suka ke kita tengok bercampur lelaki perempuan macam gini? Persoalannya adalah sejauh mana kita merasai ihsan, merasai keberadaan Allah dalam kehidupan kita.

Saya tidak nafikan kehidupan di sini terlalu mencabar untuk kita menjadi Muslim sejati. Kadang kan saya nak sangat hidup di luar negara. Saya kenal dengan jelas Islam dan Kafir. Saya kenal dengan jelas tauhid dan syirik. Saya kagum sangat dengan dakwah di sana. Kenal tak brother Nouman Ali Khan? Saya suka sangat dengar tafsir Quran dia. Best bangat! Dia tinggalkan Facebook hanya kerana seorang perempuan yang dia tak kenali invite dia untuk menjadi Friend. Nak kenal siapa dia kini? Dia adalah salah seorang pengasas Bayyinah Institute. Saya letakkan sedikit profilenya.

“Nouman is the founder and CEO of Bayyinah, as well as the lead instructor for a number of Bayyinah courses including the ‘Fundamentals of Classical Arabic’ and ‘Divine Speech’. His first exposure to Arabic study was in Riyadh, Saudi Arabia where he completed his elementary education. He continued Arabic grammar study in Pakistan, where he received a scholarship for ranking among the top 10 scores in the national Arabic studies board examinations in 1993. But his serious training in Arabic began in the United States in 1999 under Dr. Abdus-Samie, founder and formal principal of Quran College, Faisalabad, Pakistan who happened to be touring the US for intensive lectures in Tafsir and Arabic studies. Under Dr. Abdus-Samie, Nouman developed a keen methodical understanding of Arabic grammar. He further benefited from Dr. Abdus-Samie by internalizing his unique teaching methods and later translating his work into English for the benefit of his own students. Nouman served as professor of Arabic at Nassau Community College until ‘06 and has taught Modern Standard and Classical Arabic at various venues for nearly 7 years with over 10,000 students nationwide. Currently he has dedicated himself to a seven-year-long project, of conducting a linguistic & literary focus Qur’anic Tafseer series in English. Recordings of sessions conducted so far can be downloaded at www.bayyinah.com/dream.”

Masya Allah, kadang saya rasa tidak mustahil kita pun boleh jadi macam dia seandainya kita dapat meninggalkan jahiliah seperti Facebook, meeting yang bukan-bukan, movie dan yang sewaktu dengannya. Sejujurnya impian saya adalah untuk melihat akan lahirnya duat-duat seperti ini di bumi Malaysia. Akhirul kalam, saya minta maaf kalau ada membuat sesiapa terasa dengan entri sebelum ini. Kalau ada kebenaran dalam entri tersebut, anggaplah semuanya dari Allah. Andai ada kelemahan dalam catatan itu, anggaplah kesalahan itu dari diri saya sendiri. Hakikatnya kedua-duanya dari Allah. Dan saya menulis di sini semata-mata untuk mengingatkan diri saya sendiri sebenarnya. Allahu A’lam.

Friday, April 02, 2010

Khalil...

Seringkali saya menerima invitation dari teman untuk menggunakan Facebook. Alhamdulillah, saya telah meninggalkan dunia Friendster. Ada satu lagi azam saya iaitu meninggalkan dunia YM, cuma agak sukar kerana kebanyakan perbincangan dengan sahabat-sahabat adalah menerusi YM. Kadangkala kerana nak jimat kredit handphone, saya senang juga menggunakan YM untuk menghantar SMS messages.

Berbicara mengenai metod perhubungan yang ada di alam maya ini, suka saya berkongsi tadabbur dari Surah Furqan bermula dari ayat 27-31.

وَيَوۡمَ يَعَضُّ ٱلظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيۡهِ يَقُولُ يَـٰلَيۡتَنِى ٱتَّخَذۡتُ مَعَ ٱلرَّسُولِ سَبِيلاً۬ (٢٧) يَـٰوَيۡلَتَىٰ لَيۡتَنِى لَمۡ أَتَّخِذۡ فُلَانًا خَلِيلاً۬ (٢٨) لَّقَدۡ أَضَلَّنِى عَنِ ٱلذِّڪۡرِ بَعۡدَ إِذۡ جَآءَنِى‌ۗ وَڪَانَ ٱلشَّيۡطَـٰنُ لِلۡإِنسَـٰنِ خَذُولاً۬ (٢٩) وَقَالَ ٱلرَّسُولُ يَـٰرَبِّ إِنَّ قَوۡمِى ٱتَّخَذُواْ هَـٰذَا ٱلۡقُرۡءَانَ مَهۡجُورً۬ا (٣٠) وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّ۬ا مِّنَ ٱلۡمُجۡرِمِينَ‌ۗ وَكَفَىٰ بِرَبِّكَ هَادِيً۬ا وَنَصِيرً۬ا (٣١)


[27] Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul?

[28] "Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib!

[29] "Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)".

[30] Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai".

[31] Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari kalangan orang-orang yang bersalah; dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka).


Ayat ini adalah gambaran manusia pada hari akhirat. Dan Allah menggambarkan bahawa mereka yang melakukan kesalahan ini akan menggigit jarinya, wa yauma ya’addhuzzalimu ‘ala yadaihi. Bila biasanya kita melakukan perbuatan seperti menggigit jari? Selalunya kita melakukannya tanpa sedar. Dan di hari akhirat kelak, kita melakukannya tanpa sedar kerana ketakutan yang amat. Cuba bayangkan seketika seandainya kita melihat rumah kita terbakar atau saat menerima berita kematian seseorang, masya Allah perasaannya sukar digambarkan, bukan? Cuba bayangkan seketika di saat kita berhadapan dengan Pencipta kita, berhadapan dengan Allah yang Maha Besar? Katakutan yang tidak mungkin mampu kita bayangkan.

Dan dalam keadaan kita menggigit jari itu, kita spontan mengucapkan sesuatu. Allah menggunakan kalimah yalaitani. Ada tiga perkataan di dalam yalaitani- ya, laita dan ni. Ya selalunya kita gunakan saat mahu berbicara, nak address someone, dan dalam satu keadaan yang lain di saat kita menggambarkan kesedihan dan keperitan perasaan yang amat sepertimana yang digambarkan dalam ayat ini. Laita digunakan dalam bahasa Arab apabila kita mengungkapkan penyesalan, cries over spilled milk. Kita sudah pun melakukan kesalahan dan kita perlu berhadapan dengan Allah. Bayangkan seketika penyesalan itu. Dan Allah gunakan kalimah ni yang menunjukkan bahawa diri mereka sendiri yang rugi.

Kenapa rugi? Kerana mereka tidak mengambil jalan rasul. Allah menggunakan kalimah ittahaza dan bukan ahaza (mengambil sesuatu). Ittahaza maksudnya mengambil sesuatu dengan sepenuh hati, addicted to it, hold to it, and love it.Allah pernah gunakan kalimah ini saat menerangkan mengenai Bani Israel yang mengambil patung lembu sebagai sembahan mereka. Allah menekankan bahawa mereka mengambil patung tersebut dengan penuh kecintaan di dalam Surah Baqarah ayat 92.

Kalau kita lihat semula penggunaan kalimah ittahaza dalam ayat ini dan kita fikirkan sejenak, pasti akan timbul satu perasaan ketakutan yang dalam diri. Kerana mungkin boleh jadi kita sebenarnya yang diungkapkan oleh ayat Allah itu. Sebabnya ayat itu bukan kata tidak beriman yang merujuk kepada orang kafir, sebaliknya kepada mereka yang percaya tapi tidak mengambil sepenuhnya jalan rasul. Tidak mencintai sepenuhnya jalan ini.

Dalam ayat seterusnya, Allah gunakan kami yawailata, penyesalan yang amat sekali, dia menangisi dirinya. Kalau dalam ayat sebelumnya kerana tidak mencintai jalan rasul ini, dalam ayat seterusnya penyesalan tersebut kerana kawan. Ada kesinambungan dalam kedua-dua ayat kerana selalunya kita tercicir dari jalan rasul kerana mengikut tarikan teman lain yang kita rasakan menarik. Dan dalam dunia hari ini, ada dua jenis sahabat. Satu yang sering kita temui, dan keduanya adalah kawan di alam virtual (alam maya) seperti di Facebook, Myspace, Xbox, Friendster,YM dan lainnya. Dan tanyakan dengan penuh kejujuran, benar atau tidak bahawa semua hal itu mungkin sahaja melarikan kita dari jalan rasul? Berapa jam sehari kita habiskan masa kita dengan semua ini? Adakah di saat kita terbangun di tengah malam, kita pergi bertemu dengan Allah terlebih dahulu atau menatap Facebook atau YM kita? Tiada pergaulan bebas ke dalam semua itu? Berani ke kita menjamin bahawa tiada zina mata dan hati di dalam semua itu? Dan dalam ayat ini Allah ungkapkan penyesalan seseorang itu kerana mengambil ‘fulanan’ yang boleh merujuk apa sahaja yang menjauhkan dirinya dari jalan rasul sebagai khalil (teman). Kita akan menyesal di hadapan Allah, “Alangkah baiknya sekiranya dahulu aku tidak mengambilnya semua ini sebagai teman”.

Apa yang dilakukan oleh khalil (teman) ini? Dia menyesatkan kita dari Azzikr. Ijma’ ulama’ mengatakan bahawa Azzikr dalam ayat ini merujuk kepada Quran. Kalau dalam ayat 27, teman ini menjauhkan kita dari jalan rasul, maka dalam ayat 29, dia menjauhkan kita dari AlQuran. Dan tragedi yang paling besar adalah ba’da izjaani. Kita jauh dari Quran ini sesudah Quran ini datang kepada kita sebenarnya. Mungkin pada mulanya kita boleh salahkan teman-teman kita kerana menyesatkan kita, tetapi kita tersedar saat itu bahawa AlQuran ini pernah datang kepada kita sebelum ini. Nauzubillah, tragedi yang sangat dahsyat. Malu sangat di hadapan Allah.

Dan kemudian kita tersedar satu lagi perkara. Wa kanassyaitani lilinsani khazula. Kita tersedar bahawa syaitanlah pengkhianat sebenarnya. Kawan-kawan kita hanyalah wasilah yang syaitan gunakan untuk menyesatkan kita sebenarnya. Hakikatnya dialah musuh durjana. Dan Allah describe syaitan ini dalam ayat ini sebagai khazula. Apa beza khazula dan ‘aduwwa? ‘Aduwwa adalah musuh, tapi khazula adalah mereka yang berpura-pura seperti seorang sahabat, membawa kita ke lubang kehancuran, dan bila kita dah terjatuh ke dalam lubang kehancuran itu, dia pun pergi. Kurang ajar sangat syaitan ini! Khazula adalah darjat tertinggi seorang pengkhianat, dia melakukan pengkhianatan di atas pengkhianatan. Kita tidak sedar pun penipuan itu sehingga masanya begitu lewat bagi kita. Dan paling menyedihkan, kita tersedar semua itu kat kiamat, terlewat yang amat.

Dalam ayat ke-30 pula, Allah ceritakan bicara Rasulullah SAW. Dan kita pun tahu bahawa Rasulullah SAW adalah satu-satunya insan yang boleh memberikan syafaat di hari kiamat dengan izin Allah seperti yang ada di dalam ayat Kursi (biiznihi) dan kita sering mengharapkan bahawa kita juga memperoleh syafaat dari Rasulullah SAW. Tapi kita terlupa bahawa ada dua testimoni yang boleh Rasulullah SAW berikan. Satu adalah testimoni kebaikan yang menjauhkan ummahnya dari azab Neraka dan satu lagi keburukan yang mana Rasulullah jatuhkan ke atas segelintir golongan. Bayangkan Rasulullah SAW yang merupakan kekasih Allah memberi testimoni yang tidak baik untuk kita. Adakah kita berpeluang untuk menang di makhamah Allah? Adakah kita berpeluang untuk mendapat peguambela saat itu? Bagaimana untuk berhadapan dengan hakim iaitu Allah azzawajallah saat itu? Inilah yang tergambar di dalam ayat 30. Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai". Mahjura di sini berasal dari kalimah hajarah, kita berhijrah dari AlQuran, kita menjauhi AlQuran. Nauzubillah..

Mungkin kita tidak terasa sangat dengan ayat itu. Kita rasa mungkin ayat itu untuk orang kafir. Tapi kalimah yang digunakan adalah qaumi (kaumku). Rasulullah SAW tidak gunakan qaumi untuk orang kafir setelah Surah AlKafirun diturunkan. Dalam surah AlKafirun, Allah tidak gunakan ayat – Qul ya qaumi, tapi qul ya ayyuhal kafirun. Maka qaumi dalam ayat ini mungkin sahaja merujuk kepada kita. Nauzubillah.. Sedih kan bila Rasulullah SAW sebut di hadapan Allah bahawa kita telah meninggalkan Quran. Sedih sangat..

Dalam dalam ayat seterusnya, Allah sebut bahawa bagi setiap nabi ada musuhnya. Kita pun tertanya-tanya siapa musuh itu. Jawapannya ada dalam ayat sebelumnya. Barangkali kita. Iaitu mereka yang jauh dari jalan rasul, yang mengabaikan Quran ini, yang mengikut jalan syaitan. Mungkin kita tertanya-tanya, mengapa sampai begitu sekali penekanan dan tegasan ayat-ayat Allah, bukan? Kenapa sampai orang yang meninggalkan jalan rasul dan Quran ini boleh menjadi musuh bagi nabi? Kerana apabila ada hatta seorang yang tidak mengikut deen Allah ini, dia telah menjadi contoh bagi Muslim yang lain. Di saat dia menggunakan Facebook dan dia adalah duat, dia telah memberikan satu ijtihad secara tidak langsung bahawa hal itu bukanlah satu kesalahan. Mungkin dia melakukan perkara yang betul, tapi orang yang mengikut jejaknya barangkali akan kesesatan. Banyak lagi contoh lain, insya Allah saya pasti kalian lebih maklum tentang semua itu. Nauzubillah, kita tidak ingin sesekali menjadi manusia yang diungkapkan oleh Allah dalam ayat ini.

Dan seterusnya, di saat kita sedar bahawa tiada lagi excuse bagi kita, Allah berpesan pada kita yang takutkan semua ini bahawa cukuplah Dia yang memberi petunjuk dan menjadi penolong bagi kita. Allah memberi sinar harapan buat kita agar mencariNya untuk meminta petunjuk dan menjadikan Dia sebagai penolong kita di zaman fitnah ini.

Share it