Sunday, January 31, 2010

Songket...

Eh, kerja saya ini tidak siap lagi. Hmm..sekejap sahaja. Macam mana ye mahu terangkan kat orang lain menulis blog tidak sama dengan menulis artikel? Saya bukan tidak pernah menulis artikel cuma hal itu akan mengambil masa yang sangat lama. Saya tidak punya masa untuk menulis artikel. Eh, Imam Nawawi boleh hasilkan 500 buku sepanjang hayatnya, takkanlah kamu tidak boleh? Huhu.. entahlah, saya suka menulis blog sebabnya hal itu lebih pada meluahkan sahaja apa yang ada di minda, menukilkan sedikit ibrah yang dikutip dalam kehidupan seharian.

Oklah, tukar cerita. Pernah tengok kain songket tak? Atau apa-apa kain yang ditenun? Cantik kan? Cantik sangat. Mesti susah nak menghasilkan kain songket. Cuba bayangkan diri sendiri yang menenun kain songket itu. Siang malam bekerja mahu menyelesaikan hasil tenunan kan?

Cuba bayangkan, awak dah tenun lama-lama. Sungguhlah lama. Bertahun-tahun. Cuba bayangkan awak nak hasilkan kain tenun yang terbaik di dunia. Punyalah susah kan? Dan tiba-tiba datanglah seorang budak kecil yang menguraikan kain tenunan itu? Apa perasaan awak? Sakit hati gila kan? Cuba bayangkan awak sendiri yang menguraikan kain tenunan itu? Mesti awak gila kan?

Tadi saya baca satu ayat Allah yang menyentak hati saya. Yalah, iman ini kan kadang di atas dan kadang di bawah. Lantas datanglah tarbiah Allah untuk menyedarkan hambaNya yang mungkin terlena.

Awak cuba bayangkan yang awak dah lama kat jalan dakwah dan tarbiah ini. Lepas itu tiba-tiba awak lemah dan tidak mahu istiqamah. Samalah awak dengan tukang tenun yang menjahit tenunan siang dan malam, bersusah payah tapi kemudiannya menguraikan kembali tenunannya dengan tangannya sendiri. Awak yang meranapkan hasil usaha awak sendiri. Ngeri tak ayat Allah ini? Kesian kan kat orang yang tidak istiqamah? Mereka tidak menyelesaikan hasil tenunan mereka, sebaliknya mereka kehilangan segala yang telah diusahakan. Nauzubillah...

Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan. Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya. (Surah Annahl: 91-92)

Awak dalam artikel ini ditujukan pada diri sendiri terlebih dulu...

Saturday, January 30, 2010

Epal...

Minggu lepas saya bertemu dengan sahabat-sahabat lama. Terlalu indah pertemuan itu. Pertemuan yang menguatkan saya semula. Mereka adalah sahabat-sahabat yang bersama dengan saya saat pertama kali kami mengenali jalan dakwah dan tarbiah.

Saya luahkan kegusaran saya saat bertemu mereka. Saya bimbang saya tidak istiqamah. Kadang bila bercuti, hati terasa begitu jauh dengan dakwah dan tarbiah. Kadangkala terasa indahnya kehidupan menjadi manusia yang biasa-biasa sahaja. Terasa membina iman begitu sukar tetapi meranapkannya begitu mudah.

Seorang sahabat berbicara, ”Ummu, ana masih ingat lagi kata-kata nti 4 tahun lepas..”.

Tersentak hati seketika. Saya diingatkan dengan kata-kata yang pernah diluahkan. Analogi pemanah yang hebat. Terlalu hebat sehingga dikenali oleh kebanyakan manusia. Dia memanah tanpa pernah melakukan kesilapan. Suatu hari dia meminta seorang sukarela untuk diletakkan epal di atas kepala dan dia akan memanahnya. Meskipun semua manusia telah melihat kehebatan si pemanah, namun tiada siapa yang mahu menjadi sukarela. Kadangkala kita percaya, tapi sejauh mana pula keyakinan kita?

Sahabat saya menambah. Sejauh mana kita meyakini jalan dakwah ini? Adakah sekadar percaya tanpa yakin?

Kata-kata itu sentiasa hadir sejak beberapa hari kebelakangan ini. Terlalu mudah berbicara tentang syurga, tapi betul-betul percaya dan yakin?

Sudah puas kita berbicara bahawa usia dunia begitu pendek, tapi betul-betul percaya dan yakin?

Sudah berpuluh kali kita melaungkan bahawa jalan dakwah ini begitu panjang, adakah kita tidak yakin dan percaya dengan semua itu dan mahu berhenti sekerat jalan?

Percaya dan yakin. Sungguh saya perlu bermuhasabah. Terima kasih buat sahabat yang mengingatkan.

Friday, January 29, 2010

Insiden...

Sejujurnya saya terasa seperti kehilangan sesuatu. Entah, sukar saya pastikan hal itu. Kata sahabat, bacalah AlQuran sehingga perasaan itu hilang. Barangkali saya kepenatan. Semalam memang hari yang terlalu memenatkan. Saya tidak berehat dari pagi sehingga tengah malam.

Terlalu banyak yang perlu kita penuhi. Tadi kelas Anaesthesiology. Saya belajar mengenai ubat yang begitu banyak sehingga terpinga-pinga. Saya juga begitu gelisah dan tiada keyakinan diri saat membentangkan topik sendiri. Saya tidak sukakan topik berkaitan pharmacology dan anatomy. Banyak yang perlu diingat dan terlalu sukar untuk saya fahami.

Semalam pun saya sedih. Saya tidak hafal hadis yang ditugaskan oleh naqibah. Terasa saya tidak serius dengan urusan tarbiah sendiri. Hal-hal yang perlukan kepada mengingat benar-benar bukan kemampuan saya. Saya perlu berusaha dengan lebih gigih lagi. Allah pastinya tidak menilai sejauh mana hadis dan ayat Quran yang yang dihafal, tapi Dia melihat pada usaha saya. Duhai diri, berusahalah..

Kadangkala manusia terlalu mengharapkan sesuatu dari kita. Kalau pun manusia tidak mengharap, hal itu menjadi tugasan dan tanggungjawab kita. Tadi semasa kelas, Prof bercerita mengenai seorang pesakit. Doktor MO yang baru bekerja terlupa memberikan ubat penahan sakit kepada pesakit. Sedangkan ubat untuk merehatkan otot (muscle relaxant), yang tidak memungkinkan pesakit berbicara atau membuka matanya dan ubat pelali sudah diberikan. Apa yang terjadi sepanjang pembedahan? Pesakit merasai kesakitan yang tiada taranya tapi tidak dapat menjerit atau berbicara kerana sudah dibius. Bayangkan sahaja setiap proses pembedahan dirasainya. Ngeri. Saya sendiri tidak dapat membayangkannya. Setiap lapisan kulit yang dipotong dan disiat dirasainya. Ngeriiii.. Dan sebaik dia sedar dari bius, dia menangis teresak-esak. Betapa ngerinya perasaan yang perlu dilalui oleh pesakit tersebut.

Teringat juga pengalaman sendiri saat pembedahan. Otot pernafasan saya belum pulih, tapi proses extubation (keluarkan tiub) sudah dilakukan. Saya tidak dapat bernafas. Hanya saya yang melalui hal itu sahaja yang tahu betapa ngerinya pengalaman itu. Sehingga kini saya masih dihantui rasa trauma.

Semalam saya lihat seorang doktor memberikan Combined Spinal Anesthesia. Tempat yang perlu dicucuk adalah kawasan di atas punggung. Berkali-kali doktor tersebut melakukan prosedur tersebut kerana hal itu adalah terlalu sukar. Tapi melihat pesakit tersebut, saya dapat membayangkan kesakitan yang tiada taranya. Pernah juga semasa sunathon, saat saya sedang menjahit, adik tersebut cuba untuk melompat dari meja kerana kesakitan yang dirasainya tiba-tiba.

Saya dihantui oleh dua perasaan. Saya perlu menjadi doktor dan dalam masa yang sama saya pernah menjadi pesakit. Kedua-dua perasaan ini kadangkala bertindan. Ada ketakutan. Di ketika yang lain, saya akan mula memikirkan - Boleh ke belajar setakat cukup makan dan lulus peperiksaan? Tidak. Belajar perubatan tidak sama dengan belajar hal lain kerana ia berkaitan dengan manusia. Seandainya manusia asyik berbicara mengenai pahala menjadi seorang doktor, saya pula tidak menafikan bahawa profesyen ini juga boleh menjadikan seseorang itu begitu berdosa. Arghh..beratnya ya Allah profesyen ini..

Oklah, insiden lain. Seperti yang saya katakan, semalam saya tidak menghafal hadis yang ditugaskan untuk naqibah. Seakan-akan saya tidak serius dengan urusan tarbiah saya. Seusai kelas semalam, saya bersiap untuk preparation usrah. Saya hadam balik usul yang akan dibincangkan, saya membaca tugasan sendiri. Hal itu bukan mudah. Pagi di hospital (Anaesthesiology), petang kelas Ophthalmology, pulang dari kelas perlu menyediakan tugasan usrah dan malam usrah. Dan esok pula iaitu hari ini saya perlu membentangkan tugasan akademik yang diberikan. Minda saya sudah terlalu penat. Kata naqibah, takkanlah orang muda boleh penat. Tapi jujur saya penat dan dalam masa yang sama saya masih perlu menjadi seorang yang serius dengan hal tarbiah saya.

Ok, insiden lain lagi. Semasa meeting baru-baru ini, seorang adik meluahkan perasaannya terhadap usrah. Katanya, usrah dirasakan hambar dan tidak membina. Meskipun dia bukan anak usrah saya, saya dapat merasakan itulah luahan anak usrah saya juga. Pernah seorang anak usrah saya meluahkan perasaan setelah kembali dari mukhayyam. Katanya, dia cemburu dengan rakannya di kolej lain yang menerima sentuhan Islam yang lebih hebat sedang dia terkapai-kapai di kolej. Ya Allah, tersentak hati saya. Dia tanggungjawab saya dan saya tidak pernah berjaya memenuhi haknya.

Ok, insiden lain lagi. Pernah saya memandu pulang ke Johor selepas kelas. Saat itu cuti perayaan. Dan saya tersangkut dalam kesesakan lalu lintas yang amat teruk. Kaki saya kepenatan. Saya terlupa melihat telefon bimbit saya. Ayah menelefon berkali-kali dan saya tidak melihatnya. Setibanya di rumah, saya dimarahi. Dalam kepenatan itu, saya gagal menjadi anak yang baik.

Ok, insiden lain lagi. Hal ini mengenai sahabat. Seorang sahabat saya menghidap SLE. Minggu lepas saya menemuinya. Jujur saya tidak pernah menjadi sahabat yang baik buatnya. Jarang saya bertanya khabar kerana kesibukan sendiri. Hak-hak sahabat yang lain juga jarang saya lunasi.

Ok, contoh lain lagi. Semalam naqibah saya memberi komen mengenai doktor. Katanya, ada doktor yang terlalu baik dengan pesakit tetapi begitu masam dengan anak dan suami di rumah. Huhu, dapat bayangkan tak bila kamu terlalu penat bekerja dan kamu masih perlu menjadi isteri dan ibu yang baik untuk anak-anak kamu?

Lama saya berfikir mengenai semua ini. Bagaimana saya boleh menjadi doktor, anak, murabbi, mutarabbi, pelajar yang super segalanya? Kadangkala bila saya gagal menjalankan tanggungjawab saya, saya akan menangis sendirian. Kadangkala saya akan termenung sendirian memikirkan harapan manusia terhadap saya dan tanggunjawab saya sendiri.

Tapi dengan izinNya saya menemukan jawapan kepada persoalan ini. Hal-hal itu adalah kecil. Ada hal yang lebih besar dan utama. Saya perlu menjadi HAMBA Allah terlebih dahulu. Ya, saya perlukan Allah dan terlalu memerlukannya dengan segala kekerdilan diri ini. Saya perlukan Allah setiap saat dan ketika. Saya mengenaliNya kerana kelemahan-kelemahan yang ada pada diri saya.

Tidak mungkin ada yang faham segala kesukaran kita. Mahu cerita dengan prof yang belajar perubatan susah? Mereka sudah terlalu hebat dan tidak akan faham saya yang tidak pandai ini. Nak cerita dengan keluarga yang kita terlalu penat? Tidak mungkin kerana mereka tidak melihat diari kehidupan seharian kita? Mahu cerita dengan teman? Mereka juga tidak akan memahami kesukaran kita.

Yang saya ada cuma Allah. Allah.. Allah… Allah….Allah. Dia yang mengetahui segala kelemahan hambaNya.

Pernah saya tadabbur Asma Allah. Salah satunya adalah Addhar – Maha Pemberi Derita. Hanya Allah yang berhak menguji hambaNya. Segalanya juga adalah untuk kebaikan hambaNya.

God didn't promise days without pain, laughter without sorrow, sun without rain, but He did promise strength for the day, comfort for the tears, and light for the way.

Tuesday, January 26, 2010

Dush...

Saya dah mula bersekolah kembali. Terasa best cuti. Tapi kata-kata Prof kelmarin semasa penggulungan talk Palestine benar-benar mengesankan saya.

Bom! Dush! Rasanya seperti betul-betul ditembak di dada.

Bila prof kata ada yang lupa niat asal dia buat perubatan, saya terasa itulah saya. Bila Prof kata ada yang jauh dari Allah, terasa itulah saya. Cuti pun saya macam cuba lupakan semua masalah saya. Tidak mahu ingat langsung tentang kerja saya yang banyak. Sepatutnya lagi stress, lagi bertambah akrab hubungan dengan Allah. Saya pula jauh dengan Allah.

Bila prof sebut ayat ini, memang rasa macam kena tembak. Terasa Allah itu sangatlah dekat. Allah sahajalah sebaik-baik doktor yang merawat masalah hati manusia. Rasa macam kena bom pun ada. Memang terasalah..
And be not ye as those who forgot Allah, therefor He caused them to forget their souls. Such are the evil-doers. (Surah al Hasyr: 19)

Saya stress sangat minggu lepas. Exam dan kerja-kerja lain terlalu memberi tekanan. Dan saya pulang ke rumah untuk melupakan semua masalah saya. Mahu memberi kerehatan kepada minda kononnya.

Ayat Allah sangat dahsyat. Saya nangis dengan seorang lagi adik tentang ayat ini. Dia nangis sebab lain. Tapi hebat sangatlah ayat Allah, kita boleh terasa disebabkan hal yang berlainan.

Kata adik itu, ayat ini macam contradict dengan ayat :
47:7 O ye who believe! If ye will aid (the cause of) Allah, He will aid you, and plant your feet firmly.

Bila prof cerita tentang ayat dari Surah AlHasyr itu, saya melihatnya dari satu sudut. Bila luahkan rasa sebak itu kat seorang adik, dia pula memberi satu persepsi yang lain mengenai ayat itu. Dahsyat ayat Allah.

Lepas itu kan ayat itu 59:19 kan? Bila buka Quran, saya terbuka 58:19. Tersalah cari ayat itu pada mulanya. Tapi ayat 58:19 itu pun menyentak hati sangat-sangatlah.
58:19 The Evil One has got the better of them: so he has made them lose the remembrance of Allah. They are the Party of the Evil One. Truly, it is the Party of the Evil One that will perish!

Argghhh...Terjerit-jerit hati ini. Takut sangat kan? Bila saya jauh, Allah tarik semula. Tapi sampai bila hal ini akan berlaku? Takut kan kalau Allah tak nak campak lagi hidayahNya. Ya Allah, jangan Kau bosan dengan hambaMu ini..

Oklah, saya kena semangat untuk belajar dan buat kerja. Banyak lagi nak kongsi tapi masa tidak mengizinkan. Moga Allah memberi kelapangan masa buat saya.

Friday, January 22, 2010

Berniaga...

Saya sudah mengeluarkan modal dan membeli beberapa jubah untuk dijual. Ya, saya mahu berniaga. Sudah tiba masanya untuk saya berniaga.

Kelmarin, saya terpaksa membatalkan hasrat mengikuti jaulah ke Indonesia. Semuanya gara-gara duit. Bukan tidak berduit cuma duit itu punya haknya di tempat lain. Kos 3 hari ke jaulah menyamai perbelanjaan saya selama dua bulan. Tanggungjawab pula kian bertambah. Meskipun saya tahu perjalanan tarbawi ke sana tidak mampu menyamai segalanya yang ada di sini namun saya pasrah kerana saya tahu duit itu punya haknya yang lebih utama.

Best kan kalau kita kaya raya? RM 80 000 macam 80 sen sahaja untuk diinfaqkan pada jalan Allah. Semuanya terasa mudah di hati. Maka saya bercita-cita mahu jadi kaya. Saya sendiri tidak suka dakwah mengemis. Kita sebagai daie perlu menjadi kaya. Kaya sehingga infaq bukan menjadi masalah. Kaya sehingga segala hal yang lain telah tertunas supaya dakwah mampu mengalir deras tanpa masalah.

Saya telah mengambil langkah pertama. Jujur saya terlalu kepingin untuk merasai duit yang saya cari dengan usaha sendiri. Jujur saya ingin merasai nikmatnya apabila duit tersebut menjadi manfaat yang besar di mizan Allah kelak.

Doakan saya ya. Saya tahu perniagaan suatu sunnah. Muhammad SAW telah mula berniaga sejak berusia 12 tahun. Saya telah terlewat lebih 10 tahun nampaknya. Ummahatul mukminin seperti Khadijah dan Zainab bin Jahsh juga adalah peniaga. Hatta Khadijah mahu menjual tulang belulangnya supaya digunakan demi dakwah. Sahabat-sahabat nabi juga berniaga. Tidak salah mencuba.

Jujur saya takut risiko. Bimbang duit yang dilaburkan kerugian. Tapi pesan murabbi seakan bermain di kepala. Kita bekerja dengan kerajaan Allah makanya urusan rezeki tidak perlu dirisaukan.

Mudah-mudahan cubaan pertama ini meniupkan api semangat untuk terus mencuba. Mudah-mudahan segala yang dikurniakanNya tidak membuatkan saya bertambah bakhil. Ya Rabb, permudahkan urusanku ini..

Kritikan...

Saat membaca tulisan seorang adik tentang qadar, saya cuba mengingatkan kembali diri dengan dunia pengajian saya sendiri. Cuti hanya berbaki dua hari sahaja lagi. Saya akan memulakan semester baru Isnin ini. Di dalam semester baru, saya akan belajar ENT, Opthalmology, Radiology dan Anesthesiology dalam 2 bulan. Rasa berat yang amat. Kemudiannya, posting Psychiatry dua bulan lagi.

Tidak sangka saya yang lemah ini sudah sampai ke tahap ini. Saya tidak pasti keputusan semester lepas tapi sejujurnya semester lepas tidak begitu menyeronokkan. Ada butir-butir air mata yang gugur. Saya ingatkan saya sudah tidak reti menangis tapi semester lepas saya menangis. Saya bahagia kerana boleh menangis sebabnya sudah lama saya euphoric terlebih-lebih.

Kadang saya merasakan orang yang mempengaruhi saya untuk membuat perubatan adalah penipu besar kerana tidak menceritakan sudut hitam dunia perubatan. Entahlah. Tapi hal qadar juga yang menyedarkan bahawa Allah yang meletakkan saya di dalam bidang ini. Dia yang lebih mengetahui.

Saat reflection posting lepas, banyak sangat saya membuat kritikan. Tapi insya Allah saya dah memberikan alternatif. Di saat akhir reflection session, coordinator ingatkan tentang kisah Nabi Musa dan Nabi Khildir. Dua hari sebelum itu, saya membaca kisah ini di dalam Surah Kahfi tapi tidak terasa sangat. Tapi disebabkan saya yang banyak buat kritikan semasa reflection session, saya terasa dengan kisah tersebut. Bagus juga buat kritikan. Saya belajar sesuatu dari hal itu. Saya bukan seorang yang berani nak membuat kritikan, tapi saya bencikan sistem hipokrit dan dunia kaki bodek. Saya benci!

Tentang kisah Nabi Musa dan Nabi Khildir, banyak yang perlu saya renungkan. Kisah tersebut bermula dari ayat 60 Surah AlKahfi. Tidak pandai saya nak menulis kisah tersebut di sini. Membaca secara langsung dari Quran lebih menyentuh hati. Tulisan seorang doktor yang berjuang melawan penyakitnya tentang kisah ini juga menyentuh hati saya. Boleh baca di sini.

Takkanlah Allah nak cerita kisah tersebut tanpa membawa sebarang makna dalam kehidupan hambaNya? Pastinya hikmah dan pengajarannya adalah terlalu besar. Adakalanya di saat kita mula tertanya-tanya hikmah di sebalik sesuatu, kita perlu belajar berdiam dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Pasti ada hikmah di sebalik setiap yang terjadi. Yakin sahaja.

Seperti tulisan doktor tersebut,

“Allah allows some things to happen within His dominion which appear to us as unfair (ie children suffering from cancer) because they serve a greater WISDOM which we, mere mortals cannot comprehend. And for things that we cannot comprehend, we must try to understand and accept, just like how we will accept a doctor's prescription when we fall ill because we acknowledge the doctor's specialty in the field. And Allah's specialty is absolutely boundless, one that has no comparison whatsoever”.

Doakan yang terbaik buat saya.

Thursday, January 21, 2010

Belek...

Saya tukar template blog lagi. Meskipun saya tahu telah banyak website yang memudahkan pengunjung mengetahui tentang blog pilihan seperti Google Reader dan lainnya, yang tidak memerlukan pengunjung ke blog pilihan secara langsung, namun saya mengambil keputusan untuk menukar template blog demi kepuasan sendiri. Dalam hidup ini, manusia memerlukan perubahan. Dan saya juga memerlukan perubahan agar mood untuk menulis hadir.

Dalam dunia dakwah dan tarbiah juga begitu. Pernah kami diminta menghadiri daurah di Genting Highland. Macam pelik kan? Terfikir juga di hati, takkanlah daurah pun nak kena pergi jauh-jauh, cukuplah buat di kolej sahaja. Tapi murabbi macam faham-faham sahaja. Hal yang hanya terlintas di hati seolah-olah difahaminya. Katanya, tabiat tarbiah ini begitu. Adakalanya perlu tukar tempat untuk mengembalikan dan memugar roh dan semangat yang hilang.

Saya juga pernah ceritakan tentang satu graf. Kalau ada yang berminat, bolehlah baca di sini.

Sebenarnya nak cerita hal lain tapi tertulis hal yang lain. Hmm..tadi saya belek-belek surat khabar. Banyaknya masalah di dunia ini. Pening! Sosial. Jenayah. Bunuh orang. Mati sebab kena hempap TV. Eh, macam-macam..

Semalam tunjuk mak presentasi Harun Yahya ini, menghayati tanda-tanda akhir sebelum kedatangan Hari Kiamat. Setiap masa dalam solat kita baca 'Maliki yaumiddin - Yang Menguasai Hari Pembalasan". Tapi kadang macam tidak terasa apa pun sedangkan sahabat nabi sampai terpengsan-pengsan baca. Itulah sebabnya adakalanya kita perlu menghayati video, pengisian, ayat-ayat Allah untuk terus memugar roh kegerunan di dalam hati. Nanti sebelum kiamat, Islam akan menguasai dunia ini semula. Akhlaq Qurani akan kelihatan di mana sahaja. Best kan?

Tadi belek-belek buku Petunjuk Sepanjang Jalan, terjumpa hadis ini. Rasulullah SAW dah khabarkan kat kita yang Islam ini mesti menang punyalah. Kamu percaya tak? Kalau percaya, apa tindakan kamu. Eh, 'kamu' itu saya tunjukan kat diri saya terlebih dahulu. Yalah, penulis blog yang paling banyak membaca blognya sendiri. Adik saya kata penulis blog syok sendiri. Tak habis-habis buka blog sendiri. Huhu..Blog ini saya tulis untuk saya terlebih dulu pastinya.

Eh, saya tak share hadis lagi ye? Oklah, ini hadisnya. Selamat menghayati~

Khabbab bin Al-Aratt telah bercerita begini: "Kami telah datang menghadap Rasulullah SAW pada ketika beliau sedang berdoa di tepi kaabah dengan keadaan duduk beralaskan kain selendangnya.

Kami mendekatinya sambil menyatakan maksud kami yang sebenar dengan berkata: "Wahai Rasulullah tidakkah terkenang di hati Rasulullah hendak berdoa mohon Tuhan memberi pertolongan kepada kita? Atau tidakkah Rasulullah bermaksud hendak mohon sebarang doa kepada kami?"

Maka Rasulullah SAW pun menjawab: Sebenarnya orang-orang sebelum kamu (orang beriman) telah diseret ke suatu tempat lalu digali sebuah parit dan dihumban ke dalam parit itu lalu digergaji kepalanya hingga terbelah dua; lalu badannya pula dicakar dengan pencakar besi hingga daging dan tulangnya hancur berkecai. Kejadian ini tidak menyebabkan dia menjauhkan diri dari agamanya. Demi sesungguhnya Allah pasti akan menyelesaikan pekerjaan ini (pekerjaan mendakwahkan iman dan akidah). Pada ketika itu seorang musafir dari Sana'a (ibu kota Negeri Yaman) dan Hadhramaut (Negeri berbukit-bukau yang pada ketika itu dipenuhi perompak dan penyamun) akan selamat sampai ke tempat tujuan tanpa gangguan. Dia akan sampai dengan aman tidak takutkan apa-apa gangguan pun dari sesama manusia. Yang ditakutinya ialah Allah dan serigala yang mungkin datang membunuh kambing ternakannya, tapi kamu sekalian teralu gopoh."

(Hadis Riwayat Bukhari)

Tuesday, January 19, 2010

Belah..

Tadi hujan lebat sangat. Kagum dengan alam ciptaan Allah. Terfikir tentang proses pemeluwapan. Bagaimana proses pemeluwapan itu boleh menghasilkan air hujan yang tercurah dengan begitu banyaknya? Boleh ke proses hujan itu terjadi sepenuhnya kerana proses pemeluwapan itu?

Teringat ayat Allah.
Pernah ustaz bercerita. Kalaulah kita nak kata bahawa hujan terjadi kerana proses kitaran hujan, mengapa di Mediterranean hujannya lebih banyak semasa musim sejuk dan sedikit semasa musim panas? Ya, di Mediterranean hujan lebih lebat dan berlaku semasa musim sejuk. Masya Allah, Allah cuba menjelaskan kepada kita bahawa kita perlu yakin sepenuhnya bahawa Dialah yang menurunkan titisan hujan itu.

Cantik juga ayat Allah yang seterusnya. Thumma syaqaqnal ardha syaqqa. (Kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya). Syaqqa itu belah. Contohnya, kamu ini ada kat stadium bola yang sendat dan padat macam sardin. Tiba-tiba kamu rasa nak buang air. Bila kamu cuba sedaya upaya nak keluar dari stadium yang sempit itu, itulah syaqqa. Dan Allah yang membelah bumi agar tumbuh-tumbuhan dapat keluar.

Pernah buat eksperimen kacang hijau kan? Cuba bayangkan biji kacang hijau itu kat tanah. Bagaimana taugeh yang halus dan lembut itu boleh keluar dari tanah itu?

Tadi pagi saya pergi jogging dan melihat lalang. Bagaimana daun lalang yang lembut, tunas yang lembut itu boleh keluar dari tanah?

Tidak lain tidak bukan, semuanya terjadi kerana kekuasaan Allah yang hebat itu. Ini contoh video timelapse. Keseluruhan proses ini berlaku selama 9 hari. Masya Allah. Allah yang belah-belahkan bumi itu untuk bijian ini. Biji-bijian ini begitu lemah nak menghadapi tanah itu. Kalau kita pun, nak pecahkan tanah mesti kena ada cangkul. Siapa yang belah-belahkan bumi ini untuk tanaman itu? Siapa yang menjamin air dan cahaya matahari untuk tumbuhan itu? Semuanya ALLAH. Kerdil dan rasa insaf sangat diri ini saat mentadabbur ayat-ayat Allah.

Dalam Surah Annaba’ pula Allah katakan semua perkara yang Dia ciptakan adalah untuk kita. Masya Allah. Banyak kan kerja kita? Semuanya yang Allah kurniakan adalah untuk menjalankan tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah. Dah buat sepenuhnya ke tugas kita itu? Peringatan untuk diri sendiri dahulu pastinya..

Wednesday, January 13, 2010

Biru...

Banyak sangat penyakit yang Allah cipta di dunia ini. Semalam Zaid cerita pasal satu flem Hindi bertajuk Paa. Amitabh Bachan berlakon sebagai anak dan Abishek Bachan berlakon sebagai bapa. Macam kelakar bunyinya tapi filem tersebut mengisahkan tentang penyakit Progeria, umur masih muda tapi fizikalnya seperti orang tua. Kalau tengok cerita Orphan pula, kisahnya pula mengenai penyakit hypopituitarism, umur dah tua tapi fizikalnya muda. Masya Allah! Hebat kan Allah yang mencipta semua ini.

Semuanya membuatkan manusia yang berfikir terasa kerdil. Teringat bicara Syed Qutb di dalam tafsir Surah Annaba'.

"Hakikat-hakikat kejadian itu adalah lebih besar dan lebih luas dari apa yang dirasakan oleh manusia jakun dengan hatinya yang kosong. Semakin maju dan tinggi ilmu pengetahuan manusia mengenai rahsia-rahsia alam dan peringkat-peringkat perkembangannya semakin besarlah hakikat ini di dalam jiwanya dan dia akan sedar bahawa di belakang kejadian-kejadian alam itu terdapat perencanaan dan tadbir Allah yang Maha Besar dan Maha Bijaksana yang telah mengatur dan menyelaraskan di antara individu-individu semua makhluk dan keperluan mereka masing-masing...".

Sungguh terasa kehebatan Allah.

Saat membaca buku Orthopaedic, terjumpa dengan penyakit Osteogenesis Imperfecta. Selalunya pesakit yang mempunyai penyakit ini akan mempunyai sclera berwarna biru.

Merenung gambar di dalam buku Apley's membuatkan saya terfikir-fikir kehidupan mereka yang menghidap penyakit ini. Bagaimana mahu meneruskan kehidupan dengan tulang yang rapuh dan selalu patah?
Allah temukan saya dengan artikel ini. Masya Allah! Seorang insan yang menghidap penyakit ini sedang mengandungkan anaknya yang ketiga. Rasa kerdil yang amat saat membaca artikel tersebut.

Oklah, pergi dulu. Exam esok dan Jumaat. Huhu..Cepatlah habis.

Tuesday, January 12, 2010

Kepungan...

Terharu apabila terjumpa blog arwah di laman maya. Mengapa entah saya begitu takutkan kematian saat ini.

Mentadabbur tafsir Fi Zilalil Quran berkenaan Surah AlQiyamah menimbulkan keinsafan. Benarlah kematian itu begitu menakutkan.

"Di antara hakikat-hakikat yang besar yang dikumpulkan oleh surah ini dalam menghadapi hati manusia dan mengenakannya dengan satu kepungan yang ketat yang tidak dapat dihindari olehnya itu ialah hakikat maut yang kejam, yang amat ditakuti oleh setiap yang hidup. Tiada siapa yang berkuasa menolak maut yang berlaku pada setiap detik itu. Ia dihadapi semua orang, orang-orang dewasa dan kanak-kanak, orang-orang kaya dan miskin, orang-orang gagah dan lemah. Mereka semuanya sama sahaja di depan maut. Tiada sebarang helah dan ikhtiar, tiada berguna sebarang kekuatan dan pertolongan dan kesempatan untuk tempoh menempoh. Semuanya itu menunjukkan bahawa maut itu datang dari pihak yang tertinggi yang tidak mampu ditolak dan dihindarkan manusia".

Di dalam muqaddimahnya pula, Syed Qutb menulis:

"Aku telah hidup di bawah bayangan al-Quran dan di sana aku melihat alam al-wujud ini adalah jauh lebih besar dari saiznya yang lahir yang dapat dilihat itu. Ia lebih besar dari segi hakikatnya dan dari segi bilangan aspek aspeknya. Ia mencakup alam ghaib dan alam syahadah kedua-dua sekali bukannya alam syahadah sahaja. Ia merangkumi dunia dan Akhirat kedua dua sekali bukannya dunia ini sahaja. Dan kewujudan manusia adalah bersinambung di lorong-lorong zaman yang amat jauh itu. Maut bukannya penghabisan perjalanan hidup manusia, malah ia merupakan suatu peringkat perjalanan di tengah jalan. Segala sesuatu yang dicapai oleh seseorang di dunia ini bukanlah merupakan seluruh habuannya, malah hanya merupakan sebahagian dari habuannya sahaja. Segala balasan yang terluput di dunia ini tidak akan terluput di Akhirat nanti. Di sana balasan tidak akan mengalami penganiayaan, pengurangan dan kesesiaan. Peringkat perjalanan yang dilalui manusia di bumi ini merupakan peringkat perjalanan di sebuah alam hidup yang lumrah, sebuah alam sahabat yang mesra dan sebuah alam yang mempunyai roh yang sentiasa menerima, menyambut dan ia bertawajjuh kepada Allah Pencipta Yang Maha Esa sebagaimana roh orang yang beriman bertawajjuh kepada-Nya dengan penuh khusyu’".

Banyak yang perlu saya hayati dan begitu banyak yang perlu saya baiki. Moga Allah memberi kekuatan untuk melalui hari-hari yang mendatang.

Dagang...

Semalam seorang ikhwah yang tidak saya kenali meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan pulang dari menghadiri satu program. Dalam setahun dua ini, banyak kisah-kisah begitu dan ia membuatkan saya merasai bahawa kematian itu semakin hampir. Takut kan bila memikirkan bahawa kita pasti akan melalui kematian? Cuba tutup mulut dan hidung seminit dan fikirkan sendiri bahawa kita pasti akan melaluinya. Takut sekali.

Semasa membaca buku Dagangnya Diterima Allah yang menceritakan kisah berkenaan Assyahid Fauzi Ismail yang syahid di bumi Afghanistan, ada satu persoalan yang diajukan oleh penulis. Mengapa mereka yang Allah pilih dan bukannya kita? Seandainya persoalan tersebu diamati sedalamnya, hal itu akan menjadi muhasabah yang paling besar dalam kehidupan kita.

Semalam saat mentadabbur ayat ini bersama anak-anak usrah, ada kesayuan yang hadir.

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar. (Surah Attaubah:111)

Saya juga baru mendengar kuliah Sheikh Zahir Mahmood yang menceritakan pengalaman konvoi Viva Palestina baru-baru ini. Rasa rindu yang amat terhadap bumi itu. Kenapa Allah memilih mereka untuk menyertai konvoi tersebut dan bukannya kita? Mereka menceritakan bahawa mereka memandu selama berjam-jam dan adakalanya selama 9-10 jam terus menerus. Adakalanya perlu menuang air di kepala untuk terus dalam keadaan tersedar. Dan kata sheikh, fahamlah mereka tentang kata-kata Khalid AlWalid - “Berada pada suatu malam yang dingin membeku dalam suatu pertempuran di jalan Allah, lebih aku sukai daripada tidur bersama seorang gadis di malam pengantin”.

Mereka merasai nikmat berada di jalan Allah. Allahu Akbar! Bilakah kemanisan tersebut akan terus mengakar dalam jiwa kita pula? Bilakah kenikmatan itu akan terus menggerakkan kita? Apakah kelazatan itu akan terus-terusan terasa di hati?Persoalan-persoalan ini membuatkan diri termenung jauh...

Sunday, January 10, 2010

Buku kecil...

Saya akan menghadapi peperiksaan bermula esok tapi masih sempat menulis di sini. Takpe, untuk merehatkan minda buat seketika.

Minggu lepas saya membeli buku kecil ini dari naqibah. Saya tertarik untuk membaca buku ini kerana cerpen yang pernah saya baca satu ketika dahulu di surat khabar. Cerpen itu yang mengubah mentaliti saya mengenai nikah misyar.

Mengenai buku ini pula, kupasan ulama' yang tersohor ini memang tidak dapat dinafikan. Seakan-akan saya bukan membaca buku yang berbahas mengenai hukum semata-mata. Buku ini benar-benar memberikan pencerahan. Saya juga belajar mengenai sikap seorang ulama dalam berhadapan dengan masalah ummah. Moga-moga punya masa untuk mengkhataminya.

Tentang cerpen tersebut pula, saya telah menemukannya di laman maya. Boleh baca di sini. Tapi saya tidak setuju kalau satu masa nanti saya perlu menjadi isteri kedua untuk sesiapa sahaja. Nauzubillah. Mungkin bahagian itu kurang saya senangi dalam cerpen ini. Tapi mungkin juga saya tidak kisah untuk berkongsi suami seandainya saya isteri pertama. Kalau saya berbicara mengenai nikah misyar atau poligami dengan orang lain, ramai yang rasa saya merepek dan membuat kesimpulan bahawa saya belum menemukan lagi insan yang benar-benar saya sukai. Tapi mengikut pandangan saya yang kerdil, mungkin juga nikah ini adalah solusi bagi dakwah, bagi wanita yang benar-benar sibuk dan bagi wanita yang memiliki banyak tanggungjawab. Allahu A'lam.

Untuk lebih adil, mungkin saya perlu mengkhatami dahulu buku tersebut.

Saturday, January 09, 2010

Jiwa Lawwamah...


Mungkin saya terlambat mengikuti perkembangan nasyid. Lama dah ramai orang promosikan lagu Maher Zain cuma baru-baru ini baru rasa nak dengar. Lagu itu macam menyentuh hati jugalah sebab saya dengar masa saya sedih. Sebelumnya saya hanyut dengan lagu-lagu Benammi.

Tapi satu tabiat buruk saya ialah saya akan mendengar satu-satu lagu kegemaran saya sehingga saya bosan. Adik-adik saya paling tidak suka dengan tabiat saya yang ini. Sebabnya banyak lagu-lagu best yang akan saya ulang-ulang dengar sehingga mereka juga akan merasakan lagu tersebut tidak best. Banyak CD dalam kereta juga yang saya kira sudah begitu membosankan dan terbiar bersadai. Lagu Maher Zain yang baru saya dengar beberapa hari juga sudah membosankan saya.

Tapi korang perasan tak satu perkara dengan Quran? Quran tidak pernah membosankan. Misalnya, saya jatuh cinta dengan Surah AlQiyamah semasa saya di matrikulasi kerana alunan Sheikh Fahd Kanderi yang begitu menyentuh hati tapi sehingga saat ini saya masih mencintai surah ini. Masih terasa lagi kegerunan surah ini dan air mata masih terus menitis. Dan kecintaan saya terhadap surah ini bertambah-tambah apabila membaca kupasan atau tulisan tentangnya.

Bila Quran akan membosankan? Bila hati tidak suci. Kata Saidina Uthman – Hati yang suci tidak akan pernah puas membaca Quran. Makanya bila kita rasa lemah nak mengaji Quran, selidikilah hati. Huhu, saya pun kena selalu periksa hati nampaknya sebab selalu sahaja rasa lemah nak mengaji.

Terlanjur berbicara tentang Surah Qiyamah, saya cuba berkongsi sedikit pembacaan saya tentang surah ini. Kenapa saya rasa Surah Qiyamah best dan menyentuh hati? Sebab Allah bersumpah dengan jiwa lawwamah (yang suka mencela), yakni jiwa yang selalu mencela pemiliknya. Selalu kan kita buat dosa dan kita rasa bersalah sangat? Kita rasa menyesal kan melanggar hak Allah? Allah berbicara tentang jiwa ini.

”Aku bersumpah dengan hari kiamat. Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri)”. (Surah AlQiyamah:1-2)

Ayat ini perlu kita renungi. Di saat Allah berbicara dengan kita mengenai hari kiamat, Dia mengaitkan jiwa lawwamah dengan ayat tersebut. Surah AlQiyamah dari awal sampai akhir mengupas hari kiamat, dan ketika itu pula jiwa ini hadir di sela-selanya. Renungkanlah.

”Aku bersumpah dengan hari kiamat. Dan aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri). Apakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya”. (Surah AlQiyamah:1-3)

Ayat-ayat yang berikutnya juga berbicara tentang kiamat.

’Maka apabila mata terbelalak (ketakutan). Dan apabila bulan telah hilang cahayanya. Dan matahari dan bulan dikumpulkan”. (Surah AlQiyamah: 7-9)

Sepanjang surah ini, Allah berbicara mengenai hari kiamat dan jiwa lawwamah sehingga manusia banyak terpengaruh dengannya, dan menghafalkannya. Jiwa lawwamah sangat terkait dengan hari kiamat.

Hebat kan bila Allah sendiri yang bersumpah dengan dua hal – hari kiamat dan jiwa lawwamah. Terasa sesuatu yang begitu menusuk hati. Jiwa lawwamah selalu perlu diingatkan dengan hari kiamat. Barangsiapa yang ingin memiliki jiwa lawwamah, maka ingatkanlah selalu diri dengan hari kiamat dan siapa yang ingin memiliki jiwa yang selalu takut dan siap-siap menghadapi pertemuan dengan Allah di hari kiamat, jagalah jiwa lawwamah dalam dirinya.

Jika ia mencela dirinya kerana berbuat dosa, ia langsung mengingat hari kiamat. Dan jika ia mengingat kiamat, maka ia akan mencela dirinya. Kedua hal itu saling mempengaruhi satu sama lain sehingga membentuk hubungan langsung.

Namun ketika Allah berbicara tentang jiwa lawwamah dalam surah ini Dia juga menggambarkan lawan dari jiwa lawwamah iaitu jiwa ammarah. Dia berfirman:

”Bahkan manusia itu hendak berbuat maksiat terus menerus. Ia bertanya, ”Bilakah hari kiamat?” (AlQiyamah:5-6)

Pemilik jiwa ammarah selalu ingin berbuat kemaksiatan di masa mendatang dan selalu bertanya bila hari kiamat akan terjadi kerana ia ingin berbuat kefajiran (maksiat) di masa mendatang. Ia enggan mengingat-ingat hari kiamat kerana jiwanya bukan jiwa lawwamah. Ya Allah, jauhkan kami dari jiwa ini..

Jom tadabbur surah ini! Renungkanlah, keterkaitan yang kuat antara jiwa lawwamah dan hari kiamat telah menjadikan dua hal ini dibahas dalam satu surah.

Hmm..Saya dah tengok filem 2012 tapi serius tidak ngeri sangat macam apa yang Allah gambarkan tentang kiamat terutamanya dalam juzu’ Naba’ dan surah-surah lain. Cuma menonton untuk mengambil iktibar. Sejujurnya dokumentari tentang tsunami lebih mengerikan.

Friday, January 08, 2010

Monolog...

Bukan tidak mahu menulis, hati meronta-ronta untuk menukilkan segalanya di sini. Tapi sukar kerana permasalahan dalam seminggu ini. Lama saya tidak menangis sehingga merasakan bahawa hormone endorphin terlalu berlebihan tetapi minggu ini butir-butir air mata gugur.

Jujur saya merasakan bahawa bidang perubatan ini bukan untuk saya dalam seminggu ini. Rasa putus asa melanda. Bidang perubatan itu menarik cuma sistem, korupsi, ‘politik’, dan orang-orangnya membuat saya sakit. Andai saya boleh mengatakan bahawa dunia politik perubatan adalah bangkai, maka saya akan mengatakannya. Sakit!

Kalau saya punya anak, maka saya berani untuk mengatakan bahawa saya tidak akan sesekali menggalakkannya untuk memilih bidang ini. Rosak! Sakit! Hipokrit! Saya setuju dengan kata-kata Dr H, “Mereka yang merasakan bahawa bidang perubatan adalah satu bidang yang terbaik untuk diterokai adalah mereka yang mempunyai mentaliti kelas ketiga”.

Sudah Afeera! Sudah. Tuliskan sahaja noktah pada tulisan ini. Apa sudah tiada lagi sifat sabar dalam diri?

Entahlah. Lama saya berbual dengan mak tadi. Saya luahkan rasa hati. Saya rasa macam dah bosan dengan bidang ini. Rasa seperti telah tersilap memilih percaturan kehidupan. Saya rasa macam nak pergi jauh. Jauh ke satu tempat yang mana tiada siapapun yang mengenali saya.

Mak kata saya yang kenalkan dia dengan Palestina dan hari ini biar dia mengingatkan saya kembali dengan Palestina. Adakah insan-insan di Palestina pernah terfikir untuk pergi jauh dari negeri mereka? Tidak sesekali walau pada hakikatnya mereka terlalu menderita. Kenapa saya perlu lari dari jalan yang saya pilih? Lupakah saya Palestina adalah satu sebab saya memilih bidang ini?

Mak yang tidak menghafal hadis Palestina berbicara dengan mafhum seakan-akan sama dengan hadis yang selalu saya dengar. Jihad di bumi itu tidak pernah berkesedahan. Lantas mengapa saya perlu menamatkan jihad yang telah saya mulakan?

Insan-insan di Palestina terus-terusan meneruskan kehidupan walau dalam suasana perang. Usrah tetap berjalan walau dalam peperangan. Berkahwin, melahirkan anak, mentarbiah anak dan generasi pemuda seterusnya tetap diteruskan. Mengapa saya perlu menangis dengan apa yang terjadi? Mengapa saya perlu memilih untuk menghentikan segalanya yang saya suka hanya kerana satu peristiwa?

Afeera lupakah dengan games semasa mukhayyam kharaji yang lepas? Saat itu Afeera dipakaikan dengan sarung sehingga tidak boleh melihat. Dan tangan Afeera juga diikat. Ya, Afeera adalah tahanan musuh-musuh Islam. Tiba-tiba Afeera dilepaskan. Afeera kembali kepada sahabat-sahabat yang lain, mencari sahabat-sahabat yang ditahan. Ada satu tembok besar yang perlu dihadapi. Ada dua 'musuh Islam' yang menunggu. Peluru yang hanya menggunakan lipatan surat khabar dilastik ke arah musuh Islam. Mereka juga menyerang. Saat itu Afeera cuba mengelak. Dan tiba-tiba seorang ukhti bersuara. ”Inikah dia pejuang Islam? Tidak berdepan dengan perjuangan? Cuba mengelak?” Kata-kata itu begitu membekas di hati kan? Lantas mengapa Afeera tidak cuba menghadapi ujian ini?

Lupakah Afeera saat seorang ukhti yang lain meluahkan perasaannya. Dia tidak berjaya diselamatkan sehingga akhir permainan. Dia terfikir di manakah sahabat-sahabatnya. Dia menanti dan terus menanti akan kehadiran sahabatnya. Dan sehingga akhirnya tiada siapa yang menyelamatkan. Kata ukhti tersebut lagi, barangkali inilah dia perasaan saudara-saudara seislam kita di Palestina. Mereka menanti saudara-saudara seislamnya. Tapi sayang, saudara seislam mereka terlupa tentang mereka. Dan mereka terus-terusan menunggu sehingga saat akhir ajal mereka. Afeera, adakah Afeera mahu melayan rasa sehingga terlupa dengan mereka yang terusan menanti? Afeera perlu terus melangkah walau terusan terluka di jalan ini. Siapa tahu jalan ini bakal membawa Afeera ke sana atau barangkali Afeera mampu memberi sumbangan dari aspek yang lain buat mereka.

Malu dengan semua? Bukan mak sudah mengatakan bahawa kita semua hanyalah berasal dari tanah. Kita akan menjadi bangkai yang akan dimakan oleh tanah. Tidak kisahlah walau setinggi mana pun kedudukan kita di dunia ini. Pulangnya hanya dengan sehelai kain kafan dan akan tetap dimakan ulat. Tidak perlu malu andai diri benar.

Tidak mampu sabar? Bukan pakcik pernah mengatakan sesuatu tentang sabar. Orang yang mengatakan bahawa dia telah berhabis sabar adalah orang yang hanya mencabar kesabaran Allah SWT. Di saat Allah bersabar dengan setiap hambaNya yang melakukan maksiat, adakah kita tidak mampu bersabar dengan sedikit ujian yang Allah berikan? Belajar untuk bersabar, Afeera! Dan belajarlah makna sabar dari saudara-saudara di Palestina.

Terima kasih Palestina kerana mengajar saya untuk terus melangkah walaupun segalanya begitu menyakitkan.

Saturday, January 02, 2010

Sembunyi...

Antara satu kata-kata yang perlu dihayati oleh para daie ialah – Hamasatissyabab wa hikmatissyuyukh. Semangat orang muda dan hikmah orang tua. Dan dakwah mengajari kita semua itu. Terkadang dalam semangat kita sebagai orang muda, kita meluncur jauh, membenarkan setiap tindakan kita dan enggan mendengar nasihat. Sedangkan orang-orang tua yang berada di jalan dakwah ini sudah melalui pahit manis perjuangan. Mereka cuba mengajar kita agar tidak melakukan kesilapan yang sama. Maka di sinilah dua komponen tadi perlu bersatu demi kelangsungan dakwah - Hamasatissyabab wa hikmatissyuyukh.

Masa meeting hari Khamis lepas, Prof ingatkan semula tentang ayat-ayat ini. Dulu dalam suasana yang berbeza dan kini dalam suasana berbeza. Mungkin dulu cuma sekadar ilmu, tapi kini melihatnya dalam situasi yang berlaku.

Dan seorang lelaki yang beriman di antara pengikut-pengikut Firaun yang menyembunyikan imannya berkata, “Apakah kamu akan membunuh seorang lelaki hanya kerana dia menyatakan: “Tuhanku ialah Allah” padahal dia telah datang kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan dari Tuhanmu. Dan jika ia seorang pendusta maka dialah yang menanggung (dosa) dustanya itu; dan jika ia seorang yang benar niscaya sebahagian (bencana) yang diancamkannya kepadamu akan menimpamu”. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta. (Surah Al Mukmin : 28)

Surah Al Mukmin adalah satu surah khas yang di dalamnya terkandung kisah mengenai seorang pemuda yang menyembunyikan imannya yang kemudiannya membela Nabi Musa a.s di saat Firaun mahu membunuh Nabi Musa. Dia adalah seorang pemuda yang beriman kepada Allah di kalangan pengikut-pengikut Firaun.

Di dalam kisah yang lain pula, Allah ceritakan di dalam Surah Yassin tentang seorang pemuda juga:

Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu – (Surah Yassin: 20)

Prof tidak mahu penerusan dakwah hanya di kalangan golongan tertentu sahaja. Dakwah tidak boleh eksklusif. Maka program umum juga perlu dititikberatkan.

Kita tidak pasti siapa kelak yang akan menjadi pejuang Islam, yang akan membela maruah Islam. Di luar sana, ada insan-insan yang bukan dalam lingkungan kita, bukan dalam pertarbiahan kita tapi beriman dengan sebenarnya kepada Allah. Barangkali suatu hari nanti dialah hero untuk agama ini sepertimana ayat-ayat Allah di atas. Dia mungkin sahaja di kalangan musuh, dia mungkin sahaja tinggal di satu ceruk yang tidak kita kenali tapi dia merahsiakan imannya. Pakaiannya barangkali bukan seperti ustaz ustazah. Keterampilannya cuma biasa-biasa tapi hatinya bernaung dengan cinta kepada deen Allah.

Hari ini mungkin insan tersebut free-hair, hari ini dia mungkin seorang yang merokok, dan hari ini mungkin kehidupannya adalah terlalu bebas. Tapi barangkali dengan pertambahan masa, dengan berkahwinnya mereka, dengan segala pancaroba kehidupan, mereka menjadi insan luar biasa yang begitu matang dan kaya dengan pengalaman kelak. Dan saat itu dakwah amat memerlukan mereka. Merekalah yang kelak, mungkin 10 atau 20 tahun akan datang, akan menghuni kerusi-kerusi ketua jabatan dan doktor-doktor pakar. Mungkin bukan bergiat secara aktif di arena dakwah tapi mereka mampu menyumbang di posisi lain. Mereka yang hari ini diabaikan oleh golongan duat barangkali merupakan mutiara-mutiara berharga untuk Islam kelak. Dan andai ukhwah antara daie dan mereka tidak terjalin kini, semuanya itu begitu merugikan dakwah kelak.

Moga diri ini dan yang lainnya mampu mengambil ibrah dan pengajaran dari senior-senior yang telah lama berada di jalan dakwah dan tarbiah ini.

Kisah Surah Mukmin ada saya tulis suatu ketika dahulu di sini.

Tentang pemuda di dalam Surah Yassin pula, ada ditulis di sini.

Moga ada khairnya.

Friday, January 01, 2010

Nasyid...

Lagu-lagu ini adalah antara lagu nostalgia sepanjang berada di jalan dakwah dan tarbiah. Penat terubat saat bersama dengan akhawat yang lain menyanyikan nasyid ini. Berombak dada bersemangat. Tidak pernah kisah dengan suara yang sumbang asalkan semangat terusan menyala. Lagu-lagu lain yang lebih enak di halwa telinga tapi lagu-lagu inilah yang membakar semangat dan mengubat lelah.



Lagu Ya Ma'syaral Ikhwan ini adalah tentang rukun baiah. Cukup mengubat rindu untuk mendengar tentang bahasa arab. Lagu ini cukup mengobarkan semangat. Ini liriknya. Kalau mahu nasyidnya pula, tinggalkan sahaja email. Nanti saya hantarkan.
Lagu Pemuda Kahfi ini baru saya dengar pagi tadi semasa program untuk anak usrah. Kami bernasyid bersama-sama akhawat yang lain pagi tadi. Lagu ini membuatkan manik-manik jernih mengalir. Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan.

There was an error in this gadget