Sunday, March 30, 2008

AlKhaliq...

Graf ini tidak memberi apa-apa makna sewaktu saya mempelajarinya 3 tahun yang lepas di dalam pelajaran matematik tambahan. Barangkali kerana guru yang mengajar saya berbangsa Cina maka saya hanya melihat graf ini hanya sebagai graf. Tapi persepsi saya berubah apabila saya mempelajarinya di sini. Graf yang dinamakan sebagai graf taburan normal (normal distribution) ini sebenarnya bercerita tentang Rabb yang agung. Seakan-akan saya menemui sesuatu yang bermakna dalam subjek Public Health yang penuh dengan statistik ini apabila mempelajari graf ini.

Kata Prof, graf ini adalah sunnatullah. Pernyataan Prof itu hanya satu, tapi sebenarnya cuba menceritakan seribu satu perkara hakikatnya. Sebelum saya pergi jauh, sahabat-sahabat faham tak apa maknanya sunnatullah ini? Sunnatullah ini adalah peraturan Allah yang ada di alam mini. Bumi yang berputar pada paksinya, ais yang membeku pada suhu 0 darjah Celcius, air yang terbentuk dengan formula 2 hidrogen dan satu oksigen, kambing yang makan rumput, harimau yang makan daging dan macam-macam lagi. Cuba fikirkan, tidak mungkin bumi berputar mengikut perasaannya sendiri, tidak mungkin ais membeku pada suhu 100 darjah Celcius, tidak mungkin air terbentuk dengan formula yang lain selain 2 molekul hidrogen dan satu oksigen, tidak mungkin kambing yang kesemua giginya adalah geraham memakan daging, tidak mungkin harimau yang mempunyai gigi taring ingin memakan rumput. Ya, alam ini dicipta mengikut sunnatullah. Terdapat satu peraturan dalam ciptaanNya. Dan kesemua makhluk yang diciptakan Allah seperti bumi, jantung kita, air, haiwan dan yang lain tunduk pada penciptaNya. Tanyakan pada diri, adakah kita telah tunduk pada Pencipta kita?

Berbalik pada graf tersebut, Allah mencipta taburan yang ada di dunia ini dengan Sunnatullah, dengan peraturanNya. Graf ini tingginya di tengah dan semakin menurun di kedua sisinya. Ya, kebanyakan kita berada di tengah-tengah. Cuma sedikit sahaja yang sedikit luar biasa. Ada yang genius di kalangan kita, ada pula yang mengalami kesukaran membaca dan menulis (dyslexia) tapi majoriti dari kita adalah normal. Majoriti dari kita memiliki julat purata berat badan yang normal, namun ada sedikit yang terlalu obese dan terlalu kurus. Kebanyakan dari kita memiliki tinggi yang normal, tapi hanya beberapa manusia sahaja yang terlalu cilik atau terlalu tinggi di dunia ini.

Sewaktu kursus Crash Course –Study Skill in Medicine tempoh hari, kami perlu menganalisa diri kami sendiri dengan menjawab beberapa soalan untuk melihat sama ada kami ini adalah visioner learner (mereka yang belajar dengan menggunakan penglihatan, kebanyakan dari mereka suka membaca buku, melihat peta minda), auditory learner (mereka yang belajar menggunakan pendengaran) ataupun kinesthetic learner (mereka yang belajar menggunakan pergerakan). Hasilnya majoriti adalah visioner learner, hanya satu kumpulan kecil kinesthetic dan auditory learner. Sungguh indah kan ciptaan Allah? Dia menciptakan kita hatta dengan personaliti dan memiliki teknik untuk belajar yang berbeza juga. Kami dibahagikan mengikut kumpulan seterusnya mengikut gaya belajar kami. Agar kelakar juga apabila melihat telatah kawan-kawan setelah kumpulan berada dalam kumpulan. Sewaktu diskusi berlangsung di dalam kumpulan, sememangnya kita dapat melihat bahawa mereka yang memiliki teknik belajar kinesthetic tidak dapat duduk diam. Mengunyah, makan beramai-ramai dan bergerak ke sana dan sini. Sewaktu setiap kumpulan membentangkan presentation masing-masing, kita dapat melihat bahawa visioner learner melihat ke arah presentation. Auditory learner pula lebih banyak mendengar berbanding melihat ke arah presentation. Ya Allah, seronok rasanya melihat personaliti berbeza dalam diri kawan-kawan yang lain.

Penting tak nak faham graf ini? Saya kira penting agar kita lebih memahami diri kita sendiri. Kita faham kekuatan kita di mana. Macam saya, saya adalah auditory learner. Dengan memahaminya, saya boleh menggunakan hal tersebut untuk generate teknik belajar yang sesuai dengan saya. Dalam aspek yang lain, kita lebih memahami manusia yang lain. Apabila melihat mereka yang obese, kita cuba memahami mereka dan memahami mereka. Apabila melihat mereka yang kurang sempurna, kita cuba membantu mereka. Sekiranya satu masa nanti kita menjadi pensyarah, kita lebih memahami pelajar kita. Kita memahami bahawa ada di antara mereka yang merupakan kinesthetic learner. Kita memahami mereka sekiranya mereka suka bergerak atau makan di dalam kelas. Tidak timbul isu pelajar ’kurang ajar’ kerana kita memahami pelajar kita.

Sekiranya kita menjadi ibu bapa, tidak timbul isu nak paksa anak untuk dapat 21 A1 juga kerana kita faham itu adalah ’special case’. Kita faham bahawa anak kita normal dan memiliki kemampuannya yang tersendiri. Sekiranya ditakdirkan anak kita memiliki penyakit dyslexia (sukar membaca dan menulis), kita akan cuba memberi sokongan kepada mereka. Sebenarnya graf ini bercerita mengenai banyak perkara. Graf ini juga bercerita tentang AlKhaliq, Pencipta kita. Betapa dia berkuasa menjadikan manusia dengan pelbagai variasi dan warna warninya yang tersendiri. Terasa indah alam ciptaan ini apabila kita memahaminya.

Sedaya mampu, marilah kita berusaha memahami ciptaanNya agar kita menjadi makhluk yang bersyukur. Ciptaan Allah itu unik, bukan hanya pada graf ini tapi dari segala macam segi. Allah mecipta awan dari air laut yang masin dan kemudian menurunkannya ke bumi semula sebagai hujan yang menyegarkan dan tidak mempunyai rasa. Allah mencipta bunga dan buah yang begitu cantik dan mempunyai pelbagai warna yang datang dari tanah yang hitam. Allah mencipta kuku kita yang keras untuk digunakan dalam pelbagai perkara tapi kuku tersebut tidak sesekali menyakitkan kulit kita. Allah mencipta daun-daun dengan warna yang pelbagai, bukan hanya hijau sahaja. Dialah pemilik segala warna. Allah memberi kita hanya satu lidah tapi dengan lidah tersebut kita dapat merasai jutaan rasa. Langit dan awan yang Allah cipta sudah beribu tahun masih sama cantiknya tiap-tiap hari, tidak pernah awan tersebut kelihatan tua.

Allah ciptakan jarak bumi dengan matahari yang begitu tepat. Kalau terlebih sedikit, kita semua akan membeku. Kalau bumi tersebut terlalu dekat dengan matahari, kita semua akan mencair. Allah berikan kita cahaya dan air yang percuma setiap hari. Dan Allah yang menciptakan semua ini tidak mengharapkan kita membayar bil, hanya mengharapkan kita mengucap ’Alhamdulillah’. Betapa agungnya AlKhaliq, yang meciptakan sesuatu dari tiada kepada ada.

(Bagi Allah Yang Maha Kuasa) soal menciptakan kamu semua (dari tiada kepada ada) dan soal membangkitkan kamu hidup semula sesudah mati, tidak ada apa-apa sukarnya, hanyalah seperti (mencipta dan menghidupkan semula). seorang manusia sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Surah Luqman:28)

...Dan Allah telah membentuk kami lalu membaguskan rupamu..(Surah AlMukmin: 64)

Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Dia menyusun kejadianmu. (Surah AlInfitar: 6-8)

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (Surah Attin: 4)

Jom dengar nasyid Snada ni – Demi Matahari.

http://www.youtube.com/watch?v=3UGbppb1LrY

Sunday, March 23, 2008

Hakikat sebuah nilai...

“Keling!! Keling!! Keling!!”. Itulah panggilan beberapa kanak-kanak kecil terhadap adik saudara saya. Barangkali kerana wajahnya yang sedikit berbeza dari kanak-kanak tersebut lantas dia dipanggil sebegitu. Namun keluar dari bibir mulus si kecil yang berusia 6 tahunJustify Full itu, ”Saya bukannya keling. Saya Muslim”. Jawapan si cilik itu tidak mampu saya berikan kepada seorang kawan yang bertanya saya sewaktu saya di tingkatan 1 dulu – ”Kau ni keling ke?”

”Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah penciptaan langit dan bumi, dan perbedaan bahasamu dan warna kulitmu. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui”. ( Arrom: 22)

Begitulah firman Allah di dalam kalamNya. Ya, Allah mencipta kita dengan rupa paras yang berbeza. Saya berketurunan Malayalam yang berasal dari Kerala, India. Di kalangan saudara mara saya sahaja ada yang berkulit putih dan ada juga yang gelap. Dan amat sadis apabila ada yang memanggil mereka yang berkulit gelap ini dengan panggilan kicap dan lain-lain lagi.

Bila saya memikirkan semua ini, kisah Saidina Bilal yang diceritakan oleh panelis ketika forum Maulidurrasul tempoh hari menggamit hati dan jiwa.

Saidina Bilal hanyalah seorang hamba kepada tuannya sebelum keislamannya. Seakan-akan tiada lagi masa untuk memikirkan mengenai dirinyasendiri kerana kehidupannya adalah seperti boneka yang boleh dipermainkan sesuka hati oleh tuannya. Dia dilayan seperti binatang, dihina dan dikeji saban waktu.

Namun ajaran Rasulullah saw memberi nilai baru kepada Bilal. Bilal menjadi mulia kerana Islam. Saidina Bilal berasa izzah dengan islam. Lantas kerana itu kasih Bilal kepada Rasulullah saw terlalu tinggi. Di saat Saidina Bilal bersyahadah, seolah-olah darah yang mengalir dalam jiwanya turut bersyahadah. Lantas kerana itu Saidina Bilal tidak akan gentar untuk syahid kerana agama ini.

Di saat peristiwa Fathu Mekah (pembukaan kota Mekah), Rasulullah sekali lagi mengangkat martabat Bilal apabila menyuruhnya memanjat Kaabah dan melaungkan azan. Di saat itu, puak kafir Quraisy tertunduk malu. Saidina Bilal yang pernah dikeji dan dicaci telah menjadi begitu mulia kerana keimanan dan keislamannya. Lantaran kerana peristiwa ini, kasih Saidina Bilal kepada Rasulullah terus bersemarak. Saidina Bilal yang gelap dan hodoh di mata manusia diangkat tinggi oleh Rasulullah saw.

Lantas kerana itu terakam kisah yang saya perolehi di blog – http://ulamaummah.blogspot.com. Kisah yang menyentuh hati kita yang menunjukkan betapa kasihnya Saidina Bilal kepada Rasulullah saw. Bersama kita hayatinya.

Saidina Bilal ra dan cinta Rasul saw

Selepas kewafatan Rasulullah saw, saidina Bilal ra antara sahabat yang tidak mampu lagi bermukim di bumi Madinah. Segala-galanya di kiri dan kanannya mengingatkan kembali kepada nostalgia bersama nabi saw. Lantas beliau membawa diri ke Badariaan – sebuah tempat berdekatan Syam – untuk mengurangkan kesedihan hati.

Satu hari saidina Bilal ra didatangi oleh baginda saw dalam mimpi. Baginda saw berkata : “Mengapa kamu menyepi wahai Bilal? Tidakkah kamu teringin menziarahiku ketika ini?”.

Tersedar daripada tidur dengan dalam keadaan sedih dan takut, beliau dengan segera menunggang kenderaan menuju ke Madinah dan terus mendatangi kuburan nabi saw. Kesedihan menyelubungi diri, kisah pahit manis perjuangan bersama nabi saw telah meletakkan cintanya kepada rasulullah saw melebihi daripada segala-galanya. Kini semuanya tinggal kenangan dalam memori.

Seusai melepas rindunya kepada baginda saw di perkuburan tersebut, dia mencari-cari cucu kesayangan nabi saw, Hasan dan Husin ra. Mereka dipeluk cium tanda cinta yang tidak berbelah bahagi. Pinta mereka kepada saidina Bilal ra ; “kami berharap sangat untuk mendengar kembali azanmu yang telah dikumandangkan kepada Rasulullah saw di masjid.”

Bagi tidak menghampakan harapan tersebut, bumbung masjid tempat yang selalu dia berdiri mengalungkan azan dipijaknya kembali. Azan pertama dalam sejarah Islam dari mulut bekas seorang hamba ini merupakan satu penghargaan nabi saw kepadanya.

Nafas ditarik…..azan dilaungkan dengan penuh syahdu. Bila kalimah ‘Allahu Akbar! Allahu Akbar!’ dialunkan, bergegarlah seisi Madinah.

‘Asyahadu an la ilaha ila Allah’, jiwa penghuni Madinah makin bergetar. Suara yang pernah didengari pada waktu dan ketika nabi saw masih hidup kembali memenuhi ceruk-ceruk Madinah.

Takkala laungan ‘Ashadu an na Muhammadan Rasulullah’ kedengaran, keluarlah para wanita daripada rumah-rumah mereka seraya berkata ; ‘Adakah Rasulullah saw telah dibangkitkan?’.

Seisi Madinah diselubungi hiba, azan saidina Bilal ra mengingatkan kembali kepada nostalgia manis bersama baginda saw. Tidaklah dilihat satu hari pun yang paling banyak manusia menangis di Madinah selepas kewatan nabi saw selain daripada hari tersebut, dek kerana rindu dan teringatkan nabi saw.

Inilah tanda cinta para sahabat kepada Rasulullah saw, yang sukar untuk kita temui sekarang.

(Adaptasi daripada riwayat ibnu asakir daripada sanad junaid)

Bila membaca kisah Saidina Bilal, saya teringat juga pengisian Ustaz Zahazan ketika membicarakan mengenai Luqmanul Hakim. Luqman ini hitam, hidungnya penyek tetapi diberi hikmah oleh Allah. Kata ustaz, hitam dan hidung penyek itu hanyalah pandangan manusia semata-mata terhadap orang yang hodoh. Tapi hakikatnya setiap ciptaan Allah adalah cantik. Seorang kawan pernah mengatakan bahawa dia dia tidak berpuas hati dengan ciptaan dan rupa pasanya. Saya hanya mampu mendoakannya sahaja. Moga satu masa nanti apabila dia menyedari bahawa dia adalah salah satu dari makhluk yang diciptakan Allah, dia akan berasa izzah dengan dirinya kerana setiap ciptaan Allah itu cantik.

Hakikatnya, ikatan hati dan ukhwah itu perlu diikat atas tali kefahaman kepada Islam bukan di atas rupa paras. Masih saya ingati lagi sahabat-sahabat di matrikulasi. Walau berbeza rupa, mereka tetap melayan saya dengan saksama. Terasa kehangatan ukhwah Islam apabila kami makan bersama di dalam talam dan melakukan pelbagai aktiviti bersama.

Tidak lupa juga akhawat yang saya temui saat ini. Banyak sekali perkara yang saya pelajari dari kalian. Terlalu indah ukhwah ini. Apabila makan bersama di dalam dulang, mereka hanya mengambil bahagian yang kurang baik. Bahagian yang terbaik akan ditolak kepada sahabat yang lain. Begitu juga ketika tidur, mereka akan memberikan tempat yang terbaik buat sahabat mereka, namun tidak buat diri mereka. Masya Allah, Islam mengikat hati kami dengan sebegitu sekali sehingga kehangatan ukhwah itu tidak mungkin mampu diterjemahkan dengan kata-kata.

Saya juga mengharapkan perkara yang sama dengan kawan-kawan sekuliah di sini dan sahabat-sahabat yang saya temui di alam maya ini. Moga Islam yang menghubungkan kita, bukannya bidang perubatan dan perkara lain kerana saya bimbang sekiranya ianya diikat hanya di atas dasar belajar di dalam bidang yang sama atau perkara lain, apabila semua itu tiada nanti, kami akan membawa hala tuju masing-masing. Sedangkan sekiranya ianya diikat atas kasih sayang Islam yang turut menjaga hak kawan-kawan bukan Islam saya juga, pastinya ukhwah ini akan berterusan selamanya hingga bertemu Allah kelak

Sejujurnya, Islamlah yang mengajar saya melihat manusia dengan kaca mata hati. Islam menjadikan mereka cantik melebihi kecantikan seorang artis ataupun model yang jelita.

Sewajarnya anak-anak kecil juga perlu diajar bahawa setiap ciptaan Allah itu cantik. Kisah Bilal dan Luqmanul Hakim perlu dititipkan buat anak-anak ini agar mereka mampu menghormati insan lain. Malah akhlaq mereka terhadap mereka yang bukan beragama Islam juga perlu dibentuk. Di saat mereka memanggil dengan sebutan ”orang India itu” atau ”orang Cina itu”, sewajarnya ibu bapa berperanan agar mereka memanggil dengan sebutan yang lebih menunjukkan rasa hormat seperti ”uncle” atau ”aunty”. Perkara yang simple sebegini kadangkala dipandang enteng oleh kita. Anak-anak perlulah dididik agar mereka memahami bahawa Islam memelihara maruah seorang Muslim dan juga bukan Muslim.

Saya juga masih mengingati kata-kata calon bukan Islam pertama PAS yang bertanding di kawasan saya atas tiket PKR apabila membicarakan keadilan Islam, ” ln Kelantan, there has been no demolition of Hindu or Chinese temples, but in Selangor (state) there are issues like the demolition of temples,". Seorang India yang berpendidikan tinggi mampu memahami keadilan Islam dan percaya bahawa Islam memberi keadilan kepada Muslim dan juga mereka yang bukan Muslim.

Keadilan di dalam Islam bukan hanya pada kuil dan tempat peribadatan sahaja tetapi melebihi aspek itu. Islam adil dalam segala segi dan Islam juga adil dalam soal maruah tidak kira kepada mereka yang Muslim ataupun bukan. Islam memberi nilai kepada manusia. Moga nilai ini membentuk peribadi kita.

Thursday, March 20, 2008

Maaf...

Saya rasa seolah-olah tidak mampu memberikan tumpuan pada apa yang saya baca. Barangkali kerana ‘sesuatu’ yang saya kesan pada diri saya dalam 3 hari ini. Saya mula tertanya-tanya, adakah saya akan melaluinya semula sekali lagi? Hanya Allah punya jawapan atas segalanya.

Barangkali semua ini terjadi kerana Allah memakbulkan doa saya – Ya Allah, sekiranya suatu masa nanti aku melupakanMu, janganlah sekali-kali Kau melupakanku. Ujilah aku sehingga aku kembali padaMu.

Ya, ujian adalah perkara terbaik yang mampu mengembalikan kita padaNya. Ketenangan yang diperolehi dari tangisan amat sukar diungkapkan.

Ayah saya menggunakan id YM adik saya untuk bertanyakan adakah saya tidak mahu bertanya khabarnya. Ayah saya menyamar rupanya. Saya hanya bertanya khabarnya melalui ibu saya. Bukan tidak ingin bertanya secara langsung padanya, cuma serasanya keakraban pada si ibu lebih menggamit hati. Bukankah saya pernah tinggal bersemadi dalam diri si ibu selama 9 bulan lebih? Bukankah Rasulullah saw sendiri mengungkapkan kalimah ibu sebanyak tiga kali sebelum bapa? Tiada yang patut dihairankan apabila seorang anak lebih akrab dengan ibunya, bukan? Namun, bukanlah bermakna saya tidak menyayangi ayah saya. Bahkan mungkin saya lebih menyayanginya berbanding yang lain. Allahu A’lam.

Saya telefon ibu sekali lagi. Saya maklumkan padanya saya ingin pulang esok untuk bertemu doktor. Saya tidak pernah reti menyembunyikan perasaan saya padanya. Saya menangis. Saya ceritakan apa yang terjadi. Saya tidak mampu menceritakan ‘sesuatu’ itu di sini. Biarlah. Insya Allah, satu masa nanti akan tiba untuk saya merungkainya.

Masya Allah. Ibu saya terlalu redha. Tidak pernah saya temui keredhaan dan kepasrahan seperti itu. Dia bukannya seorang yang mengikuti usrah, tarbiah atau pernah bersekolah agama. Tapi cukup untuk saya katakan, kata-katanya mampu menggoncangkan hati saya. ”Afi, Allah sayangkan Afi. Allah sayangkan semua orang tapi mak tengok Allah sayangkan Afi lebih, pasal tu Allah uji. Bukan manusia yang sayang, tapi Allah yang sayang. Afi tak nak ke?”. Saya katakan, “Nak, mak”. Kata-kata yang menyedarkan saya tentang kasihNya.

Pagi tadi baru sahaja saya nukilkan satu artikel yang terkandung di dalamnya mengenai sifat AlKhaliq Allah. Allah yang mencipta sesuatu dari tiada kepada ada. Kenapa saya lupa bahawa Allah juga yang mencipta penyakit saya dari tiada kepada ada? Allah yang mencipta saya. Saya tidak akan mampu untuk mengubah ketentuanNya apabila Dia mengatakan ’kun fayakun’ – jadilah, maka jadilah.

Kadangkala saya sendiri tentanya-tanya, mampukah saya untuk meneruskan pengajian saya dalam bidang perubatan ini sehingga akhirnya? Tapi saya bersyukur kerana ultimate goal saya bukanlah untuk menjadi doktor, tapi daie. Doktor hanyalah lesen untuk memudahkan kerja dakwah saya sahaja. Kadangkala apabila saya melihat kawan saya yang study dan berusaha memberi tutor di saat forum maulidurrasul dijalankan, saya seakan bersyukur kerana saya bukan sepertinya yang tergila-gila dengan kerjaya ini. Barangkali dia begitu kerana ingin menjadi consultant dan berdakwah pada consultant yang lain. Saya berharap dan berdoa agar dia berjaya dan berdakwah pada yang lain. Langkah saya dan kebijaksanaan saya tidak sepertinya. Allah mentakdirkan yang lain bagi saya. Tapi saya akan berusaha untuk menjadi yang terbaik. Kalau bukan di mata manusia, biarlah di mata Allah.

Saya sendiri tidak pasti apa yang saya nukilkan di sini. Cuma saya temui ketenangan dengan menulis dan meluahkan rasa.

Hmm, semalam buat pertama kali saya mengetahui tentang satu tempat yang dinamakan ‘qintarah’ (kalau tak silap dengar) sewaktu forum berlangsung. Tempat tersebut berada di tengah perjalanan di saat kita meniti titian sirat. Kalau pernah mengumpat dan melakukan dosa sesama manusia, di sinilah tempatnya kita akan bertemu. Kalau ditakdirkan masuk syurga pun, kalau ada dosa dengan manusia, kenalah settlekan di sini. Saya rasa ngeri sangat bila saya tahu pasal ni.

Saya nak memohon kemaafan pada semua manusia di atas dosa yang pernah saya lakukan kepada kalian. Kalaulah saya mati bila-bila, saya berharap bahawa blog ini menjadi saksi bahawa saya pernah memohon ampun pada manusia yang lain. Kalau ada tak puas hati apa-apa atau amanah yang tidak saya laksanakan, saya pohon anda menegur saya secara direct. Saya pohon sejuta kemaafan sekali lagi.

Dalam hati ada rindu..

Tulisan ini diadaptasi daripada forum yang saya ikuti semalam.Catitan ini masih jauh dari kesempurnaan. Sebarang penambahan dan teguran di atas kesilapan amatlah dialu-alukan.

Sahabat-sahabat maya sekalian,

Izinkan saya untuk menggunakan kalimah ‘sahabat’ ketika memanggil kalian, kalimah yang mengandungi jutaan makna tersirat. Kalimah tersebut digunakan oleh Rasulullah saw ketika memanggil sahabatnya meskipun Rasulullah kadangkala seperti guru untuk anak muridnya atau barangkali seperti seorang ayah untuk anaknya. Kalimah yang merealisasikan hadis, "Tidak beriman seseorang kamu hingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Riwayat Bukhari & Muslim) Kalimah ‘sahabat’ ini membuatkan kaum Ansar sanggup menyerahkan hatta rumah mereka kepada Muhajirin. Kita berdoa moga Allah mentautkan hati kita semua untuk berada pada jalanNya dan mampu mengimani hadis ini.

Sahabat-sahabat maya sekalian,

Semalam ustaz mengatakan sekiranya kita mendengar doa atau kata-kata kebaikan, hendaklah kita mengaminkannya. Kita berdoa pada Allah agar pertemuan kita menerusi warkah-warkah maya ini menjadi tempat untuk kita menyiram dan membaja iman kita. Moga pertemuan ini juga mampu menyuburkan kembali qalbu-qalbu yang selama ini gersang. Kita doakan agar diri kita menjadi batu-bata terbaik yang akan mendirikan semula bangunan Islam yang pernah runtuh. Kita berdoa agar kita dapat meneruskan kembali dan mewarisi perjuangan Rasul-Rasul terdahulu.

Sahabat-sahabat sekalian,

Hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran Rasulullah saw. Ustaz kata kita perlu ziarah Rasulullah saw tiap-tiap hari dan bukan pada hari ini sahaja. Barangkali ada di antara kita yang tertanya-tanya, apa yang dikatakan menziarahi Rasulullah saw tiap-tiap hari itu? Adakah dengan menziarahi baginda di Masjid Nabawi, Madinah? Kata ustaz, menziarahi Rasulullah saw tiap-tiap hari adalah dengan membaca sirah perjuangannya, mengamalkan sunnahNya, dan membaca Kalamullah yang menjadi penenang hatinya. Dan sememangnya semua itu menjadi motivasi buat kita.

Sahabat-sahabat sekalian,

Ustaz katakan lagi bahawa di zaman ini manusia menyebut Allah dan Rasulullah saw seperti menyebut air atau perkara lainnya. Seolah-olah tiada zuq atau roh ketika menyebut keduanya. Kata ustaz, untuk mengenali Rasulullah saw, kita perlu mengenali Allah Taala terlebih dahulu. Bagaimana untuk mengenali Allah? Salah satunya adalah dengan memahami sifatNya AlKhaliq, Maha Pencipta. Apa bezanya ciptaan Allah dengan ciptaan manusia? Allah mencipta sesuatu dari tiada kepada ada. Tetapi manusia, hanyalah mencipta sesuatu dari ada kepada ada yang lain. Manusia hanya tahu modify sahaja sebenarnya, bukannya mencipta. Manusia tidak akan sesekali mampu mencipta hatta sekepak nyamuk atau setitis darah. Tidak akan sesekali manusia mampu melakukannya.

Sahabat-sahabat sekalian,

Ayuh kita renungi tanda-tanda kekuasaan Allah. Kemudian akan Kami tunjukkan tanda-tanda (kekuasaan) Kami pada alam dan pada diri mereka, sampai jelas bagi mereka bahawa ini (AlQuran) adalah kebenaran (Surah AlFussilat:53)

Tanda-tanda kekuasaan Allah bermula dari sekecil-kecil ciptaan sehingga sebesar-besarnya. Cuba renungi seketika akan makhluk-makhluk Allah yang hanya mampu dilihat oleh mikroskop elektron sahaja. Kemudian renungi hakikat ciptaan bumi ini. Allah mengetahui setiap daun yang gugur dan segala perilaku hambaNya. Dan kemudian fikirkan seketika tentang galaksi Bima Sakti. Hayati juga ciptaanNya yang lebih luas iaitu Lohong Hitam misalnya. Cuba bayangkan bahawa kita di angkasa dan sedang melihat semua ciptaan ini. Di mana hakikatnya kita? Terlalu kerdil untuk dibandingkan hatta dengan bumi, apatah lagi dengan galaksi Bima Sakti dan yang lainnya. Tanyakan kembali dalam diri sendiri, adakah semua ini tercipta dengan sendiri. Tidak, bukan? Dialah Allah yang mencipta semua ini. Mampukah kita untuk bongkak pada Allah setelah melihat kekuasaanNya? Tidak sesekali. Dan Allah yang memiliki semua kekuasaan inilah yang telah mengutuskan Rasulullah saw.

Sahabat-sahabat sekalian,

Rasulullah saw adalah qudwah hasanah, sebaik-baik contoh ikutan kerana akhlaqnya adalah AlQuran. Bagaimana caranya untuk mengadaptasi qudwah hasanah ini dalam kehidupan kita sehari-hari? Jawapan ustaz mudah sahaja, iaitu dengan mengamalkan sunnahnya. Kata ustaz lagi, jawapan itu sungguh mudah tetapi begitu sukar untuk mempraktikkannya. Apakah itu sunnah? Terlalu banyak sunnah baginda seperti berserban, bercelak, berjubah dan lainnya. Tapi apakah dia sunnah yang paling besar yang baginda lakukan? Sunnah terbesar tersebut adalah DAKWAH.

Kita imbas kembali saat penurunan wahyu kedua surah AlMudathir. Di saat Rasulullah saw begitu bimbang dan ketakutan bertemu Jibril, Rasulullah pulang ke rumah dan meminta isterinya Khadijah menyelimutkannya. Cuba bayangkan kalau kita sendiri bertemu dengan satu makhluk yang tidak pernah kita temui sebelumnya. Bagaimana perasaannya? Takut bukan? Dan itulah yang dirasakan oleh Rasulullah saw. Tetapi kemudian turunlah ayat dari surah AlMudathir. Ya Ayyuhal Mudathir. Qum faanzir...Wahai orang yang berselimut, bangunlah dan berilah peringatan... Allah guna dalam ayat kedua tersebut fa (faanzir). Apa beza ‘fa’ dan ‘saufa’? Macam kitalah kan,dah makan dan lepas tu nak basuh tangan. Tapi kita sempat nak jalan berlenggang nak pergi dapur untuk basuh tangan. Itulah ’saufa’ , ada sela masa di antara perbuatan kita. Tapi dalam ayat ini Allah guna fa yang membawa maksud bangun terus dan beri peringatan. Apa yang Rasulullah lakukan? Rasulullah saw bangun dan membuka selimutnya terus dan mengatakan pada Saidatina Khadijah, ’ Telah berlalu masa tidurku’.

Sejak saat itu Rasulullah saw terus berdakwah sehingga akhir hayatnya. Dan inilah sunnahNya yang paling besar. Tanyakan pada diri kita, kita dah ’qum faanzir’ atau belum? Kita dah berikan peringatan atau belum? Sama-sama kita memperbaiki diri. Kerana usaha dakwah Rasulullah saw, kita dapat merasai kelazatan nikmat iman dan islam. Dan kita mengenali nikmat yang paling besar iaitu nikmat mengenal pencipta kita, Rabb sekalian alam iaitu Allah.

Kenapa agaknya Rasulullah saw berdakwah? Sebab kasih dan sayangnya pada kita. Tidak pernah sesekali beliau berasa tenang apabila melihat ummahnya. Rasulullah bersedih melihat kehancuran dan kesesatan kaumnya kerana baginda tahu semua itu mampu membawa kaumnya kepada kemurkaan Allah. Allah gambarkan perasaan baginda ini dalam Surah AlKahfi ayat 6. ”Maka (Apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati sesudah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman dengan keterangan ini (AlQuran)”. Kesedihan inilah juga yang perlu ada dalam hati kita melihat ummah ini. Dan kerana semua inilah kita juga berjanji untuk memikul tugas dakwah ini.

Sahabat-sahabat sekalian,

Pena maya ini bakal berundur. Namun izinkan saya mengulang kembali kisah ini. Kisah pertemuan baginda dengan sahabat-sahabatnya. Di saat mana Rasulullah mengatakan dia merindui saudara-saudaranya, suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.


"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.


"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara:

"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda:
"Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.

"Malaikat," jawab sahabat.

"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, " Para nabi."

"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."

"Mungkin kami," celah seorang sahabat.

"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas

Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.

"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya.

Sunday, March 16, 2008

Musafir dan tarbiah..

Saya rasa nak menulis hari ni. Banyak sekali perkara yang terjadi pada saya dalam dua hari ini. Saya menulis mengenai kisah saya, seorang yang hatinya terlalu kotor dan nafsu jahatnya terlalu jahat. Cuma kasih sayang Allah yang masih menyelematkan saya sehingga saat ini. Saya tidak pasti sama ada doa saya ini betul atau salah tapi saya berdoa - Sekiranya satu masa nanti aku tidak mengingatiMu, Ya Allah, jangan sesekali Engkau melupakanku. Ujilah aku sehingga aku kembali padaMu.

Semalam di saat-saat panggilan Subuh bakal berkumandang, ustaz hantar mesej menerusi YM. ”Salam. Apa khabar Malaysia? Semua program ok?”. Saya rasa macam tidak tahu nak jawab apa. Saya katakan ok dan saya mengikuti program kolej. Lepas tu ustaz tanya saya sama ada saya mengikuti program di Bangi ataupun tidak. Saya katakan saya tidak tahu apa-apa. Ustaz tanya saya, ”Dah tak ingat akak-akak tu lagi ke? Kesiannya..”. Huhu..terasanya saya dengan apa yang terjadi. Tapi saya akui saya memang dah beberapa minggu tidak ikut usrah, daurah dan tarbiah sebab operation dan sakit.

Waktu ustaz mesej tu, saya rasa macam Allah tegur saya. Kalau ustaz yang tanya, mesti rasa malu punya sebab ustaz yang tanya saya ni terlalu saya hormati dan macam ada ’aura’. Macam faham-faham je ustaz ni dengan apa yang berlaku kat saya. Mesti Allah yang berikan ilham kat ustaz untuk tanya saya, hambaNya yang memang lemah ni kan? Sejujurnya malu bangat.

Tapi tak mudah juga untuk saya membuat keputusan untuk pergi ke program sebab kerja saya bertimbun. Nafsu saya memang terlalu jahat untuk menggoda saya untuk tidak pergi ke program. Satu nasihat saya kat sahabat-sahabat, jangan sesekali ponteng program-program tarbiah, nanti mesti jadi liat. Waktu tu bukan mudah nak pujuk hati dan perasaan. Hati saya tidak tenang. Saya buka Quran. Allah tunjukkan saya surah AlKahf, kisah pemuda-pemuda yang tertidu kat dalam gua. Waktu tu saya yakin Allah memang nak suruh saya pergi program ni.

Ada lagi konflik kedua. Nak pergi program ni atau nak pergi meeting PPIM? Pergi meeting PPIM senang je. Naik bas sekali je. Kalau nak pergi program ni, kena jalan kaki, naik bas, ERL, komuter, dan kereta barulah sampai. Waktu tu pun nafsu yang jahat kata kat saya, “Kau ni baru habis operation. MC pun ada lagi. Nak pergi program ni ke?”. Jahatnya nafsu saya, nafsu yang dah lama tidak terima tarbiah. Huhu..Saya buat keputusan tanya pimpinan teratas PPIM, perlu ke saya pergi meeting PPIM. Alhamdulillah, pimpinan PPIM kata macam dah terlebih orang. So, waktu tu bertambahlah lagi keyakinan saya yang Allah sebenarnya nak saya pergi program ni.

Saya pun bersiap. Sekerat jalan saya berjalan, saya rasa macam tiada duit RM1 cukup-cukup untuk tambang bas. Saya terlalu yakin berkenaan hal itu. Semalam waktu saya buka dompet saya untuk bayar duit kawan, saya yakin memang tiada duit kecil. Tapi Allah beri ilham untuk tengok semula dompet tersebut. Masya Allah, ada duit RM1. Saya terpana seketika. Sekali lagi itu adalah petunjuk Allah untuk saya pergi ke program tersebut.

Kat KTM komuter pun, terjadi satu perkara. Waktu saya call seorang ukhti untuk mengambil saya, datang seorang perempuan. Saya ingatkan dia nak tanya jalan. Masya Allah rupanya dia adalah kawan sekolah saya dulu. Sudah berubah 360 darjah. Rambut coklat, make up dan pakaian yang tidak mungkin mampu saya gambarkan. Waktu tu dia cakap dengan saya, ”Ni aku lah, ****. Sorrylah aku dah jadi macam ini”. Saya cuma tidak menangis lagi je saat itu.

Peristiwa tersebut adalah pengajaran terbesar dari Allah untuk saya. Perlu ke saya ragu-ragu untuk mengikuti tarbiah di saat ummah yang ada ini terlalu koyak? Tidak sesekali sewajarnya. Saya melangkah kaki ke program dalam keadaan penuh rasa berdosa melihat nasib ummah. Andainya selama ini saya menangis untuk Palestin, sewajarnya saya menangis untuk ummah yang ada di sekeliling saya.

Saya kagum melihat akhawat yang lain. Esok nak exam pun sanggup nak datang program. Saya?

Saya temui semua persoalan dan kekeliruan yang selama ini bermain di minda saya apabila saya mengikuti program ini. Antara dakwah dan belajar, semuanya terjawab di sini. Insya Allah saya akan kongsikan dalam entri seterusnya. Saya rasa termotivasi selepas pergi program ini. Musafir saya ini adalah perjalanan sebuah tarbiah dariNya.

Tuesday, March 04, 2008

Rasakan..

Kadangkala bila saya temui mereka yang tiada langsung perasaan empati dan simpati, saya rasa macam teringin sangat nak buat pembedahan ke atas mereka dan ingin berkata kepada mereka, "Rasakan". Huhu..Saya tiada apa-apa lesen atau sijil untuk melakukan pembedahan. Saya tahu perasaan ini salah, tapi sikap sesetengah manusia kadangkala menjengkelkan.

Saya kira saya juga bukanlah seorang yang memiliki naluri empati dan simpati ini pada mulanya. Tapi perasaan ini hadir hanya setelah bergelar pesakit. Saya bertemu dengan doktor, jururawat,attendan, kawan dan mereka yang baik sepanjang bergelar pesakit, dan saya juga bertemu dengan mereka yang jahat juga.

Hanya setelah bergelar pesakit, saya memahami makna kesakitan. Kalau saya ceritakan kepada rakan-rakan yang belajar perubatan bersama-sama saya mengenai prosedur 'laparoscopic diagnostic', pastinya mereka akan menganggapnya biasa sahaja kerana saya juga berperasaan sedemikian. Tapi hanya setelah bergelar pesakit, saya faham betapa berbisanya prosedur tersebut. Perut akan diisi dengan gas sewaktu prosedur dilakukan. Setelah prosedur, gas-gas inilah yang menendang jahitan dan luka. Sukar untuk memahamkan manusia lain akan apa yang saya dan pesakit lain rasai. Kerana kesakitan tersebut, tekanan darah saya tinggi dan saya disuntik dengan suntikan morphine. Saya kira hampir 4 kali saya disuntik dengan morphine.

Waktu saya menjerit kesakitan sewaktu jahitan dibuka, seorang jururawat mengatakan bahawa ia hanya psikologi saya belaka. Waktu tu nak saja saya katakan padanya, "Biar saya buat perkara yang sama pada nurse, dan kemudian saya akan katakan bahawa ianya 'psikologi' belaka". Geramnya tapi tak terluah.

Seorang doktor Cina memberi suntikan IV antibiotic kat tangan saya tanpa urut dan sekali cucuk sahaja. Ya Allah, sakit sekali. Bila saya katakan sakit, dia hanya menjeling sahaja. Seorang doktor India juga melakukan prosedur yang sama, tapi apabila dia melakukannya dengan perlahan dan mengurut tangan saya, kesakitan yang saya rasai adalah minima. Kadangkala saya fikir, setiap doktor perlu menjadi pesakit dahulu, barulah mereka akan memahami apa yang dirasakan oleh pesakit.

Waktu saya berbaring di atas stretcher, baru saya fahami perasaan takut. Tapi nurse yang menolak stretcher saya sedang berbual dengan nurse yang lain berkenaan kulit wajahnya dan Mustika Ratu. Geramnya saya. Kenapalah tidak cuba menenangkan pesakit?

Waktu saya diarahkan untuk mengeluarkan tangan dari baju bedah yang saya kira jauh dari kesempurnaan, nurse tersebut tidak menutup langsir dengan sebetulnya. Ya Allah, kerja sambil lewa sahaja. Geramnya saya. Apa saya ni haiwan yang tidak punya rasa malu? Sedarlah, anda berhadapan dengan manusia yang Allah kurniakan rasa malu padanya.

Kalau suatu hari nanti, Allah takdirkan saya menjadi pensyarah, saya pasti akan menggagalkan anak murid saya yang bersikap kurang ajar seperti ini. Anda tidak layak menjadi doktor mahupun jururawat. Ada satu insiden yang terlalu memalukan, tetapi saya tidak ingin mencoretkannya di sini. Saya dimalukan di hadapan pesakit dan keluarga yang lain. Tapi biarlah ia tersimpan kemas dalam minda saya sahaja. Harapkan nama sahaja Associate Professor, tapi perangai..huhu..tidak usah saya katakan.

Apapun, saya ucapkan tahniah kat kolej saya yang memperkenalkan konsep cognitive dan affective domain. Cognitive ni macam akademik dan affective ni cam akhlaq. Kalau dapat A cognitive, tapi C Affective, markah final C. Mungkin agak kelakar bagi manusia lain, tapi saya hargai sistem ini. Kami disuruh menulis log book (macam diari) setiap minggu, kami diminta menghantar folio kami setiap kali selesai peperiksaan akhir, kami di'assess' berkenaan cara pertuturan kami dengan pensyarah, kami wajib datang ke kelas tepat pada masanya dan kami juga ada peer assessment. Kawan-kawan kami juga menganalisa kami. Ya, memang bagus. Sebab manusia yang tidak punya akhlak yang baik tidak layak menjadi seorang doktor, farmasi dan Muslim.


Setelah bergelar pesakit juga, saya rasa macam takut nak mengikuti program sunathon lagi. Saya takut nak bantu menjahit lagi. Entahlah, mungkin sebab saya sudahpun faham apa maknanya kesakitan. Masih saya ingat lagi soalan seorang doktor Benggali yang agak tampan :) waktu melihat luka saya, adakah saya akan mengingati kesakitan ini apabila menjadi doktor kelak? Saya katakan, saya akan ingat. Dia tanya lagi, adakah saya akan melakukannya dengan tergopoh gapah? Saya katakan tidak. Cukuplah, memang sakit dan saya akan memahami kesakitan pesakit saya kelak. Insya Allah.

Terbayang movie The Doctor yang pernah saya tonton. Kisah doktor yang sangat kurang ajar, tetapi menjadi baik hanya setelah bergelar pesakit. Rasanya apa yang saya lalui adalah nikmat yang Allah kurniakan. Satu persediaan untuk menjadi doktor yang baik pastinya. Ya Allah, saya perlu belajar dengan baik agar saya mampu menjadi doktor yang baik. Terlalu banyak perkara yang saya tidak tahu lagi.

Buat mereka yang cemburu sebab saya tidak perlu melalui latihan terendak, percayalah apa yang saya lalui mungkin sama sahaja dengan apa yang anda lalui. Saya juga telah diletakkan dalam keadaan yang cukup stress, saya juga sudah dimalukan. Entahlah, sama sahaja rasanya apa yang kita lalui. All the best for Terendak.

Monday, March 03, 2008

Ibu,,,

Masih jelas lagi di ingatan saat saya belajar mengenai’Congenital Infections’ di dalam kelas. Ada yang tertawa apabila pensyarah memberitahu bahawa ada ibu yang terbuang air besar saat melahirkan anak. Ya, ia mungkin lucu buat sesetengah manusia. Tapi bukan saya. Terasa betapa sukarnya kesukaran seorang ibu melahirkan anak sehingga nyawa anak lebih diutamakan dari rasa malu membuang air besar di hadapan para doktor.

Terbayang ayat-ayat Allah di dalam kalamNya yang mengiktiraf para ibu. Kesukaran yang dilalui oleh setiap ibu diiktiraf dengan sebenarnya oleh Allah dalam kalamNya. Tidak mungkin ada mana-mana manusia yang dapat menafikan ayat Allah. Ayat-ayat tersebut adalah kebenaran melebihi kebenaran. Bila Allah menyebutnya sebagai kesukaran, ia adalah kesukaran. Tiada sesiapa yang mampu menafikannya.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Surah Luqman: 14)

Masih juga jelas di ingatan kunjungan ke rumah anak yatim Ummu Sopiah, Perak. Seakan-akan kata-kata Bonda (ibu yang menjaga kanak-kanak tersebut) bermain-main di cuping telinga. Katanya, setiap ibu adalah pembohong. Apabila anak yatim ini bertanyakan ibu mereka mengenai si ayah, si ibu akan berkata bahawa ayah telah pergi jauh. Walau macam mana kesukaran yang ibu lalui, dia tetap akan mengatakan bahawa semua itu tiada apa-apa. Walau dia tidak berduit, tapi apabila si anak memintanya, dia akan cuba mencarinya di mana sahaja.

Ya, saya akui ibu saya juga pembohong. Dan saya lebih memahami hakikat penipuan dan pembohongan itu semasa saya sakit. Walau macam mana penat pun, ibu saya tidak akan sesekali mengeluh. Dia dah berusia dan tidak mampu menahan kesejukan penghawa dingin, tapi dia tetap bersama saya dan membantu saya untuk bergerak. Dia katakan semua itu biasa meskipun saya tahu dia benar-benar kesejukan. Sewaktu baru selesai pembedahan, saya tidak mampu bangkit dari katil, dan ibu saya ada untuk membantu saya. Seakan-akan saya temui tempat untuk saya bergantung. Dia akan membawa saya ke tandas dan akan membantu untuk membersihkan saya. Sepanjang malam dia tidak tidur dengan selesa. Bila saya merasai kemanisan cinta dari si ibu, saya cuba mengingatkan diri saya akan Pencipta cinta itu sendiri, iaitu Allah.

Saya temui kehebatan Siti Hajar dalam dirinya. Siti Hajar yang akan berlari-lari untuk mengambil air buat anaknya, Ismail. Ibu saya juga akan sedaya upaya dan segegas mungkin mengambilkan air untuk saya saat saya mengkehendakinya. Dengan sangat sabar, dia akan menyuapkan air tersebut. Ya Allah, kurniakan syurga tertinggi dan terindah buat ibu saya.

Walau bagaimana kesukaran yang si ibu lalui, dia akan melihat anaknya sepertimana Asiah melihat Nabi Musa. Dia akan melihat anaknya sebagai cahaya mata terindah dari Allah. Dia tidak pernah kisah akan kesukaran yang dilaluinya demi anaknya. Dia sanggup berkorban nyawa demi anaknya sepertimana Asiah yang tidak takutkan Firaun kerana kasihnya pada Nabi Musa.

Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: (Semoga dia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan dia berguna kepada kita atau kita jadikan dia anak. (Surah AlQasas:9)

Kesakitan sewaktu tube ditarik keluar dari perut saya tanpa bius pagi tadi sememangnya menyakitkan. Tapi kata-kata akak di hadapan saya yang turut diuji dengan sakit seperti saya menyedarkan saya bahawa sakit itu bukan apa-apa. Katanya, kesakitan melahirkan anak lebih menyakitkan dari sakit tersebut. Ya Allah, tidak mungkin saya mampu membayangkannya. Waktu jahitan saya dibuka, saya terasa ingin menjerit sekuat hati meskipun jahitan itu kecil sahaja hakikatnya. Tidak dapat saya bayangkan kesakitan ibu saya sewaktu melahirkan adik saya yang keempat, dibedah dari kiri perut hingga ke kanan perut. Tidak mungkin saya dapat mengungkapkan kesakitan itu. Ya Allah, terlalu besar pengorbanan seorang ibu.

Saya hargai drama 1 Litre of Tears kerana drama tersebut begitu teliti dalam menggambarkan naluri seorang ibu. Mungkin kita rasa wanita ni lemah, tapi sebenarnya dia sangat kuat. Sangat kuat untuk menerima keadaan anaknya dan berusaha kuat untuk memotivasikan anaknya. Kalau saya punya masalah, serasanya saya terasa lega kalau saya dapat meminta ibu saya untuk berdoa bagi saya.

Setiap yang datang dari ibu memang terlalu bermakna. Dulu saya mengeluh tiada sesiapa bersama saya melalui kesukaran belajar ’medic’ ni. Kata ibu saya, ”Allah ada bersama Afeera’. Kata-kata tersebut mungkin biasa bagi sesetengah manusia, tapi tidak bagi saya bila ianya datang dari si ibu. Bila saya melalui kesukaran dalam hidup, kata-kata tersebut seakan-akan menggamit hati. Saya ingat lagi beberapa kalimat Asmaul Husna yang ibu tuliskan di atas sekeping kertas. Saya hargai kertas tersebut dan menampalnya di hadapan meja belajar. Sehelai kertas yang dicorakkan oleh si ibu benar-benar menjadi motivasi buat saya. Kalau dulu saya malas berjogging, tapi bila ibu berkata tentang satu hadis bahawa Allah lebih menyayangi Mukmin yang kuat dari Mukmin yang lemah, saya jadi bersemangat untuk menjaga kesihatan. Segalanya yang datang dari seorang ibu terlalu bermakna buat anaknya.

Allah iktiraf ramai wanita di dalam AlQuran seperti kisah ibu nabi Isa, Maryam dan ramai lagi wanita agung lainnya. Allah mengangkat darjat wanita. Dan kadangkala tanpa sedar wanita-wanita dihadapan kita seolah-oleh mewarisi ciri-ciri hebat itu. Buat mereka yang memiliki isteri dan ibu, hargailah mereka dengan sebenarnya. Di samping itu, ingatilah mereka yang yatim. Hulurkan bantuan buat mereka. Kesedihan mereka tidak mungkin kita gambarkan. Secalit kegembiraan yang kita berikan pada mereka tidak mampu menghilangkan kesedihan mereka. Ingati mereka dalam doa kalian. Doa saya, moga Allah kurniakan syurga tertinggi dan terindah buat semua ibu.

Saturday, March 01, 2008

Mati hidup semula...

Izinkan saya berkongsi cerita. Bukan menagih simpati, tapi sebagai peringatan buat diri saya sendiri dan insan lain. Semalam saya melalui saat-saat bertarung dengan kematian. Manusia yang telah mati tidak akan ada untuk menceritakan tentang kematian. Tapi saya yang nyaris mati dan diberi peluang kedua oleh Allah ingin berkongsi catitan ini. Dan saat ini saya menulis dalam kesakitan yang amat. Tapi ini adalah janji saya dengan Allah. Nafas dan peluang kedua ini akan saya gunakan dengan baik. Air mata masih bergenang dan mengalir saat saya menulis semua ini.

Dan Aku bersumpah dengan "Nafsul Lawwaamah" (bahawa kamu akan dibangkitkan sesudah mati)! (Surah Qiamah:2)

Ayat ini mengisahkan bahawa Allah bersumpah dengan mereka yang menyesali dirinya dalam tafsiran yang lain. Ya, saya benar-benar menyesal saat ini.

Saya menghidap penyakit. Tapi penyakit ini tidak akan menyebabkan kesakitan. Doktor mengesyaki bahawa saya mempunyai penyakit endometriosis dan semalam saya melalui prosedur ’laparoscopic diagnostic’. Saya mempunyai sejarah menghidap asthma. Saya dipam (menggunakan nebulizer) sebelum prosedur.

Bukan ketakutan ditolak atas stretcher yang akan saya kongsikan. Bukan juga kisah jururawat yang sibuk berbual mengenai ’Mustika Ratu’ di saat saya ketakutan yang ingin saya khabarkan. Bukan juga kisah jururawat yang tidak mengambil hirau soal aurat saya yang ingin saya nukilkan. Tapi kisah sebuah pertarungan sakaratul maut yang tidak akan sesekali saya lupakan.

Kalau seseorang itu dibius, pernafasannya akan dibantu oleh alat bantu pernafasan. Setelah sedar, alat bantu pernafasan tersebut akan dikeluarkan. Saat itu saya diserang asthma dan tidak mampu bernafas. Saya terbayang wajah ibu saya. Tapi saya tahu dia tiada. Hanya ALLAH. ALLAH sahaja yang ada. Saya menjerit-jerit memanggil nama ALLAH saat itu. Doktor tanya saya samaada saya sakit ataupun tidak. Saya katakan saya ingin bernafas. Masya Allah, nikmat pernafasan yang selama ni Allah berikan secara percuma hilang dari saya saat itu.

Saat itu terbayang kehidupan saya selama 21 tahun saya hidup di dunia ini, tiada apa-apa. Allah banyak berfirman dalam kalamNya bahawa apabila kita hampir pada kematian, kita akan sedar bahawa kehidupan kita terlalu singkat sebenarnya. Ya, saya sedar kehidupan saya selama 21 tahun ini terlalu singkat saat itu.

Patutkah manusia (yang kafir) menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya (dan menghidupkannya semula)? Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun (dengan sempurnanya segala tulang) jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain). (AlQiyamah: 3-4)

Allah juga berfirman dalam kalamNya bahawa kebanyakan manusia akan meminta peluang kedua untuk hidup saat itu. Saya meminta kepada Allah peluang kedua saat itu. Percayalah, ianya terlalu sakit. Kesakitan yang maha luar biasa. Alangkah Rasulullah juga merasai kesakitan sakaratul maut, apatah lagi saya. Sakitnya terlalu luar biasa. Tercungap-cungap.

(Maka) pada hari itu, berkatalah manusia (yang ingkarkan hari kiamat): Ke manakah hendak melarikan diri? Tak usahlah bertanya demikian! Tidak ada lagi tempat perlindungan! Pada hari itu, kepada Tuhanmulah sahaja terserahnya ketetapan segala perkara. Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang dia telah lakukan dan apa yang dia telah tinggalkan. Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri, Walaupun dia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri). (AlQiyamah: 10-15)

Ya, saya akan menjadi saksi perbuatan saya sendiri. Tiada kebaikan yang mampu menjadi saksi, dosa yang bertimbun yang saya kumpulkan seakan-akan terbayang. Saya minta peluang kedua lagi dari Allah saat saya menjerit namanya. Dan saya sedar bahawa para doktor sedang cuba sedaya upaya untuk ’resuscitate’ saya. Apa yang ingin saya hadapkan pada Allah? Apa alasan yang ingin saya kemukakan kepada Allah atas dosa-dosa yang saya lakukan? Tiada alasan yang mampu saya kemukakan.

Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya. Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya). (Alqiyamah:20-21)

Ayat AlQuran mengkhabarkan kebenaran mengenai manusia seperti saya yang cintakan dunia, yang tidak memikirkan kesudahan seperti saya. Ya Allah, saat itu seolah-olah saya ingin peluang bertaubat.

Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya. (AlQiyamah: 22-23)

Ya Allah, berikan saya peluang kedua untuk menjadi manusia yang beriman. Saya benar-benar mengharapkan peluang kedua saat itu. Tidak mungkin kata-kata mampu menceritakan apa yang saya alami. Ianya terlalu menakutkan. Bukan saya ingin menakutkan sesiapa, tapi inilah hakikatnya. Kematian itu terlalu menakutkan. Baru saya faham kata-kata sahabat saya apabila saya meminta nasihat darinya. Katanya, ’cukuplah kematian sebagai nasihat’. Ya, benar. Tiada apa yang mampu memberi pengajaran sebaik mana kematian memberi saya pengajaran.

Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong, Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: Siapakah yang dapat menawar jampi (dan mengubatnya)? Dan dia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan; Serta kedahsyatan mati pun bertindih-tindih. (Maka) kepada Tuhanmulah pada waktu itu engkau dibawa (untuk menerima balasan). (alQiyamah: 26-30)

Allah khabarkan semua ni dalam kalamNya. Ia bukan fantasi sahabat-sahabat sekalian. Tapi realiti yang tidak mungkin mampu saya ceritakan. Saya masih lagi tidak percaya bahawa saya masih menghirup nafas yang Allah kuniakan saat ini. Saya tidak percaya bahawa saya hidup semula. Saya masih lagi tidak percaya bahawa Allah memberikan saya peluang kedua untuk hidup.

Sahabat-sahabat sekalian, saya pohon sejuta kemaafan atas segala dosa yang saya lakukan terhadap kalian. Ampunkan saya andai saya pernah mengumpat mengenai kalian. Maafkan saya andai kata-kata saya pernah menggores hati kalian. Izinkan saya menjadi manusia baru atas nafas kedua yang Allah berikan.

Terlupa untuk mengkhabarkan diagnosis penyakit saya. Tiada endometriosis. Cuma hemorrhogic ovarian cyst. Ketumbuhan berdarah berukuran dalam 5 cm di ovari sebelah kiri. Semalam juga operation dilakukan. 4 tebukan di perut. Terlalu sakit saat ini. Tapi saya redha. Bukankah Allah berjanji setiap kesakitan itu akan menggugurkan dosa yang telah saya lakukan? Doakan saya agar Allah mengurniakan saya umur yang panjang dalam keimanan. Doakan saya agar saya mampu menjadi manusia yang lebih baik dengan nafas kedua yang Allah berikan ini. Doakan saya diberi peluang kedua untuk berjuang buat ummah ini. Doakan saya agar saya tidak melakukan perkara-perkara lagha lagi dalam kehidupan ini. Saya mengharapkan kemaafan dan doa dari kalian. Terima kasih Allah atas nikmat 3G ini yang memungkinkan email ini sampai ke inbox kalian.

Patutkah manusia menyangka, bahawa dia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)? Bukankah dia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)? Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)? (AlQiyamah:36-38)

Dari katil U1040,

Insan yang mengharapkan kemaafan dan doa dari kalian,

Ummu Afeera Zainulabid
There was an error in this gadget