Wednesday, August 29, 2007

Pandangan..

Coretan saya ini hanya luahan hati saya semata-mata. Dan tidak sesekali nukilan yang terpendam lama di lubuk hati ini benar.

Sudah hampir 3 minggu saya di sini dan Hari Sukan sedang berlangsung dengan meriahnya. Namun ada sesuatu yang menggelisahkan hati saya. Saya memberi nama untuk bermain bola jaring tapi selama dua kali sesi pertandingan, saya tidak bermain. Sebabnya? Saya tidak suka ada lelaki yang memerhatikan permainan tersebut.

Saya tidak pasti apa sebenarnya yang saya lalui. Hal ini benar-benar menggelisahkan. Adakah saya terlalu kolot? Adakah saya tidak professional? Adakah saya mengalamai inferiority complex?? Saya tidak pasti tapi hati saya tidak menyukainya. Saya tidak suka apabila ada lelaki yang menjerit-jerit memanggil nama perempuan. Bahasa mudahnya, saya tidak suka kehadiran lelaki dalam sesi perlawanan.

Tanpa lelaki, saya yakin bahawa saya boleh bermain. Sekiranya saya perlu bermain futsal juga, saya akan bermain dengan sepenuh hati. Syaratnya, tanpa lelaki.

Permintaan saya ini pastinya asing di dunia yang telah hilang ciri keislamannya. Di sudut yang lain, saya ada seorang kawan. Dia ber‘couple’. Saya begitu hairan apabila dia tidak cemburu melihat ‘boyfriend’nya itu mengusha perempuan lain di hadapannya. Saya tanyakan, mengapa?? Mudah sahaja jawapan yang diberi. Dia juga mengusha lelaki lain di belakang ‘boyfriend’nya itu. Terkesima rasanya saya. Saya tidak pasti apa yang akan terjadi di alam rumah tangga mereka kelak.

Lelaki yang paling saya hormati di dunia ini adalah lelaki yang menjaga pandangannya. Lelaki ini sahaja yang akan membuat saya tertunduk malu. Tapi terlalu sukar untuk menemukannya. Saya temui ramai lelaki yang mampu berucap, memberi tazkirah, menyertai usrah, menghadiri program agama dan lainnya, tapi terlalu sukar untuk menemukan lelaki yang menjaga pandangan mata. Terlalu sukar. Terlalu sukar dan terlalu sukar. Dunia ini asing bagi saya dan sikap saya.

Saturday, August 18, 2007

Tidak bergaduh...

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh

Maafkan saya sekiranya saya tidak menulis begitu lama. Ada beberapa perkara yang perlu diuruskan. Saya akur dengan kelemahan diri. Kadangkala sanggup untuk menguruskan masa untuk segala aktiviti lain tapi bukan untuk menulis satu dua artikel agama. Seolah-olah urusan agama hanya apabila ‘ada masa’.

Hakikatnya seorang Muslim perlu melakukan sesuatu untuk agamanya meskipun ianya adalah perkara yang paling kecil. Menulis adalah tradisi ulama. Imam Syaukani dinasihati gurunya untuk menulis paling kurang dua baris sehari dan Imam Syaukani mematuhi nasihat gurunya itu. Hari ini kita dapat membaca karya-karya agungnya seperti Nailul Authar dan lainnya.

Attabari meminta sehelai kertas agar dia mampu menulis doa dan hadis yang baru dipelajari dari seorang ulama yang datang menziarahinya ketika di berada di ambang-ambang kesakitan sakaratulmaut. Hebat sekali ulama Islam dahulu.

Ingin sekali rasanya membaca tulisan sahabat-sahabat sekalian. Saya pasti terlalu banyak ilmu yang tersimpan di dada kalian. Berkongsilah kisah kalian kerana di sana terdapat insan-insan yang menantinya dengan hati yang terbuka.

Maafkan saya andai coretan saya ini tidak seberapa. Setakat ingin berkongsi secebis pengalaman yang saya lalui. Alhamdulillah, saya telah memulakan kembali sesi pengajian saya bermula hari Isnin yang lalu. Ada beberapa perkara rasanya yang ingin saya kongsikan dengan sahabat-sahabat sekalian. Hikmah dan segala petunjuk yang Allah hadirkan dalam kehidupan yang kadangkala indah untuk diterjemahkan dengan mata pena.

Semester ini dimulakan dengan block Urinary System. Bagi mereka yang bergelar pelajar perubatan, pastinya maklum dengan madah yang satu ini. Dapat saya simpulkan, madah ini berkenaan dengan sistem perkumuhan.

Organ penting yang saya pelajari adalah berkenaan dengan buah pinggang. Tidak pernah atma saya terasa dengan nikmat Allah yang satu ini. Cuma kata-kata seorang pensyarah mencambahkan minat untuk saya belajar mengerti rahsia yang tersirat di sebalik organ yang kecil ini.

Saya pasti sahabat-sahabat sekalian mempunyai kenalan yang menghadapi penyakit buah pinggang dan terpaksa melalui proses dialisis tiap minggu. Pertama kali saya menatap mesin dialisis sewaktu lawatan akademik ke hospital, tiada apa yang hadir dalam hati nurani saya. Bicara seorang pensyarah di sini selalu terkesan di sudut hati. Terasa kerdilnya diri ini.Mesin sebesar itu digunakan untuk menggantikan ciptaan Allah yang begitu kecil iaitu buah pinggang. Kerdilnya manusia.

Selama bertahun kita hidup di dunia, tidak pernah sesekali Allah meminta bayaran di atas nikmatnya buah pinggang yang kita miliki. Dan kadangkala kita tidak pernah terfikir pun mengenai hal ini, seperti mana bicara Syed Qutb, kita jarang bersyukur kerana kita sudah terbiasa dengan nikmat tersebut. Cuba bayangkan, kalau Allah tarik sekejap sahaja nikmat tersebut?Sekiranya sahabat-sahabat ingin melihat perbandingan di antara saiz mesin dialisis dan buah pinggang, gunakan sahaja laman carian google. Terlalu besar perbandingannya. Hebatnya buah pinggang ini, dia tidak pernah berehat. Bekerja kerana mematuhi perintah RabbNya.

“…tidak ada sesuatu melainkan bertasbih memujiNya, tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka”. (Surah Isra’:44)

Ya, semua benda yang Allah ciptakan mematuhi perintah Allah cuma insan jarang kali ingin memahami. Cuba bayangkan sel-sel dalam badan yang bekerja mematuhi perintah Allah ini dipaksa melakukan maksiat. Sel-sel ini memberontak. Dengan sebab itu, hati yang suci akan terasa gelisah dengan maksiat kerana ia menyalahi fitrahnya.

Saya juga terkesan sewaktu mempelajari fisiologi (proses dan peranan) buah pinggang ini. Sewaktu kelas physiology berlangsung, pensyarah saya membahagikan kelas kepada dua untuk membincangkan kelebihan dua proses yang dilakukan oleh buah pinggang iaitu ‘glomerular filtration’ dan ‘tubular reabsorption’. Kedua-dua kumpulan berbahas menceritakan kelebihan masing-masing. Ada yang berkata sekiranya proses pertama tidak berlaku maka proses kedua juga tidak akan berlaku. Maka proses pertama adalah lebih baik. Ada pula yang memberi hujah mempertahankan proses kedua.

Akhirnya kami ditanya berkenaan dengan konklusi aktiviti tersebut. Saya terkesan dengan penjelasan dari pensyarah saya. Ketahuilah bahawa di dalam tubuh manusia yang normal, perdebatan seperti ini tidak akan berlaku. Tidak ada satu proses pun yang cuba mengatakan bahawa dirinya adalah terbaik. Tapi kesemua proses bersatu untuk menjalankan fungsi tubuh dengan baik. Masya Allah, terasa kehebatan Allah. Dengan ribuan malah jutaan proses di dalam tubuh manusia, tidak ada satu pun yang berselirat dalam tubuh manusia yang normal.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?". (Surah Ar Rahmaan : 13)

Buah pinggang yang kecil itu mengajar seribu satu hikmah. Tentang kerjasama dan lainnya. Usah takbur merasakan diri yang terbaik.

Terlalu banyak nikmat Allah yang perlu kita syukuri. Ketahuilah bahawa manusia itu terlalu kerdil Namun kekerdilan itu semacam tidak mendatangkan keinsafan dalam diri kita. Mengapa hati kita begitu keras? Tepuk dada, tanyalah iman.Dan pertama kali sebenarnya, saya mengetahui bahawa pengidap penyakit buah pinggang tidak mampu untuk kencing. Ya Allah, rupanya buang air kecil yang kita rasakan tiada apa-apa itu juga adalah nikmat. Bayangkan seminit, kalau Allah tarik nikmat tersebut?Rahmat Allah terlalu luas buat kita. Allah mengetahui sekecil-kecil perkara tentang kita. Cuba bayangkan setiap pokok yang ada di dunia ini. Terlalu banyak dan kita tidak pernah mampu untuk mengiranya. Tapi Allah, Dia mengetahui setiap helai daun yang gugur di muka bumi ini. Dan bagi pelajar perubatan, kita pasti mengatahui betapa tersusunnya ciptaan Allah di dalam badan kita hatta sehingga kepada struktur molecularnya. Dan Allah yang Maha Mengetahui semua ini pastinya mengetahui segala maksiat yang kita lakukan. Kerdilnya kita di sisiNya..

Tuesday, August 14, 2007

Selesai..

Alhamdulillah, Allah telah membantu saya meyelesaikan masalah. Insya Allah, saya masih di sini.

Monday, August 13, 2007

Jiwa..

Andai jiwa teresak-esak menangis, pastinya itu jiwa saya. Ribut badai yang melanda keluarga kerana perbuatan khianat seseorang membuatkan saya tertekan. Duit pengajian saya ‘dicurinya’.

Esok, saya mungkin dihalang dari meneruskan pengajian kerana masih belum menyelesaikan yuran. Ujian ini saya rasakan terlalu berat. Tangisan seakan mendayu-dayu.

Air mata tidak henti-henti di tubir mata. Mahu diberitakan pada siapa? Pada unit baitulmal yang tidak ingin memberikan sumbangan? Pada pihak MARA yang masih terusan bermesyuarat? Pada pihak YPJ yang hanya ingin memberi RM8000 dari jumlah yuran iaitu RM 50000? Mahu disampaikan pada pihak kolej agar mereka mengerti?

Terasa seram sejuk. Kegerunan melanda. Seakan-akan tidak cukup kekuatan menghadapi ujian yang satu ini.

Saya tidak mengemis mengharapkan biasiswa, saya mengemis hanya inginkan PINJAMAN.

Perjalanan hidup kadangkala merimaskan. Pastinya ada hikmah.

Penyakit pula acapkali menyerang. Ada cyst (ketumbuhan) sekecil 6.9 cm di dalam perut. Bayaran ujian darah dan ‘scan’ sahaja mencecah RM308. Saya terasa seolah-olah membebankan insan yang bernama ayah. Itu zahiriah. Penyakit maknawinya belum mampu saya nukilkan.

Tadi saya belajar mengenai buah pinggang. Ya Allah, adakah itu kelas saya yang terakhir? Jangan Ya Allah. Jangan sekali-kali. Hanya Engkau tempat saya meminta.

Ya Allah, tidak sesekali saya memilih bidang perubatan kerana diri saya sendiri. Saya hanya memilihnya kerana Islam. Banyak bidang lain yang boleh saya ceburi sekiranya berdasarkan minat. Tapi saya memilih mandala ini. Kerana Islam saya melakukannya, meskipun kadangkala saya seakan goyah. Kerana saudara seislam di Palestin dan lainnya saya memilih bidang ini. Permudahkanlah Ya Allah.

Oh ye, mengenai buah pinggang. Terasa kerdil diri ini. Darah yang dipam dari jantung ke seluruh badan memiliki tekanan yang paling tinggi. Darah ini yang akan sampai kepada buah pinggang juga. Tapi darah yang mempunyai tekanan yang tinggi ini perlu melalui seribu satu laluan agar tekanan darahnya berkurangan. Masya Allah, Allah tahu darah yang diperlukan oleh buah pinggang hanya memerlukan tekanan yang rendah. Maka Allah mencipta saluran darah yang banyak untuk dilalui oleh darah tersebut. Masya Allah, sekali lagi Allah menunjukkan kehebatanNya apabila dalam keadaan tekanan darah yang rendah, buah pinggal mempunyai kadar tapisan yang tinggi. Segala bahan toksik mampu ditapis oleh buah pinggang.

Begitu juga dengan ujian yang Allah timpakan. Kadangkala ujian itu besar. Sering melalui ujian yang besar membuatkan kita melihat ujian sebagai sesuatu yang kecil. Telah biasa diuji. Namun di penghujungnya, Allah ingin kita menjadi kuat.

Ya Allah, permudahkan segala ujian yang Engkau berikan.

Maakan saya andai entry ini bercelaru.

Thursday, August 02, 2007

Garam...

Bagaimana dengan hati? Masih bereaksi dengan dosa atau hati itu tidak terasa apa. Itu yang saya fikirkan. Masih bergelegak ke hati saya melihat maksiat? Maksiat perlu diubah dengan tangan, lisan ataupun yang paling lemah dengan hati.

Hati? Bergejolak ke hati dari dalam nurani sebagaimana bergejolaknya periuk di atas api melihat maksiat? Terbakar ke hati atas dengan kekecewaan dan kesedihan atas apa yang dilihat? Hancur ke hati sebagaimana larutnya garam dalam air atas apa yangdipersaksikan dari kemungkaran sedang ia tidak sanggup mengubahnya?

Gelora hati tidak akan tertahan selama-lamanya, tidak dapat tidak ia akan bernafas untuk menggambarkan dirinya dengan satu rupa atau dalam bentuk yang lain, kerana periuk itu bila bertambah kuat apinya, ia akan meletup atau pun hancur.

Amar maaruf terlalu senang. Nahi mungkar terlalu sukar. Di mana saya mutakhir ini?

Magic..

Saya minum air tanpa menggunakan cawan. Dapat bayangkan? Tidak sesuai bebenar. Mak saya larang. Tapi saya tidak dengar.

Tahu apa terjadi? Saya tersedak. Hmm, kalau di rumah, kami adik beradik akan namakannya ‘magic’.Itulah padahnya apabila tak dengar cakap mak.

Pada kami, mak memang pandai buat ‘magic’. Jangan tak dengar cakap mak lagik. Nanti kena ‘magic’. Huhu..

Seronok ke??

Malam masih tetap menggelisahkan. Saya tidak pasti makna sebuah pencarian. Cyst? Mahu diceritakan tapi biarkan dulu. Biarkan segalanya berlalu.

Ujian? Saya tidak terasa. Saya tidak terasa walaupun ramai yang berkata. Mengapa? Hati terlalu keras barangkali.

Sahabat? Teman? Kawan? Sukar saya fahami makna di sebalik semua ini.

Iman? Tidak berapa sihat. Saya rindu pengisian dari segelintir manusia.

Rindu? Tiada siapa untuk saya rindukan.

Al Quran? Sedikit menenangkan di saat kegelisahan. Di saat menghadapi malam yang penuh kejahatan.

6.9 cm? Angka yang bermain di fikiran.

Cuti? Kian berlalu. Sudah hampir 6 minggu. Tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Garam? Di entri lain.

Ok, saya mahu mencuba untuk mematuhi sunnatullah. Tidur.

Wednesday, August 01, 2007

Mengapa??


Bohong. Tipu. Itu kerja ramai manusia di dunia ini. Saya temui ramai sekali penipu sejak akhir-akhir ini. Macam-macam penipuan yang dilakukan.

Ada yang menggunakan alasan untuk memeluk Islam dan menipu. Ada yang menipu atas nama Tuhan. Mengapa??

Saya rasa dunia bukan lagi tempat yang selamat. Terlalu sukar untuk menemui manusia baik. Sehinggakan ada yang mengatakan orang yang paling baik itu adalah orang yang paling jahat. Ada sedikit kebenaran barangkali. Kerana kebanyakan penipu yang saya temui adalah manusia-manusia yang berpura-pura baik.

Tidak ada lagikah ihsan? Merasakan Allah melihat perbuatan kita. Saya juga selalu terlupa sehingga sering melakukan dosa. Dosa saya biarlah Allah sahaja yang tahu. Dia tidak membongkar dosa saya, mengapa pula saya ingin membuka debu-debu dosa sendiri??

Kadangkala susah untuk melakukan kebaikan di zaman ini kerana terlalu sukar menemui manusia yang baik. Duit masjid juga dicuri. Di rumah Allah itu sendiri manusia melakukan kejahatan. Van juga dicuri di masjid ketika solat Jumaat.

Manusia menjadi penakut. Mereka yang bukan Muslim terpaksa membeli anjing dari spesies yang mahal untuk mengelak rompakan. Mereka yang bersenam dan berjalan di luar rumah kini tidak lagi keluar kerana bimbang dengan kes rogol.

Itu yang terjadi di kawasan perumahan saya. Pernah sahaja seorang wanita diragut di hadapan rumah saya. Tanda-tanda kopakan sang pencuri ada sahaja di pintu rumah saya.

Dunia tidak lagi selamat rasanya. Mengapa? Jawapannya mudah. Kerana hukum Allah tidak ditegakkan. Kamu mengaku Allah mencipta dirimu, bukan? Lantas mengapa kamu menidakkan hukum Allah? Seorang pencipta sahaja yang mengetahui apa yang terbaik untuk makluk ciptaannya. Allah sahaja yang mengetahui apa yang terbaik untuk manusia. Maka mengapa kamu menidakkannya???

Win-Win..

Saya terlalu gembira dengan tulisan Ustaz Hasrizal bertajuk Habit 4: Think Win-Win Untuk Survival Dakwah. Tulisan tersebut benar-benar adalah sesuatu yang saya pendamkan dan pernah diluahkan. Tapi sayang seribu kali sayang, tulisan saya tidak diapprove oleh moderator yahoogroup jemaah saya.

Barangkali mereka ada asbab yang jelas untuk menolak tulisan saya. Allahu A’lam.

Dalam senario yang lain, selalu sahaja ibu bapa merungut bahawa si anak tidak mahu mendengar kata. Tetapi apabila kata-kata yang sama dikatakan oleh motivator terkenal seperti Dr Fadzilah Kamsah, anak-anak itu mahu mendengar. Saya menganggap biarlah isu saya bersama jemaah juga begitu.

Barangkali mereka tidak mengendahkan tulisan saya, tapi biarlah mereka mengambil hikmah dari tulisan seorang ustaz yang telah lama berkecimpung dalam dunia dakwah. Itu doa saya.
There was an error in this gadget