Tuesday, July 31, 2007

Perjalanan..

Berkali-kali saya menukar template. Tapi jarang menambah entri. Cuti saya tinggal 10 hari lagi. Saya tidak mengambil short semester kerana saya lulus semua subjek. Alhamdulillah.

Saya ketandusan idea kerana konflik dalaman. Mana satu yang perlu saya percayai? Segala ilmu yang saya pelajari atau sesuatu yang berada di luar lingkungan saya?

Sinar malam kadangkala meresahkan. Kesukaran mematuhi sunnatullah di malam hari begitu menggelisahkan.

Biarkan segalanya berlalu. Hadapi hari mendatang dengan hati yang terbuka. Rona perjalanan kita bukannya ‘kebetulan’ kerana ‘kebetulan’ bertentangan dengan aqidah kita.

Wednesday, July 25, 2007

Dah sediakan passport?

Pernah pergi luar negara? Pastinya pernah, bukan? Banyak persediaan yang perlu dilakukan. Antaranya:

1) Tiket

2) Passport

3) Visa

4) Sijil Kesihatan

5) Pakaian (bersesuaian dengan musim destinasi yang dituju)

6) Duit (dalam currency yang betul)

7) Pastikan urusan di rumah selesai (contohnya bil air, bil elektrik dan lain-lain)

8) Meninggalkan seseorang yang dipercayai untuk menguruskan hal ehwal rumah

Begitulah juga dengan persediaan kita menuju destinasi yang dinamakan kematian. Hanya satu sahaja perbezaannya iaitu kita perlu bersedia tidak kira hari dan masa kerana kita tidak pasti dengan sebenarnya waktu berlepas bagi perjalanan ini. Tapi yang untungnya, kita tidak perlu memikirkan kos untuk membeli tiket kerana kos tiket ditanggung sepenuhnya oleh Pencipta kita.

Ada dua pilihan destinasi. Maka, passport dan visa memerlukan syarat yang berbeza. Kita tidak memerlukan passport seperti Malaysian, British, atau American. Bagi yang menginginkan keredhaan Allah (menuju syurga), urusan passport perlulah ditandatangani oleh Allah dan RasulNya. Dia juga perlu lulus beberapa syarat yang lain seperti mengakui keesaan Allah (tauhid), mengamalkan keadilan (Adala) dan juga kepercayaannya terhadap Hari Pengadilan (Qiyama). Visa kalimah ‘Laiha Illallah’ tidak akan tamat tempoh.

Bagi yang berminat untuk menuju ke destinasi yang kedua iaitu Jahannam, tiada syarat-syarat ketat yang dikenakan. Tidak perlu melakukan amalan seperti jujur, sabar, solat, zakat, amar maaruf nahi munkar dan lain-lain. Apa yang perlu dilakukan? Senang sahaja. Hanya perlu membuka aurat, pergi clubbing atau tempat-tempat maksiat, minuk arak, berhibur dengan hiburan yang tidak dibenarkan oleh syara’ dan lain-lain.

Pakaian untuk menaiki penerbangan ini amat mudah dicari, sangat ringkas dan kelihatan kasual iaitu kain kafan. Tidak perlu susah-susah mencari pakain berjenama seperti Pierre Cardin dan lain-lain.

Pastikan segala hutang telah diselesaikan. Solat-solat yang ditinggalkan telah diqadha’, puasa telah dibayar dan lainnya.

Pastikan peruntukan kewangan mencukupi dan dalam currency yang tepat. Sebabnya, satu-satunya currency yang dibenarkan di alam barzakh adalah amalan kebaikan. Selain amalan wajib dan perbuatan baik, adalah baik sekiranya kita telah menyediakan tabungan yang baik di dunia iaitu amal jariah seperti anak yang soleh, harta yang diinfaqkan dan juga ilmu yang bermanfaat.

Usah risau mengenai perjalanan ini. Maklumat mengenai destinasi yang dituju tidak akan ditemui di dalam mana-mana brochure perjalanan yang terkenal, tetapi ianya ada di dalam Al Quran dan Hadis.

Kita tidak akan menaiki MAS atau British Airways, sebaliknya kita akan menaiki Jenazah Airways.

Barang-barang seperti amalan kebaikan yang dibawa boleh sahaja melebihi muatan. Tiada caj tambahan yang akan dikenakan bagi barang yang berlebihan.

Pramugari adalah Izrael yang akan datang dalam rupa yang bersesuaian dengan amalan yang dilakukan.

Kita tidak akan berhenti di Jedaah International Terminal sebaliknya kita akan berhenti di Terminal Kubur.

Tiada penghawa dingin yang akan disediakan di kediaman kita kelak. Kita akan tinggal di sebuah bilik kecil sedalam 6 kaki.

Pegawai imigresen yang akan menentukan destinasi perjalanan kita adalah malaikat Munkar dan Nankir.

Perjalanan ini akan transit di alam barzakh.

Seperti yang disebutkan, destinasi terakhir yang akan dituju adalah syurga yang mengalir sungai-sungai susu di bawahnya atau neraka yang menyala dengan sedahsyat-dahsyatnya.

Jangan risau. Penerbangan ini tidak akan sesekali jatuh ke tangan pengganas. Usah risau tentang keracunan makanan atau sebarang alahan kerana makanan tidak akan disediakan sepanjang perjalanan.

Jangan sekali-kali gelisah tentang kelewatan berlepas kerana kita akan bertolak tepat pada waktunya. Tidak akan lambat walau sesaat.

Masalah tiket juga telah diselesaikan. Tiket telah ditempah semenjak kita di alam azali lagi.

Berita yang paling menggembirakan adalah kita tidak perlu memikirkan siapa yang akan duduk bersebelahan dengan kita sepanjang perjalanan kerana kita akan melalui perjalanan ini berseorangan. Bergembiralah sekiranya kita mampu bergembira di saat itu.

Perkara terkhir yang perlu diingatkan adalah perjalanan ini datang tanpa amaran. Adakah anda telah bersedia??

Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat dan Dialah jua Yang Menurunkan hujan dan Yang Mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung) dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (samada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya. (Quran 31:34)

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. (Quran 59:18)

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); (Quran 67:2)

Tuesday, July 24, 2007

Tidur...

Terdapat sebuah kisah mengenai seorang peladang. Suatu hari, dia ingin mengambil seorang pekerja untuk membantunya menguruskan ladang yang begitu luas. Tidak ramai yang ingin bekerja kerana ladang tersebut terletak berdekatan dengan lautan. Angin kencang selalu melanda ladang tersebut.

Namun pada suatu hari datang seorang pemuda yang ingin bekerja di ladang tersebut. Si peladang menemu bual pemuda yang datang dari negeri yang jauh itu. Kata si pemuda, “Kelebihanku adalah aku boleh tidur ketika angin kencang berlaku”.

Si peladang keliru dengan apa yang dikatakan oleh pemuda tersebut. Namun kerana terpaksa, peladang tersebut terpaksa mengambil si pemuda untuk bekerja. Pemuda tersebut berasa gembira dan mula bekerja dengan baik sekali.

Pada suatu hari, ketika sedang tidur,si peladang terdengar bunyi tiupan angin kencang. Dia bangun dari tidur, menuju ke pondok tempat si pemuda sedang berehat. Dia mengejutkan pemuda tersebut untuk membantunya mengikat haiwan-haiwan ternakan dan menguruskan perkara lainnya. Namun si pemuda itu menjawab, “Aku sudah katakan padamu bahawa aku boleh tidur ketika angin kencang berlaku”. Pemuda itu kemudiannya menyambung tidurnya yang telah terganggu.

Si peladang berasa marah dan berazam untuk memecat si pemuda keesokan harinya. Dia bergegas ke ladang untuk mengikat haiwan-haiwan ternakannya. Dia berasa terkejut apabila tiba di ladang tersebut. Haiwan-haiwan ternakannya telah diikat dan ladangnya berada dalam keadaan yang baik. Fahamlah dia akan apa yang dikatakan oleh pemuda tersebut. Pemuda tersebut telah bersedia menghadapi segalanya.

Kisah pendek ini memberi pengajaran kepada kita. Ya, kita perlu bersedia. Sekiranya kita sedang belajar, usah belajar di saat akhir peperiksaan sehinggakan kita perlu berjaga malam menghabiskan silibus. Bagi yang sudah bersedia, malam peperiksaan merupakan kerehatan baginya.

Begitu juga bagi yang sudah bekerja. Usah tangguhkan pekerjaan yang diberi sehingga terpaksa mengqadha’kannya pada waktu yang lain.

Itu sahajakah persediaan yang perlu kita lakukan? Tidak. Persediaan yang paling besar adalah persediaan menghadapi akhirat. Dunia inilah tempat untuk kita melakukan persediaan. Hanya mereka yang telah bersedia sahaja yang tidak takut kepada kematian dan alam akhirat. Sama juga dengan peperiksaan, mereka yang bersedia sahaja akan menghadapinya dengan hati yang tenang.

Dunia jahiliyyah hari ini menemukan kita dengan ramai manusia yang menyangka bahawa dunia ini adalah penghujung segalanya. Hiburan di mana-mana.Betapa ramai insan-insan yang melupakan alam akhirat. Alam di mana hanya ada dua keputusan : Syurga atau Neraka. Lupakah kita dengan alam tersebut? Lupakah kita kehidupan di alam kubur? Siapakah yang diharapkan untuk menemani kita sekiranya bukan amalan kebaikan yang dilakukan? Maka bersedialah bermula dari saat ini.

Di dalam hadis Rasulullah disebut,"Apabila matinya anak Adam maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya dan ilmu yang bermanfaat"

"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan solat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi." (Surah Al Fatir:29)

Saturday, July 21, 2007

Sukar..

Ihsan, kalimah itu saya pelajari dari Kak Maryam. Ya, masih cuba mengekalkan ihsan. Merasai Allah melihat perbuatan saya. Baik di alam friendster mahupun YM. Terlalu sukar pastinya.

~Mimpi~

Terdapat sebuah kisah tentang seorang lelaki. Di dalam keheningan malam, lelaki ini bermimpi bahawa terdapat seekor singa yang sedang mengejar dirinya. Lelaki ini lari dan memanjat pokok yang ditemuinya. Apabila dia memandang ke bawah, singa tersebut masih menunggu dirinya.

Lelaki itu melihat pula sisinya. Terdapat dua ekor tikus sedang memakan dahan tempat di mana lelaki tersebut duduk. Seekor tikus berwarna putih, manakala seekor lagi berwarna hitam.

Lelaki tersebut kemudian memandang ke bawah dalam keadaan terketar-ketar dan dia melihat bahawa terdapat seekor ular hitam yang begitu besar sedang menantinya. Ular tersebut benar-benar berada di bawah tempat lelaki tersebut duduk dan sedang membuka mulutnya, bersedia melahap lelaki tersebut pada bila-bila masa.

Lelaki tersebut kemudian memandang ke atas. Manalah tahu sekiranya ada sesuatu yang boleh dilakukannya. Dia ternampak titisan-titisan madu yang sedang menitis dari indung lebah. Dia cuba merasainya. Terlalu enak. Dia ingin merasainya sekali lagi. Akhirnya dia kehilangan punca di dalam kemanisan madu yang tidak terhingga itu.

Dia terlupa tentang dua ekor tikus, singa dan ular yang sedang menantinya. Selepas seketika dia terbangun dari tidurnya.

Untuk memahami makna di sebalik mimpinya itu, lelaki tersebut menemui seorang ulama. Ulama tersebut berkata: Singa yang kamu lihat itu adalah kematian. Dia akan sentiasa mengejar kamu walau ke mana sahaja kamu pergi.

Dua ekor tikus, hitam dan putih adalah siang dan malam. Tikus hitam menandakan malam dan tikus putih pula ada siang hari. Keduanya silih berganti, memakan masa yang kamu ada dan membawa kamu mendekati kematian.

Ular hitam yang besar tersebut adalah kubur. Dia sentiasa menanti kamu masuk ke dalamnya.

Madu tersebut adalah dunia, dan kemanisan madu pula adalah kenikmatan dunia yang tidak terhingga. Kita teringin merasakan setitis nikmat dunia tersebut dan ianya terlalu manis sehingga membuatkan kita ingin sekali merasakan nikmat-nikmat yang lain.

Dalam masa yang sama, kita lupakan masa yang kian suntuk, kita lupakan saat-saat kematian dan juga si kubur yang setia menanti.

Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? (Quran 6:32)

Friday, July 20, 2007

Fikir sekejap...

“..Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali..” (Quran 2:156)

Ribuan manusia pernah berjalan dan mendiami bumi ini. Mereka datang dari negeri dan budaya yang berbeza. Ada di antara mereka yang namanya masih disebut sehingga kini. Dan ada pula yang langsung tidak diketahui. Meskipun setiap manusia itu berbeza dari seribu satu aspek tapi terdapat dua persamaan di antara mereka. Pertama, kesemua mereka dilahirkan dari rahim si ibu dan keduanya, kesemua mereka akan merasakan kematian. Ada sesiapa yang mahu mengatakan bahawa dia akan hidup selama ribuan tahun?

“Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;” (Quran 36:38)

Allah yang Maha Pengasih merahmati kita dengan pelbagai nikmat. Matahari misalnya memancarkan cahaya pada siang hari agar kita dapat melihat. Sinaran matahari membantu tumbuhan untuk membesar dan menjadi kegunaan manusia sebagai sumber makanan. Hanya itu sahajakah fungsi matahari? Tidak. Matahari juga mengajar kita banyak perkara. Hari siang akan berlalu dan malam akan mengambil tempat. Allah tunjukkan kita bahawa kita juga akan pergi dari dunia yang fana’ ini. Apabila matahari muncul semula pada keesokan hari, itu buktinya bahawa Allah juga mampu membanngkitkan kita setelah mati. Betapa hebat petunjuk Allah dalam kehidupan kita sehari-hari.

Sesuatu yang perlu kita ingati adalah kematian itu sesuatu yang pasti. Ia tidak dapat dielakkan walau sesaat. Semuanya akan musnah kecuali Allah SWT. Kematian itu dapat dilihat disekeliling kita. Sahabat yang pernah bersama kita dulu telah pergi.Tumbuhan yang dahulunya hijau bertukar kuning dan akhirnya gugur. Di musim sejuk pula, pokok-pokok kelihatan tidak berdaun. Semua ini menujukkan bahawa semua hidupan akan mati.

Kematian itu sentiasa memberi tanda. Lihat sahaja tubuh badan kita. Dahulunya kuat kini semakin lemah. Rambut yang hitam beransur putih. Kulit yang tegang kian berkedut. Dahulunya kita di tadika, sekarang kita berada di universiti. Semua itu adalah petanda bahawa kematian itu semakin dekat. Adakah kita menyedarinya?

Kematian itu pasti. Allah yang mencipta kita akan mencabut semula nyawa yang diberikan. Dan kemudian kita akan diadili. Seorang pencipta pasti dapat mencipta semula benda yang pernah diciptanya.

Contohnya, apabila seorang guru menyuruh kita melukis di papan hitam, dan menyuruh kita memadam semula lukisan tersebut, adakah kita dapat melukisnya semula?

Ya, kita pasti dapat melukisnya semula. Begitulah analoginya bahawa Allah pasti dapat mencipta kita semula.

Kematian selalu dilupakan oleh mereka yang cintakan dunia dan segala isinya.

Seorang penyajak pernah mengatakan, “Usah berikan hatimu pada dunia, kerana dunia merupakan pengantin yang tidak setia, tidak pernah mencintai kamu meskipun untuk satu malam”.

Seorang ulama mengatakan, “Sekiranya kamu melihat betapa cepatnya kematian itu datang, pastinya kamu akan berputus asa mengenai dunia”.

Orang yang beriman akan merindui kematian. Dia akan sentiasa mengharapkan pengampunan dari Allah. Dia akan menerima dengan hati yang terbuka ketentuan ajalnya. Hatinya tidak sabar untuk bertemu dengan KekasihNya, bertemu dengan Ahlul Bait. Namun dia tidak sesekali bersedih apabila kematiannya itu terlambat kerana dia tahu masa yang ada itu akan digunakan untuknya bertaubat dan melakukan amalan kebaikan lainnya. Hazrat Qasim mengatakan bahawa kematian baginya adalah lebih manis dari madu. Itulah perasaan yang dirasakan oleh mereka yang benar-benar beriman kepada Allah.

Ketika di dalam penjara, Imam Ali An-Naqi menggali kuburnya sendiri. Pengunjung yang melawatnya berasa kagum. Imam Ali menerangkan, “ Aku ingin sentiasa mengingatinya maka aku mengadakannya di hadapan mataku”.

Sebelum berhadapan dengan kematian, adalah penting untuk melakukan persediaan. Persediaan inilah yang akan menghilangkan kegentaran terhadap kematian.

Moga kita semua akan tergolong dalam golongan kanan kerana berada dalam golongan kita merupakan keperitan yang tidak terperi.

Sunday, July 15, 2007

Sebuah sejarah...

Durra, sudah lama rasanya marsumku tidak hinggap di kantung posmu. Kau sahabatku. Aku meniti rindu untuk bertemu denganmu. Jika bukan di dunia itu, ku pohon biar ia di syurga nanti.

Durra, aku ingin berkongsi sesuatu. Cemeti-cemeti soalan dari sang pensyarah begitu menyakitkan diriku. Terasa bisa menjalar di setiap sendi urat sarafku. Bolehkah wanita yang dirogol menggugurkan kandungannya? Bagaimana Islam memelihara jiwa dan nyawa kandungan? Soalan-soalan tersebut benar-benar meragut harga diriku. Aku tidak mengetahui fiqh perubatan sejelasnya.

Durra, ingatkah kau dahulu saat tamrin akhir di matrikulasi berlalu. Atas takdir Khaliq, aku dipukul dengan cemeti soalan tika itu sehebatnya. Saat itu persis titisan hujan. Hidayah menerpa kamar yang telah lama tertutup. Sapaan soalan yang benar-benar menggentarkan atmaku itu cukup mudah, tapi aku gagal menjawabnya. Apa itu Islam? Terlalu mudah soalan itu. “Kacang goreng” sahaja bagi si kecil. “Islam itu deen,cara hidup yang ….”, tergagap aku menjawabnya. Akhirnya aku sedar aku hanya tin kosong. Aku gagal menjawab soalan itu. Sahabat yang lain menjawab, “Islam adalah penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah”. Durra, aku malu pada Allah saat itu. Aku gagal menjawab soalan itu. 18 tahun lamanya menjadi muslim yang sia-sia.

Durra, saat itu juga adalah saat pertama aku berkenalan dengan sejarah. Libasan soalan seterusnya menyebabkan tangkai hati seakan mudah dipatahkan. “Siapakah ibu susuan nabi yang pertama?”. Terkesima. Rasulullah ada ibu susuan selain Halimatus Saadiah?? Mengapa aku tidak mengetahuinya? Dia suri teladan ummah, tapi aku tidak mengenalinya sedalamnya. Malunya untuk bertemu dengan kekasih Allah itu masih terasa hingga kini.

Durra, aku tidak pasti dengan insan yang lain. Debu-debu kejahilan mengenai agama yang dianuti sekian lama kadangkala merobek diri. Bukan tidak pernah mempelajari tentang Islam, cuma atmaku tidak pernah merasakan kemanisan bertemankan iman dan islam sehingga saat itu tiba. Aku perolehinya secara percuma sehingga nikmat itu dirasakan bukan nikmat.

Durra, ingatkah kau lagi soalan lain yang pernah diajukan sewaktu tamrin tersebut? “Siapa Perdana Menteri Singapura?”. Terlalu mudah soalan yang diajukan. Namun kita sebagai peserta gagal menjawabnya dengan tepat. Konklusi dari soalan tersebut membuatkan hati tercelik semula. “Sekiranya kalian gagal menjawab soalan ini, cuba fikirkan, adakah kalian mengetahui rancangan musuh-musuh islam? Negara jiran sendiri tidak diketahui, adakah kalian dapat menyelami apa yang terjadi kepada saudara-saudara seaqidah di Palestin, Pakistan dan lainnya?” Putaran masa silam sebenarnya mengajariku kehidupan hari ini, mengiktibari bilahan hari yang berlalu. Baru kini aku tersedar kelemahan diri sendiri. Semua tingkah memori ini datang tanpa diminta tatkala membaca semula tulisan ulama tersohor Dr Yusuf Qardhawi mengenai hukum mengugurkan kandungan hasil pemerkosaan.

Durra, sejujurnya sewaktu aku membaca tulisan tersebut, aku tidak mengetahui di mana posisi tepat Eritrea. Seakan ingin terusan menyalahkan diri. Mengapa aku tidak mengetahui bahwa di sana terdapat saudaraku, kakakku dan adikku yang saban waktu dirogol. Mengapa aku tidak pernah mengetahuinya? Mengapa hatiku tak terasa apa di saat saudaraku menderita? Adakah hatiku begitu kotor sehingga kemanisan ukhwah itu gagal aku rasai? Cubit peha kiri, peha kanan terasa juga. Mengapa ianya tidak terjadi padaku? Mengapa aku tidak merasainya. Empang air mata pecah tanpa dipinta saat membaca tulisan tersebut. Kukira ia bukan setakat hukum, tapi ia mengajakku berfikir lebih jauh.

Durra, 21 Ogos bakal tiba. Hari itu adalah Hari AlQuds Sedunia. Seakan-akan hari itu sahaja untuk mengingati saudara seislam. Sukar untuk memahami realiti. Ukhwah itu tiada batas waktu. Bagaimana aku bisa memamahnya agar ia terus berakar umbi di perdu hati?

Durra, lidahku tidak dipotong untuk aku memberitahu yang lain akan kesengsaraan saudara sendiri. Darah yang mengalir di dalam tubuh belum lagi membeku untuk aku duduk berdiam diri sahaja. Tanganku masih memegang pena untuk menukilkan segalanya. Lantas apa yang terjadi padaku saat ini? Mengapa diriku melihat sahaja kezaliman itu?

Durra, aku tak ingin disaluti debu kejahilan selamanya. Aku mula mempelajari sejarah. Mempelajari dengan hati. Durra, aku mendapat A1 bagi subjek sejarah sewaktu SPM, kukira begitu mudah menjawab soalan yang berkaitan dengan Islam. Sejarah Islam paling mudah dihadam. Tapi Durra, saat itu aku hanya mempelajarinya dengan akal semata. Sehingga aku tidak terasa apa. Segala yang difahami oleh hati akan mempengaruhi kehidupan seseorang, tetapi kefahaman dari akal belum tentu akan mengubah kehidupan seseorang.

Durra, saat diberitakan semula mengenai kejatuhan Islam, sebak hatiku menjadi-jadi. Meniti sejarah kejatuhan Islam umpama menelan kepahitan. Bagaimana mungkin 1 juta umat Islam dibunuh begitu sahaja sewaktu melawan tentera Monggol? Otakku bagai disula. I juta?? Sukar kubayangkan jumlah itu. Bila berlakunya peristiwa tersebut? Ianya berlaku apabila Islam berada di puncaknya. Sukar dibayangkan kegemilangan Islam saat itu. Tapi ia rebah. Allah menjatuhkan Islam melalui masyarakat–masyarakat yang mundur seperti Mongol dan Eropah yang ketika itu berada dalam zaman gelap mereka. Seakan-akan bah darah berlaku saat itu. Bisakah kau membayangkannya sahabatku?

Durra, ayat Al Quran tersebut seolah-olah berbicara denganku. “Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah) dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan "Sunnatullah" itu”. (35:43) Durra, sunnatullah itu tiada penggantinya.Kerja dakwah itu perlu diteruskan. Akuilah bahawa perjalanan hidup kita bukannya ‘kebetulan’ kerana ‘kebetulan bertentangan dengan aqidah kita! Tetapi adalah Sunnatullah yang akan terus berlaku. Tapi Durra, aku terlalu lemah. Terlalu banyak masaku yang terisi dengan aktiviti yang tidak berfaedah.

Durra,menurut jumhur ulama’, semua umat Islam berdosa dan bersalah apabila khalifah Islamiyah dijatuhkan pada tahun 1924 kecuali mereka yang berfikir dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menghidupkan kembali khalifah. Beribu persoalan menerpa di dalam benakku. Adakah aku telah berusaha bersungguh-sungguh melakukan dakwah? Atau adakah usahaku sekadar picisan? Adakah kerja dakwah itu hanya dilakukan sewaktu aku mempunyai masa lapang sahaja? Di waktu ripuh tidak menghambat? Adakah ianya dilakukan sewaktu urusan seharianku tidak mengganggu? Sejauh mana, aku meletakkan prioriti dakwah sebagai urusanku? Kebimbangan itu masih berlagu sehingga saat ini.

Durra, persoalan khalifah bukan persoalan remeh. Ketika Rasulullah SAW wafat, perkara pertama yang menjadi fokus utama umat Islam adalah bermesyuarat melantik khalifah dan bukanlah menguruskan mayat baginda SAW yang disayangi mereka. Malah Saidina Ali, Saidatina Fatima dan Saidatina Aisyah r.a yang bertindak menguruskan mayat rasul terakhir tersebut. Umat Islam pada ketika itu faham bahawa setiap saat tanpa seorang khalifah, maka semua umat berdosa.Tapi Durra, sudah berapa lama umat Islam di zaman ini hidup tanpa khalifah?

Durra, memamah sejarah sememangnya payah. Terlalu sukar untuk menelannya. Bagaimana tamadun Islam yang luas itu rebah menyembah bumi? Mengapa khalifah terus-terusan berada dalam kejahilan di saat itu? Mengapa perang tidak dijalankan? Mengapa sanggup menyerahkan senjata kepada musuh? Mengapa ulama di saat itu berbicara mengenai soal yang remeh temeh? Durra, jihat kalbuku menangis saat mengetahui semua itu. Tapi aku bimbang, kesatan air mataku akan mengkhatankan apa yang dipanggil sebagai keinsafan.

Durra, aku ingin kau membalasi marsum ini. Berkongsi duka ummah. Membangkitkan kembali sebuah perjuangan. Aku akan terus menanti dengan sabar.

Monday, July 09, 2007

Dakwah, Study dan Jongkang-Jongking...

Lia, jomlah pergi usrah
Lia, jomlah berdakwah
Lia, ummah semakin koyak
Lia, jomlah kita bangkit mengubah segalanya

Aku tidak mahu
Aku kena study
Markah semester lepas dah cukup teruk
Gara-gara dakwah, tarbiah dan program
Aku menyesal megikuti semua itu

Bosan!!

Dakwah bukan je plainly cerita rububiyah ketuhanan,tapi banyak lagi skopnya
Bukan ke islam tu syumul
Kalau nak berjaya, kena study
Waktu study, studylah
Esok kalau dah berjaya
Aku buatlah kerja dakwah tu

Kalau aku buat kerja dakwah, aku gagal dalam pelajaranku
Kan nanti aku menutup mata orang lain terhadap Islam

Lia, dakwah dan pelajaran bukan macam jongkang jongking

Jongkang jongking?
Apa kau merepek ni?

Ya, dakwah dan pelajaran BUKAN macam jongkang jongking
Bila dakwah di atas, pelajaran di bawah
Bila pelajaran di atas, dakwah di bawah
Tu bukan dakwah namanya

Dan tu bukan belajar namanya
Habis tu?
Hmm, dakwah dan pelajaran kena berkadar terus
Tak boleh inversely proportional

Apa maksud kau?

Orang yang melakukan kerja dakwah dengan ikhlas akan menemukan Allah dalam pelajarannya

Aku tidak faham

Tak pe, aku terangkan
Macam gini, bila dah berdakwah tu
Rasa senang je nak study
Bila belajar tentang mitokondria misalnya
Boleh bayangkan betapa hebatnya Allah ciptakan mitokondria
Bila belajar tentang algebra, terasa kerdilnya diri
Bila belajar tentang Hukum Boyle, terasa akrab dengan Pencipta

Kenapa?

Sebab diri tahu bahawa hukum-hukum tersebut adalah hukum Allah
Ilmu-ilmu tersebut adalah milik Allah
Rasa senang hati nak terima ilmu
Kalau orang lain study 1 jam
Dia hanya perlu study 10 minit sahaja

Sebab apa?

Sebab ada keberkatan masa dalam studynya itu

Aku tak pernah rasa semua itu
Lain tu, selama ni kau nak cakap yang aku ikut program tarbiah dan dakwah tu tak ikhlas?

Tak, itu bukan maksud aku
Cuma kena checklah sikit hati tu
Waktu buat kerja dakwah tu, ada tak berlaku tarik tali dengan Allah

Apa maksud kau tarik tali dengan Allah?

Ok, aku berikan contoh
Misalnya waktu buat kerja dakwah tu,
Terdetik tak kat hati , banyak lagi yang tidak habis belajar
Terdetik tak kat hati, assignment banyak lagi
Itulah maksudnya tarik tali dengan Allah
Ada keraguan dalam hati
Seolah-olah tidak yakin dengan janji Allah
Siapa yang menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongnya
Kita melakukan jual beli dengan Allah, tapi kita tidak bayar lagi
Kita berdoa, tapi tak de kesungguhan dalam doa kita
Kita berdakwah, tapi hati kita tiada dengan Allah

Lia dah faham
Lia kena banyak muhasabah
Lia dah study dari tadi, tapi tak masuk-masuk
Lia tahu itu maksudnya peringatan dari Allah
Lia yang tahu hukum berdakwah tidak mengerjakan kerja tersebut

Lia, sahabatku,
Seorang ibu pernah mengatakan
Aku ingin dakwah terlihat dalam setiap perbuatanku
Setiap kali aku bergaul dengan jiranku, aku ingin mereka merasakan kemanisan iman dan Islam
Setiap kali jiranku melihat kebahagian rumahtanggaku, aku ingin mereka merasakan keindahan Islam

Lia, itulah yang inginku kubentuk dalam diriku
Aku ingin setiap perbuatanku menjadi manifestasi dakwah itu sendiri
Pelajaranku, hubunganku dengan keluarga dan sahabat, segalanya adalah dakwah
Moga kita bersama dalam usaha merealisasikannya

Lia, aku ingin berkongsi dua kisah,
Pertama, mengenai kisah Assyahid Imam Hassan AlBanna

Dan kedua kisah sahabatku di Indonesia
Moga kedua-dua kisah ini dapat kita renungkan bersama
Menjadi motivasi buat kita untuk terus berada dalam mandala ini.

Lia, kau pastinya arif mengenai Assyahid Imam Hassan AlBanna. Dakwahnya menyinari hati umat manusia di saat itu. Dia berdakwah sehingga ke kawasan perkampungan di gunung-gunung yang tinggi. Semua manusia mengenalinya. Tanyakan sahaja di jalanan di saat itu, kenalkah kamu dengan Assyahid Imam Hassan Al Banna, pasti semua mengenalinya kerana kerja kerasnya di dalam perjuangan dakwah . Lia, aku akui sememangnya untuk berjaya dalam pelajaran, kita kena berusaha. Itu Sunnatullah. Tapi Lia, kemenangan Islam takkan tertegak dengan kata-kata, dengan mimpi sahaja. Untuk memastikan kejayaan dakwah, kita juga kena berusaha. Itu juga adalah Sunnatullah. Kemenangan Islam memerlukan pengorbanan dari pengikutnya.

Lia, aku kongsikan pembacaanku dalam buku Detik-detik Hidupku karangan Assyahid Imam Hassan Al Banna:



Lia, kau pastinya arif mengenai Assyahid Imam Hassan AlBanna. Dakwahnya menyinari hati umat manusia di saat itu. Dia berdakwah sehingga ke kawasan perkampungan di gunung-gunung yang tinggi. Semua manusia mengenalinya. Tanyakan sahaja di jalanan di saat itu, kenalkah kamu dengan Assyahid Imam Hassan Al Banna, pasti semua mengenalinya kerana kerja kerasnya di dalam perjuangan dakwah . Lia, aku akui sememangnya untuk berjaya dalam pelajaran, kita kena berusaha. Itu Sunnatullah. Tapi Lia, kemenangan Islam takkan tertegak dengan kata-kata, dengan mimpi sahaja. Untuk memastikan kejayaan dakwah, kita juga kena berusaha. Itu juga adalah Sunnatullah. Kemenangan Islam memerlukan pengorbanan dari pengikutnya.

Lia, aku kongsikan pembacaanku dalam buku Detik-detik Hidupku karangan Assyahid Imam Hassan Al Banna:

"Saya pun membuka ke muka surat-muka surat yang disebutkannya dan mula mengulangkaji. Kemudian saya terkejut jaga. Saya sangat gembira. Pagi esoknya saya menduduki ujian. Saya dapati kebanyakan soalan datang dari muka surat-muka surat yang saya baca di dalam mimpi tersebut. Ini semua adalah rahmat Allah. Allah telah memberi rahmat istimewa kepada saya. Mimpi yang benar adalah sumber maklumat kepada seorang Mukmin. Segala puji bagi Allah, Tuhan Semesta Alam".

Itulah rahsia kejayaan seorang Mukmin. Seorang sahabat di Indonesia pernah bercerita mengenai pelajarannya. Alhamdulillah, dia memperolehi yang terbaik.

Dia ingin mempertahankan prestasi terbaik untuk Allah, agama Allah. Di sudut lainnya, dia tidak suka mengejar dunia, bersaing untuk berasa hebat. Dia hanya ingin memberikan yang terbaik sebagai hamba Allah.

Dahulu dia bukan begitu. Dia pernah kecundang. Dia pernah bertanya kepada Allah - Ya Allah, kenapa engkau mentakdirkan prestasi yang baik buat temanku? Apakah temanku itu punya alasan yang kuat sehingga Engkau menolongnya. Aku mempunyai mimpi yang besar untuk menegakkan agamaMu melalui pergerakan dakwah. Maka aku mohon bahawa aku harus berjaya.

Lalu Allah memberitahu dirinya melalui suatu kisah sahabat yang dijamin masuk syurga, padahal seharian ibadahnya sama saja seperti sahabat yang lain. Dan ketika ditanya prinsip hidupnya, sahabat itu menjawab "Aku tak suka membanding-bandingkan apa yang Allah berikan kepada hamba-hambaNya. Aku yakin Allah Maha Baik dan menjamin kebaikan untukku dalam situasi sulit atau lapang. Aku akan tetap redha kepada Allah dalam situasi apapun. Aku akan tetap bersaksi bahawa Allah adalah Robb yang Maha Esa, meskipun gunung-gunung harta itu milikku atau aku tak punya harta sedikit pun”.

Lia, saya teringat email yang pernah saya terima dari seorang kawan. Tulisannya benar-benar terkesan di hati saya. Dia bercerita tentang seorang wanita yang terkena penyakit disebabkan poliovirus semenjak kecil. Kisah ini kisah benar. Saya namakan wanita ini A. A memerlukan tongkat untuk berjalan. A tidak berapa cantik, tidak slim dan tidak tinggi. Satu sahaja keinginan A. A ingin sesiapa sahaja yang melihatnya mengucapkan Subhanallah.

Keinginan A tercapai. Bila A belajar di sekolah menengah dan berjaya, manusia yang ditemuinya mengucapkan Subahanallah. Bila A berjaya masuk ke universiti, sekali lagi orang ramai mengucapkan Subhanallah. Bila A menyudahkan pelajarannya, sekali lagi manusia mengucapkan Subhanallah. Dan sekali lagi orang ramai mengucapkan Subhanallah apabila A mengahwini seorang lelaki yang kacak dan beriman.

Orang ramai tertanya-tanya, apa yang mampu A berikan kepada suaminya. Takdir Allah menentukan yang sebaiknya. Allah mengurniakan A dan suaminya 3 orang anak yang comel dan sempurna. Sekali lagi orang ramai mengucapkan Subhanallah.

Dengan kecacatanya, A masih mampu membuat manusia mengingati Allah. Sejarah menunjukkan kita bahawa rupa paras bukan persoalan utama. Ingat lagi tentang Abdullah bin Ummi Makhtum. Dia sahabat nabi yang buta. Dia mahu membawa panji bendera Islam. Katanya, buta menyebabkan dia tidak takut kerana dia tidak akan dapat melihat bilangan musuh. Akhirnya dia syahid. Mereka yang menemui mayatnya tidak dapat mengecamnya kerana terlalu banyak luka parah yang dialaminya. Subhanallah.

Pasti Lia ingat lagi Assyahid Sheikh Ahmad Yassin. Dia cacat. Duduk di atas kerusi roda. Tapi apa yang telah dia lakukan? HAMAS berdiri dengan izzah. Musuh menggeruninya.

Lia, kita sempurna. Ayuh lakukan sesuatu untuk Islam. Ayuh berada dalam saf perjuangan.

Flower And Pearl...

Video yang dihasilkan secara suka-suka..

There was an error in this gadget