Sunday, August 31, 2008

Benar...

Dia masih lagi mengingati kejadian yang berlaku beberapa malam yang lepas saat dia perlu oncall. Kawan perempuannya terpaksa pulang ke rumah kerana tidak sihat. Tinggallah dia bersama dengan dua kawan lelaki. Malam itu benar-benar mengujinya kerana dia tidak punya kenderaan untuk pulang ke rumah sedangkan dia perlu jua pulang memandangkan Dr. N, Ketua Jabatan Pediatrik merangkap pensyarahnya mahu dia membentangkan mengenai Leptospirosis semasa ward round keesokan harinya. Tiada akses internet di hospital untuk membolehkan dia mencari mengenai penyakit itu.

Dia turun ke lobi hospital untuk mencuba mencari teksi namun harapannya hampa. Dia naik semula. Dia terjumpa seorang perempuan India yang mengawal di luar wad pediatrik. Dia cuba berbual dan akhirnya bercerita mengenai masalahnya untuk pulang pada malam hari yang kian pekat itu. Perempuan India itu cuba membantunya dengan menelefon kawannya yang lain. Sementara menunggu respons dari kawan perempuan India tersebut, mereka berbual-bual.

Rupanya perempuan India tersebut beragama Kristian, bukannya Hindu. Katanya, Jesus telah membantu mendapatkannya kerja di hospital tersebut. Jesus begitu banyak membantunya dalam kehidupan ini. Dia juga pernah mengenali Islam. Penah solat dan mengaji. Namun dia tidak pernah percaya kepada Islam.

Perempuan India tersebut bertanyakan soalan padanya. Mengapa dia yang hanya sembahyang sedikit masih lagi baik? Dan mengapa orang Islam yang sembahyang lima kali sehari begitu jahat? Ujarnya lagi, orang Islam adalah pengganas seperti AlQaeda dan lainnya. Dia terpaksa menjawab soalan perempuan India tersebut. Dia menerangkan kepada perempuan India tersebut mengenai Islam.

Dia teringat kata-kata Yusuf Islam. Yusuf Islam memeluk Islam kerana AlQuran dan bukannya kerana akhlaq orang Islam yang kebanyakannya begitu jauh dari nilai Islam. Maududi pernah berpesan bahawa Syahadatul Haq bukan hanya di lidah tetapi perlu diamalkan dari sudut perbuatan juga.

Kemudian perempuan India tersebut menceritakan bantuan Jesus kepadanya. Seolah-olah begitu ajaib ceritanya. Dia pula tidak mampu fokus kepada perbualan tersebut kerana memikirkan cara untuk pulang. Hatinya berdoa moga-moga Allah membantunya.

Perempuan India tersebut berjaya mendapatkan teksi tapi harga yang ditawarkan oleh teksi tersebut sungguh tidak munasabah. Dia akhirnya akur untuk menelefon kawannya di rumah untuk mengambilnya.

Hatinya dirasuk godaan jahat. Ya Rabb, mengapa Kau tidak membantuku seperti Kau membantu perempuan India tersebut? Seakan-akan terdengar bisikan dari Allah. Duhai insan, perempuan India itu Tuhannya salah, namun keyakinannya benar-benar mantap. Sedangkan kau, Tuhanmu adalah Maha Benar melebihi segala kebenaran, namun keyakinanmu padaNya belum benar lagi.

Malam itu menyedarkan kembali hakikat bahawa keyakinannya pada Allah belum benar-benar mantap. Dia menangisi dirinya yang tewas mengharungi ujian yang terlalu kecil itu. Dia malu pada Ramadhan yang menjelma kerana dirinya belum bersedia. Namun rahmat Allah yang meluas di bulan ini menyuburkan kembali harapan buat dirinya untuk bertaubat dengan sesungguhnya. Semoga dia berjaya menjadi graduan dari Universiti Tarbiyyah ini.


Ya Allah kami mohon kecukupan agar kami tidak lagi terpaksa meminta jasa orang lain. Ya Allah berikanlah iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi mengharap orang lain selain dari Engkau sendiri. Ya Allah janganlah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walaupun kadar sekelip mata atau kadar yang lebih pendek dari itu. Ya Allah, perkenankanlah...

Alhamdulillah atas kurniaan kereta yang Kau berikan di bulan yang mulia ini..Terima kasih buat ayah dan ibu yang menemani perjuangan yang begitu panjang ini…

Sunday, August 24, 2008

Kereta dakwah...

Rasa lapar itu menggigitnya. Sudah hampir dua hari dia tidak makan. Air dan kurma sahaja yang menemaninya. Lokasi rumahnya jauh dari tempat makan dan stesen bas. Dia membayangkan sirah Rasulullah SAW. Andai dulu dia menghafaznya semata-mata kerana peperiksaan, kini tidak lagi. Dia cuba memahaminya dari kaca mata hati.

Dulu dia pernah menghafaz bahawa Rasulullah SAW dan umat Islam pernah diboikot selama 3 tahun di Mekah. Dia tidak merasa apa-apa saat itu. Tapi setelah dia memahami Islam dari kaca mata hati, peristiwa tersebut disorotnya dengan nurani yang cuba memahami. Pengepungan yang tersangat ketat, makanan dan bekalan yang terputus menyebabkan kaum muslimin terpaksa memakan daun-daun dan tulang belulang yang kering. Kanak-kanak menangis dan menjerit kelaparan di saat itu.

Soalan ukhti Sofi menyengatnya. Siapakah insan yang paling lapar, paling gering dan paling sakit di antara semua? Dialah Rasulullah SAW. Digambarkan bahawa di saat kemuncak penderitaan Rasulullah SAW, di saat Rasullah SAW sudah tidak lagi berkemampuan itulah anai-anai menggarit lembaran piagam. Lafaz yang menyebut nama Allah sahaja yang tidak dimakan oleh anai-anai. Rasulullah SAW mengorbankan segala hartanya untuk kelangsungan dakwah di dalam tempoh pemboikotan itu.

Perasaan lapar itu cuba untuk tidak dilayan. Belum betul-betul lapar lagi bisiknya. Dia cuba memasang impian. Memiliki kereta dakwah sendiri yang akan memecutnya ke tempat dakwah. Saban waktu dia meminta ayahnya memberikan kereta cilik di rumah buatnya. Namun keyakinan si ayah belum lagi mantap terhadap dirinya. Dia telah melakukan kesalahan yang begitu banyak semasa memandu kereta cilik tersebut.

Dia cuba meminta lagi dengan pelbagai alasan. Dia cuba menceritakan kelaparannya dan cita-citanya untuk menjadi pelajar yang berjaya dengan adanya kemudahan kereta. Tapi hati si ayah belum lagi terbuka.

Hakikat yang lebih besar di sebalik permintaan kereta tersebut bukanlah untuk dirinya semata. Dia mahu menggunakan kereta tersebut untuk dakwah. Dia mahu tayar kereta tersebut menjadi licin demi dakwah. Permintaan adik-adik yang ingin diusrahkan kadangkala menyentuh hatinya. Dia tidak tahu cara terbaik untuk ke sana. Cemburu melihat akhawatnya yang lain. Hujung minggu mereka diisi dengan dakwah. Dia pula termangu sendiri di rumah.

Adik-adik tersebut boleh sahaja diusrahkan oleh makcik-makcik. Tapi hatinya tidak bersetuju. Bukankah dia ghulam? Pemudi yang tulang empat keratnya perlu digunakan demi dakwah. Dialah yang perlu memegang adik-adik itu. Dia perlu memercu adik-adik tersebut untuk memahami tuntutan Syahadatul Haq.

Dia berbisik lagi. Andai esok lusa dia dikurniakan zuriat, dia akan menghadiahkan zuriatnya dengan segala kelengkapan dakwah sesuai dengan kemampuannya. Dia tidak kisah andai zuriatnya meninggal dunia dalam kemalangan. Dia tidak akan kisah kerana zuriatnya bukan miliknya. Zuriatnya milik Allah semata.

Alangkah indahnya hidup seandainya insan di sekelilingnya adalah mereka yang memahami tanggungjawab dakwah. Hatinya cuba berbahasa arab. ’Lahm’ itu daging. ’Talahum’ pula adalah mendarah daging. Pasti bahagia seandainya semua manusia menjadikan dakwah itu sebagai ’talahum’ mereka. ”Talahum’ yang akan membuatkan mereka mengorbankan duit mereka untuk mengisi minyak. ”Talahum’ yang menjadikan mereka mengorbankan cuti hujung minggu mereka demi dakwah. ”Talahum’ yang akan menjadikan mereka memikirkan persoalan dakwah selama 24 jam sehari. ”Talahum’ yang akan menjadikan mereka menginfaqkan segalanya yang ada pada dirinya demi kelangsungan dakwah. Rumah mereka adalah rumah dakwah. Kereta mereka adalah kereta dakwah. Segalanya yang ada pada mereka adalah dakwah. Alangkah seronoknya.

Tercatit di dalam Sahih AlBukhari bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, ”Tidak beriman seseorang kamu sehingga segala nafsunya menurut apa yang kubawakan”.

Bisikan surah Saff membawa bayu ke telinganya yang menggentarkan hatinya. ”Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Saff ayat 10-11)

Allah menyebut ’harta benda’ sebelum ’diri’ kerana sekiranya ’harta benda’ sahaja tidak mampu dikorbankan, adakah mereka akan mampu mengorbankan diri mereka pula pada jalan dakwah ini? Dia bertanyakan soalan itu pada dirinya.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (Surah Attaubah: 24)

Dia berdoa agar apabila tiba saat dan ketika dia memiliki kereta sendiri, kereta tersebut dapat digunakan dengan sebenarnya pada jalan dakwah.

Saturday, August 23, 2008

Zahir batin...

Imam Syaukani pernah dinasihati oleh gurunya untuk menulis sebaris ayat sehari. Dan nasihat gurunya itulah yang menjadikan dirinya penulis terkenal yang menulis begitu banyak buku.

Sudah hampir 9 hari saya tidak menulis dan hal tersebut bukanlah sesuatu yang baik bagi saya sebenarnya. Saya mahu menulis kembali walaupun coretan saya tidak seberapa.

Mungkin juga saya terasa kosong. Tidak, itu hanya alasan semata-mata. Allah menemukan saya hikmah dalam hari-hari yang saya lalui dan sewajarnya hikmah tersebut perlu saya kongsikan dengan manusia lain yang mungkin terintai diari maya yang kusut ini. Saya perlu menulis kembali meskipun langkah pena kian perlahan.

Zahir yang terbentang jarang mengungkapkan hal-hal batin. Pesakit-pesakit yang saya Justify Fulltemui mengajar saya banyak perkara. Ada kalanya seakan-akan terasa teguran Allah dengan cara yang begitu halus.

Saya temui seorang ayah yang begitu sabar menjaga anaknya. Si anak sudah berusia 7 bulan, namun umurnya dari dunia perubatan, hanyalah 3 bulan. Bayi ini lahir tidak cukup umur dengan berat 600g. Peparunya belum matang. Sungguh mengharukan melihat si ayah memberi si anak susu melalui tiub yang disalurkan sehingga ke perut bayi. Kemudian si ayah perlu memberikan ‘nebulizer’ kepada bayi tersebut yang kelihatan sungguh halus. Ada ketikanya, si ayah perlu menggunakan alat khas untuk menyedut keluar cecair dari saluran pernafasan anaknya.

Teringat diri yang kadangkala bersikap keanakan. Saya meminta sesuatu dari ayah. Dia meminta saya bersabar sehingga selepas raya kelak. Saya bukan anak yang baik buat ibu bapa saya. Meminta kadangkala tanpa memahami. Saya rasakan Allah menegur saya apabila saya melihat ayah bayi tersebut.Dan melihat kesungguhan ayah bayi tadi sungguh membuatkan saya terasa bahawa Allah sedang menegur saya. Allah memberitahu saya kesukaran kedua ibu bapa saya dengan caraNya yang tersendiri.

Saya bertemu juga dengan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun tetapi fizikalnya masih seperti kanak-kanak. Dia menghidap bronchiectasis. Salah satu peparunya sudah tidak berfungsi dan dia hanya boleh minum sepanjang hayatnya dengan menggunakan tiub yang ditebuk pada perut untuk menjaga peparunya yang satu lagi. Ada bonjolan pada tulang belakangnya yang dipanggil kyphoscoliosis. Saya melihat kecekalan si ibu dan melihat kecekalan si anak. Nikmat minum, nikmat peparu dan jutaan nikmat lagi yang Allah berikan pada kita. Jarang saya mengungkapkan syukur. Melihat remaja tersebut, saya rasakan kasih sayang Allah padanya. Setiap manusia yang diujiNya adalah manusia yang begitu disayangiNya.

Saya doakan seorang akak dan juga sahabat yang terlalu dekat di hati yang kini sakit. Terasa cemburu melihat kasih Allah padanya sehingga diuji sebegitu rupa. Setiap insan yang diujinya adalah insan yang disayanginya. Yakinlah..

Thursday, August 14, 2008

Lala..

Hari kedua

Entri ini ditulis pada hari kedua klinikal saya tapi tidak sempat untuk saya kongsikannya. Entri ini tidak selesai sama sekali. Tapi kalau tersimpan dan tersadai di folder juga tiada gunanya. Hari kedua...

Kerja yang ada masih banyak. Benarlah bahawa tanggungjawab yang kita ada melebihi masa yang kita ada. Mesti ada yang tertanya-tanya, bagaimana saya masih boleh menulis blog meskipun masa yang saya ada begitu sendat? Ada kalanya saya menulis di saat pupil mata sudah hampir tertutup. Menulis adalah untuk memugar kembali semangat.

Penat. Mahu tercabut rasanya kaki saya mengikut ward round bersama doktor-doktor junior. Mungkin kerana saya masih belum biasa. Insya Allah, lama-lama kelak pastinya kaki saya akan terimun. Kekuatan? Allah kekuatan saya. Ada kalanya saya mengadu juga pada manusia lain mengenai rasa penat yang saya alami tetapi saya tahu mereka tidak pernah mengerti. Allah yang menciptakan saya pastinya mengetahui kesukaran saya.

Bagaimana agaknya hidup mereka yang tidak berhubungan dengan Allah? Sukar untuk saya membayangkannya. Bagaimana mereka menghilangkan tekanan mereka? Pada siapa mereka mengadu? Syukur sekali kerana saya berpeluang mengenaliNya dan mengadu segala hal padaNya.

Ibu bapa

Saya jumpa seorang makcik ini. Anaknya sakit. Tidak boleh menelan. Anaknya minum susu dengan tiub yang disalurkan ke hidung. Makcik tersebut memegang tiub sepanjang masa dalam keadaan berdiri. Susu itu lambat sekali turun. Terharu rasanya melihat kesabaran makcik itu. Apabila saya melihatnya, barulah saya terfikir kesukaran ibu bapa sendiri menjaga saya semasa kecil. Sebenarnya segala perkara yang kita lihat adalah refleksi untuk kita memikirkannya. Saya tidak pernah lihat kesusahan ibu bapa saya menjaga saya. Tapi bila saya melihat ibu bapa lain, fahamlah saya kesukaran ibu bapa saya sendiri.

Hari ini - Dera

Saya lihat juga kes dera. Ngeri dan trauma mendengarnya apatah lagi apabila saya mendengarnya dari mulut kanak-kanak itu sendiri. Disumbat lobak di kemaluan. Mata disimbah sabun. Terbakar di sana sini. Penuh luka seakan-akan digaru dengan garfu. Dipaksa makan najis dan minum air kencing. Rupanya ada juga manusia yang bersikap seperti Zionis di bumi Malaysia ini.

Punch card

Punch card saya hilang sedangkan baru sehari saya menggunakannya. Kena buat laporan polis, bayar dan barulah dapat semula kad baru. Allah tarbiah saya mengenai sesuatu dari kejadian ini. Allah tarbiah (didik) saya mengenai kelebihan salam. Sampaikan sahaja salam kepada setiap Muslim yang anda temui. Dengan salam, barulah saya tahu ada pondok balai polis di hospital. Dengan salam, kebanyakan kerja saya menjadi mudah. Assalamualaikum..lafaz yang mudah dan memudahkan hidup.

Oklah, nanti sambung lagi. Apabila saya menggunakan sepenuhnya masa 24 jam sehari, fahamlah saya bahawa masa yang ada untuk menulis hampir tiada.

Monday, August 11, 2008

Penat..

Hari pertama persekolahan sahaja sudah begitu memenatkan. Stamina tidak cukup barangkali. Tapi kena yakin bahawa di sebalik kesukaran, pasti ada ganjaran dan kemudahan yang Allah sediakan.

Tadi semasa sedang menunggu, saya sempat mendengar kuliah Sheikh Anwar Awlaki. Kuliahnya memberi motivasi buat diri yang mungkin lemah.

Ingat kisah Siti Hajar? Nabi Ibrahim meninggalkannya di tengah padang pasir bersama anaknya, Ismail. Cuba bayangkan padang pasir yang tiada penghujungnya, tiada sumber makanan dan tiada teman. Tapi sungguh Siti Hajar sanggup ditinggalkan. Seterusnya dia berlari-lari anak di antara Safa dan Marwah kerana naluri keibuannya yang tidak sanggup melihat Ismail menangis kehausan. Saya yakin kamu tahu kisah seterusnya.

Allah iktiraf segala yang dilakukan oleh Siti Hajar. Berlari-lari anak di antara Safa dan Marwah yang dilakukan oleh jutaan manusia semasa menunaikan ibadah haji dan umrah adalah bukti pengiktirafan ini. Pastinya Siti Hajar tidak pernah mengetahui kesukarannya itu akan diiktiraf Allah sebegitu. Kesukaran yang dilalui oleh Siti Hajar diganjari Allah hatta di dunia lagi, apatah lagi di akhirat kelak.

Kisah Nabi Musa juga begitu. Di saat membawa haluan bersama isteri merentasi padang pasir menuju Mesir, dia terjumpa api. Di sanalah dia kemudiaannya diangkat menjadi rasul. Allah bukan membawa dia menuju Mesir semata-mata, tetapi Allah memercunya untuk ke syurga dengan menganugerahkan darjat kerasulan buatnya.

Pasti ada hikmah di sebalik setiap kesukaran. Pasti ada kemudahan bersama kesukaran. Yakin sahaja..Kesukaran hari ini adalah harapan untuk melihat ummah terus hidup. Teruskan usaha...

Saturday, August 09, 2008

Cacat merba...

Saya sifatkan tindakan Majlis Peguam sebagai terlalu kurang ajar terhadap sensitiviti masyarakat Islam di Malaysia. Sakit sekali hati saya melihat kedayusan pemimpin sendiri. Tidak pula digunakan akta ISA untuk menangkap mereka-mereka yang merogol Islam ini. Saya tidak pernah bersetuju dengan akta ISA. Cuma saya tidak berpuas hati dengan sikap double standard kerajaan Malaysia. Majlis Peguam terlalu kurang ajar pada saya. Kononnya tidak mempertikai Artikel 121 (1A) atau mempersoalkan Islam atau statusnya sebagai agama rasmi seperti tertera dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi segala perkara yang hendak dibincangkan di dalam Forum Memeluk Islam menghala ke arah itu.

Sejujurnya saya terlalu beremosi mendengar isu ini. Mungkin kerana sikap mereka yang saya kira terlalu degil meskipun setelah bantahan dibuat. Saya cuba memujuk hati.


Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). ( Surah Attaubah :32)

Dari satu segi ada sesuatu yang membuatkan saya lebih terkilan. Sikap tidak ambil peduli umat Islam. Andai ada yang begitu peka dengan isu Palestin, ambillah jua peduli dengan isu yang berlaku dalam negara sendiri.

Dari sudut realitinya, golongan yang paling tidak sedar mengenai isu-isu sebegini adalah pelajar jurusan sains tulen (Sunnah Kauniyah) seperti perubatan, kejuruteraan, matematik dan lainnya. Majoritinya tidak sedar bahawa mereka akan diperkudakan di masa mendatang seandainya mereka tidak menguasai sains sosial (Sunnah Ijtima’iyyah) seperti politik. Sunnatullah atau peraturan Allah menunjukkan bahawa mereka yang berkuasa di dunia ini adalah mereka yang menguasai sains sosial. Dari 5 Perdana Menteri Malaysia, hanya satu sahaja yang berkelulusan di dalam sains tulen. Majoriti pemimpin Britain mahupun Amerika Syarikat berkelulusan di dalam bidang sains sosial. Cuba lihat anak-anak manusia berkuasa atau anak-anak raja di seluruh dunia. Majoriti dari mereka juga mengambil jurusan sains sosial.

Salah ke kalau ambil bidang perubatan atau bidang sains tulen lainnya? Tidak salah tapi cubalah juga menguasai sains sosial. Ambil pusing hal-hal sekeliling. Kuasai kedua-dua cabang ilmu.

Cuba imbas sejarah buat seketika. Meskipun British meninggalkan negara dahulu tapi British tetap meninggalkan sistemnya. Dihantarnya pelajar MCKK yang hebat-hebat belaka untuk menuntut di dalam bidang sains sosial di Barat. Lahirlah pemimpin-pemimpin negara yang memimpin dengan sistem British. Tiada Islam dalam pimpinan.

Kemudian datang dasar DEB. Salah satu dasarnya adalah menghantar anak bumiputera yang cemerlang untuk menuntut di dalam bidang sains tulen seperti perubatan dan kejuruteraan. Makin lama, makin pupuslah generasi yang menuntut di dalam bidang sains sosial.

Kesannya dapat dilihat dalam isu Majlis Peguam juga. Suara peguam Muslim tidak kedengaran. Malah mereka memperkotak katikkan sistem perundangan di dalam negara ini.

Siapa yang akan mengubah semua ini? Kitalah yang akan mencorakkannya. Tanggungjawab kita adalah mempelajari ilmu sains sosial berdasarkan AlQuran. Kita akan menapis kesemua ilmu dari kaca mata Islam seperti ulama Islam dahulu yang menapis segala ilmu yang datang dari Greek dan tamadun lain dengan tapisan Islam. Untuk menguasai dunia, kita perlu meletakkan ’sains sosial’ sebagai matlamat. Apa fungsinya sains tulen? Sains tulen adalah alat untuk mencapat matlamat tersebut.

p/s – Tulisan ini saya sifatkan sebagai cacat merba. Saya beremosi. Untuk memahami sunnatullah kauniyah (sains tulen) dan ijtimai’yah (sains sosial), saya kira perlu medan untuk berbicara panjang. Ada sesetengah perkara tidak mampu ditulis sebaliknya memerlukan modal air liur untuk menerangkannya.

Cacat merbanya...

Friday, August 08, 2008

Singa...

Baru-baru ini, saya ada menonton satu video timelapse yang amat menarik. Pokok anggur yang berbunga dan berbuah. Buahnya yang berwarna hijau bertukar menjadi ungu dan akhirnya dimakan burung. Indah sekali. Hati yang kering menjadi basah kembali melihat ciptaan Allah yang begitu indah.

Tadi, seorang sahabat berkongsi video ini. Video yang mengisahkan seekor singa yang diciptakan Allah, yang tetap mengenali tuannya meskipun sudah lama berpisah. Ada sesetengah perkara yang begitu menyentuh hati dan tidak mampu diterjemahkan dengan kata-kata.



Saya kongsikan kata-kata seorang chatter:

Masinnya air laut tak mampu menyerap ke dalam isi ikan, tapi bila ikan itu telah mati, secubit garam mampu memasinkannya. Begitulah hati, hati yang hidup sangat sukar dinodai. Tapi bila hati telah mati mudahnya dipengaruhi. Moga Allah sentiasa memelihaha hati kita. Hati yang dipilih Allah untuk mendapat hidayah-Nya sudah tentu hati yang menyesali akan dosa-dosanya.

Thursday, August 07, 2008

Pelik...


Saya pernah membaca buku mengenai manusia-manusia pelik. Mereka mampu berada di lapan tempat dalam sehari untuk dakwah. Ada yang sanggup korbankan hatta satu-satunya basikal yang ada padanya untuk dakwah. Ada pula yang berkata bahawa jalan dakwah ini seperti madu, begitu manis. Pelik sungguh. Banyak lagi kisah manusia-manusia pelik ini. Saya kira itu kisah dulu-dulu. Tidak mungkin ada lagi di zaman ini. Tapi Allah temukan saya dengan manusia-manusia pelik ini di zaman ini sehinggakan saya berasa cemburu.

Ukhti S, mottonya adalah - tiada hujung minggu buat para duat. Tulisannya menggetarkan hati. Kini dia kurang menulis. Sunnah dakwah yang lebih besar dengan air liur menjadikan waktunya begitu terisi sehinggakan coretannya yang hanya sesekali itu begitu bermakna. Jauh sekali pastinya coretan saya dengannya. Anak-anak dakwahnya menjejak puluhan. Cemburu sungguh hati saya. Dia sanggup untuk bermalam di kereta semata-mata demi dakwah. Katanya, usah malu. Jadi macam sahabat nabi yang sanggup pergi dari rumah ke rumah untuk dakwah. Wajahnya melambangkan ketenangan. Akhlaqnya begitu memikat.

Ukhti A, sanggup meredah dari utara ke selatan. Dengan apa? Bukan bas, boleh terlena. Dengan kenderaan dakwah. Memecut membawa kawan-kawannya yang lain ke tempat dakwah. Sedang keesokan harinya dia perlu kembali ke utara semula. Sanggup membumikan diri melakukan apa-apa sahaja demi dakwah. Dia tegas namun aura daiyahnya membuatkan saya termangu cemburu.

Ukhti Ar, pelajar perubatan seperti saya juga. Saya lupa nama sahabatnya yang seorang lagi. Katanya, dalam diari hariannya selama 24 jam tiada masa rehat melainkan tidur di malam hari. Tugasan perlu diselesaikan dengan cepat kerana dakwah sedang menunggu.

Semangat adik-adik yang baru itu juga menggetarkan hati. Selesai sahaja program, mereka diajukan soalan. Bila mahu mula berdakwah? Kata mereka, hari ini juga.

Banyak lagi kisah manusia pelik ini. ‘Ilah’ (sembahan) mereka hanya Allah semata. Mereka telah membuang ’ilah-ilah’ lain dari hati mereka.

Ya Rabb, saya mahu menjadi seperti mereka....

Monday, August 04, 2008

Maha Cemburu...

Hari ini kita hendak belajar mengenai syahadatain, 2 kalimah syahadah? Apa dia dua kalimah syahadah?

Pertamanya, Lailahaillallah dan keduanya, Muhammadurrasulullah..

Bagus sekali jawapan adik. Akak nak tanya, apa dia maksud ‘ilah’ dalam lailahaillallah?

Maksudnya sembahan. Allah itu adalah rabb kita dan kita percaya Allah adalah sembahan kita. Macam ini ..(sambil si adik melukiskan gambarajah)

Siapa ‘ilah’ (sembahan) kita?

Ada ke patut akak tanya soalan tu…Mestilah Allah…Budak darjah 1 pun tahu benda itu…

Ramai yang tahu adik, tapi tidak ramai yang memahaminya…

Maksudnya?

Ada yang kata Allah adalah ‘ilah’nya (sembahannya), namun hatinya tidak sebegitu..

Contohnya?


Misalnya, ramai yang pergi program agama, tetapi hatinya terlekat dengan pelajarannya. Dia mengaku Allah ‘ilah’nya (sembahannya), namun hatinya menyembah pelajarannya. Contoh lain pula, waktu solat sudah bermula, tapi dia masih menonton televisyen. Dia mengaku Allah ‘ilah’nya (sembahannya), tetapi hatinya menyembah televisyen. Cuba kita tengok surah ArRa’ad ayat 11. Adik pernah belajar bahasa arab, bukan? Apa terjemahannya?

Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…

Apa yang adik faham dengan ayat ini?

Kalau malas misalnya, kenalah jadi rajin..baru Allah akan ubah nasib kita...

Hmm, kalau kita tengok ayat itu semula, Allah sebut kena ubah ’ma bianfusihim’..Terjemahan ’apa yang ada pada diri mereka sendiri’ itu merujuk kepada hati sebenarnya...

Hati?

Ya, adik. Kena ubah hati, mengapa? Sebab Allah ini Maha Cemburu. Dia tidak mahu mengubah mereka yang hatinya ada selainNya. Kita tidak mahu hati sebegini. Dipenuhi dengan hal-hal dunia. Bercampur Allah dengan hal-hal dunia.


Bagaimana pula dengan pelajaran saya, kak? Saya asyik fikirkan pelajaran saya.

Letakkan urusan keduniaan di tangan. Allah di hati dan urusan dunia di tangan. Orang yang faham Allah sebagai ’ilah’nya (sembahannya) akan menyelesaikan tugasan pelajarannya dengan secepat mungkin agar tidak bertembung dengan tuntutan Allah seperti dakwah. Contohnya seperti Sahabat Rasulullah SAW , Saidina Abdul Rahman bin Auf. Semasa peristiwa hijrah, dia melaksanakan hijrahnya dengan sempurna. Setibanya di Madinah, di saat sahabat Ansar mampu memberikan segala kelengkapan, Saidina Abdul Rahman hanya meminta sahabat Ansar menunjukkan lokasi pasar. Dan Saidina Abdul Rahman berniaga dengan sebenarnya. Dialah sahabat Rasulullah SAW yang dijanjikan syurga dan dia juga adalah peniaga yang hebat. Urusan dakwah di hatinya, urusan perniagaan di tangannya.


Kak, macam mana dengan perasaan cinta?

Agak-agaknya orang yang hatinya ada cinta kepada manusia, mampukah hatinya sepenuhnya diisi dengan Allah?

Mestilah tidak. Asyik hendak fikirkan insan yang dicintainya. Bercampur Allah dan kekasihnya di dalam hatinya.

Betul.

Lain itu, macam mana kalau hendak berkahwin?

Letakkan urusan perkahwinan juga di tangan. Apabila sudah berkemampuan, barulah lafazkan hajat hati kepada orang alim atau pun ibu bapa untuk mencarikan pasangan yang soleh. Selagi belum bersedia, usah dilayan perasaan. Usah letakkan urusan perkahwinan di hati. Sebagai remaja Muslim, hatinya dipenuhi dengan Allah. Urusan dakwah perlu mengisi masanya. Ingat lagi kisah Assyahid Imam Hassan Al Banna, bukan?

Kisah yang mana kak?

Kisah Assyahid Imam Hassan Al Banna yang begitu komited pada dakwaah. Suatu hari, saat Assyahid berdakwah, seseorang datang padanya dan mengatakan bahawa anaknya sakit. Kata Assyahid, anaknya itu masih mempunyai ibunya lagi untuk menjaganya. Dan kemudian,datang seorang lagi dan berkata padanya, bahawa anaknya itu sakit begitu teruk sekali. Kata Assyahid, anaknya itu masih mempunyai saudaranya yang lain untuk menjaganya. Dan kemudian datang seorang lagi dan mengatakan bahawa anaknya telah meninggal dunia, kata Assyahid, masih ada saudaranya untuk mengembumikan anaknya dan mengetahui segalanya tentang kubur anaknya. Sukar untuk membayangkannya, bukan? Tetapi Assyahid tahu, kalau dia bersama anaknya, anaknya tetap akan pergi juga. Namun tiada siapa untuk ummahnya. Dan dia tahu peranannya di mana. Assyahid contoh insan yang meletakkan Allah di hatinya. Hatta anaknya sendiri tidak mengisi hatinya. Urusan dakwah lebih utama, adik.

Ya, kak. Terima kasih.

Lembah nurani, fitrahnya suci...

Kembara Ilmu - Suhaimi

Friday, August 01, 2008

Mati...

Salah satu rancangan kegemaran televisyen saya adalah Oprah Winfrey Show. Saya belajar banyak perkara dari rancangan ini seperti menguruskan kewangan, hal-hal berkenaan kemanusiaan, kebahagian, kesedihan, psikologi, dunia perubatan dan hal lainnya.

Salah satu siri rancangan ini yang memberi kesan yang amat besar buat saya adalah siri berkenaan Dr. Randy Pausch. Insan ini telah mati seminggu yang lalu. Dia merupakan penghidap kanser pankreas. Dia menjadi popular kerana kuliah terakhir yang diberikan di dalam kelasnya. Kuliah itu kemudiannya diuploadkan di internet dan menjadi sangat popular. Di sini, sedutan kuliahnya yang dipaparkan dalam rancangan Oprah Winfrey Show.



Terlalu banyak perkara yang saya pelajari dari insan ini. Di Youtube sahaja, video kuliahnya telah ditonton oleh hampir 6 juta manusia. Dia telah memberi motivasi buat ramai manusia. Terlalu banyak mutiara berharga dari kuliahnya. Saya belajar mengenai psikologi kanak-kanak, motivasi, akhlak dan nilai lainnya dalam ucapannya. Saya menemukan nilai Islam dalam syarahannya. Dia bukan seorang Muslim, namun Allah lebih mengetahui pengakhiran kehidupannya.

Semua manusia akan mati namun ramai manusia yang telah mati yang masih hidup lagi hakikatnya. Mereka hidup kerana tulisan mereka. Mereka hidup kerana kata-kata mereka.

Moga Allah menjadikan kita insan-insan yang akan meninggalkan jejak berharga buat ummah.

Di bawah ini adalah kuliah penuh selama lebih sejam oleh Dr. Randy Pausch yang telah ditonton oleh hampir 6 juta orang di Youtube sahaja.

There was an error in this gadget