Sunday, April 27, 2008

Rohingya...

Saya hanya mahu berkongsi catitan secebis perjalanan saya hari ini. Moga ada manfaatnya. Hari ini bermula seawal 7 pagi, saya dan 3 orang kawan yang lain bersama-sama dengan NGO MERCY Malaysia telah pergi membantu pelarian Rohingya di Kapar, Klang. Hakikatnya Malaysia tidak mengiktiraf akta pelarian. Bahasa mudahnya, pelarian tidak patut ada di bumi ini. MERCY sendiri menukar nama ‘refugee’ dengan panggilan Asylum Seekers Community kerana menghormati akta ini. Saya tidak pasti terjemahan bahasa melayu bagi istilah Asylum Seekers Community dan saya lebih mudah menggunakan istilah pelarian bagi memudahkan catitan tulisan ini dan saya berharap tulisan ini tidak disalahertikan.

Aktiviti membantu pelarian Rohingya ini sebenarnya bertindan dengan ceramah berkenaan Palestin di Putrajaya yang diberikan oleh Dr Solah yang didatangkan khas dari Lubnan. Sekiranya saya diberi pilihan, pastinya saya memilih untuk hadir ke ceramah Palestin, namun surat dari MERCY mendahului makluman berkenaan dengan ceramah tersebut. Meskipun terkilan, saya cuba memujuk hati bahawa hakikat perjalanan ini adalah modul tarbiah dari Allah, sebuah modul yang paling bijaksana. Allah pasti tahu apa yang terbaik buat saya.

Terlalu banyak yang saya fikirkan sepanjang mengikuti misi ini. Bumi Malaysia ini terlalu kecil, namun tidak pernah sesekali saya tahu ada saudara seislam saya di Kapar yang memerlukan bantuan. Meskipun mereka digelar pelarian, hakikatnya Islam tidak pernah membezakan kami. Islam menyatukan sesiapa sahaja.

Suatu ketika dulu, saya pernah tertanya-tanya, mengapa kejatuhan sejarah Islam yang terlalu hebat sehingga tidak mampu dibayangkan tidak begitu diketahui oleh umat Islam secara umum. Kenapa ini boleh berlaku? Jawapan yang saya temui dari persoalan tersebut menjawab persoalan mengapa saya tidak menyedari kewujudan pelarian Rohingya, saudara seislam saya di bumi Malaysia ini.

Tidak lain tidak bukan kerana di saat kejatuhan negara-negara Islam dahulu, tanah umat Islam di timur tengah dipecah-pecah mengikut citarasa penjajah. Wilayah Islam dipecah-pecahkan mengikut geografi mengikut kawasan. Contohnya Palestin dan Mesir berada di bawah pemerintahan British. Manakala Algeria, Maghribi, Tunisia dan Syria jatuh ke tangan Perancis

Bagaimana pula dari perspektif negara-negara di nusantara?

Kejatuhan negara Islam pertama bermula dengan kejatuhan Kesultanan Islam Melayu Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511. Selepas lebih kurang 130 tahun kejatuhan Melaka ke atas Portugis, Melaka kemudiannya ditawan dan diambil alih oleh Belanda pada tahun 1641 dengan bantuan kesultanan Johor. Seterusnya, pada tahun 1786, Francis Light datang membuka dan menjajah Pulau Pinang. Perselisihan yang berlaku antara Francis Light dan Belanda (disebabkan oleh persaingan untuk merebut, mengawal dan menguasai pintu masuk ke Selat Melaka) berakhir dengan termeterainya Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 menyebabkan kepulauan Melayu terbahagi kepada 2 bahagian iaitu semenanjung Tanah Melayu dan Borneo di bawah pemerintahan Inggeris. dan kepulauan Indonesia di bawah pemerintahan Belanda.

Ya, semangat nasionalisme dan kebangsaan ditanam di kalangan masyarakat Islam supaya umat Islam berpecah-belah, bercakaran sesama sendiri dan tidak dapat disatukan atas dasar kesatuan aqidah. Dan saya melihat kesannya saat ini. Saya tidak pernah hidup di bawah kekuasaan Islam yang pernah megah dahulu, namun seakan-akan saya merindui zaman itu. Zaman semuanya di bawah lembayung Islam. Tiada beza di antara sesama Muslim hanya kerana perbezaan geografi. Saya yakin rindu ini akan terubat. Islam akan megah kembali.

Kisah Utbah bi Nafi’ juga terbayang di minda sepanjang perjalanan ini. Tahun 50 Hijriyyah, kumpulan tentera Islam yang diketuai oleh ’Utbah bin Nafi’ memulakan misi perluasan kuasa ke kawasan utara Afrika. Usaha ini berjaya sampai ke Maghribi. Beliau kemudiannya turun ke Laut Atlantik bersama kudanya sehingga kudanya hampir lemas dan berkata: ”Sekiranya aku tahu di hujung sana masih ada tanah, aku akan teruskan.”

Masya Allah, hebatnya Utbah ini. Dia akan terus berjuang dalam memastikan Islam itu tersebar. Terbayang juga kisah bagaimana hebatnya Tariq Ibn Ziyad yang menawan Andalus. Saat saya terfikir apa yang perlu saya tuturkan pada pelarian ini kerana pelarian ini hanya mampu memahami bahasa Melayu yang mudah, seakan-akan terbayang, bagaimana Utbah, Tariq dan lainnya berdakwah. Bagaimana Utbah, Tariq dan lainnya menerangkan berkenaan solat kepada manusia lain yang ditemui di benua yang lain dengan bahasa yang lain. Ya Allah, berikan kami motivasi dakwah seperti mereka.

Tak kecil pun Afrika, Andalus. Malaysia ini yang kecil hakikatnya. Moga Allah beri kami kekuatan untuk melakukan dakwah ini. Moga Allah beri kefahaman kepada kita hakikat kefahaman mengenai dakwah ini sepertimana yang pernah diberikannya kepada para sahabat.

Nabi pernah bersabda, Sholat di Masjid Nabawi nilainya sama dengan 1000 kali sholat di Masjid lainnya. Di dalamnya ada raudha yang berada diantara rumah Nabi (sekarang kuburannya) dan mimbarnya, siapa yang berdoa di Raudha dengan ikhlas dan penuh yakin, pasti Allah akan mengabulkan doa-doanya.

Sahabat-sahabat stay ke kat Madinah selepas kewafatan nabi? Best kan pahala sembahyang kat masjid Nabawi? Tapi cuba imbas kembali sirah, sahabat-sahabat stay ke? Tak, sebab apa? Sebab sahabat-sahabat tahu hakikat dakwah ini lebih besar ganjarannya dari sembahyang di Masjid Nabawi.

Imbas kembali peta ini. Peta kekuasaan Islamsuatu ketika dahulu. Begitu besar kekuasaan Islam dahulu. Imbas kembali pengorbanan sahabat-sahabat dahulu yang berjuang sehingga Islam menjadi Ustaziatul Alam (World Order). Bandingkan peta kawasan kekuasaan Islam itu dengan seciput bumi Malaysia hari ini. Moga Allah memilih kita menjadi penggerak dakwah di bumi ini.

Saya mohon padaNya agar catitan ini tidak berakhir di sini.

Thursday, April 24, 2008

Lupa...



Saya terlalu sibuk dan mungkin dalam tekanan juga. Saya sendiri tidak pasti mana yang perlu saya dahulukan. Alhamdulillah projek YM dah berakhir tapi masih kena berniaga. Saya juga terlibat dalam aktiviti lain seperti membantu pelarian Rohingya Ahad ni, le tour de Sabah, aktiviti-aktiviti hujung minggu, melunaskan tanggungjawab di kolej dan lain-lain lagi. Tertekan juga sebab kena bantu drama sedangkan saya tidak pernah memberikan nama. Saya merasakan tiada satu penglibatan pun yang saya fokus dengan baik sebenarnya. Memegang jawatan benar-benar memberikan tekanan. Menjadi follower dan buat kerja sahaja tidak sesukar menjadi leader. Sejujurnya saya tidak pernah suka memegang jawatan kerana saya tidak layak untuk memegangnya.

Saya sendiri tidak pasti kenapa mudah sangat bila orang tanya nak pergi tak, ringan sahaja mulut menjawab boleh. Bila menyesal dan nak tarik diri, dah tak boleh dah. Surat pun dah sampai. Duit pun dah bayar. Sedangkan Pro Exam kian menjelma bulan Jun ni. Saya sendiri tidak pasti bagaimana caranya untuk mengulangkaji pelajaran saya yang melibatkan semua subjek yang dipelajari dalam dua tahun ini. Dan dalam kesibukan yang amat ni, diri sendiri difitnah. Wahai pemfitnah, ingatlah dalam ayat Quran, Allah mengungkapkan dua kali yang fitnah ni lebih buruk dari membunuh. Satu ayat guna ‘akbar’ (lebih besar) dan satu lagi ayat guna ‘asyadd’ (lebih teruk). Kalau masih tak terasa lagi, masih bongkak lagi, saya lepaskan hal fitnah ni pada Hakim yang berkuasa di akhirat. Tiada dah waktu tu ‘bawah meja kerusi’ (birokrasi).

Sejujurnya bila saya terlalu penat, saya rasakan saya kehilangan diri sendiri. Saya gagal mengawal emosi. Saya gagal jadi anak yang baik. Saya gagal jadi akak yang baik. Saya gagal jadi kawan yang baik. Saya gagal jadi sahabat yang baik. Dan yang utama saya gagal jadi hamba Allah yang baik.

Kadangkala saya tertanya-tanya kenapa sibuk sampai macam ni? Kelas malam pun berturutan. Baru nak mengulangkaji satu subjek, dah kena ulangkaji yang lain. Mock exam pula lagi dua minggu. Sampai saya katakan kat kawan saya, kalaupun saya tak penat dari segi fizikal, saya amat penat berfikir. Insomnia dan sering mengantuk dalam kelas menjadi habit sejak akhir-akhir ni. Mungkin juga saya bukannya sibuk, Cuma perasan sibuk sebab dah tidak boleh nak ‘cope’ dan tiada proper time management.

Bohonglah kalau ada yang kata saya menulis sebab ada masa. Saya menulis dalam kesendatan masa. Ini juga satu-satunya cara saya melepaskan tekanan dan segala macam perkara yang bermain dalam kotak fikiran saya.

Saya teringat kata-kata seorang akak dari UIA yang buat elektif kat sini. Kalau nak cerita kesusahan buat medic ni, tidak siapapun faham. Ceritalah dengan family, family pun tak boleh nak faham. Meskipun diorang redha dengan keputusan tapi nak memahami tu sukar hakikatnya. Kalau nak cerita kat kawan, kawan pun buat medic jugak. Berbeza pula persepsi dia dengan kita. Nak cerita dengan pensyarah, pensyarah kat sini luar biasa, tak terikut diri ini jejak langkah mereka. Akhirnya siapa yang faham? Allah juga.

Ada yang cakap kalau buat medic ni susah sepanjang hayat. Entahlah. Tiada komen. Lebih baik sibuk kat dunia, biar dapat berehat kat akhirat, kan?

Apapun yang menyentuh hati saya adalah kunjungan saya ke blog peribadi seorang akak. Ya Allah, kata-kata di situ benar-benar menyentuh hati saya. Saya terlupa sebenarnya apa yang saya lalui ini adalah tarbiah dari Allah. Saya terlupa modul tarbiah Allah dalam rona perjalanan kehidupan saya. Saya terlupa modul tarbiah Allah adalah modul yang paling bijaksana. Saya terlupa Allah menarbiah saya 24 jam sehari. Dia ada untuk mendengar segala permasalahan saya.

Ketahuilah wahai saudaraku, sungguh anda akan menemui masa-masa yang sulit, masa-masa yang melelahkan, dan berbagai ujian, padahal anda tengah berjalan diatas jalan kebenaran dan disibukkan dengan pelbagai aktivitas dakwah. Apabila anda teguh diatas kebenaran dan sabar menghadapi pelbagai ujian. Nescaya kepedihan akan sirna,kelelahan akan hilang, dan yang akan tersisa bagi anda adalah ganjaran dan pahala. [Penawar lelah pengemban dakwah] *Dr Abdullah Azzam*

P/s – entri ini ditulis awal..tak sempat publish..saat ini sudah pukul 12 malam, baru sahaja pulang dari kelas School Preparedness Programme dan bantu drama.. esok ke KLIA, petang kelas seperti biasa dan malam pun ada kelas revisi..Ya Allah, berikan saya kekuatan untuk melangkah terus...Maaf kat sesiapa kalau saya ’kehilangan diri sendiri’....

Tuesday, April 22, 2008

Kerdil melihat si kecil...

Buah pinggang
Mesin dialisis

Masya Allah, kagumnya tengok buah pinggang. Terasa kerdil sangat di hadapan Allah. Saya pernah menceritakan dahulu mengenai buah pinggang ni. Saiznya, Masya Allah begit kecil. Tapi fungsinya tidak mampu nak dibayangkan oleh akal semata-mata.

Kalau buah pinggang ni tak berfungsi, kenalah pergi dialysis. Mesin dialysis tu sebesar-besar mesin. Nak dibandingkan dengan buah pinggang, buah pinggang ni kecil sangat sedangkan mesin dialysis tu berganda-ganda saiznya. Amat hebatlah Pencipta buah pinggang ni.

Apa fungsi buah pinggang ni? Mesti ramai yang akan katakan buah pinggang ni fungsinya menapis sisa kotoran. Banyak lagi fungsi buah pinggang ni. Tak mampu nak diceritakan macam mana buah pinggang ni bekerja keras untuk kita. Terlalu besar nikmat yang Allah kurniakan buat kita. Salah satu fungsinya yang lain adalah menghasilkan hormon. Percaya tak? Kenalah percaya..Hormon apa? Nama hormon tu erythropoietin. Maksud erythro ialah merah. Tu sebabnya sel darah merah dinamakan erythrocyte. Apa fungsi erythropoietin ni? Dialah yang ‘stimulate’ atau pemangkin sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah merah. Masya Allah, jauhnya buah pinggang ni berkomunikasi.

Kenapa buah pinggang yang kena ‘stimulate’ sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah merah? Sebab buah pinggang ni dia perlukan oksigen dalam melakukan kerjanya, dan oksigen ni diangkut oleh sel darah merah. Buah pinggang sangat sensitif kalau oksigen tak cukup dalam darah dan buah pinggang akan memberi ’signal’ agar sumsum tulang menghasilkan sel darah merah yang mengangkut oksigen. Itu sebabnya kalau orang yang buah pinggangnya tak berfungsi akan mengalami ‘anemia’. Mukanya pucat sahaja sebab tak cukup sel darah merah. Dan kalau anemianya teruk, dia akan mengalami masalah pernafasan kerana oksigen tidak cukup.

Hebatnya Allah yang mencipta buah pinggang. Kerdil rasa diri ni. Tak terbayang macam mana efektifnya buah pinggang ni berkomunikasi, memberi signal pada sumsum tulang, dan melakukan pelbagai kerja. Dah berapa lama buah pinggang ni bekerja untuk kita? Tak terbayang kan? Buah pinggang ni bekerja atas arahan siapa? Buah pinggang ni patuh pada siapa? Pada Allah. Syukurlah pada Rabb yang menciptakan semua ini untuk kita. Tiada satu nikmat Allah yang mampu kita dustakan. Jangan dikenang nikmat yang hilang, kenang-kenangkan million nikmat yang lain yang Allah kurniakan pada kita.

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? (Surah Arrahman)

...Dan tidak ada suatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun. [al-Israa 17:44]

Monday, April 21, 2008

Pudding...

Ni kisah pudding cocktail yang dijual Sabtu lepas di carnival kesihatan. Saya belajar banyak perkara dari pudding ini.

Dapat bayangkan tak bagaimana rupanya pudding ini? Hmm..inilah rupanya..



Pudding ni dimakan dengan air cocktail. Tak sedap makan berasingan. Macam tu jugalah hidup kita. Tidak boleh nak hidup tanpa sahabat. Kambing yang jauh dari kumpulan akan dimakan serigala. Kita perlukan sahabat yang baik yang mahu menegur kita di saat kita melakukan kesalahan. Kita juga perlukan sahabat yang baik yang akan membantu kita di saat kita kesulitan.

Pudding ni nampak menarik dan cantik bila bersama cocktail. Mereka saling mencantikkan. Memberi warna dan cahaya sesama mereka. Macam tu jugalah dengan kita. Nak jadi soleh dan musleh. Nak jadi yang baik dan saling memperbaikkan yang lain.

Nak masak pudding ni kena tanya resepi dari orang yang arif. Nak belajar apa-apa ilmu pun macam tu juga, kena berguru. Lebih-lebih lagi ilmu agama. Bimbang sesat.

Waktu saya tanyakan ibu saya resepi pudding ini, saya sempat menanyakan, akhir sekali kena masukkan pewarna kuning ye? Huhu..Nampak sangatlah jarang ke dapur. Rupa-rupanya tepung kastard tersebut la yang akan memberikan warna kuning. Waktu masak tu rasa excitedlah melihat tepung yang berwarna putih bertukar menjadi kuning apabila terkena air. Saat tu terasa yakin yang tepung kastard tersebut la yang memberi warna kuning pada pudding. Hmm..macam tu jugaklah nak kenal Allah. Rasa yakin kat Allah bila melihat alam sekeliling kita. Rasa yakin kat Allah bila melihat penciptaan kita sendiri.

Cuba perhati betul-betul, nak buat pudding pun ada resepi. Apatah lagi dakwah dan nak ajak manusia lain kepada Islam, mesti ada metod dan cara yang tertentu. Kenalah rajin membaca. Nak didik diri sendiri pun ada caranya tersendiri. Kena attend majlis ilmu dan macam-macam lagi.

Ada lagi. Kalau nak buat pudding ni bahan-bahannya ialah tepung kastard, air, gula dan susu cair. Tanpa salah satu barang, tak jadilah pudding ini. Hidup kita pun kenalah macam pudding. Kena berjemaah. Hidup sorang-sorang meranalah diri.

Hmm..barang-barang nak buat pudding tu datang sendiri ke? Tak kan? Kena beli kan? Macam tu jugalah jalan dakwah ni. Kena infaqkan duit dan harta. Barulah dapat rasa kemanisan dakwah tu.

Pudding ni dimasak di bawah api. Bila dah siap, barulah masuk peti ais. Hidup kita pun macam tu. Mesti diuji. Kena rasa susah. Barulah dapat syurga. Syurga kan mahal harganya. Kenalah susah sikit untuk mendapatkannya.

Nak buat pudding ni, kena masukkan tepung kastard waktu airnya belum mendidih lagi. Kalau masukkan waktu air mendidih, bergumpallah jadinya pudding tu nanti. Macam tu jugak perhubungan kita dengan manusia lain. Cubalah cari waktu yang sesuai untuk berhubung. Kalau waktu tu orang tu sedang panas, jauhkan dulu diri sementara. Dah sejuk nanti, dakwahlah dia puas-puas.

Waktu first time buat pudding ni, puddingnya keras sedikit. Buat kali kedua dan yang seterusnya barulah menjadi. Macam tu juga jalan dakwah. Buat sekali tak jadi, jangan putus asa. Kena buat banyak kali. Barulah dapat pengalaman. Barulah dapat memperbaiki diri dan metod yang digunakan.

Pudding ni tak jadi tiba-tiba. Ada prosesnya. Ada kaedahnya. Macam tu jugak jalan dakwah dan tarbiah, kenalah berperingkat. Tidak siapa pun sempurna. Kenalah faham benda tu. Setiap dari kita berusaha untuk melakukan yang terbaik dan cuba mengikut proses tarbiah (pendidikan) yang berperingkat.

Bila pudding ni dah siap dimasak, kenalah alihkan pudding ni ke loyang atau bekas yang bersesuaian. Macam tu jugaklah jalan dakwah. Kadangkala memerlukan penghijrahan. Mungkin waktu kerja nanti kita kena hantar jauh-jauh, saat tu fikirlah positif. Kena belajar tentang persekitaran dakwah yang baru. Diri sendiri pun kenalah berhijrah, dari kurang baik menjadi yang lebih baik.




Bila dah tahu resepi nak buat pudding ni, nak buat apa? Share la resepi dengan kawan-kawan yang lain. Macam tu juga dakwah. Bila kita rasa kemanisan iman dan islam dan nikmat yang paling besar iaitu mengenal Pencipta kita, kenalah share dengan orang lain juga. Kita nak manusia lain juga merasakan apa yang kita rasa.

Waktu nak masak pudding ni, kena kacau berterusan. Hidup kita pun macam tu. Kena istiqamah. Buat benda kecil sekalipun, kena istiqamah. Allah suka amalan yang sedikit tapi berterusan.

Waktu nak buat air cocktail ni pulak, kena keluarkan isi cocktail dari tin terlebih dahulu. Mengapa? Sebab nak sukat air. Bagi setin cocktail, air sebanyak ukuran dua tin cocktail tersebut. Nak dapat hidayah Allah pun macam tu jugak. Kenalah buang benda kotor dulu, barulah hidayah yang jernih tu dapat masuk ke dalam hati.

Ok, itu sahaja kisah pudding buat masa ni..Kuang3x..

Friday, April 18, 2008

Huwa..

Saya sepatutnya bersedia untuk kelas CC (Clinical Correlation) petang ini. Tapi terasa seperti banyak sekali perkara yang ingin saya coretkan. Semalam saya sakit lagi. Setelah lama tidak sakit setelah pembedahan dulu, saya sakit kembali semalam. Jadilah saya seperti seekor burung hantu yang berjaga malam. Alhamdulillah, masih ada sisa-sisa tramadol yang ada. Agak-agaknya apa punca penyakit saya? Sebab tekanan dari Anon ke? Tekanan dari blogger lain ke? Ada lagi soalan. Apa yang memberikan kelegaan bagi penyakit saya? Tramadol ke?

Mungkin saya akan katakan itu jawapannya. Tapi setelah melalui sendiri pengalaman hampir hilang nyawa dahulu, saya kira itu bukan jawapannya. Jom lihat tafsir ini. Saya pernah membacanya di blog yang lain. Cuba perhatikan ayat dari surah as-Syu’ara (26:78-81)



[78] Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku;

[79] Dan Tuhan yang Dialah jua memberiku makan dan memberi minum,

[80] Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan penyakitku;

[81] Dan (Dialah) yang mematikan daku, kemudian Dia menghidupkan daku;

Dalam 3 ayat yang pertama, Allah menggunakan kalimah ‘huwa’. Tapi kenapa tiada ‘huwa’ dalam ayat yang terakhir itu? Sebab manusia percaya 100% Allah yang menghidupkan dan mematikan. Jadi, tidak perlu ada ‘huwa’ sebelum ‘yumituni’. Sedangkan dalam ayat yang sebelumnya diletakkan ‘huwa’ kerana ada manusia yang meragukan bahawa Allah yang memberikannya makanan, minuman, dan menyembuhkan penyakit. Masya Allah, terlalu agung AlQuran sehinggakan begitu halus sekali bahasanya dan tidak mampu ditandingi sesiapa. AlQuran itu memang dari zat yang agung.

Pengalaman mati hidup semula dahulu meyakinkan saya akan tafsir ini. Sememangnya pertarungan mati itu menyebabkan kita terlupa semua manusia lain yang ada di sisi kita. Pertarungan mati meyakinkan kita bahawa mati itu adalah antara kita dengan Allah sahaja.

Tapi kadangkala dalam hal-hal lain, kita lupa mengenai Allah. Kita sangkakan stress yang menyebabkan kita sakit. Kita sangkakan ayah dan ibu yang memberi kita makan dan minum. Kita sangkakan manusia lain yang menujukkan kita jalan dalam mengharungi kehidupan. Kita sangkakan tramadol yang melegakan kesakitan kita. Kita lupakan Allah. Bisikkan di hati, Allah yang memberikan kita segalanya..

Tuesday, April 15, 2008

Muhasabah..


Untuk paparan yang lebih jelas..sila klik pada gambar..Kredit buat pelukis. Saya tidak mengenalinya, tapi saya kira ada manfaatnya untuk saya kongsikan di blog ini. Moga Allah membalas segala kebaikan buat penulis.

Saturday, April 12, 2008

Hakikat kesedaran..

Di kolej saya ini, setiap minggu akan diadakan sesi reflection (muhasabah) kumpulan bersama mentor masing-masing. Kami perlu merancang ‘goal’ kami untuk cognitive (akademik) dan juga affective (bukan akademik) tiap-tiap kali sesi reflection berlangsung. Saya teringat insiden reflection beberapa minggu yang lepas. Seorang kawan mencadangkan ‘affective goal’ kami pada minggu itu adalah untuk menyertai kuiz sambil menderma di laman web www.freerice.com .

Tanpa berfikir panjang saya menanyakan dia soalan. Kenapa perlu bermain kuiz untuk menderma? Bagi satu soalan yang betul, kami hanya menderma 20 butir beras. Apa yang mampu dilakukan oleh 20 butir beras? Kalau nak derma, derma sahajalah kan? Kenapa nak sertai kuiz ni?

Lantas mentor saya memberikan jawapan. Sekiranya kami menganjurkan kempen untuk menderma, orang ramai akan menderma. Seusai derma, semua akan melupakan kempen tersebut. Tapi dengan menyediakan kuiz seperti ini, kita bukan sahaja mengajak orang menderma sebaliknya turut memberi kesedaran kepada manusia lain. 20 butir nasi tersebut mungkin sahaja tidak bermakna kepada kita tapi amat bermakna kepada insan lain. Saya cuba untuk memahami.

Dan saat ini saya lebih memahami hakikat ini selepas membaca beberapa halaman terawal buku Gaza Diserang!. Terharu rasanya membaca pesanan ringkas Menteri Luar Palestin, Dr Mahmoud Zahar. Baru kini saya memahami hakikat kempen USD1 daripada setiap Muslim untuk Palestin. Tujuannya bukan untuk mengajak orang ramai menderma tapi untuk menyedarkan umat Islam lain akan hakikat perjuangan yang terus berlangsung di bumi tersebut.

”Mengapa kami merayu USD1 daripada setiap Muslim? Adakah semata-mata untuk mengisi perut kami? Tidak sekali-kali!”

”Jika anda merasakan bahawa kami (rakyat Palestin) ingin mengemis duit anda untuk mengisi kekosongan perut kami, anda sememangnya telah melakukan kesilapan yang amat besar!”

”Rakyat Palestin telah biasa hidup dalam kesusahan. Kami rela hidup dalam kesengsaraan dan kepayahan demi menjalankan tanggungjawab kami mempertahankan Masjid Al Aqsa dan bumi Palestin. Pengorbanan kami akan menjadi jawapan kami dihadapan Allah s.w.t. nanti. Kami akan terus berkorban dan berjuang demi keredhaan Ilahi”.

”Tujuan utama rayuan tersebut adalah simbolik untuk memberitahu umat Islam bahawa isu Palestin dan isu Masjid Al Aqsa adalah isu ummah dan bukan hanya isu rakyat Palestin. Kami ingin umat sekali lagi mengulangi sejarah untuk membawa umat Islam kembali memainkan pesanan mereka”.

Baru kini saya memahami. Rakyat Palestin tidak pernah mengharapkan derma untuk sesuap makanan. Saya masih mengingati kisah yang diceritakan oleh seorang sister di dalam suatu program. Kisah seorang datuk yang telah tua di Palestin. Di kawasan tempat tinggal datuk yang tua ni hanya tinggal sepohon lagi pohon zaitun. Namun datuk yang telah tua ini menegaskan – ”Kami rakyat Palestin tidak pernah kisah sekiranya kami terpaksa untuk memakan dahan ranting pohon zaitun ini selagi mana kami tahu bahawa di luar sana ada saudara-saudara kami yang mendoakan kami”. Kadangkala saya merasakan rakyat Palestin terlalu berbaik sangka dengan saudaranya yang ada di benua lain. Kata Dr Mahmoud Zahar lagi, umat Islam dari benua lain turut bersama dalam perjuangan ini walau hanya dengan doa sekalipun. Mereka bermohon kepada Allah agar kita berada bersama mereka di syurga nanti seandainya kita tidak jemu membantu dan mendoakan mereka. Ya Allah, terlalu mulianya mereka. Namun doa sahajakah yang mampu kita lakukan untuk bumi Israk Mikraj yang menjadi kiblat pertama umat Islam dan yang ada di dalamnya masjid ketiga suci itu?

Saya tertarik juga dengan contoh yang diberikan oleh Dr Mahmoud Zahar untuk menunjukkan betapa universalnya bumi Palestin di dalam hati umat Islam sedunia. Bumi ini milik umat Islam sedunia dan bukan milik rakyat Palestin semata-mata. Saidina Umar AlKhattab pada tahun 16 Hijrah dari Madinah telah bertanggungjawab mengislamkan bumi Palestin yang merupakan sebahagian daripada wilayah Syam. Sewaktu tentera Salib menawan Baitul Maqdis selama hampir seratus tahun, Salahudin Al Ayubi yang berketurunan Kurdi dari Mesir telah memerdekakannya. Ketika Tartar ingin menyerang Baitul Maqdis, Sultan Muzafar Qutz yang berketurunan Parsi dari Mesir telah menyelamatkannya pula. Seakan tertanam dalam diri tiada mustahilnya andai satu masa nanti rakyat Malaysia yang akan memerdekakan bumi ini.

Seandainya sebelum ini saya mempromosikan buku ini dengan niat utama bahawa keuntungan dari jualan buku ini akan disalurkan buat Palestin, namun saat ini fokus utama saya mempromosikan buku ini adalah di atas faktor memberi kesedaran kepada yang lain akan isu Palestin. Ya, saya akui ia hanya antologi cerpen (cerita pendek) dan bukannya cerpan (cerita panjang) dan ianya masih jauh untuk menerjemahkan kesengsaraan yang dilalui oleh rakyat Palestin. Namun izinkan kami menyuntik dan menyirami hati kalian akan isu ini. Ada sahabat yang mengatakan cerpen saya terlalu jiwang. Izinkan saya mencoretkan sesuatu di sini. Lihatlah penderitaan saudaramu di sebalik jiwangnya cerpen itu kerana telah saya selitkan kisah benar Souad Sroar Merii di dalam cerpen tersebut. Kredit buat sahabat saya, Fadhilah kerana saya meminjam kata-katanya yang saban waktu menguatkan diri saya di dalam cerpen tersebut. Moga buku kecil ini mampu membantu memberi kesedaran buat ummah untuk membantu Hamas yang menjadi barisan hadapan umat Islam dalam melawan musuh Allah yang ingin meruntuhkan Masjid Al Aqsa dan membunuh kesatuan umat Islam.

”...akan sentiasa ada sekelompok umat Islam di Baitul Maqdis dan di sekeliling Baitul Maqdis yang akan sentiasa berjihad menentang musuh Allah . Mereka akan berkekalan dan tetap di atas perjuangan sehingga hari kiamat..” – petikan salah satu hadis di dalam kitab hadis Musnad Imam Ahmad.

Thursday, April 10, 2008

Nukilan..


Itu hasil nukilan dari seorang sahabat. Namanya Atikah. Perkenalan kami hanya menerusi lewat maya sahaja. Belum pernah saya tatap wajahnya. Tapi itulah hakikat ukhwah di dalam Islam. Tidak mengira rupa, bangsa mahupun keturunan. Perkenalan yang terjalin dalam masa sesaat seolah-olah sudah berusia ribuan tahun. Moga ukhwah ini akan kekal sehingga kami menghadapNya.

Sejujurnya terlalu indah ukhwah di dalam Islam. Bila bersua, seakan sudah bertemu sekian lama. Saya masih ingat lagi akan Kak Fanie dari Aman Palestin. Kami tidak pernah menatap wajah antara satu sama lain tapi boleh bekerja bersama-sama seolah-olah kami telah kenal lama.

Saya juga masih mengingati senior saya saat saya di matrikulasi dahulu. Pada pertemuan pertama sahaja, kami sudah boleh bercerita mengenai masalah yang kami hadapi. Itulah hakikatnya ukhwah di dalam Islam. Terima kasih di atas segala ucapan hari lahir dari kalian. Hari ini hanya mengingatkan saya betapa sisa umur yang ada kian pendek. Usia saya kian menuju kematian. AlFatih membuka kota Constantinople ketika berusia 16 tahun. Saya? Apa yang telah saya lakukan selama 21 tahun hayat saya di dunia ini?

Tuesday, April 08, 2008

Wajah...

Saya tatap wajah saya berkali-kali. Saya cuba mengamati wajah saya sambil berkelana memikirkan email yang pernah saya baca beberapa tahun dulu. Akhirnya saya setuju dengan penulis email tersebut. Tiada taqwa pada wajah saya. Air mata menitis lagi. Tudung labuh dan pakaian menutup aurat yang saya pakai terlalu jauh dari apa yang dinamakan pakaian taqwa sehinggakan lelaki yang menjual tiket tempoh hari di Puduraya boleh menipu saya sambil cuba menampar tangan saya.

Kadangkala ingin sekali saya ajukan soalan pada saudara-saudara lelaki seislam yang saya temui, bukankah kamu sewajarnya menyelamatkan maruah saya tetapi mengapa ini yang perlu saya depani? Mana perginya pemuda-pemuda yang boleh saya harapkan perlindungan darinya? Tidak takutkah kamu kalau saya meminta kesaksian di hadapan Allah atas kelalaian kamu? Tidak takutkah kamu kalau kanak-kanak yang dirogol dan dibunuh saban hari meminta keadilan di hadapan Rabbnya kelak? Ingin sekali saya menyalahkan kamu atas apa yang terjadi. Entah kamu peduli atau tidak. Entah bila kapannya kamu akan memahami betapa saya merindui pemerintahan Islam yang mana saya mampu berjalan di dalam negara tersebut tanpa ada rasa gentar. Ingatkah kamu akan kisah di mana peperangan akan dilancarkan sekiranya ada seorang Muslimat diganggu gugat dalam perjalanannnya?

Sejujurnya saya merindui AlBanna yang akan berdakwah di kedai kopi. Saya rindukan pemuda-pemuda yang akan berdakwah di terminal-terminal bas ini. Saya hanya wanita. Kudrat saya amat terbatas untuk mengubah buaya daratan ini. Saya masih mengharapkan kamu. Bukankah kita diikat dengan tali persaudaraan Islam. Kamu adalah abang-abang saya. Kamu juga adalah ayah-ayah saya yang akan cuba menyelamatkan maruah anaknya. Pinta saya, ubahlah kezaliman ini.

Saya juga meminta saudara-saudara wanita yang lain agar turut menutup aurat mereka dan menjaga perlakuan mereka. Sudah puas air mata menitis memikirkan betapa wanita hari ini tidak mendapat penghormatan yang sewajarnya diperolehi oleh dirinya. Kamu bukan sahaja menjatuhkan maruah dirimu sendiri apabila kamu mendedahkan aurat, tapi juga menjejaskan maruah mereka yang cuba menjaga dirinya.

Serasanya saya ingin menjerit meluahkan betapa tertekannya saya melihat ummah yang ada ini. Saya tertanya-tanya mengapa Allah memilih saya untuk melalui semua ini. Barangkali ianya adalah salah satu tarbiah dari Allah untuk menyedarkan saya mengenai hakikat ummah. Mungkin juga ia adalah satu pengalaman yang Allah cipta buat saya agar merasai kehidupan golongan pertengahan yang mana pengangkutannya bukan kapal terbang MAS. Barangkali juga untuk mengampunkan dosa saya yang yang tidak terkira. Tapi saya tersedar akhirnya, ia bukan salah kamu, kamu dan kamu. Hanya salah SAYA semata-mata.

Saya teringat email yang pernah saya baca dulu dan saya bersetuju dengan apa yang dinukilkan oleh penulis tersebut. Nur Allah tiada di wajah saya. Saya percaya pada wajah saya tidak ada serinya seperti wajah para sahabat yang benar-benar meyakini kalimah 'Laailaha illallah' itu. Teringat saya kisah yang diceritakan oleh penulis. Di zaman para sahabat, orang-orang kafir dan yahudi amat patuh kepada Amirul Mukminin. Apabila tiba masa pungutan cukai, para sahabat datang dengan pakaian yang bertampal di sana sini.

Akan tetapi orang kafir dan yahudi amat menghormati mereka. Mereka melambakkan harta di depan rumah mereka sambil berkata "Ambillah mana-mana hak Allah." Setelah mengambil seberapa banyak yang patut, mereka pun pulang. Selepas masa silih berganti, para sahabat diganti dengan para tabien. Ketika ini kerajaan Islam benar-benar utuh dan mewah. Tentera Islam telah berpakaian besi.

Namun, apabila mereka menghampiri orang kafir dan yahudi ini, mereka (para kafir dan yahudi) bertanya "Di manakah orang yang pakaiannya bertampal yang datang mengutip cukai dahulu?" Tentera itu menjawab "Mereka semua telah mati". "Pergilah! Tidak ada cukai untuk kamu. Dan tunggulah sehingga nanti kami akan perangi kamu!" Begitu balasan orang kafir dan yahudi kepada tentera Islam tersebut.

Inilah sebenarnya. Gentarnya musuh Islam terhadap muslim bukanlah kepada kebendaan yang kita ada. Sebaliknya mereka gentar dengan ketaqwaan yang wujud dari dalam. Kerana ketaqwaan itulah yang memancarkan Nur Allah pada muka orang yang memilikinya. Dan Nur Allah inilah yang akan menerangi setiap jalan yang gelap dan membuatkan musuh-musuh Islam dan orang-orang munafiq tunduk melihatnya.

Syahadatul Haq hanya manis di mulut saya sahaja, bukan di hati saya. Segalanya hanya topeng belaka. Sudah..sudah ..sudah...Afeera, Allah tidak membuka aibmu, lantas mengapa kamu harus membuka aibmu sendiri? Ya Allah, bantulah saya memupuk ketaqwaan dalam hati saya sehingga musuh gentar pada saya, Ya Rabb..

Saturday, April 05, 2008

Berundur...

Ya Allah, saya benar-benar lemah. Saya tidak pernah mampu memegang taklifan yang diberikan. Saya bukan pemimpin yang baik. Mengapa Ya Allah, saya yang diberikan taklifan ini? Taklifan yang membuatkan pupil mata saya mengeluarkan butir-butir halus yang tidak pernah kering. Saya tewas Ya Allah. Tewas sehingga saya benar-benar tersungkur dengan taklifan ini.

Ya Allah, dalam kalamMu Kau menceritakan kisah Yusuf.

Berkata Yusuf, ”Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir), sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan”. (Yusuf:55)

Ya Allah, sabdaMu terlalu agung, Sekiranya mampu dan kalian tahu bahawa diri kalian adalah yang terbaik untuk memegang jawatan tersebut, maka tawarkan diri kalian untuk memegang jawatan tersebut. Tapi Ya Allah, saya bukan nabiMu. Saya bukan Yusuf. Saya tidak pandai menjaga, mengurus apatah lagi berpengetahuan. Dan kerana kelemahan tersebut, saya tidak pernah mengisi mana-mana lembaran untuk menjadi pemimpin.

Saya dipilih Ya Allah. Dan saya percaya bukan manusia yang memilih, tapi diriMu Ya Allah. Tapi Ya Allah, saya tidak pernah menjalankan taklifan ini. Bagaimana Ya Allah saya akan menghumban diri saya ke dalam nerakaMu? Saya malu untuk bertemuMu ya Allah dengan dosa ini. Saya tidak mampu memastikan dakwah dan tarbiah berjalan di kolej ini.

Ya Allah, saya tidak akan menyalahkan manusia lain di atas kesalahan yang saya lakukan. Ya Allah, terlalu menggunung rasanya untuk memberitahu sang Presiden bahawa masih ada di sana yang lebih baik untuk memikul taklifan ini. Ya Allah, permudahkan lidahku untuk menyebutnya di hadapannya kelak. Saya tidak mampu menjadi batu bata yang bersesuaian dengan pimpinan saya. Saya hanyalah batu yang rosak.

Ya Allah mungkin juga ketua biro saya merasakan ketidaksesuaian bekerja dengan saya lantas dia juga termangu-mangu sendiri. Insya Allah, saya akan memberitahu Presiden bahawa saya perlu meletakkan jawatan dan memberi muka baru yang lebih afdhal bersama dengan ketua biro dan sahabat saya. Kefahaman itu penting Ya Allah, dan saya tidak pernah mampu memahami ketua biro dan sahabat saya. Izinkan saya pergi jauh dari memikul taklifan ini lagi.

Ya Allah, dalam tangisan ini saya merindu. Merindui sebuah pengalaman. Saya merindui sahabat-sahabat perjuangan di matrikulasi dahulu. Kami bukan teman sebilik selama dua tahun tapi ikatan hati kami terlalu kuat untuk melalui segalanya bersama. Pasti ada yang tersenyum sinis andai saya memberi contoh drama bersiri Jepun – Iryu Team Medical Dragon dalam tulisan ini. Tapi Ya Allah, hikmah adalah harta terpendam yang hilang dari seorang Mukmin. Saya belajar mengenai hikmah dalam drama itu. Ya Allah, teamwork yang kuat diperlukan untuk memastikan pembedahan Batista berjaya. Ya Allah, sunnatullahMu mengajar saya bahawa dakwah juga tidak akan sesekali berjalan tanpa teamwork yang kuat.

Saya seakan merindu Ya Allah akan sahabat-sahabat saya. Taaruf, tafahum dan takaful adalah asas teamwork yang kuat. Itu asasnya yang menjadikan kami berdaya melalui segalanya, Ya Allah. Namun Ya Allah, tidak berjalan taaruf, tafahum dan takaful dalam diri saya di sini sehinggakan saya terasa sukar melaluinya. Tidak pernah kami berbicara atau bermesyuarat. Seingat saya, saya tidak pernah menuturkan lebih 100 patah perkataan padanya. Tidak akan sesekali saya menyalahkan insan lain, semuanya kerana salah sendiri. Dan saya sewajarnya berundur agar ketua biro saya menemui insan yang mampu menguatkan dirinya dan seterusnya mampu melaksanakan taklifan yang diberikan.

Ya, sudah sampai masanya saya berundur...

Wednesday, April 02, 2008

Buku Antologi Cerpen Palestin...

Alhamdulillah atas kelahiran antologi ini. Tidak pernah terbayang bahawa cerpen saya yang pertama akan terpilih untuk dimuatkan dalam antologi ini. Serasanya malu untuk membaca kembali atau menggali kotak peti email untuk mencari balik cerpen tersebut kerana saya pasti cerpen tersebut jauh dari kesempurnaan.

Saya ucapkan terima kasih buat Azree kerana sudi memilih karya saya di saat terlalu ramai yang menolak tulisan saya. Tulisan tersebut lahir dari rasa berkobar-kobar yang ada buat Palestin. Rasa cinta yang terlalu menggunung pada Palestin membuat saya menulis meskipun saya tahu pasti terdapat lompang di sana sini.

Saya tidak punya kekuatan material untuk diberikan pada Palestin, cuma sebuah tulisan yang mungkin masih jauh untuk menerjemahkan kezaliman yang dilalui mereka. Insya Allah, segala keuntungan jualan antologi cerpen ini akan disalurkan kepada Palestin. Saya menggalakkan sahabat-sahabat membelinya. Bagi yang berminat bolehlah mengunjungi blog saudara Azree.

Klik sini.

Saya juga mengalukan kritikan dari sahabat-sahabat semua.

Senarai cerpen dan penulis:

1. Mujahid Kecil – Khairunnasriah

2. Biarkan Aku Jadi Orang Palestin – Huda Soid

3. Hujan Mengguyur di Al-Quds – Fahd Razy

4. Warkah Kala Hari-hari Berdarah – Ghafirah Idris

5. Skizofrenia – Noor Azree

6. Rebah di Pangku Wahyu – Dini Syarif

7. Izrail Sibuk di Gaza – Hafeziftiqar

8. Untukmu Palestin – Nuaym Budiman

9. Senja di Jabaliya – Mohd Khairul Adha Mohd Jamil

10. Imma Sa’adah Wa Imma Syahadah – Wan Yusra Hananah

11. Wanita Anak Palestin – Ilhami

12. Espirit De Corps – Nimoiz TY

13.Beza Dua Wajah – Safiyah

14. Mawar Itu – Ummu Afeera Zainulabid

15. Setulus Cintamu Mujahid – Umi Khaltum Abdullah

There was an error in this gadget