Tuesday, April 24, 2007

Kecewa..



Ni entri suka-suka. Ada kaitan dengan saya. Tapi secara tersirat. Kalau tidak faham, abaikan sahaja. Saya menulis suka-suka.
----------------------------------------------------

Kecewa. Terluka. Aku sudah melaluinya. Soal hati dan perasaan hanya menambah sengsara di perdu atma yang paling dalam. Usah kau ingatkan lagi semua ini. Aku manusia biasa. Tidak ingin ada sendu rayu dalam tutur bicaramu. Aku bukan malaikat yang tidak tergoda dengan pujuk rayu sang nafsu. Tingkah memori pertama hanya menambah pijar di hati. Kita pernah bertemu. Pernah menyulam rasa rindu dalam diam. Dua hati bertemu dalam mandala yang sama.

Bukan mudah untuk aku melupakan semua. Seringkali aku tertanya-tanya, siapa mahu memahami dilema yang kian mengganas ini? Badai yang kian bergelora dengan kencangnya. Aku hanya berbohong kononnya ripuh menyediakan diri untuk imtihan. Sebenarnya aku mencari balik makna kekuatan. Aku mahu kembali persis seperti dulu tatkala aku melangkah ke mandala ini. Kehidupan meninggalkan beberapa nostalgia di jiwa.Aku hanya berharap usahaku bukan satu picisan.

Aku semakin yakin bahawa dunia ini adalah sebuah pendustaan. Sebuah sandiwara yang dilakonkan. Akhirnya aku tersentak. Marsum maya darimu sahabat membuat aku berpijak di alam nyata. Rupanya aku telah lama melupakan Rabbku. Terima kasih sahabatku, penghapus air mataku. Aku akan kembali. Aku tidak ingin tergugat hanya kerana seorang jejaka. Setiap pejuang mungkin pernah mengalami rasa kecewa. Pernah terhiris dengan setiap butir dosa. Dia sering dimungkiri. Tapi yakinlah semua itu tidak akan sesekali melemahkan keikhlasannya dalam berjuang. Aku akan kembali. Aku akan menjadikan nasihatmu sebagai tombak untuk melawan badai nafsu.

Ingat lagi sebuah kisah yang tersohor berkenaan Hassan Al Basri? Sepasang mata menjadi hadiah. "Kenapakah kau mengikutku?". "Aku tertarik kepada kecantikan matamu." Jawapan yang cukup angkuh. Namun mengundang seribu sesalan apabila bungkusan merah berada di tangan Al Basri yang muda belia itu. Wanita itu mencungkil matanya. Lupakah aku bahawa Al Basri juga pernah kecewa? Kecewa itu membuatkan Al Basri terhiris dengan dosa air mata sendiri. Taubatnya akhirnya menjadikan dia ulama tersohor di zamannya.

Aku pernah membaca buku Maalim Fittariq. Tapi sedikit sekali yang aku tahu mengenai penulisnya. Syed Qutb juga pernah kecewa rupanya. Kecewa saat wanita yang ia cintai karena Allah dan telah melakukan proses ta’aruf dengannya membatalkan kesepakatan menikah . Lalu Syed Qutb memutuskan bahawa hidupnya akan ia serahkan hanya untuk cinta Allah sahaja.

Imam Syafie juga pernah kecewa saat ibunya tak punya biaya untuk menyekolahkannya ke pendidikan agama.

Pelopor perjuangan intifadhah pernah kecewa dan melancarkan Amaliyyah Istisyhadiyah pertama kali saat bangsa-bangsa Arab hanya diam membisu atas perjanjian Camp David, namun tindakannya dan kekecewannya itu mengobarkan semangat seluruh rakyat Palestin untuk berjihad.

Kekecewaan itu biasa. Hanya satu yang harus dilakukan. Hapuskan airmata lalu melangkah. Hijrah karena Allah semata dan menuju kaffah. Kesalahan-kesalahan dan kelalaian diri pasti mengikuti gerak langkah. Pastinya aku tidak akan diam meskipun langkah tersebut berdarah melawan nafsu.

Pekik kemenangan mencium darah-darah syuhada sudah kedengaran. Masih ada yang perlu dilakukan untuk menebus harga diri yang kian terobek. Soalan anak kecil Palestin, “Di manakah saudaraku kaum Muslimin?” meninggalkan bekas yang pastinya tidak akan terpadam. Bangkitlah!! !

Tuesday, April 17, 2007

Cukup...


Saya akan menjawab segala komen selepas exam final Jumaat ini. Saya perasan seolah-olah ramai yang memberi komen:) Saat ini saya hanya ingin meluahkan apa yang terbuku di hati. Bercerita tanpa tahu hujung pangkalnya.

Kadangkala saya berasa pelik. Ada juga yang sudi membaca tulisan yang memang koyak ni. Kelakar pun ada bila melihat keyword analisis pengunjung blog ini. Ada yang mencari berkenaan payu dara yang seksi, jihat dara dan macam-macam lagi. Kelakar kan?

Blog ini hanya tempat saya melepaskan kekusutan hati saya. Bercerita tentang dilema yang kadangkala mengganas dan adakalanya saya membuat kerepek (merepek) sahaja.

Kali ini saya ingin bercerita mengenai masalah berat badan yang saya alami. Berat badan saya naik mendadak sewaktu di matrikulasi. Saya risau dengan hal tersebut. Apapun, saya akan cuba untuk mengurangkan berat badan saya dengan perlahan-lahan. Saya perlu menjadi doktor yang sihat.

Dalam hidup ini, saya mencari makna kejujuran. Saya ingin temui manusia yang menerima saya seadanya.

Entahlah, saya sebenarnya tidak pasti apa yang perlu saya tintakan di sini. Saya memang ‘down’ sejak minggu lepas lagi. Tiada mood untuk melakukan apa-apa. Malas untuk tilawah. Malas belajar. Malas untuk melakukan segala-galanya. Saya sedang melalui apa yang dinamakan sebagai musim kefuturan. Saya perlu bangkit semula.

Kan saya dah cakap. Saya bercerita tanpa tahu hujung pangkalnya. Hmm..saya mahu cerita tentang berat badan sebenarnya. Kadangkala manusia ini sukar bukan untuk bersyukur. Sukar untuk berasa cukup.

Saya teringat email yang pernah saya terima dari seorang kawan. Tulisannya benar-benar terkesan di hati saya. Dia bercerita tentang seorang wanita yang terkena penyakit disebabkan poliovirus semenjak kecil. Kisah ini kisah benar. Saya namakan wanita ini A. A memerlukan tongkat untuk berjalan. A tidak berapa cantik, tidak slim dan tidak tinggi. Satu sahaja keinginan A. A ingin sesiapa sahaja yang melihatnya mengucapkan Subhanallah.

Keinginan A tercapai. Bila A belajar di sekolah menengah dan berjaya, manusia yang ditemuinya mengucapkan Subahanallah. Bila A berjaya masuk ke universiti, sekali lagi orang ramai mengucapkan Subhanallah. Bila A menyudahkan pelajarannya, sekali lagi manusia mengucapkan Subhanallah. Dan sekali lagi orang ramai mengucapkan Subhanallah apabila A mengahwini seorang lelaki yang kacak dan beriman.

Orang ramai tertanya-tanya, apa yang mampu A berikan kepada suaminya. Takdir Allah menentukan yang sebaiknya. Allah mengurniakan A dan suaminya 3 orang anak yang comel dan sempurna. Sekali lagi orang ramai mengucapkan Subhanallah.

Dengan kecacatanya, A masih mampu membuat manusia mengingati Allah. Saya? Saya sempurna, tapi apa yang saya telah lakukan?

Sejarah menunjukkan kita bahawa rupa paras bukan persoalan utama. Ingat lagi tentang Abdullah bin Ummi Makhtum. Dia sahabat nabi yang buta. Dia mahu membawa panji bendera Islam. Katanya, buta menyebabkan dia tidak takut kerana dia tidak akan dapat melihat bilangan musuh. Akhirnya dia syahid. Mereka yang menemui mayatnya tidak dapat mengecamnya kerana terlalu banyak luka parah yang dialaminya. Subhanallah.

Pasti awak ingat lagi Assyahid Sheikh Ahmad Yassin. Dia cacat. Duduk di atas kerusi roda. Tapi apa yang telah dia lakukan? HAMAS berdiri dengan izzah. Musuh menggeruninya.

Katakan cukup. Belajar bersyukur. Itu nasihat saya buat diri saya. Allah tidak sesekali memandang rupa paras. Hanya taqwa sahaja yang berada dalam penilaianNya.

p/s – sempat lagi saya mengupdate blog meskipun final tinggal beberapa hari sahaja lagi. Doakan saya.

Sunday, April 15, 2007

Sedih..


Saya hadapi masalah. Masalah pertembungan jemaah. Tidak pernah terfikir bahawa saya akan berdepan dengan masalah ini. Saya kira setiap jemaah ada cita-cita untuk menegakkan Islam. Semalam sahabat saya call, katanya saya semakin jauh dengan jemaah. Apa yang mampu saya lakukan?

Perkara ini mendatangkan keserabutan dalam diri saya. Saya pernah diajar dengan kata-kata ini – Allah tidak akan bertanya, apa jemaah kamu, sebaliknya Allah akan bertanya apa yang telah kamu lakukan untuk Islam.

Saya memilih bidang perubatan hanya kerana Islam. Saya perlu belajar bersungguh-sungguh. Dengan segala kesibukan yang ada, saya memilih untuk mengikuti program tarbiah dan dakwah di kolej sahaja. Saya menolak untuk mengikuti program di luar.

Ada yang sampai mencari saya di kedai fotostat. Setiap minggu, ada sahaja ajakan untuk mengikuti program. Saya tahu saya daif dalam ilmu agama. Ada yang berkata- “join jemaah, tapi aqidah tidak mantap”. Ya, saya tahu kelemahan saya di mana.

Sekiranya ada yang mengatakan bidang perubatan adalah bidang yang senang, saya menafikannya. Tanggungjawab untuk memikul bidang ini terlalu besar. Ada yang membaca ayat berkenaan dengan nyawa di dalam Al Quran tanpa merasa apa-apa. Tapi tidak bagi saya. Kesilapan saya untuk menuntut ilmu sebaiknya saat ini akan menyebabkan saya mungkin membunuh pesakit saya kelak. Itu sebabnya saya tidak mahu berpuas hati dengan sekadar lulus sahaja di dalam peperiksaan. Saya perlu melakukan lebih dari itu.

Saya memilih bidang ini kerana saya tahu peluang dakwah yang terhampar di hadapan saya begitu luas. Saya akan temui penagih dadah, mat rempit dan bermacam-macam jenis pesakit kelak. Bidang perubatan sahaja yang menawarkan semua ini. Saya hanya memilih bidang ini kerana Allah. Saya jatuh berkali-kali, tapi saya tidak akan berputus asa. Ini janji saya. Saya akan melakukan sebaiknya untuk agama ini.

Saya sedih bila ada yang tidak memahami semua ini. Sedih sangat. Ada yang bersangka buruk. Macam-macam lagi yang saya lalui.

Saya pernah melalui fasa dalam hidup saya di mana saya masyuk sekali berdakwah. Saat itu adalah ketika saya di matrikulasi. Saya ceritakan semua ini supaya ada yang sudi mengambil pengajaran.

Saya mementingkan dakwah sehingga mengabaikan pelajaran. Ini yang terjadi kepada saya. Tapi saya bersyukur kepada Allah, pointer saya melepasi 3.00, melayakkan saya memasuki bidang perubatan walaupun bukan di IPTA.

Saya lupa akademik adalah dakwah yang lebih besar. Kehancuran akademik saya hanyalah menjadi fitnah kepada perjuangan Islam itu sendiri. Saya tidak nafikan kesilapan saya. Sayalah yang tidak pandai mengurus masa antara dakwah dan pelajaran.

Saat ini, saya sedar kesilapan saya. Saya lihat pensyarah-pensyarah saya. Semua mereka ada pangkat Prof di hadapan nama mereka. Semua pelajar ingin mendengar kata-kata mereka meskipun dari latar belakang yang berbeza. Kejayaan mereka dalam bidang yang diceburi menjadikan dakwah semakin mudah. Mereka membawa nama Islam hatta ke peringkat dunia. Saya ingin jadi seperti itu.

Ada yang kata saya semakin jauh.Ukhwah semakin rapuh. Sukar untuk saya memahami semua ini. Saya tidak ingin nikmat iman, islam dan ukhwah itu hanya untuk segelintir sahaja. Saya mahu semua manusia merasainya. Maafkan saya. Saya tidak mahu menjadi manusia yang mementingkan diri.

Kadangkala saya pelik. Mengapa saya yang diajak berulang kali? Mengapa mencari saya? Ramai lagi yang lebih memerlukan perhatian dari saya. Dakwah bukan bermakna mengajak golongan yang bertudung labuh dan alim sahaja. Dakwah lebih dari itu. Kejayaan dakwah bukan dengan menarik mereka yang sudah memahami Islam. Kejayaan dakwah adalah bila mana kita mampu mengajak mereka yang jauh dari Islam.

Saya bukan meninggalkan Islam. Tidak sesekali ianya terlintas dari fikiran saya. Saya sertai dua kumpulan usrah di kolej. Saya hadir ke program Theory of Knowledge. Sememangnya ilmu itu belum cukup. Tapi saya juga ada tugas lain yang perlu diselesaikan.

Kadangkala ada yang mengajak saya ke program. Kawan saya pula meminta saya menemaninya di rumah. Saya memilih kawan kerana saya ingin masa yang lebih untuk bersama mereka. Memahami mereka. Sampai bila saya ingin memperbaiki diri saya sahaja. Tanggungjwab saya lebih dari itu.

Saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan sebenarnya untuk memahamkan sahabat-sahabat saya. Cukuplah saat ini Allah sahaja tempat saya meluahkan rasa. Dia lebih tahu apa yang terbaik buat saya.

Tuesday, April 10, 2007

20 tahun...


“Beri hatimu hanya untuk Allah, pasti Allah temukan padamu pemilik terbaik, hamparkan masamu seluasnya hanya untuk Allah, pasti Allah aturkan seluruh kehidupanmu sebaiknya. Selamat ulangtahun kelahiran yang ke -20. Semoga sentiasa dalam keberkatan dan redha Allah”. –Syuhada-

“Dear, my dear Afeera in conjunction with ur belated day, asked Allah to make u happy, make u smile, guide u safely, thru every mile, grant u wealth, give u health, and most of all, give u care and love u well. Wallahuwalliyuttaufiq. Be a good Muslimah”. –Kak Ngah-

“Whatever mood u r in now, I wish somehow, my sms made u SMILE! Hepi Besday! Semoga perjalanan yang masih panjang ini dimanfaatkan untuk bekalan di hari yang dijanjikan Allah pasti datang!”. –Ain-

Sms yang saya terima dari sahabat-sahabat saya ini mengingatkan saya bahawa saya telah menginjak ke usia 20 an, meninggalkan usia belasan tahun. Saya rindukan sahabat-sahabat saya ini. Makan di dalam dulang yang sama. Sakit perut bersama. Tidur bersama. Qiamullail bersama. Indahnya zaman itu. Zaman dikelilingi biah (suasana) Islam.

Indah ikatan ukhwah itu. Ianya terlalu indah sehingga tidak mampu diterjemahkan dengan kata-kata. Mengenali mereka membuatkan saya mengenali makna ukhwah Islamiyah. Saya merindui mereka. Terlalu rindu. Masih saya ingat dakapan terakhir kami sebelum berpisah. Kami berjanji untuk tidak menitiskan air mata, tetapi ianya gugur tanpa dipinta.

Hari ini, masing-masing membawa haluan sendiri. Tapi ikatan hati tidak mungkin dipisahkan. Kami yakin, sekiranya kami tidak bertemu di dunia, pasti Allah akan menemukan kami di akhirat.

Sememangnya saya telah lama tidak hadir ke program-program pengisian. Saya hanya mengikuti program yang diadakan di kolej memandangkan kehidupan saya yang kian sibuk. Bukan hati saya tidak mengingini sebuah pertemuan, tetapi atma saya terus-terusan memujuk bahawa saya tidak boleh mementingkan diri sendiri.

Saya tidak ingin apa yang saya lalui hanya dinikmati oleh saya sahaja. Saya ingin orang-orang di sekeliling saya turut merasai nikmatnya bernafas di dalam suasana Islam. Saya ingin sekali kawan-kawan yang ada di sekeliling saya turut merasai semua itu. Saya perlu menyumbangkan sesuatu untuk agama ini.

Sudah 20 tahun saya hidup di bumi Allah. Sekiranya saya ditakdirkan hidup sehingga usia 21 tahun, saya hanya punya masa selama setahun sahaja dari sekarang. Sekiranya saya ditakdirkan pergi esok, hanya tinggal sehari sahaja bagi saya. Pertambahan usia mengingatkan saya bahawa ajal saya kian hampir.

Saya bukanlah seorang yang takutkan kematian meskipun saya kerapkali membayangkan kehidupan saya di dalam kubur. Dikelilingi tanah, tinggal berseorangan, tiada computer, tiada aircond, tiada teman berbual dan tiada apa-apa di sana. Yang ada hanyalah amalan. Setiap kali saya melawat laman web Harun Yahya, saya berasa cemburu padanya. Dia tidak perlu takutkan kematian. Dia sudah menyediakan bekalan untuk ke alam sana. Perasaan ini juga hadir tatkala saya melihat aktivis-aktivis dakwah yang sibuk ke sana dan ke mari untuk memperjuangkan agama Allah.

Sebenarnya saya malu dengan Allah. 20 tahun lamanya saya di dunia. Apa yang telah saya lakukan?

Nikmat Allah pada saya terlalu banyak. Tidak mampu saya fikirkan. Saya ambil contoh berkenaan cilia. Cilia ini sangat kecil. Bayangkan 1 cm. Bayangkan 1 mm. Bayangkan 1 mm dibahagi 600. Pastinya kita tidak mampu membayangkannya. Cilia membantu kita untuk merembeskan mukus atau kotoran dari badan. Banyak pergerakan yang berlaku di dalam tubuh manusia memerlukan bantuan cilia. Sekiranya cilia gagal berfungsi, kita akan terkena penyakit Kartagener’s Syndrome. Sperma lelaki tidak mampu bergerak sekiranya terkena penyakit ini. Itu adalah sehalus-halus ciptaan Allah di dalam badan kita. Dan ada yang lebih halus dari itu.

Semua yang ada pada kita adalah nikmat. Tidak mampu kita fikirkan. Tidak mampu kita untuk menghitung nikmat Allah. Ibadah kita tidak akan sesekali mampu membalas hatta satu nikmat yang diberikan Allah kepada kita. Terasa kerdil diri ini di hadapan Allah.

20 tahun. Banyak sekali perkara yang perlu saya renungkan. Saya perlu mengiktibari kehidupan saya sehari-hari di bumi Allah ini.

Saya dan awak perlu berjanji untuk menggembleng tenaga untuk agama Allah. Kita ingin suatu masa nanti setiap titis darah yang mengalir di dalam tubuh kita mampu menghidu keindahan Islam. Kita perlu yakin bahawa kita akan bernafas suatu hari nanti dengan haruman Islam.

Janji Allah itu pasti. Kejayaan Islam itu pasti. Moga suatu masa nanti kita mampu berhadapan dengan Allah dan mengatakan bahawa kita telah berjuang untuk agama ini. Doakan saya terus thabat di jalan ini.

Monday, April 09, 2007

Link...

Saya tidak pernah meletakkan mana-mana link di blog ini. Barangkali saya serik dengan apa yang pernah terjadi kepada saya. Namun hari ini saya ingin mengenalkan anda dengan sebuah blog. Saya baru berkunjung ke blog tersebut tetapi saya belum menerokainya.

Masih terngiang-ngiang ucapan penulis blog tersebut. Dia adalah seorang pejuang yang pernah melawan barah payu dara. Kisahnya meruntun hati saya. Ya, saya sememangnya mudah menangis. Ketabahannya menyusuri rencam hidup ini benar-benar menyentuh hati saya.

Ujian di dalam hidup sering membuatkan saya lemah. Saya lupa bahawa ada manusia yang ujiannya lebih berat dari saya. Yang pasti, saya belajar banyak perkara dari sesi yang berlangsung sebentar tadi.

Buat Kak Dalilah Tamrin, terima kasih kerana mengajar saya makna sebuah kehidupan.

Blog Kak Dalilah Tamrin – http://onebreastbouncing.blogspot.com

Sunday, April 08, 2007

Komen..

assalamualaikum...afeera, tulisan anda kali ni agak keras. ini adalah akibat terlalu marah n kecewa. xbaik kata org bengap. sejak bila plak afeera guna perkataan mcm ni? sy tau anda mns biasa. slalu melakukan kesalahan. klu kita xnk org mengata kita, kita jgn ckp buruk psl org. maaf jika melukakan hati saudari..moga dpt perbaiki tulisan pd ms akan dtg.

Waalaikumussalam warahmatullahi taala wabarakatuh

Anonymous, saya tidak pasti anda perempuan atau lelaki. Terima kasih di atas komen yang diberi. Saya hargainya. Pertamanya, saya kira anda perlu membaca entri saya sebelum itu. Tulisan saya selepas ini ada pasang surutnya. Dan saya tidak sesekali mewakili sesiapa. Saya hanya mewakili diri saya sahaja. Harapan saya, apabila anda membaca tulisan saya dan tidak berpuas hati dengannya, anda akan menyalahkan saya sahaja.

Keras ye tulisan saya? Setiap manusia ada pandangannya sendiri. Saya hormati pandangan anda. Saya masih ingat lagi kata-kata seorang sahabat saya. Hikmah adalah berbeza bagi setiap manusia. Saya beri awak satu contoh. Ada sesetengah anak yang sukar mendengar kata. Sekiranya dia diberi nasihat dengan kata-kata yang lemah lembut, dia akan melawan. Sekiranya dirotan, dia akan mendengar kata. Hikmah bagi anak ini adalah rotan.

Begitu juga dengan adil. Ada yang faham adil ini adalah sama rata. Sekiranya seorang ibu ingin membahagikan makanan untuk anak-anaknya, dia perlu membahagi dengan sama rata. Tetapi sebenarnya tidak. Adil di dalam Islam adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Anak yang besar perlu mendapat makanan yang lebih banyak berbanding anak yang kecil.

“Sejak bila plak afeera guna perkataan mcm ni?”. Soalan ini agak menarik. Awak mengenali saya ke? Tidak bukan? Saya kira awak mengadili saya berdasarkan tulisan saya sebelum ini. Tulisan saya adalah hipokrit semata-mata. Tidak melambangkan langsung siapa saya sebenarnya. Usah terpedaya dengan dunia maya ye.

“maaf jika melukakan hati saudari”. Hmm..Awak tidak melukai hati saya sebenarnya. Usah takut untuk berkata benar. Meskipun saya tidak mengenali awak, awak adalah sahabat maya saya. Sahabat yang baik adalah sahabat yang berkata benar tentang sahabatnya. Terima kasih atas nasihat itu. Nasihat awak barangkali adalah hidayah Allah untuk saya.

“moga dpt perbaiki tulisan pd ms akan dtg”. Permintaan ini begitu berat buat saya. Ini adalah blog saya. Blog tempat saya mengekspresikan pandangan saya. Isu jalanraya dan jurutera itu bukan soal kecil sebenarnya. Ia adalah persoalan mengenai korupsi dan perkara lain. Hikmah bagi isu itu bukanlah menulis dalam lenggok bahasa mendayu-dayu sehingga membuatkan mereka terus-terusan menjadi layu. Saya kira awak perlu faham mengenai hal ini.

Adil bagi saya bukan sama rata. Tulisan saya tidak akan lembut dalam semua hal. Berbicara mengenai kanak-kanak HIV ada lenggoknya. Kritikan juga ada larasnya. Saya harap anda memahaminya. Sebarang teguran amat dialu-alukan.

Bas..


Dua minggu berturut-turut sebelum ini, saya balik ke Johor untuk bersama keluarga. Kegembiraan saya adalah apabila saya bersama keluarga. Namun saya seakan-akan fobia untuk balik minggu ini lantaran kerana peristiwa yang terjadi kepada saya dalam perjalanan pulang semula ke Cyberjaya.

Dua minggu lepas semasa menaiki bas, seorang lelaki menghulurkan air kotak kepada saya. Peristiwa ini terjadi di hadapan ayah saya juga memandangkan dia ingin menguruskan tempat duduk saya dan menolong mengangkat barang. Sememangnya kami kagum dengan perkhidmatan yang diberi. Air kotak percuma. Ayah saya sempat menepuk bahu lelaki tersebut kerana ‘amalan’nya itu.

Apabila bas menunjukkan tanda untuk bertolak, ayah saya turun dan beredar. Kemudian lelaki tersebut datang kembali kepada saya dan meminta wang sebanyak RM2 untuk air kotak tersebut. Terkejut saya dibuatnya. Saya ingin memulangkannya tetapi dia tidak mahu. Katanya, penumpang lain juga akan mengambil tindakan yang sama untuk memulangkan air kotak tersebut. Semua penumpang lain seakan-akan akur dengan perbuatannya itu. RM2 untuk air kotak. Saya kemudiannya bermesej dengan ayah saya. Lantas ayah menelefon syarikat perkhidmatan bas tersebut. Seterusnya di dalam perjalanan, saya baru sedar bahawa bas tersebut tiada penghawa dingin. Peristiwa ini berlaku dua minggu sebelum ini.

Perjalanan saya minggu lepas pula adalah pengalaman yang tidak akan saya lupakan buat selama-lamanya. Ramai yang balik bercuti kerana cuti maulidurrasul. Semua penjual tiket pula seakan-akan bersepakat untuk menjual tiket pada harga RM30. Tiket yang sepatutnya hanyalah berharga RM24. Ada pula yang menaikkan harga sehingga RM35. Saya pulang bersama dengan adik perempuan saya memandangkan dia perlu menolong pakcik saya di sini.

Bas tersebut kemudiannya rosak di Ayer Hitam. Saya terpaksa menunggu selama 3 jam untuk bas yang lain pula. Bas kedua pula tiada tempat duduk yang mencukupi. Akhirnya dua lelaki menawarkan diri untuk berdiri sepanjang perjalanan. Tiba di Seremban, bas tersebut kehabisan minyak pula. Dahlah jalan sesak, bas tersebut menambah lagi kesesakan yang telah sedia ada. Geram saya dibuatnya. Semua penumpang lain cuba memberhentikan bas atau mana-mana teksi untuk meneruskan baki perjalanan. Akhirnya, tinggallah saya dan adik perempuan saya bersama-sama dengan beberapa orang lelaki.

Perasaan waktu itu, Allah sahaja yang tahu. Saya memang menangis kerana takut. Takut diapa-apakan oleh lelaki-lelaki itu. Pakcik saya bersetuju untuk mengambil saya. Dan kami menunggu selama lebih kurang 3 jam juga. Memang berkecamuk sangat perasaan saya. Pakcik saya tiba akhirnya.

Tidak pernah terbayang di dalam kepala otak saya bahawa saya akan melintas highway PLUS. Itulah pertama kali saya melakukannya. Kemudian ada pula pembahagi jalan. Saya dan adik perempuan saya terpaksa merangkak ala-ala PLKN memandangkan kami memakai baju kurung. Sememangnya saya tidak akan melupakan perkara ini buat selama-lamanya.

Barangkali itu kaffarah di atas dosa-dosa saya. Cuma saya tidak berpuas hati dengan sikap manusia-manusia yang saya temui. Barangkali sememangnya mereka tidak pernah faham apa itu Islam. Dan saya tidak kisah tentang hal itu. Tapi soal halal haram adalah persoalan tentang ‘common sense’. Saya ingat lagi pembacaan saya mengenai ucapan Assyahid Imam Hassan AlBanna. Dia berkata bahawa dia tidak perlu memberitahu kepada manusia mengenai soal haram dan halal kerana haiwan juga mengetahui hal itu.

Kucing akan makan daging yang diberikan oleh manusia dengan aman dan damai. Tapi sekiranya kucing tersebut mencuri, dia akan lari dari manusia kerana takut diapa-apakan. Kucing pun tahu mana halal dan mana haram. Mengapa manusia yang dikurniakan akal fikiran melakukan semua ini?

Saya benar-benar tidak berpuas hati dengan penipuan ini. Saya hanya mampu menulisnya di dalam blog ini. Tiada tindakan yang diambil meskipun saya menelefon pihak berkuasa. Nombor telefon yang ada di belakang setiap bas ataupun lori adalah lakonan dan pementasan drama semata-mata.

Saya juga tidak berpuas hati dengan fakta yang mengatakan bahawa jalan raya di Malaysia adalah di antara jalan raya yang terbaik di dunia. Saya benar-benar tidak setuju. Saya tidak berapa pasti sudah berapa kali kerja naik taraf dilakukan. Agak-agaknya, jalan tersebut dibina untuk kerja naik taraf berkali-kali. Kesesakan yang berlaku di Seremban adalah kerana kerja-kerja naik taraf ini.

Kemudiannya, saya terfikir betapa bengapnya jurutera kat Malaysia ini. Sekejap dua line, kejap 3 line. Lepas tu 2 line lagi. Manalah jalan tak sesak. Apasal bengap sangat? Tetapkan jelah dua jalan.

Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 4-5 jam mengambil masa selama 10 jam. Toleransi? Entahlah.

Saturday, April 07, 2007

Nama blog..


Saya ingin menukar nama blog ini sekali lagi. Dulu saya namakan blog ini sebagai « syahid » . Saya menukar nama tersebut lantaran tidak mahu blog ini terfokus pada satu isu sahaja. Kemudian saya namakannya « Pensil Ulfa ». « Pensil » adalah simbolik kepada penulisan. Manakala « Ulfa » merujuk kepada kemesraan. Saya ingin mencari kemesraan dalam penulisan. Namun, saya ingin menukarnya hari ini lantaran kerana saya gagal menemui « Ulfa » dalam kehidupan saya.

Terlalu banyak yang terjadi yang membuat saya berkira-kira untuk membiarkan blog ini tidak bernama buat seketika. Blog ini juga tidak akan berada dalam satu rentak sahaja selepas ini. Ini blog saya dan saya adalah manusia. Rentak tulisan saya akan berubah-ubah selepas ini. Kadangkala saya mungkin terlalu keras dan adakalanya saya mungkin terlalu lembut.

Kamu pernah melihat ECG ? Doktor menggunakan bacaan ECG untuk mengetahui keadaan pesakit jantung. Jantung menceritakan keadaannya dan berkomunikasi dengan doktor menggunakan ECG. Sekiranya suatu hari nanti kamu dikehendaki mengambil ECG dan doktor memberitahu bahawa kamu mempunyai sinus arrythmias, usah risau. Pertama kali saya melihat ECG, saya kira ianya adalah seragam. Namun setelah diberi penerangan oleh Prof Latiff, barulah saya faham bahawa ianya adalah tidak seragam dan ini dinamakan sinus arrythmias. Usah risau. Ia adalah normal bagi orang yang sihat. Sekiranya bacaan tersebut adalah seragam, ianya membawa makna bahawa orang tersebut telah menjalani pembedahan dan menggunakan perentak jantung elektronik.

Rentak jantung menunjukkan perubahan sepanjang masa. Ia menujukkan perubahan-perubahan yang dialami manusia. Saya normal. Usah harapkan blog ini berada dalam satu rentak sahaja.

There was an error in this gadget