Saturday, November 29, 2008

Tautan...



Saya tidak mahu menambah entri lagi. Mahu membuat revisi sebenarnya. Tapi hati tidak puas. Mahu berkongsi lagi. Saya akan tenang andai telah meluahkan semuanya.

Tadi saya berchatting dengan seorang sahabat. Namanya Dilah dan dia sentiasa begitu dekat di hati saya. Kami masing-masing terlalu sibuk dan sudah jarang berchatting dan chatting sebentar tadi sudah cukup membuatkan hati merasakan bunga-bunga ukhwah yang begitu indah. Perbualan tersebut membasahkan kembali tautan hati kami.

Kami berbicang mengenai status YM seorang sahabat lain yang merindui arwah ayah dan ibunya.

Dilah berkongsi kata-kata yang ditulisnya buat sahabat tersebut dengan saya. Dia memberitahu sahabat saya bahawa ia adalah tulisan seorang kawan. Masya Allah. Saya mengkagumi dirinya. Dia merahsiakan kebaikannya buat sahabat tersebut.

Saya kongsikan kata-katanya di sini. Dia benar-benar merupakan seorang penulis yang baik.

“Hidup manusia bemula dengan satu titik. Dari situ, kita berjumpa satu, dua dan ramai manusia lain. Kita belajar rasa benci dan suka. Makin jauh kita berjalan, makin ramai manusia lain yang kita tinggalkan atau meninggalkan kita. Tapi keadaan itu bukanlah perpisahan, bahkan pintu pada pertemuan baru yang lebih baik. Kerana apa? Bukankah titik mula perlu ada noktah akhir? Pada hari itulah hari pertemuan semula, dengan jiwa-jiwa yang pernah bersama sementara. Bahkan pertemuan ini begitu indah, tiada kesakitan malah penuh kegembiraan.Bila rasa kehilangan, maka kita belajar merindu, dan keadaan itu perlu kerana ingatan begitu mengajar kita berdoa.”

“Menerangkan hakikat bahawa tiada pemilikan antara manusia. Segala milik Allah semata,hatta ibu dan bapa. Dari titik mula ke noktah akhir, jalan kita sangat jauh sebenarnya, tetapi masa kehidupan tidaklah selama kejauhan itu. Jadi, pertemuan semula dengan manusia-manusia yang Allah susunkan untuk kita temui selama hidup tidaklah lama! Bergembiralah kalian yang telah dahulu pulang ke kampung abadi, tidak terbeban lagi dengan fitnah duniawi, sedang kami masih menghitung-hitung kejahatan dan kebaikan diri tetapi masih teragak mahu mengubah diri, Sedang kami benar maklum tentang Pengadilan nanti. Kasih sesama mukmin tidak mati disini-ibu, sahabat, ayah mahupun suami. Sepicing masa lagi, kita bersama kembali!”

Kami berchatting lagi mengenai cinta dan rindu.

Soalnya pada saya, “Rindu itu berat kan? Cinta itu sakit kan? Tapi beratnya rindu tak sepatutnya buatkan kita terduduk lemah sahaja, tidak mampu nak buat apa. Sakitnya cinta tidak pernah melukakan sepatutnya.”

Saya katakan padanya bahawa rindu dan cinta adalah suatu yang memedihkan.

Katanya lagi, “Cinta dan rindu memedihkan? Memanglah. Namanya pun cinta dan rindu. Beratnya rindu, sakitnya cinta sepatutnya melembutkan rasa manusia. Jadi lebih kuat mengadu dengan Allah. Rindu dan cinta dengan izin Allah pada hati-hati mereka yang terpilih, itukan formasi Allah untuk menghampirkan kita sebagai manusia akhirat?”

Saya katakan padanya bahawa andai kuat mengadu, lebih kuat lagi ujian dariNya…

Dan dia memberi jawapan, “Bukan ke Allah tu Maha Halus? Jadi kasih sayang Allah juga sangat rahsia, penyampaiannya apalagi maksudnya. Macam mana nak tembus kerahsiaan kasih sayang Allah?”

Setiap kali dia mengajarkan saya sesuatu, pasti dia akan bertanyakan soalan untuk membuatkan saya terfikir. Dan saya sungguh mudah memberi jawapan ‘tidak tahu”.

Dan dia tanpa ragu akan membalasnya. Saat ini, saya sudah mula menangis.

“Bersangka baik dengan Allah dalam keadaan apa sekalipun, walaupun kita tercekik dengan kejahatan yang kita cipta sendiri. Dipaksa sakit atau diberi suka, bukan ke itu semua dari Allah?”

Ya, bersangka baiklah dengan Allah…

Petani..



Hari Rabu depan adalah hari peperiksaan akhir untuk posting obstetric dan ginekologi. Saya kini dalam musim-musim membuat revisi. Tapi saya sempat menonton cerita The Color of Paradise. Saya menonton cerita ini apabila mata sudah kuyu membaca buku perubatan. 10 minit menonton dan kemudian belajar. Sekiranya rasa mengantuk datang, saya akan menonton lagi.

Tapi saya tidak merasakan bahawa saya membazir masa menonton cerita ini malah saya jatuh cinta dengan filem ini. Cerita yang sungguh menyentuh hati ini menceritakan kisah seorang kanak-kanak buta bernama Muhammad. Saya kira ada perkara yang tidak boleh diceritakan dengan kata-kata dan adalah lebih baik untuk menonton cerita ini sendiri dari membaca sinopsisnya semata-mata.

Saya juga jatuh cinta dengan kisah ini kerana latar tempatnya yang sungguh indah. Terlalu indah dan terasa sungguh dekat dengan Allah. Alam ciptaan Allah dipaparkan dalam suasana yang sungguh cantik.

Menonton cerita ini mengingatkan lawatan saya ke Sabah dan Islamabad, Pakistan. Indah sekali ciptaan Allah. Semasa di Sabah, saya pernah berkira-kira mahu menjadi petani di sana. Saya mahu menanam sayur-sayuran, menjualnya dan kemudian pulang ke rumah. Dan saya boleh melihat alam ciptaan Allah yang sungguh indah setiap hari. Tidak perlu sakit kepala membaca buku-buku perubatan. Tidak perlu berpenat. Merepek sungguh..

Kamu ingat lagi tak buku kuning yang akan diisi oleh guru kelas semasa sekolah rendah yang mana kamu perlu memberitahu dia 3 cita-cita kamu? Semasa di darjah satu, saya pernah memberitahu guru kelas saya bahawa saya mahu menjadi penjual bunga tapi guru kelas saya tidak memahaminya. Dan dia menulis bahawa cita-cita saya adalah mahu menjadi pengurus kilang! Apa kaitan cerita ini dengan entri ini? Entahlah..

Kalau ikutkan hati, saya hanya mahu duduk dan berkelana melihat alam. Kamu ingat lagi pelajaran literature English semasa SPM? Kisah The Lotus Eater? Saya dulu macam Thomas Wilson dalam cerita itu. Mahu bekerja ketika muda dan tinggal bahagia di mana-mana pulau di usia tua.

Tapi alhamdulillah Allah memberi hidayahnya. Bukan itu tujuan hidup seorang Muslim. Dunia tarbiah juga mengajar saya tentang syurga Allah. Kalau saya merasakan dunia ini indah, tarbiah memberitahu saya bahawa syurga Allah itu terlebih lagilah indahnya dan saya tidak akan pernah mampu untuk membayangkannya.

Kerana memikirkan syurga Allah dan mengingati nikmat paling besar di Syurga iaitu melihat wajah Allah setiap saat dan ketika, saya merasakan motivasi yang tiada taranya. Kerana semua itu, saya memilih untuk bersusah payah di dunia..

Kadangkala manusia tertanya-tanya, mengapa kita memilih untuk berada di hospital di saat kita punya masa lapang? Kenapa kita membazir masa mengikuti usrah tiap-tiap minggu? Kenapa kita tidak keluar dengan kawan-kawan membeli belah dan melepak? Kenapa kita memilih untuk menyertai program agama? Kenapa kita tidak menonton cerita-cerita filem yang terbaru di pasaran seperti Batman? Manusia seakan-akan pelik melihat kehidupan seorang remaja Muslim. Bagi mereka hidup seorang remaja Muslim terlalu membosankan. Betul ke?

Tidak sesekali. Sekali kamu merasai nikmat Islam, kamu akan hanyut dengan nikmat tersebut selamanya. Merasai keindahannya umpama merasai bayu lembut sang angin. Nikmatnya sukar dimengertikan. Dan kami mahu mengajak kamu semua merasai keindahannya. Hati kami menjerit-jerit dan mahu memberitahu kamu, ayuh bersama kami. Dunia kami ini terlalu indah..Islam itu indah…

Kadang saya sendiri jadi pelik. Kami perlu merancang modul untuk kanak-kanak di PERNIM bagi projek Young Mercy. Dari banyak-banyak modul yang ada, saya dikehendaki menyediakan modul untuk mengaji dan solat. Bukannya saya tidak pandai hendak mengajar kanak-kanak matematik dan subjek lainnya, tapi itulah tugas yang diberikan. Mengapa? Sebabnya manusia lain merasakan bahawa saya adalah budak usrah, budak agama dan lainnya..

Saya suka kata-kata Kak A. Kalau orang dah anggap macam itu, janganlah sedih. Kena redha jadi budak usrah, budak dakwah, budak tudung labuh dan lainnya. Dan saya suka kata-kata F, bukan hanya redha tetapi juga merasa izzah.

Ya, kena rasa izzah menjadi budak usrah…
Kena rasa izzah membawa mesej dakwah..
Kena rasa izzah menutup aurat..
Kena rasa izzah dengan Islam..

Ya, izzah!

Friday, November 28, 2008

Pancit..


Halus sekali
Ada yang putih
Ada pula yang berwarna
Semuanya perlu ditelan
Dan ia mengundang ngantuk

Di saat hati mahukan segalanya
Jasad pula sudah pun pancit

Ruhi dan jasadi
Tidak boleh dipisahkan!

Ya Rabb, berikan daku kekuatan
Izinkan aku menterjemahkan segalanya sebagai amal..


Tuesday, November 25, 2008

Rintik hujan itu..


Rintik-rintik hujan di luar meranumkan lagi hasrat untuk berkongsi cerita lagi malam ini. Aku sendiri kurang pasti sebab musabab mengapa idea datang mencurah dalam tekanan masa yang ada. Saban waktu mindaku bagai tidak mahu mencoret di saat aku punya masa lapang. Benar kata-kata hikmah bahawa masa lapang itu sering membunuh jiwa dan aku tidak pernah suka dengan masa yang aku peroleh dengan percuma.

Memoriku mengimbas insiden tadi saat aku bertemu seorang jururawat muda. Kami bertemu juga minggu lepas tapi dia bagai melarikan diri. Cuma kali ini aku berani bertanya, “Kita pernah berjumpa bukan di wad pediatrik?” Dengan tutur perlahan dia membenarkan soalanku. “Anak akak macam mana sekarang?” Soalan itu tidak mahu aku ajukan cuma aku tidak mampu untuk menahan dari menuturkannya. “Alhamdulillah, dia sihat”, jawab jururawat muda itu. Kemudian kami berpisah membawa haluan masing-masing.

Sukar aku mengertikan kata-kata ibu muda itu dengan makna ‘sihat’. Aku menongkah masa lalu membawa dimensi jiwa ketika aku berada di posting pediatrik dulu.

Anak akak sakit apa?”

“Dia batuk.”

Dan aku dengan ilmu yang sekerat cuma aku akur dengan pertanyaan ibu muda itu. Fikirku saat itu mungkin juga batuknya begitu bahaya dan mampu menjangkiti anak-anak lain dan ia menjadi asbab kanak-kanak itu diasingkan dari bilik yang lain.

Keesokan harinya, semasa ward round barulah aku tahu bahawa anak kecil itu menghidap Complex Congenital Heart Disease. Betapa hebat kekuasaan Allah. Allah tidak hanya mencipta satu jenis penyakit jantung pada diri kanak-kanak itu seperti yang biasanya dihadapi oleh kanak-kanak lain. Tetapi Allah mencipta hampir 4 jenis penyakit jantung dalam diri kanak-kanak tersebut.

Dan ibunya mengetahui semua itu sedalamnya. Pakar-pakar di Australia sendiri sudah melepaskan tangan. Pakar bedah di sana tidak mahu menyentuh anak cilik itu kerana risiko yang ada lebih berbahaya. Dan sebenarnya si ibu tahu bahawa anaknya akan meninggalkannya dalam jangka masa yang hanya Allah yang tahu.

Dan aku pula mula jatuh cinta pada dunia kanak-kanak setelah bertemu si cilik itu. Kanak-kanak itu memintaku untuk memakaikannya selipar comelnya dan berjalan-jalan. Aku rasa sungguh diterima saat itu. Aku tidak pernah menyukai kanak-kanak kerana majoriti dari mereka akan menangis melihatku. Dan dulu aku sering merasakan bahawa aku adalah manusia penuh dosa sehinggakan kanak-kanak juga mahu menjauhkan diri. Cuma si cilik ini yang sungguh berani untuk mendekati.

Semalam juga aku mengikuti ward round di wad obstetrik. Seorang ibu muda yang baru sahaja berusia 24 tahun meminta doktor untuk melakukan bilateral tubal ligation, satu prosedur untuk mengikat saluran peranakan. Aku bagai mahu menjerit saat itu. Umur kamu baru 24 bukan 42. Baru dua anak kamu sudah sengsara? Tapi suaraku tertahan di halkum sahaja. Manusia yang sempurna jarang mahu bersyukur.

Benar kata adikku yang punya eczema di kulit lantaran asthma yang dihidapinya. “Kita hanya sedar diri apabila kita dikurniakan kekurangan”. Aku akur dengan kata-katanya. Aku sendiri hanya sedar makna syukur setelah mengecap kekurangan. Kesempurnaan jarang menambah perasaan hamba. Dan kini aku sedar bahawa aku kerdil di sisi Rabbku dan juga di sisi manusia…

Merungkai rasa..

Aku suka membaca tulisan di blog saudari Hartini mengenai dunia insan yang menulis di laman-laman maya. Ada semacam sesuatu yang sukar aku mengertikan saat menghadam tulisannya. Benar katanya..

Usia laman mayaku ini sudah berusia lebih dua tahun. Saat aku menggali tulisanku yang lama, aku sedar bahawa aku masih cilik dan baru bertatih saat itu. Dan kini aku mula tertanya-tanya, mengapa aku berblog?

Aku mengulang tayang tulisan pertamaku dahulu mengenai nasihat seorang sahabat dari Indonesia yang mengajak untuk merealisasikan dan memahami sifat sifat teladan dakwah Rasulullah sholallahu 'alaihi wassalam. Tentang fathonah misalnya, kita harus belajar berkarya dan berkontribusi. Tentang tabligh, kita hendaknya belajar berbicara tidak berlebihan dan membawa pengertian dalam dakwah. Tentang amanah, kita dituntut untuk memperbaiki diri kita, memperbaiki hari-hari kita. Tentang shidiq,kita belajar pasrah, sabar dalam bersikap lemah lembut dan bijaksana.

Dan sebenarnya aku mula belajar untuk menulis di laman ini dan aku belajar untuk berkongsi di sini. Seringkali juga aku singgah di laman maya insan lain dan kadangkala terjumpa tulisan sendiri. Syukur kerana ada yang mahu mengambil iktibar.

Pernah ada seorang insan menegurku. Katanya tulisanku penuh emosi. Aku diam dan kemudiannya mengucapkan terima kasih. Aku kira itu sudah pasti kerana aku seorang wanita yang dicipta dengan mainan emosi penuh rona.

Kalau dulu teratak mayaku ini tidak punya pengunjung. Kini sudah ada yang mengintai. Aku hilang bicara apabila ada guruku yang turut menyebut mengenai blog. Apa mungkin dia membaca blogku? Lantas aku mula tertanya-tanya, adakah aku menulis untuk manusia?

Mungkin juga sudah lama aku menulis untuk memenuhkan diri insan lain dan aku terlupa untuk memenuhkan jiwa sendiri. Dan kini aku mahu kembali, menulis dari hati dan untuk memenuhkan jiwa sendiri yang kian gersang.

Ada ribuan malah jutaan blog merentasi segala jalur. Ada blog yang tidak punya pengunjung namun hebat di mata Allah. Ada blog yang mungkin sahaja punya pengunjung namun tidak sesekali mahu dilihat oleh Allah. Dan aku kembali merenung, apa pandangan Rabbku tentang blog ini?

Moga aku menjadi lebih baik dengan bertambahnya hari-hari dalam hidupku. Moga Allah menghilangkan segala perasaan yang entah sukar aku mengertikan. Moga Rabbku mencabut alwahn, riya’ dan ujub dari manusia kerdil sepertiku..

Monday, November 24, 2008

Nasyid kanak-kanak...



Saya suka sekali nasyid ini. Nasyid ini adalah nasyid kanak-kanak tetapi mengajar orang tua seperti saya. Suka sekali melihat lukisan kartun dengan manusia yang pelbagai rupa dan warna bersatu di bawah lembayung Islam. Sangat indah. Betapa Islam itu indah dan terlalu indah. Dapatkah anda merasai keindahannya?

Saturday, November 22, 2008

Buta...


Naqibah saya bercerita tentang ikan kering. Ikan kering punya mata tapi tidak dapat melihat. Majoriti manusia hari ini seperti ikan kering. Mereka punya mata tetapi buta. Adakah mata saya juga telah kering dan buta? Nauzubillah. Moga saya mampu meneroka hikmah dalam setiap perkara.

Saya tertekan sebenarnya melihat dunia.

Guru tadika, 16 tahun yang aktif dalam zina. Boleh saya ulang taip semula? GURU TADIKA! Apa mahu jadi dengan anak didik 20 tahun akan datang andai insan-insan ini yang mendidik mereka?

Pelajar SPM yang melakukan oral seks dan zina lainnya..

Pelajar SPM yang melakukan zina dengan penuh rela tetapi mengaku dirogol...

Pengalaman mengiqamahkan bayi yang tidak ber'bapa' semuanya menambah sesak..

Benar kata pensyarah saya - Masalah sosial di Malaysia sama sahaja seperti di Barat tetapi tahap kesihatan, pendidikan seks dan lainnya sama teruk seperti di Afrika.

Kebutaan apakah yang telah menimpa ummah?

Ada diskusi baru-baru ini. Bicara seorang ustaz di hujung diskusi menyentak hati - "Adakah diskusi kita ini mampu membuahkan amal?"

Dan kini saya tertanya-tanya. Mampukah tulisan-tulisan ini membuahkan amal? Atau ia hanya picisan sepertimana semua ini terpapar di dalam Majalah Mastika dan adik beradiknya?

Apabila saya berkongsi cerita di mana-mana medan maya berkenaan masalah ummah, pasti lain juga yang dilihat. Bukan permasalahan yang dibangkitkan yang mahu dibicarakan tetapi tentang penggunaan bahasa dan hal lainnya. Bicara! Bicara! Dan bicara! Adakah semuanya membuahkan amal, Afeera?

Wednesday, November 19, 2008

Tips 7: Mus'ab..



Ingin sekali aku berkongsi rona perjalanan kisah sorang sahabat padamu dalam kesendatan masa yang ada. Kisah ini aku akrabi di saat-saat aku kesedihan. Kuukir kisah ini di dalam hati sehinggakan empang mata tidak mampu lagu ditahan saat aku mengingati peribadi mulia ini. Kisah ini turut aku ceritakan pada bonda dan dia akan mengulangnya padaku di saat aku meluahkan rasa gusar. Sesungguhnya aliran pekat merah sedarah daging Islam yang mengalir dalam diri peribadi sahabat ini. Dialah Mus’ab bin Umair. Tidak keterlaluan andai aku mengatakan bahawa aku ingin meberi nama Mus’ab kepada zuriatku. Andai Allah tidak mengurniakan zuriat buatku, aku ingin sekali mendidik wanita-wanita lain agar zuriat yang lahir dari mereka mampu mengulang kembali sejarah Mus’ab dalam merentasi arus jahiliah ini.

Bukan aku yang baru sahaja bertatih dalam dunia tarbiah ini sahaja yang menitiskan air mata saat menyitir kembali memori kisah Mus’ab, seorang sahabat Rasulullah SAW yang telah dijamin syurga juga menitiskan air mata saat mengingati peribadi mulia ini. Sesungguhnya Saidina Abdul Rahman bin Auf telah menangis saat dihidangkan makanan kerana seolah-olah tersingkap kisah Musa’ab saat dia mahu menjamu makanan tersebut. Saidina Abdul Rahman bimbang kerana Mus’ab telah kehilangan segalanya demi Islam dan Allah bakal mengganti semua itu di akhirat, sedang dirinya dikurniakan kekayaan yang melimpah di dunia. Dia gusar. Masihkah ada lagi nikmat Tuhannya yang disediakan di akhirat buatnya.

Kau tahu siapakah Mus’ab sebelum Islam? Dia menjadi kegilaan setiap gadis. Terlalu tampan. Dia adalah seorang yang berperawakan lemah lembut, suka berpakaian kemas, mahal dan indah. Malah dia selalu berlawan dengan kawan-kawannya untuk berpakaian sedemikian. Tapi tahukah kau apa yang terjadi padanya saat dia syahid? Tidak ada kain yang cukup untuk mengafankannya. Apabila ditarik ke atas, bahagian kakinya terbuka. Apabila ditarik ke bawah, kepalanya terbuka. Akhirnya, kain itu digunakan untuk menutup bahagian kepalanya dan kakinya ditutup dengan daun-daun kayu.

Tahukah kau kisah kesyahidannya? Dialah pemegang panji bendera Islam di saat peperangan Uhud. Ketika itu, seorang tentera berkuda Quraisy, Ibn Qamiah menyerbu ke arah Mus’ab dan melibas tangan kanannya yang memegang panji-panji Islam. Mus’ab menyambut panji-panji itu dan memegang dengan tangan kirinya sambil mengulang-ulang laungan ‘Muhammad adalah Rasul, dan sebelumnya telah banyak diutuskan rasul”. Laungan itu menyebabkan Ibn Qamiah bertambah marah dan menetak tangan kirinya pula. Mus’ab terus menyambut dan memeluk panji-panji itu dengan kedua-dua lengannya yang kudung. Akhirnya Ibn Qamiah menikamnya dengan tombak. Maka gugurlah Mus’ab sebagai syuhada' Uhud.

Abu al-Rum, Amir ibn Rabiah dan Suwaibit ibn Sad telah berusaha mendapatkan panji-panji tersebut daripada jatuh ke bumi. Abu Rum telah berjaya merebutnya dan menyaksikan sendiri syahidnya Musab. Abu Rum tidak dapat lagi menahan kesedihan melihat kesyahidan abangnya. Bukit Uhud seolah-olah menjadi saksi tangisan Abu al Rum.

Izinkan aku mengulang kata-kata Mus’ab pada ibunya yang sanggup berlapar agar si anak kufur dari perjuangan. “Andaikata ibu mempunyai seratus nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu demi satu, nescaya saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali.” Kasihnya pada Islam mengatasi segala resah cinta pada yang fana.

Dia telah mengikuti hijrah ke Habsyah saat penyiksaan ke atas umat Islam semakin berapi. Sekembalinya dari Habsyah, keadaan beliau semakin berubah. Kurus kering dan berpakaian compang-camping. Keadaan itu menimbulkan rasa sedih di dalam hati Rasulullah. Kata-kata Rasulullah mengenai Mus’ab sering disebut-sebut oleh sahabat: ”Segala puji bagi bagi Allah yang telah menukar dunia dengan penduduknya. Sesungguhnya dahulu saya melihat Mus’ab seorang pemuda yang hidup mewah di tengah-tengah ayah bondanya yang kaya raya. Kemudian dia meninggalkan itu semua kerana cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.”

Dialah insan yang mengetuk pintu setiap rumah di Madinah untuk menyedarkan manusia akan tuntutan syahadah. Perjuangan membuatkan dia larut sehingga melupakan kesukaran sendiri.

Usah bersedih. Andai kau kehilangan segalanya di dunia, yakinlah bahawa Dia akan menggantinya dengan yang lebih baik di akhirat…Terus sahaja berjuang kerana perjuangan yang akan membuatkan kau melupakan kesedihanmu..

Tips ketujuh seandainya berhadapan dengan ujian, ingatilah kisah Mus’ab ini dengan hatimu..

Monday, November 17, 2008

Tips 6: Kasih sayang...



Tadi saya sempat melihat doktor pakar memeriksa dan mengambil maklumat dari seorang wanita pekak dan bisu. Wanita tersebut mengandung anak yang ketiga. Doktor turut memanggil suaminya untuk bersama dengan wanita tersebut. Masya Allah, suaminya juga bisu dan pekak.

Hati rasa macam tersentuh sangat. Saya hormati kedua-dua pasangan tersebut. Meskipun pekak dan bisu tetapi mereka memahami ayat-ayat Allah dan bersatu dengan perhubungan yang halal. Saya teringat ibu-ibu muda lain yang pernah saya temui dengan kandungan luar nikah saat melihat mereka. Remaja yang menghamilkan anak luar nikah ini kebanyakannya terlalu sempurna fizikalnya. Terlalu cantik sehinggakan jururawat juga pernah berkata bahawa mereka boleh menjadi pelakon, pramugari mahupun model. Tapi sayang kesempurnaan itu tidak sesekali menambahkan rasa syukur kepada Allah lantas mereka kufur dan membangga-banggakan zina.

Di satu sudut yang lain, saya turut menghormati suami wanita tersebut. Dia mencuba sedaya upaya untuk berkomunikasi dengan doktor untuk mengetahui keadaan isterinya. Pekak dan bisu tidak sedikitpun menghalangnya untuk memberi sepenuh kasih sayang kepada si isteri. Terlalu hebat Allah yang mencampakkan rasa cinta kepada lelaki tersebut sehingga dia mencintai isterinya sepenuh hati.

Saya ingat lagi satu artikel yang pernah saya baca. Mengapa mereka yang bergaduh menjerit sesama sendiri meskipun jarak yang memisahkan mereka terlalu dekat? Semuanya kerana hati. Hati mereka terlalu jauh meskipun mereka dekat. Itu sebabnya pasangan yang bercinta tidak perlu berkata-kata untuk berkomunikasi kerana hati mereka terlalu dekat dan memahami segalanya.

Percintaan menjadi terlebih indah apabila segalanya didasarkan kepada Allah. Masih teringat saat di matrikulasi dulu ketika cinta berbunga kerana Allah. Menatap wajah teman seperjuangan menghilangkan segala jerih payah. Tidak perlu berbicara tetapi bagai telah meluahkan semua.

Saya juga masih mengingati satu sesi daurah yang pernah saya hadiri. Peserta daurah selalunya ramai. Tarbiah telah mengajar untuk tidur tidak berbantal dan malam tersebut saya tidur tanpa selimut. Tapi ada seorang ukhti yang menyelimutkan saya dan saya tidak menyedari hal tersebut. Paginya saya melipat selimut tersebut dan pergi ke tandas. Sekembalinya saya dari tandas, selimut tersebut sudah tiada. Dan sehingga hari ini, saya masih tidak mengenali ukhti yang menyelimutkan saya. Allah menjadi saksi ukhwah ini. Moga Allah mengurniakan syurga tertinggi buat ukhti tersebut.

Bisikan ayat 63 Surah Al Anfal mengundang sayu.

“Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah AlAnfal :63)

Tips ke 6 berhadapan dengan ujian, berkasih sayanglah kerana Allah kerana ia mengundang bayu cinta yang memugar kembali hati yang berduka..

Sunday, November 16, 2008

Tips 5: Nun di sana...



Nun di sana, ada ummah yang sedang berjuang. Nun di sana ada yang sedang menderita. Nun di sana ada saudara seagama yang sedang menanti. Andai kamu tidak memiliki hatta seorang cahaya mata, di penjuru bumi sana ada jutaan anak-anak kamu yang sedang menangis memanggilmu..

Fikirkan sejenak wajah mereka dan kamu akan berhenti menangis. Renungkan seketika jihad mereka dan kamu akan bangkit meskipun kamu gagal berkali-kali.

Apa yang perlu kamu lakukan? Berjuang dan bersama jemaah. Walau di penjuru dan di bumi mana pun Allah mencampakkan kamu, itulah yang perlu kamu lakukan. Dengan itu, kamu memperolehi kekuatan meskipun di saat kamu kelelahan.

Jangan sesekali kamu memikirkan bahawa jemaah kamu kecil untuk berhadapan dengan arus jahiliah yang datang seperti tsunami. Tidak, kamu tidak kecil sama sekali. Jemaah yang kecil itu adalah satu bahagian dari jemaah yang besar. Mengapa? Kerana di setiap penjuru bumi, ada kumpulan-kumpulan kecil yang juga sedang bekerja. Putaran siang dan malam mengajar kita bahawa perjuangan ini bertali arus selama 24 jam sehari.

Nun di sana ada kumpulan-kumpulan kecil yang mana perjuangan mereka sama seperi kamu iaitu untuk menzahirkan deen ini. Mereka juga menghadapi tribulasi. Namun mereka adalah insan-insan yang insaf dengan kenistaan umat sama seperti kamu dan mereka terus bangkit dan bekerja.

Tips kelima andai kamu berhadapan dengan ujian adalah mengingati saudara-saudara seperjuangan kamu di setiap penjuru bumi. Dengan mengingati semua itu, kamu akan sedar bahawa kamu tidak berseorangan. Jihad ini telah memanggil dan memilih kamu..Sahutlah seruannya…

Tips 4: Kiamat..


Saya agak pening hari ini, tapi belum lagi mencapai tahap vertigo. Vertigo dalam bahasa mudahnya merupakan satu keadaan di mana pesakit merasakan bahawa keadaan di sekeling mereka bergerak dan berpusing sedangkan hal tersebut tidak terjadi. Seorang teman yang kini di dalam posting Internal Medicine memberitahu saya ilmu yang dipelajarinya dari pensyarah. Katanya, kita tidak ingin sesekali pesakit kita melalui keadaan vertigo, satu keadaan yang sangat dahsyat sebenarnya. Kebanyakan pesakit yang mengalami vertigo lebih suka menutup mata kerana tidak mempu berhadapan dengan keadaan ini.

Keadaan vertigo ini Allah gambarkan di dalam AlQuran, di saat manusia berdepan dengan kedahsyatan hari Kiamat:


Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.(Surah AlHajj:2)

Kedahsyatan kiamat itu sungguh menakutkan. Bersediakah diri menghadapi keadaan sukaaraa (vertigo)? Mampukah diri merenung dan merasainya sejenak?

Konklusinya, tips keempat berhadapan dengan ujian – Ingat selalu hari kiamat. Satu hari yang membuatkan setiap ibu melupakan anak yang disusukannya. Hari yang mana ibu-ibu yang mengandung keguguran anaknya. Dengan ketakutan mengingati hari kiamat, kamu akan melupakan keadaan kamu seketika.

Saturday, November 15, 2008

Manja..

Saya baca Utusan Online mengenai kisah manusia yang mahu menjadi angkasawan kedua. Manusia sememangnya sukakan cita-cita, kerja dan segala macam hal yang gah-gah belaka. Pelajar-pelajar sekolah bercita-cita mahu menjadi angkasawan, doktor, jurutera, arkitek dan lain-lain pekerjaan yang mungkin sahaja kelihatan indah di mata mereka.

Apa kerja kamu di dunia ini? Kerja dan cita-cita kamu perlu sama dengan suri tauladan kamu, iaitu Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidak diutuskan untuk menjadi angkasawan. Rasulullah SAW juga tidak diutuskan untuk menjadi doktor yang merawat dan mengubati manusia. Apa tujuan pengutusan Rasulullah SAW?


Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (Surah Attaubah: 33)

Dalam ayat tersebut, kalimah yang digunakan adalah “liyuzhirahu”. Kamu perlu menzahirkan agama ini. Kamu tidak akan bahagia hanya dengan melihat keharmoniaan kaum yang ada di negara ini. Saya dan kamu perlu memenangkan dan meninggikan deen ini di atas segala agama yang ada.

Alangkah seronoknya seandainya angkasawan-angkasawan yang dilahirkan adalah angkasawan yang berfikrah Islam. Bahagianya melihat doktor, petani, guru, arkitek yang ada dalam lingkungan masyarakat mempunyai fikrah Islam yang hebat. Perlu kerja keras untuk melihat semua itu.

Saya agak penat hari ini. Tapi belum dikira penat sebenarnya andai mulut masih mampu berbicara, tangan masih mampu menarikan pena maya, dan fizikal yang lain masih sahaja mampunyai tenaga. Belum dikira berjihad lagi. Biiznillah saya mahu menyambung tulisan berkenaan dengan tips-tips berhadapan dengan ujian. Namun sebelum itu, ada kisah menarik yang mahu saya kongsikan. Saya memperolehi kisah ini melalui salah satu e-group yang saya sertai. Saya tidak sukakan blog-blog “copy paste’ dan saya juga tidak suka blog saya menjadi blog “tiru dan tampal”. Tapi kerana kisah ini menyentuh hati saya, saya suka untuk meniru dan menampalnya di sini.

Marilah kita telusuri perjalanan dakwah Abdul Fattah Abu Ismail, salah seorang murid Imam Hasan Al Banna yang selalu menjalankan tugas dakwahnya tanpa keluhan sedikitpun. Dialah yang disebutkan Hasan Al Banna orang yang sepulang dari tempatnya bekerja sudah berada di kota lain untuk memberikan ceramah kemudian berpindah tempat lagi untuk mengisi pengajian dari waktu ke waktu secara maraton. Ia selalu berpindah-pindah dari satu kota ke kota lain untuk menunaikan amanah dakwah. Sesudah menunaikan tugas dengan sebaik-baiknya, ia merupakan orang yang pertama kali datang ke tempatnya bekerja. Malah, ia yang membukakan pintu gerbangnya.

Pernah ia mengalami keletihan hingga tertidur di sofa rumah Zainab Al-Ghazali. Melihat kondisi tubuhnya yang lelah dan penat itu, tuan rumah membiarkan tamunya tertidur sampai bangun. Setelah menyampaikan amanah untuk Zainab Al Ghazali, Abdul Fattah Abu Ismail pamit untuk ke kota lainnya. Karena keletihan yang dialaminya, Zainab Al Ghazali memberikan ongkos untuk naik taksi. Abdul Fattah Abu Ismail mengembalikannya sambil mengatakan, “Dakwah ini tidak akan dapat dipikul oleh orang-orang yang manja.” Zainab pun menjawab, “Saya sering ke mana-mana dengan taksi dan mobil-mobil mewah, tapi saya tetap dapat memikul dakwah ini dan saya pun tidak menjadi orang yang manja terhadap dakwah. Karena itu, pakailah ongkos ini, tubuhmu letih dan engkau memerlukan istirahat sejenak.” Ia pun menjawab, “Berbahagialah ibu. Ibu telah berhasil menghadapi ujian Allah swt. berupa kenikmatan-kenikmatan itu. Namun, saya khawatir saya tidak dapat menghadapinya sebagaimana sikap ibu. Terima kasih atas kebaikan ibu. Biarlah saya naik kendaraan umum saja.”

Kamu boleh membaca catatan penuh tulisan ini di sini. Ya, dakwah ini tidak dapat dipikul oleh orang-orang yang manja…

Wednesday, November 12, 2008

Tips 3: Alhamdulillah..


Rafiq terakrab saya saat berdepan dengan ujian adalah ibu saya sendiri. Setelah meluahkan segala permasalahan pada Allah, saya senang berbual dengannya. Sebagai anak, saya tidak sewajarnya menambah beban pada dirinya. Cuma saya masih lemah untuk bertatih sendiri. Moga Allah mengampunkan saya andai luahan hati saya menambah garis tua pada dirinya..

Kelmarin dalam kesedihan yang amat, mak ceritakan kisah seorang pesakit kanser otak untuk memotivasikan saya kembali. Mak menonton kisah pemuda tersebut di dalam rancangan ArRayyan. Saya mencari kisah pemuda ini dan menemukan kisah perjalanan hidupnya.

Barangkali kamu boleh membacanya di sini dan sini. Blog pemuda tersebut boleh dilayari di sini.

Semasa Dr Fatma bertanyakan pemuda ini mengenai penyakit dan perjalanan kisah hidupnya, hanya satu kalimah yang keluar dari bibir lelaki ini. Kalimah yang telah menggetarkan hati Dr Fatma sehingga menitiskan air mata dan kalimah tersebut telah meresap ke dalam hati setiap penontonnya. Dengan penuh makna, lelaki tersebut melafazkan “Alhamdulillah” atas segalanya.

Masya Allah. Allah berkuasa mengajarkan hikmahNya menerusi kisah manusia lain pada saya. Mudah untuk menuturkan Alhamdulillah apabila ada yang bertanyakan khabar. Namun saya tidak pernah mencuba menuturkan kalimah ini dalam kemuncak ujian yang saya lalui.

Hari ini, itulah tarbiah Allah pada saya. Semasa belajar mengenai Endometriosis hari ini, hati menjadi tidak keruan. Itulah penyakit yang menyebabkan saya melalui pembedahan 9 bulan yang lalu. Mungkin baru kini saya sendiri memahami penyakit ini Sungguh semua itu membuatkan butir air mata menitis. Terasa ingin keluar dari kelas seketika. Mahu mengumpul kekuatan dan kemudian masuk semula. Sungguh istilah-istilah seperti dyspareunia, deep post coital pain, infertility yang menjadi asbab tawa teman-teman sekelas membuatkan saya menahan pilu. Dalam kemuncak semua itu, saya cuba melafazkan “Alhamdulillah”. Sungguh itu saatnya kalimah itu meresap memasuki segala rongga, menenangkan kembali hati yang berduka.

Di saat seorang teman bertanyakan soalan yang melukakan hati saya selepas kelas mengenai infertility, sekali lagi saya menuturkan “Alhamdulillah”. Semua itu memberi kelegaan yang sukar dimengertikan.

Tips ketiga andai berdepan dengan ujian, ucaplah Alhamdulillah…

Tips 2 : Talian Hayat..


Alhamdulillah, mid posting exam sudah berakhir. Saya boleh menyambung tulisan ini meskipun kerja yang lain masih lagi menimbun.

Saya kongsikan tips kedua berhadapan dengan ujian. Berhubunglah dengan talian hayat yang Allah sediakan iaitu solat.

Bila saatnya solat menjadi begitu bermakna sekali? Pada saya, solat menjadi nikmat yang sukar diungkapkan apabila manusia diuji. Ya, solatlah talian hayat kita. Ada rasa kesyukuran menjadi Muslim apabila bertemu Allah lima kali sehari untuk mengadu segala permasalahan. Di saat diri penat, Allah menyediakan kerehatan dengan solat. Andai hati memendam beban yang tidak mampu ditanggung lagi, menangislah sepuasnya di hadapanNya.

Sesetengah manusia mungkin menganggap sesetengah ujian yang kita lalui misalnya sebagai sesuatu yang mudah. Namun mungkin tidak bagi kita. Hal yang remeh temeh pada pandangan manusia, mungkin bukan remeh di mata kita. Kekuatan kita tidak sama dengan kekuatan manusia lain. Siapakah yang mengetahui semua itu? Allah yang menciptakan kita. Menangislah sepuasnya. Bertanya dan berbicaralah sepuasnya padaNya.

Di saat pesakit lain dikhabarkan diagnosis penyakit mereka sekali sahaja, saya menerima perkhabaran tentang penyakit saya hampir tiap-tiap hari di dalam posting ini. Adakalanya sehingga saya merasakan saya sudah tidak mampu lagi memikul beban belajar semua ini. Namun dengan solat saya mencari kekuatan. Solatlah yang menjadi tembok pertahanan saya untuk terus menerima hirisan kata-kata yang cukup tajam.

Bila saatnya bacaan Fatihah di dalam solat menjadi ayat-ayat cinta, yang menyengat segala rona rasa? Di saat ujian melanda...

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Membaca ayat ini sudah cukup untuk membuatkan empang mata tidak mampu lagi ditahan. KasihNya yang membuatkan Dia menguji kita kerana Dia mahu kita kembali padaNya. Ayat ini sangat signifikan dengan penyakit saya. Rahim (sistem peranakan) berasal dari nama Allah Arrahim. Sungguh rahim merupakan kurnian terbesar Allah kepada setiap wanita. Rahim merupakan bukti cinta Allah kepada wanita. Perasaan saya bercampur baur membaca ayat ini. Membukit pengaduan saat membaca ayat ini..

Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Allah yang menciptakan segalanya. KekuasaanNya tidak mampu digambarkan. Dan Dia jugalah yang menciptakan segala macam penyakit. Tidak lain untuk menaikkan lagi maqam seseorang manusia. Dia mengatur segala macam hormon di dalam badan. Dia berkuasa melakukan apa sahaja. Garisan-garisan hidup yang penuh rona diatur olehNya..

Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Cukuplah membaca ayat ini mengingatkan kita akan kasihNya. Bukan sekadar mengasihani, tetapi Maha Mengasihani. Kasih kita padaNya tidak mungkin mampu membalas sezarah kasihNya.

Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

Allah mengingatkan mengenai kehidupan akhirat. Dunia ini hanya sebentar cuma. Allah memberi satu tasawwur (gambaran) agar manusia bersabar dengan ujian kerana kehidupan dunia tidak pernah kekal. Semua ujian itu hanya untuk menebus segala kasihNya di akhirat kelak di mana kehidupan di sana adalah kekal. Bersabarlah..

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

Ya, hanya Allah. Allah..Allah..Allah..Tiada tempat pergantungan sebaik pergantungan kepada Allah. Dia tempat kita mengadu. Dia tempat meluahkan segala resah. Dia tempat menghampar segala aduan. Dan Allah bukan setakat mendengar tetapi Maha Mendengar. Allah mendengar tanpa jemu.

Tunjukilah kami jalan yang lurus.

Inilah doa seorang Muslim tatkala berhadapan dengan ujian. Sungguh ujian mampu melemahkan iman. Ujian mampu menjatuhkan maqam manusia. Sungguh sebagai manusia kita berharap agar Dia menuntun kita untuk berhadapan ujian dengan cara yang baik. Moga kita tidak menjadi lebih kufur dengan ujian..

Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Terbayang kisah setiap pejuang Islam yang melalui seribu satu mehnah dan tribulasi. Sungguh kita berharap agar Allah menjadikan kita sebahagian dari insan-insan yang mulia itu…

Tuesday, November 11, 2008

Tahu atau faham?

Tadi pagi, seorang teman bertanyakan saya mengenai persoalan hukum. Pengalaman sebelum ini bersamanya membuatkan saya memberi jawapan ‘tidak tahu’ kerana saya pasti dia lebih mengetahuinya. Sebelum ini juga dia pernah bertanyakan soalan mengenai perlaksanaan solat witir dan soalan lainnya. Saya menjawab soalannya mengikut pengetahuan sedia ada yang terlalu cetek. Dan akhirnya dia akan bertanya mengenai sumber hukum, dalil dan hal lainnya yang mana saya tidak punya pengetahuan khas tentang semua itu.

Apabila saya mengatakan bahawa saya tidak tahu dan dia lebih mengetahui persoalan hukum, katanya, saya memerlinya. Katanya lagi, saya lebih tahu persoalan hukum kerana saya pergi usrah. Huhu..

Kamu ada jawapan bagi permasalahan ini? Entahlah...Selama saya mengikuti usrah, persoalan hukum, khilaf dan lainnya jarang ditekankan. Usrah pada saya adalah medan membina kefahaman. Contohnya, usrah tidak mengajar saya hukum menutup aurat, tetapi usrah mengajar saya menutup aurat. Saya faham Islam dengan usrah. Saya hanya mahu menjadi seperti Sumayyah yang faham Islam sedangkan di saat itu persoalan hukum dan lainnya belum lagi lahir...Sahabat nabi tak banyak ilmu Islam tapi faham Islam..

Pernah lihat bagaimana Dr Yusuf Qardhawi mengeluarkan hukum? Contohnya, mengenai hukum mewarnakan rambut. Dr Yusuf Qardhawi tidak menjawab secara terus persoalan tersebut meskipun dia boleh melakukannya. Tapi dia akan menerangkan terlebih dahulu mengenai persoalan lain. Mengapa nak dye rambut? Apa tujuannya? Bermegah-megah? Setelah semua itu jelas, barulah dia menerangkan hukumnya. Mengapa dia berbuat demikian? Agar manusia lain FAHAM Islam, dan bukan TAHU hukum.

Saya juga berpegang dengan Usul 20 yang disusun oleh Assyahid Imam Hassan Al Banna. Semasa saya mempelajari Usul 20 tersebut, saya juga belajar bahawa Usul 20 adalah kaedah ekspress untuk memahami Islam. Mengapa? Kerana kita tidak punya banyak masa untuk mempelajari Islam. Kerja yang kita ada lebih banyak. Usul 20 adalah kerangka umum untuk memahami Islam dalam jangka masa yang pendek. Memahami usul membuatkan saya memahami persoalan cabang. Memahami cabang terlebih dahulu hanya akan melahirkan kekeliruan.

Saya berpegang pada prinsip ketujuh dari Usul 20:

Seseorang muslim yang ilmunya belum mencapai darjat nazar (boleh mengeluarkan hukum dari dalil) dalam hukum-hukum furuk (cabang), sayugialah beliau mengikut mana-mana imam. Di samping ikutannya itu, adalah lebih baik jika beliau berusaha mencari dan mengetahui dalil-dalil imamnya. Dia hendaklah menerima tunjuk ajar yang disertakan dengan dalil sekiranya beliau yakin orang yang memberikan petunjuk itu benar dan mempunyai keahlian. Sekiranya beliau tergolong dalam golongan ahli ilmu sayugialah beliau menyempurnakan ilmunya hingga mencapai peringkat nazar.

Saya bukan ahli nazar yang tahu mengeluarkan hukum. Dan saya juga bukan golongan ahli ilmu yang perlu menyempurnakan ilmu saya sehingga mencapai peringkat nazar. Saya hanya orang awam. Sekiranya saya telah bertanyakan kepada orang yang jelas kesolehan dan kemampuannya, saya hanya perlu mengikuti tanpa banyak soal. Saya tidak punya banyak masa untuk mengkaji sedalamnya persoalan hukum…Maafkan saya andai ada tersilap bicara..Moga Allah membersihkan salah fahamnya terhadap saya…

Monday, November 10, 2008

Ribut...

Seandainya hari ini ada seorang ukht yang mahu mengandung, banyak yang perlu difikirkannya. Fetus yang ada di dalam kandungannya tidak selamat dari peluru-peluru sesat jahiliah. Jahiliah yang ada membidikkan bom-bom yang menghancurkan perkembangan janinnya.

Betul kata ustaz. Di saat kita, golongan daie baru sahaja mahu membina pelapis dakwah ini dari golongan remaja, jahiliah telah menyerang anak-anak yang kecil. Rancangan Suara Bintang Kecil menyesakkan hati para bakal ibu yang hidup dalam dunia tarbiah. Siaran Tom Tom Bak menghancurkan hati para bakal ayah. Anak-anak dari usia yang kecil telah diajar menderhaka. Bagaimana mahu mendidik anak-anak di zaman ini? Keluhan-keluhan itu bagai bermain di bibir. Di mana mahu mencari rumah yang bersih dari sisa dan ribut jahiliah?

Tapi benar kata prof semasa usrah. Keluarnya kita ke medan masyarakat bukanlah untuk menyelamatkan masyarakat semata-mata, tetapi melindungi keluarga sendiri sebenarnya!

Sunday, November 09, 2008

Jawapan...

Saya menulis entri sebelum ini dalam ketakutan yang amat. Saya takut sekali dengan tapisan Allah. Tapi Allah telah memberi jawapannya sebentar tadi, tidak sampai seminit setelah post sebelum ini dipublish. Masya Allah. Ya Rabb, janganlah aku diuji dengan ketakutan seperti ini lagi..

Biarlah dipilih, usah ditapis...Nauzubillah...

Seleksi..

“….tetapi Allah tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat mereka…”. (Petikan dari Surah Taubah ayat 46)

Ayat dari Surah Taubah itu diulang-ulang. Ada keresahan yang bermain di fikirannya. Ada ketakutan yang menghuni hatinya saat ini. Dia tidak baik. Dia insan yang hina dan jauh dari segala kesempurnaan.

Suatu ketika dulu, ada insan yang menuturkan padanya,“Bukan manusia yang memilih kamu, tetapi Allah”. Kata-kata tersebut sentiasa didengarinya. Namun pernah sekali kata-kata tersebut menyentak fikirannya.

Pilih, dipilih, memilih dan pemilihan sentiasa terjadi. Dan semua itu bukan jalur yang dilukis manusia, tapi takdirNya. Allah telah memilihnya untuk menjadi manusia, dan bukannya haiwan. Dia juga lahir dari seleksi sperma. Dan Allah telah memilihnya sekali lagi untuk berada di jalanNya di saat dirinya tidak pernah mampu untuk memikul tanggungjawab itu.

Ada rasa kesyukuran yang menghuni hati apabila Allah memilihnya meskipun dirasakan dirinya lemah, tidak berdaya dan terluka. Dia tahu Allah bersamanya.

Andai dipilih, tidak perlu takut. Tapi seandainya tapisan Allah telah berlaku, dia gusar tak tentu. Adakah Allah telah menapisnya dari jalanNya? Penyakit, email yang tidak kunjung tiba menakutkan hatinya. Adakah Allah tidak menyukai pemergiannya? Adakah Allah telah menapisnya? Antara dipilih dan ditapis, kedua-duanya mengundang resah…

Insan ini sentiasa dilumuri dosa. Hukumlah dirinya sekehendakMu agar dia kembali padaMu. Tetapi jangan sekali-kali Kau menapisnya dari jalan ini…Andai Kau telah menapisnya, tidak ada sesiapa yang mampu memilihnya……

Ya Rabb, jadikanlah aku insan yang sentiasa bersangka baik denganMu.. Ubatilah keresahan ini….

Saturday, November 08, 2008

Keluh kesah...


Tadi jumpa seorang ayah yang sedikit kecewa kerana anak ketiganya juga perempuan.

“Anak perempuan lagi?”

“Ya encik. Sebelum ini anak perempuan jugak ke?”

“Aah, dah ada dua kat rumah. Ini yang ketiga”.

“Takpe encik. Orang yang dapat mendidik anak perempuannya dengan baik, jaminannya syurga”.

Pelik bukan melihat manusia? Manusia terlalu suka berkeluh kesah. Saya juga manusia. Berkeluh kesah itu tabiat saya juga.

Ada yang dikurniakan anak perempuan yang ramai, masih berkeluh kesah..

Ada yang dikurniakan semua anak lelaki juga berkeluh kesah…

Pernah ke mereka memikirkan seketika insan-insan yang telah berkahwin begitu lama tetapi masih tidak dikurniakan zuriat?

Ada yang baru setahun dua berkahwin, tetapi sudah berkeluh kesah kerana tidak lagi mengendong kandungan..Pernah ke mereka memikirkan tentang pasangan yang telah berpuluh tahun berkahwin tetapi masih tidak mempunyai cahaya mata? Pernah ke mereka memikirkan tentang golongan seusia mereka atau bahkan yang lebih tua yang masih belum bertemu jodoh, sedang mereka telah bertemu pasangan?

Bersyukurlah..Usah melihat manusia yang nasibnya lebih baik dari kamu. Tapi renunglah seketika kisah manusia lain yang diuji dengan darjat ujian yang lebih tinggi dari kamu...

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut)”. (Surah Al Maarij: 19)

Muhasabah buat diri sendiri terlebih dulu pastinya…

Wednesday, November 05, 2008

Panas...

Justify Full







Makanan ini namanya patri. Saya kira kamu tidak pernah melihatnya. Makanan ini seakan-akan capati cuma berwarna putih.

Untuk menghasilkan patri yang baik, tepung yang diadun perlu ditonyoh, diuli dan ditekan sehabisnya. Dan akhirnya, perlu diletakkan di atas bara api. Jadilah akhirnya Patri yang kembang di tengah semasa dipanaskan. Patri ini enak dimakan dengan kari ayam.

Apa yang mahu saya ceritakan pada kamu?

Saya beri contoh yang lain lagi. Pernah kamu melihat ladang yang cantik, saujana mata memandang?


Kamu rasa mudah ke untuk menghasilkan ladang yang cantik itu? Tidak mudah sama sekali sebenarnya. Semak samun dan lalang perlu dibersihkan. Saat pembersihan itu dilaksanakan, petani akan terluka kerana tercucuk duri, tersadung kayu dan lainnya.


Untuk menghasilkan patri yang baik, patri tersebut perlu mengharungi ulian dan bara api yang menyakitkan. Ladang yang cantik hanya akan terhasil setelah petani bersusah payah.

Begitulah juga dengan jalan tarbiah. Banyak sekali yang perlu dikorbankan. Hawa nafsu yang membelenggu perlu dilawan. Mudah ke? Tidak mudah sama sekali. Tidak mudah untuk mengorbankan hati dari menonton siri drama kesukaan. Tidak mudah sebenarnya manahan telinga dari mendengar lagu-lagu yang melalaikan. Tidak mudah rasanya menahan rasa marah. Tidak mudah rasanya mengorbankan cuti minggu untuk dakwah. Semua itu tidak mudah tapi perlu dilakukan. Kamu akan melihat semua itu mudah hanya apabila kamu memikirkan tentang syurga Allah yang hebat. Tiada tandingan kesemua kesusahan itu berbanding dengan keseronokan di syurga Allah. Apa yang paling best sekali kat syurga? Menatap wajah Allah. Ada lagi ke keinginan yang lebih tinggi dari menatap wajah Allah yang menciptakan kita?

Harungilah jalan ini dengan penuh kesediaan. Bukalah kamar hati untuk ditarbiah. Pastinya kita mampu menjadi individu Muslim yang terbaik andai semua ini mampu diharungi. Selamat bermujahadah!

Monday, November 03, 2008

Tulang belakang...



Lebih banyak warna warni kegagalan dari kejayaan selama bertahun saya menulis. Saya sifatkan kejayaan andai manusia memahami coretan saya. Tapi saya akur manusia jarang memahami tulisan saya. Tulisan saya penuh cacat merba dan masih banyak yang perlu dibaiki. Sebagai contoh, adakalanya saya cuba menyampaikan pada manusia lain mengenai kemerosotan ummah, tapi jarang manusia memahaminya. Seringkali soalan yang diajukan adalah seperti - “Kamu usrah dengan jemaah apa? Kamu masih ikut jemaah Y?”

Ada banyak lagi soalan yang tidak dapat saya menjawabnya. Perkara yang ingin saya sampaikan terlalu jauh dari pemahaman manusia yang membaca tulisan saya. Tapi tidak sesekali saya menyalahkan pembaca. Silap saya pastinya. Mungkin saya perlu mengkaji dengan sedalamnya niat saya menulis. Atau mungkin teknik penulisan saya masih salah.

Biarkan semua itu. Biar saya memuhasabah diri dengan sebenarnya. Hari ini, ada sebuah cerita yang ingin saya ceritakan. Saya mempusakai kisah ini dari seorang aktivis dakwah yang saya kagumi dan kini saya mahu mewariskannya kepada insan lain.

Kisah ini mengenai sebuah masjid. Mungkin tempatnya di Turki sekiranya saya tidak pekak semasa mendengar kisah ini. Saya ingat-ingat lupa kisah ini. Tapi sebagai pembaca, jangan jadi seperti sesetengah manusia yang membaca mengenai surah Alkahfi. Soalan yang sering mereka tanyakan seperti - Berapa ekor anjing dalam kisah tersebut? Berapa orang pemuda? Siapa nama pemuda-pemuda itu? Tempatnya di mana? Dan banyak lagi soalan remeh yang lain. Jangan tanya saya soalan-soalan remeh. Cuba cari big picture kisah yang ingin saya ceritakan. Andai kamu membaca Surah Kahfi, kamu perlu mengetahui big picture yang Allah sampaikan, bukan mempersoalkan hal yang remeh temeh. Huhu..Saya sudah mula membebel nampaknya.

Balik semula pada kisah masjid tersebut. Ada seorang raja yang telah memerintahkan seorang arkitek untuk membina sebuah masjid yang sangat gempak. “Berapa lama masa yang kau perlukan untuk menyiapkan masjid ini?” tanya si raja kepada arkitek tersebut. Dengan yakin si arkitek menjawab, “Aku perlukan dua tahun”. Ok, set. Raja pun bersetuju.

Si arkitek pun bertungkus lumus. Setelah 6 bulan, tiba-tiba si arkitek meninggalkan projeknya. Tanpa nama. Tanpa jejak. Orang-orang sekeliling pun mengutuk arkitek tersebut dengan seenaknya. Tidak bertanggungjawab, hampeh dan macam-macam lagi istilah lainnya digunakan untuk mengumpat, memaki dan mengeji arkitek ini.

Namun hampir 3 bulan sebelum berakhirnya kontrak pembinaan masjid tersebut, si arkitek pun pulang. Dan dia berjaya menyiapkan masjid tersebut dengan jayanya sepertimana yang dijanjikan kepada si raja.

Apa pengajaran yang cuba disampaikan oleh arkitek kepada kita semua? Membina sesebuah asas adalah terlalu sukar. Namun untuk menyempurnakan hal-hal lainnya adalah mudah.

Sama seperti di zaman Rasulullah SAW. Membina generasi yang terawal mengambil masa selama 13 tahun. Namun untuk menyiapkan yang lainnya menjadi mudah sesudah itu.

Kamu mahu menjadi apa? Menjadi tulang belakang dan asas perjuangan ini? Atau kamu hanya mahu menjadi tampalan kepada perjuangan ini kelak setelah batu asas perjuangan ini selesai? Ajr (ganjaran) Allah yang besar menanti setiap kesukaran. Meskipun membina asas terlalu sukar, kamu perlu berusaha ke arah itu. Memang sukar. Terlalu sukar. Tapi ingat janjiNya…

Siapakah dia yang akan menjadi Qa’idah Sulbah, tulang belakang perjuangan ini? Siapakah dia yang mahu menjadi seperti pemuda-pemuda yang disebut oleh Syed Qutb sebagai generasi AlQuran yang unik? Katakanlah - AKU!!!!!!!! dan bangkitlah bekerja ke arah itu…

Damai...


Justify Full

Ada orang kata kita sedang menuju detik kebangkitan ummah. Kena kerja keras. Sudah tiada masa untuk terasa hati, terkecil hati dan bermacam ‘ter’ lainnya..

Tapi teringat kata-kata abi semasa usrah. Abi ingatkan tentang ayat 10 Surah AlHujurat:



“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah AlHujurat: 10)

Ayat ini Allah turunkan untuk orang yang beriman. Sememangnya orang beriman itu bersaudara tapi Allah suruh baiki lagi hubungan itu. Allah tahu adakalanya kita terbawa-bawa tabiat atau perangai manusia yang tidak beriman dalam diri kita…

Maafkan saya atas segalanya….

Ya Rabb, kuatkan ukhwah ini atas apa yang terjadi…

-------------------------------------------------------

Semalam semasa usrah, ada banyak sekali input yang saya perolehi. Naqibah saya seorang guru tapi masya Allah begitu memahami diari kehidupan pelajar perubatan. Ada banyak perkara yang menyentuh hati saya.

Pertamanya tentang perbuatan yang kita lakukan kerana manusia dan bukan kerana Allah. Kata-katanya sangat signifikan dengan kehidupan saya sebagai pelajar perubatan. Contohnya macam kita dah siapkan report, dah buat baik-baik tapi masih kena marah lagi dengan pensyarah atau specialist. Kata naqibah saya, kalau kita melenting dan rasa macam tak puas hati dalam hati, itu maksudnya kita buat kerana manusia. Kalau buat kerana Allah, kita tak rasa nak marah balik. Kita akan rasa bahawa itu ujian Allah untuk kita.

Keduanya yang saya pelajari adalah berkenaan istikharah. Ada kalanya kita sebagai manusia ini suka memaksa Allah apabila kita dah sukakan seseorang. Jarang kita nak terima dengan redha ketentuan Allah. Kalau dah kemaruk sangat, naqibah saya meminta membuat istikharah dengan serius. Pada yang kepingin nak kahwin, dah buat istikharah dengan serius ke? Mudah je soalan yang naqibah saya tanyakan. Hati ini milik siapa? Hati ini milik Allah, bukan? Kalau kita buat dengan serius istikharah dan kita redha dengan ketentuan Allah, dan Allah mentakdirkan bahawa insan tersebut bukan yang selayaknya untuk kita, Allah berkuasa nak hilangkan perasaan yang mengganggu hati dan nurani kita itu sekelip mata sahaja… Dan pastinya Allah mentakdirkan yang terbaik buat kita…Kesimpulannya pada yang kepingin nak kahwin, kemaruk jatuh cinta dan yang sewaktu dengannya, istikharahlah dengan serius. Menangis minta kat Allah. Istikharah adalah cara kita syura dengan Allah. Akurlah dengan keputusan syura :) Huhu, kena cerita pasal syura pulak…Nantilah ye bila ada masa…

(Saya tidak suka sangat nak cerita pasal hati, topik kahwin, cinta dan yang sewaktu dengannya. Ada banyak lagi nak cerita. Tapi saya tidak boleh nak anggap benda-benda itu remeh dan tak nak cerita. Sebabnya, pesakit-pesakit yang saya temui misalnya, diorang tak faham pun zina dan tak faham banyak benda. Tensi sangat sampaikan saya rasa macam nak gubal satu silibus bertajuk Pendidikan Zina. Kesimpulannya, ada benda yang memang kena juga dilontarkan, diberitakan, dan dibecokkan agar tak menjadi nanar pada sebuah perjuangan..)

Sunday, November 02, 2008

Hud Hud...


Hud Hud telah membawaku bertemu manusia-manusia yang hidup dalam jahiliyyah sepertimana Hud Hud dalam catatan sejarah yang membawa Nabi Sulaiman kepada satu kaum yang menyekutukanNya.. Lantas Hud Hud menyedarkanku tentang tanggungjawab dakwah. Dengan Hud Hud, aku mengembara.

Aku menyayangi Hud Hud kerana dakwah. Hud Hud telah banyak membantuku dan menyedarkanku dari lena.

Aku membasuh dan mengelap badan Hud Hud. Aku menjaganya sepenuh hati. Manusia lain mungkin memandang pelik tingkahku itu. Aku hanya melakukannya kerana aku menyayangi Hud Hud. Hud Hud perlu hidup lebih lama dari tuannya. Hud Hud tidak boleh sakit seperti tuannya. Fizikal Hud Hud juga perlu dijaga agar tahan lama. Hud Hud perlu sihat demi membantu kelangsungan perjuangan dakwah.

Biiznillah buat ayah dan ibu yang mengurniakan Hud Hud buatku, moga Allah menjadi saksi atas segalanya…

Aku menyayangi segala sesuatu yang membawaku padaNya dan dakwah ini…
There was an error in this gadget