Thursday, July 31, 2008

Moro...

Moro

Gambar-gambar di bawah ini diambil semasa saya ke Tip of Borneo semasa pemergian ke Sabah dahulu. Satu tempat tetapi samudera peringatan berharga begitu konklusinya. Saban waktu menatap gambar ini, jutaan soalan menggamit fikiran. Alangkah indahnya sekiranya saya mampu menyelak lembar sejarah tempat-tempat ini. Saya maaruf kelemahan sendiri akan hakikat sejarah.




Semalam saya mendengar sejarah bangsa Moro di kepulauan Filipina. Bangsa Moro itu majoritinya adalah Muslim. Mereka adalah saudara saya dan juga saudara kamu. Nama Moro itu diberi oleh orang Sepanyol yang datang menjajah mereka. Semasa Sepanyol menyerang Afrika Utara, Sepanyol menemui puak Muslim. Sepanyol memanggil kelompok Muslim di Afrika Utara dengan panggilan Moro. Dan nama Moro itu jugalah yang diberikan kepada orang Islam yang mereka temui di Kepulauan Filipina.

Andai peta dunia diselak, sungguh jauh antara Sepanyol, Afrika dan Filipina. Tapi orang-orang Sepanyol itu sanggup menyerang dan membunuh umat Islam.

Sadiskan? Sadis sekali sebenarnya. Hanya manusia-manusia jahil sahaja yang akan percaya buku teks sejarah tingkatan 4 dan 5 itu. Hanya manusia jahil sahaja yang mempercayai bahawa orang Barat menjajah dan menyerang Kepulauan Melayu disebabkan rempah. Hakikatnya, perjuangan agamalah asas kedatangan mereka.

Setiap dari kita berperanan mengetahui sejarah. Belajar dan terus belajar.

Sejarah

Saya sukakan sejarah sejak di bangku sekolah lagi. Tapi apabila saya mengenali sejarah Islam yang benar, saya terasa seperti ditipu dengan sejarah yang saya pelajari dulu. 6 orang sahaja pelajar Muslim di dalam kelas saya semasa saya berada di tingkatan 4 dan 5. Bakinya adalah pelajar bukan Muslim. Saya tidak mampu mengubah masa lalu. Andai masa mampu diputar pasti saya akan memberitahu kawan-kawan saya itu tentang sejarah yang benar. Saya mahu bercerita kepada mereka kehebatan Islam. Sejarah Islam tidak terhenti di Mekah dan Madinah seperti yang tercatat di dalam buku teks. Islam pernah menguasai dunia. Di era kegemilangannya, wanita-wanita bukan muslim mengikut fesyen muslimah. Semua manusia di zaman itu mahu mengikuti Islam sepertimana manusia di zaman ini mahu mengikuti barat. Tapi mungkin butir-butir jernih akan mengalir dari pupil mata apabila saya bercerita mengenai kejatuhan tamadun yang gemilang itu.

Saya tidak mampu mengubah masa lalu. Congak dan fikir mengatakan bahawa saya perlu mengubah masa ini. Moga Allah memberi kekuatan melakukan sesuatu di dalam elektif saya.

Dr. Tariq Suwaidan

Andai punya kesempatan, hadamlah kuliah Dr. Tariq Suwaidan mengenai sejarah Islam ini. Islam akan kembali sepertimana tunas berbunga, berbuah dan akhirnya menjadi ranting. Percaya akan kemenangan Islam adalah aqidah. Di dalam siri ini, kita dapat melihat hal-hal kecil yang akhirnya menjadi besar. Kita akan melihat bahawa Salahuddin Al Ayyubi tidak lahir dengan sendirinya.

Allah is preparing us for victory

Kuliah Sheikh Anwar Al Awlaki ini juga pasti menyuntik semangat. E-booknya pasti membantu. Zaman fitnah ini sungguh menakutkan. Moga Allah menetapkan kita di jalanNya.

Monday, July 28, 2008

Lagha...

Lagha

Ada kalanya saya terasa seperti tidak mahu menulis dan tidak mahu berkongsi dengan manusia lain. Sebabnya saya sendiri saban waktu dalam keadaan lagha dan melakukan maksiat. Tapi saya tetap mencuba untuk berkongsi kerana saya tahu saya tidak akan sempurna. Dan saya mohon padaNya agar maksiat saya tidak menghalangi manusia memperoleh hidayahNya.

Gunung Lambak

Hati saya memberontak tidak mahu pergi. Pagi sebelum pergi pun, saya membebel lagi tidak mahu pergi. Terasa sukar nak menolak perlawaan seorang doktor perempuan yang baik ini.

Apa yang boleh dilakukan kalau hati berada di antara persimpangan dan dalam kekeliruan? Kalau saya, saya buka quran tafsir mana-mana muka surat. Tidak pun saya layari laman web terjemahan alQuran dan masukkan mana-mana nombor surah dan ayat. Dalam kes hendak pergi program ini misalnya, kalau saya temui ayat Quran yang baik-baik, saya tahu Allah suruh saya pergi. Kalau ayatnya macam berkenaan keburukan, saya tahu Allah tidak menggalakkan saya pergi.

Malam sebelumnya saya tahu Allah suruh saya pergi. Tapi hati masih susah nak ikhlas. Mengapa saya tidak mahu pergi? Itu rahsia. Keluarga saya sahaja yang tahu konflik saya.

Pada mulanya, saya ingatkan program ini macam program pengisian. Pagi itu saya memakai baju kurung. Lepas itu, baru saya tahu program itu adalah program memanjat gunung. Tukar baju dan kemudiannya saya pergi bersama suami doktor tersebut dan anak-anaknya yang lebih muda dari saya. Doktor perempuan tersebut tidak ikut memandangkan dia ada program lain.

Seterusnya ambil kanak-kanak tadika dan yang bersekolah rendah di Simpang Renggam dan menuju ke Gunung Lambak di Kluang. Program ini sebenarnya diadakan untuk kanak-kanak tersebut memandangkan kemungkinan mereka terasa berseorangan di hujung minggu lantaran berjauhan dengan keluarga. Allah nak tarbiah saya juga sebenarnya memandangkan posting pertama saya adalah paediatric. Allah nak memberi pendedahan awal kepada saya mengenai dunia kanak-kanak.



4 tahun

Saya kagum dengan kanak-kanak ini. Baru berusia 4 tahun tapi sungguh aktif sekali. Kanak-kanak ini memanjat gunung bersama saya. Selipar mereka asyik tertanggal. Setelah tiga suku perjalanan, kami berhenti. Saya sudah pun mengalami palpitation. Kami pun turun. Membiarkan ustaz sahaja mengawal pelajar-pelajar lain. Saya dapat rasakan orang-orang Cina yang turut melihat kanak-kanak ini berasa kagum.



Saya baru membaca tulisan akak ini. Terharu rasanya.

“Mungkin Allah belum mentakdirkan anak-anak dari zuriat sendiri untuk menghiasi medan dakwah ini. Tetapi, berjuta anak-anak lain yang menagih seruan Ilahi agar mereka dapat merasa nikmat iman di dalam madrasah Allah ini.


As-Syahid Sayyid Qutb syahid tanpa meninggalkan zuriat, namun sehingga kini ribuan anak-anak soleh dan solehah yang bernaung di bawah Naungan Al-Quran. Ribuan anak-anak rabbani yang lahir sentuhan Fi Zhilalil Quran beliau. Dan selagi masih ada hati-hati yang tersentuh dengan tulisannya ini, selagi itulah beliau akan terus hidup”.

Couple

Semasa saya menaiki jambatan ini, terdapat pasangan kekasih yang sedang membelakangi saya. Si lelaki terkinja-kinja melompat dengan harapan si gadis akan tersungkur di dadanya. Apabila dia menoleh ke belakang, saya pun bertanya, ”Suami isteri ke?” Dengan tergagap-gagap dia menjawab, ”Bukan”. Melalui pemerhatian saya selama ini, kebanyakan kekasih sahaja yang membuat aksi-aksi yang tidak sepatutnya. Kalau dah berkahwin, tiadanya nak buat perangai tidak senonoh macam ini.


Malu

Sewajarnya apabila kita mengunjungi tempat-tempat sebegini, kita patut berasa malu. Pokok, air dan haiwan semuanya sedang berzikir kepada Allah. Zikir mereka sewajarnya membuatkan kita tertunduk malu.

Saya pernah berkawan dengan seorang chatter dari India. Jemaah tabligh rasanya. Banyak perkara yang saya pelajari darinya berkenaan pendulum dan lain-lain. Dia pernah bercerita bahawa gurunya pernah mendengar masjid bercakap. Dinding masjid tersebut bercakap. Apa yang saya cuba sampaikan sebenarnya? Entahlah. Saya dapat rasakan semua benda di sekeliling saya hidup. Dinding yang dibuat daripada batu. Perabot yang dibuat dari kayu. Mereka semua makhluk Allah. Perlu ada rasa malu nak buat maksiat di hadapan makluk Allah ini. Moga Allah mengampuni kesalahan saya dan mengurniakan rasa ihsan, perasaan untuk merasai bahawa Allah melihat perbuatan saya...

Saturday, July 26, 2008

Bacalah...


Saya ingat lagi salah satu sesi taaruf (berkenalan) yang pernah saya sertai dalam satu program. Seronok sangat rasanya program taaruf itu. Ada lebih 80 orang dalam program tersebut dan kami dibahagikan kepada dua kumpulan. Lepas itu, masing-masing perlu menulis beberapa perkara tentang diri mereka di atas kertas. Dan kemudian kertas tersebut bertukar di antara dua kumpulan ini tadi. Kertas itu pun diedarkan antara kami dan kami perlu mencari pemilik kertas yang sebenar.

Dalam kertas tersebut kami perlu menulis ayat Quran kegemaran kami. Dan semasa sesi memperkenalkan pemilik kertas yang kami cari, kami perlu menerangkan juga sebab-sebab kami menyukai ayat Quran tersebut. Sejujurnya rasa seronok sangat bila dengar ayat Quran yang menjadi kegemaran sahabat-sahabat yang lain. Lebih-lebih lagi apabila mereka menerangkan sebab musabab mereka menyukai ayat Quran tersebut. Terasa Al Quran ini sangatlah indah. Ayat Quran itu mampu menyentuh hati sesiapa sahaja. Kalau kita tersentuh dengan ayat ini, sahabat kita tersentuh dengan ayat yang lain. Ada seorang ini, dia tersentuh dengan ayat ‘Bismillahirrahmanirrahim’. Dia merasakan ayat itu mencakupi seluruh makna.

Apa yang cuba saya sampaikan sebenarnya? Saya cuba sampaikan satu perkara sahaja. Quran ini sangat indah. Tiada pun yang tidak best. Semuanya best.

Bila kita baca surah jin misalnya, Allah ceritakan tentang jin yang beriman dalam ayat permulaan dan lepas itu Allah ceritakan tentang sikap musyrikin. Seolah-olah Allah nak cakap dengan kita, kalaulah jin yang penciptaannya second class itu pun boleh beriman dengan Allah, kenapa kita yang Allah cipta dengan penciptaan first class, sebaik-baik ciptaan masih kufur lagi dengan Allah?

Bila kita baca surah Arrahman pula, Allah ceritakan dengan begitu indah segala yang ada di bumi. Misalnya, Allah ceritakan tentang lautan yang begitu indah. Dari lautan itu keluar lu’lu’ dan marjan. Keluar mutiara putih dan mutiara merah. Terbayang indahnya mutiara yang begitu cantik. Tapi selepas itu, Allah cerita semua ini akan binasa, yang kekal hanyalah wajah Allah. Kita pun rasa tersentak. Di saat kita membayangkan kecantikan mutiara, Allah cuba sampaikan kat kita yang semua ini tidak kekal. Mengapa kita nak kejar benda-benda yang tidak kekal? Kejarlah Allah. Dia kekal dan yang lain akan fana.

Bila baca surah aadiyat misalnya, Allah ceritakan tentang kuda dan selepas itu Allah ceritakan tentang manusia yang engkar. Seolah-olah Allah nak cakap kat kita, kuda yang makan jerami itu pun boleh patuh pada tuan dia, bekerja bersungguh-sungguh. Allah gambarkan kehebatan kuda yang cuma makan jerami sahaja dalam Quran. Tapi kita yang Allah berikan seluruh dunia dan seisinya ini masih engkar. Dan kita pun terasa malu dengan kuda.

Bila baca surah ankabut misalnya, terbayang labah-labah yang Allah cipta. Labah-labah ini dia rasa bagus sahaja sarang dia. Dia cipta sarang dia dengan merasakan sarang dia hebat. Tapi sarang dia boleh hancur dengan begitu senang bila ditiup angin. Dan Allah beritahu kat kita dalam ayat 41, kalau kita nak bergantung pada selain daripada Allah, kita ni macam labah-labah yang buat rumah. Tempat pergantungan kita selain dari Allah itu akan fana dan binasa sepertimana binasanya rumah labah-labah. Kita nak ke jadikan benda-benda lain sebagai pelindung dan tempat pergantungan kita? Tak nak kan? Kita tak nak jadi macam labah-labah.

Sahabat-sahabat Rasulullah SAW bila dia baca ayat Quran mengenai musyrikin, munafiq dan ayat-ayat azab, mereka akan merasakan Allah menujukan ayat tersebut buat mereka. Mereka merasakan mereka terlalu hina di hadapan Allah. Dan itu juga yang perlu kita rasakan bila baca ayat Quran. Tidak siapa tahu pengakhiran kita. Bila kita baca tentang buah zaqqum misalnya, kita memohon pada Allah yang kita tak nak makan buah itu. Kita tidak nak makan buah yang dari kepala-kepala syaitan. Kita kena rasa insaf bila membaca AlQuran. Di saat kita lalai, kita mohon Allah berikan kita kekuatan untuk menggambarkan ayat-ayat azab dalam hati kita. Kita berdoa sepanjang masa biar Allah mematikan kita dalam keadaan kita beriman padaNya.

Seandainya kita rasa tertekan dengan kesukaran hidup, bacalah ayat-ayat mengenai syurga. Seakan-akan kita merasakan Allah memberi satu tawaran buat kita. Kita merasakan seolah-olah Allah bertanya kat kita, kamu tak nak ke syurga ini? Dan insya Allah dengan merasainya, hilang rasa tekanan dalam diri sebab kita tahu dengan setiap kesukaran yang kita lalui, Allah sebenarnya sedang menawarkan syurga buat kita. Sahabat-sahabat Rasulullah SAW memahami syurga ini dengan sebenarnya. Syurga ini macam magical word buat sahabat. Dengar sahaja syurga, dah tidak ingat lagi dunia. Mereka sanggup pergi jihad dan mati syahid bila dengar mengenai syurga. Kita mohon kat Allah agar dia memberi kita kefahaman mengenai Quran sepertimana dia memberikan kefahaman kepada para sahabat.

Terlalu best Quran ini. Quran ini mengalahkan segala macam novel dan lagu yang ada di dunia. Bacalah...

”Bacalah dengan menyebut nama TuhanMu yang menciptakan”. (Surah Al Alaq:1)

Wednesday, July 23, 2008

Doakan...


Doakan

Tadi saya membaca email seorang pensyarah saya yang dikirimkan ke yahoogroup.

Dear all,

I think you still remember my good friend Pn. Dalilah, the breast cancer survivor who came to give a talk about how she went through the ordeal. Please pray for her because the cancer has been detected to spread on her right chest, rib, liver, right jaw and left collarbone, causing a lot of pain. She has been warded in HKL since last Monday, waiting to be operated this week. As it is, her bones are degenerating; her rib cage is swollen plus many more illnesses. The doctors cannot give chemotherapy because most her veins were damaged during the first chemo session in 2004. Let's be thankful of our good health and pray that my friend recovers somehow, or at least be given less pain to suffer. TQ all.

Lepas membaca email tersebut, saya buka blog Puan Dalilah dan saya teresak-esak menangis membaca tulisannya. Adakalanya saya menjauhi blog yang menceritakan catatan dan kisah kehidupan pesakit kerana saya tidak mahu memikirkan penyakit saya sendiri. Tapi adakalanya catatan mereka merupakan teguran dari Allah kepada saya. Catatan mereka memberi saya motivasi. Masih ringan lagi ujian yang Allah berikan buat saya sebenarnya berbanding insan lain.

Baru ini, saya pergi melakukan pemeriksaan. Doktor beritahu yang ovari saya bengkak. Paras glukos saya meskipun normal tapi agak tinggi. Entahlah, waktu itu memang rasa sedih juga. Tapi lama-lama saya jadi seorang yang malas untuk memikirkannya. Masih banyak lagi yang perlu saya fikirkan.

Saya bersyukur sebab Allah beri saya peluang untuk merasai nikmat tarbiah. Tarbiah memahamkan saya akan maksud takdir. Lebih-lebih lagi bila saya memahami konsep muqaddimah dan natijah yang dinukilkan oleh Syed Qutb.

"Segala sebab-sebab yang diketahui umum itu kadang-kadang melahirkan kesan-kesannya dan kadang-kadang tidak, begitu juga muqaddimah yang dianggap orang sebagai pasti kadang-kadang melahirkan natijah dan kadang-kadang tidak, kerana sebab-sebab dan muqaddimah-muqaddimah itu sendiri bukanlah berkuasa mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu, malah iradat Allah yang bebas itulah yang mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu disamping mewujudkan sebab-sebab dan muqaddimah itu sendiri.

Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana ia diperintah berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijah-natijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilan-Nya, kepada hikmat kebijaksaan Allah dan ilmu-Nya itulah satu-satunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaan syaitan."

Alhamdulillah Allah memberi saya kefahaman akan hal ini. Kalau saya tidak memahami hal ini, pasti saya akan rasa tertekan. Kalau saya tidak faham hal ini, pasti saya akan mempersoalkan segalanya. Mengapa setelah diet dan penjagaan kesihatan yang betul, berat saya masih tidak berkurang? Mengapa penyakit saya semakin menunjukkan tanda tidak mahu sembuh? Tapi syukur Allah beri saya kefahaman akan hal ini.

Tiada siapa yang boleh mengaitkan muqaddimah dan natijah. Tiada siapa boleh cakap sebab hal ini, akan terjadi begini. Orang yang diet pun masih sakit. Orang yang bersukan pun ditimpa penyakit. Sebabnya semua yang terjadi disebabkan oleh kehendak (iradah) Allah yang bebas. Tidak siapa mampu menghalang. Dan tiada siapa mampu menghukum.

Dan sebab saya tidak pernah tahu apa yang Allah tentukan untuk saya, saya masih berusaha. Saya masih mencuba menjaga diet saya meskipun adakalanya saya tewas. Ya Allah, saya bersyukur sekali sebab saya memahami hal ini.

Buat semua sahabat dan pengunjung blog ini, doakan Allah memberi kekuatan untuk Puan Dalilah melalui segalanya.

Blog

Blog-blog ini jarang saya kunjungi, tapi memberi saya keinsafan setiap kali mengunjunginya.

Blog Puan Dalilah

Blog Asma

Blog Arwah Khalid

Tuesday, July 22, 2008

Lasso...


“Kak, kalau saya nak fokus pada penulisan semata-mata dan tidak membina individu, boleh ke? Boleh tidak sekiranya saya tidak memegang mana-mana usrah?”

“Dakwah ni memerlukan adik memegang usrah dan membina individu-individu lain sebenarnya”.

“Saya tidak pandai mendekati manusia, kak. Itu kelemahan saya”.

“Adik dah cuba?”

“Belum, kak”.

“Sekiranya adik belum mencuba, adik tidak tahu kelebihan yang adik ada”.

“Kak, saya bimbang tidak mampu memberikan yang terbaik buat adik-adik usrah”.

“Cuba tengok akak yang hebat tu. Sebelum dia menjadi hebat, ramai sahaja adik-adik dan banyak kumpulan-kumpulan usrahnya yang terkorban”.

“Terkorban?”

“Maksudnya akak tu tidak jadi hebat tiba-tiba. Usrah dan adik-adik yang pernah dipimpinnya pada peringkat awal pernah tidak menjadi. Tapi dia tidak berputus asa. Dakwah is about try and error. Adik perlu mencuba. Sekiranya adik gagal pada peringkat permulaan, doakan mereka yang pernah adik pimpin bertemu dengan insan lain yang mampu memimpin mereka dan adik perlu terus berusaha”.

Disematnya dalam hati dialog tersebut. Dia mencuba. Masya Allah, beberapa insan menawarkan kesediaan untuk dipimpin olehnya. Kali ini dia tidak mahu memikirkan kegagalan. Dia akan berusaha dan urusan hidayah adalah urusanNya. Sekiranya gagal, dia akan berusaha lagi.

Ya, tanggungjawab dakwah adalah tanggungjawab semua insan yang mengaku Muslim. Bukan hanya tanggungjawab dia, dia dan dia. Dakwah adalah tanggungjawab semua.


Pernah tengok cowboy tak? Apa pekerjaan cowboy? Me’lasso’. Itulah tugas setiap Muslim. Dia perlu me’lasso’ manusia lain kepada Islam. Dia me’lasso’ Muslim yang baik ke arah memahami dakwah. Dia akan ma’lasso’ insan-insan yang tidak memiliki kefahaman yang jelas kepada cahaya Islam dan kemudian memahami tuntutan dakwah pula. Itulah tugas seorang Muslim setiap masa - memastikan manusia terus berada dalam landasan Ibadah kepada Allah.

Monday, July 21, 2008

Izzah...

Penyata

Saya sudah mengambil penyata pada hari Sabtu yang lepas di sekolah saya. Saya mahu menukar panggilan ‘kolej’ kepada sekolah. Kolej adalah sekolah kehidupan. Insya Allah, ada tiga tahun lagi yang masih berbaki di sekolah kehidupan ini. Hmm…tahu tak penyata tu apa? Penyata itu macam ‘report card’ yang selalunya di ambil oleh kanak-kanak sekolah pada hari terbuka mereka. Ya, saya masih kanak-kanak lagi. Ada penyata sendiri. Kalau di Johor ini, istilah penyata tu popular tapi tidak tahu pula di rantau lain.

Kelemahan

Apabila mengambil penyata, mestilah mentor atau cikgu akan memberitahu kelemahan kita. Apakah dia perkataan yang paling popular pada hari terbuka dan sesi mengambil penyata? Perkataan TETAPI atau dalam bahasa inggerisnya BUT. Dia ini baik TETAPI… She is good BUT.. Alhamdulillah, mentor saya memberitahu kelemahan saya yang sememangnya diketahui oleh seantero insan-insan yang mengenali saya. Saya pendiam dan suara saya tidak dapat didengari semasa peperiksaan OSCE. Huhu, tapi saya pandai sekali berkokok di dalam blog. Kalau sahabat-sahabat matrikulasi saya yang baca kenyataan pendiam itu, pasti mereka akan ketawa mengekek. Tidak pun adik beradik saya sendiri. Saya perlu belajar cara-cara berkomunikasi dengan manusia-manusia yang saya temui buat pertama kali. Itu hakikatnya.

Nasihat

Hmm..mentor saya nasihatkan bahawa saya perlu ke hadapan. Kena rasa izzah. Saya perlu berasa izzah demi ummah yang akan datang. Katanya lagi, doktor Muslim di Malaysia hanya 30%. Pakar doktor Muslim pula hanya 15%. Ya, saya perlu berubah demi ummah. Saya perlu mengambil serius kata-kata ini.

Thursday, July 17, 2008

Ikan...


Ikan

Gambar ikan ini diambil di Sabah. Cuba fikirkan seketika. Ikan ini bahagia di dalam lautan. Mati menggelupur di luar lautan.

Manusia pun begitu juga. Selagi dia hidup di dalam lingkungan Islam dan tarbiah, hatinya bahagia. Tapi seandainya dia jauh dari Islam dan tarbiah, hatinya akan menggelupur.

Batal

Alhamdulillah. Konsert Inul di JB dah dibatalkan.

Wednesday, July 16, 2008

Lupa..

Muqaddimah dan Natijah

Kisah ini saya nukilkan untuk Yahoogroup Generasi. Pengalaman sendiri yang ditukar menjadi cerita. Ini kisahnya...

“Kamu rasa bersalah tak lupakan ilmu yang diajar oleh pensyarah kamu? Ingat lagi kisah Imam Syafei? Dia terlupa ilmunya hanya kerana satu dosa,” kata-kata pensyarahnya seringkali bermain di penjuru fuadnya.

Saban waktu Lina terfikirkan kata-kata itu. Betapa banyaknya dosa yang dilakukan sehingga dia gagal mengingati ilmu yang diajarkan oleh pensyarahnya. Dia bersyukur pada Allah kerana berpeluang untuk bertemu dengan Kak Yana. Belum sempurna lagi taaruf di antara mereka lantaran keterbatasan waktu, tapi sempat dia meluahkan isi hatinya. Seakan-akan berlaku sesi ’curhat’ (curahan hati) ketika itu. Ukhwah kerana Allah terlalu indah. Insan yang merasainya seolah-olah berada dalam kecintaan yang amat. Cinta itu dapat dirasai walau hanya sebentar. Kata-kata Kak Yana seolah-olah memberinya motivasi kembali.

”Pertamanya adik tidak boleh anggap kisah Imam Syafei itu sebagai hukuman. Adik perlu menganggapnya sebagai motivasi. Dulu waktu akak belum mengenali tarbiah, akak pernah sahaja ber’couple’. Dunia akak penuh maksiat. Dan apabila akak mengenali tarbiah, ada juga suara yang berkata bahawa dosa yang pernah akak lakukan dulu akan dibalas di dunia. Ada yang berkata bahawa akak tidak akan mendapat suami yang soleh kerana di dalam Quran disebut lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Ada juga yang berkata seandainya akak mendapat suami yang baik, anak-anak akak pula tidak akan menjadi kerana akak akan dihukum oleh dosa-dosa akak yang lalu. Lantas akak tanyakan pada ustaz berkenaan persoalan ini”.

”Apa jawapan ustaz?” ujar Lina dengan penuh debar.

“Pertamanya ustaz tegaskan kat akak kalau akak percaya kata-kata yang akak akan mendapat suami yang buruk dan anak-anak yang tidak menjadi lantaran kerana dosa akak dahulu, maksudnya akak menutup pintu taubat yang Allah berikan. Ustaz katakan kat akak ayat Quran itu sebenarnya satu bentuk motivasi dari Allah. Seandainya kita nak suami yang soleh, kita hendaklah berusaha menjadi solehah. Tapi Allah yang menentukan segala perkara dan natijah. Segala kata-kata pensyarah adik itu satu bentuk motivasi agar adik elakkan diri dari dosa dan bukan satu hukuman,” jawab Kak Yana dengan penuh makna.

Seterusnya Kak Yana bertanyakan soalan, “Adik pernah baca muqaddimah tafsir fi zilalil quran (tafsir di bawah lembayung Quran) oleh Syed Qutb?

Dengan muka berkerut-kerut Lina berkata, “Kenapa kak? Ada apa-apa ke?”

”Seandainya semua orang kat dunia ni faham perkara yang Syed Qutb tekankan dalam muqaddimahnya, tiadalah kesedihan di dalam hati mereka”.

”Apa yang Syed Qutb katakan dalam muqaddimahnya?” tanya Lina kembali.

Kak Yana menghulurkan tafsir fi zilalil quran kepada Yana dan menunjukkan muqaddimahnya. Di dalamnya tercatat:

"Segala sebab-sebab yang diketahui umum itu kadang-kadang melahirkan kesan-kesannya dan kadang-kadang tidak, begitu juga muqaddimah yang dianggap orang sebagai pasti kadang-kadang melahirkan natijah dan kadang-kadang tidak, kerana sebab-sebab dan muqaddimah-muqaddimah itu sendiri bukanlah berkuasa mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu, malah iradat Allah yang bebas itulah yang mewujudkan kesan-kesan dan natijah-natijah itu disamping mewujudkan sebab-sebab dan muqaddimah itu sendiri.

Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana ia diperintah berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijah-natijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilan-Nya, kepada hikmat kebijaksaan Allah dan ilmu-Nya itulah satu-satunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaan syaitan."

”Adik faham tak?” tanya Kak Yana.

”Boleh akak terangkan kat saya?”

”Dalam hidup ini kita tidak boleh mengaitkan muqaddimah dengan natijah. Kita tidak boleh cakap kita lupa sebab dosa kita. Contohnya, tidak semua yang belajar akan berjaya. Ada yang belajar 12 jam sehari tetapi masih gagal. Ada pula yang hanya belajar sebentar sahaja tapi berjaya. Kita dah diajar bahawa untuk berjaya kita perlu berusaha. Tapi sebab berusaha tu belum tentu lagi menjanjikan kejayaan. Apa yang menentukan kejayaan atau kegagalan? Iradat Allah yang bebas. Kehendak Allah yang tidak mampu dijangkau oleh manusia. Apabila adik mengangkat tangan misalnya, semua itu Allah dah tentukan sejak sebelum adik lahir lagi. Apatah lagi urusan kejayaan atau kegagalan. Tapi sebab adik tidak tahu apa yang Allah dah tentukan untuk adik, maka adik akan berusaha”.

Kak Yana menambah lagi, ”Sunnatullah menyaksikan mereka yang berusaha akan berjaya. Adik perlu berusaha dengan lebih gigih lagi. Tapi jangan sesekali mengaitkan muqaddimah dengan natijah. Apa sahaja keputusan yang adik perolehi semuanya dalam pengetahuanNya. Tiada lagi kesedihan dalam hati setiap Muslim yang memahami hal ini kerana dia mengetahui bahawa Allah penentu segalanya”.

”Saya dah faham. Terima kasih, kak.”. Ujar Lina dengan hati berbunga-bunga untuk terus berusaha.

Lagu

Saya sukakan lagi ini. Lagu ini memberi saya motivasi. Tapi saya pasti pembaca blog ini tidak faham bahasa Tamil. Terjemahan lagu boleh diperolehi di sini. Tapi hakikatnya keindahan bahasa terlalu sukar diungkapkan di sebalik terjemahan kata-kata.



Debat

Pelik sungguh melihat penyokong Shabery. Excited dan bergembira dengan kenaikan harga minyak. Menyokong membabi buta. Normal atau abnormal?

Monday, July 14, 2008

Syahid?

Alhamdulillah, Allah memberikan ilham buat sahabat sahibah yang lain untuk terus berkarya. Terima kasih buat para moderator yang turut mengirimkan karya dan menguruskan yahoogroup ini. Moga yang lain akan terus menyusul berkongsi karya-karya mereka.

Hari ini kita nak bincangkan sesuatu berkaitan syahid. Saya pasti ramai yang bercita-cita mahukan syahid dalam perjuangan yang panjang ini. Maka hari ini kita cuba bincangkan satu ayat berkaitan syahid ni.


Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat pertengahan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu...(AlBaqarah: 143)

Dalam bahasa Arab, singular atau tunggal dipanggil mufrad, dua dipanggil musanna, plural atau banyak dipanggal jamak. Bahasa mudahnya:

  • Mufrad – 1
  • Musanna – 2
  • Jamak - >2

Syahid adalah mufrad (satu). Syahidani adalah musanna (dua). Dan syuhada’ adalah jama’.

Dalam ayat di atas, Allah sebut kita ni semua, saya dan awak, perlu menjadi syuhada’. Disebabkan kita ni ramai (jama’), ayat ni menggunakan kalimah syuhada’. Tapi disebabkan Rasulullah seorang sahaja, Rasulullah menjadi syahid dalam ayat tersebut.

Syahid dalam ayat ni macam syahid mati dalam peperangan ke? Tidak. Jadi apa maksudnya syahid dalam ayat ni? Syahid/ Syuhada dalam ayat ni maksudnya menjadi saksi. Kita yang menganut Islam pastinya mengucap dua kalimah Syahadah bukan? Kita bersaksikan bahawa Allah itu satu dan Muhammad itu Pesuruh Allah. Dan itulah namanya Syahadah. Sekarang ada satu soalan, itukah maksudnya Syahadah? Hanya dengan melakukan rukun Islam dan rukun Iman, adakah kita telah menunaikan tuntutan Syahadah yang kita lafazkan?

Jawapannya belum berdasarkan ayat di atas. Apa tuntutan Syahadatul Haq, syahadah yang benar? Kita perlu menjadi saksi ke atas manusia. Apa maksudnya? Maksudnya adalah kita yang faham tentang Islam ni perlu berdakwah kepada seluruh manusia supaya esok bila di hadapan Allah kelak, manusia lain tiada hujah untuk mengatakan di hadapan Allah bahawa mereka melakukan kejahatan dan kezaliman di muka bumi ini disebabkan mereka tidak tahu. Seandainya mereka mengatakan demikian di hadapan Allah, kita ni semua akan memikul kesalahan mereka. Maka hendaklah kita menjalankan dakwah semampu yang boleh agar kita terlepas dari memikul kesalahan manusia lain.

Kalau kita tengok ayat ini, kita adalah umat pertengahan. Gambar ni menerangkan maksudnya.



Rasulullah SAW menjadi pertengahan di antara Allah dan kita. Rasulullah SAW menyampaikan segala amanah yang Allah berikan padanya kepada kita. Dan sekarang ni kita pula menjadi umat pertengahan di antara Allah dan Rasulullah dengan seluruh manusia lainnya. Kita kena sampaikan dakwah Islam yang kita warisi dari Rasulullah SAW agar manusia lain tidak akan memberikan alasan bahawa mereka tidak pernah diberitahu tentang Islam dan perkara ni.

Pertama kali dengar tentang ayat ni, saya rasakan alangkah baiknya kalau saya tidak tahu. Mesti kita akan rasa seronok kalau kita tidak tahu tentang ayat ni. Sebabnya kalau dah tahu, kenalah buat dakwah. Tapi ustaz cakap sebenarnya menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk mengetahui tanggungjawab mereka.

Bagi sahabat-sahabat yang mungkin masih lagi keliru, saya telah uploadkan buku Syahadatul Haq oleh Abu al’A’la AlMaududi di ruangan files. Buku ini yang menghuraikan topik ini dengan begitu mendalam. Buku ini juga menerangkan tentang pembahagian Syahadah dan hal lainnya. Saya amat berharap agar sahabat-sahabat dapat memulakan pembacaan dan memahami hakikat tanggungjawab masing-masing.

Muslimat / perempuan/ akhawat / sahibah yang menginginkan usrah atau pengisian dan masih mencari-cari tujuan hidup mereka, add sahaja ID Yahoo Messenger saya, afeera_szaza. InsyaAllah, saya akan berusaha sedaya upaya untuk memberi anda kefahaman walau dengan apa jua cara.

Pengisian...

Blog

Terlalu banyak kesilapan yang saya lakukan dalam bidang penulisan. Blog ini seperti blog sampah rupanya. Insya Allah, saya akan cuba membaiki penulisan saya dari masa ke semasa.

Syahadatul Haq

Moga pemahaman saya mampu memberikan sebuah momentum untuk melakukan sesuatu.

Feedjit

Bagi pengunjung yang tidak selesa dengan sistem Feedjit yang ada di sisi kanan blog, anda boleh klik pada butang ‘Option’ dan klik “Ignore My Browser”. Feedjit tidak akan mencatatkan aktiviti anda. Perkara itu yang sering saya lakukan di kebanyakan blog yang menggunakan Feedjit. Tapi saya tidak jamin sekiranya blogger menggunakan sistem kiraan pengunjung yang lain pula. Anda boleh melihat "page source'nya.

Usrah

Muslimat / perempuan/ akhawat / sahibah yang menginginkan usrah atau pengisian dan masih mencari-cari tujuan hidup mereka, add sahaja ID Yahoo Messenger saya, afeera_szaza. Insya Allah, saya akan berusaha sedaya upaya untuk memberi anda kefahaman walau dengan apa jua cara.

Friday, July 11, 2008

Waqaf..

Tidak pernah memiliki

Alhamdulillah, Allah bukakan hati ibu dan ayah untuk membenarkan saya keluar selama seminggu. Redha Allah terletak pada redha mereka. Tapi syukur padaNya kerana memberi ayah dan ibu saya satu kefahaman bahawa saya bukan milik mereka tapi milik Islam. Setiap insan di sekeliling anda adalah milik Islam. Waqafkan mereka pada Islam. Dunia ni kejap je. Nanti kat akhirat duduk sekali selamanya..Peace!!

Elektif

Macam-macam aktiviti yang kawan-kawan saya lakukan untuk elektif. Belajar renang, paragliding, basic life support, aikido dan macam-macam lagi. Saya? Akhirnya saya buat keputusan, elektif saya adalah belajar dalam bidang penulisan.

Proposal

Saya paling tidak suka formaliti. Tapi kena buat juga kertas kerja untuk elektif ini. Ini pun tarbiah dari Allah juga.

Promosi Palestin

Kak F dari Aman Palestin meminta jasa baik semua untuk mempromosikan:

Majlis Makan Malam Kembara Al-Quds

Tarikh : 3 Ogos 2008, Ahad

Masa : 8.00-11.00 malam

Tempat : Pusat Konvensyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Islam Antarabangsa (KUIS), Selangor

Shah Alam

Ada majlis amal untuk AlQuds di Shah Alam. Maklumat dan poster boleh dimuat turun dan diperolehi dengan mendaftar di Yahoogroup Generasi.

Wasiat Dr Sayyid Nuh

“Al-Aqsa adalah amanah di atas leher umat ini bermula sejak peristiwa Rasulullah s.a.w. isra’ dan mikraj. Ia adalah amanah yang kita tanggung dan kita masih menanggungnya. Sebarang kecuaian di dalam amanah ini akan membuka pintu kejahatan yang tiada batasnya di dunia. Ada pun di akhirat kita akan ditanya oleh Tuhan, Empunya segala kemuliaan tentang ilmu yang kita ketahui dan kewajipan kita terhadap al-Aqsa.”

Wasiat seterusnya boleh dibaca di sini.

Website baru AMAN Palestin

Klik sini

Wallpaper

Saya suka wallpaper ni. Saya memperolehinya dari blog Muntalaq.


Entah..

Langgar Sunnatullah

Nampak gayanya malam ini saya melanggar Sunnatullah lagi. Tidak boleh tidur. Malam dijadikan untuk berehat. Itu Sunnahnya. Entahlah..

Ketika Cinta Bertasbih

Saya dah habis baca novel dwilogi ini. Sangat baik tulisannya. Saya lebih sukakan novel ini berbanding Ayat-Ayat Cinta. Sebabnya? Banyak masalah dalam novel ni. Saya suka perkara-perkara bermasalah dalam dunia ini. Novel bermasalah. Filem bermasalah. Segala perkara yang ada rencam masalah adalah kegemaran saya.

Husna

Husna adalah adik kepada Azzam dalam novel Ketika Cinta Bertasbih. Saya sangat dekat dengan watak ini. Saya adalah anak yang paling bermasalah. Saya di antara adik beradik yang paling banyak di’sesah’. Sampaikan bila adik saya melihat stetoskop saya, dia cakap – Kau hanya tidak kena ’sesah’ dengan ni sahaja lagi. Memang saya anak yang paling degil. Sememangnya saya merupakan ujian besar buat ayah dan ibu saya. Titik perubahan? Apabila saya mengenali tarbiah. Masih banyak lagi yang perlu diubah dan saya akui saya sememangnya memerlukan tarbiah. Tarbiahlah yang mengubah Saidina Umar yang garang itu. Insya Allah, saya mahu berubah dan saya mahu mengikuti tarbiah ini sampai akhir hayat.

Althafunnisa’

Anna Althafunnisa’, itu nama heroin Ketika Cinta Bertasbih. Suka nama Althafunnisa’ – selembut-lembut wanita. Masalah novel semuanya merakamkan peribadi perempuan dan lelaki yang sempurna. Dulu naqibah saya pernah tanyakan pada anaknya, betul ke ada lelaki sebaik Fahri (hero dalam novel Ayat-Ayat Cinta) dalam dunia? Anaknya jawab, kalau Allah nak jadikan lelaki sebaik tu, adalah lelaki tu kat dunia ini. Saya tidak percaya pada kesempurnaan. Tapi bila fikirkan semula kekuasaan Allah, tidak mustahil ada wanita dan lelaki yang sempurna. Tapi kena ingat satu perkara. Peribadi Rasulullah SAW yang paling sempurna.

Azzam

Saya sukakan watak usahawan yang dibawanya. Dia mengusahakan bakso sewaktu di alam pengajian lagi. Sangat seronok membaca turun naik kisahnya sebagai usahawan. Sejujurnya saya sukakan manusia yang bekerja sendiri. Saya sukakan manusia yang pakai motor kapcai tapi dari hasil titik peluh sendiri berbanding manusia kaya yang mewarisi kekayaan dari keluarganya. Saya tidak pernah pandang orang kaya yang kaya sebab kekayaan keluarganya. Faham ke? Saya merepek lagi..

Habiburrahman

Saya mendengar temubualnya semasa dia di Singapura. Katanya, semasa menulis, tulislah dari hati, jangan difikirkan sangat soal tatabahasa dan lainnya. Setelah siap menulis kelak, barulah difikirkan soal nahu, tatabahasa dan hal-hal lain yang memerlukan pemikiran. Ya, tulislah dari hati.

Filem Ketika Cinta Bertasbih

Novel ini pun akan difilemkan. Tapi saya lebih sukakan novel berbanding filem. Tulisan menceritakan segala-galanya. Novel ini sangat baik dan sangat ’berilmu’. Terlalu banyak perkara yang saya pelajari dari novel ini.

Tuesday, July 08, 2008

Masa...

Tanggungjawab

Tanggungjawab sentiasa bertambah. Tidak pernah berkurang. Tanggungjawab yang ada melebihi masa yang ada. Terfikir-fikir juga cara terbaik membahagikan masa agar adil pada semua.

Jemputan Umrah

Mak minta saya tulis sesuatu dan menghantar tulisan tersebut ke rancangan Jemputan Umrah. Memang rindu nak pergi sana lagi. Dulu pergi selepas darjah 6. Saat itu memang tidak matang langsung. Tapi entahlah. Ada hal yang lebih utama. Salahuddin AlAyyubi tidak sempat menunaikan haji kerana berjuang untuk Falesteen.

Negeri-negeri Islam lain

Pada saya perjuangan Falesteen lebih utama dari perjuangan membebaskan negeri-negeri Islam lain. Saya tidak memperkecilkan negeri-negeri Islam lain. Cuma saya percaya satu perkara. Pembebasan Falesteen bermakna pembebasan semua negeri Islam yang lain. Sesiapa yang menguasai Falesteen akan menguasai dunia. Sejarah telah membuktikannya. Kedudukan Falesteen adalah strategik, terletak di tengah-tengah peta dunia. Zionis percaya pada peristiwa Isra’ dan Mikraj. Zionis percaya ada jalan ke langit di Falesteen. Sebagai Muslim, kamu percaya?

Politik Malaysia

Semakin hari, semakin kotor. Konspirasi yang dibincangkan menyebabkan semuanya lari dari fokus. Orang dah tak nampak isu kezaliman ISA, menolak kepimpinan Pak Lah dan lainnya. Dah bosan dengar nama AlTantuya dan kalimah @#$$#. Kalau hadam tafsir AlQuran, nak sebut @#$#@ tu pun terasa menakutkan. Tapi menjadi kebiasaan pula di Malaysia. Memalukan dan menyedihkan.

Pakcik H

Kalau saya jumpa pakcik H, saya asyik nak ketawa sahaja. Saya ingat lagi seorang ustaz yang kelihatan thiqah pada mulanya, kehilangan thiqahnya setelah bertemu pakcik H. Tapi pakcik H ni baik sangat. Setiap kali saya berjumpanya saya pasti teringat lagu Small Deed. Dia kaya tapi tawadhu’. Anak angkatnya, seorang gila dan seorang lagi merupakan pesakit Down Syndrome tapi dah dewasa. Pakcik H akan ke rumah orang-orang yang seperti anak angkatnya dan sentiasa membelanja mereka. Anak-anak angkat dia memang terjaga. Anaknya sendiri yang akan memberi ubat pada anak angkatnya. Semua orang sayangkan pakcik H dan isterinya.

Roti Anas

Itu nama anak angkat pakcik H yang menghidap Down Syndrome. Asal usul nama tu? Waktu mula-mula pakcik H jumpa Roti Anas, pakcik H berikan dia roti. Roti tu panas. Dan Roti Anas menjerit-jerit – “Roti anas! Roti anas!”. Nama Roti Anas itu terasal dari kejadian tu. Tidak siapa tahu nama sebenarnya. Semalam bila saya jumpa Roti Anas, dia nak puasa pada mulanya. Tapi tiba-tiba dia ambil Eno dan nak minum, sambil tunjukkan gaya kuat. Dia cakap minum Eno akan jadi kuat. Rasa terhibur juga tengok gaya Roti Anas. Bila saya jumpa dia, saya teringatkan Stephani. Kisah Stephani, saya ceritakan nanti.

Telur Itik

Pakcik H nak buka kedai roti dan kek. Dia mencari-cari orang yang dapat buat kaya yang sedap. Isterinya pun cakap yang nenek saya pandai buat kaya. Tiba-tiba pakcik H jawab, “Kalau buat kaya dengan telur itik, mesti sedap”. Puas saya gelak waktu tu. Kaya guna telur itik? Hmmm...

Perniagaan

Bila saya jumpa pakcik H, saya rasa macam nak sangat berniaga sekarang ni. Atuk,ayah dan keluarga saya semuanya berniaga. Sedikit sebanyak darah tu juga yang mengalir dalam diri saya. Tunggulah lepas tamat belajar nanti. Nak kumpul duit dan nak berniaga. Saya ingat lagi kisah Abdul Rahman bin Auf. Bila dia sampai Madinah, dia tanya kat penduduk Madinah, di mana pasar? Dan dia mula berniaga. Saya pun nak jadi macam dia ...nak jadi kaya..nak tolong Islam...

Sunday, July 06, 2008

Ilham...

Ni kisah manusia-manusia lain, tapi cukup memberikan saya tamparan pengajaran yang tiada terhingga:

Qiam

“Bagaimana rasanya untuk merasai kemanisan qiamullail dan bertaqarrub denganNya di malam hari?”

”Insan yang dapat merasai kemanisan di malam hari adalah mereka yang telah berusaha di pagi hari”.

Terasa tak? Saya terasa gila. Saya belum berusaha sehabisnya di siang hari. Qiam bukan bermaksud boleh bangun sahaja, tapi juga merasai kemanisannya. Siapakah dia yang dapat merasai kemanisannya? Jawapannya ada dalam dialog di atas.

Televisyen

Seorang daie pernah ditanya dalam sesi orientasi, apakah satu sifatnya yang berbeza dengan semua orang. Katanya dia tidak menonton televisyen. Semua manusia tercengang-cengang. Tidak tengok tv? Apa yang dia lakukan? Dakwah mengisi masanya sehingga tidak berkesempatan untuk menonton televisyen. Tanggungjawab yang kita ada lebih banyak daripada masa yang kita ada.

Terasa tak? Saya terasa lagi. Tidak kuat rasanya duduk di rumah. Kadang-kadang mata melirik juga.

Suami isteri

Seorang suami dipukul sewaktu berdakwah di komuniti yang dikuasai oleh puak Kristian. Cuba memberitahu isteri. Tahu apa jawab isteri? “Teruskan, jangan toleh ke belakang. Anta syahid dulu daripada ana”. Masya Allah...

Kegagalan

Saya jumpa kata-kata ini dalam blog seseorang. Saya tidak berapa faham. Tapi seakan-akan tersimpan makna yang cukup mendalam. Cukup memberikan saya motivasi.

"Apabila kami bertekad dan bercita-cita (himmah) untuk melakukan sesuatu dan tekad dan cita-cita itu berjaya dilakukan, kami merasa gembira sekali sahaja, tetapi jika tekad dan cita-cita yang telah diatur itu gagal menemui matlamatnya, kami gembira sepuluh kali. Ini kerana dengan kegagalan tersebut, terealisasilah pengenalan kami terhadap Allah (ma'rifatullah) dengan ertikata yang sebenar".

Mungkin juga saya faham kata-kata ni. Kesusahan dan kegagalan adalah jalan untuk keluar dari kegelapan. Setelah susah dan gagal, barulah cahaya akan datang dan akan bertemu makrifatullah. Kalau baca buku tasawwuf, kita akan faham hal ini.

Penentang

Saya tidak faham satu perkara. Bagaimana seseorang yang pernah berada dalam jalan dakwah ni dan pernah memahami sunnatullah jalan ini menjadi penentang yang hebat?

Ilham

Bila baca catatan dakwah insan lain, saya menangis. Saya pula bagaimana? Akhirnya Allah beri ilham.

Saturday, July 05, 2008

Buat kerepek lagi...

Anwar AlAwlaki

Bicaranya begitu dekat di hati. Syukur padaNya yang menemukan saya dengan tokoh ini meskipun sekadar mendengar bicara audionya melalui pencarian di laman maya. Terlalu banyak videonya di Awaktiub.

Tafsir Fi Zilalil Quran

Hari ini ayah belikan keseluruhan jilid tafsir ini. Terlalu kagum dengan penulisnya, Assyahid Syed Qutb. Bagaimana dia boleh menulis sebanyak itu? Kebanyakan tulisannya dihasilkan di penjara. Tanpa kelengkapan yang sempurna, dia mampu menulis. Adiknya pula membantu menyeludup tulisannya. Dan hari ini saya dapat membacanya. Dia mampu menulis sebanyak itu sedangkan saya, untuk menghadam dan membacanya sahaja seakan tidak punya kudrat dan masa. Saya malu. Anwar AlAwlaki juga menulis komen berkenaan tafsir ini.




Auditory learner

Saya merupakan auditory learner. Kemampuan membaca yang ada pada saya kian merosot. Banyak buku yang dibeli tapi tidak sempat dihadam.

Pengunjung blog

Semakin hari, saya semakin bimbang melihat statistik kehadiran pengunjung blog ini. Saya amat berharap agar saya tidak menyesatkan pembaca dengan tulisan-tulisan saya. Hanya Allah sahaja yang mampu menyelamatkan semua.

Badan Bookstore

Banyaknya buku yang ada. Bestnyer kalau saya ada kedai buku sebesar itu. Kalau nak sangat buku-buku tu, kahwinlah dengan anak pemilik kedai buku tersebut…hmmm.. nak tak? (Kerepek semata-mata, tiada kaitan antara yang hidup mahupun yang telah dicabut nyawanya oleh Izrail)

Johor

Benci untuk menggambarkannya. Rakyat negeri ini hanyut dengan pembangunan. Saya benci melihat kehadiran TESCO yang merata-rata di sini. Yahudi dengan rasa seronok melabur di negeri ini. Duhai Afeera, Rasulullah SAW boleh ubah orang yang bogel untuk hidup dalam naungan AlQuran. Insya Allah, rakyat kat Johor ni masih pakai baju, masih boleh diubah. Optimislah.

Racun...


Seolah-olah Allah menunjukkan jalanNya saat saya mendengar kuliah Sheikh Anwar Al Awlaki berkenaan dengan kisah Nabi Lut. Pada permulaan kuliahnya lagi saya sudah terasa. Saya bukan seperti dulu. Saya yang kini adalah insan yang kononnya cuba mencari sesuatu yang disukai manusia dan saya berdakwah ke arahnya. Konon-kononnya dengan cara itu saya dapat mendekati manusia. Konon-kononnya itu adalah hikmah.

Saya ingat lagi saya pernah bertanya seseorang yang hebat dalam dunia dakwah mengenai nahi munkar. Katanya, menegur maksiat dengan mengatakan ini tidak boleh dan itu tidak boleh adalah ’silly thing’. Dan saya sentiasa merasa bersalah atas apa yang pernah saya lakukan di matrikulasi suatu ketika dulu. Terasa bahawa saya melakukan ’silly thing’ saat saya menegur maksiat dan pasangan couple dulu.

Lantas saya berada dalam konflik diri yang tidak terhingga. Saban waktu apabila saya melihat pasangan couple dan maksiat, saya jadi penasaran. Andai saya tegur, saya melakukan ’silly thing’. Tidak tegur membuatkan saya terasa bahawa saya ’redha’ dengan maksiat tersebut. Dan perasaan tersebut lebih menyesakkan jiwa. Dosa mereka membuatkan saya terasa bahawa saya yang melakukan dosa tersebut. Hingga akhirnya berlaku sesuatu yang meragut ketenangan saya.

Tapi tadi baru saya memahami bahawa apa yang pernah saya lakukan di matrikulasi dahulu adalah betul. Bukan apa yang saya lakukan kini. Dakwah bukanlah mengajak manusia kepada sesuatu yang disukai mad’u semata-mata. Dakwah juga bermakna menyentuh hal-hal yang menjadi racun dalam suatu komuniti. Andai ada insan yang tidak bertudung, menjadi kewajipan untuk berbicara mengenai aurat. Andai ada kezaliman dalam sistem politik, kita perlu menegur hal-hak tersebut. Bila ada yang merokok menjadi kewajipan untuk menyentuh isu tersebut. Bukan melarikan diri. Saya yang kini adalah saya yang melarikan diri dari masalah ummah. Saya cuba menarik manusia ke arah yang disukainya. Saya cuba menyentuh segala macam perkara yang dirasakan ‘best’ oleh manusia. Saya tidak mahu menyentuh mengenai isu politik kerana saya merasakan bahawa hal itu boleh menyebabkan mad’u saya lari. Saya tidak mahu menyentuh hal-hal kontroversi. Astaghfirullah, moga Allah mengampunkan dosa saya atas apa yang telah saya lakukan.

Kata Sheikh Anwar Al Awlaki, manusia akan menyukai daie yang menyentuh hal-hal yang disukainya. Tapi itu bukan cara para anbiya’ utusan Allah. Utusan Allah adalah mereka yang menyentuh isu tertentu yang menjadi permasalahan dalam masyarakat. Dan itu yang menyebabkan para nabi utusan Allah berdepan dengan onak duri perjuangan dakwah kerana manusia-manusia engkar tidak akan sesekali mahu mendengar sesuatu yang tidak enak pada telinga mereka. Manusia tidak menginginkan daie yang akan bercakap mengenai masalah mereka. Manusia tidak menginginkan daie yang akan menegur kesalahan mereka. Manusia hanya mahukan daie yang akan membuatkan mereka berasa selesa. Semua anbiya’ utusan Allah adalah mereka yang menyentuh racun yang ada dalam komunitinya. Tapi kata Sheikh, jarang sekali kita mengikuti metod yang ditunjukkan oleh para anbiya’ utusan Allah kerana kita lemah. Tapi menjadi tanggungjawab kita untuk berdepan dengan realiti dan mengikuti method para anbiya’. Agama Allah diturunkan untuk menyelesaikan permasalahan yang ada. Dan dia meneruskan kuliahnya berkenaan dengan Nabi Lut yang menegur persoalan masyarakat ketika itu yang menyebabkan dia dibenci dan diuji.

Alhamdulillah, Allah masih memberikan saya peluang untuk menambah kefahaman. Moga Allah mengampunkan dosa saya yang hadir disebabkan kejahilan saya.

Sambungan...


Artikel sebelum ini bukan bertujuan untuk memperkecilkan mana-mana skop pekerjaan. Semua pelajar perubatan, kejuruteraan atau apa-apa sahaja kursus lain pastinya maklum bahawa peluang dakwah terbuka luas di hadapan mereka. Persoalan yang cuba dikupas adalah dakwah.

Akan timbul satu keadaan bila kita tertanya-tanya, kalau dah jadi doktor misalnya, perlu ke kita menyambung pelajaran untuk post-graduate? Kalau dengan menjadi doktor sahaja, kita dah boleh menarik manusia lain, perlu ke nak sambung belajar lagi untuk menjadi pakar?

Bila kita berhadapan dengan konflik ini, persoalan yang perlu kita tanyakan pada diri adalah persoalan dakwah. Kalaulah dengan menyambung pelajaran tu kita mampu nak menarik pelajar perubatan atau rakan sekerja kita pada dakwah, maka sambunglah belajar. Perlu ke kita nak buat research? Kalau dengan buat research tu kita mampu menarik ramai saintis kepada Islam, maka buatlah research tu. Kalau seorang guru pula, perlu ke dia nak sambung study? Kalau dengan dia menyambung pelajaran, dia akan dihantar untuk mengajar di pusat matrikulasi atau pusat pengajian tinggi dan dia boleh menarik lebih ramai syabab dan rijal untuk bersama dengan dakwah, maka sambunglah belajar.

Dalam setiap perkara yang kita lakukan, persoalan dakwah perlu berada di hadapan. Kenapa nak kahwin? Kalaulah dengan berkahwin tu bermanfaat pada dakwah, berkahwinlah.

Kenapa nak tidur? Kalau dengan tidur tu mampu memberi kita kekuatan untuk menyambung dakwah keesokan harinya, tidurlah.

Kenapa nak makan? Kalau dengan makan tu, mampu memberi tenaga dan kekuatan pada dakwah, makanlah.

Kenapa nak kentut atau berak? Sebab kalaulah dengan kentut dan berak, kesihatan diri lebih terjaga, kita menjadi sihat dan kita mampu untuk berdakwah, kentut dan beraklah.

Kenapa nak beli rumah? Dengan adanya rumah, kita boleh menjalankan usrah di rumah dan mampu menjaga kelangsungan dakwah, maka belilah rumah.

Kenapa nak beli kereta? Dengan adanya kereta, kita mampu untuk berjalan ke tempat-tempat dakwah, maka belilah kereta.

Kenapa nak beli Mercedes Benz? Sebabnya akan sampai ke tempat dakwah dengan lebih cepat, maka belilah kereta Mercedes Benz.

Kenapa nak jadi kaya dan terlibat dengan perniagaan? Sebab dengan jadi kaya, kita mampu berjuang, maka berusahalah untuk menjadi kaya.

Dalam setiap perkara yang kita lakukan, persoalan dakwah yang perlu ada dalam minda kita. Apa yang mampu kita berikan pada dakwah dengan apa yang kita lakukan? Sentiasa tanyakan persoalan tersebut pada diri kita sendiri. Sebab hidup ini perlu digunakan untuk dakwah.

Bila kita faham konsep ini, kita tidak lagi berada di dalam kekeliruan. Contohnya esok nak exam, dan malam ini ada program dakwah, mana yang perlu kita utamakan? Utamakanlah study sebab dengan belajar dan lulus dalam peperiksaan tu, kita mampu memelihara kelangsungan dakwah. Bukan dengan pergi ke program dan gagal dalam peperiksaan, lepas tu kena marah dengan mak ayah sampai tidak boleh lagi terlibat dengan dakwah.

Tapi awas. Seandainya kita mampu menonton televisyen selama 10 jam sehari, tapi bila diajak untuk menghadiri program dakwah, kita memberi alasan untuk study, awaslah. Sebabnya Allah melihat perbuatan kita dan mengetahui segala bisikan hati. Kekuatan dakwah yang menjadi motivasi untuk lebih berjaya. Kekuatan dakwah juga yang mengajar kita untuk menjadi manusia yang pandai menguruskan masa. Andai untuk berjaya di dalam kehidupan dunia ini memerlukan kita memahami sunnatullah, percayalah bahawa jalan dakwah ini juga mempunyai sunnatullah.

Di sini, ada perkongsian yang dipetik dari http://muntalaq.wordpress.com sebagai muhasabah buat kita. Klik sini dan sini.


Moga hidup ini dipergunakan demi dakwah, bernafas daripada udaranya, merindu dan mengharap bahawa pada suatu hari kelak Allah akan menyinari hati umat manusia, dalam hidup mereka sekarang dan masa depan.

Teori pokok kelapa..

Tangan kanan saya sakit. Hmm...merangkak-rangkak saya menaip entri ini. Moga Allah mentakdirkan yang terbaik buat tangan kanan saya.

---------------------------------

Hari ini kita akan belajar satu lagi teori. Teori pokok kelapa. Teori ini pada asalnya dinamakan teori pokok getah, tapi disebabkan tiada gambar pokok getah di dalam simpanan, jadilah teori ini teori pokok kelapa.

Gambar ini diambil di Perak.


Gambar ini pula diambil di Sabah.

Cuba tengok gambar ni betul-betul. Bayangkan ada pengait kelapa di dalam gambar ini.

Ceritanya begini. Pada suatu hari, datang seorang doktor bertemu dengan pengait-pengait kelapa ni. Doktor ni pun tunjuklah gambar ni. Doktor ni pun memberikan pidatonya.

“Wahai pengait-pengait kelapa sekalian. Ini adalah gambar pokok kelapa. Pokok kelapa ini warnanya hijau dan pastinya pengait-pengait kelapa sekalian lebih arif dari saya mengenai pokok kelapa. Cuba lihat gambar ini betul-betul. Ada seorang pengait kelapa di tengah-tengah rimbunan pokok kelapa. Pengait kelapa ini perlulah menjaga kesihatan. Pengait kelapa perlulah menjaga kesihatan kerana dibimbangi pengait kelapa boleh terkena penyakit seperti diabetes mellitus, hypertension, carpal tunnel syndrome...bla..bla..bla..”.

Doktor tersebut dengan gaya syok sendirinya membuatkan para pengait kelapa tercengang-cengang mendengar segala macam istilah perubatan yang entah apa-apa itu.

Cuba kita tukar situasi pula. Bayangkan seorang ahli fizik pula yang berjumpa dengan pengait kelapa ini.

“Wahai pengait-pengait kelapa sekalian. Ini adalah gambar pokok kelapa. Pokok kelapa ini warnanya hijau dan pastinya pengait-pengait kelapa sekalian lebih arif dari saya mengenai pokok kelapa.Tahukah pengait-pengait kelapa sekelian bagaimana kelapa boleh jatuh dari pokoknya? Ini disebabkan oleh hukum Newton. Hukum ini diasaskan oleh Isaac Newton...bla..bla..bla..”.

Ternganga mulut pengait-pengait kelapa mendengar istilah-istilah yang pelik-pelik itu.

Itu adalah dua cerita ringkas. Berlaku tak situasi-situasi ini dalam kehidupan kita?

Ya, berlaku. Contohnya, kalau kita buat survey dan tanya kat adik-adik atau sahabat-sahabat kita, kenapa kamu nak jadi doktor / jurutera / ahli matematik dan lain-lain, antara jawapan yang akan kita dengar ialah kerana ingin berdakwah. Kenapa tak jadi ustaz? Jawapannya, ilmu ini adalah ilmu Islam. ”Saya nak ajak orang memahami ciptaan Allah pada diri mereka dengan memperkenalkan ilmu perubatan. Saya ingin mereka memahami ciptaan kornea, fornix, hippocampus dan lain-lain.”

Kita akan berjumpa dengan ramai golongan yang ingin berdakwah dengan ilmu perubatan, kejuruteraan, matematik, farmasi dan lain-lain. Salah ke? Tak salah. Tapi siapa yang akan faham? Kalau dengan rakan-rakan sekuliah dan sekursus, mungkinlah mereka akan faham. Tapi kalau dengan pakcik-pakcik, makcik-makcik, mat rempit, bohsia, bohjan, kanak-kanak sekolah, pelajar-pelajar di sekolah menengah dan lainnya, adakah mereka akan memahami dakwah yang berlatarbelakangkan ilmu perubatan, kejuruteraan, matematik dan yang lain-lain? Bimbang sekiranya mad’u kita menjadi seperti pangait-pengait kelapa yang tercengang itu.

Hakikatnya tidak ramai yang faham. Lain tu mengapa perlu belajar perubatan, matematik, kejuruteraan dan lain-lain? Salah ke kalau belajar dalam kursus tersebut?

Tak salah. Ingat lagi tak kisah hadis ghulam? Kalau terlupa, boleh sahaja sahabat-sahabat mencarinya di bahagian message di laman yahoogroup. Kenapa ghulam tu belajar lagi ilmu sihir sedangkan dia tahu ilmu rahib yang betul? Sebabnya ilmu tu digunakan untuk menyihir hati manusia, bila orang dah percaya, ghulam tu cakap Allah yang sembuhkan.

Macam tu juga dengan kita. Nak jadi doktor sebab nak ‘sihir’ hati manusia. “Saya adalah Dr Z”. Gempak tak di mata pakcik-pakcik, pelajar-pelajar matrikulasi yang memang bercita-cita nak buat medic? Insya Allah, gempak. Nak sombong ke dengan pangkat doktor tu? Tak. Nak buat apa dengan pangkat doktor tu? Bila dah dapat tawan atau ‘sihir’ hati manusia tu, kamu dakwahlah dia pada Islam. Dengan ilmu medic ke? Tak. Dengan apa? Dengan AlQuran.



“...dan berjuanglah terhadap mereka dengannya (AlQuran) dengan semangat perjuangan yang besar”. (AlFurqan – 25:52)

Kenapa kena dakwah dengan AlQuran? Sebabnya Allah jamin AlQuran ni untuk semua. Tidak kiralah dia petani ke, pengait kelapa ke, doktor ke, jurutera ke, angkasawan ke, insya Allah semua orang pasti tertarik dengan AlQuran. Tidak kira siapapun, hatinya pasti tersentuh dengan AlQuran. Macam kitalah jugak, kalau ada masalah, kita akan ambil Quran tafsir, buka mana-mana muka surat dan Insya Allah, pasti Allah temukan penyelesaian, jawapan dan ketenangan hati dengan membaca Al Quran.

Menjadi tanggungjawab kita untuk mempelajari AlQuran. AlQuran adalah sumber rujukan kita. Walau macam mana besar pun masalah kita, sebolehnya kita nak rujuk AlQuran. Kalau kita imbas waktu zaman Rasulullah SAW dulu, kalau ada hakim pun, hakim tu macam tiada kerja. Sebabnya semua masalah, orang rujuk AlQuran.

Dalam satu kisah benar tu, seorang Muslim ni naik kapal terbang. Duduk pasangan mat saleh di sebelahnya. Dia cakap dengan mat saleh tu, boleh tak kalau dia nak cerita tentang Islam? Pasangan mat saleh tu kata, boleh. Dan waktu mat saleh ni turun dari kapal terbang, Masya Allah dia telah menjadi Muslim.

Berdasarkan ayat di atas berjihad dengan AlQuran adalah jihad yang besar. Dakwah ini dimulakan oleh Rasulullah SAW dengan AlQuran. Modalnya hanya air liur sahaja. Kalau tidak pandai bercakap? Cubalah gunakan apa sahaja kelebihan yang ada demi dakwah ini.

Kenapa nak jadi doktor, jurutera dan lainnya? Sebabnya perkara-perkara itu yang dipandang oleh masyarakat hari ini. Apabila kita dah dapat ’menyihir’ hati masyarakat dengan pangkat doktor, jurutera dan lainnya, kita akan berdakwah dengan Al Quran. Di saat kita mengutip mutiara-mutiara ilmu dalam bidang masing-masing, jangan lupa untuk mempelajari ilmu berkenaan dengan AlQuran. Sebabnya? Kita akan gunakan AlQuran untuk berjihad =)

Thursday, July 03, 2008

Dr Fatma..

Salah satu penceramah kegemaran saya ialah Dato’ Dr Fatma El Zahraa Mohd Ramadhan. Badannya comel juga dan ada kalanya hadir menghiasi rancangan Motivasi Pagi, AlKuliyyah dan lain-lain. Saya pernah terbaca bahawa dia adalah cucu Assyahid Hassan Al Banna. Saya pernah mencari tentangnya beberapa kali tapi seringkali hampa. Tapi tadi Allah menemukan saya dengan biodata ringkasnya. Masya Allah, rupanya dia berkelulusan dalam bidang pergigian dari Universiti Cairo. Dia menyambung pengajian dalam bidang Master di London dalam bidang oral surgery. Dia juga mempunyai kelulusan di dalam Higher Islamic Studies dari Universiti Al Azhar, Cairo.

Kata-katanya pasti menyentuh hati. Dengan lenggok arabnya, dia berjaya menarik hati saya untuk mendengar. Dia membaca ayat-ayat AlQuran dengan penuh makna. Seringkali saya mencari-cari kuliahnya. Hati pasti terpaut untuk mendengar kuliah tafsirnya tapi sayang rancangan-rancangan seperti ini ada kalanya ditayangkan di saat-saat manusia lain sudah berada di alam mimpi.

Sungguh tadi saya terpana seketika mengikuti rancangannya di saluran astro Oasis di dalam rancangan Al-Rayyan. Topiknya berkisar mengenai rezeki. Dia menyebut juga hadis kesukaan saya. Allah tahu sesetengah manusia akan rosak sekiranya dia miskin, dan Allah akan memberikannya harta. Ada pula yang akan rosak dengan harta lantas Allah menjadikannya miskin. Ada yang rosak apabila sakit, maka Allah memberikannya kesihatan. Dan ada pula yang akan rosak dengan kesihatan, maka Allah memberikannya sakit.

Tetamu jemputannya tadi adalah Mawi. Masya Allah, Dr Fatma begitu berani untuk bertanyakan soalan-soalan yang agak mengejutkan. Saya percaya tiada penceramah seberaninya. Dengan lenggok arab dan gaya keibuannya, soalan-soalan tersebut kelihatan sesuai. Namun hakikat di sebalik soalannya pasti menyentak hati sesiapa yang memahaminya.

“Mawi tak rasa ke rezeki yang Allah beri ini adalah istidraj?” Dr Fatma kemudiannya menghuraikan makna istidraj.

“Saya selalu dengar world..world..(Mawi world)..Apa maksudnya world ni??” Mawi menjawab bahawa world adalah gempak ataupun bagus. Dr Fatma menjawab kembali, “Dunia mana ada gempak atau bagus”. Mawi terpaksa rephrase semula kata-katanya.

Antara soalan lainnya berkenaan solat.

”Mawi jaga solat ke?”

”Jaga”.

”Jaga waktu solat ke?” Ada qadha’ ke?”

”Dulu memang jaga. Sekarang ni dah tak dengar azan. Nak cuci make-up. Sebenarnya boleh buat. Tiada alasan”.

Soalan berkenaan dengan perkahwinan:

”Ada perancangan untuk berkahwin?”

”Semua orang pastinya ingin berkahwin dan memiliki keluarga”

”Kalau isteri kamu artis?”

”Kalau Allah takdirkan isteri saya artis, saya redha”.

”Ada syarat ke nak pilih isteri?”

”Syarat?” (saya pun tertanya-tanya juga dengan maksud syarat yang Dr Fatma maksudkan)

“Tutup aurat?”

“Oo.. Kalau boleh, biar solehah”.

”Balik selalu jumpa mak?”

”Dua kali sebulan”

”Telefon selalu?”

”Selalu”

”Kena jaga hubungan dengan keluarga. Insya Allah murah rezeki.”

Semua dialog tu bukan bulat-bulat. Itu yang saya ingat. Tapi cukup untuk saya katakan, Dr Fatma sungguh berani bertanya soalan. Soalan berkenaan istidraj tu menyentak hati saya. Moga Allah memberkati perjalanan dakwahnya dan merahmatinya.

(Istidraj = perkara luar biasa yang berlaku ke atas orang fasik atau kafir sebagai tipu daya buat mereka. Ia akan menambahkan lagi kejahilan dan kebodohan mereka sehinggalah balasan Allah s.w.t menimpa mereka di dalam keadaan mereka lupa.)
There was an error in this gadget