Sunday, June 29, 2008

Makan-makan dan masak-masak...


Bagi sahabat-sahabat yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi, buat sehabis baik dan serah segalanya pada Allah. Saya kongsikan kata-kata seorang sahabat kepada saya semalam - Tawakal kembarnya redha. Bila di awal, kita mula dengan tawakal yag bulat, di akhir akan ada redha yang bulat. Semoga berjaya.

Kita tinggalkan sebentar hal-hal berkenaan dengan peperiksaan. Hari ini kita cerita tentang makan-makan dan masak-masak pula. Saya kongsikan ilmu yang saya perolehi dari musafir saya bersama keluarga semalam dalam catatan ini.

Banyak sebenarnya faedah makan-makan dan masak-masak ini. Kami adik beradik sememangnya ’terlekat’ hati dan perasaan kat rumah walau di mana kami dicampakkan. Salah satu sebabnya kerana kami merasai kasih sayang ibu kami dalam masakannya. Kalau di ambang peperiksaan, kita biasa spot soalan, ibu kami pasti dah spot soalan yang akan kami tanya setiap kali kami telefon - ”Mak masak apa hari ini?”. Bagi kami, rumah adalah kerehatan dan ketenangan.

Penting sebenarnya bagi seorang isteri atau ibu untuk memasak buat keluarganya. Itulah satu-satunya cara untuk mengekalkan kebahagian rumah tangga. Tapi tidak semestinya asyik isteri atau ibu sahaja yang perlu memasak. Sesiapapun boleh. Andai kita bermasalah dengan isteri, masakkanlah untuk isteri. Kalau bermasalah dengan mak atau ayah, masakkanlah untuk mereka. Percayalah, hati kita akan lebih dekat dengan mereka yang memasak untuk kita.

Penting juga untuk makan bersama. Di awal perkahwinan mak dan ayah dan sewaktu kami masih kecil, kami sering makan bersama di dalam talam. Cuma memandangkan bilangan ahli keluarga yang semakin bertambah dan saiz masing-masing yang turut membesar, kami mengubahnya dengan makan bersuap. Selalunya mak akan suapkan kami. Meskipun kami dah besar panjang, kami tidak pernah malu meminta disuap. Kami rasa sungguh terikat. Kita juga pastinya rapat dengan sahabat-sahabat yang pernah makan bersama dengan kita.

Buat mereka yang sudah berkahwin pula, jangan biarkan acara menyuap pasangan hanya di hari perkahwinan, teruskan budaya tersebut selamanya. Insya Allah, makin akrab.

Kalau ada masalah dengan anak-anak yang tidak berselera untuk makan pula, ambil sahaja dulang atau talam. Makan sekali dengan anak-anak. Kami dulu sungguh teruja untuk makan di dalam dulang atau talam bersama ibu bapa kami.

Saya percaya masalah keluarga dan sosial hari ini dapat diselesaikan dengan aktiviti makan-makan dan masak-masak ini. Ada juga kawan-kawan saya yang terlibat dengan zina yang menyalahkan ayah dan ibu mereka. Kata mereka, ayah atau ibu mereka terlalu garang. Nasihat saya jangan salahkan keluarga. Keluarga kita adalah insan-insan yang telah ditentukan oleh Allah untuk bersama-sama di alam ini. Mungkin sahaja kita boleh memasak untuk melembutkan hati mereka. Kekurangan yang ada dalam keluarga kita itulah yang mungkin akan menjadi kekuatan buat kita. Kita mengambil pengajaran dan belajar dari kekurangan tersebut untuk mendidik keluarga kita sendiri kelak. Mungkin juga kesabaran kita dalam berhadapan dengan kekurangan mereka, akan menyebabkan kita dikurniakan Jannatul Firdaus. Mereka adalah pasukan pilihan Allah pada kita. Hati-hati dengan bisikan syaitan yang cuba memecahkan pasukan pilhan Allah.

Andai kita punya masalah dengan jiran, tidak tahu cara terbaik untuk berkomunikasi dengan mereka, berilah makanan yang kita masak pada mereka. Insya Allah hati mereka pasti lembut meskipun mereka bukan Islam. Nyonya di hadapan rumah saya ada kalanya memberikan ikan bilis kepada ibu untuk dibuat ’sambal tumil’ buatnya dan juga keluarga saya. Memberi makanan juga akan memecahkan tembok di antara jiran bila perbualan bermula dengan bertanyakan resepi dan hal lainnya.

Mungkin sahaja hal-hal kecil ini akan membentuk suatu yang besar. Saya sudahi catitan ini dengan lagu Small Deeds dari kumpulan Native Deen. Boleh sahaja sahabat-sahabat mencarinya di Youtube. Jom masak-masak dan makan-makan. ’Grand plans expand in our small little hands’.

Friday, June 27, 2008

Sedih...


Apabila saya khabarkan pada manusia lain bahawa saya lulus dalam peperiksaan professional saya yang pertama, saya pasti tidak sesiapapun mengetahui hakikat kepahitan di sebaliknya. Saya lulus tetapi Allah tidak mentakdirkan saya secemerlang sahabat-sahabat saya yang lain. Dan itulah yang terbaik yang Allah tentukan buat saya.

Selepas keputusan peperiksaan diumumkan, terdapat beberapa pensyarah yang memberikan ucapan. Saya terkesan yang amat mendengar kata-kata seorang pensyarah. Saya akui ‘aura’nya sehinggakan sewaktu peperiksaan OSCE, saya terkandas di stesennya. Ketakutan yang sukar diungkapkan apabila melihat wajahnya dan di saat dia mengajukan soalan. Saya terlupa kebanyakan perkara yang perlu saya lakukan kerana ‘aura’nya.

Dia bercerita mengenai sebuah kisah yang sungguh masyhur. Saat dia bercerita, ada kalanya dia memandang tepat ke dalam anak mata saya. Kisahnya berkenaan dengan Imam Syafei. Saya pasti ramai yang dah tahu cerita ni. Ceritanya berkenaan satu maksiat kecil yang Imam Safei lakukan sehingga dia sukar menghafaz ilmunya. Kemudiannya pensyarah tersebut berkata bahawa dia bimbang akan virus-virus maksiat yang ada di dalam laptop, hati dan hal lainnya yang menghalang ilmu dari memasuki hati kami.

Lepas tu, dia tanyakan soalan. Kamu tak rasa bersalah ke lupakan ilmu yang pensyarah-pensyarah kamu ajarkan? Dapat bayangkan tak perasaan saya waktu tu?

Kalau pada mulanya saya jadi hamba yang bersyukur sebab lulus peperiksaan tapi selepas saat itu saya jadi sungguh tertekan. Seakan-akan terlekat sticker di dahi bahawa saya adalah ‘pendosa besar’ sehingga ilmu sukar masuk ke dalam hati saya. Waktu saya menelefon mak, saya menangis sebab saya terasa sungguh bodoh. Saya terasa saya adalah manusia yang memiliki ribuan, jutaan malah tidak terkira rasanya dosa saya.

Lepas tu adik saya, Zaid telefon. Saya pun ceritakan segala perkara yang terjadi. Tahu apa katanya? Kalau dia jadi saya, dia akan dengar dan kemudian masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Dia katakan pada saya bahawa saya sewajarnya bersyukur kerana saya lulus. Dia tanyakan pada saya, adakah saya telah berusaha? Saya katakan, ya. Dia suruh saya yakin dengan sebenarnya bahawa itu yang terbaik yang Allah tentukan buat saya setelah saya berusaha.

Kadangkala saya terasa sungguh benci juga sebenarnya mendengar kisah ini. Saya melihat manusia lain juga dalam tekanan kerana kisah ini. Status Yahoo Messenger kawan-kawan saya cukup mengambarkan betapa mereka juga tersiksa kerana kisah ini. Antara status mereka – “Pass with broken heart”, “Perbaiki diri, God engrave you due to your sin”, “Aku kini buta tanpa cahaya’ dan lainnya. Saya bukan membenci Imam Syafei tetapi saya tidak suka bila kisah ini digembar gemburkan sehinggakan kisah tersebut seakan-akan menjadi hukuman buat setiap manusia yang lemah seperti saya.

Masih banyak lagi kisah yang boleh diceritakan. Berikanlah motivasi bukan hukuman. Sunnatullah alam ini adalah taburan normal. Tidak semua manusia mampu menjadi hebat. Tidak semua manusia mampu menjadi seperti Imam Syafei yang menjaga diri dari maksiat lebih-lebih lagi di zaman kefasadan ini. Setiap diri sememangnya berusaha untuk menjauhi maksiat dengan apa jua cara. Adakah kami suka-suka untuk melupakan ilmu? Hanya Allah tahu betapa payahnya saya merangkak dalam perjalanan menuntut ilmu dalam bidang perubatan ini.

Saya pernah rasa tertekan belajar dalam bidang perubatan sehinggakan saya menginginkan kematian. Saya rasakan saat itu, saya dah puas hidup. Saya pernah luahkan rasa hati ini pada mak. Dia tanyakan kembali pada saya, ”Dah cukup amal ke?”. Saya katakan padanya, kalau esok lusa pun Allah cabut nyawa saya, pastinya amal saya tidak pernah cukup. Saya rasakan saat tu, dunia ini tiada lagi di hati saya. Saya bencikan dunia ni. Dan sebenarnya pengalaman mati hidup semula yang pernah saya lalui adalah teguran Allah buat saya atas keceluparan saya. Selepas beberapa hari melalui pembedahan dahulu, tube pada perut saya ditarik keluar tanpa bius. Sakitnya tidak mungkin saya lupa. Terlalu sakit. Tapi saat tu, saya tidak berani lagi nak cakap yang saya inginkan kematian. Saya tahu mati pun sesuatu yang perit dan menakutkan. Meskipun saya rasa tertekan dengan dugaan hidup, saya tidak mahu berputus asa lagi. Saya akan berusaha sehingga nyawa saya kembali mengadapNya.

Walaupun perit untuk saya menghadam kata-kata pensyarah saya, saya perlu melakukan muhasabah. Mungkin saya perlu melihatnya dari aspek yang lebih positif.

Saya petik serangkap kata dari sebuah buku yang saya baca - Engkau tidak akan menangis dengan kehidupan ini. Engkau akan memikul segala keperitan dengan senyuman. Segalanya akan menjadi emas dan permata di akhirat.

Thursday, June 26, 2008

Mujahadah...



Dulu saat kami melihat senior kami menduduki hari terakhir Profesional Exam dan pada keesokan harinya keputusan keluar, sempat kami katakan pada pensyarah kami, “Cepatnya keputusan keluar”. Dan pensyarah kami menjawab, “Itulah namanya Professional Exam. Semuanya adalah profesional”. Dalam hati terdetik juga, hisab Allah di akhirat kelak pastinya lebih cepat dan tidak mampu dibayangkan oleh manusia.

Dan hari ini kami pula melaluinya. Alhamdulillah, semuanya lulus dalam Professional Exam ini.

Sebelum menduduki hari peperiksaan yang terakhir, saya sempat membaca catatan blog Anwar AlAwlaki. Pasti setiap hati tersentuh membaca catatan dan pengalamannya di penjara. Dia merasai kemanisan membaca AlQuran dan berhubungan dengan Allah Taala. Katanya, AlQuran tidak akan membuka rahsianya buat mereka yang tidak membuka hatinya pada AlQuran. AlQuran tidak akan sesekali mencampakkan permatanya buat mereka yang tidak layak. Kadangkala saya seperti mahukan ujian seperti mana yang dilalui olehnya. Saya nak rasa kemanisan membaca AlQuran. Saya inginkan ujian seperti mana yang dilalui oleh Ibn Taimiah sehinggakan mampu membaca AlQuran sebanyak 80 kali dalam jangka masa yang pendek.

Saya inginkan ujian yang dilalui oleh Zainab AlGhazali sehinggakan saya dapat merasakan kemanisan bertaqarrub padaNya. Saya inginkan ujian agar tiap kali saya membaca ayat ke 5 dalam surah AlFatihah yang bermaksud, ” Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan”, saya dapat membawa makna dalam solat saya. Semua ini hanya akan dapat dirasai andai manusia diuji.

Hati kecil saya seakan berbisik mahu diuji dalam peperiksaan ini sebenarnya. Saya luahkan rasa hati ini pada seorang akak di sini. Kata-katanya menyedarkan saya bahawa saya tersilap dalam doa saya. Katanya, ”Mengapa tidak minta pada Allah agar diberi kekuatan untuk bermujahadah melakukan ibadah dan hal lainnya?”. Mujahadah? Melawan hawa nafsu? Saya tidak faham pada mulanya. Kemudiannya dia menerangkan lagi. Manusia bila diuji pastinya akrab dengan Allah. Sesiapapun pastinya begitu. Semuanya akan mengingati Allah di saat diri benar-benar keseorangan. Tapi mujahadah dan melawan hawa nafsu ini bukan mudah. Rasulullah SAW sangat menekankan tentang adanya jihad yang batin, maknawi atau jihad melawan hawa nafsu. Ketika balik dari satu peperangan yang dahsyat melawan kaum musyrikin, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Sahabat terkejut dan bertanya, "Peperangan apakah itu wahai Rasulullah ? " Baginda berkata, "Peperangan melawan hawa nafsu."

(Riwayat Al Baihaqi)

Mujahadah ini tidak mudah. Sangat sukar. Lawan nafsu untuk tidak terlibat dengan perkara lagha, tahan nafsu dari mengumpat, nak kekal istiqamah buat ibadah dan hal lainnya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Tapi kata akak tersebut, kemanisan yang diperolehi dari mujahadah adalah sukar diungkapkan oleh kata-kata. Kita akan bertemu dengan kemanisan dalam mujahadah. Di saat hati terasa sukar untuk beribadah atau melakukan kebaikan misalnya, bermujahadahlah. Moga Allah mengurniakan keikhlasan dan kemanisan iman di sebalik mujahadah tersebut. Moga Allah menjadikan kita insan yang mengingatiNya di kala kita berada di khalayak ramai mahupun di saat kita keseorangan. Kita berdoa pada Allah agar kita mengingatinya ketika dikurniakan nikmat mahupun ketika diuji.

”...danTuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya”. (Fussilat: 46)

Wednesday, June 25, 2008

1 dan 0..


Maafkan saya andai ada email spam yang terlepas ke kantung email masing-masing. Saya terlepas pandang saat men’approve’ email-email tersebut.

Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah kerana memberi peluang untuk kita mengenaliNya dengan melihat tanda-tanda penciptaan pada diri kita sendiri mahupun pada alam yang terbentang luas ini. Bagi mereka yang bergelar pelajar perubatan, mempelajari ilmu perubatan pastinya membuatkan hati sentiasa terasa kerdil. Malah terasa semakin jahil. Ciptaan Allah hatta mengenai diri kita sendiri terlalu sukar diceritakan oleh hanya satu dua buku. Terlalu banyak buku perubatan yang ada di dunia ini namun pastinya tidak mungkin mampu untuk menjelaskan kehebatan Allah. Saya akur pada kata-kata ini yang dipetik dari sebuah buku - "Demi Tuhan yang aku dalam genggamanNya, bermula aku dengan kejahilan dan berakhir aku dengan kejahilan. Kesudahan mengenal adalah tiada mengenal, tiadalah aku ketahui apa-apa tentangNya hanyalah sekadar setitik air di hujung jari di tengah lautan yang tidak bertepi!". Pastinya mempelajari sesuatu yang melibatkan penciptaan manusia, makhluk ciptaanNya yang paling unik ini merupakan suatu perkara yang bukan mudah.

Alhamdulillah, hari ini telah berakhir Profesional Exam bagi pelajar tahun 2 di kolej saya. Keputusan akan diketahui esok. Namun kepuasan berakhirnya peperiksaan masih dirasakan kerana masing-masing mengetahui hakikat bahawa setiap diri telah cuba untuk memberikan yang terbaik.

Saya ucapkan terima kasih buat semua sahabat-sahabat yang memanjangkan tulisan yang bertajuk Jenayah Akademik Aktivis Dakwah, mungkin juga sebagai respons kepada tulisan bertajuk ‘Kegagalan’ sebelum ini. Tulisan tersebut amat baik untuk dihadami. Percayalah bahawa seorang daie mahupun daiyah yang benar-benar memahami hakikat dakwah pastinya tidak akan sesekali bermain api dengan akademiknya. Dia memahami tujuan penciptaanNya dan memahami betapa pentingnya keputusan akademiknya untuk menarik hati manusia lain. Dia memahami betapa dia perlu berusaha juga untuk akademik sebagaimana dia berusaha untuk kepentingan dakwahnya. Namun hakikat keputusan di sebalik sebuah peperiksaan adalah rahsiaNya. Percayalah, bahawa Allah menjanjikan kebaikan dalam semua perkara.

Adakalanya sebagai pelajar, mungkin sahaja kita perlu memperbaiki teknik belajar dan hal-hal lain misalnya. Saya masih lagi mengingati kelas revisi saya di Sabah tempoh hari sewaktu menghadiri program Sunathon di sana. Saya dan kawan-kawan yang lain cuba mencatat segala butir ilmu yang dipertuturkan oleh pensyarah saya. Namun pensyarah kami menegur kami. Kata-katanya benar-benar menyentuh hati saya. Adakalanya kita terhalang menerima ilmu kerana maksiat yang kita lakukan, kerana dosa kita pada ibu bapa, guru-guru dan manusia lainnya. Tapi adakalanya bukan itu sebabnya. Sebabnya yang lain adalah kerana kita tidak mempelajari ilmu tersebut dengan hati dan perasaan kita. Kita mencatat tanpa mahu menghafaz ilmu apatah lagi menanamnya di dalam hati. Apabila kita melihat soalan, kita rasakan bahawa kita pernah mempelajarinya tetapi kerana kita tidak menanam ilmu tersebut di dalam hati dan perasaan, ilmu itu hilang begitu sahaja. Ya, sebagai pelajar adakalanya kita perlu memperbaiki teknik dan gaya pembelajaran masing-masing. Mungkin selama ini kita sememangnya berusaha namun masih ada yang perlu diperbetulkan dari aspek teknik dan hal lainnya.

Peperiksaan mengajar manusia mengenai banyak perkara sebenarnya. Saya juga mempelajari konsep 1 dan 0 dari seorang akak semalam. Katanya, sekiranya 0 dibahagikan dengan 1, jawapannya adalah 0. Dan seandainya 1 dibahagikan dengan 0, infiniti adalah jawapannya. Begitu juga dengan konsep ilmu, seandainya kita menganggap hal lainnya adalah kosong dan percaya dan bergantung pada ilmu yang kita pelajari semata-mata, jadilah kita seperti analogi 0 yang dibahagikan dengan 1 dan hakikatnya (jawapannya) kita adalah kosong kerana hakikatnya ilmu Allah itu begitu luas. Segala apa yang kita pelajari adalah terlalu kecil sebenarnya. Namun sekiranya kita menganggap kita adalah kosong dan ilmu yang kita pelajari adalah dari Allah semata-mata, jadilah analoginya seperti 0 yang dibahagikan dengan 1, dan nilainya adalah infiniti. Tidak mungkin mampu kita bayangkan segala rahsia di sebaliknya.

Bila faham konsep ni, tidak timbul rasa kecewa sebab kita tahu diri kita kosong dan dari Allah segalanya. Andai setelah berusaha, kita masih terlupa di dalam peperiksaan, kita akur bahawa kita adalah kosong dan dari Allah segalanya. Andai kita punya harta dan harta kita berkurang, kita faham bahawa kita adalah kosong dan harta yang ada pada kita itu adalah milik Allah sebenarnya. Apabila kita sakit, kita faham bahawa kita adalah kosong dan nikmat kesihatan itu adalah dari Allah sebenarnya. Begitu juga andai kita kehilangan insan-insan yang tersayang. Kita akur bahawa kita adalah kosong dan segalanya adalah milik Allah. Sehingga lahir perasaan tidak mahu lagi kecewa dengan ketentuannya. Perasaan dan segalanya yang lahir setelah memahami konsep ini adalah infiniti dan tidak mampu diungkapkan. Kita memahami Asma Allah seperti AlQahhar dan AlJabbar. Ya Qahhar dan Ya Jabbar adalah dua Asma Allah yang memiliki erti hampir sama. Qahhar bererti Maha Memaksa (kehendaknya pasti terjadi, tidak bisa dihalangi oleh siapapun) dan Jabbar hampir memiliki erti yang sama, tetapi ada pula yang mengertikan Jabbar dengan Maha Perkasa (tidak bisa dihalangi/dikalahkan oleh siapapun). Pastinya hati akan terasa tenang apabila kita memahami konsep ini.

Saya tinggalkan catitan ini dengan serangkap kata yang saya petik dari buku yang berkisarkan ilmu tasawuf – Diri zahir adalah ibarat permukaan gua yang di dalamnya penuh keluasan yang terhimpun segala rahsia dan hakikat. Jika kamu berjaya tembusi kegelapan selubung tubuh zahir ini, nescaya akan terbuka bagimu beberapa alam yang luas yang tiada batasan baginya.

Catitan ini sebagai muhasabah buat saya. Moga Allah memberi kekuatan agar catitan ini bukan hanya sekadar catitan tetapi sesuatu yang mampu disimpan dalam hati dan diamalkan.

Tuesday, June 24, 2008

Tukar mood..


Ini adalah graf yang saya pelajari daripada mentor saya sewaktu sesi reflection dahulu. Dalam kebanyakan hal di dunia, graf ni dipraktikkan. Tidak kira dalam aspek perhubungan sesama manusia, susun atur rumah, hal-hal pejabat dan segala macam hal lainnya.

Graf ni menunjukkan ada susun naik dalam segalanya. Semua perkara ada naiknya dan ada turunnya. Apa nak buat bila turun? Buatlah sesuatu untuk mengembalikan kembali suasana.

Perhubungan suami isteri misalnya, ada pasang surutnya. Saat mula-mula berkahwin semuanya indah dan kemudiannya perhubungan tersebut mungkin dingin dan terjejas. Buatlah sesuatu yang tidak pernah dibuat. Beri bunga atau apa-apa sahaja kepada pasangan untuk mengembalikan mood.

Contoh lain pula mengenai rumah. Walau macam mana indah pun, kalau hari-hari tengok pasti naik muak juga. Ubahlah susun atur rumah, cat warna lain dan cubalah lakukan hal-hal lain yang mungkin mampu membawa mood pada rumah sendiri.

Begitu juga dengan suasana kerja. Kalau waktu mula-mula kerja dulu terasa bersemangat, cuba-cubalah kembalikan mood tu dengan belanja anak buah, ubah susun atur pejabat atau lakukan sesuatu yang mungkin mampu menceriakan kembali mood.

Dalam hal usrah pula, kalau hari-hari asyik duduk berbincang, cuba-cubalah berjalan dan bermusafir pula untuk mengembalikan semangat yang pudar.

Dalam aspek perhubungan dengan Allah pun begitu juga. Kalau dulu waktu mula-mula mengenali Allah terasa semangat dan kini kian pudar, hadir-hadirkanlah diri ke majlis ilmu untuk mengembalikan semangat yang kian sirna.

Entahlah...Sebenarnya mahu mengubah corak penulisan blog dari 'saya' ke 'Afeera', tapi tiba-tiba terasa tidak mahu...

Exam tadi? Entahlah. Itu hanya antara saya dan kertas. Exam esok yang mungkin menakutkan. Bertemu dengan kebanyakan examiner yang kesemuanya adalah pakar di 7 stesen pastinya mendebarkan. Esok juga pasti berlalu andai Allah memanjangkan usia saya.

Makin belajar, makin terasa jahil..

Saya petik kata-kata di belakang sebuah buku...

"Demi Tuhan yang aku dalam genggamanNya, bermula aku dengan kejahilan dan berakhir aku dengan kejahilan. Kesudahan mengenal adalah tiada mengenal, tiadalah aku ketahui apa-apa tentangNya hanyalah sekadar setitik air di hujung jari di tengah lautan yang tidak bertepi!".

Saturday, June 21, 2008

Timelapse...

Gambar

Afeera bukan jurugambar amatur. Tapi ada beberapa gambar yang Afeera ambil dan Afeera suka. Kalau tidak indah di mata yang lain pun, Afeera tidak kisah. Indah di mata Afeera kerana Afeera yang merasainya. Gambar yang diambil dari bilik hotel di Kundasang, Sabah ini sungguh bermakna buat Afeera.



Kamu mungkin tidak memahaminya. Gambar ini diambil dalam tiga masa yang berbeza. Seronok sangat rasanya melihat perubahan malam ke siang. Rasa kerdil yang amat di hadapan Allah. Perubahan malam dan siang ini melambangkan hakikat kekuasaanNya. Sungguh bermakna kata-kata Syed Qutb dalam tulisannya. Ada dua kitab sebenarnya bagi seorang Mukmin. Satu adalah AlQuran dan satu lagi kitab adalah alam ini.

Awaktube

Afeera sangat sukakan awaktube (meminjam istilah Kak Maryam). Mengapa? Afeera suka gunakan awaktube untuk kegunaan proses pembelajaran. Lain? Dengar lagu. Menonton filem. Dan Afeera dah dapat hobi baru di awaktube. Afeera suka menonton ‘nature timelapse’. Afeera akan rasa kerdil yang amat. Pasti menitis air mata. Mungkin ada yang rasa macam dah buang tabiat Afeera ni. Tapi itu satu cara Afeera berkomunikasi dengan Rabb. Afeera mungkin tidak sempat melihat alam yang Allah cipta ni sepanjang perjalanan dan mungkin baik bagi Afeera untuk menontonnya di awaktube. Dan Afeera dapat merasakan bahawa photographer, oceanographer dan yang sewaktu dengannya adalah mereka yang akrab dengan Allah. Ini satu contoh ’nature timelapse’. Rasa kehambaan pasti akan menghuni hati.

Friday, June 20, 2008

Peti maksiat...

Semalam..


Semalam..

“Afeera, boleh tak nak tengok cerita Solehah?”

“Tengoklah..”.

Hmm…bila Afeera fikir-fikir balik, masih jauh lagi Afeera ni dari menarik manusia ke arah kebaikan. Kata-kata Afeera sedikit pun tidak melambangkan sikap seorang daiyah. Afeera tidak tahu hukum tengok cerita Solehah sebenarnya, tapi mengapa Afeera tidak sedikitpun mengajak manusia melakukan amal yang lebih bermanfaat? Afeera pun seringkala hanyut dalam dunia lagha. Duhai Afeera, awak kenalah baiki diri sendiri dulu, barulah boleh menjadi contoh pada yang lain.

Apa Afeera merepek petang-petang ni? Entahlah. Allahu A’lam, mungkin sahaja cerita Solehah tu ada pengajaran yang berguna di dalamnya. Afeera tidak tahu cara terbaik untuk menjustifikasikan cerita tu. Melambak sungguh cerita Indonesia sejak akhir-akhir ni mengenai wanita yang menutup aurat. Mungkin cerita tersebut mampu menunjukkan kecantikan alami menutup aurat dan menyebabkan lebih ramai manusia yang menutup aurat. Allahu A’lam. Afeera tidak tahu.

Tapi Afeera sungguh terkilan dengan cerita Ezora. Bila sudah ada peti televisyen di rumah sewa Afeera, sedikit sebanyak Afeera pun tahulah hal ehwal cerita tu. Hmm, kalau tak kenal Jahiliah sangat pun tak boleh. Kenalah tengok kiri dan kanan. Khalifah Omar al-Khattab pernah berkata, "Akan terungkai ikatan Islam satu demi satu daripada seseorang jika dia hidup tanpa mengenali jahiliah."

Kenapa Afeera terkilan? Afeera cemburu ke dengan Fazura yang cantik itu? Tidak.. tidak…Afeera percaya Sunnatullah alam ni mengenai taburan normal…

Lain tu apa sebabnya? Afeera terkilan sebab ada yang bencikan zina yang turut hanyut menonton cerita tu. Telinga Afeera berdesing sebenarnya bila ada yang kata, “Kesiannya Ezora”. Marah sungguh Afeera. Hebat sungguh media. Benda yang haram pun boleh disolekkan menjadi cantik. Manusia tidak mampu melihat hakikat zina yang diterapkan di sebalik cerita tersebut. Manusia lalai apabila melihat pelakonnya yang begitu cantik itu sampai sanggup menghalalkan zina dan menghalalkan hal ehwal duduk bersama lelaki yang bukan mahram serumah. Lipstik maksiat ada di mana-mana sahaja. Situasinya sama juga dalam kes buang anak. Manusia melihat kes buang anak semata-mata tanpa melihat hakikat zina di sebaliknya.

Afeera menggunakan teropong Google untuk mencari sedikit maklumat mengenai cerita tersebut. Memang ada yang mengkritik cerita tersebut yang sememangnya jauh dari lunas Islam. Kalaulah Afeera menjadi pengarah, Afeera takut azab Allah sebab buat manusia lalai.

Afeera mahu jadi doktor. Mungkin Afeera akan sibuk dengan pekerjaan Afeera. Kalau ada yang berkemahiran dan kreatif, Afeera cadangkan jadilah pengarah. Hasilkan banyak filem-filem berorientasikan Islam yang benar.

Ada satu hal lagi yang Afeera perlu muhasabah. Afeera tidak doa pun kat Allah masa cari rumah sewa dulu. Afeera tidak doa kat Allah agar rumah sewa Afeera tiada peti maksiat tu. Pesan naqibah Afeera, kadangkala sebenarnya kita ni malas berdoa. Kita tidak mintak pun Allah jauhkan telinga kita dari dengar umpatan orang. Kita tidak doa pun kat Allah agar mata kita tidak melihat benda maksiat. Kita tidak doa pun kat Allah agar hati kita ni tidak lalai. Afeera kena banyakkan doa. Dah setahun Afeera duduk kat rumah ni. Afeera mahu berdoa moga rumah sewa Afeera yang seterusnya tiada peti maksiat. Esok lusa, kalau Afeera ada rumah sendiri, Afeera tidak mahu peti maksiat tu menghiasi rumah Afeera.

(Entri ni tiada kaitan dengan manusia sekeliling saya)

Apa-apa..



Sirr Wa Hazar

Saya sudah mengenali kalimah ini seawal saya berada dalam dunia dakwah dan tarbiah. Saya benar-benar memahami betapa pentingnya “Sirr wa Hazar” ini. Malang sekali bila ada yang tidak memahaminya sehingga akhirnya saya yang menerima padahnya. Sabar, Afeera. Kamu sudah berjanji untuk tidak lagi mengeluh, bukan? Ya,..ya… saya sudah tidak mahu lagi mengeluh. Tarik nafas dan senyum sahaja.
Exam

Satu paper sudah berlalu. Afeera sudah lakukan yang terbaik, bukan? Ya.. sudah.. sudah… Serahkan sepenuhnya pada Allah dan melangkah terus. Isnin, Selasa dan Rabu.. perjalanan ini masih berbaki…

Sakit

Alhamdulillah, lega sekali sewaktu exam tadi… Seronok rasanya berjaya meloloskan diri dari Tramadol… walaupun dua hari ini serangannya agak hebat..

Yahoogroup

Syukur ada sahabat yang mahu membantu menjadi moderator.. Mungkin saya bimbang akan kemungkinan yang bakal terjadi… Serangan jantung, diabetes mellitus, kanser rahim dan segala macam kemungkinan lain adalah komplikasi bagi penyakit saya… Ya Rabb, bantulah saya untuk menghadapi exam ini dan berikan saya kekuatan untuk melakukan sesuatu sewaktu cuti nanti… Saya tidak mahu mati sia-sia… Cukuplah pengalaman nyaris mati dulu, cukuplah sia-sia…

Ayah

Katanya, doa Tok Guru ringkas sekali selepas solat. Saya tanyakan sebabnya. Kata ayah, doa ni adalah komunikasi sepanjang masa dengan Allah. Hati mesti sentiasa bertaut dengan Allah. Doa sepanjang masa, tidak kira dalam masa baik ataupun tidak. Ok, saya faham.. Ayah ceritakan juga kisah Al Banna mengenai tawakal semalam.

Emak

Mungkin sebagai anak saya tidak memahami kerisauannya. Usah bimbang mak pasal exam ni. Allah dah pun tarbiah saya selama dua tahun dengan exam tiap-tiap minggu. Turun, naik, jatuh, bangun, hancur, lebur, semuanya saya dah rasa. Sekali lagi, yakin sahaja bahawa saya dah lakukan yang terbaik dan Allah pasti memberi yang terbaik. Semua yang datang dari Allah adalah baik tidak kira baik atau buruk di mata manusia. Peace!!!

Atiqah

Tiba-tiba pula dia menghantar mesej yang agak ‘matang’ malam tadi. Haha..Baguslah sebab dah insaf dengar tazkirah. Katanya, pensyarahnya tidak benarkan sesiapapun menulis isi tazkirah. Pensyarahnya mahu tazkirah itu disimpan dalam hati. Bukan tulis semata-mata, tapi tiada dalam hati. Nampaknya Afeera terkena lagi. Tulis blog ni, ada dalam hati ke atau tulis sahaja? Muhasabah balik Afeera...

Saya suka mesej yang dia hantar – My heavens and my earth are too small to contain ME (Allah), but the hearts of my faithful servants can contain ME (Allah) –hadis Qudsi-

Doa saya, biarlah hati ini hanya ada Allah sahaja. Kalau ada orang lain pun, biarlah kerana Allah..kan..kan??

Zaid

Dia dah ke matrikulasi. Waktu dia dan Atiqah bercuti, saya tiada di rumah. Bila saya pula akan bercuti bermula Sabtu depan, mereka tiada di rumah. Allah knows best...

Apapun, best bual dengan mamat ni sebab dia matang. Kadang-kadang terasa seperti dia adalah anak sulung dan bukannya saya yang tidak matang ini. Nanti selepas exam, saya akan kongsikan segala nasihat saya pada mamat ni. Biiznillah...

Afeera..sudah...sudah...bersedia untuk OSCE...

Thursday, June 19, 2008

Malam..

Saat dua orang sahabat bertanyakan perkhabaran saya, saya katakan pada mereka bahawa saya baik-baik sahaja. Sejujurnya saya dalam kesakitan yang amat. Ukhwah yang berpaksikan kerana Allah membuatkan mereka mengetahui keadaan saya meskipun saya menafikannya. Ukhwah yang berpaksikan kerana Allah itu membuatkan dia tahu saya sedang merahsiakan sesuatu dan sedang berpura-pura. Katanya, “Look, I tell u one secret to be a good pretender, be like u always be, don’t choose anything u rarely use, otherwise u'll get caught”. Maafkan saya duhai sahabat andai saya merahsiakannya. Terlalu sukar untuk saya meluahkannya dan terlalu sukar juga sebenarnya bagi saya untuk membuatkan manusia lain merasakan betapa hebatnya ukhwah kerana Allah. Meskipun bicara kami hanya menerusi alam maya, kemanisan ukhwah itu saya rasakan dengan segenap jiwa saya.

Entri ini bukan bertujuan berceritakan mengenai kesakitan. Keperitan yang saya lalui membuatkan saya merasakan kecintaanNya. Saya sukakan kesakitan ini. Saya hanyut menyebut namaNya dalam kesakitan ini. Sungguh Dia mengetahui segalanya. Dia tahu saya akan melupakanNya andai saya sihat. Andai dulu saya pernah membenci, namun kini saya hanyut dalam kecintaan bersama penyakit ini.

Air mata meluncur laju. Saat saya sedang menulis catatan ini, sahabat saya menitipkan lagi kalimat penguat semangat. Katanya, ‘Bila berdepan dengan masalah, jangan pernah tidak letakkan Allah sebagai tempat mengadu yang awla. Allah sebaik-baik penjaga untuk nti”. Ya, saya akui kata-katanya. Saya tidak mengharapkan simpati manusia dalam catatan ini atau dalam catatan saya yang lain. Saya berkongsi catatan ini buat mereka yang turut dikurniakan ujian yang sama dengan saya. Saya tahu ada yang hadir ke laman maya yang hina ini dengan kata carian mengenai penyakit yang saya hidapi, mengenai ujian dan hal lainnya. Mungkin coretan ini buat mereka andai ada manfaatnya dan mungkin juga coretan ini sebagai penguat buat diri saya sendiri. Doa Nabi Ayub seakan akrab dalam kesakitan ini.

“Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.” (Surah AlAnbiya':83) Tidak perlu melahirkan rasa kasihan kerana Allah lebih mengasihani saya. Allah ada bersama-sama saya dalam perjalanan ini.

Allah mengajar saya mengenai ukhwah dalam suasana malam yang hening ini. Allah temukan saya dengan manusia yang mengasihani saya keranaNya. Allah juga menemukan dan mengajar saya mengenai manusia yang hipokrit juga malam ini.

Saya tidak bersedih kerana sakit tapi saya bersedih melihat perihal manusia-manusia hipokrit yang saya temui. Sungguh hebat sekali lakonan mereka. Tapi syukur kerana saat Allah menemukan saya dengan manusia-manusia ini, saya merasakan Allah mendengar bisikan hati saya sebenarnya. Saat saya mendengar pengisian Ustaz Fauzi mengenai petikan buku Dakwah Kita susunan Assyahid Imam Hassan Al Banna, saya terasa bimbang mengapa saya tidak ditimpakan ujian saat melalui jalan dakwah ini. Allah mendengar segala gejolak hati dan menghadirkan ujian ini di saat-saat genting peperiksaan yang bakal menjelma hari Jumaat ini. Saya faham bahawa ujian ini adalah Sunnatullah jalan ini. Berlakonlah kerana saya pasti segalanya pasti akan ditayangkan semula di layar akhirat. Moga Allah mentakdirkan yang terbaik buat kalian. Pesan sahabat saya seakan bermain di fikiran, "Maafkan dan bersangka baik".

Thursday, June 12, 2008

Kegagalan...

Tulisan ini saya dedikasikan buat sahabat-sahabat yang mungkin berdepan dengan kegagalan. Saya juga pernah merasainya. Dan mungkin tulisan ini sebagai persediaan andai saya juga perlu meniti kegagalan sekali lagi dalam peperiksaan yang menjelma. Allah penentu segalanya. Bahagia dan derita, kedua-duanya adalah ujian. Moga tulisan ini ada khairnya.

----------------------------

Dia duduk termenung. Mungkin sahaja sedang berfikir. Program ceramah tempoh hari bermain di mata. Ustaz bertanyakan pelajar yang ada akan perasaan dan pengalaman mereka selama berada di dalam usrah. Dia mengingati bait kata-kata seorang pelajar lelaki. Kata-kata pelajar itu begitu meruntun hatinya. Mungkin kerana dia juga mengalami nasib yang sama.

Pelajar lelaki itu berkongsi cerita. Dia dulunya adalah pelajar genius. Tidak perlu langsung mengulangkaji pelajaran, tapi keputusannya pasti cemerlang. Suatu hari Allah membuka hatinya untuk merasai nikmat berusrah. Dia memanjatkan rasa syukur kerana Allah memilihnya dan dia berjanji untuk terus merasai kemanisan usrah dan berkongsi nikmat ini dengan manusia lain sehingga akhir hayatnya.

Namun Allah menguji pelajar lelaki itu. Keputusan peperiksaannya kian merudum. Syukur dia masih punya kekuatan untuk bertanya naqibnya akan hal dirinya. Kata naqibnya, itu adalah ujian dan ujian itu pasti akan hilang ditelan zaman.

Betapa kuatnya pelajar itu untuk bertanyakan pada naqibnya akan hal itu. Tapi tidak dirinya. Dia sudah puas menelan kata-kata manusia. FITNAH, kalimah itu sudah didengarinya berkali-kali. Kata manusia lain, dia menjadi FITNAH pada perjuangan dakwah. Kata manusia lain lagi, dia pergi berusrah tapi keputusan peperiksaan teruk. Ingin sekali dirinya mengetahui siapakah dia pelopor yang memperketengahkan idea kononnya keputusan peperiksaan yang teruk menjadi FITNAH pada sebuah perjuangan. Betapa jauhnya manusia dari memahami bahawa segala yang berlaku ditentukan Allah.

Dia faham bahawa sunnatullah untuk berjaya terletak pada usaha. Bukan dia tidak tahu semua itu. Dia juga dulunya adalah pelajar yang cemerlang. Cuma saat ini dia melalui hakikat UJIAN dariNya. Tidak fahamkah manusia lain akan hakikat itu? Dia pernah hidup dalam kemaksiatan selama 24 jam sehari dan saat itu Allah tidak mengujinya. Dan kini Allah mengujinya kerana kasihnya Allah pada dirinya. Bukankah ujian itu tanda kasihNya? Sayang sekali kerana manusia melihat kegagalan sahaja sebagai ujian. Manusia tidak pernah sedar bahagia yang dilalui mereka juga adalah ujian.

Dia masih mengingati kata-kata seorang akak mengenai secebis ilmu tasawuf. Andai diri melalui ujian, tidak boleh sesekali bertanya pada Allah – mengapa hal itu berlaku, mengapa dirinya yang dipilih, mengapa seberat ini ujian yang diberikan dan tidak boleh juga bertanya sampai bila ujian itu akan berlaku? Dia juga tidak ingin bertanya pada Allah berkenaan hal itu kerana dia tahu Allah mentakdirkan yang terbaik buat dirinya.

Dia mampu menerima segalanya yang ditakdirkan dengan redha. Cuma dia tidak ingin keputusan peperiksaan itu dipaparkan dan dijaja oleh insan lain sehingga akhirnya meruntun dan melemahkan hatinya sendiri. Mengapa tiada privasi di situ? Dipujuk hati, mahukah diri pada sesuatu yang hanya baik di mata manusia tapi bukan di mata Allah? Mahukah? Adakah dia hidup kerana manusia dan bukannya Allah? Adakah dirinya ragu bahawa apa yang ditakdirkan Allah padanya adalah yang terbaik meskipun ia terlalu buruk di mata manusia? Tidak Ya Allah, cuma diri ini hanya manusia yang terlalu lemah imannya. Belum mampu menelan ujian yang parah ini.

Sungguh dia tidak kisah andai keputusan itu hanya berkait dengan dirinya. Tapi sayang sekali manusia lain mengaitkannya dengan usrah dan dakwah itu sendiri. Hatinya menangis pilu memikirkan semua itu.

Dipujuk hati bahawa jalan dakwah ini akan melalui proses penapisan. Diri pasti teruji. Episod peperiksaan hanya satu sahaja dalam kehidupan seorang insan. Ujian lain sedang menanti. Ujian perkahwinan, ujian anak, ujian sakit dan segala macam rencam pastinya ditakdirkan olehNya mengikut kemampuan setiap insan. Diajukan pada diri, adakah kerana ujian yang sekecil ini dia sudah ingin ditapis? Adakah kerana ujian ini dia mahu gugur dari jalan yang benar ini? Tidak sesekali Ya Allah.

Dia teringat juga kata-kata sahabatnya. Betapa Allah ingin membersihkan gejolak hati dari sifat riya’ dan ujub sebenarnya setiap kali dia mendatangkan ujian pada manusia. Moga apabila satu masa nanti apabila dia tiba di puncak kejayaan, sungguh hatinya bersih dari ujub dan riya’ yang selalunya memakan manusia. Allah benar-benar mahu mensucikan hatinya dengan memberikan ujian ini sebenarnya.

Allah ingin mengajarnya akan hakikat kegagalan. Allah ingin dia merasai pahitnya kegagalan yang dirasai oleh kebanyakan manusia juga. Allah ingin dia melihat ke bawah. Allah ingin sekali dia memahami manusia lain. Allah ingin mengajarnya bahawa kehidupan dunia bukan hanya bahagia semata, pasti ada derita untuk menjadikannya insan yang lebih baik. Dan kini dia belajar melihat dunia dari sudut positif dan negatif, dari sudut bahagia dan juga derita.

Titisan pilu menitis lagi. Bukan masin yang dirasa tapi kepedihan yang sukar diceritakan pada manusia lain. Ujian ini untuk menambahkan lagi rasa taqarrub padaNya. Mungkin dia perlu bermuhasabah. Dia telah berdoa tetapi doanya terhalang oleh dosa-dosanya. Allah mahu dirinya datang mengadu padaNya. Betapa Allah ingin mendengar suaranya. Betapa Allah ingin menyedarkannya bahawa Dia sungguh berkuasa dan dirinya sebagai hamba sungguh lemah. Allah mampu mengubah segalanya dalam sekelip mata atau lebih cepat dari itu, sedangkan dirinya hanya insan kerdil yang berkelana di bumi RabbNya. Dosa menghalang doanya dari terkabul tapi sungguh dia masih ingin mengadu memohon ampun padaNya. Dia tahu ujian ini untuk menggugurkan dosa-dosanya yang banyak itu. Bukankah Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani?

Dia tahu Allah bersamanya dalam tiap langkah. Dia tidak ingin Allah membiarkannya dalam setiap saat yang dilaluinya. Dia ingin Allah bersamanya meskipun manusia lain meninggalkannya. Moga ujian yang dilaluinya menambahkan lagi rasa keakraban padaNya. Dia ingin sekali memohon ampun pada manusia lain akan dosanya pada mereka. Ampunkan dirinya..dan dia memohon agar Allah mentakdirkan yang terbaik buat dirinya dalam melayari kehidupan ini, meski kebaikan yang ditakdirkanNya adalah buruk di mata manusia...

Wednesday, June 11, 2008

Professional Exam..

Semalam mentor saya smskan pantun:

Seminggu lagi tiba peperiksaan,
Berdebar jantung dirasakan,
Bersungguhlah dalam pelajaran,
Zikir dan doa jadi amalan.

Saya membalasnya dengan ucapan terima kasih.

Kemudian dia menghantar serangkap pantun lagi:

Exam kan dah biasa,
Soalannya mudah dan senang,
Banyakkan doa sentiasa,
Agar dapat menjawab dengan tenang.

Saya tidak tahu jawapan yang selayaknya untuk saya balas. Saya dah tinggalkan pantun berbelas tahun lamanya. Namun saya mencuba menukilkan serangkap pantun. Mungkin sebagai peringatan buat diri sendiri juga.

Allah pemberi khair,
Meski gagal atau lulus,
Usaha belum berakhir,
Moga doa kami tulus.

Allah pasti mentakdirkan yang terbaik buat saya....Alhamdulillah, syukur padaNya kerana mentakdirkan manusia-manusia baik untuk bersama dengan saya.

Monday, June 09, 2008

Tawakal...


Salah satu nikmat yang Allah kurniakan buat saya adalah dia mengurniakan sahabat-sahabat yang terlalu baik buat saya. Kadangkala saya terasa begitu kerdil untuk bersahabat dengan mereka. Pernah saya luahkan perasaan pada seorang sahabat bahawa saya merasakan saya tidak layak menjadi sahabatnya kerana dia terlalu baik. Katanya, kalau Allah merasakan bahawa kami tidak layak bersahabat pastinya Allah tidak akan menemukan kami. Kata-kata itu amat bermakna buat saya. Allah memberi saya peluang yang besar untuk belajar dari manusia-manusia yang terlalu baik ini.

Semalam saya punya masalah dengan seorang kawan. Saya meluahkan masalah itu pada sahabat baik saya. Katanya, “Belajar memaafkan dan bersangka baik”. Meskipun ringkas tetapi cukup membuat saya tersentuh. Kadangkala terlalu sukar untuk saya menjaga hak ukhwah yang paling rendah iaitu berlapang dada. Saya membalas mesej sahabat baik saya ini, “Ya, saya perlu bersangka baik dan memaafkan”. Dia memperbetulkan kata-kata saya. Katanya, “Maafkan dahulu dan bersangka baik. Apabila nti meletakkan bersangka baik dahulu, nti dah meletakkan alasan untuk memberi maaf. Sampai satu masa nanti, nti akan rasa tak puas hati balik. Mungkin atas sebab lain. Alasan memaafkan yang dahulu akan hilang rasional pada nti. Jom belajar memaafkan tanpa alasan”. Sungguh saya terpana dengan kata-katanya. Ya Allah, betapa saya perlu belajar banyak perkara dari manusia-manusia mulia ini.

Dia adalah sahabat saya yang mampu menegur saya dan tegurannya tidak pernah membuatkan saya terasa hati. Saya ingat lagi tegurannya saat kami bertemu di Sabah. Katanya, tawakal saya pada Allah tidak bulat apabila saya menceritakan pengalaman saya sebagai pesakit dan juga sebagai pelajar. Dia berpesan jangan bertawakal pada usaha dan juga pada jawapan. Tawakal sepenuhnya pada Allah. Kadangkala tanpa sedar saya bertawakal pada usaha. Betapa jauhnya saya dari pemahaman tawakal itu sendiri. Ya Allah, campakkanlah rasa tawakal yang sebenarnya padaMu dalam kegetiran berada di ambang-ambang peperiksaan yang hanya tinggal dalam masa 10 hari ini.

Saya kongsikan email sahabat saya semalam di sini sebagai peringatan kepada saya akan hakikat tawakal. Sungguh saya terharu apabila dia sanggup menaipkan semula cerpen yang ingin dikongsikannya buat saya. Betapa besarnya makna sahabat dalam hidup saya. Cerpen yang dikirimkannya terlalu bermisteri buat saya. Insya Allah..akan saya kupas hal-hal misteri ini andai punya masa kelak =) Pengajaran yang paling bermakna buat saya – Bulatkan tawakal sepenuhnya pada Allah...

“Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh,

Ni la cerita yang ana promise nti masa kat airport hari tu...Hm.. bukan mesej cinta yang ana nak tunjuk (walaupun berulang-ulang cinta di lampubesarkan dalam cerita), tapi pelajaran tawakal di dalamnya. Nti lebih rapat dengan istilah-istilah perubatan dalam cerpen Sedingin Cinta Ibrahim ni..hihi. ana lebih dekat dengan fenomena cahaya, keajaiban air, rahsia tanah, dan maksud gerak susur udara. Jadi mungkin nti dapat hadam cepat kot cerita ni.. huhu. ana dah lama mahu kongsikan cerita ni dengan nti, sejak ana baca tulisan nti yang sarat 'kusut' dalam blog Rona Perjalanan nti....Masa nti beritahu nti di wad, baru selepas pembedahan, separuh gila ana cari cerita ni dalam majalah-majalah ANIS kat bilik ana... tak jumpa masa tu...baru minggu lepas kat rumah ni ana terserempak balik...huhu..lama juga buku ni menyorok. Apapun, ana bukan orang yang tepat untuk memberitahu atau mengingatkan nti. Ana sendiri penuh silap dan khilaf. Cuma mungkin sebagai orang yang lama pernah tengok nti dari jauh atau dekat, mungkin sebagai kawan nti, ana benci tengok nti lemah (sekarang tidak lagi ana tahu....cuma nak beritahu apa yang ana rasa masa nti dalam masa-masa cemas dulu) ...ana cuba nak letak diri ana dalam situasi nti walaupun mungkin ana tak dapat bayangkan sakit dan apa yang nti rase.... Penyakit yang Allah bagi kat nti ni, jangan buatkan nti rasa rendah diri sampai fikir yang bukan-bukan pasal perkahwinan/masa depan... yes the word is rendah diri.... ana benci tengok nti yang lemah (kasar ke perkataan lemah ni? afwan jika ya) masa mempersoal this matter... and again, i am never the correct person to remind u about tawakal. walaupun ni mungkin cuma cerita yang direka, tapi cuba kunyah satu-satu kata-kata penulisnya....InsyaAllah, ada ilmu yang banyak dalamnya....menghadap buku medic sehari suntuk,tak rasa nak pitam ke? Huhu…so, relax jap ...meh baca cerita ni....”

Uhibbuki Fillah

Allah Hafiz~

Cuma satu yang dapat saya katakan saat membaca email ni...betapa saya perlu bersyukur pada Allah kerana mengurniakan sahabat yang terlalu baik seperti ini...

Sunday, June 08, 2008

Tokoh...


Tadi saya menemankan sahabat saya membawa remaja perempuan tersebut dan anaknya bertemu ustaz. Syukur padaNya sebab perjalanan tadi cukup mendidik saya. Betapa tarbiah Allah itu datang dalam bentuk yang tidak disangka-sangka.

Ustaz yang kami temui merupakan seorang yang arif dalam bidang ilmu perbandingan agama. Dia begitu pandai mendekati mad’unya. Ya, saya perlu belajar berkenaan hal itu kerana itu titik kelemahan saya. Saya begitu kaku apabila bertemu dengan manusia yang tidak saya kenali buat pertama kali. Saya melihat kebanyakan mereka yang arif dalam ilmu perbandingan agama ini adalah mereka yang bijak mencari peluang. Mereka tidak melihat sesuatu sebagai kelemahan tetapi sebagai satu peluang yang perlu digunakan.

Contohnya, kami bertanyakan ustaz mengenai seorang kawan bukan Muslim kami. Dia seorang yang suka menyebarkan berkenaan dengan agama Kristian tetapi menutup ruang untuk belajar tentang Islam. Dia tidak sesekali membuka hatinya untuk membaca tentang Islam kerana bimbang terpengaruh. Kami bertanyakan pada ustaz berkenaan hal itu kerana kami melihat hal itu sebagai kelemahan. Tetapi ustaz melihatnya sebagai peluang. Kata ustaz, itu lebih mudah. Hanya perlu gunakan Bible sahaja untuk berdialog dengannya dan bukan membandingkan agama Kristian dengan agama lain.

Saya teringat juga salah satu ceramah Dr Zakir Naik. Dia melihat golongan atheist sebagai peluang. Katanya, golongan atheist ini sudah beriman dengan separuh kalimah syahadah – tiada tuhan. Kita hanya perlu memastikan mereka beriman dengan separuh lagi kalimah syahadah – tiada tuhan selain Allah. Ya, saya perlu melihat sesuatu sebagai peluang sebenarnya dan bukannya kelemahan.

Saya belajar hal lain juga dalam perjalanan ini. Saya belajar berkenaan dengan seorang tokoh yang hebat dalam ilmu perbandingan agama ini, Sheikh Ahmad Deedat. Seingat saya pada bulan 0gos 2005, beliau kembali ke rahmatullah. Dalam bulan yang sama, Zainab AlGhazali juga pergi mengadap ilahi. Sungguh Ogos 2005 menyaksikan kehilangan dua orang tokoh yang banyak berjuang di jalan Islam.

Sheikh Ahmad Deedat ini sebelum menjadi aktivis dakwah merupakan seorang penjual garam dan gula. Di sebelah kedainya terletak markaz gerakan Kristianisasi. Saban waktu misionari Kristian ini akan datang bertemu dengannya, menerangkan tentang agama Kristian dan juga menyerang Islam. Sheikh Ahmad Deedat ini sangat yakin dengan Islam tapi tidak mempunyai jawapan bagi setiap soalan yang diajukan. Saban malam dia akan menangisi kelemahannya.

Suatu hari saat dia membersihkan buku-buku, majalah-majalah dan surat khabar lama, Allah temukannya dengan sebuah buku tulisan seorang ulama India, Sheikh Rahmatullah AlHindi. Buku yang sudah usang itu diterbitkan pada tahun 1915. Sheikh Ahmad Deedat pula dilahirkan pada tahun 1918. Buku itu 3 tahun lebih tua dari umurnya. Buku yang ditemuinya itu sudah hilang kulitnya. Sheikh Ahmad Deedat membalutnya dan kemudian membaca buku itu. Sheikh Rahmatullah AlHindi menulis berkenaan dengan kisah hidupnya dan Sheikh Ahmad Deedat merasakan bahawa kehidupannya begitu hampir dengan kehidupan Sheikh Rahmatullahi AlHindi. Di dalam buku tersebut, Sheikh Ahmad Deedat menemui jawapan-jawapan yang kepada persoalan yang diajukan oleh para misionari Kristian itu.

Sejak saat itu, Sheikh Ahmad Deedat cuba menjawab soalan-soalan dari para misionari sehingga akhirnya para misionari Kristian ini takut untuk bertemu dengannya. Maka bermulalah era dakwah dalam kehidupan Sheikh Ahmad Deedat.

Ustaz yang bercerita pada kami membaca buku tulisan Sheikh Ahmad Deedat dan juga buku yang dibaca oleh Sheikh Ahmad Deedat iaitu buku tulisan Sheikh Rahmatullah AlHindi. Kata ustaz, apa yang ditulis oleh Sheikh Ahmad Deedat adalah sebahagian sahaja yang ditulis oleh Sheikh Rahmatullah AlHindi. Ustaz nak gambarkan kat kita betapa sebenarnya agama Kristian ini penuh lompang di sana sini.

Ustaz ceritakan juga kata-kata Sheikh Ahmad Deedat yang mahsyur, ”Andainya para misionari Kristian ini tidak bertanyakan aku, pastinya aku masih lagi seorang penjual garam dan gula”. Kata-kata tersebut amat bermakna bagi saya. Andainya Allah tidak mentakdirkan saya pergi ke Sabah tempoh hari dan semalam pula bertemu dengan remaja perempuan itu, pastinya hati saya tidak terbuka untuk mempelajari ilmu perbandingan agama ini. Sememangnya perjalanan hidup ini merupakan Sunnatullah dan tarbiah dariNya. Allah tidak mentakdirkan sesuatu yang sia-sia.

Saturday, June 07, 2008

Kehidupan...

Perjalanan saya ke Sabah tempoh hari merupakan perjalanan yang mengandungi hikmah yang mendalam. Sabah membuka mata hati akan realiti ummah. Saya amat berharap kunjungan saya ke Sabah itu bukan kunjungan yang terakhir. Sungguh saya amat berharap diberi peluang bekerja di sana kelak.

Sepanjang perjalanan ke Kundasang, saya temukan lebih dari sepuluh gereja di kiri dan kanan jalan. Masjid atau surau mungkin kurang daripada tiga. Sememangnya ia meruntun hati dan perasaan. Hati tertanya-tanya di manakah para duat saat ini? Di mana saya saat ini?


Bukan itu sahaja, saya meneliti setiap papan tanda gereja-gereja ini di sepanjang perjalanan yang jauh itu. Saya melihat keseragaman dalam corak, reka bentuk dan tulisan pada papan-papan tanda ini. Sungguh ia sesuatu yang mengujakan dan membuatkan saya terduduk malu. Betapa mereka begitu bersistematik dalam dakyah mereka. Kalaulah papan tanda sahaja sudah sesistematik itu, apatah lagi yang lain. Saya teringat kata-kata Saidina Ali r.a bahawa kebaikan yang tidak terancang akan dikalahkan oleh kebatilan yang terancang. Sungguh bermakna kata-kata itu saat melihat realiti yang ada di depan mata.

Mungkin akan ada yang akan berkata ~ biasalah, itu Sabah, negeri itu punya etnik yang berbeza, punya cara hidup berbeza dengan Semenanjung. Izinkan saya menjawab kata-kata itu dengan bercerita tentang hal yang terjadi malam semalam.

Saya menolong seorang sahabat semalam membantu seorang remaja perempuan. Remaja perempuan ini berumur 19 tahun. Kami berjanji untuk mengambilnya di ERL Putrajaya. Tapi seorang pakcik membawa dia ke rumahnya kerana tidak sanggup melihat keadaan remaja itu kerana dia membawa bersama seorang bayi berusia 12 hari. Anaknya yang pertama merupakan anak luar nikah dan dilahirkan 3 tahun yang lalu ketika dia berusia 16 tahun. Dan bayi itu merupakan anak keduanya. Sahabat saya juga terkejut saat diberitakan bahawa dia kini punya seorang lagi anak. Saat sahabat saya bertemunya beberapa bulan lepas, dia tidak menceritakan langsung mengenai hal ehwal perkahwinan apatah lagi mengenai kandungannya. Katanya dia telah berkahwin dengan orang Indonesia dan suaminya itu telah dihantar ke Indonesia kerana membuat hal di sini.

Kami pergi mengambilnya di rumah pakcik tersebut. Alhamdulillah, pakcik tersebut seorang yang baik. Isterinya turut memberi kelengkapan pakaian buat remaja perempuan tersebut dan anaknya.

Saya benar-benar tidak faham bagaimana seorang wanita yang baru 12 hari melahirkan anak boleh bermusafir dari Pahang ke sini. Isteri pakcik tersebut juga sukar memahami keadaaan itu lantaran kerana dia pernah merasakan kesakitan melahirkan anak. Remaja perempuan tersebut turut bercerita bahawa dia juga sudah berjalan jauh beberapa hari setelah melahirkan anak sulungnya juga dahulu. Hati kecil saya berbisik, mungkin sahaja Allah menarik nikmat mengandung dan melahirkan anak darinya. Bayi yang dibawanya belum punya nama. Bayi itu benar-benar mentah dan mulus. Sayu rasanya menatap wajah bayi tersebut. Memikirkan nasib bayi itu sungguh menakutkan kami. Kata remaja perempuan itu lagi, dia dijaga oleh komuniti Kristian setelah melahirkan anak. Dia melarikan diri dari sana kerana tidak mahu anaknya dibaptis. Syukur padaNya kerana memberikan dia sinar iman untuk melarikan diri menyelamatkan anaknya itu.

Perit rasanya hati kami. Lebih-lebih lagi kerana kegagalan kami memujuknya untuk ke rumah kebajikan. Dia tidak mahu hidup terkongkong. Saat melihat anak sulungnya, kami merasakan kesedihan yang amat. Anak sekecil itu memanggil ibunya dengan panggilan nama. Cukuplah untuk kami katakan betapa terhirisnya hati kami melihat semua ini. Boleh sahaja kami memikirkan soal profesional exam yang kian menjelma dari memikirkan semua ini. Tapi sungguh kami takut andai bayi ini memberi kesaksian di hadapan Allah kelak atas kelalaian kami.

Alhamdulillah, Allah bukakan hati seorang ustaz untuk membantu kami di saat manusia lain menutup pintu dan memekakkan telinga melihat semuanya. Doakan agar Allah mempermudahkan urusan kami.

Sahabat-sahabat sekalian, boleh sahaja kami memendam semua ini dalam lubuk hati kami. Tapi kami tidak mahu. Kami nak sangat semua yang ada merasai tanggungjawab mereka terhadap ummah. Kehidupan bukan hanya mengenai lulus sebuah peperiksaan. Kehidupan bukan hanya membaiki urusan keluarga sendiri. Kehidupan bukan sekitar kisah percintaan. Kehidupan bukan hanya mencari tempat tinggal, pasangan, membesarkan anak dan akhirnya mati. Haiwan juga boleh melakukan semua itu. Kehidupan seorang Muslim melebihi semua ini. Hidup seorang Muslim akan digunakan untuk dakwah. Dirinya tahu bahawa ummah menantinya. Dirinya sedar bahawa musuh bersatu membidikkan anak panah ke arah mereka. Mereka sedar bahawa musuh telah berjanji dan membahagikan tugas agar tonggak Islam tidak berdiri. Bangkitlah..

Dari insan yang menanti kebangkitan ummahnya....

Thursday, June 05, 2008

Ombak dan ujian...


Pantai menyangka dirinya kuat lantaran selalu dipukul ombak. Pantai berkelana kononnya dia mampu menghadapi badai. Adakalanya ombak tidak tiba dan pantai menyanyi riang.

Suatu masa, pantai disapa taufan si ombak. Sungguh pantai menjadi tidak bermaya saat itu.

Adakalanya diri menyangka bahawa sudah kuat dengan ujian. Tidak akan sesekali menitiskan butiran sendu lagi. Bila disapa nikmat, hati seakan menari dengan gembira. Akhirnya bila ujian bak taufan tiba, diri gugur kembali.

Mungkin sudah sunnah perjuangan...Ujian itu sentiasa bersinggah...
There was an error in this gadget